[SNEAK PEEK] KAU YANG KU NANTI

Kau Yang Kunanti oleh Ida Farisya

 

SUDAH dua minggu peristiwa di tempat letak kereta itu berlalu. Namun, ia tidak menghalang Amirah untuk terus mengingatinya. Puas dihalau memori itu daripada singgah ke kotak fikirannya, tetapi ia datang menjengah jua. Ia seakan besi magnetik yang hanya mahu melekat di sudut fikirannya. Masih jelas dalam ingatan renungan Hakim yang mengasyikkan dan pelukan hangatnya. Tidak dilupakan juga riak penuh kejutan dan tidak percaya yang jelas sekali terukir di wajah itu.

Amirah akui, walau sekeras mana pun dia bersuara menyatakan kelukaan, rasa rindu itu tetap hadir di celah-celah kepedihan yang sekian lama bermukim dalam hati. Hakim tidak banyak berubah. Masih kacak dan tampan seperti dahulu. Cuma tubuhnya agak susut sedikit. Mungkinkah suaminya itu merindui dirinya?

Tanpa sedar, air matanya menitis di pipi. Meratapi nasib dirinya kini. Tapi untuk apa? Dia yang memilih jalan hidupnya begini. Alangkah bagus jika masa boleh diundur. Dia mahu pulang kembali ke zaman belajar mereka di Universiti Malaya agar saat cintanya menyulami hati Hakim dapat dielakkan. Jadi tidak perlulah dia merasa peritnya hidup saat ini.

Tidak semena-mena Amirah terkenangkan saat di mana Hakim melamarnya. Saat di mana Hakim berjanji tidak akan mensia-siakannya. Betapa indahnya waktu itu.

“KAHWIN DENGAN Hakim?” Amirah mengulangi pertanyaan Hakim yang baru sahaja menyapa telinganya. Mata yang sedikit sepet dibulatkan. Telinga yang sedari tadi hanya difokuskan kepada gelagat pasangan yang berada di sebelah mereka terus dipusatkan kepada Hakim. Lelaki itu sedang merenungnya dengan pandangan penuh mengharap.

Amirah seakan-akan tidak percaya. Berkali-kali dia bertanya kepada diri sendiri. Dia salah dengar atau apa? Namun anggukan lelaki itu membuatkan jantung Amirah berdegup kencang. Ternyata dia tidak salah dengar. Jadi inikah perkara penting yang hendak dibicarakan lelaki itu sehingga membawanya ke restoran berorientasikan selera Itali ini?

“Hakim bergurau, kan?” tanya Amirah cuba mencari kepastian di sebalik renungan itu.

“Tak, Hakim serius.” Jelas Hakim berserta gelengan yang menunjukkan dia tidak main-main. Menandakan apa yang lahir daripada bibirnya adalah suara hati yang penuh keikhlasan.

“Tapi kenapa tiba-tiba?” Amirah sebenarnya keliru. Selama mereka berteman, tidak pernah mereka berdua berbincang tentang perasaan. Mereka hanya sekadar teman rapat yang saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, perubahan Hakim semenjak mereka mula memasuki alam pekerjaan sedikit ketara. Sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan iaitu bergayut berjam-jam di telefon selepas jam 11 malam. Tapi itulah yang terjadi selepas sebulan lelaki itu mula bekerja sebagai jurutera di syarikat milik bapanya sendiri. Walaupun pelik dengan perubahan itu, tetapi rasa bahagia tidak dapat diusir pergi. Dia senang dengan perubahan perhubungan mereka itu.

“Bukan tiba-tiba. Dah lama sebenarnya Hakim fikirkan tentang hal ni. Tapi baru hari ini Hakim berani bersuara,” jelas Hakim lagi.

“Tapi… kita kan cuma teman rapat?”

Kelihatan lelaki itu menganggukkan kepala. Tanda mempersetujui kata-kata wanita di hadapannya ini.

“Memang kita teman rapat. Tapi tak salah kalau kita berkahwin. Kita halal untuk bernikah,” ujar Hakim dalam nada bergurau. Jelas senyuman mengusik terukir di wajahnya.

“Seriuslah Hakim. Janganlah main-main,” tegur Amirah. Dia tidak suka Hakim bercanda pada waktu kritikal begini. Hakim sedang melamarnya. Dan sekarang dia dalam keadaan yang tidak percaya. Bagaimana seorang teman melamar temannya sendiri? Sepatutnya Hakim cuba meyakinkannya saat ini. Bukan dengan bercanda begitu.

