Kebaikan eBook Untuk Penerbit

Banyak penerbit mula membina buku-buku mereka dalam versi digital. Di negara Barat memang telah lama era ini bermula. Sebab itu bagi kami di E-Sentral.com, lebih mudah mendapatkan ebook dalam format EPUB dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Tetapi kami faham yang budaya ebook dan penerbitan digital mula mengorak langkah di Asia dan ia mungkin mengambil sedikit masa.

Perlu saya nyatakan di sini yang saya bukan anti bisnes fizikal dan dunia percetakan. Mungkin penerbit di Malaysia boleh mengambil langkah proaktif dan membuat kedua-duanya sekali, ebook dan buku fizikal.

Bagi penerbit yang masih agak ragu-ragu kenapa mereka perlu membina buku-buku dalam bentuk digital, EPUB khususnya, di sini saya ingin kongsikan beberapa kelebihan dan manfaat ebook kepada penerbit.

Mencapai Segmen Pasaran Pembaca Digital

Pengguna semakin bijak dan pandai. Dan semakin hari semakin jumlah pengguna komputer tablet, telefon pintar dan pelbagai gajet lagi semakin meningkat. Pastinya pengguna-pengguna ini mengikuti perkembangan teknologi yang mereka miliki ini. Seperti juga pengguna di Barat, mereka juga ingin membaca judul-judul terkini dengan iPad dan tablet Android mereka.

Sayangnya buku-buku tempatan yang lebih menepati citarasa agak masih kekurangan. Penerbit yang mempunyai buku dalam format EPUB berupaya untuk mengembangkan pasaran mereka ke segmen pembaca digital ini. Dan yang tidak, mungkin sedikit ketinggalan.

Masih Menjual Walaupun Sudah Kehabisan (Stok Tanpa Had)

Ini peluang kepada penerbit untuk memberi nafas baru kepada judul-judul lama yang mungkin “out-of-print”. Kami faham mencetak sesebuah judul itu mahal. Apatah lagi penerbit perlu mencetak sekurang-kurangnya 1000 naskhah untuk setiap judul. Risikonya tinggi dan judul lama belum tentu terjual.

Tapi dalam masa yang sama, kita mendengar suara-suara pembaca di blog, forum, atau mungkin secara bersemuka yang mereka mahu membaca judul-judul khusus. Sekiranya penerbit mempunyai versi digital, judul tersebut masih boleh menjana pulangan walaupun tidak diulang cetak. Dan risiko amat kecil sekali.

Membuat Kaji Selidik Pasaran

Ada di antara penerbit di E-Sentral.com bijak menggunakan platform kami untuk membuat kaji selidik pasaran. Mencetak sesebuah judul memang besar risikonya. Jadi mereka menerbitkan versi digital terlebih dahulu dan mengumumkannya kepada pembeli mereka. Sekiranya jualan menggalakkan, mereka mempertimbangkan untuk mencetak untuk edaran di kedai-kedai.

Ada juga salah satu daripada penerbit di E-Sentral mula mengedarkan buku secara digital sahaja di E-Sentral.com. Kemudiannya buku-buku beliau mula mendapat perhatian kedai-kedai buku dan juga perpustakaan, yang kemudiannya membeli versi bercetak pula.

Menjual Terus Dengan Pulangan Lebih Pantas

Dengan versi digital, buku-buku terbitan penerbit akan dapat dibaca dengan lebih pantas. Kita tak lagi perlu menunggu pencetak siap mencetak, dan pengedar mula mengedarkan ke kedai-kedai, dan pemilik kedai mula mempamerkannya di rak-rak.

Apabila selesai sahaja proses penulisan dan editorial, ebook boleh dijual terus dan mungkin mula menjana pulangan keesokan harinya.

Menjimatkan Kos

Ini sememangnya jelas. Saya bukan nak menafikan pasaran buku fizikal. Masih ramai peminatnya. Dan peminat ebook juga semakin bertambah. Antara kos-kos yang perlu dibayar oleh penerbit adalah percetakan, pengedaran, penyimpanan stok dan gudang. Dan kos ini meningkat apabila berlaku pemulangan stok yang tidak terjual oleh kedai-kedai.

Dengan ebook, masalah-masalah ini tidak timbul.

Pasti ada banyak lagi manfaat ebook kepada penerbit. Sekiranya anda mempunyai apa-apa pengalaman dan maklumbalas, sudi-sudilah untuk menulis di ruang komen di bawah.