PROLOG
ZAHRA terasa kepalanya begitu berat sekali. Matanya seolah-olah tidak boleh dibuka lagi. Tangannya pula memicit kepala. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Kelihatan pintu bilik mandi yang terbuka, namun tiada siapa di dalamnya.
Zahra mengalihkan tubuhnya menelentang, tetapi terasa seperti ada tubuh lain di sebelahnya. Pantas dia berganjak sedikit dan berkalih memandang orang di sebelahnya.
Ya Allah! Hatinya bagai ingin luruh sebaik melihat Fitri lena di sebelahnya. Dadanya berdebar-debar. Kain gebar ditarik sebaik menyedari tiada langsung pakaian yang tersarung di tubuhnya dan hanya selimut menutupi tubuhnya dan Fitri.
“Apa semua ni, bang?!” Zahra menolak tubuh Fitri yang tegap tidak berbaju. Berkali-kali Zahra menampar lengan Fitri yang terkejut dengan reaksinya.
Fitri terkejut.
“Zahra…” panggilnya lembut dan cuba menenangkan gadis itu. Hanya itulah sahaja cara untuk dia dapat mengikat Zahra daripada terus berkahwin dengan Riyad. Dia tidak sanggup melihat gadis yang dicintainya berkahwin dengan lelaki itu. Seharusnya dia yang berkahwin dengan Zahra dan bukan Riyad.
“Arghhh!” Zahra menjerit sambil menangis.
“Zahra, abang akan bertanggungjawab dengan apa yang abang dah buat!” ucap Fitri lembut. Dia menarik bathrobe yang tersadai di kaki katil lalu membalut tubuhnya. Segera Fitri menghampiri Zahra yang sedang menangis.
“Kenapa abang sanggup buat Zahra macam ni? Kenapa? Apa salah Zahra?!” pekik Zahra seperti orang histeria.
“Zahra!” tengking Fitri yang sudah pun duduk di birai katil sambil menggoncang bahu gadis itu.
Zahra terpegun. Wajah Fitri dipandang dengan rasa tidak menentu. Terasa hilang nyawanya ketika itu. Apa yang harus diberitahu kepada Encik Zainal, Puan Rashidah dan Riyad nanti?
“Kenapa abang sanggup buat Zahra macam ni?” soalnya sambil menangis.
“Kenapa?!”
“Zahra…” Perlahan-lahan Fitri membawa Zahra ke dalam pelukannya. Semakin lama semakin erat.
“Jangan bimbang, abang akan bertanggungjawab,” pujuk Fitri lembut.
Zahra kembali menangis di dada bidang Fitri. Tidak tahu apa yang patut difikirkan lagi.
****
“BOLEH tak you dengar dulu apa yang I nak cakap ni, Riyad!” rayu Zahra.
“I nak dengar apa lagi, hah? Semua dah jelas, kan?!” tengking Riyad dalam talian.
Zahra terkejut.
“Bukan salah I. I tak sedar langsung. Sedar-sedar dah pagi.”
“Eh, dengar sini… Perkara macam tu tak akan berlaku tanpa rela, faham tak? Bertepuk sebelah tangan tak tak akan jadi.” Lantang suara Riyad kedengaran dalam telefon bimbitnya.
Zahra memandang Karina yang hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Mungkin sepupunya itu dapat mendengar kata-kata Riyad, namun begitu Zahra cuba untuk memujuk Riyad agar tidak menuduhnya secara melulu.
“I tak pernah ada apa-apa dengan Fitri, Riyad.” Sekali lagi Zahra cuba memujuk dan merayu kepada lelaki itu agar percaya dengan kata-katanya.
“Habis tu? Dua hari lepas tu apa?!” herdik Riyad geram.
“You tak percaya kan I ke?”
“Nak percaya kan you macam mana… Kalau terang lagi bersuluh yang you dah tidur dengan Fitri!”
Terpanar Zahra mendengarnya. Meskipun benar, tetapi bukan kehendak dirinya. Segera dikesat air matanya. Terasa hubungannya dengan Riyad sudah berada di penghujung.
“Maafkan I.”
“Senang you cakap maaf, kan?”
“Habis you nak suruh I buat apa?” tanya Zahra.
