[SNEAK PEEK] KERANA LAMARAN ITU

9789670707334-medium

EBUKU KERANA LAMARAN ITU Oleh Xuanza

“MAI…nanti kita dah besar kita kahwin nak?” tanya dia.

Aku tekun menghadap bihun goreng dalam mangkuk. Tak peduli dengan apa yang dia cakap. Hmmm… sedapnya bihun ni. Macam ibu buat. Aku suap lagi bihun goreng ke dalam mulut.

“Mai… dengar tak apa kita cakap tadi?” tanya dia lagi.

“Hah?! Awak cakap dengan kita ke?”

Mata aku masih melekat tengok bihun goreng di dalam mangkuk warna hijau tu. Sedapnya, ada telur goreng. Nyum… nyum… Aku cucuk pula telur dan ngap.

“Nanti kita besar, kita kahwin nak tak?”

Dia ulang balik soalan yang sama. Aku berpandangan dengan dia. Dia senyum sampai nampak lesung pipit. Comel!

“Nak! Nak! Nanti bila dah besar kita kahwin.”

Cepat-cepat aku angguk dan menghadap balik bihun goreng di dalam mangkuk. Sibuk kira udang pula.

“Janji tau. Nanti dah besar kahwin dengan kita.”

Aku tengok muka dia. Lepas tu, aku angguk laju-laju.

“Kita janji. Nanti bila kita dah besar kita kahwin.”

Dia tunjuk jari kelengkeng dia. Aku pun kaitkan jari kelengkeng aku dengan dia. Senyum. Lepas tu, masingmasing menghadap bihun goreng yang cikgu bagi tadi. Tiba-tiba aku terfikir nak tanya sesuatu kat dia.

“Awak… kahwin tu apa?” tanya aku sambil garu-garu kepala.

“Entah, kita pun tak tahu,” jawab dia sambil jongket bahu.

Lepas tu, terus dia suap bihun goreng ke dalam mulut. Aku tengok dia mengunyah. Aku pandang balik kat mangkuk aku. Dah licin! Aku mula sedih.

“Awak…” Aku leretkan suara sambil tarik hujung baju dia. Dia kalih tengok aku.

“Ya… kenapa?” tanya dia.

“Bihun kita dah habis. Nak kongsi dengan awak boleh tak?” tanya aku dengan muka simpati.

Dia intai mangkuk aku yang dah licin. Lepas tu dia tengok mangkuk dia.

“Okey… kita kongsi.”

Dia pindahkan sikit bihun goreng ke dalam mangkuk aku. Sekarang dah jadi sama rata bihun goreng kita orang. Aku apa lagi, terus makan tak toleh kiri kanan. Kalau ibu lalu pun mesti aku takkan nampak punya.

“Awak… kalau awak tak tahu kahwin tu apa, macam mana kita nak kahwin bila besar nanti?” tanya aku lepas habis kunyah bihun goreng.

“Nanti bila kita dah besar kita bagi tahu awak. Okey?”

Aku diam kejap.

“Janji tau. Nanti bila dah besar, awak bagi tahu kita,” kata aku.

Dia senyum lepas tu angguk.

“Mai… awak suka kita tak?” tanya dia bila nampak aku senyum.

Aku angguk laju-laju. “Suka! Suka! Kita suka dengan awak.”

Teruja aku jawab. Dia baik sangat dengan aku. Mestilah aku suka dia.

“Kita pun suka awak juga.” Dia senyum. Aku balas senyuman dia sambil capai air sirap.

Ermmm… sedapnya!

“Mai… jom kita main buaian nak? Mai dah habis makan kan?” ajak dia.

“Nak! Nak! Mai dah habis makan dah.”

Dia senyum dan terus tarik tangan aku ke arah buaian yang tersedia kat dalam tadika ni. Kawan-kawan aku yang lain pun dah ada yang main bila habis makan bihun goreng tadi. Cikgu Ijah cakap, kalau dah habis makan baru boleh main. Sebab tu masing-masing laju habiskan bihun goreng.

“Mai duduk. Nanti kita tolak,” arah dia.

“Alah… awak mainlah sama dengan kita.”

