[SNEAK PEEK] ENRIQUE MELAKA

 

9789674118327-medium

EBUKU ENRIQUE MELAKA Oleh Abdul Latip Talib

Setelah Roboh Kota Melaka

Selepas enam minggu lamanya kota Melaka bermandikan darah, dan selepas bumi Melaka berjaya ditakluk Portugis, barulah suasana menjadi tenang. Rumah kediaman dan deretan kedai yang terbakar sudah diratakan dan akan dibangunkan kediaman yang baru. Mereka yang terkorban sudah pun dikebumikan dan para tawanan serta harta rampasan perang sudah dikumpulkan.

Kini, impian Alfonso de Albuquerque bagi menakluk kawasan paling kaya dan strategik di Asia Tenggara sudah tercapai. Dendamnya terhadap Melaka yang memusnahkan angkatan perang Portugis yang diketuai Gonzalo Pereira pada tahun 1509 sudah berbalas. Apa yang lebih menggembirakan hatinya, pusat penyebaran Islam di alam Melayu sudah berjaya ditakluknya. Sekali gus dia telah berjasa terhadap agamanya, serta memenuhi impian Raja Manuel I yang mahu menjadikan Melaka sebagai kawasan tanah jajahan Portugal. Dengan penaklukan Melaka itu beliau berjaya menguasai rangkaian pusat perdagangan yang menganjur dari Laut Arab di selat Hormuz, hingga ke Goa dan menjangkau ke Melaka.

Alfonso de Albuquerque sedar kejayaan itu tidak disenangi Sepanyol yang menjadi saingan Portugal. Selain Sepanyol, dia yakin Sultan Mahmud Syah dan para pengikutnya pasti datang menyerang bagi merampas semula Melaka. Bahaya ketiga datang dari kerajaan Acheh, yang juga memusuhi Portugis. Menyedari bahaya itu, maka Alfonso de Albuquerque segera mengarahkan pembinaan kubu pertahanan yang kukuh serta penempatan yang selamat.

Bagi menjimatkan tenaga, masa, dan belanja, maka Alfonso de Albuquerque memaksa rakyat Melaka yang menjadi tawanan perang supaya membina kubu-kubu dan penempatan tersebut. Kerana tujuan menakluk Melaka itu adalah bagi menguasai perdagangan dan menyekat penyebaran Islam, maka rakyat Melaka dilarang mengamalkan ajaran Islam. Semua masjid diruntuhkan dan bahan-bahannya digunakan bagi membina kubu. Setelah kubu dan penempatan tentera Portugis siap, tawanan perang yang dianggap tidak berguna dibunuh. Pekerja mahir seperti tukang kayu, tukang besi, tukang jahit, dayang-dayang, dan budak istana dibiarkan hidup kerana mereka akan dihantar ke Lisbon setelah dibaptiskan.

Kemudian Alfonso de Albuquerque memberi arahan supaya semua harta rampasan perang termasuk meriam kecil dan besar, senapang lantak, sumpitan beracun, anak panah, baju besi serta barang perhiasan daripada emas dan tembaga dimuatkan ke dalam beberapa buah kapal termasuk Trinidade, Enxobregas, dan Flor De La Mar untuk dibawa pulang ke Portugal bagi dijadikan persembahan kepada Raja Manuel I. Tetapi malang menimpa apabila kapal yang sarat dengan muatan khazanah Melaka itu karam apabila sampai di Pantai Aru Sumatera.

Adapun tawanan perang yang tidak dibunuh termasuk biduanda, dayang, penari, tukang mahir, dan budak istana, kemudian diagihkan sesama kapten dan anak-anak kapal setimpal dengan jasa mereka menakluki Melaka. Daripada kalangan tawanan perang itu terdapat seorang budak lelaki berumur sekitar 12 hingga 15 tahun. Ternyata tidak siapa yang mahukan budak itu lalu Alfonso de Albuquerque menyimpannya bagi dihadiahkan kepada seorang pegawai yang paling tidak disenanginya iaitu Ferdinand de Magellan. Lelaki itu menunjukkan sikap kurang ajarnya sejak dari Goa lagi. Hanya dia yang berani mempertikaikan perancangannya menyerang Melaka. Sekarang apa yang dirancangnya itu sudah berjaya. Namanya menjadi semakin terkenal.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama kerana setelah Portugis menakluk Melaka, kapal dagang dari Arab. Parsi dan India tidak mahu lagi singgah di pelabuhan Melaka. Mereka memilih Pulau Maluku dan Pulau Cebu bagi dijadikan tempat persinggahan. Keadaan itu amat merunsingkan Alfonso de Albuquerque.

