HAI, sweetie. How are you?”
“Oh bos handsome, bos baik, bos wangi dah sampai!”
Nurin melatah. Terkejut benar apabila tiba-tiba sahaja badan tegap Zanif berada di sebelahnya. Dahlah kepala Nurin asyik khayalkan lelaki itu dua puluh empat jam sejak dua menjak ni. Itu yang boleh terluncur perkataan yang tak sepatutnya terkeluar. Nasib baik tak sebut I love you, boss. Mahu malu empat belas keturunan.
Salah bos juga. Semakin hari semakin romantis dan menggoda. Perempuan mana yang tak ditimpa perasan jika dilayan semanis itu? Hati gadis mana yang tidak terusik, bila diberi perhatian istimewa oleh jejaka hot idaman satu pejabat?
Zanif ketawa. Dia suka melihat wajah comel yang merapu itu. Tak sesuai langsung kalau orang-orang muda melatah, apatah lagi si gadis yang comel. Tapi kenapa Nurin nampak sangat menarik gayanya?
Seminggu dua ini, sampai sahaja ke pejabat, wajah Nurin yang dicari dahulu. Wajah inspirasi yang penuh ketenangan walaupun kadang-kadang sinar matanya nampak sayu sahaja. Zanif si kaki perempuan ni betul-betul sudah gila. Pilih punya pilih, satu dunia cari perempuan, alih-alih budak Jalan Kebun saja yang buat hatinya tercuit. Minah rempit pula tu.
Benarkah Zanif? Bukankah piawaian calon isterinya sangat tinggi? Dia mr. perfect. Setiap aspek harus sempurna. Seperti laporan akaun, perkara sekecil kuman pun kena ambil kira.
“Minta maaf, bos. Mulut saya macam tak sekolah.”
Zanif senyum meleret. “Eh, tak apa. I lagi suka bila ada yang ikhlas puji I ni handsome lagi wangi. Tak ada agenda tersembunyi, kan?” Matanya dikenyitkan.
“Tak… Tak. Betul tak ada niat bodek-bodek, encik!” Nurin tergagap. Panik. Janganlah bos tahu rahsia hatinya. Malu besar! Biar dia syok sorang-sorang, tak mengapa. Berangan tu dah jadi darah dagingnya. Tak boleh dipisahkan lagi. Tapi bab-bab yang menjatuhkan air muka ni, tak perlu orang lain tahu walaupun Si Alan.
“Kalau ada pun, saya tak rugi… Untung lagi ada…” balas Zanif dengan suara perlahan. Baginya, Nurin ini perempuan yang lambat menangkap hal-hal perasaan. Puas dia mengayat, si gadis masih di tahap blur. Kalau perempuan lain, sudah lama sambut.
Tubuh Encik Zanif masih berada dekat dengan tubuh Nurin. Wangian yang dipakai terus masuk ke rongga hidung lantas menggetarkan urat saraf Nurin. Aduhai…
“Errr… Encik cari saya kenapa, ya? Repot saya tak betul ke?”
Nurin merujuk kepada laporan yang dihantar sebaik sahaja Fathia melabuhkan punggung di atas kerusi pagi tadi. Semalam bos kata nak cepat. Nurin berusaha menyiapkannya di rumah malam semalam. Tidur dua tiga jam sahaja. Bersembang dengan Alan di tingkap pun dia tak sempat.
“Repot? Oh… Dah siap?”
Nurin angguk.
“Good. Tapi I cari you ni bukan fasal tu, dear.” Nurin dongak muka memandang wajah Zanif yang mula bagi senyum sengetnya. Habis tu kenapa? tanya dia dalam hati.
“Sebab I nak tengok muka comel you sebelum mula kerja,” jawab Zanif romantis. Seperti tahu-tahu apa yang Nurin omelkan dalam hati. Selepas mengucapkan ayat powernya, perlahan-lahan dia mengatur langkah ke biliknya.
Nurin terpanar. Waduh bos seorang ni, suka bikin dada perempuannya bergoncang kuat! Bikin jiwa jadi sasau!
Di ruangan menyambut tetamu, ada sekeping hati yang tengah membahang. Meluat sungguh Zurin melihat keakraban antara Zanif dan kakak yang dibencinya melalui dinding cermin. Perempuan tak sedar diri! Cacat-cacat pun masih ada hati nak pikat lelaki hebat, cemuhnya dalam hati. Cermin di dalam bilik dia orang tak cukup besar agaknya. Sebab itu tak nampak apa kurangnya diri Nurin. Nanti Zurin hadiahkan cermin besar penuh dinding supaya perempuan tu sentiasa nampak keadaan dia yang sebenar.
“Cik Zurin, sila ikut saya ke dalam sekarang, ya.”
