[SNEAK PEEK] DIA… MR. PERFECT AKU!

9789670907376-medium-1

DIA… MR. PERFECT AKU! Oleh Azieana

Bab 1

DIYA termenung sendirian memikirkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Safwan sejak minggu lepas. Macam mana dia mahu menjelaskan perasaannya kepada lelaki itu. Sejak awal dia menjejak kaki ke hotel itu, dia tahu mata lelaki itu terus terarah kepadanya berbanding Jemy. Penampilannya hari itu cuma biasa-biasa aje, lainlah dengan pekerja baru yang lain. Nampak bergaya dan berpenampilan. Lagipun buat apa nak bergaya lebih, dia cuma bekerja sebagai tukang bersih bilik saja. Takkanlah nak bergaya macam seorang eksekutif pulak. Tak logik pula, kan.

Dalam diam, dia sudah menanam azam bahawa kerja ini hanyalah sementara. Dia cuma mahu mencari pengalaman. Malas nak kerja dengan ayah di kilang batik tu. Selepas ini dia mahu mendapatkan kerja yang lebih sesuai dengan kelulusannya dalam bidang pengurusan perniagaan. Boleh juga dia memegang jawatan sebagai eksekutif. Kalau boleh, dia nak kerja di syarikat besar di Kuala Lumpur. Macam gambaran dalam drama-drama Melayu yang dilihatnya di kaca TV atau dibaca melalui novel-novel.

Diya mencapai botol mineral 500ml yang berada di atas meja, dibuka botol itu dan diteguk perlahan. Sejak dari tadi, dia tak sempat nak meneguk air. Dahlah hari ni dia tak sempat nak sarapan kat rumah kerana bangun lewat. Nasib baik ibu mengejutkannya. Kalau tidak, terpaksalah dia ponteng kerja. Takkanlah baru dekat dua bulan kerja, dah buat perangai, kan.

“Weh!!!”

“Oh, mak kau!” Diya terus melatah sebaik sahaja dia disergah. Bukan hanya disergah, malah bahunya turut ditepuk dengan kuat. Punyalah dia terkejut.

“Kalau ya pun nak terjah, bagilah salam dulu… macam nak merompak pulak gaya kau! Tak senonoh punya anak dara,” Diya mengurut dada. Terbatuk-batuk dia dibuatnya dek terkejut dengan sergahan temannya itu.

Jemy mula menayang sengih.

“Sorry… tak sengaja!” Kesian pula melihat Diya yang terbatuk-batuk sampai berair matanya.

Diya menarik nafas. Seketika dia menjeling ke arah Jemy yang sudah menggagau tin biskut Julies yang ada di atas meja. Biskut itu dibawa oleh Diya dua hari yang lepas, sengaja diletakkan di bilik rehat itu dengan niat nak buat pahala. Bak kata orang, biskut wakaf. Ada juga pekerja lain turut membawa makanan dan diletakkan di situ.

“Kau dah jumpa dengan Encik Safwan?” tanya Jemy sambil mengunyah biskut.

“Apa hal aku kena jumpa dengan dia… bila?” tanya Diya sedikit tersentak. Dia agak terkejut mendengarkan soalan itu.

“Pagi tadi aku terserempak dengan dia, katanya dia cari kau sebab ada hal. Kau dah jumpa dia?” Jemy menjeling ke arah Diya yang sudah berkerut dahi.

‘Entah-entah dia nak tanya pasal tu tak? Macam mana aku nak jawab.’ detik Diya sambil menggaru-garu kepala membuatkan rambutnya sedikit berserabut.

“Belum. Apa hal dia nak jumpa aku pulak ni, leceh betullah!” rungut Diya.

“Mana aku tahu. Kau jumpa ajelah dia, bukannya kau kena bayar pun!” selamba Jemy bersuara sambil mencapai sekeping lagi biskut Julies dari dalam tin.

“Hesy… malaslah aku nak jumpa dia!” dengus Diya.

Jemy mula menaikkan kening ala Ziana Zain, dia hairan kenapa Diya tak mahu jumpa dengan lelaki yang bernama Safwan itu. Handsome apa, kumbang rebutan kat hotel ni tau!

