[SNEAK PEEK] Kasihi Aku Cintai Aku

Kasihi Aku Cintai Aku oleh Rass Lestari

MAJLIS bacaan tahlil dan bacaan Yasin yang berlangsung di kediaman Engku Badariah berjalan dengan lancar.

Mujahid duduk bersendirian di dalam bilik arwah Engku Badariah. Mengimbas kembali kenangan yang masih tersisa di dalam bilik itu, dia seakan-akan melihat Engku Badariah duduk di kerusi berdekatan tingkap bilik di hujung sana sambil membaca surat khabar. Memandangkan setiap pagi pasti di situlah menjadi tempat kegemaran nendanya.

Walaupun semuanya sekadar khayalan belaka tapi sekurang-kurangnya hatinya sedikit tenteram. Dia mencapai gambar yang berada di atas meja solek Engku Badariah.

Dalam banyak-banyak gambar, gambar ni yang nenda letak, bisik hati Mujahid apabila teringat bingkai gambar tersebut adalah hadiah terakhir daripadanya pada Engku Badariah sewaktu menyambut hari kelahiran pada beberapa tahun yang lepas.

Gambar Engku Badariah bersama Issabella ditenung lama kemudian Mujahid membuka gambar tersebut dari bingkainya lantas mengoyakkan gambar itu menjadi dua bahagian. Bahagian yang ada gambar Issabella dia buang ke dalam tong sampah, seperti mana perasaan cinta yang dulunya ada di hatinya kini terpadam untuk wanita itu.

“Muja, tetamu dah nak balik. Jom turun.”

Mujahid mengikut rapat di belakang Datuk Khuzair untuk turun ke ruang tamu apabila tetamu yang hadir beransur pulang. Hanya tinggal Balqis dan Ayisha sahaja yang belum balik. Doktor Murad sekeluarga dan Haikal terpaksa balik awal memandangkan mereka mempunyai tugas yang harus digalas malam ini.

“Aunty Zai kena banyak bersabar, saya akan doakan agar Engku Nenda ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman, Insya-Allah,” pujuk Ayisha apabila melihat wajah sugul Engku Zaiton yang masih tidak dapat melupakan kesedihannya.

“Umi berterima kasih pada Ayisha dan Balqis, seharian kamu di sini. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Maimon apabila segala persiapan majlis tahlil dan bacaan Yasin di uruskan oleh Ayisha dan Balqis. Mereka berdua bukannya ahli keluarga Engku Badariah tapi mereka berdualah yang bersusah payah menguruskan semuanya di kala dirinya masih lagi keliru dengan apa yang terjadi.

“Umi tak perlu nak cakap macam tu, umi sekeluarga kena banyak berehat. Biar selebihnya saya dan Balqis yang uruskan. Lagipun Mak Lah kan ada.”

“Betul kata Ayisha tu, jom saya bawa awak berehat. Khuzair, bawa Zai naik atas. Kalau terus macam ni, kamu berdua pula yang jatuh sakit nanti.” Engku Kazmi memimpin Maimon ke bilik. Begitu juga dengan Datuk Khuzair, tangan Engku Zaiton dipimpin menuju ke bilik.

Sementara Balqis dan Ayisha sibuk mengemas di ruang tamu dan dibantu oleh Mak Lah, seorang pembantu rumah yang selama ini setia bersama dengan Engku Badariah. Tak lama kemudian Mujahid datang untuk membantu.

“Tak payahlah doktor, biar kita orang yang buat. Doktor pergilah berehat,” tegah Ayisha.

“Panggil Muja je, tak perlulah nak formal sangat dengan saya. Awak pun macam tu, Balqis.” Bukan sekali ini dia tegur. Beberapa kali juga dah.

Ayisha dan Balqis tersenyum, sementara Mujahid mengambil kain lap untuk mengelap meja sisa air minuman yang tertumpah.

“Eh, tak apa. Biar saya yang buat, doktor.”

Mujahid menatap Ayisha dan serta-merta Ayisha menundukkan pandangannya.

“Maksud saya, Muja tak perlu buat semua ni. Saya dan Balqis boleh buat,” sambung Ayisha diiringi dengan cuitan daripada Balqis yang begitu senang dengan panorama sedang terpapar sekarang.

