[SNEAK PEEK] DIA… BANGLADESH MARI?

9789670992105-medium

DIA… BANGLADESH MARI? Oleh Liz Haliza

PROLOG

“TERIMA kasih, kata lelaki itu dalam keadaan sangat lemah. Aku hanya mampu mengangguk. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Mataku bergenangan dengan air mata manakala jantungku berdegup dengan kencang.

Sewaktu tubuhnya mahu disorongkan ke dalam ambulans, sempat lagi dia cuba memegang tanganku tetapi pegangan yang sangat lemah itu mudah saja terlerai.

“Sudahlah tu, Lis,” bisik Mazuin menarik tubuhku ke belakang. Pintu ambulans ditutup dan di situlah pengakhiran pertemuan kami.

“Kami gerak dululah ya, cik,” kata pemandu ambulans mengejutkan aku. Aku pantas menahan.

“Nak bawa pesakit ke hospital mana?” soal aku mahu tahu. Mujurlah juga aku mampu berfikir untuk bertanyakan soalan itu. Sekurang-kurangnya boleh juga aku menjenguknya jika ada kelapangan masa.

“Hospital Selayang.”

Aku angguk faham. Pemandu ambulans tersebut terus berlalu ke hadapan.

“Ke tepi sikit, Lis,” tarik Mazuin bimbang melihat tubuhku semakin mendekati ambulans yang sudah pun bersedia untuk bergerak. Aku akur dengan arahan Mazuin. Tubuh aku anjakkan ke belakang semula.

Ambulans bergerak perlahan-lahan. Air mataku juga perlahan-lahan mengalir jatuh ke pipi. Entah mengapa aku jadi sayu ditinggalkan oleh lelaki yang langsung tiada pertalian darah denganku. Lelaki yang aku jumpa dalam masa beberapa minit sahaja tetapi telah berjaya merobek hatiku dengan renungannya.

“Sudahlah tu, Lis. Dia selamat di hospital,” pujuk Mazuin menepuk-nepuk belakang tubuhku. Tepukan itu aku kira sebagai tanda penenang tetapi sebenarnya aku langsung tidak merasai apa-apa. Mazuin gagal dalam usahanya.

“Kasihan sungguh, Win. Siapakah dia? Macam mana dia boleh berada di sini?” soal aku mencari jawapan atas persoalan yang Mazuin sendiri tidak tahu jawapannya.

“Entahlah, Lis,” keluh Mazuin berat.

“Dia bukan gelandangan. Kukunya sangat bersih. Tetapi mengapa tubuhnya seperti mayat hidup?” soal aku kebingungan. Dengan mata yang terperosok ke dalam, tubuh yang kurus kering dan pipi yang cengkung, lelaki itu dilihat tidak ubah seperti mayat hidup.

Masih segar dalam ingatanku kejadian yang berlaku sewaktu kami meninggalkan pekarangan masjid. Tika itu kami sedang menuju ke arah kereta yang diparkir di luar pagar. Kami dapat melihat sesusuk tubuh yang tidak bermaya sedang merangkak meminta bantuan. Aku pantas berlari menangkap tubuh itu yang hampir tertiarap di atas jalan raya bertar. Tubuh itu aku letakkan ke pangkuanku. Segera aku menjerit menyuruh Mazuin menghubungi ambulans.

“Sudahlah tu, Lis. Kita dah pun jalankan tanggungjawab kita. Tahulah pihak hospital mencari warisnya nanti,” pujuk Mazuin mematikan lamunan aku.

“Moga begitulah, Win,” kataku mengharap. Aku membuntuti langkah Mazuin yang sudah pun mula menapak menuju ke kereta sambil membetulkan tudungku yang herot-berot dek ditarik oleh lelaki tadi. Kerongsang yang mencantumkan tudung di bahagian dada aku raba dengan niat mahu membetulkan kedudukannya yang terdedah. Sebaik menyedari apa yang aku cari tiada, aku lantas menjerit kuat. “Brooch aku tanggallah, Win.”