“Diya, takkanlah kau tak tahu, dia nak jumpa dengan kau sebab dia rindu nak pandang muka kau tu… kan dah hampir seminggu dia tak tatap muka kau yang cantik manis ni, pastilah nak ubat rasa rindu!” usik Jemy sambil tersenyum-senyum membuatkan Diya mengherotkan mulutnya, tak suka dengan usikan temannya itu.

“Hesy… tak kuasa aku nak layan lelaki tu,” cemuh Diya sambil mendengus perlahan.

Setahu Jemy, Safwan kena pergi kursus kat Pahang selama seminggu. Dan sebelum itu, lelaki itu telah berjumpa dengan Diya kerana ada hal yang nak dibincangkan. Bila ditanya kepada Diya, temannya hanya buat tak tahu saja, atau lebih tepat, tak nak berkongsi rahsia dengannya. Tak apa… akan dia selidik sehingga dia dapat jawapannya. Ini Jemy a.k.a Jay Jay merangkap Jamilah binti Jali. Bukan sembarangan orang. Jemy mengangguk perlahan sambil tersenyum.

“Eh! Yang kau tetiba senyum sorang-sorang ni kenapa? Dah buang tebiat ke atau kau dah angau dengan sesiapa ni? Aku beritahu kat Leman nanti, baru padan muka kau!” sergah Diya sambil menepuk bahu Jemy.

“Angau… aku angau… angau… eh! Angau… angau ke benda ni?” Jemy melatah sambil terlompat-lompat macam kera kena belacan.

“Itulah kau, selalu sangat kenakan orang. Sekarang dah terkena kat batang hidung sendiri. Melatahlah kau.” Diya tergelak. Seronok pula melihat Jemy terlompat-lompat. Kelakarnya. Kalau dia rakam masuk dalam youtube ni, ada orang nak tengok dan like tak?

“Aduh, sakitlah!” Diya menjerit apabila lengannya menjadi mangsa cubitan Jemy.

“Dah kau tahu yang aku ni jenis melatah, yang kau kacau aku tu, apa hal?” rungut Jemy menahan geram.

“Kau yang berangan sorang-sorang, nak salahkan aku pulak!” bela Diya.

“Yalah, yalah… aku yang salah!” akhirnya Jemy mengaku.

“Diya!” tiba-tiba Jemy bersuara.

“Apa?” tanya Diya yang sedang membelek majalah hiburan. Majalah itu dibeli oleh Kak Mimah semalam.

“Beritahulah aku, apa hal Encik Safwan jumpa kau hari tu.” Jemy cuba memujuk.

“Benda tak penting pun. Kau budak-budak lagi, belum cukup umur, tak boleh nak masuk campur hal orang tua,” balas Diya sambil matanya tertumpu pada wajah beberapa artis baru di majalah itu.

Jemy mengetap bibir. Geram betul mendengar kenyataan Diya.

“Amboi! Diaorang ni, bergaya sakan tak ingat dunia, seksi habis! Kalau aku… gerenti kena kejar dengan ayah aku. Siap bawa parang lagi kut, silap-silap hari bulan, kena tetak dengan parang tu. Tak ke niaya aku nanti. Hesy… tak mahulah aku!” Diya membebel sendiri sambil matanya ralit memandang majalah itu. Sengaja tak mahu menjawab pertanyaan Jemy. Bukan dia tak tahu perangai teman baiknya itu, kalau dia nak tahu sesuatu perkara, dia akan cuba dapatkannya.

“Diya!” panggil Jemy sambil mencekak pinggang. Marah betul apabila dikatakan dia masih budak-budak sedangkan mereka sebenarnya sebaya. Dah la tu, buat tak layan aje dengan pertanyaannya tadi. Mana dia tak geram.

“Kau ingat kau tu tua sangat ke? Kita sebaya tau. Kalau nak ikut bulan, aku keluar lebih awal dari perut mak aku tau. Tiga bulan lepas aku keluar dari perut mak aku, barulah kau keluar dari perut mak kau tu,” kata Jemy tak mahu mengalah.

