1
Kompleks Operasi Malpetro, Imamu, Kwanza, Afrika
4.30 PAGI. Kawasan telaga minyak di daratan yang berada 75 kilometer di Timur Laut pelabuhan Bahara, Kwanza masih sibuk. Dari jauh kelihatan api yang menjulang. Inilah penemuan telaga minyak yang pertama daripada berbelas-belas lagi telaga minyak di negara Kwanza.
Malpetro sebuah syarikat minyak milik kerajaan Malaysia dengan kerjasama Kwanza Oil Company atau KOC telah berjaya menemui minyak di kawasan ini. Bakal menjadikan Kwanza sebuah negara yang kaya raya di Afrika.
Di dalam pejabat, seorang wanita sedang menghadap komputer. Datuk Rauzah Karman. Beliau adalah Ketua Pengarah Operasi Malpetro yang berdedikasi. Kalau pada kebiasaannya seorang yang berpangkat hanya bertugas di ibu pejabat, Rauzah lebih selesa turun padang hingga ke merata tempat operasi di merata dunia. Sepatutnya dia berada di Kuala Lumpur. Bukan jauh di dalam hutan tropika di wilayah Tenggara Afrika ini.
Sejak Malpetro menjalankan kerja-kerja mencarigali di negara Kwanza, Rauzah sudah kerapkali ke mari. Apatah lagi apabila minyak ditemui dan usahasama di antara Malpetro dan KOC dimaterai, beliau sanggup hands-on agar segala-galanya berjalan lancar.
“Mama dah janji nak balik, kan?” ujar Azlena, satu-satunya anak gadis Rauzah menerusi perhubungan Skype di komputernya.
Di waktu malam begini, Rauzah tidak lupa membuka Skype untuk berbual-bual dengan anak gadisnya.
“Iya… mama janji. Kita akan sambut harijadi Lyna kat kampung, ya?” jawab Rauzah.
Wajah anak gadisnya yang comel itu direnungnya sepuas hati buat melepas rindu. Hatinya senang melihat anak yang berusia 13 tahun itu.
“Hei… apa yang ada kat pipi awak tu? Jerawat?”
“Erk!” Azlena lekas-lekas menutup pipinya.
“Hehe… anak mama ni dah becar la!” Rauzah tertawa tanpa suara.
“Ma… tak mau la!” rengek Azlena. Bibirnya tercebir. Dia benar-benar malu kerana jerawat pertama sudah tumbuh di pipinya yang licin itu.
“Jah… get some sleep, okay?”
Wajah Datuk Muzakkir, suami Rauzah tiba-tiba muncul di skrin, bersebelahan wajah anaknya. Muzakkir mengejipkan sebelah matanya. Rauzah pula memuncungkan bibirnya membuat aksi mengucup.
“Hei, awak berdua! Boleh tak jangan buat aksi 18SX di depan saya?” Suara Azlena tegas memberi amaran. Rauzah dan Muzakkir terpempan. Tidak sangka Azlena menegur gelagat nakal mereka berdua. Terlupa sesaat untuk bergaya begitu semata-mata kerana teruja menatap wajah satu sama lain.
“Ha, ha, ha…” tawa Azlena meletus. “Tau, takut!”
Ketawa Azlena membuatkan Muzakkir dan Rauzah turut tertawa kerana tertipu dengan usikan anak mereka. Akhirnya ketiga-tiga mereka tertawa. Tertawa gembira kerana berasa bahagia meskipun mereka terpisah beribu kilometer.
SAYUP-SAYUP kedengaran pintu diketuk. Namanya dipanggil. Perlahan-lahan Rauzah membuka matanya. Dia terpandang komputernya masih terpasang. Baru dia sedar yang dia terlelap di pejabat. Ketukan di pintu semakin kuat. Lekas-lekas dia bangun dan menguaknya.
“Kenapa, Ong?” tanya Rauzah sebaik sahaja memandang wajah Pengurus Operasinya.
“Datuk! Kaum Shavar menyerang lagi!” jawab Ir. Ong Boon Teck.
“Ya, ALLAH!” serunya. “Kenapa dia orang tak pegang pada janji?”
Fikirannya segera terbayangkan kaum Shavar. Inilah kaum orang asli yang tinggal di kawasan tenggara Afrika. Sejak Malpetro dan Kwanza Oil Company memulakan penerokaan carigali minyak di hutan tropika negara ini, mereka sering menerima ancaman dari kaum peribuminya.
Kaum Shavar tidak mengizinkan pihak pencarigali minyak memasuki hutan yang menjadi tanah tumpah darah sejak zaman nenek moyang mereka. Di peringkat awal penerokaan lagi, beberapa insiden yang meragut nyawa para pekerja minyak telah terjadi.