“Tak apa, lebih baik saya sibukkan diri daripada duduk kat bilik tu. Mata saya pun belum mengantuk lagi.” Mujahid meneruskan kerjanya sehinggalah semuanya selesai.

Jam menunjukkan pukul 10.30 malam, Ayisha dan Balqis bersiap sedia untuk balik.

“Saya hantar awak berdua,” pelawa Mujahid sambil mengambil kunci keretanya dari laci meja.

“Tak payahlah, saya bawa kereta lagipun Balqis tidur kat rumah saya malam ni.”

“Betul tu Muja, lagipun awak kena banyak berehat. Tengok wajah awak tu dah tak kacak lagi tahu tak,” seloroh Balqis saja untuk menceriakan suasana yang dibelenggu kesedihan. Tidak sangka dia boleh bermesra begini dengan seorang doktor yang dihormati dan senior mereka.

Ayisha memandu kereta keluar dari kediaman Engku Badariah. Selepas kereta Ayisha hilang dari pandangannya, barulah Mujahid masuk dan terus menuju ke biliknya. Tidak lama kemudian telefon pintarnya berdering.

“Haikal. Kenapa?” Soal Mujahid hairan apabila Haikal tiba-tiba menelefonnya.

“Kau okey tak ni?”

“Aku okey, kenapa? Kau ingat aku akan buat benda-benda bodoh ke?”

“Tak lah sampai macam tu, cuma aku tak nak kau sedih sangat dan lagi satu aku cuma nak khabarkan kat kau, Encik Arif sempat kritikal sekejap tapi sekarang dah okey dah, jadi kau janganlah risau sangat. Kau rehat aje,” ujar Haikal sekadar ingin memaklumkan perkembangan terkini agar rakan sekerjanya itu dapat berehat dengan hati yang tenang.

Setelah mengetahui peguam itu koma, Mujahid amat bersimpati pada ahli keluarganya. Dia takut kalau-kalau lelaki itu tidak dapat diselamatkan seperti nendanya.

“Esok aku datang ke hospital, dan tengok macam mana keadaan dia.”

“Kau ni… Kenapa tak ambil cuti buat sementara waktu ni? Tenangkan dulu emosi kau tu.”

“Jangan risaulah, aku tak akan campur adukkan masalah peribadi aku dengan kerja,” bidas Mujahid.

“Yalah…aku tahu Doktor Mujahid ni seorang doktor yang sangat profesional. Kau berehatlah, aku tak nak ganggu kau sebab esok aku nak kau datang dengan wajah yang bersemangat. Kalau tak, aku larang Doktor Murad izinkan kau merawat pesakit,” ancam Haikal sekadar untuk memberi motivasi untuk rakannya itu sebelum menamatkan panggilan.

IRIS membawa dulang berisi bubur dan susu untuk sarapan Issabella pagi ini. Lama dia mengetuk pintu bilik Issabella tapi tiada jawapan. Masih tidur? Agak Iris lalu dia membuka pintu bilik dan melihat katil Issabella sudah pun berkemas. Hairan dia sambil meletakkan dulang sarapan di atas meja lalu mencari Issabella di bilik air tapi kelibat Issabella tidak kelihatan.

Iris turun ke ruang tamu lalu menjenguk keluar dengan keadaan yang panik. Kereta Issabella yang diparkir di garaj semalam turut menghilang. Dia mencapai telefon pintarnya untuk menghubungi Issabella namun panggilannya langsung tiada jawapan.

“Ke mana dia pergi?” Iris ligat memikirkan ke mana agaknya arah tuju Issabella dengan keadaannya yang masih lemah. Dia risau kalau-kalau ada sesuatu yang buruk akan menimpanya.

Rupanya pagi itu, Issabella sudah berdiri di hadapan pagar rumah Engku Badariah. Lama dia di situ sebelum jarinya menekan loceng. Tak lama selepas itu seorang wanita bersarung kain batik keluar.

“Puan Issabella, puan buat apa di sini?” Mak Lah terkejut. Risau juga dia.

“Saya nak jumpa dengan Mujahid.”

“Maaf puan, tapi Engku tak ada sekarang.”

