[SNEAK PEEK] ENCIK TUNANG VS BFF

Encik Tunang Vs Bff Oleh Nana Fiqree

 

“Tunang?” aku terus terduduk di atas sofa di ruang tamu ketika mama mengutarakan berita itu. Fikiranku tiba-tiba kosong. Rasa macam sukar nak mencerna kata-kata mama, tak masuk dalam kepala otak yang sarat ini. Sudahlah penat seharian bertungkus lumus di kedai roti. Sekarang, baru saja nak berehat di rumah,berita ini yang mama bawa.

“Anak Makcik Jamilah, Eisya kenalkan?” sambung Puan Fauziah lagi.

Kalau Makcik Jamilah, bff mama tu…aku kenal sangatlah. Sejak mama pencen, siang malam muka dia ada saja di sini. Buat karipap sama-samalah, datang jahit tulang belut sama-samalah, kadang-kadang datang minta resipi pun ada. Yang peliknya Makcik Jamilah tu ada butik, tapi ada masa pula datang melepak kat rumah aku hampir setiap minggu. Mungkin pekerja dialah kot yang jaga. Berbalik pada anak lelaki Makcik Jamilah ni, memang aku tak kenal langsung. Sejak bila Makcik Jamilah ada anak lelaki? Bukan anak dia semua perempuan ke? Irdina dan Insyirah. Itu saja kot? Kalut ni.

“Abang kot?” aku merujuk pada abang sulungku yang bekerja di Sabah itu. Mungkin Makcik Jamilah hendak menjodohkan salah seorang anak daranya dengan abang ku itu. Mama saja yang tersilap dengar.

“Takkan Abang dengan Ilman? Lelaki dengan lelaki, hilang akal ke apa?” Puan Fauziah kerut dahi. Dia belum cukup tua untuk jadi pelupa atau nyanyuk. Memang Ilman berkehendakkan Eisya, dia pasti benar.

“Yang Eisya tau Irdina dengan Insyirah aje. Mana timbulnya Ilman ni?” Aku rasa nak menangis. Aku masih muda, baru 24 tahun. Aku tak nak kahwin lagi!! Lelaki kolot mana yang boleh setuju dengan rancangan gila ni.

“Anak Makcik Jamilah yang sulung. Dulu dia tinggal dengan ayahnya di Seremban. Makcik Jamilahkan ibu tunggal, lupa ke?”

Aku tekup muka. Apa kejadahnya aku nak ambil tahu sangat pasal Makcik Jamilah ni ibu tunggal ke apa. Tak penting langsung. Tak menjejaskan ekonomi negara pun. Lelaki yang hantar dia pagi tu ke anak Makcik Jamilah? Aku dah tak ingat langsung wajahnya. Orang tak penting, jumpa sekali, terus 

buang dari memori. Buat apa nak sesakkan kepala ingatkan orang yang tak ada kepentingankan?

“Eisya ni dah kenapa? Kalau terperanjatpun takkan sampai macam ni?” Puan Fauziah mula risau apabila melihat keadaan anak daranya itu. Taulah terperanjat, tapi lebih-lebih sangat reaksi yang ditunjukkan.

“Kenapa dia pilih Eisya?” suara itu kedengaran perlahan di balik tapak tangan yang masih menekup wajahku.

“Habis tu, takkan mama pula?” Puan Fauziah mengurut dada.

Aku rasa nak ketawa. Dalam serius, mama sempat buat lawak pula. Aku turunkan tangan, tawaku terlepas. Wajah mama yang penuh tandatanya dipandang.

“Ketawa pula? Tak fahamlah mama kalau macam ni?” Puan Fauziah kerut dahi. Apa yang dah jadi dengan anaknya ini. Baru kena pinang dah jadi tak betul?

“Makcik Jamilah berkenan dengan Eisya?” soalku serius, menatap wajah mama yang berkerut seribu. Ini soal masa depanku, bukan boleh dibuat main-main.

“Eisya dah ada orang lain?” soalan dibalas soalan.

Geleng. Tiada sesiapa di hati untuk dicintai. Kosong…

“Habis tu?” Puan Fauziah tidak nampak kenapa pinangan ini harus ditolak. Eisya single, Ilman single. Molek sangatlah tu.

