[SNEAK PEEK] Halusinasi

9789831248973-medium

EBUKU Halusinasi oleh Jessy Mojuru

Bunyi kaki bangku menggeser lantai mengisi suasana. Maya menghenyak punggung dengan pandangan sudah pun tersua ke arah monitor komputer. Apapun gadis itu bangkit semula dan berundur dengan muka tegang. Dia terkejut apabila sederetan ayat bertinta merah darah muncu l satu per satu di dada skrin komputer.  Awak akan menerima padahnya, Maya! Ayat-ayat itu kemudian mencair lalu berluyutan deras ke bibir skrin dan kini menitik-nitik menimpa meja komputer. Situasi tersebut tidak berakhir di situ. Cairan yang semacam darah manusia itu kini menyimbah lantai pula.  Maya panik dan berasa amat takut. Dia terus berundur tanpa mengacuhkan lagi bangku tempatnya mendarat tadi terpelanting berhampirannya. Tiba-tiba darah hanyir yang kini menggelegak di depannya itu bangkit lalu membentuk sesusuk tubuh. Lembaga tersebut menyerupai seorang wanita yang memakai jubah hitam.  Maya terpekik apabila lembaga yang terbentuk daripada cairan darah merah itu bergerak perlahan arahnya. “Jangan! Jangan apa-apakan aku! Jangan! Tolongg!” Dia terus berundur dan menjerit histeria. Tersentak dia apabila jatuh tersungkur dari bangku. Dia terlentang dengan belakang kepala terhantuk di dinding bilik.  “Cis, aku tertidur rupanya!” Maya meradang apabila mendapati dia cuma bermimpi tadi. Dalam keadaan mamai, dia bangun sambil mengusap tulang pundaknya. Bangku kayu yang tergolek didirikan. Dengan muka berkerut-kerut dia duduk. “Kan aku dah terbangun dari tidur sebelum ni. Macam mana aku boleh tertidur semula?” Dia mengetuk kepala, semakin bingung memikirkan semua fenomena ini. “Mungkin aku berhalusinasi,” fikirnya mengandaikan situasi dirinya. Lantas ekor matanya tercari-cari mug berisi air Nescafe yang dibancuhnya tadi.  “Kalau benar aku tak berhalusinasi, mesti mug tu masih berada kat sini dan tak berisi apa-apa,” lanjutnya seraya bangun. Dia terkejut tatkala ternampak mug yang dicarinya itu berada dekat dengan balang penapis air. Asap nipis dari dalam mug seramik tersebut masih meliuk-lentok.  “Eh, sakitnya kepala aku.” Maya semakin bingung memikirkan keadaan dirinya serta enigma-enigma yang menghantuinya. Dia kembali duduk dengan pandangan kembali tersua ke arah skrin monitor. Tika ini bendang fikirnya masih dipugar misteri tadi.  Bunyi berderak-derak di luar menyentakkan Maya. Pandangannya beralih sekejap sebelum terjingkit-jingkit menghampiri bunyi tersebut. Bunyi tadi lesap apabila dia melekapkan telinga ke tepi dinding. Lama dia ternanti-nanti di situ sebelum berpatah semula ke tempat duduknya.

