[SNEAK PEEK] DR ISAAC LUTH

Dr Isaac Luth Oleh Afiadz

Tiba-tiba, lif berhenti bergerak. Lampunya terpadam. Keadaan lif yang terang-benderang bertukar gelap-gelita. Hanya lampu telefon bimbitku sahaja yang bercahaya.

“Doktor! Doktor!” Aku memanggil-manggilnya. Rasa takut menyelubungi serta-merta. Lututku terasa lemah longlai, manakala tangan menjadi sejuk seperti air batu.

“Saya ada di sini,” jawab dia sambil melambai-lambai ke arahku.

Aku mendekatinya, “Apa jadi ni?” Dalam ketakutan, aku bertanya. Debaran di dada semakin menggila. Nafasku juga menjadi tidak teratur. Dada turun dan naik, cuba menggali oksigen sedalam yang mungkin.

“Rasanya elektrik tak ada, lif tak berfungsi,” terangnya seolah-olah tahu apa yang sedang terjadi tika ini. Tangannya menekan butang kecemasan.

“Hello, ada sesiapa di sana? Ada orang terperangkap di dalam lif.”
“Hello?”
“Hello?”

Beberapa kali dia memanggil, namun tiada sesiapa pun yang menjawab.

“Awak okey?” soalnya prihatin. Dia membuka lampu suluh di telefon bimbitnya. Mukaku pucat lesi dan bibirku seperti tidak berdarah.

“Aina? Aina?” Dia memanggil-manggilku tetapi aku tidak dapat menjawab panggilannya. Aku terlampau takut.

“Saya—”

“Takut gelap—” Tidak semena-mena, tanganku mencapai hujung lengan bajunya. Berharap agar ketakutan yang dialami ini pergi serta-merta.

“Saya—”

“Tak boleh bernafas—” Aku cuba menghirup udara, namun dadaku terasa sesak. Semakin aku cuba untuk bernafas, semakin terasa sempit segala salur pernafasanku. Tubuhku yang hampir tumbang ke lantai lantas disambutnya dengan tangannya yang kekar.

“Hei!” “Hei!” Dia mendudukkan aku lalu dia mencangkung di hadapanku. Aku memegang hujung lengan bajunya dengan kuat, tidak mahu dia berada jauh denganku. Peluh merenik di dahi.

“Saya takut.” Air mataku berjuraian di pipi. Aku memang tak suka gelap. Bukan tak suka. Tapi tak boleh.

“Saya ada—” Dia cuba menenangkanku.

“Takut…” Semakin kuat aku menggenggam bajunya.

“Aina! Pandang saya. Ikut apa yang saya cakap.” Dr Isaac menyuruhku supaya memandangnya dan melakukan apa yang disuruh.

“Tarik nafas dalam-dalam.” Dan aku menarik nafas sedalam yang mungkin.

“Kira dengan saya dalam hati… 1… 2… 3…” Aku hanya menurut sahaja setiap arahannya.

“Lepaskan perlahan-lahan…” Terasa dadaku semakin lapang apabila aku melakukan apa yang disuruhnya berkali-kali. Aku kembali tenang. Selepas hampir 10 minit kami terperangkap di dalam lif, akhirnya lampu lif terbuka dan lif bergerak sehingga tiba ke tingkat 5.

“Aina, kita dah sampai,” ujar Dr Isaac namun aku memandangnya tanpa riak. Seakan-akan setiap urat saraf di dalam kepalaku tidak dapat berfungsi dengan baik setelah apa yang terjadi.

“Saya tolong awak, ya?” Lalu dia mencapai pergelangan tanganku dan memimpin aku keluar dari lif.

“Are you okay? Kalau tak okey, kita pergi hospital untuk dapatkan bantuan oksigen.” Dia memandangku tepat ke dalam anak mata.

“Saya okey—”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/351920