“Habis tu, apa masalahnya?” Diya sengaja menaikkan darah Jemy.

‘Apalah si Jemy ni, buat lawak kartun pulak! Kelakar betul!’ desis Diya menyembunyikan senyum.

“Diya! Diya… beritahulah kat aku… kau sayang aku, kan?” Jemy menukar taktik kepada pujukan. Kali ini dia merengek memanggil nama Diya sambil menarik-narik tangan Diya dengan gaya muka ‘sardin’ a.k.a muka tak malunya menagih jawapan.

“Kau ni, Jemy… macam budak-budaklah. Buruk betul rupa kau aku tengok. Kelakar pun ada,” kata Diya yang tak tahan melihat gelagat Jemy yang macam kebudak-budakan itu. Muncung Jemy makin panjang. Malah mukanya di palingkan ke sudut lain. Memang merajuk dah si Jemy ni!

“Okey… aku kenal sangat perangai kau. Selagi tak dapat apa yang kau nak, kau tak akan mengalah. Apa benda yang kau nak tahu ni?” Diya memandang wajah Jemy yang mula tersenyum.

Jemy tahu Diya pasti akan mengalah. ‘Yes! Berjaya.’

“Aku nak tahu pasal kau dan Encik Safwan tu la, apa lagi? Kenapa dia jumpa kau hari tu? Beritahulah kat aku. Aku janji, aku tak akan beritahu sesiapa pun hal ni.” Jemy mengangkat tangan separas bahu seperti mengangkat sumpah.

“Benda tak penting pun… tapi aku tak suka kalau orang lain tahu. Nanti, apa pula tanggapan mereka,” kata Diya sambil menutup majalah hiburan yang dilihatnya tadi. Bukan dia baca pun, sekadar tengok gambar-gambar artis luar dan dalam negara sahaja.

“Ya… aku janji, hanya aku yang tahu!” Jemy bersuara penuh semangat.

“Janji kau memang tak boleh pakai!” kata Diya, sengaja nak mengusik Jemy.

“Ini janji bukan sebarang janji, ini janji seorang pertiwi!” kata Jemy.

“Janji tengkorak kau!” Diya meluku kepala Jemy.

“Aduh, sakit tau!” rungut Jemy sambil menggosok-gosok kepalanya.

“Padan muka,” cemuh Diya sambil tersenyum meleret.

“Kau pernah tengok aku bersilat tak?” tanya Jemy tiba-tiba menahan geram.

“Tak pernah, kenapa?” tanya Diya.

“Memanglah tak pernah sebab aku mana pandai bersilat… hehehe…” Jemy menayang sengih.

“Kau ni Jemy… buat lawak bodoh pulak. Dahlah… aku nak pergi buat kerja, time rehat aku dah habis.”

“Alah… Diya, kau cakaplah. Apasal Encik Safwan jumpa dengan kau hari tu?” pujuk Jemy sambil menarik-narik tangan Diya. Dia tak puas hati selagi tak tahu apa sebabnya lelaki itu berjumpa dengan Diya.

“Hmm… yalah, yalah…” Diya mengalah. Tahu sangat dengan perangai si Jemy ni. Diya kembali duduk di kerusi menghadap muka Jemy.

“Cakaplah!” gesa Jemy yang makin tak sabar nak tahu.

“Dia nak jadi pakwe aku. Dia bagi tempoh seminggu untuk aku jawab,” beritahu Diya. Malas nak bermain teka-teki dengan Jemy lagi.

Jemy bertepuk tangan.

“Apasal tiba-tiba kau bertepuk tangan, dah tak betul ke?” Diya berkerut kening.

“Aku memang dah agak… tahniah!” Jemy segera mencapai tangan Diya, segera disalam tangan Diya sambil mengukir senyuman.

“Tahniah apanya? Aku belum buat apa-apa keputusan lagi!” balas Diya menarik muka masam.

“Aku tahu, kau akan terima Encik Safwan sebab dia tu kan kumbang rebutan kat hotel ni. Nanti meloponglah Cik Zanita kita tu ya,” kata Jemy sambil mengukir senyum.

Diya hanya menarik nafas. Tanpa mereka sedar, perbualan itu didengari oleh seseorang di sebalik pintu.

