[SNEAK PEEK] DIA YANG BERNAMA ADAM

Dia Yang Bernama Adam oleh Dilla Ahmad

 

SEBULAN bercuti, Adam kerap ulang-alik rumah aku. Emak memang suka melayan anak saudaranya ini sebab Adam ringan tulang. Macam-macam kerja yang dia buat kat rumah aku tu. Sebab katanya kat rumah aku ni tak ada orang lelaki. Dia tolong sapu daun-daun kering kat depan rumah aku. Lepas tu dia tolong bakar sekali. Kemudian tolong emak beli barang kat kedai Pak Daud kalau emak nak masak.

Yang tak berapa syoknya, mak ngah aku. Dia mula merungut sebab masa Adam lebih banyak kat rumah aku dari rumah sendiri. Tolong jangan nak salahkan aku. Masa aku sendiri lebih banyak kat kedai.

“Adam.” Panggil emak, ketika kami duduk di meja makan. Adam yang baru mencuci tangan menoleh.

“Esok Adam tak payah datang ke rumah mak long ya. Kesian mama kat rumah tu sorang-sorang.” Kata emak, lembut ketika kami makan tengah hari. Aku ‘dipaksa’ balik rumah suruh makan. Siapa yang paksa kalau bukan si Adam Nazwan!

“Lagipun, tak beberapa hari lagi Adam dah nak balik kolej, kan. Ada masa ni Adam temankanlah mama kat rumah ya.” Pujuk emak. Mataku sudah menjeling Adam. Wajah itu nampak tenang aje ketika mendengar kata-kata emak.

“Adam bukan tak nak duduk rumah, mak long. Tapi bosan dengan mama tu…” Kata-kata Adam terhenti. Nada suara macam tak puas hati aje. Apa masalahnya tu?

“Mama suka cakap yang bukan-bukan pasal Balkis ni.” Mata Adam dah beralih padaku.

“Kenapa pula dengan Balkis?” Tanya emak, turut memandangku. Aku hanya jongket bahu saja. Tak faham apa-apa. Tak tahu apa-apa.

“Dia cakap Adam tak boleh berkawan rapat dengan Balkis sebab Balkis tak sesuai dibuat kawan. Balkis kakak Adam. Balkis kasar. Cakap tak pernah lembut. Pada Adam, Balkis okey aje. Bagus juga perempuan garang ni. Jadi lelaki lain pun tak berani nak dekat.” Dia menjeling aku pula sebelum meneguk sirap limau yang aku bancuh.

Emak dah senyum. Kemudian ulang menyuap semula. Aku pula dah sepak kaki Adam dari bawah meja. Mata Adam dah pandang tajam kat aku. Agaknya marah sebab aku sepak dia.

“Mak long…” Panggil Adam pula. Bibir dia dah mengulum senyum. Aku dah tenung dia. Kalau dia dah buat gaya senyum macam tu, mesti ada apa-apa dalam kepala otak dia tu.

Emak angkat muka dan memandang Adam.

“Mak long suka tak kalau Adam masuk meminang Balkis?” Tanya Adam terus-terang, tak selindung-selindung. Mata hitamnya tepat memandangku.

Aku yang sedang meneguk air terus tersedak. Terbatuk-batuk aku mendengarkan kata-katanya. Emak sudah ketawa perlahan sambil menekup mulut. Yalah. Lawak betullah si Adam ni. Aku pandang dia dengan beliak mata. Tapi dia buat muka kering aje.

“Itu nanti kita bincang ya, nak. Adam dan Balkis masih muda lagi. Perjalanan hidup pun masih panjang. Banyak benda Adam kena buat dulu. Terutamanya jaga mama dan papa Adam dulu. Sekarang mak long nak Adam fokus pada pelajaran Adam ya. Yang lain-lain tu jangan fikir dulu. Pasal nak pinang Kak Balkis tu…” Emak sudah sambung ketawa semula sambil menoleh memandangku.