“Tujuan kita menakluk Melaka adalah bagi menguasai perdagangan rempah dan menyekat penyebaran Islam di rantau ini. Jika kapal dagang tidak mahu singgah di Melaka, dan jika penduduk Melaka tidak mahu menganut agama kita, maka matlamat asal kita masih belum tercapai,” kata Alfonso de Albuquerque dalam satu mesyuarat dengan para pembantunya.

“Salah kita juga kerana bertindak kejam terhadap penduduk Melaka yang beragama Islam, dan juga terhadap pedagang Arab dan India,” kata Ferdinan de Magellan pula yang turut hadir dalam mesyuarat itu.

“Kapal dagang Arab dan India itu memang patut dirampas atau dibakar, kerana mereka tidak mahu membantu kita menyerang Melaka. Tetapi kapal dagang Cina tidak diusik kerana mereka membantu kita menakluk Melaka. Orang Melaka yang beragama Islam pula mesti dihapuskan, supaya agama kita boleh disebarkan di sini,” kata Alfonso de Albuquerque pula mempertahankan arahannya itu.

Kemudian katanya lagi. “Sejak dari Goa lagi kamu sering mengkritik saya. Kamu hanya tahu mengkritik, tetapi tidak tahu buat kerja. Apa yang kamu buat langsung tidak membantu saya.”

“Salahkah saya mengeluarkan pendapat apabila saya rasa tindakan tuan itu kurang bijaksana?” tanya Magellan pula.

Apabila Alfonso tidak menjawab, maka Magellan berkata lagi, “Tuan mahu Melaka ditakluk dengan menggunakan semua kekuatan bermula dengan tembakan meriam, kemudian membakar rumah di sepanjang pantai. Sedangkan saya berpendapat kita boleh menakluk Melaka tanpa pertumpahan darah. Kita boleh merasuah Sultan dan para pembesar kerana Sultan Melaka tidak lagi dihormati rakyat. Para pembesar Melaka pula berebut kuasa sesama mereka. Kerana itu saya yakin kita dapat menakluk Melaka dengan mudah tanpa pertumpahan darah. Apabila cadangan saya itu ditolak, kita mendapat tentangan yang hebat daripada orang Melaka. Setelah enam minggu berperang baru Melaka dapat ditakluk. Itu pun selepas kita merasuah pembelot.”

“Aku tidak mahu perkara itu diungkit lagi kerana sudah berlalu. Sekarang Melaka sudah kita takluk. Tugas kita sekarang memajukan pelabuhan Melaka dan menyebarkan Kristian di sini,” kata Alfonso de Albuquerque.

“Pedagang Islam terutama dari Arab yang memusuhi kita, memilih Maluku untuk dijadikan tempat perniagaan. Kemudian diikuti pedagang dari India dan Parsi. Malah, pedagang dari kawasan alam Melayu pun tidak mahu lagi singgah di Melaka,” kata Serrao lalu melahirkan rasa marahnya.

“Apa cadangan kamu?” tanya Alfonso de Albuquerque pula. “Kita sudah berjaya menguasai Goa dan Melaka. Bagi melengkapkan penguasaan ini kita mesti menguasai Maluku pula,” kata Serrao mencadangkan.

Alfonso de Albuquerque teringat cerita Lodovico de Varthema seorang pengembara bebas dari Bologna Itali, yang pernah singgah di Goa dalam perjalanan pulang dari pelayarannya. Menurutnya, Maluku sebuah pulau yang kaya dengan rempah, cengkih, buah pala, dan rempah ratus lainnya.

“Saya bersetuju dengan cadangan Serrao, sahabatku itu. Dan saya menawarkan diri bagi menjadi utusan ke Maluku,” sokong Ferdinan de Magellan pula.

“Bagi menakluk Maluku, saya perlukan tentera yang berani bukan utusan yang pengecut,” kata Alfonso de Albuquerque.

“Apakah saya yang dimaksudkan utusan yang pengecut itu?” tanya Ferdinan Magellan pula.

“Bukankah tadi kamu yang menawarkan diri menjadi utusan ke Maluku?” tanya Alfonso de Albuquerque pula.

“Benar…,” jawab Ferdinand Magellan.

“Saya mahu menakluk Maluku, bukan tunduk kepada Maluku. Kerana itu saya akan hantar pasukan tentera bukan utusan yang pengecut,” kata Alfonso de Albuquerque pula.