****
Bab 2

HARI ini Diya cuti, jadi dia mahu menghabiskan masa di rumah sahaja. Malas nak keluar ke mana-mana walaupun Jemy ada mengajaknya keluar membeli-belah, katanya ada jualan murah.

“Diya, ibu rasa elok Diya berhenti aje kerja sebagai tukang kemas bilik kat hotel tu. Lebih baik kerja dengan ayah kat kilang batik. Tak adalah ibu risau. Yalah, kerja kat hotel tu, ibu rasa tak selamat. Orang yang datang menginap kat situ pelbagai ragam. Ibu bimbang kalau Diya diapa-apakan.” Puan Hasmah melahirkan rasa bimbang. Ketika itu mereka sekeluarga berada di meja makan untuk bersarapan.

“Ibu… Diya kemas bilik bila diaorang tak ada. Takkanlah Diya nak masuk kalau ada orang. Lainlah kalau ada apa-apa yang penting. Diya tahu jaga dirilah ibu. Ibu jangan bimbang ya.” Diya cuba menenangkan perasaan ibunya.

“Ya, betul cakap ibu tu. Ayah pun setuju kalau Diya berhenti aje kerja kat hotel tu dan kerja dengan ayah. Kalau tak nak uruskan kilang batik tu, Diya uruskan stesen minyak. Kilang perabot tu, ayah dah tak risau sebab along dah uruskan.” Sokong Encik Jamaluddin.

Abang sulung Diya iaitu Md. Amin Akhtar diberi tugas oleh ayahnya menguruskan kilang dan kedai perabot sejak tiga tahun yang lalu. Amin seorang anak yang baik, selalu mendengar kata ayahnya, sebab itulah ayahnya sayangkan alongnya itu. Diya ni, ayahnya sayang juga tapi adakala Diya suka buat hal sendiri. Kalau boleh, dia mahu berusaha sendiri, tak nak bergantung kepada orang tua.

Mazni dan Fauzan hanya diam, tak berani nak mencelah. Mazni dan Fauzan ialah anak angkat keluarga Diya. Ayahnya telah ambil mereka sebagai anak angkat sejak lima tahun yang lalu. Kini Mazni berusia 15 tahun, manakala Fauzan berusia 10 tahun. Mereka sanak saudara jauh ayah. Ayah mengambil mereka berdua semata-mata mahu memberi peluang kepada mereka untuk menjalani hidup yang lebih baik berbanding.

“Ibu, ayah… Diya kerja kat hotel tu cuma untuk sementara saja, takkanlah Diya nak jadi tukang kemas bilik sepanjang hidup. Saja Diya nak cari pengalaman walaupun kata orang, kerja tu tidak mencabar,” kata Diya lagi.

“Kalau tidak mengenangkan Si Jamilah tu ada sama, ayah tak benarkan Diya kerja kat situ. Apa kata orang nanti kalau mereka tahu anak ayah kerja sebagai pengemas bilik di hotel sedangkan Diya boleh aje kerja dengan ayah. Berapa pun gaji Diya nak, ayah sanggup bagi.” Kata Encik Jamaluddin.

“Betul cakap ibu dan ayah tu. Along pun sokong. Diya ada ijazah dan ada kelayakan, kenapa nak kerja macam tu?” Amin mencelah. Dia pun tak faham dengan sikap adiknya itu. Takkanlah dia sanggup kerja sebagai tukang kemas bilik. Sedangkan urusan di rumah mereka selama ini pun diuruskan oleh pembantu rumah.

“Kan Diya dah cakap, kerja tu cuma sementara aje. Mungkin sampai bulan depan kut. Lepas tu Diya akan mohon kerja lain. Sebelum dapat apa-apa offer, Diya kerjalah dengan ayah,” kata Diya.

Encik Jamaluddin mengangguk perlahan. Lega mendengar kata-kata Diya. Bukan hanya Encik Jamaluddin sahaja yang lega mendengar jawapan Diya, tapi Puan Hasmah dan Amin juga.