“Kak Balkis ni belum bersedia lagi, Adam. Macam mama Adam cakap, dia kasar. Tengok gaya dia pun mama Adam tentulah tak suka. Tak apalah. Biarlah dulu.” Ujar emak lagi.

“Macam mana kalau ada orang lain yang masuk pinang dia, mak long?” Tanya Adam dengan muka serius.

Walaweii, aku muda lagilah! Baru sembilan belas tahun. Dia pun baru lapan belas tahun! Tak puas lagi nak enjoy!

Emak dah bergegar seluruh badan menahan ketawa sambil kepala digeleng perlahan. Adam ni suka sangat buat benda tak masuk akallah!

“Mak long janji tau. Jangan terima sesiapa aje yang nak masuk pinang Balkis!” Pinta Adam Nazwan lagi. Emak anggukkan kepala saja sambil bibir masih tersenyum geli hati.

“Macam mak long cakap tadi. Perjalanan hidup korang berdua masih panjang lagi. Kak Akis pun sama. Dia pun nak kena sambung belajar juga nanti.”

“Hah?” Serentak aku dan Adam bertanya. Kemudian serentak memandang pula. Emak mengangguk. Bila masa pula aku cakap nak belajar balik? Aku dah pandang wajah emak.

“Surat yang Akis mintak nak belajar kat IPTA tu dah sampai. Emak baca tadi. Dia orang suruh Akis datang untuk pendaftaran terbuka minggu depan.” Jelas emak lagi.

Aku sudah buat jatuh rahang. Terkelu. Terkedu. Kemudian terus ketawa gembira sambil mengucapkan syukur berkali-kali. Tapi Adam diam. Tak cakap tahniah pun pada aku. Dia lantas mengangkat pinggannya dan melangkah ke singki. Pinggan makannya dia cuci sendiri.

Kemudian, dia kembali ke meja dan duduk semula. Aku dan emak saling berpandangan.

“Kolej tu kat KL ke?” Tanya Adam memandangku. Aku mengangguk.

“Jadi aku dekat Kedah. Kau dekat KL?” Dia bertanya lagi, macam orang bodoh. Aku mengangguk lagi.

“Jauhnya!” Kata Adam dengan muka tak puas hati.

“Akak memang mintak kat sana. Akak nak ambil bidang setiausaha. Kata orang bidang tu bagus. Senang nak dapat kerja nanti.” Jelasku pula.

“Kau kata, kau nak jadi akauntan?” Dahi Adam dah berkerut memandangku. Bahunya dah menurun.

“Suka hati Kak Akislah!” Aku menjawab pula, sedikit bengang. Mata emak dah pandang kami berdua.

“Habis, bila kau nak pergi ni?” Tanya Adam, perlahan. Air sirap limaunya diteguk habis.

“Kalau minggu depan pendaftaran tu, aku kena pergi esok atau lusalah. Aku kena beritahu Pak Daud ni.” Kataku lantas bangun dan bawa pinggan ke singki. Pinggan makan aku dan pinggan emak aku cuci. Kemudian tergesa-gesa aku mengelap tangan dengan tuala kering.

“Emak, Akis balik kedai dulu. Dah lambat sangat ni. Nanti Pak Daud bising pula.” Kataku lantas menghampiri emak dan mencium pipinya.

“Adam pun nak gerak dululah, mak long.” Balas Adam juga.

“Terima kasih, mak long. Asam pedas ikan tenggiri mak long memang terbaik!” Sambungnya lagi sambil tersenyum lebar dan menaikkan ibu jarinya. Tangan emak dia salam dan kucup.

“Baik-baik bawak motor tu, Akis!” Laung emak di belakang aku.

“Ya!” Sahutku pula, tergesa-gesa menyarung helmet ke kepala.

“Nur Balkis!” Panggil Adam pula. Aku yang dah nak naik motor terhenti pergerakanku.

“Apa, Adam? Aku dah nak pergi ni.” Kataku. Dia menyarung selipar dan mendekatiku.