“Kita baru sahaja berperang dengan orang Melaka. Pasukan tentera kita perlu berehat dan disusun semula sebelum menyertai mana-mana peperangan. Kerana itu ada baiknya kita hantar pasukan peninjau dahulu ke Maluku. Jangan terus menyerang kerana kita belum tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” kata Simao Afonso Bisagudo pula.

“Jika kita gunakan kekerasan, maka Maluku akan menerima nasib seperti Melaka yang tidak disinggahi kapal-kapal dagang. Kerana itu saya juga bersetuju kita menghantar pasukan peninjau dahulu,” sokong Serrao pula.

“Bukankah lebih tepat kalau dinamakan menghantar utusan?” kata Ferdinand Magellan pula.

“Saya bersetuju sekiranya kita menghantar pasukan peninjau yang terdiri daripada tiga buah kapal ke Maluku. Dan saya akan melantik Simao Afonso Bisagudo sebagai kapten dan Serrao pembantunya,” kata Alfonso de Albuquerque.

“Saya menawarkan diri untuk menyertainya,” kata Ferdinand Magellan pula.

“Kamu akan dihantar pulang ke Lisbon hujung tahun ini kerana khidmat awak tidak diperlukan lagi di sini,” kata Alfondso de Albuquerque.

“Kenapa? Apa salah saya?” tanya Ferdinand Magellan kerana tidak berpuas hati.

“Kamu tidak bersalah. Cuma khidmat kamu tidak diperlukan lagi di Timur ini,” jawab Alfonso de Albuquerque.

“Saya ada pengalaman berperang kerana sudah lama berkhidmat sebagai tentera dan saya juga ada pengalaman belayar di lautan. Kenapa pula khidmat saya tidak diperlukan lagi?” tanya Ferdinand Magellan.

“Kerana saya tidak perlukan kamu lagi…,” jawab Alfonso de Albuquerque. Ferdinand tidak berpuas hati lalu bertindak keluar dari majlis mesyuarat.

“Tunggu dulu…,” kata Alfonso de Albuquerque. Ferdinand Magellan tidak jadi keluar lalu menunggu apa yang dimahukan ketuanya.

“Sebagai menghargai khidmat awak yang turut bersama menyerang Melaka, maka ada hadiah istimewa untuk awak,” kata Alfonso de Albuquerque sambil tersenyum sinis.

Kemudian beliau berbisik sesuatu kepada pembantunya dan lelaki itu segera keluar dari bilik mesyuarat. Tidak lama kemudian pembantu Alfonso de Albuquerque datang semula bersama seorang remaja lelaki berumur antara 12 hingga 15 tahun.

“Budak ini adalah tawanan perang yang kita ambil dari istana raja. Saya hadiahkan kepada awak untuk dibawa pulang ke Portugal. Ini hadiah istimewa yang saya maksudkan itu,” kata Alfonso de Albuquerque sambil tersenyum mengejek.

Semua yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tertawa kecuali Serrao kawan baik Ferdinand Magellan. Dia berpendapat tindakan Alfonso itu satu penghinaan. Ferdinand Magellan memandang wajah budak lelaki itu.

Tiba-tiba timbul rasa kasihan dan sayang dalam hatinya, lalu dia pun berkata, “Saya terima hadiah ini walau ia suatu penghinaan.”

Ferdinand Magellan berlalu sambil membawa budak lelaki itu keluar dari bilik mesyuarat.

Pada awal bulan Disember 1511, Alfonso de Albuquerque mengarahkan lima buah kapal iaitu Tidore, Ternate, Macian, Bacian, dan Halmahera keluar mencari Pelabuhan Maluku. Angkatan kapal peninjau ini diketuai oleh Antonio d’Abreu dan termasuk bersama-samanya adalah Francisco Serrao, rakan baik Ferdinand Magellan.

“Saya berasa amat kecewa kerana tidak dibenarkan menyertai kamu ke Maluku. Dan lebih dukacita apabila khidmat saya tidak diperlukan lagi di sini. Saya dipaksa pulang ke Lisbon hujung bulan ini,” kata Ferdinand Magellan melahirkan rasa kesalnya.

“Apabila kami sudah sampai di Maluku nanti saya akan mengutus surat kepada kamu. Dengan itu kamu boleh datang ke sana dan saya menunggu kedatangan kamu,” pujuk Serrao.

“Untuk apa saya datang jika khidmat saya sudah tidak diperlukan lagi,” kata Ferdinand Magellan pula.

