SUDAH lama Salina menopang dagu, melayani fikiran di atas pangkin. Semilir Laut China Selatan menyapa lembut wajah bersihnya. Jari-jemari Salina menyeka beberapa jurai anak rambut yang galak bermain di pinggir dahi. Sesekali langsir biru lembut di birai jendela menguak ganas, ditolak Angin Monsun Timur Laut. Salina senang dengan suasana damai sebegini. Fikirannya tenang melihat laut nan biru dan bot kecil teroleng-oleng di permukaan air. Barangkali salah satu bot yang teroleng-oleng di dalam air itu adalah bot ayahnya. Salina kurang pasti.
Di ketika ini, Salina merasakan rumah kecil ini begitu kosong. Sunyi sepi. Walaupun berkumandang suara Seelan Paul dan Khairil dari stesen radio ERA, masih belum dapat melayani kesunyian hati Salina. Waktu-waktu begini, Angah dan Ripin agaknya tengah bermandikan peluh. Mengayuh basikal untuk pulang ke rumah. Yang pastinya bila sampai, mereka akan terlentang di lantai rumah kepenatan. Beg sekolah pun main campak merata sahaja. Tak senonoh!
TERINGAT zaman persekolahan dahulu. Zaman kanak-kanak ribena… sentiasa ceria. Rasanya baru semalam, Salina meninggalkan alam persekolahan. Walhal sebenarnya sudah hampir tiga tahun. Usianya sendiri sudah hampir menjangkau 22 tahun. Kalau kahwin, mungkin sudah ada empat atau lima orang anak barangkali. Salina tersenyum sendirian. Eh… kahwin? Dengan siapa?
“Mestilah dengan Prince Charming.” Salina tergelak.
“Elellelellalala… ingat aku tak tau siapa putera kau tu,” balas Normah, turut sama tergelak. “Alah… Zul, kan?”
Dari dahulu lagi Normah cukup gemar melagakan Salina dengan sepupunya, Zulkifli. Kononnya jejaka yang paling kacak sekali di sekolah mereka masa itu. Walhal antara Salina dan Zulkifli bukannya ada apa-apa. Setakat kawan biasa sahaja.
“Isyyy… ada ke? Kau ni tak habis-habis nak promote sepupu. Tak ada orang lain ke? Oooii… cek kak… ingat sepupu kau aje yang laku kat sini?” sindir Salina.
Salina cuba menutup getaran di hati. Bila nama Zulkifli disebut, hatinya berbunga-bunga, bertambah indah. Tapi kena pandai-pandai coverlah. Kecil-kecil mana boleh main cinta. Nanti emak bising. Pot-pet 24 jam.
Normah tergelak mendengar kata-kata Salina. Lesung pipit di pipi kanan Salina terserlah.
“Sungguhlah Ina, aku rasa memang Zul ada hati kat kau. Aku kenal sangat dengan abang sepupuku tu.”
Dan kenangan-kenangan lama mula membuai indah, datang bersama-sama hembusan semilir. Sekali-sekala melayan perasaan, mengundang hati kecilnya menjadi sebak. Pilu dan gembira silih berganti.
Hai… kalaulah mak masih ada ketika ini, tentu mulut aku akan berpot-pet sakan dan mak pasti akan melayaniku. Memberi kata-kata nasihat dan segala macam petua. Ahh… mak! Hatinya berdetik.
“Kau tu dah besar panjang. Pandai-pandailah jaga diri kau. Jangan sampai jadi buah mulut orang. Kita ni hidup bermasyarakat. Salah sikit… mulalah jadi perhatian orang,” nasihat emaknya Saodah.
Saodah cukup bimbang apabila mendengar cerita yang anak gadisnya berkawan rapat dengan Zulkifli, anak teruna ketua kampung.
“Berkawan tu jaga elok-elok,” pesannya lagi.
Saodah tidak mahu namanya dikait dan diumpat. Mak Bedah mahupun Kak Timah suka mencela. Nanti dikatakan yang Saodah hendak mengendeng anak ketua kampung. Hendak berbesan. Sedangkan perbezaan keluarganya dan ketua kampung cukup jauh. Dia sedar itu semua. Kalau mulut tempayan bolehlah ditutup. Ini mulut orang kampung, pasti susah hendak tutup.
“Alah… mak ni… jangan suka dengar cakap orang.” Salina memeluk lengan emaknya dengan penuh mesra.
“Ina bukannya ada apa-apa dengan Zul tu, mak. Kawan aje. Lagipun dia tu senior Ina di sekolah. Hah… sepupu Normah pulak tu. Mak janganlah ingat yang bukan-bukan. Ina nak tumpu pada pelajaran dulu.”