Faiza, penyambut tetamu membawa Zurin ke bilik khas. Sempat dia memberi satu jelingan maut kepada si kakak apabila mata mereka bertemu di pertengahan jalan.
Nurin tergamam. Dia tidak tahu pun yang Zurin shallot akan datang ke pejabatnya pagi ini. Fathia ada menyebut yang adiknya telah dipanggil untuk ditemu duga, tetapi dia tidak tahu bila harinya. Tidak pula dia bertanya lanjut kepada Fathia tempoh hari. Kurang berminat. Dan Nurin kurang suka Zurin bekerja satu pejabat dengannya. Macam-macam hal boleh berlaku nanti. Tahulah perangai Zurin bagaimana.
Nurin mengagak, pasti adiknya akan gagal dalam temu duga tersebut. Cara Zanif bekerja berbeza dengan dengan cara Zurin. Zanif sangat serius dan komited waktu bertugas. Zurin pula jenis yang main-main saja dua puluh empat jam. Dia datang sini pun pastinya setelah dipaksa oleh emak, bukan daripada kemahuan sendiri. Zurin tidak ada keinginan untuk bekerja lagi. Emak yang selalu mendesak supaya dia cepat-cepat mencari pekerjaan. Emak mahu anak kesayangannya dipandang tinggi di mata orang. Supaya dia bangga apabila menceritakan fasal Zurin yang hebat.
Tepat sebagaimana telahan Nurin. Zurin ditemu duga dalam masa yang singkat sahaja dan dia keluar dari pejabat tersebut dengan muncung sedepa. Tak berapa lama kemudian, Fathia memaklumkan yang Zurin tidak bernasib baik. Bos marah-marah kerana buang masanya menemu duga orang yang tidak mempunyai kelayakan. Tidak profesional kerana memasukkan calon yang tidak sepatutnya untuk ditemu duga.
“Nurin tak tahu ke yang Zurin tidak mempunyai ijazah? Diploma pun dia tak ada. Sebab tu Encik Zanif bengang, naik angin. Dia marah kak sebab call candidate yang tak layak padahal itu kerja budak admin. Dia orang yang terlepas pandang, kak yang kena.”
Nurin pucat. “Ya ke, Kak Fathia?”
Berkali-kali dia beristighfar untuk menenangkan hati sendiri dengan perkhabaran yang tak enak didengar ini.
“Apa pula tak betulnya? Nurin tak tahu ke adik sendiri gagal belajar?”
“Hah?” Nurin geleng.
“Dia gagal tunjuk sijil original degree. Transkrip peperiksaan semester akhir pun dia tak ada, sedangkan bos kita sangat particular dengan detail-detail macam tu. Sudahnya adik Nurin mengaku dia tak habis belajar.”
“Owh…” Hanya itu yang mampu Nurin kata. Suaranya dengar tak dengar sahaja. Malu pun ada sebab dia yang menghantar permohonan Zurin tempoh hari. Nurin tidak melihat surat permohonan dan sijil-sijil Zurin kerana sampul tersebut sudah digam. Lagipun itu amanah orang, Nurin tidak boleh buat sesuka hati walaupun adik sendiri.
Nurin teringat kata-kata Alan. Betul tekaan Alan, Zurin pulang cepat ke Malaysia sebab tak lulus pengajian di Australia.
Tiba-tiba Nurin jatuh kasihan kepada emak. Harapan emak terlalu tinggi kepada Zurin. Tentu emak kecewa sangat jika dapat tahu berita ini. Emak sudah canang satu dunia yang anaknya berkelulusan ijazah dari universiti luar negara dan bakal menjadi seorang akauntan tidak lama lagi. Akhirnya, apa yang emak dapat?
Seharusnya Nurin berpuas hati apabila dengar Zurin gagal. Balasan untuk adik yang terlampau berlagak dan biadab, tetapi sebaliknya tidak begitu. Nurin sangat sedih mengenangkan perasaan emak.
Nurin nekad tidak akan buka mulut. Biarlah Puan Azah tahu sendiri dari mulut Zurin. Atau pun mungkin selama-lamanya emak tidak akan tahu. Yalah, bukankah Puan Azah tengah giat berusaha untuk dapatkan menantu kaya? Sudah tentu Zurin tidak perlu susah payah bekerja jika bersuamikan orang berharta.
Nasib Nurin terlalu jauh bezanya dengan nasib Zurin. Nurin terpaksa bekerja keras. Jimat sana, jimat sini untuk mengumpul duit untuk menyara kehidupan sendiri dan menghulur sekadar patut kepada ayah dan emak, sedangkan Si Zurin dengan mudah memperolehinya daripada emak. Walaupun mulut Puan Azah membebel-bebel, dalam masa yang sama, tangan tetap menghulur berkeping-keping not hijau dan ungu kepada Zurin. Sebab itu Zurin naik lemak. Tiada masalah menjadi penganggur terhormat.
