[SNEAK PEEK] Dia Penjaga Hatiku

Dia Penjaga Hatiku oleh Hairynn Salehuddin

“AKU rasa tak sedap hatilah.” Akhirnya Zaira luahkan juga apa yang dia rasa. Sudah beberapa hari dia rasa begini terhadap Azri.

“Tak sedap hati pasal apa?” soal Nora. Dia dapat agak mesti ada kaitan dengan Azri.

“Pasal Azri. Dia kata dia sibuk dengan kerja, tapi entahlah. Aku rasa dia tipu aku,” ucap Zaira sambil mengusap lembut perutnya yang semakin hari semakin membesar.

“Apa kata kita intip dia?” Nora beri cadangan kepada Zaira.

“Isy, tak pernah aku buat sebelum ni.” Zaira tak berani. Takut nanti kantoi pula.

“Tak apa, aku ada. Kau ikut aje aku.” Nora memang dah lama nak mengintip Azri. Nak tahu apa yang Azri buat sebenarnya di luar. Takut apa yang dia sangka selama ini adalah benar.

“Tak salah kan apa kita buat ni?” Zaira masih ragu-ragu.

“Mana salahnya? Dia suami kau, kan. Kau kena tahu apa dia buat belakang kau.” Nora tak mahu Zaira berubah fikiran. Memang ini yang dia mahukan. Tapi untuk buat pada Azri, dia perlukan kebenaran Zaira. Takkanlah dia nak memandai-mandai intip suami orang. Nanti Zaira fikir lain pula.

“Okey.” Lemah sahaja Zaira menjawab. Rasa takut menyelubungi diri. Tapi dia yakin dengan Nora. Nora tak pernah menghampakannya.

Nora mula menyusun rancangan untuk mengintip Azri. Zaira pula sekadar ikut sahaja. Dia cuba untuk tidak fikir yang bukan-bukan. Tak mahu terlalu tertekan demi kandungannya.

 

“ZAIRA pergi check up sendiri ke nanti?” tanya Siti apabila Zaira beritahu sebab dia ambil cuti esok.

“Besar kemungkinan. Tak tahu lagilah kak.” Zaira tak tahu sama ada Azri akan hantar dia ke hospital atau tidak. Sekarang ni payah benar nak ajak Azri berbincang. Waktu siang masing-masing sibuk dengan kerja. Malam pula, Azri jarang balik awal. Selalunya kalau balik, Azri sudah pun makan malam. Tak ubah macam hotel dibuatnya apabila balik sekadar hendak lelapkan mata sahaja.

“Azri tak temankan ke?” Siti pula yang hilang sabar.

Bukan sekali Azri abaikan Zaira ni. Banyak kali. Tak ada rasa kasihan agaknya kepada si isteri. Naik turun bas atau teksi sendiri.

“Tak apalah, kak. Check up aje pun. Zaira pun boleh jalan sendiri lagi.” Zaira cuba sembunyikan perasaan sebenarnya. Siapa yang tak sedih bila suami langsung tak rasa teruja bila si isteri mengandung? Tak pernah sekali pun Azri tanya tentang kandungannya. Sekadar kerling pada perut yang semakin membesar ni.

“Apa-apa beritahu akak.”

Zaira angguk. Kalau boleh dia tak mahu semua orang tahu masalahnya. Biarlah sekadar Nora sahaja tempat dia luahkan semuanya.

 

“ENCIK HAIKAL, kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu.” Siti sudah siapkan semua kerja yang perlu disiapkan untuk hari ini. Yang selebihnya akan disambung esok sahaja.

“Ermmm, okey. See you tomorrow,” balas Haikal.

“Oh ya, Encik Haikal. Cuma nak beritahu, esok Zaira ambil cuti satu hari.”

Tiba-tiba pula jantungn Haikal berdegup kencang. Sempat dia kerling Siti yang masih berdiri tegak di pintu pejabatnya.

“Dia pergi check up. Tapi besar kemungkinan dia pergi sendiri. Kasihan dengan dia. Ada suami macam tak ada suami.” Siti tahu Haikal ambil berat pasal Zaira. Dan dia tahu Haikal ada hati dengan Zaira sebelum mereka berkahwin dulu. Cuma sekarang ni Siti tak berapa pasti dengan perasaan bosnya itu.

“Oh, okey.”

Macam tahu-tahu aje si Siti ni apa yang bermain dalam fikiran Haikal. Tak payah nak tanya apa-apa. Berguna juga Siti ni pada Haikal. Jadi penyampai maklumat.

Sebaik sahaja pintu ditutup, pen di tangan terus dicampak ke tepi. Skrin laptop yang ditenung lama tadi dibiarkan begitu sahaja. Pandangannya terhala ke luar tingkap. Memandang kesibukan bandar Kuala Lumpur. Wajah Zaira tiba-tiba melintas di dalam kotak fikirannya.

Simpati terus menerpa dalam diri apabila teringat nasib yang menimpa Zaira. Kenapa Azri sanggup buat begitu kepada Zaira? Kenapa tidak diberi layanan yang sepatutnya kepada bidadari dalam hidup Azri tu?

 

“TEMAN I shopping hari ni?” Kirana bangun lebih awal hari ini untuk sediakan sarapan.

Haikal masih terkejut apabila melihat sarapan sudah terhidang di atas meja. Pandangan masih terhala ke arah meja makan.

“I cakap ni. You dengar ke tak?” Kirana sudah pun menghampiri Haikal yang masih berdiri tegak di tepi meja makan.

“Apa dia? Wait. Ni kenapa rajin buat breakfast bagai ni?” tanya Haikal.

“I don’t have any plan for today. Jom sayang. Teman I pergi shopping. Tak payah masuk pejabat.” Kirana cuba memujuk si suami.

“I ada kerja nak kena siapkan. You pergilah ajak kawan-kawan you. Mesti diorang suka.” Haikal sudah menarik kerusi untuk duduk. Beg laptop diletakkan di kerusi sebelah.

“I nak you temankan I.” Kirana masih mencuba nasib.

“I ada kerja. Next time maybe. I nak cepat ni.” Haikal terus sumbat roti bakar ke dalam mulut. Dia biarkan saja Kirana yang masih berdiri di tepinya dengan pandangan tak puas hati.

Selesai bersarapan, Haikal terus keluar dari rumah. Pedal minyak ditekan. Dia tiada langsung niat nak pujuk Kirana. Yang pasti sekarang ini hatinya berbelah bahagi. Nak terus ke pejabat atau…

 

“HELLO.”

“Ya, Encik Haikal. Ada apa-apa ke telefon saya ni?” Zaira di hujung talian rasa sedikit pelik. Tiba-tiba pula Haikal menelefonnya.

“Zaira dekat mana?” soal Haikal.

“Dekat rumah. Tapi kejap lagi nak keluar ni,” beritahu Zaira.

“Tunggu saya.”

“Tunggu Encik Haikal? Nak buat apa?” Lagilah Zaira bertambah pelik. Tiba-tiba pula nak suruh tunggu.

“Nak pergi hospital, kan? Tunggu saya.” Berkerut dahi Zaira apabila mendengar kata-kata Haikal. Dah macam satu perintah pula.

Zaira masuk semula ke dalam bilik. Sempat dia mengerling ke arah Azri yang masih nyenyak tidur. Puas dia pujuk pagi tadi tapi sia-sia. Boleh pula Azri tinggikan suara kepadanya. Usai bersiap, Zaira keluar tanpa ingat pesanan Haikal tadi. Dia terlupa langsung.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338147/Dia-Penjaga-Hatiku