“Yes, I am. I’m serious about this. Hakim tak main-main. Hakim memang nak Mira jadi isteri Hakim. Bukan lagi sekadar teman biasa. Tapi teman yang akan menemani Hakim hingga ke akhir hayat. Yang boleh menyayangi Hakim dan yang bisa Hakim cinta.”

“Cinta?”

Perlahan-lahan Hakim menganggukkan kepala. “Yes, cinta. Hakim cintakan Mira.”

Terlopong Amirah mendengarnya. Cinta? Hakim mencintainya? Tapi sejak bila? Bukankah lelaki itu mencintai Sofiana sehingga hampir gagal dalam peperiksaan akibat ditinggalkan wanita itu? Dan Amirah yakin, cinta untuk Sofiana masih ada dalam hati Hakim. Tapi bagaimana pula hari ini Hakim mengatakan cinta kepadanya?

“Kenapa? Terkejut?”

Sudah tentu Amirah terkejut dengan pengakuan itu. Siapa yang tidak terperanjat apabila seseorang yang telah dianggap teman baik meluahkan perasaan. Kalau orang lain, mungkin dia boleh percaya. Tapi ini Hakim! Lelaki yang begitu setia pada cintanya walaupun telah dikhianati.

“Hakim kan terlalu cintakan Sofiana. Macam mana tiba-tiba Hakim cintakan Mira pula? Tak masuk akallah Hakim. Kalau Hakim nak bergurau pun, ini bukan masa yang sesuai.”

Sekali lagi lelaki itu menggelengkan kepala. Jemari halus Amirah di atas meja dicapai lalu diusap mesra. Senyuman manis dihulurkan buat Amirah. Gadis itu semakin keliru. Matanya memandang jemarinya yang digenggam oleh Hakim. Satu lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh lelaki itu sebelum ini. Amirah pula seakan terkaku dengan usapan itu. Lalu, bertindak membiarkannya saja.

“Hakim dah katakan yang Hakim bukan bergurau. Hakim serius. Mungkin dulu Hakim cintakan Sofiana separuh mati. Tapi sekarang tak lagi. Dia dah tinggalkan Hakim. Kisah kami dah jadi sejarah. Bukankah Mira juga yang nasihatkan Hakim supaya berpijak di bumi yang nyata dan jangan ikutkan perasaan kecewa? Hakim ikut nasihat Mira. Hakim sedar masih ada cinta yang menanti Hakim. Putus cinta tak bermaksud the end of the world, kan? Hakim jumpa cinta tu Mira. Cinta tu ada depan Hakim sekarang,” terang Hakim panjang lebar. Matanya terus-terusan merenung sepasang mata hazel milik Amirah, membuatkan gadis itu malu lalu menunduk dan membuang pandang ke arah tautan jemari mereka.

Buat sementara waktu Hakim dan Amirah hanya mendiamkan diri. Amirah sibuk memikirkan lamaran Hakim. Manakala Hakim pula, hanya membuang pandang ke arah gadis itu. Mungkin memberikan sedikit masa untuk gadis itu berfikir.

“Mira takut kalau keputusan Hakim ni hanya disebabkan Hakim berasa sunyi. Yalah… selepas Sofiana pergi, Hakim tak pernah cari pengganti, kan?” duga Amirah.

“Siapa cakap Hakim tak pernah cari pengganti?”

Amirah mengangkat kepala. Merenung wajah yang agak serius itu. Kenapa Hakim berkata begitu? Adakah Hakim pernah mencari pengganti Sofiana? Tapi kenapa dia tidak tahu? ‘Ah, sedar Amirah! Kau siapa pada dia? Cuma seorang teman. Takkan semua perkara hendak diceritakan pada engkau!’

“Mungkin sudah jodoh kita Mira. Mira hadir dalam hidup Hakim bila Hakim begitu kecewa. Mira berjaya mengisi kekosongan hati Hakim ni. Hingga Hakim rasa Hakim tak pernah sunyi walaupun tak ada teman istimewa. Kerana bagi Hakim, Miralah teman istimewa Hakim. Hakim tak tahu sejak bila Hakim pandai merindui Mira. Tapi Hakim yakin Mira ialah cinta Hakim. Dan Hakim juga yakin, Mira pun mempunyai berperasaan yang sama, kan?”