“Tak apalah. Kita tolak awak. Kita kan Superman awak.” Dia buat aksi ala-ala Superman.

“Okey. Awak jangan tolak laju-laju tau. Kita takutlah.”

“Kita janji. Kita tak tolak laju-laju.”

“Janji tau.” Aku angkat jari kelengkeng.

Dia pun kaitkan jari kelengkeng dia dengan aku. Masing-masing senyum. Aku naik buaian, dia tolak perlahan-lahan.

“Kenapa awak suka kawan dengan kita?” tanya aku.

“Sebab awak baik, lepas tu awak sayang kita.” Dia tolak badan aku ke depan.

“Jadi, awak sayang kita tak?”

“Mestilah sayang. Kalau tak, kita tak ajak awak main dengan kita.”

“Ooo… Habis tu awak nak sayang kita sampai bila?”

“Sampai bila-bilalah.” Bila dengar dia cakap macam tu, aku terus pakai brek kaki tahan buaian daripada berayun. Dia pusing menghadap muka aku.

“Kenapa awak berhenti?” tanya dia.

“Betul ke awak nak sayang kita sampai bila-bila?”

“Betul! Takkan kita nak tipu awak? Tipu dosa,” jawab dia sungguh-sungguh. Aku senyum.

Lepas tu, dia terus cium pipi aku. Aku pun senyum dan cium pipi dia balik. Dia sambung balik tolak buaian. Aku pun main dengan seronoknya lepas tu.

“You are my sunshine

My only sunshine

You make me happy when skies are grey

You’ll never know dear how much I love you

Please don’t take my sunshine away…”

“Mai… Mai. Bila main buaian mesti menyanyi. Bila menyanyi mesti main buaian. Tak bosan ke?”

Terus aku pakai brek kaki tahan buaian bila dengar suara sumbang dia cakap macam tu. Aku jeling dia. Sibuk betullah dia ni. Suka hati aku la kalau aku nak nyanyi sampai pecah suara sekalipun. Apa dia kisah?

“Pergilah main sana. Sibuk kacau orang buat apa? Potong betul. Huh!”

Aku jeling kasi tajam lagi. Saja nak tunjuk bengang kat dia.

“Ala… janganlah macam ni. Orang mintak maaf.”

Dia dah tayang muka tak cukup sepuluh sen kat aku. Bajet macam aku nak simpatilah. Huh… tepi sikit!

“Menyampah! Sibuk sangat ke main layang-layang dengan Fakhrul sampai orang panggil pun tak dengar?”

Aku mula tolak balik buaian pakai kaki. Malas nak layan dia.

Tiba-tiba dia pegang tali buaian dan berdiri di depan aku. Terus terhenti buaian. Nasib baik aku tak tersungkur ke depan. Aku angkat kepala sambil tayang muka tak puas hati. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba aje dia berhentikan buaian aku. Eee… geramnya!

“Mai… janganlah macam ni. Ustaz cakap tak baik kalau kita tak maafkan orang sedangkan orang tu dah ikhlas nak mintak maaf.”

Aku garu kepala. Ini yang aku lemah kalau dah masuk bab tazkirah.

“Habis kalau dia buat orang tu tak apa?”

Aku alihkan muka dari pandang dia.

“Orang tak sengaja. Lain kali kita main sama-sama okey?” pujuk dia.

Sikit lagi aku nak senyum bila dia cuba jenguk muka aku. Aku terus kalih kepala ke kiri. Dia pun bergerak ke kiri juga. Aku kalih ke kanan. Dia pun ikut sama juga. Tak tahu bosan betul dia ni.

“Eee… tepilah! Sibuk aje.” Aku tolak pakai kaki untuk ayun buaian. Lama-lama dia pun mengalah bila aku masih buat perangai.

“Laju… laju… Buaiku laju…

Pohon beringin tegaknya tinggi kalau

rendah menyapu bumi penghibur aku menolong aku

bertiuplah oh angin bayu

laju laju buaiku laju

akulah anak ayah dan ibu…”

“Hahahaha…”

Aku hentikan buaian bila dengar orang gelak macam tak cukup tanah. Aku tengok dia dah tekan perut sambil tunduk. Aku buat muka bila dia masih tak berhenti gelak.