“Ilman tu…ehem..ehem..” aku berdehem beberapa kali. Terasa tersekat pula tekakku hendak menyebut nama itu. Kemudian menyambung, “Ilman tu..takkan tak ada pilihan sendiri?”

Cepat-cepat Puan Fauziah menggeleng, “Tak ada. Kalau ada, takkan dia bertanyakan Eisya.”

“Kenal pun tak. Macamana boleh setuju dengan cadangan tak masuk akal ni?” aku rasa nak menangis. Mama bukannya kolot sangat, berpelajaran tinggi. Pensyarah bersara. Makcik Jamilah pun bukan kolot orangnya. Ada butik sendiri, bergaul dengan orang ramai. Kenapa boleh terlibat dengan perkahwinan yang diatur begini?

“Siapa kata dia tak kenal Eisya?”

Aku hantukkan kepala ke sofa. Makin pening. Aku tak pernah kenal mana-mana lelaki bernama Ilman, apatah lagi bercinta dengan lelaki itu. Kepalaku mula meneroka memori lama dari zaman persekolahan hingga sekarang. Memang tiada seorang ‘Ilman’ pun yang aku kenal hatta dari zaman tadika lagi.

“Eisya tak pernah ada kawan nama Ilman,” ujarku terus terang. Tidak tercapai dek akal untuk membayangkan bagaimana rupa lelaki itu.

“Memanglah tak ada. Belum kenal lagikan, lepas kenal…barulah ada,” ujar Puan Fauziah pula.

Pulak? Tadi kata kenal, sekarang kata tak kenal pula. Mana satu yang betul ni? Makin berselirat tandatanya dalam kepalaku. Kusyen sofa itu nampak terhenyak dalam dengan hentakan kepalaku yang bertalu-talu.

“Ilman ni…siapa, mama?” wajah mama ku pandang sayu. Kenapa lelaki ini tiba-tiba wujud. Entah dari planet mana. Meminang aku pula tu. Kalau betul, mana cincinnya? Mana? Mana? Mana????

“Anak Makcik Jamilahlah,” jawab Puan Fauziah selamba.

Bulat mataku memandang mama. Main-main pula dia. Nasib baik mama sendiri, kalau orang lain. Memang free dapat maki.

Puan Fauziah tersengih-sengih. Sengaja mengenakan anak daranya yang manja itu. Tapi mendengar kata. Senang untuk menguruskan Eisya, dari kecil dia tak banyak karenah.

“Eisya tak taupun yang Makcik Jamilah berkenan dengan Eisya,” aku renung mama dalam-dalam. Rasanya Makcik Jamilah tidaklah melebih-lebih dalam melayanku. Apabila berjumpa, sekadar bertegur sapa sebagai kenalan rapat mama. Dan aku hormat pada wanita itu, itu saja. Tak tahu pula di luar pengetahuanku, Makcik Jamilah ada agenda lain.

“Ilman yang berkenan. Jamilah ikut aje. Dia tak kisah, lagipun dia kenal Eisya. Dia lagi suka dapat berbesan dengan mama,” terang mama bagai tiada apa-apa. Tahukah dia ini berkenaan masa depan anaknya sendiri? Mama macam buat acuh tak acuh aje. Macam main pondok-pondok. Main kahwin-kahwin.

“Ilman berkenan? Bila masa dia tengok Eisya. Tengok gambar kot,” aku mengagak sendiri. Meluaskan pandangan ke sekitar ruang tamu rumah ini. Memang belambak bingkai gambarku yang tergantung. Dari kecil hingga dewasa, tak payah buat diari…. semuanya dah cukup lengkap. Takkan dia tengok aku yang pakai t-shirt pink lusuh dengan seluar trek hari tu, dia boleh berkenan? Dengan rambut lepas tak bersikat pagi-pagi buta tu.Tak logik. Ini mesti propaganda mama dengan Makcik Jamilah, aku pasti sangat.

“Dia tu tak ada girlfriend ke?” sambungku lagi. Pelik, zaman sekarang masih ada lelaki yang boleh terima perkahwinan yang diatur keluarga. Macam tak logik.

