[SNEAK PEEK] FANTASTIK

FANTASTIK oleh Hasrul Rizwan

 

Alma di kerusi pemandu, memainkan lagu Seek and Destroy daripada Metallica pada pemain kaset. Dia memakai jaket kulit (yang entah mana dia dapat) yang turut sama berlogo Metallica tertampal di belakang. Lagu yang menjadi semboyan itu membuatkan bulu romaku meremang.
Kami menunggu dengan sabar di persimpangan jalan di hadapan rumah, menantikan Abraham sampai ke situ agar kami boleh dikejar tanpa nenek perlu diganggu. Aku percayakan Amin, dia akan membawa nenek ke tempat selamat sehinggalah semuanya selesai.
Alma melihat pada cermin sisi dengan mata yang memicing, menggigit batang lollipop (pun entah macam mana dia dapat) sambil menekan-nekan pendikit minyak. Sebelah tangannya memegang stereng, manakala sebelahnya lagi memegang erat brek tangan. Cahaya lampu kereta terlihat memancar di balik selekoh menuju ke arah kami.
“Mereka dah sampai,” kataku.
Alma mengangguk. Pendikit minyak ditekannya tanpa henti. Bunyi ekzos meredam-redam. AE86 bergoyang dan bergegar memutarkan tayar belakang dengan hebatnya, memberi isyarat kami sedang menunggu di situ. Kami hanya perlu menunggu sehingga mereka begitu hampir. Asap tayar berkelun naik ke udara malam yang hitam.
Abraham akhirnya melihat kami dari keretanya. Dia memecut, cuba untuk melanggar dan saat itu juga, Alma melepaskan brek tangan dan meluncur laju dengan sekelip mata. Alma adalah Alma. Dia boleh menukar dua personaliti apabila duduk di belakang stereng. Kecekapannya memandu dan membuat drift kini lebih terserlah apabila mendapat kereta yang selayaknya.
Alma membuat kilasan demi kilasan melalui lorong-lorong yang sempit di kampung dengan tenang dan kemas. Dan kali ini aku lebih bersedia —memakai tali pinggang keledar dan mengikut ayunan kereta tanpa tunggang-terbalik. Aku sudah tau segala selokan yang akan diambilnya sehinggalah kami menembusi ke jalan besar dan membiarkan Abraham mengejar. Aku memandang ke bangunan di sisi tingkap yang hanya terlihat seperti jejalur neon dan bintang di angkasa. Walaupun sedang dikejar, entah mengapa aku merasakan kedamaian. Lapang seperti sedang terbang bebas di awangan.
Malam aksi terakhir. Dan esoknya, ketika aku mencelikkan mata, segalanya akan berkesudahan dengan kemanisan paling sempurna. Ini adventure yang paling gila pernah aku hadapi.
Aku memandang ke papan tanda di bahu jalan dan mengingati sebuah tempat yang pernah aku singgah dahulu. “Awak masuk di selekoh depan tu,” kataku.
Alma berpaling dan melihat ke arah yang dituding. “Tapi sana bukan laluan kita.”
“Kita perlu hentikan mereka.”
Alma memandangku tanpa minta penjelasan, namun di matanya seakan tidak percaya pada apa yang bakal aku lakukan. Dia tetap menurut dan membelok masuk, meneruskan perjalanan pada laluan gelap dan sempit. Di kiri dan kanan hanya tertegak pokok-pokok tua yang besar dan berjangkang sebelum terlihat sebatang sungai di sebelah kanan kami. “Berhenti di situ.”
Aku menuding pada tapak lapang. Sekali lagi Alma merasa ragu-ragu, namun dia terpaksa akur apabila tiada pilihan. “Apa pun yang saya buat, awak jangan panik. Percayalah… kita boleh keluar dari tempat ni.” Aku membentangkan rancangan. Alma mendengar dengan teliti, namun terbeliak sebelum dahinya berkerut. “Awak yakin?”