MELANGKAH saja kaki Nurin masuk ke rumah, kelihatan Puan Azah sudah sedia tercegat berhampiran pintu utama dengan muka tegang. Si Zurin shallot juga turut berada di sisinya dengan wajah sinis seperti Nurin ada melakukan kesalahan yang amat besar.
Mesti ada sesuatu yang tidak kena. Mesti ‘bom atom’ akan meletup sekejap lagi, desis hati Nurin. Sudah hafal akan riak wajah Puan Azah dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi. Darahnya terasa mula mengering. Bertengkar, bergaduh, perang dingin mahupun tidak dingin dengan Zurin tidak menjadi hal baginya, tetapi kalau dengan emak… Alahai, tak tahu Nurin hendak cerita segala perasaannya.
Rasa berdosa yang amat jika terlepas kata kepada emak, tetapi jika tidak membela diri sendiri, siapa lagi yang akan buat untuk dia? Namun, daripada sejarahnya, Nurin tidak pernah menang dalam kes pembelaan. Salah atau tidak, dia tetap bersalah pada mata Puan Azah.
Dengan tidak sabar-sabar, Puan Azah meluru ke arah Nurin apabila melihat tubuh anak sulungnya sudah berada di pintu rumah. Radang dia tengok rupa Nurin yang selamba tanpa riak bersalah dengan perbuatannya kepada adik sendiri.
Puan Azah menarik badan Nurin dengan rakus sekali, diheret, dan selepas memberikan penampar ke pipi, tubuh Nurin ditolak ke sofa kayu jati berhampiran.
Aduh! Sakitnya yang amat. Sudahlah kena tampar, belakang Nurin terhentak pula pada kayu pemegang sofa. Terhenyak Nurin di situ menahan sakit. Muka pedih, belakang badan nyilu. Laju air matanya keluar. Dia terkejut sangat apabila tiba-tiba mendapat ‘hadiah’ yang tidak dijangka langsung. Kalaulah dia tahu, sudah tentu dia menyusup ke rumah Alan terlebih dahulu. Biar Puan Azah putus asa menunggunya pulang dan Zurin sudah berambus ke kelab malam.
Lebih menyedihkan, Nurin tidak tahu hukuman ini untuk kesalahan apa. Setahunya, dia tidak buat sesuatu yang pelik hari ini. Keluar ke pejabat pun dia tidak bersarapan di rumah. Dia tidak bertegur sapa dengan sesiapa pun sebab masing-masing masih di tempat tidur. Fatin pun masih tidur. Maklumlah, cuti sekolah.
“Sakit? Rasakan. Kau ni, Nurin… Makin dibiar, makin melampau perangai. Sebab tu nak kena ajar sikit. Sanggup kau buat dajal kepada adik sendiri. Apa salah Zurin hingga kau fitnah dia macam-macam?!” marah Puan Azah dengan suara lantang. Puan Azah bercekak pinggang dengan mata garang menghadap sekujur tubuh Nurin di hadapan.
“Nurin buat apa, emak?” tanya Nurin perlahan. Dalam sakit-sakit dan takut, nak juga tahu apa salah dia hingga buat emak berang yang amat.
“Boleh tanya lagi?” Kepala Nurin pula ditunjal-tunjal dengan jari telunjuknya. “Aku tahu kau tak suka Zurin kerja satu pejabat, kan? Sebab sudah tentu Zurin mendapat pangkat lebih tinggi sebab kelayakan dia lebih baik daripada kau, kan? Hati kau busuk hingga sanggup buruk-burukkan Zurin dan kata dia tak lulus belajar. Sekarang, puaslah hati kau bila Nurin kena hina masa temu duga tadi, kan? Kakak apa kau ni hingga tergamak buat adik sendiri begitu? Kenapalah aku ada anak sejahat kau?!”
Nurin bungkam! Ya Allah… Begitu ceritanya. Zurin tidak dapat kerja sebab mulut Nurin yang jahat buat fitnah.
Zurin di belakang Puan Azah tersenyum sinis melihat kakaknya mendapat balasan. Padan muka! Puas hati dia. Air mukanya telah jatuh berdebuk-debuk di hadapan Zanif pagi tadi kerana terpaksa mengaku yang dia tidak habis belajar. Sekarang, baru hatinya gembira dan bahagia. Biar si cacat ini sama-sama menanggung luka hatinya.
“Nurin tak buat apa-apa, mak…” Nurin cuba nasib untuk membela diri.