“Mungkin aku yang terlalu terikut-ikutkan perasaan.” Sengaja dia berkata begitu untuk menyedapkan hati.  Waktu ini hari dah lewat malam. Suasana dalam kawasan setinggan ini juga agak sunyi. Tiada apa lagi yang kedengaran selain bunyi kucing dan anjing yang menyalak sekali-sekala.  Maya meneruskan kerjanya. Menaip dan terus saja menaip. Dia hanya terfikir hendak berehat selepas jarum jam dinding menuding angka 3.00 pagi. Dia berganjak ke balkoni untuk mengambil angin di samping mahu melegakan urat sarafnya yang terasa kebas. Entah mengapa, dia berasa seperti sedang diperhatikan dari kejauhan.  “Itu semua hanyalah mainan perasaan,” katanya perlahan dengan muka selamba. Apapun, hatinya bagaikan digamit untuk mengetahui siapa gerangannya yang sedang memerhatikannya ketika ini. Lantas dia berpaling dan terkejut apabila sesuatu melayah pantas melintasinya, hingga dia tak sempat mengenal pasti bendanya yang melayang di depannya tadi.  Perkataan ’hantu’ yang tiba-tiba bercambah dalam batas fikirnya membuatkan dia terus saja terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik. Selepas merapatkan daun pintu, dia merebahkan tubuh di atas katil. Dia ingin berehat dan melapangkan fikiran. Ketika sedang terkebil-kebil itulah dia akhirnya terlelap. Tidak diketahui mahupun disedari oleh Maya, sesuatu sedang merangkak-rangkak keluar dari cermin muka yang tergantung dalam bilik air. Ia menyerupai susuk tubuh seorang wanita muda. Pergerakannya tampak kaku dan amat menakutkan. Susuk tubuh yang semacam mayat reput itu terus saja merangkak keluar dari dalam bilik air dan kini menuju arah ranjang, di mana Maya sedang berbaring.  Kepalanya terteleng-teleng dengan mulut ternganga pucat. Kolam matanya yang putih kelihatan terbelalak. Lembaga itu kemudian bangkit dan berjalan pincang dengan sebelah tangan terhulur. Dari mulutnya tercicir perkataan ‘Maya’. Lembaga itu tiba-tiba berjalan ke belakang, kemudian merangkak dan masuk semula ke dalam cermin mengikut urutan kejadian.  Toyol yang entah sejak bila berada di sebelah Maya menyeringai dengan mata berkilau. Kucing hitam itu masih memandang ke arah bilik air sewaktu Maya terjaga. “Toyol… bisinglah awak ni,” marah Maya lantas terlelap semula tidak lama selepas itu.    “MAYA…”  Maya tersentak apabila satu suara bergema dalam terowong telinganya. Matanya tercelik luas, walhal seingatnya baru seketika tadi dia terlena.  “Mari ikut aku, Maya.”  Maya berasa pergelangan tangannya dicengkam oleh seseorang. Seseorang yang tidak diketahuinya siapa.  “Mari, Maya,” ajak suara itu lagi seakan terdesak. Namun, nada suaranya kedengaran lembut menusuk hati.

“Hisy! Awak ni, Maya… ada-ada ajelah. Awak akan tahu nanti. Marilah!” “Bagi tahulah dulu supaya aku ikut awak.” Maya sengaja bertele-tele. Dia sebenarnya mencurigai niat manusia halimunan tersebut.  Suara itu kedengaran menarik nafas. Maya menanti penuh setia. Sesekali dia tersengih seolah sengaja mahu menayangkan logam pandakap gigi yang dipakainya.  “Tahu tak, Maya… awaklah perempuan paling hodoh yang pernah aku nampak.” Suara itu ketawa kecil.  Maya mencebik. Dia sedikit pun tidak berasa sakit hati. Baginya, itu kata-kata yang jujur dan telus. Orang yang suka memuji tak semestinya ikhlas. Dalam diam, dia berasakan semacam ada kemesraan antara dia dengan lelaki halimunan itu. Dia sikit pun tidak berasa tersinggung dengan usikan suara itu.  “Tapi aku tahu, di sebalik kehodohan itu ada kecantikan yang tersembunyi. Awak cantik sebenarnya, Maya.”  Senyuman Maya spontan melebar dengan sinar mata semacam malu-malu pula.  “Apapun, awak janganlah perasan pula.” “Aku tak perasan pun. Awak tu yang perasan.” Senyuman tadi hilang dan wajah Maya kembali masam.  Suara itu ketawa perlahan. Gelagat Maya membuatkannya terhibur walau di hati berisi derita yang amat dalam.  “Marilah, Maya. Aku harap petunjuk ni dapat membongkar satu misteri.” “Maksud awak?” “Awak akan tahu jugak nanti.” Suara itu menggumam. “Terima kasihlah, Maya… kerana menulis watakku. Kalaulah bukan kerana cita rasa awak sebagai seorang penulis, aku mungkin tak wujud di tengah-tengah medan ceritera awak. Aku benar-benar bersyukur, Maya.”  Terasa jari-jemari Maya digenggam erat. “Tapi haba badan awak macam…” “Aku juga manusia biasa seperti awak, Maya. Sebab itulah kita kena mulakan langkah pertama untuk membongkar satu misteri. Aku akan bantu awak dan awak jugak mesti berjanji akan membantu aku keluar dari lembah ni.” “Cakap awak ni berbelit-belitlah,” keluh Maya semakin bingung. Dipandangnya suara itu, namun hanya dinding bilik terarca depan matanya. Keluhannya berhamburan. “Pejam mata, Maya,” suruh suara itu. Maya segera memejamkan mata, namun membukanya semula. Ada sesuatu melintasi benaknya. “Awak nak bawa aku ke liang lahat ke?” Demikian prasangka yang mengacah ketenangannya. Suara itu ketawa perlahan. “Aku orang baik, Maya. Percayalah padaku.” “Jangan-jangan awaklah hantu yang selalu mengganggu aku,” tuduh Maya pula.“Tak adalah. Itu semua hanyalah mainan perasaan awak. Ia tak berkaitan dengan sesiapa. Terutama aku.” “Aku harap awak betul.” Maya memejamkan mata.    “BUKA mata, Maya,” arah suara itu selepas beberapa ketika.  Maya mencelikkan mata dan terkejut apabila mendapati dirinya berada di tepi hutan. Pokok-pokok yang hitam berbalam di situ sungguh menakutkan. Lokasi tersebut lengang dan tiada apa yang berada di tempat ini selain… Dia menoleh ke belakang apabila terdengar desup kereta. Dia terkejut apabila mendapati sebatang jalan raya di situ dan dia seperti mengenali lokasi ini.   “Suara, awak kat mana?” soalnya perlahan dan seperti berbisik. Sunyi. Tiada siapa yang menyahut dan menjawab pertanyaan yang diajukannya tadi. Tika ini hanya bunyi cengkerik dan bunyi-bunyian lain yang entah milik siapa kedengaran tingkah-meningkah.  “Suara, awak jangan main-mainkan aku. Ni tepi hutan awak tahu tak?” Geram pula Maya tatkala menyedari dia ditinggalkan berseorangan di situ. Dia berasa amat menyesal kerana mengakuri permintaan suara halimunan itu.  “Awak ni betul-betul tak gunalah.” Dia cepat-cepat berundur apabila tertangkap bunyi tayar berderit kuat. “Siapa pulak yang sibuk berlumba kereta tengah malam buta ni?” ajunya kepada diri sendiri dan sekali lagi berpaling menghadap jalan raya arah kiri pula.  Dia kemudian memandang hala kanan semula apabila ternampak terjahan cahaya lampu yang tersorot garang dari arah tersebut. Nampaknya, ada dua buah kereta sedang sakan berkejar-kejaran ketika ini.  “Alamak! Matilah aku!” Maya cepat-cepat berlari menjauhi jalan raya.Waktu ini dadanya dihentam debaran yang tiada terkira hebatnya. Dirasakan nyawanya seperti tercabut apabila dua buah kereta itu tiba-tiba berlanggar dan salah sebuah daripadanya terpelanting ke arahnya. Dia cepat-cepat tunduk sambil menutup mukanya dengan kedua-dua tangan. Sementara kereta yang sebuah lagi terbalik beberapa kali sebelum menggeser permukaan jalan raya.  