Tanpa menunggu reaksi Mazuin, terus aku berpatah balik semula ke belakang mencari kalau-kalau ada kerongsangku tercicir di situ.

“Alah, brooch aje kut. Macamlah tak ada brooch lain di rumah,” bebel Mazuin yang jelas kelihatan terganggu. Dia segera mendapatkan aku.

“Tapi ini brooch yang mama bagi. Yang tertera nama aku tu,” terangku mengharapkan agar Mazuin memahami betapa bermaknanya kerongsang tersebut kepada aku.

“Brooch yang mama kau tempah khas tu ke? Uish, susah nak dapat.” Mendengarkan itu, barulah Mazuin mahu membantu. Dia turut terbongkok-bongkok mencari kerongsang itu di atas jalan raya.

“Yalah, Win. Kalau bukan yang itu, tak adalah aku gabra sangat,” kataku hampir melelehkan air mata.

“Tak apa. Kita cari slow-slow okey. Mesti jumpa punya.” Mazuin memujukku. Terbongkok-bongkoklah kami melihat ke atas jalan raya mencari kerongsang yang begitu bermakna kepada aku. Hadiah pemberian mama sempena meraikan aku tamat belajar dua tahun yang lalu.

“Tak adalah, Win.” Aku semakin panik kerana kerongsang kesayanganku itu langsung tidak kelihatan di mana-mana. Tubuh yang terasa sakit akibat membongkok aku tegakkan. Mazuin juga berbuat demikian.

“Tercicir di dalam masjid kut,” katanya meneka.

“Tak, aku ingat lagi aku betulkan pinnya sambil kita berjalan keluar masjid tadi. Lepas tu kita nampak lelaki yang kita tolong tadi dan…”

“Tercicir masa itulah agaknya sebab dia ada tarik tudung kau, kan?” potong Mazuin mengimbas momen tadi.

“Alah, Win. Mungkin jatuh atas tubuhnya,” keluhku kecewa.

“Kelam-kabut tadi, Lis. Manalah nak perasan.” Aku mengeluh kesal dengan kecuaianku. Suka atau tidak, nampak gayanya terpaksalah aku reda sahaja dengan kehilangan ini. Pandai-pandailah aku memberikan alasan kepada mama nanti. Pasti mama akan memahami.

“Dah tak ada rezeki aku, Win. Jomlah kita balik.”

“Betul nak balik? Tak nak cari lagi?” soal Mazuin mahukan kepastian.

“Dah lewat malam ni, Win. Bahaya. Lebih baiklah kita balik. Tentang brooch tu kalau dah memang bukan rezeki aku nak buat macam mana?”

Keselamatan diri lebih menjadi keutamaan saat ini. Aku tidak mahu menanggung risiko hanya kerana sebutir kerongsang. Tetapkan hati redakan diri, kehilangan pasti akan berlaku tidak kira dalam bentuk apa sekalipun.

****

Setahun kemudian…

PINTU rumahku diketuk dengan kuat. Aku menoleh ke arah mama yang sebelum ini sudah pun terlelap di atas sofa. Aku lihat mama terpisat-pisat bangun sambil menggosok-gosok matanya.

“Siapa yang ketuk, ma?” soal aku cuak. Jam di dinding aku lirik. “Dah pukul satu pagi ni, ma.”

Pintu sekali lagi kuat berbunyi. Aku semakin panik. Dengan penuh berhati-hati, langkah aku atur ke arah pintu utama.

“Tak payah bukalah, kakak. Aiman tak ada ni. Kalau dia ada, beranilah juga mama,” nasihat mama. Mukanya jelas kelihatan pucat.

“Tolong saya, cik. Buka pintu ni.” Tiba-tiba ada suara yang aku dengar dari sebalik daun pintu dan suara itu aku kenal pemiliknya. Dengan pantas tanganku menyelak daun pintu. Sebaik pintu terbuka, aku dapat lihat lelaki yang pernah aku tolong dahulu sedang berpaut di pintu jeriji.

