PERPUSTAKAAN NEGARA AKAN MENGHENTIKAN PERKHIDMATAN PINJAMAN BUKU DIGITAL, 330 RIBU PEMBACA MALAYSIA AKAN KEHILANGAN KEMUDAHAN

Sebanyak 330 Ribu Pengguna Digital Tempatan Akan Kehilangan Akses Kemudahan Pinjaman Buku Digital Menjelang Tahun 2024 Kerana Perpustakaan Negara Malaysia Telah Menghentikan Perolehan Buku Digital Tempatan Akibat Kekangan Bajet

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2022 – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) baru-baru ini telah mengeluarkan notis kepada para vendor dan penerbit bahawa perolehan e-buku tempatan telah diberhentikan, sekali gus akan menamatkan perkhidmatan pinjaman yang terkenal ini. 

Untuk sesetengah pihak terutamanya penerbit e-buku tempatan, PNM telah pun menghentikan perolehan sejak dua tahun yang lalu dan hanya mengekalkan perolehan untuk koleksi e-buku luar negara sahaja.

Vendor dan ratusan penerbit dan penulis tempatan yang membekal kepada perpustakaan pinjaman elektronik yang lebih dikenali sebagai ELIB ini, mula menyuarakan kebimbangan mereka kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai keputusan Perpustakaan Negara yang telah menjejaskan pendapatan penerbit dan penulis digital di Malaysia.

Bagi penerbit ilmiah pula, perolehan perpustakaan merupakan pendapatan utama mereka kerana judul-judul ilmiah tidak mudah untuk dijual di pasaran terbuka.

Sehingga kini, sebanyak lebih daripada 330 ribu pembaca Malaysia yang akan bakal kehilangan akses kepada perkhidmatan ELIB menjelang awal tahun 2024, ini pun kerana masih ada beberapa lesen judul e-buku yang lesennya masih aktif sehingga masa tersebut.

Iffa Syafiqa, 28, dari Johor Bahru, merupakan pengguna aktif ELIB. Dia telah meminjam lebih daripada 20 buah novel setiap tahun daripada sistem tersebut dan mendapati ia sangat praktikal.

“Saya suka menggunakan servis ini, saya boleh meminjam e-buku dari mana-mana sahaja menggunakan telefon pintar saya dan akan mempunyai sesuatu untuk dibaca setiap bulan. Saya akan membaca novel baharu dari perpustakaan terdahulu sebelum membeli novel di kedai”, jelas Iffa.

“Apabila saya dimaklumkan bahawa perkhidmatan ini bakal dihentikan, saya rasa amat sedih kerana saya akan kehilangan sumber bacaan saya. Bukan untuk diri saya sahaja, malah untuk pelajar dan guru di luar sana yang saya kenal juga kerap menggunakan perkhidmatan ini untuk mendapatkan bahan bacaan tambahan, kerana servis ini amat memudahkan mereka. Saya yakin negara kita boleh mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi situasi ini. Jika kita mampu mengatasi kekangan sewaktu pandemik COVID-19 dan lebih banyak isu-isu yang lain, saya yakin negara dapat mengatasi masalah ini dengan cepat kerana budaya membaca haruslah dianggap sebagai nilai yang sangat penting kepada rakyat Malaysia”, sambung Iffa.

Maklum balas yang diterima daripada Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia pada pertengahan tahun ini menunjukkan terdapat kekangan dalam membuat perolehan secara am walaupun untuk perolehan bersaiz kecil.

Ini menunjukkan terdapat krisis kewangan yang lebih besar dalam institusi mereka. 

Fasiliti pinjaman e-buku mula diperkenalkan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada awal tahun 2012 sebagai salah satu usaha negara untuk menggalakkan budaya pembacaan digital apabila mendapati bahawa terdapat penurunan dalam jumlah pengunjung ke perpustakaan. 

Walaupun pada mulanya sambutan terhadap perkhidmatan pinjaman e-buku ini tidak begitu memberangsangkan, ia mula mendapat sambutan yang hangat menjelang tahun 2015 apabila perkhidmatan tersebut menjadi tular dan mula menerima lebih daripada 100 ribu pengguna berdaftar.

Sejak itu, kemudahan pinjaman e-buku, atau lebih dikenali sebagai ELIB, yang menyajikan banyak judul terbitan tempatan termasuk koleksi novel-novel drama adaptasi terkenal, telah mula mencapai kadar pinjaman yang tinggi berbanding pinjaman buku bercetak dari perpustakaan fizikal.

Penggunaan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi servis ini adalah pada 19 Mac 2020, hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 (PKP), dimana sebanyak 24 ribu pengguna baharu berdaftar dalam masa satu hari.

Pinjaman e-Book PNM ELIB 2016-2021

Pada akhir minggu tersebut, perkhidmatan ELIB telah kehabisan lesen e-buku untuk dipinjam, rakyat Malaysia telah menghabiskan sebanyak 140 ribu jam membaca secara keseluruhan melalui aplikasi ELIB pada bulan Mac 2020.

Penggunaan servis ELIB ini sangat tinggi semasa tempoh ‘lockdown’ dan walaupun negara sudah memasuki fasa endemik, permintaan bagi servis ELIB ini masih kekal tinggi dan lebih relevan.

Statistik2016201720182019202020212022 (Jan-Okt)
e-Book dipinjam42,814103,28598,942130,869261,165224,291156,521
Bilangan Judul e-Book Dalam Koleksi4,5005,1004,8006,2008,5005,7851,340
Bilangan Hits pnm.elib.com.my (Tanpa muat turun Aplikasi)597,410947,1061,171,2791,285,5913,250,6614,415,1861,355,604
Trafik pengguna1,870,6783,380,1852,272,9052,866,1784,584,4105,300,5301,732,986
Statistik Pinjaman e-Book dan Trafik Pengguna di laman Perpustakaan Negara

Malah, penggunaan ELIB telah meningkat lebih daripada dua kali ganda sebelum pandemik. Dalam erti kata lain, budaya membaca dan penggunaan servis perpustakaan digital telah menjadi kebiasaan dalam hidup harian.

“Saya berasa amat bingung dan tidak faham mengapa Perpustakaan Negara tidak berusaha untuk memperjuangkan peruntukan bajet bagi salah satu perkhidmatan mereka yang berjaya? Saya boleh faham jika mereka mengabaikan perkhidmatan yang tidak berprestasi, tetapi untuk menamatkan satu fasiliti yang sangat efisyien untuk orang awam mendapatkan bahan bacaan”, kata Faiz, Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd, dan juga vendor ELIB.

Diketahui juga bahawa Perpustakaan Negara masih membelanjakan beberapa perkhidmatan digital arus perdana yang lebih kecil dan juga memperuntukkan baucar buku kepada kedai-kedai buku dalam negara.

“Ia bukan perkara yang mudah untuk menyemai budaya pembacaan teks panjang, apatah lagi pembacaan teks panjang secara digital. Kini, trend tersebut sudah mula kukuh selepas usaha selama sedekad, perpustakaan memutuskan untuk menamatkannya”, keluh Faiz.

Pihak industri ini berhasrat untuk bersemuka secara terus dengan pihak Kementerian yang terlibat, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, agar kemelut kesusasteraan ini dapat dibincangkan dan penyelesaian untuk mengatasi krisis ini dapat ditentukan, sebelum budaya membaca di Malaysia terus tenggelam.