“Habis? Kau nak kata anak aku yang reka-reka ceritalah? Zurin bukan macam kaulah! Kau dah buat salah, cerita yang bukan-bukan sana sini, kau nak kata pula Zurin yang jahat? Hei, aku kenallah hati kau tu macam mana dan hati anak yang aku sayang macam mana. Kau tu sedari kecil memang dah busuk! Dahlah cacat, hati yang dalam pun tak elok! Tak ada satu pun yang elok tentang kau ni, Nurin!”
Puan Azah terus menyinga. Marah dan bencinya kepada Si Nurin bukan makin berkurang, malah semakin bertambah dari sehari ke sehari. Tambahan pula setelah kepulangan Zurin, makin terserlah keburukan anaknya yang seorang ini. Darjah kebenciannya semakin mencanak naik hingga ada ketika, tidak tersimpan di dalam dada. Dia terpaksa hamburkan kepada tuan punya badan yang dia tidak suka itu.
“Nurin tak salah, mak. Nurin tak tahu apa-apa…”
Sekali lagi Nurin kena tempeleng! Puan Azah sudah dirasuk perasaan marah yang keterlaluan. Sungguh dia tidak dapat menahan sabar dengan Nurin. Baginya, anak bedebah ini sudahlah buat salah, lepas tu cuba untuk menafikan. Puan Azah mengangkat lagi tangan…
“Azah!!!”
Suara Encik Arshad bergema di muka pintu.
Puan Azah tidak jadi meletakkan tangan buat kali ketiga ke tubuh Nurin. Bukan kerana takut suami, tetapi kehadiran si suami sedikit sebanyak menyedarkan dia daripada kemarahan yang memuncak.
“Itu bukan caranya mengajar anak, Zah. Jika Nurin salah sekalipun, tegurlah dengan cara yang tak menyakitkan,” nasihat Encik Arshad. Walaupun dia tahu jika marah kepada anak sulung mereka, isterinya jarang ada timbang rasa. Main ikut nafsu amarahnya saja.
“Hesy! Awak apa tahu? Saya yang menghadap cerita budak-budak ni dua puluh empat jam. Hati Si Nurin ni buruk, seburuk orangnya. Jika dibiarkan, semakin menjadi-jadi. Nanti apa lagi yang dia aniaya Zurin,” balas Puan Azah garang.
Encik Arshad menggeleng kepala. Ada-ada sahaja cerita isteri dan anak-anak perempuannya. Rumah tidak pernah surut daripada masalah, malah bertambah-tambah sejak Zurin pulang dari luar negara. Kadang-kadang rasa bosan untuk balik ke rumah.
“Nurin, naik atas masuk bilik!”
Tidak sampai hati Encik Arshad melihat keadaan anak dara sulungnya. Selalu sahaja menjadi mangsa. Sebenarnya, dia sendiri kurang jelas apa yang berlaku. Betul atau tidak Nurin yang bersalah sepertimana yang dikata oleh si isteri.
Nurin segera patuh. Walau agak payah untuk bangun, dia berusaha untuk cepat pergi dari situ. Itu yang diharapkannya. Mujur ayah balik tepat pada waktunya. Tidak tahu apa akan terjadi jika ayah tidak muncul tika itu. Mungkin patah riuk tulangnya dan hancur kulit muka kena tampar dan tempeleng. Tangan Puan Azah yang tebal dan kuat tu boleh tahan penangannya apabila landing ke muka Nurin. Belum dikira tangan Si Zurin shallot lagi.
Fatin sudah sedia menunggu kakak kesayangan di sebalik pintu bilik. Dipeluk kakaknya erat-erat setelah pintu ditutup dan dikunci dari dalam. Sangat terharu dengan apa yang berlaku. Alangkah baiknya jika dia mampu menolong. Fatin akan sepak balik wajah Si Zurin yang jahat itu. Namun, apakan daya… Fatin hanyalah seorang adik kecil.
“Kasihan kakak…” Fatin meratap dan masih memeluk Nurin dengan kejap.
“Tak apa, sayang. Fatin percaya kakak pun dikira satu rahmat.”
“Kakak baik. Fatin sayang kakak. Abang apek pun sayang. Uncle Wong pun sayang kakak. Kakak baik. Emak dengan Kak Zurin saja yang jahat.”
“Sssyyy… Emak tak jahat, sayang. Dia sanggup tahan sakit lahirkan kita. Jadi, dia tak jahat.”
“Habis tu, kenapa dia pukul kakak?” Fatin tayang muka keliru.
“Mungkin emak ada masalah sendiri. Kadang-kadang kita anak-anak tidak dapat memahami apa masalah yang mereka hadapi. Jadi, kita tidak boleh menuduh mereka sembarangan.”