“Apa ni? Gelak macam orang gila.”

“Lawaklah Mai. Nyanyi lagu buai laju-laju macam orang dulu-dulu,” jawab dia. Masih dengan sisa tawa.

“Biarlah! Suka hati orang la nak nyanyi lagu Lajulaju Buaiku Laju. Mana tahu bila orang nyanyi lagu ni boleh kahwin dengan anak raja nanti,” jawab aku.

“Hai… berminat juga ke? Orang ingat Mai otai. Tahu panjat pokok aje.” Dia senyum sikit sambil peluk tubuh.

“Eee! Bencilah cakap dengan dia ni,” jawab aku sambil hentak-hentak kaki. Dia gelak tengok aku buat gaya macam orang sakai tersesat. Terlepas tocang aku yang Tok Pah ikatkan tadi.

“Janganlah benci. Tak baik. Nanti esok Mai rindu orang macam mana?” tanya dia dengan senyuman yang tak lekang dari bibir.

Aku jelir lidah. “Jangan mimpi la!”

Dia senyum lagi tengok aku.

“Tadi Mai kata nak kahwin dengan anak raja kan?” tanya dia tiba-tiba.

Aku sengih bila dia cakap macam tu. Cepat aku angguk laju-laju.

“Orang kan ada. Nanti kita kahwin ya,” kata dia selamba. Aku terkebil-kebil pandang dia.

Kahwin?

“Kak Amal… Abang… Tok Pah panggil balik!” panggil Iman.

Entah bila pula budak kecik ni datang. Sibuk aje panggil orang balik. Dari jauh aku nampak terkedek-kedek dia berlari-lari ke arah aku.

“Jomlah Kak Amal, kita balik. Nanti Tok Pah marah. Abang pun sama. Tok Pah cakap, kalau Abang dengan Kak Amal tak balik sekarang, nanti Tok Pah ikat kat pokok rambutan,” kata Iman sungguh-sungguh.

Bila dengar pesanan Tok Pah, aku terus pecut lari balik ke rumah dulu. Iman aku dah tinggalkan kat belakang. Agrhhh… pandai datang, pandailah dia balik. Elok aku sampai kat depan rumah, entah macam mana aku boleh Kerana Lamaran Itu 9 jatuh tersembam.

“Ya Allah! Amal!”

Kelam-kabut Tok Pah turun tangga rumah dan berkejar ke arah aku. Aku cuba tahan air mata daripada mengalir. Lutut, tangan dengan mulut mula rasa sakit. Perlahan-lahan Tok Pah tarik aku bangun.

“Arghhh… sakit!”

“Itulah, lari lagi. Kan dah jatuh,” marah Tok Pah. Mulalah air mata rasa betul-betul nak terkeluar, tapi aku masih tayang muka kental. Konon nak tunjuk power punya pasal.

“Eee… Kak Amal. Gigi Kak Amal patah!”

Tiba-tiba suara si budak kecil Iman datang menyampuk. Tergamam kejap. Aku pandang muka Iman dengan ‘dia’ yang dah terkaku tengok aku. Aku terus pegang mulut. Patutlah rasa macam masin sikit.

“Hesy… Iman ni. Kenapa cakap gigi kakak patah?” tanya Tok Pah.

“Apalah Tok Pah ni. Tu gigi Kak Amal,” tunjuk Iman. Aku pun ikut pandang ke arah tempat yang Iman tunjukkan.

Gigi?! Patah! Tsk… tsk… huarghhh…

Terus aku teriak bagai nak terkeluar anak tekak kat situ. Aku menangis sekuat-kuat hati. Biarlah kalau satu kampung nak dengar sekalipun. Aku memang dah tak peduli.

“Sudah, sudah. Semua masuk dalam,” arah Tok Pah sambil pimpin tangan aku.

“SAKIT lagi tak gigi Mai?” tanya dia.

Aku hanya mampu angguk kepala dengan sisa air mata masih berjurai kat pipi. Mulut masih kena sumbat dengan kapas.