“Ibu… ayah… Maz pergi dulu ya.” Mazni segera mengangkat punggung dan berjalan ke arah ibu dan ayahnya. Tangan mereka segera disalami sebelum dia mendapatkan Diya dan Amin. Tangan Diya dan Amin turut disalami.

“Hati-hati ya,” pesan Puan Hasmah sebelum Mazni keluar dari rumah untuk ke kelas tambahan.

“Jan nak buat apa hari ni?” tanya Diya kepada adik angkatnya, Fauzan.

“Tak ada apa-apa. Kenapa Kak Diya?” Fauzan memandang wajah Diya.

“Sajalah tanya, manalah tahu hari ni Jan nak keluar jumpa kawan ke…” Diya memandang wajah Fauzan.

“Jan nak duduk kat rumah aje. Nak buat kerja sekolah. Kalau tak siap nanti cikgu marah,” kata Fauzan.

“Hmm… baguslah. Belajar rajin-rajin. Nanti jadi orang yang berjaya.” Encik Jamaluddin mengusap perlahan kepala Fauzan.

Sebenarnya dia gembira kerana kedua anak angkatnya itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya dan keluarga. Mazni dan Fauzan anak yang baik dan pandai menjaga diri. Sejak dia memelihara kedua anak itu, tak pernah sekali pun orang tuanya datang menjenguk. Encik Jamaluddin tahu bahawa ada ketikanya mereka rindukan keluarga. Pernah juga dia mencadangkan untuk membawa kedua beradik itu berjumpa dengan orang tuanya, tapi Mazni yang menolak dengan alasan dia tak mahu mengganggu orang tuanya. Lagipun di sini mereka hidup dengan baik. Tapi Encik Jamaluddin pernah mendengar perbualan mereka adik beradik suatu ketika dulu.

“Kak Maz tak rindukan mak dan ayah ke?” tanya Fauzan.

“Rindu… tapi Kak Maz tak nak jumpa mereka,” kata Mazni.

“Kenapa?” tanya Fauzan.

“Kak Maz tak sanggup nak lihat keluarga kita hidup susah. Kalau kita tinggal dengan mak dan ayah, kita akan lebih membebankan mereka. Di sini, kita dijaga dengan baik oleh ayah dan ibu. Bila Kak Maz besar nanti, Kak Maz nak balas budi mak dan ayah kita. Kalau bukan kerana ibu dan ayah yang jaga kita, Kak Maz pun tak tahu apa nak jadi dengan kita. Mungkin kita tak bersekolah.” Kata Mazni.

“Tapi kak… Jan rindukan mak dan ayah,” rengek Fauzan.

“Sampai masanya nanti, kita jumpa mereka. Kak Maz tahu mak dan ayah juga rindukan kita.” Kata Mazni cuba memujuk adiknya.

Terdiam Encik Jamaluddin mendengar perbualan dua beradik itu. Simpatinya kepada mereka melimpah ruah. Kerana itu juga, dia turut menghulurkan bantuan kepada orang tua mereka. Setiap bulan dia mengirimkan wang buat orang tua Mazni dan Fauzan. Encik Jamaluddin tahu, kalau dia bantu orang susah dan yang memerlukan, Insya-Allah Allah akan bantu dia di kemudian hari.

“Ayah… jauhnya ayah termenung.” Encik Jamaluddin terpinga-pinga apabila ditegur oleh Diya.

“Tak adalah.” Dalih Encik Jamaluddin dan segera dia bangkit dari kerusi.

smallimej
AMIN MENGHAMPIRI Diya yang sedang membaca akhbar yang baru dibeli oleh ayahnya sebentar tadi. Diya mengerling sekilas wajah Amin yang nampak serba salah.

“Apa kena dengan along ni? Macam kucing hilang anak je?” Diya tergelak kecil.

Amin segera meluku kepala Diya sambil mengetap bibirnya. Diya menggosok-gosok kepalanya. Tajam matanya mengerling ke arah alongnya itu.

“Ini mesti ada apa-apa ni.” Diya memandang wajah abangnya yang tiba-tiba sahaja tersenyum manis semacam, nampak pelik pada pengamatan Diya.