“Siapa Kak Lah? Siapa yang datang tu?” Tak lama kemudian Maimon pula yang keluar. Pintu pagar terbuka sedikit demi sedikit.

“Issabella!” Terkejut Maimon sebaik sahaja dia melihat Issabella berdiri di situ dengan muka yang tebal tanpa segan silu. Memang perempuan tak tahu malu!

“Maaf. Saya nak jumpa dengan Mujahid, dia ada?” Tanya Issabella yang sedar betapa kecilnya dia pada pandangan wanita tersebut. Akan tetapi semua itu harus dia tahan. Dia tidak boleh mengalah demi anak yang dia kandung ketika ini.

“Awak memang perempuan yang tak ada maruah kan, berani awak jejak kaki awak ke sini lepas apa yang awak buat pada nenda, pada kami semua. Saya memang tak percaya!!!” sindir Maimon tanpa ada lagi belas kasihan pada Issabella. Kalau dulu Engku Zaiton yang kejam tapi saat ini dia lebih kejam daripada Engku Zaiton.

“Saya ada perkara nak jelaskan.”

“Ha! Kami tak nak dengar penjelasan daripada awak dan Muja pun tak nak dengar sepatah pun yang keluar daripada mulut pembunuh macam awak ni. Sekarang awak pergi dari sini! Jangan sesekali pijak kawasan rumah saya lagi, faham? Mak Lah! Tutup pintu pagar ni rapat-rapat jangan biar orang jahat tu masuk ke sini,” arah Maimon.

Sedar ini adalah peluangnya yang mungkin terakhir untuk menjelaskan segala-galanya, Issabella memegang tangan Maimon.

“Saya cuma nak bagi tahu yang saya…”

Dengan kasar Maimon menolak Issabella hingga dia jatuh tersungkur.

“Saya dah banyak bersabar dengan awak, Issabella… Jangan sampai saya hilang sabar. Saya tak nak buat dosa tapi bila nampak muka awak tu buatkan saya meluat tahu tak!” herdik Maimon lagi lalu menekan alat kawalan jauh dan secara perlahan pintu pagar itu tertutup rapat .Bagai satu simbolik yang mengatakan pada Issabella bahawa kehadirannya di situ sememangnya tidak akan di terima lagi.

“Puan Maimon, tolong bagi saya peluang, saya akan jelaskan apa sebenarnya yang berlaku! Saya tak ada niat untuk mengorbankan Engku Badariah, saya dah…”

“Cukup!!!” Sekali lagi tengkingan Maimon menerjah Issabella.

“Tak perlu nak jelaskan pada saya, awak ni wanita yang memang tidak berhati perut! Pergi dari sini!!! Awak ni lebih hina daripada anjing tahu tak. Anjing pun ada yang setia pada tuannya tapi awak! Memang tidak mengenang budi!!!”

Maruah Issabella bagaikan dipijak-pijak sehinggakan tiada langsung yang tinggal kini. Tapi, jikalau ini penderitaan yang dia mesti lalui untuk kebahagiaan bayi yang dikandungnya, Issabella sanggup. Semua ni tak akan menjadikan dia mudah berputus asa. Dia akan cuba segala cara untuk memastikan bayinya mempunyai seorang ayah…

Selepas dihalau ibu mentuanya, Issabella pandu keretanya menuju ke Hospital Iman Damai. Sampai sahaja di hospital, Issabella menuju ke kafe seperti mana yang ditunjukkan oleh salah seorang jururawat di situ. Tanpa memerhatikan dan mempedulikan mata-mata yang memandangnya, Issabella terus berjalan menuju ke meja Mujahid.

“Engku, kita perlu bincang,” sapa Issabella sebaik saja dia berdiri di hadapan Mujahid.

Terkejut Mujahid akan kedatangan Issabella. Meluat dia melihatnya.

“Saya tak ada apa nak bincang dengan awak. Lagipun saya dah pernah kata kan, saya tak nak nampak muka awak lagi.” Tajam kata-kata Mujahid menusuk ke cuping telinga Issabella.

“Jom Haikal, kita ada pembedahan lepas ni.” Mujahid berdiri dan beredar dari situ tanpa mempedulikan Issabella yang kaku berdiri mengharapkan ada sekelumit ruang untuknya menjelaskan perkara sebenar.