“Awak!” jeritku terkejut.

“Mama, ambilkan kunci. Kakak kenal siapa dia!” laungku meminta pertolongan mama. Mujurlah mama tidak banyak soal dan terus mencari kunci rumah yang biasanya kami letakkan di atas kabinet TV.

“Kawan kakak ke ni?” soal mama sebaik kunci dijumpai. Dia pantas memasukkan kepala kunci ke jeriji.

Aku tidak menjawab dan hanya sabar menanti jeriji terbuka. Sebaik jeriji mama tolak, aku keluar lalu memapah tubuh lelaki itu masuk ke dalam. Aku sandarkan tubuhnya ke sofa yang mama duduki tadi.

“Nak buat apa ni, kakak?” soal mama yang jelas kelihatan panik. Sebenarnya aku turut merasai perasaan yang sama tetapi demi lelaki itu aku kuatkan semangat.

“Boleh mama ambilkan kakak kain basah? Yang bersih ya, ma,” pintaku dengan lembut. Seperti tadi, mama hanya menurut. Terus saja dia masuk ke bilik.

“Awak masih ingat saya?” soal aku pula kepada lelaki yang kurus kering itu. Aku melutut menghadapnya.

“Ingat… Sebab itulah saya cari awak,” katanya mengangguk. Aku rasa sangat terharu. Gigih lelaki yang tidak aku kenali itu mencariku di rumah. Bagaimana dia tahu alamat rumahku itu agak misteri tetapi lantaklah. Janji dia telah pun berusaha untuk mencariku dan usahanya itu patut diberikan pujian.

“Awak lari dari hospital ke?” dugaku mengorek rahsia. Manalah tahu agakan aku itu tepat.

“Mereka tak nak tolong saya, jadi buat apa saya tinggal di sana?”

“Ni tuala yang kakak nak.” Mama datang menghulurkan tuala basah berwarna merah jambu kepadaku sekaligus mengganggu perbualan kami.

“Terima kasih, mama,” kataku berbahasa. Tuala di tangan mama aku ambil. Selepas itu dengan penuh berhati-hati, aku lap wajah lelaki itu.

“Sini rupa-rupanya kau.” Kuat satu suara bertempik. Aku terkejut sehingga terlepas tuala di tangan. Seorang lelaki berbadan besar muncul entah dari mana menerpa masuk melalui pintu yang tidak bertutup.

“Tolong saya, Ailis,” rayu lelaki yang aku tolong tadi ketakutan. Aku tergamam, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Niat dalam hati mahu menolong tetapi melihatkan betapa besarnya tubuh lelaki yang bertempik tadi, aku rasa takut.

“Tolong saya, Ailis. Tolong saya,” rayu lelaki yang aku tolong tadi sekali lagi apabila tubuhnya ditarik dengan kasar oleh lelaki berbadan besar itu.

“Kau siapa? Apa yang kau nak buat dengan dia?” Bagaikan mendapat kekuatan luar biasa, terus aku bertempik memarahi lelaki berbadan besar itu.

“Kakak.”

“Kakak? Kau panggil aku kakak? Sejak bila mak aku beranakkan kau?!” tengkingku dengan garang.

“Kakak… Bangun, kakak.” Aku terasa tubuhku digoncang. Pipiku pula terasa perit seperti ditampar.

“Berani kau sentuh aku. Tak guna.” Aku mula memberikan serangan balas. Tanganku terkapai-kapai mahu memukul lelaki itu.

“Kakak… Apa ni? Bangun!” Aku makin geram. Tak reti bahasa betul lelaki ini. Masih berani memanggilku kakak seperti sudah lama mengenaliku. Aku terus memberikan serangan kepada lelaki itu dan tiba-tiba…

Pang! Satu tamparan hinggap di pipi.