Dia tidak segera membuka mata melainkan menggigil di tempatnya tadi. Dia berasa sungguh takut dan enggan melihat apa yang telah terjadi. Sedetik kemudian suasana bertukar hening dan sunyi sepi.    BEBERAPA saat kemudian, barulah Maya memiliki keberanian untuk membuka mata termasuk merenggangkan jari-jemarinya yang menutup sebahagian muka. Ketika ini dia seperti terdengar bunyi kipas biliknya berputar ligat. Dia terkejut apabila mendapati dia berada di dalam bilik tidurnya dan sedang berdiri dengan tangan menutup muka.  “Tak mungkin.” Dia seperti tidak berpuas hati. Apa yang dilihatnya tadi bukanlah khayalan mahupun imaginasi. Kejadian tersebut memang benar-benar berlaku di depan matanya. Ketika ini dia semacam masih terasa kehangatan rerumput yang dihujani embun pagi di tebing jalan raya tadi

“Mungkin misteri inilah yang dimaksudkan oleh suara tadi. Misteri mengenai punca kemalangan yang melibatkan dua buah kereta…” Ayat yang dipetiknya tergantung di situ. Dia kemudian terkocoh-kocoh membancuh semug minuman lalu duduk menghadap komputer.  Tanpa bertangguh, dia mengetuk papan kekunci dan segala apa yang dilaluinya tadi diterap ke dalam karyanya. Menjelang pagi barulah dia tergerak hati hendak melelapkan mata. Kali ini dia tidak melalui apa-apa. Dia hanya terjaga ketika matahari sudah meninggi.  Bunyi telefon bimbit memaksa dia bangun. Dia meraba-raba di bawah bantal dan persekitarannya dengan mata masih terpejam.  “Eh, mana pulak benda bedebah ni?” Maya terpaksa menguak sedikit matanya, lalu dengan pandangan mamai, disorotinya kesemua tempat. Dia kembali tidur bertimbun dengan selimut apabila telefon bimbitnya sudah tidak berdering. Keseronokannya menguliti mimpi kembali terjejas apabila telefon bimbitnya memekik semula.  “Alah…” Dengan muka kusut dan lesu, Maya berusaha bangun lalu mencicirkan pandangan. “Huh!” keluhnya malas dan dalam rasa terpaksa terpisat-pisat ke tubir katil. Dia kemudian melangkah malas ke arah meja komputer. Telefon bimbitnya yang terdampar sepi di situ diambil.  “Hah! Ada apa?” tanyanya kasar setelah menjawab panggilan itu. “Amboi, garangnya!” usik Jiah, sengaja mengacah. “Ada apa?” ulang Maya lagi semacam kurang sabar. “Awak tak keluar ke petang ni?” “Tak. Aku sibuk.” “Sibuk menulis ke? Alah, keluarlah sekali-sekala. Tenangkan minda,” tingkah Jiah.  Maya diam.  “Ada kawan nak meraikan hari jadi kat Kingfisher malam ni. Dia jemput awak, aku dan Munira.” “Aku tak dapat. Aku sibuk sangat ni.” “Sekejap pun tak dapat ke? Kita bukannya nak berlama-lama kat rumah kawan tu.” Suara Jiah seperti mendesak. Maya menghela nafas. “Aku tak dapat pergi walaupun sekejap saja. Setiap detik amat berharga buat aku. Aku perlu habiskan manuskrip-manuskrip yang lain selain manuskrip yang sedang dalam penulisan ni,” katanya panjang lebar.  Jiah akhirnya mengalah. “Okey.”  Sejurus kemudian perbualan pun dimatikan. Maya tidak segera kembali ke tempat tidur. Dia ke bilik air. Dia ingin buang air kecil. Kali ini pintu bilik air sengaja tidak dikatupkannya. Dia sebenarnya risau seandai muka yang muncul di cermin itu menjengahnya semula.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66150/halusinasi