Telahan Hakim membuatkan Amirah gelisah tiba-tiba. Bagaimana Hakim tahu tentang perasaannya? Adakah ia begitu jelas ketara? Tapi tak mungkin! Dia sudah sedaya upaya berlagak biasa walaupun hatinya begitu mencintai Hakim. Semua itu dilakukan untuk mengelakkan salah faham antara dia dan Sofiana. Dia takut jika gadis itu menuduhnya tergila-gilakan kekasih orang. Tapi semenjak Sofiana meninggalkan Hakim, perasaan itu semakin kuat mencengkam jiwa.

Siapa yang tidak jatuh hati dengan Hakim. Boleh dikatakan semua wanita yang mengenali Hakim akan merelakan hati mereka kepada lelaki itu. Tapi Sofiana yang dipilihnya. Sepatutnya gadis itu bersyukur. Tapi lain pula yang terjadi. Hakim ditinggalkan. Dan takdir telah menemukan Amirah dan Hakim dalam satu tugasan berkumpulan yang melibatkan subjek teras universiti.

Semenjak itulah mereka semakin rapat. Kata Hakim, dia lebih senang bekerja dengan Amirah berbanding ahli kumpulan yang lain. Pada waktu itu, Amirah terasa bagaikan bermimpi apabila dapat duduk berdua-duaan dengan Hakim di perpustakaan untuk berbincang tentang tugasan tersebut. Satu perkara yang hanya terbayang dalam angan-angannya. Tapi itulah kuasa takdir Allah.

“Ap… apa yang Hakim cakapkan ni? Mak… maksud Hakim, Mira cintakan Hakim? Merepeklah Hakim ni,” dalih Amirah. Dalam diam dia mengutuk diri. Kenapa dia tergagap-gagap menuturkan kata? Mungkin itu semua akan menambahkan keyakinan Hakim pada telahannya sebentar tadi.

“Kalau merepek, kenapa Mira genggam tangan Hakim kuat sangat ni? Mira gelabah, ya?”

Amirah nyata terkejut dengan teguran Hakim itu. Pantas matanya beralih ke arah itu. Benar! Pada saat ini dia sedang menggenggam jemari kasar Hakim dengan eratnya. Sehingga timbul segala urat yang ada. Entah bila dia pun tidak sedar. Pantas tangannya ditarik. Mahu melepaskan tautan jemari itu. Namun dia sedikit terpinga-pinga apabila Hakim tidak membenarkannya. Tautan jemari mereka masih erat. Cuma yang berbeza bukan dia lagi yang menggenggam, tapi Hakim.

“Tak perlu nak menipu diri sendiri Mira. Hakim tahu Mira pun mencintai Hakim. Please terima lamaran Hakim, dan Hakim berjanji tak akan sia-siakan Mira.”

“Macam mana dengan Sofiana?”

“Dia tak ada kena-mengena lagi dengan Hakim. Mungkin dah bahagia dengan kekasih baru. Hakim pun berhak cari kebahagiaan diri Hakim sendiri. Kita kahwin, ya? Minggu depan Hakim akan bawa Mira jumpa parents Hakim untuk bincang pasal kita.”

Sekali lagi Amirah terlopong. “Cepatnya!”

Hakim tergelak dengan reaksi Amirah.

“Lagi cepat lagi bagus, sayang. Hakim dah tak sabar ni,” bisik Hakim mesra. Hanya untuk pendengaran Amirah.

Gadis itu tertunduk malu. Dalam diam, dia mengukir senyuman. Hati sudah berbunga riang. Ternyata hari itu merupakan hari paling bahagia dalam hidupnya. Dilamar oleh orang yang dia cintai. Dan akhirnya dia mengangguk setuju.

Lamunan Amirah terhenti apabila kedengaran loceng rumah tiba-tiba berdenting beberapa kali. Menandakan ada tetamu yang sedang menunggu di luar. Amirah mengerutkan dahi. Siapa pula yang ingin menziarahinya pada malam-malam begini? Dia membuang pandang ke arah jam yang tergantung di dinding. Sudah menunjukkan jam 10 malam. Walaupun bagi sesetengah orang waktu sebegitu masih terlalu awal, tapi tidak bagi Amirah. Baginya waktu sebegini semua orang sudah sepatutnya beristirahat di rumah. Bukan lagi mengunjungi rumah orang.

Terlintas dalam fikiran, mungkin Marissa sudah pulang. Tapi takkanlah secepat itu, sedangkan gadis itu baru sahaja dua hari berada di kampung. Katanya mahu menghabiskan cutinya selama seminggu di kampung. Masakan sudah berubah fikiran? Amirah sudah mula bersoal jawab sendirian. Sesungguhnya dia takut hendak menjenguk ke luar. Apatah lagi tinggal dia dan anaknya sekarang di rumah itu.