Ayisha hanya diam melihat perang dingin antara Issabella dan Mujahid. Berlainan dengan Balqis yang nampaknya suka dengan apa yang dia lihat sekarang. Hatinya terus mengira kadar peratus untuk Issabella dan Mujahid akan bercerai.

“Mujahid!”

Bunyi kuat diselangi dengan teriakan Issabella membuatkan langkah Mujahid terhenti. Dia menoleh ke belakang dan melihat Issabella memecahkan apa saja yang dia dapat capai sehinggakan beberapa orang doktor yang berada di situ terkena percikan air daripada gelas yang jatuh. Keadaan di kafeteria menjadi huru-hara apabila Issabella semakin rancak memusnahkan apa sahaja yang ada dia hadapannya.

“Awak dah gila ke ha!” Mujahid merentap tangan Issabella dengan kasar. Semua doktor yang ada di situ mula bercakap sesama mereka.

“Ya! Saya memang dah gila! Kalau Engku nak gelar saya dengan apa gelaran sekalipun saya tak kesah, tapi boleh tak Engku dengar dulu apa yang saya cuba nak jelaskan. Atau Engku nak saya merayu pada Engku baru Engku nak dengar…” Suara Issabella semakin menurun setelah awal tadi meninggi. Matanya telah pun berair. Bukannya sebab malu diperlakukan seperti itu tapi dia risau kalau dia tak dapat bertahan dengan sikap Mujahid yang nampaknya memang sudah sangat membencinya.

“Awak merayu atau tak, tidak akan bawa apa-apa perubahan. Awak hanya membuang masa, Bella. Masa saya dan juga masa awak. Awak tak perlu nak jelaskan apa-apa pada saya sebab semua tu juga tak akan membawa sebarang perubahan. Satu saja yang saya rayu pada awak, tolong pergi dari sini. Saya dah tak boleh tengok muka awak lagi, lagipun awak tentu dah terima surat cerai kan?”

“Ya saya dah terima, tapi saya tak nak bercerai dengan Engku, tak akan sesekali. Tolong Engku, dengar apa yang saya nak cakap dengan Engku. Saya sebenarnya…” Issabella pandang ke bawah, melihat perutnya… Dia tersenyum. Namun sebaik dia angkat mukanya…

“Issabella Fedriz binti Ahmad Anderson, saya ceraikan awak dengan talak satu.” Bagai halilintar, suara Mujahid menjatuhkan talak menusuk ke pendengaran Issabella.

Issabella memandang mata Mujahid, mencari kebenaran di sebalik ucapannya tadi. Jelas, Mujahid memang maksudkannya. Namun demi anak yang dia bakal lahirkan, Issabella akan bertahan tak kira apa yang Mujahid ingin katakan padanya.

“Engku tak boleh buat macam tu pada saya. Tak boleh…” Issabella mencapai tangan Mujahid dan menagih simpati lelaki itu.

“Saya tak nak bercerai dengan Engku,” tuturnya namun dengan kasar Mujahid menarik tangannya daripada genggaman Issabella.

Ayisha tak percaya dengan apa yang dia dengar sebentar tadi. Teganya di hadapan semua orang, Doktor Engku Khairuz Mujahid menjatuhkan talak pada isteri.

Apa semua ni? Monolog Ayisha.

Di hadapan semua orang, buat pertama kalinya Issabella melutut ke lantai. Segala maruah dan egonya dibuang jauh.

“Saya merayu pada Engku, tolong jangan ceraikan saya,” rayu Issabella bersungguh-sungguh meskipun semua yang ada di situ memandang sinis padanya.

“Memang tak malu betul, mentang-mentanglah Doktor Mujahid anak orang berada. Takut nak hilang duit poketlah tu.”

Issabella memekakkan telinga, kata-kata orang tidak diendahnya.

“Tolong jangan ceraikan saya, demi anak…”

Pang!!! Tangan Engku Zaiton mengena di pipi Issabella. Mujur dia datang tepat waktunya. Dia mengekori Issabella tadi apabila tahu Issabella datang ke rumah Engku Badariah.