“Berapa lama kau belajar kat sana?” Tanya Adam, berdiri tegak di hadapanku.

“Mungkin dua tiga tahun macam tu. Kenapa kau tanya?” Tanyaku pula.

“Jangan sesekali lupakan aku. Sebab aku tak pernah lupakan kau walaupun kita berjauhan macam ni. Kat sana nanti mesti kau akan jumpa kawan-kawan baru dan… mungkin juga ada lelaki yang cuba nak dekati kau…”

“Adam…” Panggilku, sambil tersenyum memandangnya. Matanya redup memandangku.

“Aku ke sana nak belajar. Nak timba ilmu dan insya Allah bila keluar nanti aku nak cari kerja yang bagus. Boleh juga aku bantu emak. Kau pun sama. Aku tak mahu kau sibukkan fikir pasal aku. Kau sibukkan hal kau aje. Tahulah aku nak jaga diri aku ni.” Balasku pula sambil menjelingnya.

Wajah Adam nampak berubah riak sedikit bila aku cakap begitu. Ah, aku cuma nak dia tahu yang pelajaran itu lebih penting daripada aku. Lagipun kami masih muda dan hati manusia ni mudah berubah. Sama ada aku atau dia yang akan berubah nanti. Aku sedar sayang Adam kepadaku. Tapi semua itu tak mungkin.

Aku menggaru-garu dahi tak gatal. Salah seorang daripada kami kena berfikiran matang kalau mahu hubungan keluarga ini kekal selamanya. Aku juga sayangkan Adam. Dia sepupu aku walaupun dia hanya anak angkat mak ngah.

“Kita belajar dulu, Adam. Aku nak kau tumpukan perhatian kau pada pelajaran kau kat sana. Kalau ada mana-mana awek nak kenal dengan kau, kau terima aje salam perkenalan dia orang tu. Kenal orang lain selain aku ni. Aku tak baik. Aku kasar dan buat benda ikut suka aku aje. Bila fikir balik apa yang mak ngah cakap, mungkin dia betul.” Aku ketawa hambar. Ini diri aku. Entah bila akan berubah, aku sendiri tidak tahu.

“Selamat belajar, Balkis. Aku mula faham tentang kehidupan ni. Segalanya akan berubah mengikut waktu dan keperluan seseorang. Walaupun aku tahu kerjaya setiausaha tu tak mencabar langsung tapi ia melibatkan kau berjumpa ramai lelaki. Aku tak mahu kau pandang lelaki lain. Aku tahu kau pun nak cari kehidupan kau sendiri. Aku, cuma nak kau tahu…”

“Adam!” Suara nyaring mak ngah dah kedengaran dari hujung jalan sana. Kata-kata Adam terhenti di situ saja. Serentak aku dan Adam menoleh ke arah mak ngah yang nampak terkocoh-kocoh menghampiri kami.

“Ya, ma?” Sahut Adam, segera mendapatkan mak ngah.

Aku memerhatikan mereka berdua sedang bercakap sesuatu. Mak ngah nampak macam dah menangis. Apa hal tu? Rasa ingin tahu mula meresap dalam hati. Kakiku yang tak jadi nak naik motor, segera menghampiri mereka.

“Kenapa ni, mak ngah? Adam?” Tanyaku, kehairanan bila melihat mak ngah sudah menangis. Mak ngah terus peluk aku.

“Balkis, aku nak hantar papa aku ke hospital. Dia mengadu sakit dada!” Kata Adam, lalu bersegera pergi dengan mak ngah.

Aku berlari semula ke rumah dan memanggil emak dengan kuat. Emak kelam-kabut keluar bila mendengar suara aku.

“Ada apa ni, Balkis?!” Suara emak dah macam nak marah aku.

“Pak ngah sakit dada! Adam nak bawa dia pergi hospital!” Beritahuku.