Aku mengangguk dan mengambil beg duffel di kerusi belakang dan berjalan ke tengah-tengah lapangan. Tidak lama, kereta Abraham berhenti tepat di hadapanku yang menunggu. Lampu kereta menyuluh dan menyilaukan pandanganku yang sedang berdiri dengan tangan yang menjunjung beg di atas kepala.
Abraham muncul bersama bosnya Ayubi yang bertongkat keluar dari dalam kereta. Wajah mereka betul-betul marah dan menyinga. Abraham mengeluarkan pistolnya dan membidik ke arahku.
“Saya menyerah kalah. Tolong dengar dulu.”
“Hari ni sahaja kau menyusahkan aku banyak kali. Aku tak tau kalau ada alasan yang lebih bagus dari tak membunuh kau. Tapi aku rasa, membunuh kau sekarang adalah benda yang paling membahagiakan aku,” kata Ayubi yang turut mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arahku.
“Okey… okey… sekurang-kurangnya bagi saya cakap.” Aku menoleh ke belakang dan melihat arus air yang deras di bawah. Pada tebing yang tinggi itu, air sungai terlihat menakutkan seperti makhluk buas yang bersedia untuk membaham. “Saya mengandungkan anak pakcik. Sebab tu saya rompak pakcik. Dengan duit ni, saya harap boleh menyara hidup saya dan…”
“Jap… jap… apa kau kata? Anak aku?” Ayubi berkerut dahi memandang Abraham di sebelahnya. Bibirnya cuba untuk ketawa, namun belum sempat ketawanya itu meledak, Alma muncul keluar dari dalam kereta dan berjalan merapat ke arah kami bertiga.
Ayubi terbeliak besar. Air wajahnya bertukar keruh.
“Alma minta maaf, ayah. Alma terpaksa. Bukan salah Ali, Alma yang rancang semua ni.”
“Alma…”
Berhati-hati Alma cuba berjalan menuju ke arah ayah tirinya. Namun baru saja setapak melangkah, bunyi tembakan kedengaran kuat dan bergema. Alma menekup telinga dan terketar melihat tubuhnya sendiri yang menggigil. Matanya jatuh ke bawah memerhatikan tangan dan dada, perut dan kakinya yang masih utuh tidak terkesan oleh palitan darah dan lohong peluru. Perlahan-lahan wajahnya ditoleh ke belakang pada tanah kosong. Tubuhku telah hilang di tebing sungai. Mata Alma terbeliak dan berbening. Kakinya terasa lemah sebelum tubuhnya itu jatuh terkulai ke tanah. Dia melaungkan namaku dan cuba untuk bangkit dan berlari, namun cepat ditangkap ayah tirinya dan diheret keras. Abraham pula berkejaran di tebing sungai dan cemas melihat beg berisi wang yang hilang bersama-sama ke dalam arus sungai. “Duit… duit tu dah hilang.”
“Cari sampai dapat, bodoh!” Ayubi menjerkah dan mengheret Alma masuk ke dalam kereta untuk dibawa pulang. Abraham masih bingung di tebing sungai yang tinggi. Kepalanya pening, otaknya bercelaru dan sumpah-seranah bertitip di bibirnya apabila tidak dapat melihat apa-apa melainkan air sungai yang bergulungan deras dan berkeladak tanah. Air seganas itu membuatkan dia menjadi kecut. Abraham kembali ke kereta semula.
Pintu kereta dibuka. Abraham terpempan melihat Ayubi yang bersandar di kerusi belakang dengan hidung berdarah. Baru sebentar tadi dia mendengar orang tua itu memaki hamunnya dan kini dia terkulai tidak sedarkan diri. Matanya menerawang melihat ke dalam, namun kelibat Alma tidak kelihatan. Abraham berpaling semula ke belakang dan dalam waktu sama, dia melihat Alma berdiri memegang pengunci stereng dengan wajah menyinga. Baru sempat mulutnya terbuka, pengunci stereng menyinggah tepat ke kepalanya.