Mujahid yang terkejut dengan tindakan pantas Engku Zaiton tergerak untuk membantu Issabella namun gerak hatinya terbantut apabila bayangan Engku Badariah yang terhempap dengan serpihan bahan binaan merayu meminta tolong tapi sedikit pun Issabella tidak tergerak untuk membantu. Malahan dia meninggalkan Engku Badariah menderita kesakitan.

“Hei perempuan, apa lagi yang kau nak? Tak cukup lagi dengan syarikat kami yang kau ambil kemudian bonda aku yang kau bunuh tanpa belas kasihan. Semua tu tak cukup lagi? Atau kau nak duit? Datang tiba-tiba ke sini sebab kau dah bankrap di Paris tu! Baiklah aku boleh bagi, cakap berapa yang kau nak? 10 juta? 20 juta? Cakaplah!” teriak Engku Zaiton dengan angkuh sekali sambil melemparkan beberapa not duit ke arah Issabella, layaknya seperti barang yang didagangkan.

Tak puas apabila Issabella langsung tidak memberi reaksi, Engku Zaiton mengambil cawan yang berisi air dari atas meja lalu menyiram ke arah Issabella. Gelas yang kosong turut dihumban sekali ke arah Issabella sehingga terkena tepat di perutnya.

Cahaya kamera daripada telefon pintar bersilih ganti berkelip. Lumrah manusia, bukannya untuk menolong, sebaliknya seronok mencari ‘bukti’ walaupun tidak tahu hujung pangkal. Tiada belas kasihan terhadap Issabella kecuali Ayisha yang cuba untuk membantu Issabella tapi dihalang oleh Balqis.

Issabella memegang perutnya apabila dia dapat merasakan seperti dicucuk dengan benda tajam. Sakit teramat sakit. Dia memandang ke arah Mujahid buat kali kedua tapi pandangan lelaki itu masih sama. Kosong…

Issabella cuba untuk berdiri namun sekali lagi perutnya terasa begitu perit sehinggakan dia terduduk semula dan tidak lama selepas itu, sehelai kot membalut tubuh Issabella.

“Apa yang you buat ni Issabella? I tanya, apa yang you buat ni!” tengking Lee Woon sambil menggoncangkan bahu Issabella. Rambutnya yang basah disimbah air, dengan bibirnya yang berdarah membuatkan Lee Woon tidak dapat mengawal dirinya.

“Mana Issabella yang I kenal? Issabella yang I kenal tak akan biarkan dirinya jadi macam ni. Dia tak akan membiarkan orang lain memandang hina padanya. Mana ada selama ini orang lain pijak maruah you? You kena sedar Issabella!” tambah Lee Woon lagi namun Issabella langsung tidak memberikan sebarang respons.

“Cukup Bella, jangan buat macam ni.” Lee Woon memaut bahu Issabella, membantunya untuk berdiri.

“Uncle Park, bawa Bella balik,” arah Lee Woon dan Uncle Park patuh.

Issabella menapak perlahan sambil dipapah oleh Uncle Park keluar dari kafe tapi hatinya bagai tidak sanggup untuk pergi dari situ. Masih berharap Mujahid memberinya peluang terakhir ataupun apa sahaja asalkan dia dapat kekal berada di sisi lelaki itu

“Muja… Kali ni, tolong maafkan saya…”

“Saya bencikan awak Bella… Saya sangat bencikan awak! Pergi dari sini.”

Rayuan Issabella sekali lagi dibalas dengan kata-kata yang menyiat-nyiat hati dan perasaannya. Memandang api kebencian yang begitu marak di dalam mata Mujahid, membuatkan Issabella sedar betapa tingginya angan-angan yang cuba dicapai sedangkan kenyataan yang patut dia hadapi adalah tiada rasa cinta di hati lelaki itu untuknya.

“Cik Bella, mari kita pergi.” Langkah Issabella yang berat untuk meninggalkan tempat itu dipaksa juga oleh Uncle Park.

Berderu nafas Lee Woon melihat Issabella nampak begitu lemah di hadapan Mujahid.

“Kalau Issabella nak, dia boleh beli hospital ni dan walaupun saya tak tahu berapa harga cik puan ni tapi berapa pun harganya Issabella mampu beli, saya pasti!” Kata-kata Lee Woon perlahan tapi cukup pedas di telinga Engku Zaiton sehinggakan naik merah mukanya.