“Dahlah jangan nangis. Orang kan ada,” kata dia sambil kesat air mata aku.

“Alah… patah gigi aje. Nanti tumbuhlah balik gigi tu. Kan Amal juga yang cakap dengan mak, gigi tu memang dah goyang,” kata mak. Lembut.

Aku baring di atas riba mak bila mak dah bersila duduk sebelah aku. Dia belai rambut aku sambil sekali sekala tangan dia kesat air mata aku.

“Buas sangat Amal ni, Midah. Biar dia rasakan,” sampuk Tok Pah sambil bawa kapas baru kat tangan. Sampai hati Tok Pah cakap macam tu. Sob… sob…

“Biasalah tu, Mak Pah. Budak-budak,” jawab mak dengan senyuman cap penyejuk hati.

“Mari Tok Pah tengok ada darah lagi ke tak?”

Aku bangun dan menghadap Tok Pah sambil buka mulut. Tok Pah keluarkan kapas dari mulut aku.

“Hurmmm… dah tak banyak darah pun. Tak payahlah pakai kapas lagi. Biar darah tu berhenti sendiri nanti,” kata Tok Pah sambil bawa kapas yang ada sisa darah ke dapur. Aku reda aje sambil angguk kepala bila Tok Pah cakap macam tu.

“Abang pergi mana tadi?” Mak tanya dia bila aku dah berbaring balik di atas riba mak.

“Abang pergi main layang-layang dengan Fakhrul. Lepas tu, bila abang cari Mai, abang jumpa Mai dekat tempat buaian tu. Lepas tu, abang mainlah dengan Mai.” Kerana Lamaran Itu 11

“Habis tu, macam mana Amal boleh jatuh? Abang tak jaga dia ke tadi?” tanya mak lagi. “Abang pun tak tahu. Tadi Mai lari balik dulu. Tinggalkan abang dengan Iman. Abang pimpinlah Iman balik. Lepas tu bila abang sampai, Mai dah jatuh,” terang dia satu-persatu. Aku hanya pasang telinga.

“Lain kali main tu hati-hati. Amal pun janganlah lari. Tengok, bila dah jatuh siapa yang sakit,” kata mak. Aku hanya diam.

“Ibu tahu ke tidak ni, Amal?” Aku geleng kepala.

“Belum tahu lagi. Ibu keluar dengan ayah pergi pekan,” jawab aku. Mak hanya angguk. “Iman mana?” tanya aku bila tak nampak kelibat Iman.

“Iman ada kat bawah tu. Main masak-masak dengan Dhira,” jawab mak.

“Amal… abang, mari sini. Tok Pah nak bagi hadiah untuk kamu berdua,” panggil Tok Pah.

Aku bangun dari atas riba mak dan bergerak ke arah Tok Pah yang dah duduk bersila kat depan aku. Macam ada sesuatu yang Tok Pah pegang kat tangan dia.

“Ni untuk abang, dan yang ini untuk Amal. Tok Pah buat ni sebab kamu berdua ni lasak sangat. Nanti boleh guna bawa pergi sekolah. Tak adalah bila balik rumah aje comot cucu-cucu Tok Pah ni,” kata Tok Pah sambil hulurkan sapu tangan warna putih.

Satu untuk aku, dan satu untuk dia. Sapu tangan dia ada gambar lebah tengah terbang dan sapu tangan aku pula ada gambar bunga matahari. Kat hujung sapu tangan tu ada singkatan nama masing-masing.

“Terima kasih, Tok Pah. Cantik sapu tangan ni. Abang suka,” kata dia dengan senyuman lebar. Dia memang pandai ambil hati Tok Pah. Sebab tu kadangkadang aku rasa Tok Pah sayang dia lebih daripada aku.

“Sama-sama. Tok Pah buat ni betul-betul sepasang. Kamu satu, Amal satu. Jadi, Tok Pah nak kamu jaga elok-elok. Tok Pah dah siap jahit nama sekali. Senang nak kenal nanti.”

Tok Pah senyum lepas dia cakap macam tu. Aku pun senyum sambil belek sapu tangan aku. Tertera sulaman huruf N.A.H kat hujung sapu tangan dengan bunga matahari. Cantik!