Zahra mati kutu dengan sikap Riyad yang tiada lembutnya lagi. Dia faham lelaki itu amat marah dengan apa yang berlaku. Bagaimana dengan dirinya? Dirinya yang sudah hilang harga diri. Seharusnya dia lebih marah dengan apa yang berlaku.
“You rasa, apa yang patut I buat?” tanya Riyad sinis.
Zahra senyap. Dia duduk di atas sofa di dalam bilik. Buntu kepala memikirkannya. Sana sini orang memarahinya. Sebentar tadi Zahra dileteri lagi oleh Encik Zainal dan kini Riyad pula. Seolah-olah dia yang bersalah. Padahal Fitri yang patut dipersalahkan.
“I tak tahu,” keluh Zahra.
“Kita putus!”
Terpanar Zahra mendengarnya.
“Tapi kita dah nak nikah, Riyad.” Dadanya mula berdebar-debar apabila mendengar kata putus daripada Riyad tadi. Air matanya kembali membasahi pipi.
“Eh, tolonglah… Lelaki mana yang nak bekas-bekas orang lain, hah!” herdik Riyad.
Zahra senyap dan tidak tahu apa yang patut dijawabnya, namun terasa dirinya dihina oleh Riyad. Segala yang berlaku bukan kehendaknya.
“Tolong jangan buat macam ni. Jangan malukan orang tua I,” rayu Zahra dalam sedunya.
Karina menghampiri sepupunya dan memegang erat bahu Zahra. Karina kasihan mendengar rayuan Zahra. Nampaknya Riyad langsung tidak mahu bertolak-ansur. Mungkin inilah peluangnya untuk memutuskan hubungannya dan Zahra.
“Eh, you dah malukan mereka terlebih dahulu, faham tak!” Sekali lagi lantang suara Riyad kedengaran di corong telefon bimbit Zahra.
“Riyad!”
“Mulai hari ni jangan call I lagi. I akan beritahu orang tua I untuk putuskan pertunangan kita!” Riyad terus memutuskan taliannya.
Zahra terus menangis.
“Dahlah… Sabar, ya,” pujuk Karina memeluk tubuh Zahra. Dibiarkan sepupunya itu menangis di bahunya.
ENCIK ZAINAL memandang Zahra dan Fitri yang duduk di atas sofa. Pandangan Encik Zainal seperti hendak ditelan sahaja mereka berdua itu di mana jarak kedudukan antara mereka agak jauh. Sebentar tadi kedua orang tua Riyad datang untuk memutuskan pertunangan Riyad dan Zahra.
Ikutkan hati mahu sahaja Encik Zainal memarang kedua-duanya. Terasa tebal kulit mukanya kerana berdepan dengan lelaki dan wanita yang kurang sedikit budi pekerti mereka itu. Entah mengapa hatinya berkata, elok juga Zahra putus. Esok lusa digulai pula anak aku.
Kalau tidak disebabkan Zahra yang begitu beria-ia hendakkan Riyad, memang dah lama dikahwinkan anaknya itu dengan mana-mana anak temannya yang jauh lebih baik dan lebih bagus budi pekerti daripada Si Riyad.
Encik Zainal menarik nafasnya dalam-dalam. Dia bangun dan melangkah ke belakang wing chair kegemarannya. Encik Zainal tidak boleh duduk apabila hendak melepaskan sesuatu perkara. Tambahan pula dengan situasi yang mencabarnya sebagai seorang ayah. Tetapi perkara sudah pun terjadi dan Fitri sanggup bertanggungjawab.
Encik Zainal memandang isterinya, Puan Rashidah yang duduk bersebelahan Zahra yang masih berair matanya. Entah, hatinya mengeluh sendiri. Tidak tahu simpatinya untuk siapa.
“Disebabkan Riyad sudah pun ambil keputusan nak putuskan pertunangan dan membatalkan pernikahan minggu depan. Dan Fitri pun sanggup hendak bertanggungjawab…” Encik Zainal tidak tahu bagaimana hendak meneruskan kata-katanya.
“Zahra tak mahu kahwin dengan Abang Fitri!” bantah Zahra.
“Habis dengan siapa?!” Lantang suara Encik Zainal bertanya. Tajam matanya merenung anak gadis kesayangannya itu. Hancur hatinya melihat anaknya diperlakukan sebegitu.