“Er… Diya tahu kan yang hari ni kawan along nak datang rumah kita,” kata Amin memulakan bicara.

“Tahu, kan Diya dah dengar tadi. So?” jawab Diya dengan suara selamba.

“Sebenarnya kawan along tu datang sebab dia nak tengok Diya,” beritahu Amin.

“Hah! Dia datang sebab nak tengok Diya! Kenapa?” terlopong mulut Diya sebaik sahaja mendengar kata-kata alongnya. Bulat matanya memandang wajah Amin yang duduk tersengih-sengih itu.

“Dia… dia berkenan kat Diya. Dia dah pernah tengok muka Diya masa dia datang rumah kita hari raya tahun lepas,” beritahu Amin sambil mencari reaksi pada wajah Diya.

Diya ketawa.

“Apa along ni? Buat lawak pulak. Diya tak pernah kenal pun kawan along yang mana satu. Lagipun, Diya ni belum ada mood lagi nak bercintan-cintun ni,” kata Diya tak mahu ambil kisah dengan kata-kata alongnya itu.

“Along tak paksa, along cuma nak sempurnakan hajatnya. Along kenal dia dah lama, sejak kami sama-sama belajar kat overseas dulu. Dia baik, itu sebabnya along benarkan dia nak jumpa Diya. Lagipun hari ni kan Diya cuti, dia datang ni semata-mata nak jumpa dengan Diya.” Kata Amin. Risau juga kalau Diya buat perangai. Mana tahu dia bersembunyi kat rumah si Jemy tu. Kesian kat kawannya kalau Diya tak ada nanti.

“Kawan along tu orang mana?” Diya sekadar bertanya. Kalau dah datang ke sini semata-mata nak jumpa dengan dia, kesian juga kalau dia menolak. Lagipun sekadar nak kenal. Tak salah, kan?

“Dia orang KL dan kerja pun kat sana.” Beritahu Amin.

“Erm… betul ke along nak kenalkan dia dengan Diya ni?” Diya meminta kepastian.

“Yalah, along tak nak paksa Diya terima, Diya kenal-kenallah dengan dia tu. Kalau Diya suka, Diya boleh teruskan, tapi… kalau tak suka, along tak boleh nak buat apa. Manalah tahu kalau dia tu mungkin lelaki yang Diya tunggu selama ni? I mean… your Mr. Perfect!” Amin tersenyum.

“Amboi, perli nampak? Itu ayat Diya tau. Orang lain tak boleh ikut.” Kata Diya sambil bercekak pinggang.

Amin ketawa kecil. Selalu sangat dia dengar ucapan itu. ‘Dia tu bukan Mr. Perfect Diya!’ Itulah jawapan yang sering keluar dari mulut Diya apabila ada yang nak berkenalan dengan Diya. Itu memang trademark Diya apabila dia diperkenalkan dengan seseorang.

“Satu lagi, dia akan bermalam kat rumah kita. Jadi, jangan buat hal,” kata Amin mengingatkan Diya.

“Hal apa pulak?” Diya mencebik.

“Dia tu kawan baik along tau,” kata Amin.

“So?” Diya mengangkat kening memandang wajah abangnya.

“Jangan malukan along!”

“Yalah… along rasa dia tu lelaki yang ditakdirkan untuk Diya ke?”

Amin mengukir senyum membuatkan Diya mengeluh perlahan.

“Semuanya terserah pada jodoh dan kehendak Diya kerana dalam hal ni, Diya yang berhak buat keputusan. Ini melibatkan soal hidup dan masa depan Diya. Apa-apa pun keputusan Diya, along akan sokong,” kata Amin mengambil jalan tengah.

Diya mengeluh perlahan. Amin terus berlalu selepas menyatakan hasrat temannya. Diya menyandarkan badan di kerusi. Berita yang dibawa oleh abangnya membuatkan Diya terkenangkan wajah Safwan. Macam mana dia nak jelaskan semua ni?

‘Betulkah dia lelaki yang akan aku cintai dan hidup bersamanya hingga ke akhir hayat?’ Diya mengeluh perlahan sambil memejamkan matanya seketika.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90447/DIA-MR-PERFECT-AKU