“Terima kasih,” kata aku sambil peluk Tok Pah erat.

Tak lama lepas tu, tiba-tiba aku rasa ada tangan yang peluk Tok Pah juga. Bila kalih, aku tengok dia ada kat sebelah. Tangan dia ada atas tangan aku.

Aku senyum. Rasa bahagia sangat bila dikelilingi dengan orang-orang yang aku sayang.

****

NUR AMAL HUMAIRA!!!Nak pergi kerja ke tak nak?”

Satu suara lemak merdu lagi manis berkrim berkumandang kat gegendang telinga aku pada suatu pagi yang cukup indah ini. Terus terbuntang biji mata. Kelamkabut aku bangun dari katil.

“Ya ibu… haaa… nak… pergi kerja la ni. Ngantuk kuat la, ibu.” Aku duduk di atas katil sambil betulkan rambut.

“Dari kecik sampai besar gajah ni, tak habis-habis dengan ngantuk kuat dia. Dah, bangun! Jangan nak mengada-ada. Karang lambat nak pergi kerja,” arah ibu sebelum keluar dari bilik aku.

Hesy… ini yang aku malas. Apa pasal la hari ni hari Isnin. Hurm… tak apa. Lagi dua minit aku bangun.

Aku duduk tersengguk-sengguk di atas katil sambil pejam mata. Malas rasanya nak pergi mandi. Tiba-tiba…

“Ya Allah… Amal!!!”

Bergegar satu rumah dibuatnya. Aku yang tengah syok tersengguk-sengguk pejam mata konon nak layan mengantuk, terus jatuh katil.

Adoiii… sakit punggung aku. Nasib baik ada karpet kat bawah.

“Budak ni nak pergi kerja ke tak nak?!”

“Nak la, ibu… sakit punggung ni ha…” Aku gosok punggung. Sumpah sakit!

“Padan muka! Liat sangat nak bangun. Gerak sekali tak nak bangun, nak kena gerak banyak kali baru nak bangun. Ingat ibu tak ada kerja lain? Tu haaa… kat dapur tu berlambak lagi kerja nak kena buat.”

Ibu dah mula tazkirah dia. Pagi-pagi buta aku dah kena bebel sebab liat bangun.

“Haaa… apa lagi duk tercegat kat situ? Bangunlah pergi mandi. Basuh muka tu banyak-banyak dengan air.”

Ayat yang sama ibu selalu cakap sejak aku tadika sampailah aku dah bekerja sekarang.

“Saya yang menurut perintah.”

Aku bangkit dengan malas dan terus masuk bilik air. Lagi lama aku kat situ, lagi panas telinga menadah baitbait ‘madah’ ibu. Memang boleh terkoyak telingalah kalau berani duduk kat situ lagi.

“GOOD morning, everyone!”

Iman tayang muka yang cukup manis sampai boleh dapat kencing manis. Lepas tu, dia tarik kerusi dan terus duduk di sebelah aku.

“Waalaikummussalam.”

Saja aku sindir dia. Ini semua dia punya pasal. Kalau dia tak ajak aku tengok TV sampai lewat malam, mesti aku tak liat bangun pagi. Kepala pun dah terasa ting tong sebab bangun terkejut.

Aku selamba kunyah sandwic. Tak tengok pun dia.

Ayah hanya senyum sambil selak surat khabar. Faham sangat dengan perangai tak cukup umur anak-anak dara dia dua orang ni.

“Seronoknya adik pagi-pagi ni. Ada apa-apa ke?” tanya ayah sambil angkat cawan kopi.

Ibu masih di dapur membantu bibik. Aku pandang Iman yang tengah senyum meleret.

“Tak ada apa-apa, ayah. Biasa aje. Kita bila bangun pagi kan ayah, mestilah mulakan hari pertama kita dengan penuh ceria dan gembira. Kena senyum selalu sebab senyum tu kan seindah suria bagaikan cahaya bersinarsinar. Barulah hari yang akan kita lalui lancar aje. Bukan macam orang tu, pagi-pagi dah buat muka macam cekodok penyek.”