“Khabarnya Maluku itu sebuah pulau yang kaya dengan rempah, cengkih, buah pala, dan rempah ratus lainnya. Saya yakin di sana banyak peluang perniagaan. Dan kamu boleh datang ke sana sebagai pedagang bukan lagi sebagai tentera,” kata Serrao pula.

“Kamu memang sahabatku yang baik,” kata Ferdinand Magellan sambil tersenyum gembira.

Beberapa hari kemudian angkatan peninjau dari Melaka belayar ke Maluku. Pelayaran mereka hampir menemui kegagalan apabila kapal yang mereka naiki hampir karam dilanda ombak dan badai. Mujur mereka dapat singgah dan berlindung di Ternete serta mendapat layanan yang baik daripada Sultan Abdul Hasan. Serrao yang dapat menjalin hubungan baik dengan raja pulau itu minta kebenaran untuk menetap di Ternete sementara kawan-kawannya yang lain meneruskan pelayaran ke Maluku.

Dengan kebijaksanaan Serrao, dia dapat mendamaikan permusuhan antara Sultan Abdul Hasan, raja Ternete dengan Sultan Al Mansur, raja Pulau Tidore. Sebagai ganjarannya, Serrao dilantik menjadi wazir Sultan Abdul Hasan dan berkahwin dengan puteri Sultan Al Mansur. Dengan itu Serrao dipandang tinggi oleh penduduk tempatan. Semua itu diceritakan oleh Serrao dalam suratnya kepada Ferdinand Magellan.

Tidak lama kemudian Ferdinand Magellan diperintahkan pulang ke Lisbon kerana khidmatnya tidak lagi diperlukan. Dan dia dapat merasakan kepulangannya itu adalah misi terakhirnya di timur di bawah kibaran bendera Portugis. Namun, kandungan surat Sarrao itu mampu mengubat hatinya yang terluka.

“Saya tahu khidmat saya tidak diperlukan lagi. Tetapi saya berhak menuntut hak saya yang sama-sama berjuang menakluk Melaka,” kata Ferdinand Magellan kepada Alfonso de Albuqerque sebelum pulang ke Lisbon.

“Kamu telah pun mendapat hak iaitu budak lelaki yang saya berikan itu. Bawalah dia pulang ke Lisbon. Kamu boleh jual ataupun jadikan hamba,” kata Alfonso de Albuqerque pula.

“Saya berhak mendapatkan harta rampasan perang,” kata Ferdinand Magellan pula.

“Semuanya akan diserahkan kepada Raja Manuel,” kata Alfonso de Albuquerque.

“Saya berhak menuntut gaji selama berkhidmat di Goa dan Melaka.”

“Kamu boleh buat tuntutan kepada raja kita.” Alfonso de Albuqerque terus membetah.

Ferdinand Magellan berasa amat kecewa kerana harta yang dapat dibawanya pulang hanya seorang budak lelaki yang dinamakannya Enrique Melaka. Budak itu telah dibaptiskan sempena hari Saint Hendry.

“Kamu melayan budak itu dengan baik. Tidak seperti seorang hamba. Apa yang membuat kamu tertarik padanya?” tanya salah seorang kawan Magellan.

“Tubuhnya tegap dan raut mukanya seorang yang berani dan setia,” jawab Ferdinand Magellan.

“Kamu tidak mahu menjualnya?” tanya kawannya lagi. Ferdinand Magellan menggeleng perlahan sambil menjawab,

“Rasanya tidak….”

“Kenapa?”

“Aku pernah menjadi budak istana. Kerana itu Alfonso memberikan budak istana ini kepada aku sebagai satu bentuk penghinaan. Namun, aku menerimanya dengan dengan senang hati kerana yakin budak ini akan membawa tuah kepadaku,” jawab Ferdinand Magellan.

“Kenapa diberi nama Enrique Melaka?” tanya kawannya lagi. Ferdinand Magellan menghela nafas panjang. Seketika kemudian dia menjawab, “Saya tertarik dengan nama itu. Dan dia sesuai dengan nama itu.”

Dia pulang ke Lisbon dengan membawa hanya seorang budak lelaki yang bernama Enrique Melaka. Namun, ada sesuatu yang lebih berharga daripada itu. Ferdinand Magellan membawa pengalaman mengenai dunia Timur termasuk maklumat mengenai dunia Melayu dan Pulau Maluku. Dia yakin maklumat itu yang akan mengubah masa depannya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79581/enrique-melaka