TIGA tahun sudah berlalu. Namun kenangan itu seolah-olah baru semalam berlaku. Masih teringat gelak ketawa Normah yang begitu galak mengusiknya. Senyuman Zulkifli yang menggetar jiwa. Nasihat emak yang penuh hikmah. Sekarang semuanya sudah berlalu. Selepas tamat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Normah terus mengambil keputusan bekerja di Kuala Lumpur. Sekarang ni, jadi model terkenal. Kalau tidak, mana mungkin wajahnya sering menghiasi dada-dada iklan. Zulkifli pula di semester akhir Jurusan Kejuruteraan Awam di UTM, Skudai, Johor.
Emak Salina yang sangat dirindui, Saodah telah menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Salina tiga tahun yang lalu. Ketika itu, Angah dan Ripin masih mentah dan dia sendiri belum bersedia untuk memikul tanggungjawab keluarga. Tetapi dia terpaksa. Dirasakan satu bebanan yang amat berat menimpa keluarganya. Namun demi adik-adiknya, Salina rela berkorban.
“Oiitt… kakak mengelamun ya! Masak apa hari ni? Laparlah kak,” sergah Angah.
Angah baru sahaja sampai termengah-mengah, lantas menyorong basikal dan diletakkan di bawah pokok kelapa.
Angah masih lagi menyeringai. “Hah… ingat Abang Zul ya?”
Merona muka Salina. Hai… pantang sebut namanya! Hati mula berdangdut suka. Sabar… kontrol! Jerit hati kecilnya. Dikerlingnya Angah sekilas, yang terjelepuk kepenatan. Tidak berminat Salina hendak melayani kerenah adiknya itu. Makin dilayan makin galak diusiknya. Sudahnya, Salina mendiamkan diri sahaja.
“Eleh… Kak Ina ni… mengaku ajelah. Ingat Angah tak tahu! Malu-malu konon.”
Angah tersengih lagi. Tudung sekolah yang dipakainya terus dilucut. Rimas dan panas!
“Arrgghh… Kak Ina ni tak rock laa… Bolayan pulak! Kang tak bagi surat baru tahu,” ugut Angah.
“Surat?” Bulat mata Salina. “Mana? Mana? Bak sini.”
“Hukaloh… baru nak respon. Asal sebut surat aje… suka hatilah tu. Nah!”
Dicampaknya surat yang diambil dari kedai runcit sewaktu pulang dari sekolah tadi. Cepat-cepat dia berlari, masuk ke dalam rumah. Kalau tidak, mahu sahaja tangan Salina hinggap di pahanya. Sungguh bisa cubitan kakaknya itu.
Salina mengukir senyuman. Surat yang berada di tangan direnung. Setem bercop negeri Johor. Sudah tahulah Salina siapa gerangannya. Dan senyuman Salina semakin lebar.
****
“TAHNIAH ZUL!” ucap Salina kepada Zulkifli yang berjaya melanjutkan pelajaran di UTM, Skudai, Johor dalam Jurusan Kejuruteraan Awam.
Selamba sahaja perkataan itu keluar dari mulut Salina. Seolah-olah tidak ada perasaan langsung kepada Zulkifli. Walhal dalam hatinya, bagaikan disiat-siat. Pedih! Sedih! Tapi apabila melihatkan wajah Zulkifli yang selamba itu, macam tidak ada perasaan, hati Salina mula membeku. Kaku seperti air batu.
Zulkifli hanya tersenyum. Ahhh… dia senyum lagi! Nak goda akulah tu? Piiiraaahh! Setakat senyum macam tu, belum tentu aku menangis siang malam rindukan kau tau? Bisik hati Ina.
“Terima kasih. Zul sendiri pun tak sangka Zul diterima masuk ke sana. Semuanya kuasa ALLAH.” Dia menjawab, merendahkan diri. “Bila Zul sampai sana nanti dan semuanya dah settle, insya-ALLAH Zul akan kirim surat, okey?”
Seketika bola matanya mengalihkan pandangan kepada Angah dan Ripin yang sedang bertekak di bawah pokok kelapa. Nyaring suara Angah memarahi adik lelaki bongsunya itu.
Salina membetulkan tudungnya yang nampak beberapa jurai anak rambut. Sukar untuk dia menenangkan debaran di hati. Berdenyut kencang.
Alah… pandanglah muka aku ni oooiitt! Kang kempunan bila berjauhan. Aku kat Pahang… kat kampung pulak tu. Terpencil. Zul pulak kat Johor, negeri serba moden. Membangun dengan segala macam keindahan kota. Mana nak sama dengan perkampungan nelayan. Kalau macam ni, hilanglah sumber inspirasi aku selama ni, detik hatinya.