Tiba-tiba aku rasa telinga berdesing.

“Hoi orang sebelah! Agak-agak mulut tu ada beli insurans tak?” tanya aku. Geram.

“Hai… terasa ke kak oiii? Ada ke Iman tujukan ayat tu kepada sesiapa secara khas? Rasanya tak ada… Kan ayah.”

Belum sempat aku nak buka mulut, ayah dah menyampuk.

“Hmmm… ayah rasa tak ada la, Iman. Telinga ayah masih dengar dengan jelas lagi ni.”

Uhuk… uhuk… Terus aku terbatuk dengar jawapan tulus lagi ikhlas daripada ayah tercinta. Iman sudah tersenyum-senyum sambil naik ibu jari tangan. Seronoklah tu bila ayah sokong dia.

“Ni apa bising-bising? Sampai ke dapur ibu dengar, Amal, Iman?” tanya ibu sambil tarik kerusi di sebelah ayah.

Aduh… ibu datang dengan lenggang lenggoknya. Ibu datang dengan mulut bisingnya. Hesy… apa yang aku mengarut ni?! Tak baik kutuk ibu sendiri. Sungguhpun ibu mulut bising tapi aku sayang ibu. Ibulah ratu hatiku. Dah boleh jadi model iklan susu ni.

“Tak…”

“Akak ni, ibu… adik tak kata apa-apa pun. Dia aje yang terasa lebih.”

Aku terus bagi jelingan maut kat dia. Pagi-pagi lagi dah uji kesabaran aku.

Ibu hanya geleng kepala tengok kita orang. Fuhhh… selamat ibu tak bising.

“Bibik, mari makan sekali. Tinggalkan dulu kerjanya. Lepas makan baru sambung balik,” panggil ibu.

Tak lama selepas tu, bibik muncul dan duduk di sebelah ibu. Bibik senyum kat aku. Aku balas senyuman dia. Tiba-tiba mata aku bertembung dengan mata ibu. Aku mula rasa tak sedap hati. Hesy… lain macam aje ni.

“Ayah, ibu… Amal nak pergi kerja dulu ya.” Cepat-cepat aku sudahkan suapan yang terakhir dan minum sikit air Milo. Lepas tu, aku terus bangun.

“Awal lagi… kunyah pun tak habis. Tu, air Milo pun tak sampai separuh minum. Duduk dulu, ada benda ibu nak cakap.” Akhirnya terpaksa aku duduk semula bila mata helang ibu dah menikam mata aku.

Aduhai… bala ni. Ya Allah selamatkanlah hamba- Mu ini.

“Anak ibu yang sulung ni bila nak kahwin?’’

Aku dah agak mesti ibu nak cakap pasal hal ni. Walawei… talian hayat tak ada ke?

“Amal?”

“Ya ibu.”

“Ibu tanya ni.”

“Errr… errr…” Tergagap-gagap aku nak jawab. Mulalah tangan, kaki semua nak berpeluh.

“Hmmm… Amal tak ada kawan lelaki ke?”

Bang!

“Sampai bila tak nak kahwin?”

Bang! Bang!

Tembakan ibu tepat kena sasaran. Terus menusuk ke jantung hati.

“Tak teringin nak ada keluarga sendiri ke? Kawan-kawan Amal semua dah kahwin. Kalau ada yang tak kahwin pun sekurang-kurangnya dah bertunang. Amal ni bila lagi? Takkan nak hidup solo sampai ke tua? Ibu dengan ayah ni bukan nak menongkat langit. Sampai masanya nanti, kami akan tinggalkan dunia ni juga.”

Aku hanya mampu diam. Tak tahu nak cakap apa lagi bila ibu dah masuk bab jodoh. Bila tengok aku diam, ibu sambung lagi.

“Amal, sekurang-kurangya sebelum ibu dengan ayah tutup mata, ibu nak tengok anak-anak ibu kahwin. Sakit pening Amal ada orang nak ambil tahu. Iman ni ibu taklah risau sangat sebab dah confirm dia akan kahwin. Ibu dah tahu siapa yang nak jaga dia.”