──●──

Suara Alma memecah memanggil-manggil namaku di tebing sungai tanpa henti. Suaranya yang disertai tangisan itu terdengar mendayu sehingga telinganya menangkap suaraku yang menyahut sayup. Alma segera bangkit mengesat air matanya dan berlari mendapatkanku yang terbaring lemah di tebing sungai jauh dari tanah lapangan. Alma berteleku merangkulku di atas ribanya dan jemarinya yang hangat meraba tubuhku yang terkena tembakan. Matanya melilau mencari namun tiada kesan yang melohong apatah lagi darah yang membasahi di tubuhku. Alma merentap butang kemejaku dan melihat plat besi yang tertambat. Besi itu berlekuk namun kesan tembakan jelas membuatkan dadaku menjadi senak. Aku terbatuk-batuk kerana hampir lemas apabila arus air terlalu deras. Pada akar pohon berembang, aku berpaut sehinggalah mendengar suara Alma yang memanggil menandakan segalanya telah berakhir. Rancangan kami telah pun berhasil.
Air mata Alma jatuh berjuraian namun dia menggagahi untuk ketawa melihatku yang tidak mendapat cedera parah. “Awak punya plan teruk gila,” katanya sambil menumbuk ke dadaku dengan tawa dan tangisan. Aku mengaduh dan tertawa bersamanya.
“Ehh… mana beg?” Alma mula perasan yang beg itu tidak kelihatan.
Aku menoleh dengan kecewa ke arah sungai yang bergulungan. “Hanyut. Saya tak sempat pegang bila terjatuh tadi.”
Alma memegang pipiku yang dingin. “Hey…. sekurang-kurangnya awak selamat, bukan?”
“Tapi… duit tu…”
“Tak apa. Duit boleh dicari. Nyawa awak yang lebih penting.”
Mendengarkan ayat yang terluah dari mulut Alma membuatkan aku gembira, dan dalam waktu yang sama, aku merasakan penyatuan dua hati telah pun termeterai. Aku tersengih hingga ke telinga dan terlalu ingin menangis. Namun Alma menukarkan emosinya menjadi ganas kembali. Dia mengetis bahuku dan memimpin untukku bangkit kembali. “Kita masih ada satu kerja yang perlu diselesaikan,” jelasnya. Dia merapikan rambutku yang kebasahan dan kami berjalan ke arah kereta kembali.
Kami meninggalkan tebing sungai itu dengan Abraham dan Ayubi yang diikat bersama di sebatang pokok. Keesokan pagi orang akan melalui jalan itu dan polis akan mengutip mereka berdua di situ. Bersama nota yang ditinggalkan: segala jenayah yang telah ayah tirinya lakukan disisipkan ke pakaian mereka. Siapa tahu mungkin akan masuk TV atau terpampang di halaman depan suratkhabar dan YouTube. Namun sesuatu yang Alma pasti, ayah tirinya takkan mencarinya lagi selepas ini. Hubungan mereka terputus setelah apa yang dia lakukan. Mungkin ibunya akan jadi gila atau diceraikan, entah-entah merempat di kaki lima menghisap gam sekalipun dia tidak peduli. Jika ayah tirinya datang mencari, Alma akan lebih bersedia. Menunggu hari itu dengan tentangan yang lebih berat dan hebat.
Sepanjang perjalanan, kami senyap. Alma tidak lagi memandu segila tadi apabila membawa kereta dengan tenang dan perlahan menuju ke hentian terakhir kami. Tahun baru bakal berlabuh. Ia tahun baru yang paling gila pernah aku alami sepanjang hidupku dan perasaan ini dikongsi bersama Alma yang turut sama menghela nafas kelegaan. Aku memulas punat radio yang berkumandang lagu balad yang mendayu membuatkan aku terasa ingin bernyanyi. Alma tersenyum dan kali ini dia turut sama menyanyikannya. Suara kami bergema mengisi keheningan malam yang bersejarah.

 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271734/FANTASTIK