Puan Fauziah angkat bahu, “Entah. Jamilah kata dia memang tak ramai kawan perempuan. Dulu, dia sekolah lelaki masa kat Seremban. Lepas tu masuk matrikulasi, lepas habis matrikulasi terus masuk UPSI.”

“Cikgu?” kali ini aku rasa macam nak melompat kerana terperanjat. Cikgu? Sudah terbayang di ruang mataku seorang lelaki berkacamata, berkumis, rambut belah tepi dengan baju kemeja yang di tuck in dan seluar slack. Oh, sangat bukan citarasaku. Lelaki ini mesti skema habis. Tolonglah!

“Cikgu dekat JB. Handsome,” giat Puan Fauziah. Dia pula yang melebih-lebih memuji.

Satu cebikan terpamer pada wajahku. Handsome pada pandangan mama memang tak sama dengan handsome pada pandanganku. Mama suka lelaki berkulit cerah, ada misai, tegap dan tinggi macam abah. Aku suka lelaki berkulit sawo matang, tak ada misai, rendah(sebab nampak cute dan comel) macam Erham. Erk..tetiba boleh teringatkan sahabatku yang seorang itu pula.

“Mesti dia skema habiskan,” terlepas ayat itu dari mulutku. Memang itu yang bermain di fikiranku sejak tadi.

“Taklah. Orangnya kemas, kalau Eisya tengok mesti jatuh cintalah,” Puan Fauziah bagi promosi percuma pada Ilman itu. Aku pasti sangat,sah lelaki itu menepati citarasa mama.

“Abah cakap apa?” baru teringatkan lelaki pertama dalam hatiku ini. Takkan abah senang-senang melepaskan anak daranya yang seorang ini pada lelaki sembarangan.

Puan Fauziah senyum sambil angkat-angkat kening. Saspen sungguh kemudian bersuara, “Dia serahkan pada Eisya. Kalau Eisya setuju, abah tak 

membantah. Lagipun abah kenal budak Ilman tu macamana.”

Jawapan mama buat aku terdiam. Terus kehabisan kata. Nampak gayanya aku kena juga menghadap lelaki bernama ‘Ilman’ ni. Lelaki yang dapat membeli jiwa abah dengan mudah. Rasanya abah boleh tahan cerewet orangnya, macam tak percaya. Apa dia dah buat dengan abah? Hembus-hembus? Mandrem? Ilmu hitam? Oh my abah!

“Macamana? Nanti mama bagi nombor telefon Eisya pada Ilman ya? Kenal-kenal dulu, kalau suka, kita proceed,” usul mama. Sudah maju setapak, senangnya mama cakap. Macam main pondok-pondok. Hari ni tunang, esok kahwin, luse dapat anak, tulat dapat cucu. Oh my mama!

“Ikut suka mamalah,” aku beri kata putus walaupun bukan sepenuh hati. Tengok wajah bersungguh-sungguh mama, aku tak sampai hati nak membantah. Lagipun mama tu kalau hitam katanya, maka hitamlah jadinya. Membantah takkan memberi makna apa-apa. Lepas ni, tahulah bagaimana aku nak mengelak dari lelaki itu. Berkenankan aku konon. Bila aku dah tunjuk perangai sebenar nanti, baru tak cukup tanah lelaki tu angkat kaki.

“Betul ni?” Puan Fauziah pandang aku macam tak percaya. Bibirnya tak lekang dengan senyum lebar demi mendengar keputusan separuh rela itu.

Angguk. Kalau itu yang mama mahu. Kenal sajakan, bukan maknanya setuju bertunangkan.

“Alhamdulillah. Mesti Jamilah suka bila dengar berita ni,” Puan Fauziah raup wajahnya berkali-kali macam orang mengaminkan doa. Suka benar nampaknya, kalah orang menang loteri 40K.

Aku mengeluh perlahan. Dalam hati mula merangka bermacam-macam benda yang patut aku buat supaya Ilman menarik balik permintaannya yang bukan-bukan itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/276713/encik-tunang-vs-bff