Perlahan suara Nurin memujuk Fatin. Walaupun hati sendiri remuk-redam dengan perbuatan emak terhadap dirinya, dia tidak mahu Fatin ada perasaan benci kepada Puan Azah. Seorang anak tidak seharusnya mempunyai rasa tersebut terhadap ibunya. Selagi seorang anak perempuan belum berkahwin, syurganya tetap di bawah telapak kaki ibu. Sama seperti anak lelaki. Sejahat-jahat mana pun perangai seorang ibu, dia tetap orang yang paling berjasa bagi seorang yang bergelar anak. Siapa yang boleh menafikan?
****
ARE you okay?”
Jawapannya dua ratus peratus Nurin tak okey. Teruk kena belasah, kena herdik dengan emak di hadapan bawang busuk, siapa kata boleh okey dalam masa satu jam? Nurin perlu masa untuk pulih. Bukan saja fizikal yang sakit, sengal dan lebam sana sini, mental lebih-lebih lagi. Trauma apabila teringat kembali. Mesti makan masa untuk kembali sembuh jadi normal semula.
Tapi… Takkan hendak mengada-ada dekat Zanif, kan? Zanif tu siapa? Nurin ni siapa? Sudah tentu bos telefon sebab hal kerja, bukan saja-saja untuk pujuk dia.
“Saya baik-baik saja. Ada hal apa Zanif call saya, ya?”
“Ya ke baik? Suara macam baru lepas nangis aje Nurin? You ada masalah ke?”
Suara Zanif penuh kelembutan dan perhatian. Nurin yang mulanya tidak mahu menggedik kepada bos terus bertambah sebak. Hati perempuannya terusik juga apabila ada yang cuba mengambil berat. Lebih-lebih lagi oleh orang yang mula disukai. Perasaan wanitanya mula tersentuh dengan perhatian demi perhatian yang dicurahkan walaupun lelaki ini tidak tahu realiti sebenar kehidupannya.
“Yaaa… Sungguh tak ada apa-apa.” Tetapi suara Nurin yang bercampur esakan memberikan jawapan sebenar. Ya… Dia tengah bersedih. Sedih sangat!
“Eh… Kenapa ni?” soal Zanif dengan nada sangat lembut.
Semakin teresak-esak Nurin jadinya. Dia sudah tidak dapat bertahan seorang diri.
“Nurin, I pergi jumpa you?”
Untuk Nurin, sifat gentlemannya entah kenapa, automatik saja jadi yang terbaik. Selalu tu, dia berkira-kira juga terhadap perempuan lain. Tak mahulah perempuan yang dia tak berkenan terlebih perasan terhadapnya. Susah pula nak lepaskan diri nanti. Dia sekadar ingin bersuka-suka saja, dapat sentuh ringan-ringan jadilah. Dia belum pernah terfikir yang serius.
Namun, anak-anak gadis sekarang ni mudah tawarkan diri. Jadi, tak perlu bekerja keras untuk ambil kesempatan. Lelongan murah aje setiap malam. Pandai-pandailah buat pilihan. Sebab itu ada lelaki yang tak kesah tak kahwin walau umur sudah mencapai usia emas. Sekadar penuhi nafsu serakah, bersepah-sepah ‘bini’ tanpa surat nikah.Tak kempunan kalau mati semasa bujang, cuma antara berani dengan tidak untuk galas dosa dan bersedia rentung dibakar api neraka.
“Eh… Jangan, encik! Jangan! Tak perlu datang!”
Lagi haru jika Encik Zanif datang. Ketar Nurin jika betul bosnya betul-betul sampai di rumah. Apa dia nak bagi alasan kepada emak yang tengah meletup macam gunung berapi Krakatau tu. Mahu lunyai tubuh Nurin kena belasah lagi. Nasib tak baik kena kerat dua puluh lapan bahagian.
“Then… tell me why are you crying?” soal Zanif dengan suara penyayang dan romantik.
“Tak ada. Errr… Tak ada masalah besar, bos. Cuma hal keluarga yang biasa-biasa saja. Saya ni yang galak terlebih emosi. Sikit-sikit nangis. Murah air mata sungguh. Balas dendam sebab teringin nak jadi pelakon air mata tapi tak ada director sudi ambil sebab hanya scene nangis saja yang saya tahu…”
Panjang dan laju jawapan Nurin untuk meyakinkan Encik Zanif supaya bosnya tidak menyerbu datang ke rumah. Bahaya betul bos dah tahu rumah. Sikit punya hal, bila-bila masa dia boleh terjah. Satu amaran untuk Nurin juga. Jangan sekali-kali buat kerja halai-balai, senang-senang saja bos serang rumah nanti.
Di hujung talian, Zanif sudah tertawa kuat. Senang dengan cara Nurin yang tidak mengada-ada. Sedikit pun tidak terkinja-kinja apabila mendengar dia hendak datang. Hmmm… I like! Bertambah nilai kredit untuk gadis ini. Mama pun pasti suka seratus peratus! Manis dan periang.