Loceng rumah kembali berdenting. Mungkin tetamu itu merasakan dia sudah terlalu lama menunggu di luar, lalu tetamu itu membunyikannya sekali lagi. Dengan penuh berhati-hati, Amirah menyelak langsir lalu menjengah ke luar. Dia seakan-akan tidak percaya apabila matanya menangkap batang tubuh Hakim yang sedang berdiri di luar. Dengan pantas, Amirah kembali menutup langsir itu lalu bersandar di balik pintu.

“Macam mana dia boleh datang ke sini? Dari mana dia tahu aku tinggal kat sini? Hakim mengintip aku ke?” Amirah bermonolog sendirian. Dia sudah dilanda keresahan. Otaknya galak berfikir tentang tujuan suaminya itu datang ke rumahnya.

Dia memandang Nasuha yang sedang bermain sendirian di ruang tamu. Tiba-tiba dia jadi takut dengan kehadiran suaminya itu. Mungkinkah Hakim mahu merampas Nasuha daripadanya? Tidak!!! Dia tidak akan benarkan. Nasuha anaknya. Lelaki itu tidak berhak merampas anak ini daripada ibunya.

Amirah tidak berniat untuk keluar dan menjemput lelaki itu masuk. Biar lenguh jemari lelaki itu menekan loceng. Tetapi tidak akan sesekali dia melangkah keluar.

Seperti yang diharapkan, loceng rumah itu tidak lagi kedengaran selepas beberapa minit dibunyikan. Amirah menarik nafas lega. Hakim sudah berputus asa barangkali. Namun tidak beberapa lama kemudian telefon bimbitnya pula berdering. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di meja kopi di ruang tamu itu.

“Nombor siapa ni?” Hairan juga kerana si pemanggil tiada dalam senarai kenalannya. Tanpa mengesyaki apa-apa, Amirah terus menjawab panggilan tersebut.

“Helo, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab orang di sebelah sana. “Mira, abang ni.”

Untuk kesekian kali Amirah terperanjat. Hampir terlepas telefon di tangan. Bagaimana pula Hakim mendapatkan nombor telefon bimbitnya? Dia benar-benar tidak percaya. Nampaknya Hakim benar-benar telah mengintipnya.

“Mira, abang dekat luar ni. Abang tahu Mira ada dekat dalam. Abang nampak bayang-bayang Mira tadi. Tolong buka pintu pagar ni, sayang. Abang nak jumpa Mira dengan anak kita,” pinta Hakim lembut.

“Buat apa abang datang sini? Macam mana abang tahu alamat dan nombor telefon Mira? Siapa yang beritahu abang?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Amirah. Dia tidak berganjak sedikit pun dari tempat dia berdiri.

“Semua tu tak penting Mira. Yang penting sekarang, tolong buka pintu pagar ni. Abang nak jumpa Mira dan anak kita,” pinta Hakim lagi. Dia sudah mundar-mandir di luar. Tidak sabar menunggu isterinya itu membukakan pintu. Dia mahu menatap wajah itu lagi. Sudah dua minggu wajah Amirah menemani tidurnya. Hampir saban malam lenanya bermimpikan isterinya itu. Sehingga dia dan Sofiana bergaduh besar gara-gara isteri keduanya itu menangkap dia menyebut nama Amirah ketika tidur. Itulah penangan Amirah buat dirinya. Dia menjadi terlalu rindu untuk memeluk tubuh itu.

“Buat apa datang ke sini? Mira tak nak jumpa abang!”

“Tapi abang nak jumpa Mira dan Nasuha. I miss both of you so much. Please sayang, bukalah pintu pagar ni.” Hakim merayu pula. Dia tahu bukan senang untuk memujuk Amirah sekarang ini. Strategi perlu ada.

“No, pergilah balik bang. Jangan ganggu kami berdua lagi,” bantah Amirah.

“Okay, fine! Kalau Mira tak nak buka pintu pagar, tak apa. Abang akan bunyikan hon kereta. Biar semua orang dekat taman ni keluar. Mira nak macam tu ke?” ugut Hakim. Kalau sudah dengan cara memujuk tidak berjaya, terpaksalah dia menggunakan kekerasan.

“Tak usah nak mengugut Mira. Mira takkan termakan dengan ugutan abang tu. Yang Mira nak sekarang, abang baliklah. Kasihan Sofiana dekat rumah sorang-sorang. Hampir larut malam dah ni.”