Para pencarigali diseranghendap. Pada mulanya mereka hanya mengepung dan mengusir para pekerja minyak. Namun, apabila pihak kerajaan meneruskan usaha carigali, orang-orang asli Shavar mula mencederakan mereka. Akhirnya, mereka mula membunuh dan memenggal kepala para pekerja.
Bagi kaum itu, tindakan memancung kepala adalah kemuncak kemarahan mereka terhadap musuh. Mujur pemimpin Kwanza cepat-cepat mengadakan perundingan dengan ketua kaum itu sebelum krisis menjelma menjadi peperangan.
Setelah beberapa mesyuarat diadakan, kerajaan Kwanza dan kaum Shavar bersetuju agar kedua-dua pihak saling menghormati kepentingan masing-masing. Melalui sebuah persefahaman, kaum Shavar dibenarkan mengadakan upacara penyembahan kepada semangat yang menjaga kawasan itu sebelum penerokaan sepenuhnya bermula.
Penerokaan baharu ke dalam hutan akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada kaum Shavar sebagai tanda hormat. Mereka diberi jaminan untuk tinggal di kawasan lain tanpa diganggu lagi oleh pihak kerajaan Kwanza. Kaum Shavar pula berjanji untuk tidak mengancam pekerja minyak. Namun, persefahaman yang dipersetujui tiga bulan yang lalu telah mereka cabuli. Mengapa? Persoalan ini mula bermain di fikiran Rauzah.
SETELAH meredah sejauh dua kilometer, Rauzah tiba di kawasan pinggiran hutan. Sesusuk tubuh kelihatan terbaring di bangsal. Seorang rakan pekerja sedang memangkunya sementara seorang lagi sedang membalut perut mangsa dengan kain.
Beberapa orang anggota keselamatan syarikat sedang berkawal. Masing-masing memegang rifel. Bersedia andainya berlaku lagi serangan kaum Shavar.
“Orang kita?” Rauzah bertanya Ong.
Ong mangangguk. Rauzah pula menggeleng kesal. Dia mengambil lembing yang tersandar di dinding bangsal. Itulah lembing yang tertusuk di perut pekerjanya. Matanya menekur melihat mata lembing yang masih punyai kesan darah di matanya.
“Siapa nama awak?” tanya Rauzah kepada mangsa.
“Balan…”
“Dah minum air?”
Kakitangan Malpetro itu mengangguk perlahan. Mulutnya masih menyeringai kesakitan. Rauzah mengusap kepala mangsa. Memberi sedikit keselesaan kepada pekerja itu sebagai tanda simpati.
“Bawa dia ke klinik. Cepat!” perintahnya.
Rauzah menoleh ke arah hutan. Lalu mencekak pinggangnya. Memerhati ke kawasan di sekeliling. Kemudian dia menapak agak jauh ke pinggir hutan. Lalu merenung hutan yang gelap gelita itu. Dia mahu berkomunikasi dengan kaum Shavar yang menghuni hutan tebal itu.
“Hoi, kaum Shavar! !” Rauzah melaung.
Kedua-dua tangan mengepung mulutnya. Suaranya bergema dan bersahut-sahutan. Pekikannya membuatkan para pekerja yang mengusung mangsa serangan itu berhenti dan menoleh. Terkejut dan takjub dengan perangai bos mereka. Namun masing-masing hanya membisu.
“Kamu mungkir janji! Kita ada perjanjian! Kami dah janji tak akan rosakkan hutan kamu. Kami janji tak akan tebang hutan sesuka hati kami. Kamu pun janji tak akan kacau kami! Tapi, oleh sebab kamu mungkir janji… kamu semua akan terima akibatnya! Ingat! Pantang nenek moyang kamu untuk mungkir janji!”
DARI dalam belukar tidak jauh daripada tempat Rauzah berdiri, sepasang mata tajam merenung wanita itu tanpa berkelip. Kemudian dia tersenyum sinis memerhati wanita yang bergerak ke arah timur dan ke arah barat untuk melaung kata-kata amaran itu kepada kaum Shavar. Perlahan-lahan dia menyeluk saku. Mengeluarkan fon-selnya lalu membuat panggilan. Mendengar nada dengung sehingga kedengaran panggilannya dijawab.
“Bos… tugas dah selesai…” katanya ringkas.
Fonsel disimpan di poket sambil matanya masih tidak lepas memandang Rauzah. Hanya setelah pegawai Malpetro itu berpaling dan berlalu dari situ, barulah dia juga berundur menyusup kembali jauh ke dalam hutan.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/182984/gerak-gemparhttps://www.e-sentral.com/book/info/165995/cutenya-dia