GAMBAR Dato Mustaffa Harun terpampang di dada akhbar,Dato Mustaffa Harun telah memfailkan saman malu dan fitnah kepada Dyna. Siaran berita tengah hari itu juga telah tersiar mengenai perkara itu. Dyna terduduk apabila mengetahui hal itu. Dia seakan-akan tidak percaya Dato Mustaffa Harun mengotakan kata-katanya. Bagaikan orang gila, dia membaling peti televisyen itu. Dia mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja kecil berdekatan dengan tempat duduknya. Dia mendail nombor seseorang. “Helo!” jerkahnya sebaik sahaja panggilannya dijawab. “Pekak telinga aku,” marah penerima. “Kau tengok apa dah jadi? Dato Mustaffa nak saman aku. Semua ni kau punya idea!” marah Dyna. “Kau yang silap, kenapa aku pula kau nak salahkan? Aku suruh lain, kau buat lain!” sahut menerima panggilan itu. “Sekarang apa aku nak buat? Kalau aku tak ikut idea kau, benda ni semua takkan terjadi.”
“Sudahlah… Bukan ke aku suruh kau pujuk kekasih kau tu. Bukan maki hamun perempuan tu. Kau yang gila! Tak sabar sangat!” marah penerima panggilan itu. “Aku nak kau tolong aku.”
“Nak tolong apa lagi?” jawab suara di hujung talian. “Aku belum dapat apa yang aku nak. Kau kena tolong aku sampai dapat!” keras Dyna mengeluarkan katakata. “Kau yang tak ikut betul-betul plan kita tapi kau ikut sangat hati. Akibatnya?” soal suara tersebut. “Arghhh!!!” Dyna mula menjerit. “Kau kena relaks, Dyna. Kalau kau gelabah macam ni, susah kau nak atur apa-apa plan.”
“Aku dah tak ada idea. Kau ingat senang nak lawan Dato Mustaffa? Dia peguam terkenal. Silap hari bulan, memang aku masuk penjara!” jawab Dyna dengan penuh rasa dendam. “Kalau kau fikir macam tu, lebih baik kau menyerah saja. Kau minta maaf, mesti mereka maafkan kau.” Mudah benar si penerima panggilan itu mencari jalan keluar. “Aku nak Alif Hazriq. Aku tak nak benda lain. Aku nak kekasih aku kembali dekat aku!!!” jerit Dyna lagi. Klik! Talian terus dimatikan. Naik pekak telinga si penerima panggilan itu apabila Dyna menjerit bagai orang gila. Dyna menjerit lagi. Dia tidak sangka begini nasib yang menimpa dirinya.
BARU sahaja Mira Maira ingin ke dapur, loceng rumahnya berbunyi berkali-kali. Dia tidak terus membuka pintu, ia mengintai melalui lubang kecil yang ada di pintu rumahnya. Dadanya berdebar sebaik sahaja dia nampak tetamu yang ada di hadapan rumahnya itu. “Macam mana dia boleh naik? Siapa yang benarkan?” soalnya sendiri. Mira Maira terus mendail nombor telefon Alif Hazriq. Dia bimbang akan berlaku perkara yang tidak diingini apatah lagi lelaki itu tiada di rumah. “Abang…” Cepat-cepat Mira Maira melangkah ke dapur. “Assalamualaikum, sayang…” “Waalaikumussalam, abang… Abang…” ucap Mira Maira tersekat-sekat. “Kenapa suara macam cemas aje ni?” “Mira tak tau nak buat apa ni. Dyna ada kat luar,” katanya cemas. “Hah?! Siapa benarkan dia masuk?” marah Alif Hazriq padahal dia telah memberi arahan kepada pihak pengawal keselamatan supaya tidak membenarkan sesiapa yang ingin menemui isterinya kecuali dengan keizinannya. “Mira tak tau, bang,” jawab Mira Maira. “Okey… Okey… Abang call guard sekarang. Mira jangan bimbang ya… Kunci pintu. Selagi abang tak balik, jangan buka pintu. Faham?” Mira Maira mengangguk. Mira Maira duduk diam. Dia langsung tidak berkutik. Seketika kemudian, dia terdengar ada suara lelaki mengarahkan Dyna pergi dari situ. Dyna pada awalnya enggan dan memaki hamun pengawal keselamatan itu. Mira Maira mengintai lagi. Tangan Dyna ditarik oleh lelaki warga asing itu. Akhirnya, Dyna pergi juga. Mira Maira rasa lega. Telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera menekan punat berwarna hijau.