“Alaaah… cakap aje. Nak tulis surat konon. Lama-lama bila dah sibuk lupalah kita kat sini,” ujar Salina. Sekilas dia mengerling ke arah emaknya yang tekun menyapu dedaun yang berguguran di halaman.
Sekali-sekala, Sulaiman, ayah Salina turut berdehem-dehem, sambil tangannya ligat membetulkan pukat. Salina cuak. Ayah kurang senangkah perhubungan aku dengan Zul? Mana tahu, tanda orang tua tak suka dengan perlakuan anak remaja. Barangkali difikirnya melanggar batas-batas yang sepatutnya. Ah.. orang tua! Bukannya nak berterus-terang. Lebih banyak berkias dalam perlakuan. Bisik hatinya lagi.
“Susahlah Zul nak cakap. Tapi, Zul bukannya orang yang suka memungkiri janji. Kita kawan pun dah lama. Bukan sehari dua.” Zulkifli menelan air liurnya. Kemudian berkata lagi.
“Ina nak suruh Zul bersumpah! Junjung Quran?”
“Ina tak kata gitu?”
Buat apalah nak junjung Quran tu. Bukannya aku tak percaya. Junjung aku ni haa… lagi best! Arggh… gatalnya mulut aku ni! Getus hatinya.
“Ina study sungguh-sungguh tau. Tahun depan dah nak SPM.”
Salina mengangguk.
“Kalau Ina nak sambung Form 6 macam Zul dulu kemudian baru apply U pun tak apa. Tapi kalau pergi U selepas SPM lagi bagus. Cepat sikit kita jumpa kat sana. Bolehlah Zul sambut. Tapi syaratnya kena apply UTM ajelah.”
Salina mengukir senyuman. Panjangnya angan-angan Zulkifli.
Nak sambut aku konon! Sambut aku sebagai…? Sahabat? Kekasih? Junior? Teman sekampung? Silap-silap hari bulan Zul sudah pun mempunyai kekasih ketika itu. Hah… siapa yang merana? Aku jugak! Buat bengkak hati aje kalau aku tengok. Baik aku study kat U lain. Tak pun masuk Form 6. Dekat pun dekat dengan rumah. Boleh jenguk mak, ayah, adik-adik. Hatinya terus berkata-kata.
Ringan sahaja mulut Salina hendak bertanya. Hendak tanya tentang status perhubungan mereka. Kawan ke? Kekasih ke? Tapi dia malu. Bukan stailnya perigi mencari timba. Silap-silap hari bulan persahabatan baik mereka yang terjalin boleh terputus. Tidak berani Salina hendak menanggung risiko.
Biarlah takdir sahaja yang menentukan. Tidak tergamak dia hendak merosakkan persahabatan yang dibina. Lagipun Salina perempuan. Tidak manis hendak bertanya tentang hal demikian. Zulkifli sendiri tidak pernah berkata apa-apa. Takkan dia pulak hendak lebih-lebih!
“Ina tak dapat nak hantar Zul ke stesen esok,” ujar Salina perlahan, menyembunyikan riak mukanya yang jelas nampak kecewa.
“Itu tak penting Ina. Sekarang ni pun, Zul dah jumpa Ina. Doa Ina dah memadai. Dah cukup untuk mengiringi pemergian Zul.”
Zulkifli kelihatan cukup tenang. Tidak ada tanda-tanda sedih di wajah. Seketika, dia melirik ke pergelangan tangan, mengerling pada jam tangannya.
“Okeylah Ina, Zul kena balik dah ni. Ada lagi barang-barang yang tak habis pack. So, ingat pesan Zul. Study elok-elok tau!”
Salina mengangguk.
“Jaga diri…”
Zulkifli hanya tersenyum.
Waduh… bisa gugur jantung! Salina terpana seketika, sebelum bibirnya turut mengukir senyuman. Matanya menghantar gerak langkah Zulkifli yang menuju ke arah kedua orang tuanya, bersalam dengan Saodah dan Sulaiman. Berhemahlah katakan. Betul-betul mewarisi keperibadian ayahnya.
“Balik dulu pakcik, makcik!”
“Baik-baiklah kat tempat orang tu.” Sulaiman memberi nasihat. “Pakcik doakan kau selamat tamatkan pengajian kat sana.”
“Yalah, pakcik. Terima kasih.”
“Jangan lupa kami di sini,” ujar emak Salina pula sambil melemparkan senyuman, mengingatkan Zulkifli anak muda yang sudah lama dikenalinya itu.
Zulkifli sekadar mengangguk. Sempat lagi dia membalas kerlingan Salina dan melambai-lambaikan tangannya pada Angah dan Ripin sebelum kelibatnya hilang. Tiba-tiba hati Salina dirundung sayu.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81426/Kau-Yang-Satu