“Pandailah dia nak menjaga dirinya sendiri. Dia dah biasa dekat rumah sorang-sorang. So, sekarang tak usah nak fikirkan orang lain. Fikirkan pasal kita saja.”

“Senangnya abang bercakap. Abang tahu tak, sikap abang yang suka ambil mudah semua perkara ni dah buatkan Mira dan Suha menderita? Abang senang-senang berkahwin lain tanpa keizinan Mira. Lepas tu abang senang-senang abaikan tanggungjawab abang pada kami berdua. Sekarang abang nak senang-senang tinggalkan isteri yang abang sayang separuh mati tu kat rumah seorang diri malam-malam macam ni? Huh, senangkan bang?”

“Mira, abang datang sini bukan nak cari gaduh. Abang nak selesaikan hal kita. Tolonglah jangan nak mengungkit hal-hal lepas pada waktu macam ni. Kalau Mira nak marah, nak mengamuk, kat dalam nanti. Katalah apa saja yang Mira nak kata. Abang akan dengar.”

“Tidak! Mira takkan benarkan abang jejak kaki abang kat dalam rumah Mira ni. Baliklah bang.”

Kedengaran dengusan kasar Hakim di corong telefon itu. Mungkin suaminya itu geram dengan sikapnya yang sukar untuk dipujuk. Tapi itu semua bukan salahnya. Hakim yang buat dirinya berubah sebegini. Hakim yang sepatutnya bertanggungjawab.

“Okey… abang akan kira sampai tiga. Kalau Mira tak keluar jugak, abang akan bunyikan hon kereta ni,” ugut Hakim untuk kesekian kalinya. Kali ini dia tidak main-main. Dia benar-benar serius dengan apa yang dikatakannya. Dia yakin, ini sahaja cara untuknya berjumpa dengan Amirah.

“Suka hati abanglah. Mira malas nak layan,” kata Amirah. Sikap endah tak endah isterinya itu membuatkan dirinya tercabar.

“Okey, satu… dua….”

Amirah hanya mengangkat kening sambil tersenyum sinis. Dia amat yakin yang Hakim tidak akan tega memalukan diri sendiri.

“Tiga….”

Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi hon kereta bertalu-talu di luar. Sungguh bising dan membingitkan. Amirah terkejut. Manakala Nasuha yang leka bermain menangis kuat kerana terkejut. Sungguh dia tidak menyangka Hakim akan mengotakan kata-katanya sebentar tadi. Fikirnya Hakim hanya mengugut.

“Abang! Abang, stop!!!” Amirah terpaksa menghalang akhirnya. Namun Hakim tidak mengendahkan kata-katanya. Bunyi hon kereta yang kuat itu masih kedengaran. Ia pasti akan mengganggu jiran-jiran yang sedang beristirahat. Ah, Hakim begitu menjengkelkan!

“I said stop it bang!!!”

“Abang tak akan berhenti selagi Mira tak keluar.” Balas Hakim sambil masih terus membunyikan hon. Suaminya itu memang sudah gila!

“Okey… okey, Mira keluar. Puas hati? Sekarang tolong hentikan. Nanti jiran-jiran marah,” pohon Amirah. Sejurus selepas itu bunyi hon tersebut sudah tidak kedengaran lagi. Amirah menarik nafas lega.

“Okey, kalau Mira tak keluar, abang akan bunyikan hon ni lagi. Baik Mira keluar cepat sebelum abang hilang sabar,” kata Hakim sambil tersenyum puas. Dia sudah menang.

Amirah terus mematikan talian. Hatinya sebal. Sebal dengan sikap Hakim yang sedikit memaksa. Sejak bilalah suaminya berperangai begini. Setahunya Hakim tidak gemar memaksa. Mungkin sudah terkena badi si Sofiana. Gumamnya sendirian.

Hakim tersenyum senang saat Amirah muncul di muka pintu. Wajah itu tampak masam mencuka. Mungkin marah dengan tindakannya sebentar tadi.

‘Maafkan abang, sayang. Abang terpaksa.’

Senyuman Hakim semakin melebar apabila ternampak puteri kecil kesayangan mereka dalam dukungan Amirah. Nasuha nampak begitu comel di matanya. Sama comel dengan ibunya. Hakim tidak dapat menafikan kedua-dua wajah itu sudah mendapat tempat teristimewa dalam hatinya saat ini. Tiada lagi wajah Sofiana. Hilang entah ke mana, dia sendiri tidak tahu.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/273526/KAU-YANG-KUNANTI