[SNEAK PEEK] JANGAN BUAT BAIK, BUAT TERBAIK

Jangan Buat Baik, Buat Terbaik Oleh Zul Ramli M. Razali, Hamid Addin

Kisah Gadis dan Kebun Pisang Pada Tengah Malam

Ada satu kisah yang diceritakan oleh seorang wanita muda kepada saya. Dia menceritakan kepada saya bahawa dia memeluk agama Islam ketika berusia 16 tahun. Dia dilahirkan dalam keluarga yang bukan beragama Islam. Dia memiliki empat orang adik beradik. Keluarganya cukup kuat beramal dengan ajaran agama lama mereka. Bahkan sewaktu mereka masih kecil, keluarga mereka sudah menanamkan rasa kebencian terhadap agama Islam.

Apabila gadis ini berumur 16 tahun, dia mendapat tawaran bersekolah di sekolah berasrama. Di sana, dia berkawan dengan kawan-kawan yang beragama Islam. Apabila dia berada dalam persekitaran rakannya yang beragama Islam, dia dapat melihat bahawa Islam bukan agama yang jahat seperti yang dimomokkan oleh keluarganya sejak dia masih kecil lagi.

Lama kelamaan, dia semakin seronok. Dia bukan sekadar seronok bersahabat bersama rakan-rakan yang beragama Islam, malah dia juga semakin suka dengan agama Islam. Sehingga sewaktu dia melihat sahabatnya memakai telekung untuk mendirikan solat, hatinya merintih, alangkah indahnya jika dia juga dapat memakai sesuatu yang dapat mengangkat maruahnya sebagai seorang wanita.

Pada masa yang lain, dia pernah duduk berteleku mendengar laungan azan sehingga laungan itu berakhir. Kadang-kadang, air matanya mengalir. Dia dapat merasakan satu nikmat yang cukup luar biasa, namun dia tidak pasti nikmat itu datangnya dari mana dan mengapa ia tiba-tiba hadir. Apa yang pasti, dia dapat merasakan kelazatannya sewaktu mendengar kalimah-kalimah agung azan yang dilaungkan.

Pada bulan November, dirinya membulatkan tekad. Dia tidak mampu lagi menipu dirinya. Atas keinginannya yang membuak-buak dari lubuk hatinya yang suci, dia bertemu dengan seorang ustaz. Dia meminta ustaz tersebut mengislamkan dirinya di surau sekolahnya. Di sana, dia dipimpin mengucapkan dua kalimah syahadah.

Tidak berapa lama kemudian, cuti sekolah pun bermula. Dia sempat memaklumkan kepada kawan-kawannya bagi merahsiakan keislamannya supaya tidak diketahui oleh keluarganya. Dia amat maklum akan kebencian keluarganya terhadap agama Islam.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/347084