“Kalau begitu lega hati I. Pergilah rehat. Hentikan drama air mata tu sebab pengarah nak buat scene komedi pula. Scene air mata dah tak laku sebab orang lebih enjoy ketawa daripada menangis.”
Spontan Nurin tertawa halus. Terima kasih bos kerana berusaha menghiburkan hatinya. Sekurang-kurangnya, sakit yang ditanggung hilang sekejap.
“Errr… Repot yang saya hantar petang tadi tak complete ke Encik Zanif?” “Perfect. Cuma I call ni nak minta maaf pasal adik you. I tak terima sebab dia tak layak untuk jawatan tu. Harap you faham. To me, work is work, no compromise.”
“Saya faham, encik. No hard feelings… Don’t worry.”
Malah Nurin lagi suka ‘si bawang busuk’ kena tolak. Huru-hara pejabat kalau dia kerja di situ. Cukuplah di rumah dia buat onar.
“Good. Okay then… Take care of yourself, dear… Good night, sleep tight and dream of me. Your wangi boss… Hahaha…”
Waduh! Jiwa Nurin sudah terbang melayang-layang. Pergi segala kesakitan yang ditanggung. Mulut Zanif sangat manis. Terpujuk hati dengan perbuatan busuk Zurin.
Selepas letak telefon, Nurin bersemangat untuk mandi, bersihkan diri, tukar baju dan solat. Panjang dan lama doanya. Moga Allah terus berikan dia kekuatan demi kekuatan untuk terus berjuang menghadapi hidup yang kadangkala sungguh menyedihkan. Bertambah ketenangan yang diperolehi selepas mengadu kepada Si Dia.
Namun, sekejap kemudian sakit di tubuhnya semakin perit pula jadinya. Ditambah dengan keadaan badan yang tiba-tiba seram sejuk. Cubalah bertahan, badan. Takkan sedikit sahaja ujian, sudah jatuh ranap? Sumaiyah zaman Rasulullah dahulu diseksa dengan berbagai-bagai cara, masih mampu untuk pertahankan iman dan tetap bersyukur kepada Allah S.W.T.
“Kakak, abang apek telefon masa kakak mandi. Adik angkat.” Dalam mata tertutup, mulut Fatin bersuara.
Nurin senyum. Tidak tidur lagi rupa-rupanya si kenit ni. Nurin tanggalkan telekung di badan lalu dilipatnya tiga dan disangkut pada ampaian besi di dinding. “Heh, abang apek cakap apa dengan adik?”
“Dia tanya fasal kakak. Adik terus cerita yang kakak kena pukul teruk sampai biru pipi.”
“Hurm… Adik ni tak boleh simpan rahsia langsung!”
“Kenapa kena simpan? Selalu tu kita beritahu semua dekat abang apek. Dia kan sayang kita. Kakak dah ada abang lain ke? Tak suka abang apek lagi?” Fatin tak puas hati. Banyak soalan yang berlegar di dalam kepalanya dikeluarkan.
“Yalah, yalah. Tak apalah jika abang apek tahu. Jomlah tidur, kakak dah tak larat sangat ni.”
Nurin cepat-cepat tutup lampu lalu baring di atas katil dan menarik selimut. Nampak gayanya, Fatin pun dah pandai nak korek rahsia. Pasang telinga saja dia dari tadi agaknya.
“Kakak, abang yang telefon tadi baik macam abang apek ke? Yang hantar kakak hari tu, kan? Kakak boleh kahwin dengan dia? Kalau dengan abang apek tak boleh sebab lain-lain agama. Lagipun ayah dan emak tak suka. Kalau abang tu baik, tentu dia dapat jaga kakak. Fatin nak kakak gembira, tak kena marah, tak kena pukul dengan emak dan kakak jahat lagi.”
Fatin tetap membebel tak sudah…
Nurin diam tidak berkutik. Dia pura-pura sudah tidur, namun dia simpan senyum di dalam perut. Dalam tidak selesa badan, masih terasa lucu dengan keletah Fatin. Sejauh itu Fatin berfikir. Tersentuh pun ada. Fatin mengharapkan satu keajaiban untuk kakak malangnya. Dalam diam, Nurin juga mengharapkan keajaiban! Agak mustahil untuk hidup dengan Alan yang tertutup hatinya untuk percaya adanya Tuhan. Tetapi tidak mustahil untuk Zanif sukakan Nurin kut… sebab putik-putik kemesraan telah dirasa bersama. Nurin… Alangkah perasannya!