“Nanti emak pergilah tengok dia orang. Akis nak balik kedai ni. Petang nanti Akis mintak izin Pak Daud nak balik awal. Nak pergi tengok pak ngah.” Beritahuku pula pada emak. Aku lihat emak macam terkaku seketika. Mungkin terkejut dengan berita itu.

“Yelah. Nanti mak siap-siap. Emak ikut Adam aje.” Kata emak, kemudian terkocoh-kocoh menghilang ke dalam rumah semula. Aku pula terus menghidupkan enjin motor dan memecut balik ke kedai.

“Hah, dah sampai pun akauntan Pak Daud ni. Ingatkan tak balik kedai semula.” Sinis suara Pak Daud menegurku dari dalam kaunter. Aku menyengih saja. Nak buat macam mana. Kalau dah jumpa emak dan Adam, memang berlamalah aku kat rumah.

“Eh, Balkis. Kamu ada dapat berita tak?” Tiba-tiba suara Pak Daud berubah perlahan. Mata pula dah pandang kanan-kiri. Macam rahsia sangat aje aku tengok.

“Berita apa, Pak Daud?” Aku juga bertanya perlahan. Ikut stail dia.

“Akif kena tangkap!” Bisik Pak Daud, keras. Aku terlopong beberapa ketika.

“Dengarnya, dia pecah masuk rumah orang. Mencuri!” kata Pak Daud lagi sambil menggeleng kepala perlahan. Aku masih terlopong mendengar berita itu.

Bukan aku nak menuduh, tapi aku memang perasan sewaktu Akif buka dompetnya, berkepuk-kepuk duit yang aku nampak. Hati aku ni pun kadang-kadang jahat juga nak fikir yang bukan-bukan pasal Akif tu. Yalah, dia mana kerja. Tapi ada duit banyak. Tak ke pelik tu?

“Tak sangka Pak Daud dia boleh buat macam tu. Patutlah rajin benar beli barang kat sini. Dia tak rasa bersalah ke guna duit hasil curi tu untuk keperluan keluarga dia?” Tanya Pak Daud, macam bercakap sendiri.

Aku diam. Nak cakap apa pun aku tak tahu. Sebab manusia ni bermacam ragam. Apa yang dilarang, itu yang dibuat. Aku menghela nafas perlahan.

Petang, ketika aku mula bersiap-siap nak balik, telefon bimbitku berbunyi. Kelam-kabut aku keluarkan dari poket seluar dan tengok skrin. Nama EMAK tertera di situ. Segera aku menyambungkan talian.

“Ya, mak?” Tanyaku.

“Pak ngah dah tak ada, Balkis.” Kata emak, perlahan. Aku panggung kepala. Macam tak percaya apa yang aku dengar.

“Innalillahiwainnahirojiun…”

“Akis tak payah datang ke hospital ni. Kami tengah siap-siapkan jenazah pak ngah nak bawak balik ke rumah. Akis beritahulah sesiapa yang ada kat kedai tu. Pada Pak Daud…”

“Ya…ya, mak.” Jawabku, gugup. Talian emak matikan dan aku masih termangu. Pak ngah dah tak ada? Baru dua hari lepas aku jumpa pak ngah dan hari ini dia dah tak ada?

“Kenapa tu, Balkis? Kata nak pergi hospital?” Tanya Pak Daud, di belakangku.

“Pak Daud…” Panggilku perlahan. Mata tuanya sudah memandangku.

“Pak ngah Balkis dah tak ada.” Kataku lagi. Dia pula mengucap panjang dan lepas tu aku tengok dia tergesa-gesa masuk ke dalam kedai.

“Balkis, kita tutup kedai awal hari ni. Kamu pergi balik bersiap apa-apa yang patut. Pak Daud nak beritahu orang-orang masjid.” Kata Pak Daud pula menggesa aku.

Aku mengangguk dan segera mengunci mesin pengira duit itu dan kunci itu aku serahkan pada Pak Daud. Tak berlengah, aku terus hidupkan enjin motor dan memecut balik ke rumah.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/273633/Dia-Yang-Bernama-Adam