Zahra senyap sambil mengesat air matanya.
“Zahra dengar tak apa yang emak Riyad cakapkan tadi?!” tanya Encik Zainal agak keras.
Encik Zainal tidak dapat menerima kata-kata kesat daripada orang tua Riyad. Ia mengumpamakan Zahra seperti bangkai. Ya Allah, rasa runtuh hatinya. Terasa anak itu dihina serendah-rendahnya sebagai manusia. Seolah-olah tiada kemaafan untuk perkara itu.
“Ini keputusan papa. Dan Zahra kena ikut!” Keras suara Encik Zainal. Matanya beralih kepada Fitri yang tunduk bermain dengan jarinya.
“Papa!”
“Zahra…” pujuk Puan Rashidah sambil mengusap lembut tangan Zahra.
“Zahra tak mahu kahwin dengan Abang Fitri!” Zahra bangun tanda membantah keputusan Encik Zainal.
Fitri memandang Zahra kemudian beralih kepada Encik Zainal. Rasanya lebih elok kalau dia senyap dahulu dan berkata apabila perlu. Fitri yang bersalah dan kini kedua beranak itu berbalah dengan keputusan yang telah dipersetujuinya bersama Encik Zainal walaupun lelaki itu kelihatan berat hendak menerima dirinya.
“Habis dengan siapa? Siapa?!” tanya Encik Zainal lantang.
Zahra senyap.
“Dengan keadaan diri Zahra sekarang, siapa yang nak kan Zahra?!” sekali lagi Encik Zainal menyoal.
“Bang!” Lantang suara Puan Rashidah membangkang kata-kata suaminya yang mungkin menggores hati anak gadis mereka.
Berjurai air mata Zahra sebaik mendengar kata-kata Encik Zainal.
“Bukan kehendak Zahra semua tu,” balas Zahra sambil mengesat air mata.
Encik Zainal senyap. Memandang Fitri yang duduk tidak berkutik dari tadi.
“Keputusan papa muktamad. Minggu depan Sabtu, Zahra dan Fitri kena bernikah,” putus Encik Zainal.
Zahra memandang Fitri yang langsung tidak bersuara.
“Zahra benci dengan abang, tau tak! Benci, benci sampai ke akhirat!” Zahra melangkah laju menuju ke tangga dan hilang ke atas.
Encik Zainal hanya memandang Zahra yang makin menghilang dari pandangannya. Dia menggeleng. Terasa sesak fikirannya dengan kisah Zahra, Fitri dan Riyad. Begitu pun, Riyad sudah tiada dalam kamus hidupnya kini.
“Uncle…”
Encik Zainal mengangkat tangan kanannya sebagai tidak mahu mendengar apa-apa daripada sesiapa lagi. Cukuplah dengan kisah tiga empat hari itu. Keputusan sudah dibuat dan terpulang kepada Zahra bagaimana hendak menerima Fitri kelak. Dan pandai-pandailah Fitri bagaimana hendak memujuk Zahra nanti. Encik Zainal sudah tidak mampu untuk berfikir lagi.
Encik Zainal melangkah menuju ke bilik kerjanya. Dia mahu melepaskan sesak dalam fikirannya.
“Fitri…” panggil Puan Rashidah lembut sambil menghampiri Fitri yang masih tegak berdiri di sofa yang diduduki tadi.
Fitri menoleh.
“Ya, aunty,” sahutnya.
“Biarlah uncle berehat dan hatinya sejuk. Esok lusa barulah bercakap dengan dia. Dia pun penat dengan perkara ni,” nasihat Puan Rashidah.
Fitri tunduk. “Maafkan saya, aunty.”
“Perkara dah nak jadi,” keluh Puan Rashidah perlahan.
Fitri mengangguk. Rasa bersalah semakin menikam hatinya. Ya, memang dia bersalah dengan apa yang berlaku.
“Saya balik dulu.” Fitri meminta diri.
“Yalah.”
Fitri mula melangkah meninggalkan ruang tamu yang dirasakan begitu suram sekali. Kata-kata Zahra tadi terngiang-ngiang di telinganya. Adakah gadis itu akan terus membencinya sehingga ke akhirat?
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79843/kerana-aku-suamimu