“Ya, bang…” jawabnya sebaik sahaja dia memberi salam. “Dia dah pergi?” soal Alif Hazriq dalam nada yang risau. “Dah… Dua orang guard datang tadi,” terang Mira Maira. “Bagus! Mira jangan bimbang apa-apa ya… Semuanya akan selamat. Guard tu nak kena dengan abang. Entah macam mana boleh lepas. Abang pun tak tau. Okey, Mira. Abang kena pergi sekarang. I love you…” “Love you to, abang…” Mira Maira cukup lega. Namun jauh di sudut hatinya, dia bersimpati kepada Dyna. Kes saman malu dan fitnah itu akan berlangsung di mahkamah tidak lama lagi. Mungkin Dyna tertekan. Apabila orang tertekan, macam-macam dia akan lakukan. Kalau boleh dia ingin menolong, namun apa yang dia mampu buat? Babahnya enggan menarik kembali kes saman itu manakala suaminya tidak membenarkan dia bertemu dengan Dyna. Sudahnya, dia tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku seterusnya. “Ya Allah… Kasihanilah hamba-Mu tadi… Dia tersesat dalam kehidupannya. Kembalikan dia ke pangkal jalan. Kasihanilah dia, Ya Allah,” doanya tanpa henti.
SEBELUM maghrib, Alif Hazriq sudah sampai ke rumah. Sebaik sahaja memberi salam dan pintu dibuka dari dalam, Alif Hazriq terus memeluk isterinya. “Sayang tak ada apa-apa, kan?” soal Alif Hazriq. “Abang… Dia tak masuk rumah kita pun. Dia kat luar aje…” terang Mira Maira. “Abang bimbangkan sayang… Tadi abang jumpa guard tu, tanya macam mana Dyna boleh lepas.” “Apa jawabnya?” soal Mira Maira. “Hmmm… Dia yakinkan guard tu. Katanya abang dah beri kebenaran. Dia tipu kononnya sayang sakit. Geram pula abang rasa. Lepas ni kalau terlepas lagi, mahu abang amuk dia orang tu,” bebel Alif Hazriq. “Dahlah, bang. Lagipun, Mira selamat. Abang pergilah mandi. Dah dekat nak masuk waktu dah ni,” gesa Mira Maira. Alif Hazriq segera ke bilik air. Ketika Mira Maira menyediakan baju tidur untuk suaminya, telefon bimbit milik suaminya berbunyi. “Abang… Abang…” Mira Maira mengetuk pintu bilik air. Mungkin ada hal penting, detik hatinya. “Yup!” jerit Alif Hazriq dari arah dalam.
“Handphone abang berbunyi. Banyak missed call masuk. Mungkin ada hal penting,” laung Mira Maira untuk melawan bunyi air di dalam bilik air. “Mira tolong jawabkan,” arah Alif Hazriq. “Okey!” Mira Maira menanti andai orang yang sama membuat panggilan lagi. Sangkaannya tepat sekali. Telefon bimbit itu berbunyi lagi. Mira Maira menekan punat berwarna hijau. “Assalamualaikum…” Senyap. Si pemanggil enggan bersuara. “Helo… Siapa ni?” Senyap lagi. Mira Maira menjongket bahunya. Dia terus memutuskan talian. “Siapa yang call, sayang?” tanya Alif Hazriq sebaik sahaja dia melangkah keluar dari bilik air. Mira Maira menggeleng. “Mira angkat pun tak nak jawab. Nombor tak ada dalam senarai,” kata Mira Maira. Dia sudah bersiap-siap mengenakan kain telekung. Tidak sampai lima minit, telefon bimbit itu berbunyi lagi. Kali ini Alif Hazriq pula yang menjawab. “Sayang… Tolonglah jangan buat I macam ni… Tolong I, sayang.” Belum sempat Alif Hazriq berkata apa-apa, dia terdengar suara Dyna merayu.
“Pergilah ambil wuduk dan bersolatlah. Hanya Allah sahaja yang mampu tolong you. Assalamualaikum.” Alif Hazriq terus mematikan talian dan juga telefon bimbitnya. “Siapa?” soal Mira Maira ingin tahu. “Dyna…” jawab Alif Hazriq malas. Mira Maira mengangguk. Patut pun dia tidak mahu bersuara, bisiknya sendiri.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90659/jangan-pandang-sebelah-mata-bro