Aku diam lagi. Bila soal jodoh ni dibangkitkan, hati aku mesti rasa pedih. Siapa yang tak teringin nak buat rumah ada tangga. Aku dah puas berdoa semoga aku akan bertemu dengan jodoh aku, tapi nak buat macam mana kalau putera idaman yang aku tunggu tu tak muncul lagi.

“Amal! Dengar tak ibu cakap ni?” Terkejut aku dengar suara ibu dah naik. Mesti ibu dah naik angin tengok aku termenung.

“Amal dengar.” Aku sengih.

“Jadi bila Amal nak kenalkan calon suami Amal kat ibu?” Aku mula garu kepala.

“Nanti Amal dah jumpa, Amal kenalkan kat ibu.” Aku sengih lagi. Ibu mula pandang aku semacam.

“Ke Amal masih menunggu seseorang?” tebak ibu.

Aku tersentak. Suasana tiba-tiba jadi senyap sunyi. Semua mata pandang ke arah aku. Cepat-cepat aku geleng.

“Eh… mana ada! Amal sedar siapa Amal.” Aku tunduk pandang jari yang tengah main dengan hujung alas meja.

“Um… eloklah tu. Kalau macam tu, senang-senang ibu carikan untuk Amal la. Tak gitu, bang.” Selamba aje ibu cakap sambil capai cawan.

Uhuk… uhuk…

“What?!”

Terbatuk-batuk aku dibuatnya. Adik aku kat sebelah dah bantai gelak. Ayah pula yang dari tadi diam turut gelakkan aku. Hancus betul! Bukan nak tolong aku yang tersedak dan terdesak nak melepaskan diri daripada Kerana Lamaran Itu 19 idea ibu yang cukup bernas tu.

“Tak naklah, ibu. Biar Amal cari sendirilah. Ibu duduk rehat aje kat rumah dengan ayah. Soal jodoh biarlah masa yang menentukan. Ibu dengan ayah doakan ajelah yang terbaik untuk Amal,” kata aku untuk menutup topik yang makin lama makin buat aku panas punggung.

“Yalah. Itu ajelah modal Amal bila topik ni keluar. Dari dulu sampailah sekarang. Masa sambung degree kata muda lagi, relaks dulu. Tak puas nak enjoy. Bila habis degree sambung master, Amal kata sambil buat master Amal cari. Tapi sampai ke sudah seorang pun tak lekat-lekat lagi. Jangan Amal kata nak tunggu PhD pula sudah.”

Ibu dah mula suarakan perasaan tak puas hati. Mesti ibu dah jemu nak dengar alasan anak dia ni.

“Sudah-sudahlah tu, Ijan. Tak payah nak bising-bising. Tahulah Amal tu nanti. Kesian kat dia nak pergi kerja awak tahan. Karang lambat pula dia nak sampai hospital,” sampuk ayah.

Akhirnya, ada juga orang yang sudi tolong aku. Terima kasih tak terhingga kat ayah. Lepas ni bolehlah belanja ayah. Mana tahu esok-esok ayah boleh tolong aku lagi saat kecemasan macam ni.

Ibu terus diam. Aku pula cepat-cepat bangun kemudian capai beg tangan dengan air mineral yang tersedia kat atas meja.

“Amal pergi dulu, ayah, ibu.” Aku salam dan cium tangan ibu dengan ayah.

Adik aku hanya jadi pemerhati tak bergaji. Maklumlah budak cuti sekolah, dia pun cuti.

Bila nampak aku dah bangun nak tinggalkan ruang makan, ibu pun bangun juga dan menghantar aku sampai ke depan pintu.

“Hati-hati,” pesan ibu semasa aku sedang menyarung kasut.

Aku senyum dan angguk. Lepas tu, aku cium pipi ibu dan ibu pun balas. Itulah ibu aku. Walaupun kuat berleter tapi aku tahu dia sayang anak-anak dia. Sebab itulah aku pun sayang ibu sangat-sangat.

“Amal mungkin balik lambat hari ni. Ibu tak payah tunggu ya. Amal ada kunci. Amal pergi dulu. Assalamualaikum.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79144/kerana-lamaran-itu