“Shut up!” teriak Engku Zaiton namun Lee Woon sekadar tersenyum nipis sambil menguis- nguis rambutnya.

“You shut up!” bidas Lee Woon keras.

Dia menghampiri Engku Zaiton selangkah demi selangkah dan apabila semakin hampir, Engku Zaiton berundur selangkah ke belakang. Tapi Lee Woon masih lagi menapak ke hadapan menghampiri Engku Zaiton yang semakin kalut.

“Kenapa nak kasi dia duit? Hei perempuan tua, you tahu atau tak apa jadi pada Magritha?”

Terasa disindir, Sekali lagi Engku Zaiton mengangkat tangannya untuk menampar Lee Woon namun kali ini, dia tidak berjaya apabila Lee Woon memegang kemas tangan Engku Zaiton. Meronta bagaimanapun untuk melepaskan genggaman, Lee Woon semakin kuat mencengkam tangan Engku Zaiton.

“Hei! Keluar dari sini sebelum aku panggil sekuriti untuk tunjukkan kau pintu keluar,” ancam Mujahid, kasar juga. Tiba-tiba dia benci melihat Lee Woon yang muncul bak wira di hadapan Issabella. Lelaki bermata sepet yang dia tidak kenal langsung tapi boleh pula berbahasa Melayu.

Lee Woon melepaskan tangan Engku Zaiton dengan kasar. “Huh! Orang macam kamu semua ni memang pengecut. Takut untuk berhadapan dengan perkara yang sebenar. Tapi you jangan risau, I ataupun Issabella tak akan muncul lagi di hadapan you.” Lee Woon berjeda sebelum anak matanya menikam anak mata Mujahid sebagai tanda amaran.

“Jadi kau ni kekasih dialah.”

“Lebih daripada kekasih. Dia segalanya bagi I.”

Menggelegak darah Mujahid. “Aku dah nampak dia siapa sebenarnya. Memang layak dia diceraikan hari ini. Berhambus kau dari sini!” Mujahid beredar dari situ dan bahu mereka sempat bersentuhan.

“Kadang-kadang kasih sayang yang ikhlas susah untuk kita tafsirkan sebab itu mata you langsung tidak boleh menilainya dan kadangkala juga apa yang you nampak tu bukanlah perkara yang sebenar,” tambah Lee Woon lagi membuatkan Mujahid berhenti sejenak.

Lee Woon berpaling memandang ke arah Mujahid.

“I kenal Issabella jauh lebih lama daripada you kenal dia. I tahu dia jenis macam mana. I tahu apa yang telah dia lalui dan I tahu apa yang dia korbankan untuk orang yang dia sayang. You pulak? You tahu semua itu? I nak tanya you, you kenal ke siapa wife you tu sebenarnya? Upsss… I lupa, ex-wife. You kenal ke dengan dia?”

Kata-kata Lee Woon terus berlegar-legar di gegendang telinga Mujahid meskipun sudah hampir beberapa jam perkara itu berlaku.

Betulkah aku tak tahu apa-apa tentang dia? Mujahid tertanya-tanya sendiri. Wajah Issabella terpampang sekilas di tubir matanya. Cara wanita itu merayu dan meminta padanya membuatkan dirinya seperti begitu kejam sehinggakan dia sendiri tidak tahu sama ada dia akan menyesal dengan perbuatannya esok hari atau tidak.

Mujahid menundukkan wajahnya, menyembunyikan air mata yang menitis satu per satu. Hanya Allah saja yang tahu betapa seksanya dia untuk melafazkan ucapan yang langsung tidak terlintas di fikirannya.

“Muja…” Haikal memegang bahu Mujahid yang kelihatan begitu sugul.

“Ada baiknya kau balik dulu, tenangkan fikiran kau tu.”

Kalau dia di tempat Mujahid sekarang ini, kemungkinan dia akan buat perkara yang sama. Melihat orang yang disayangi mati disebabkan oleh wanita yang sangat dicintai adalah satu kenyataan yang amat memeritkan. Apatah lagi apabila terpaksa memilih antara cinta dan kasih. Walhal, kehilangan salah satu daripada dua pilihan itu membuatkan hati menjadi pincang.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/339691/Kasihi-Aku-Cintai-Aku