Sepanjang malam itu, tubuh Nurin terus-terusan tidak selesa. Sengal dan bisa sana sini. Suhu badan tidak konsisten. Sekejap panas berbahang, sekejap sejuk macam ketul ais. Dahsyat juga penangan tangan emak dan serangan mental Si Zurin kali ini. Tak tertanggung rasanya seorang diri.
Subuh menjelma. Dalam terketar-ketar, dia gagahkan diri untuk bangun. Motifnya? Pergi kerja. Boleh sahaja ambil cuti sakit, tetapi belum tentu dapat hidup aman di rumah ini. Di pejabat lagi selesa. Dia tahu marah emak masih bersisa. Maklumlah pada emak, dia yang menjadi penyebab Zurin tidak mendapat kerja di pejabatnya, sedangkan emak sangat berharap. Harapan penuh makna. Langkah pertama untuk emak menjadikan Zanif suami Si Zurin. Itu menantu impian Puan Azah untuk anak gadis kesayangannya.
Emak… Emak… Dalam ramai-ramai orang kacak lagi kaya, dengan Zanif juga dia tersangkut. Kasihanlah kepada anak sulung yang tak sedar diri ini yang memasang angan yang sama… Tolonglah emak cari jejaka lain untuk Si Zurin. Dia kan banyak peluang. Ramai lelaki di luar sana yang tentu berkenan anak emak yang jelita lagi bijak itu. Lainlah Nurin. Setakat ini Alan yang berfikiran bebas sahaja yang sanggup mendekatinya. Zanif tu baru saja mencuba-cuba, tetapi Nurin sudah mimpi hingga ke angkasa lepas. Tolonglah emak, beri Nurin peluang!
Bayangan wajah Zanif yang memberi kekuatan untuk Nurin bangun. Fizikal tak mampu tapi semangat untuk melihat wajah bos berkobar-kobar. Rindu ke tu?
Wajah Nurin?
Terkejut dia melihat wajah sendiri di cermin. Bukankah bos sudah kata, dia mesti lihat wajah comel Nurin sebelum mula kerja? Dengan wajah yang begini? Pucat lesi dengan kesan dua lebam! Semangat Nurin jatuh merudum. Ah… Air mata mulalah kembali bergenang. Pantang hati terusik sedikit. Manja.
Tak mengapalah. Kalau bos sibuk-sibuk tanya mengapa, jawab saja jatuh di dalam bilik air lalu muka cium mangkuk tandas. Atau pun boleh juga kata jatuh katil sebab mimpikan bos yang berbau harum. Tentu dia ketawa punya hingga lupa nak tanya soalan.
Sesudah berpakaian kemas dengan sepasang baju kurung biru dan tudung warna sedondon, perlahan Nurin menapak keluar dari rumah. ‘Ibu singa’ dan ‘anak singa’ nampak gayanya masih belum bangun. Semalam letih sangat mengaum agaknya. Fatin pula sudah ke sekolah untuk ke kem motivasi sewaktu Nurin di dalam bilik air tadi. Abah yang hantar Fatin.
Apabila melihat skuter merah jambu, badan rasa tak berdaya pula untuk menunggang lalu Nurin terus menapak ke perhentian bas berhampiran rumahnya. Naik teksi sajalah. Boleh terus sampai ke bangunan pejabat. Kalau dengan bas mahunya kalah dirempuh orang dengan badan yang lemah begini. Sampai di perhentian bas, tubuhnya terasa seram sejuk dan gelisah. Sungguh tidak selesa. Mata pula berpinar-pinar.
Mujur ada Alan yang terkocoh-kocoh sampai untuk menyambut tubuh Nurin sebelum jatuh di pinggir jalan raya. Kalau tidak, tak tahulah nak kata apa.
RAHANG Alan berlaga-laga. Sedari pagi dia cuba menahan marah di dalam dada. Mujur dia cepat keluar untuk mencari dan melihat keadaan Nurin. Dan mujur Nurin selamat rebah di dadanya. Bayangkan keadaan Nurin jika dia terlambat sedikit, apa-apa boleh terjadi.
Alan terus membawa Nurin ke klinik berhampiran. Kini, Nurin tengah nyenyak tidur sehingga tak sedar yang dirinya tidur di atas katil milik Alan. Tadi doktor telah memberi suntikan tahan sakit untuk merehatkan Nurin. Sebaik sahaja sampai di rumah Alan, Nurin tanpa banyak bicara terus baring ke tempat yang dicadang oleh Alan.
Tergamam Alan apabila melihat keadaan Nurin. Begitu teruk Nurin dikerjakan. Emak Nurin tu manusia ke binatang? Kucing pun tahu sayang anak. Ke mana perginya perasaan kasih seorang ibu, Puan Azah? Hingga kini, Alan masih belum bertemu jawapan, kenapa Nurin dilayan teruk oleh keluarga kandung. Logikkah sebab kekurangan yang tidak seberapa itu? Nurin bukannya terlantar di atas tilam dan menyusahkan hidup mereka. Sedangkan ramai ibu bapa yang punya anak kurang upaya, mereka menjaganya sebaik mungkin dengan penuhkasih sayang, malah ramai juga ibuibu yang sanggup berhenti kerja demi memberi perhatian kepada anak yang dilahirkan kurang sempurna. Darah daging mereka, zuriat mereka dan bukan salah anak itu jika dilahirkan begitu.
Sepicing pun Alan tidak dapat melelapkan mata semalam. Bimbangkan Nurin. Hanya keluarga dia sahaja yang tahu keadaan Nurin setiap kali kena belasah dengan Puan Azah. Alan selalu bertindak menyabarkan Nurin, memberikan semangat dan menyuntik pemikiran positif.
Tetapi untuk kali ini, diri Alan sendiri tidak mampu untuk bersabar lagi. Tidak sanggup untuk terus-terusan melihat Nurin didera.
“Alan nak buat police report, papa. Tak boleh tahan lagi tengok mereka buat sesuka hati dekat Yien.”
Alan berkata dengan serius kepada Uncle Wong yang baru datang dari arah dapur. Sebuah muk berisi air kopi yang masih berasap ditatangnya. Serius juga tindak balas muka Uncle Wong dengan apa yang didengarnya. Berkerut dahinya sedang memikirkan sesuatu.
“Kes serius, Alan. Kena bincang dengan Yien dahulu. Itu keluarga dia, kita tak patut masuk campur dalam-dalam.” Uncle Wong memberi pandangannya.
“Tapi emak dia sudah melampau, papa. Tambah-tambah bila Zurin balik, lagi teruk dia layan Yien. Itu Zurin betul-betul sau poh (perempuan gila), tak ada hati perut. Kerja dia asyik mengenakan Yien saja.”
Uncle Wong mengeluh. Muk di tangan diletakkan di atas meja. Sudah tak ada keinginan untuk menghirup kopinya. Sesal dengan apa yang dia lihat dan dengar. Begitu tak adilnya manusia di dalam dunia ini. Tuhan bagi anak, disia-siakan begitu sahaja sedangkan mereka cukup segala. Tidak seperti keluarga dia, walaupun tidak kaya, namun saling menyayangi antara satu sama lain. Bukankah kasih sayang keluarga yang paling bernilai? Tanpanya, duit berjuta-juta pun tiada makna.
“Abah Yien pun sama. Tak ambil berat langsung. Takut bini! Biar dia orang semua masuk penjara. Lebih baik kita jaga Yien daripada emak abah dia yang jaga,” tambah Alan lagi. Geram dan marah dia sudah sampai kemuncak.
“Sabar, Alan. Wait until she recover. Baru kita discuss. Jangan buat sesuatu yang tambah memburukkan lagi keadaan. Mana tahu Yien tak setuju? Memanglah dia sakit dan terseksa, but they still her parents. Tentu dia sayang sama parents dia.”
Alan merengus. “Huh! Apa ertinya sayang jika begitu? We must help her, papa…”
“I know, Alan. Mungkin kita boleh tolong dengan cara lain?”
“Like what?”
“Move her out from the house? Apart Yien from them?”
“Encik Arshad pasti tentang habis-habisan. Bukankah kita pernah cuba? Dia tak suka Yien tinggal tempat lain. Yang peliknya, dengan Yien boleh pula dia bertegas, dengan Puan Azah tak boleh!”
Alan kembali berbahasa Melayu. Berbual dengan papanya begitulah, banyak bahasa dia orang guna. Kusut dia memikirkan masalah Nurin hingga terpaksa mengambil cuti kecemasan hari ini. Namun, jika dia tidak bertindak untuk menyelamatkan gadis itu, siapa lagi yang akan buat? Jiran-jiran lain semuanya membisu. Si miskin ini sahaja yang sibuk hal orang. Habis, Nurin tu manusia dan Alan juga punya perasaan serta perikemanusiaan walaupun dia tidak mengaku adanya Tuhan. Kadang-kadang terfikir juga, mereka yang ada Tuhan ni, kenapa Tuhan tidak melindungi? Seperti Nurin, sangat kuat kepercayaannya, kenapa pula hidup dia begitu mengecewakan? Di mana Tuhan Nurin?
“Marry… It’s the best way for her.”
“Nurin? Kahwin? With whom?”
“You… Alan!”
Bulat mata Alan memandang wajah papanya. Bijak, memang bijak idea papa. Tapi bolehkah diaplikasikan? Nurin dan Alan berkahwin?
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73731/jujurlah-nikahi-aku