“Sakitlah,” marahku meradang. Aku bukakan mata.

“Mama!” jeritku yang terkejut melihat mama berada betul-betul di depan mata.

“Ya Allah, kakak. Sedar pun. Teruk mama kakak kerjakan. Bermimpi sampai menengking-nengking mama. Tak cukup menengking, memukul mama pula. Apa nak jadi ni?” geleng mama penuh emosi. Wajahnya tak boleh ceritalah, nampak bengis dan garang.

“Kakak kat mana ni, ma? Lelaki tu mana?” Aku tercengang. Mataku liar memandang sekeliling bilik.

“Lelaki mana?”

Aku pandang wajah mama yang telah bertukar serius.

“Kakak mimpi ya, ma?” keluhku perlahan setelah menyedari apa yang berlaku. Selain itu, aku juga kesal kerana telah mengasari mama.

“Kakak mimpikan mamat tulang tu lagi?” Aku hanya mampu mengeluh lagi. Soalan mama itu tidak aku jawab. “Betul, kan?” soal mama lagi dengan tegas.

“Dah setahun dah ma tetapi kenapalah kakak asyik teringatkan dia?” Akhirnya aku mengaku. Ketegasan mama menakutkan aku.

“Sebab kakak terlalu memikirkan tentang dia. Kan mama dah pernah cakap dulu, dia bukan tanggungjawab kakak. Pertolongan kakak cukup setakat yang kakak mampu.”

“Sepatutnya kakak ikut dia ke hospital. Kakak pastikan dia selamat. Entah-entah dia dah tak ada lagi, ma,” kataku menyesal. Kalaulah aku luangkan masa untuk mengikut ambulans yang membawa lelaki yang aku tolong itu ke hospital, pasti sekarang ini aku tahu apa yang berlaku kepadanya.

“Bukankah kakak dah ke hospital cari dia? Kakak dah usaha.” Mama mengingatkan aku tentang itu. Dua hari selepas peristiwa itu, aku pergi ke Hospital Selayang mencari lelaki itu tetapi tidak berjumpa. Amat susah untuk pihak hospital memberikan bantuan kepadaku tanpa sebarang maklumat.

“Usaha yang tak cukup, ma.”

“Sudahlah, kakak. Tak perlu diingatkan lagi orang yang tidak ada kena-mengena dengan kita. Pertolongan yang kakak berikan sudah lebih daripada cukup. Dia ada keluarga dan mama pasti keluarganya tidak akan membiarkan dia tanpa pembelaan.”

Sekali lagi dengan tegas mama memberikan arahan. Selepas itu mama berlalu pergi meninggalkan aku yang terasa hati dengan sikap mama yang seperti mementingkan diri itu.

“Mama ni,” keluhku kesal. Aku duduk di birai katil. Rambut yang kusut-masai aku usap ke belakang.

“Mama yang aku kenal baik hati orangnya. Mungkin mama sudah tidak boleh bertolak ansur lagi dengan sikap aku yang terlalu memikirkan tentang mamat tulang itu,” kataku memujuk diri sendiri. Tidak baik aku berprasangka dengan wanita yang telah menjaga aku selama ini dengan sebaik-baik jagaan. Takkanlah hanya kerana dia tidak menyukai aku bercerita tentang mamat tulang itu lagi aku terus melabelkannya sebagai kejam dan tidak bertimbang rasa?

Aku berbaring semula ke atas katil. Mata aku pejamkan, cuba untuk menyambung tidur tetapi aku gagal berbuat demikian. Bayangan mamat tulang itu masih kelihatan di ruangan mata.

“Siapa pun kau, bagaimana pun keadaan kau dan di mana pun kau berada tolonglah…” Aku terdiam seketika.

“Tolonglah pergi jauh dari hidupku.”

AKU ralit memandang berus berwarna-warni itu bergerak dari depan ke belakang menjalankan tugasnya mencuci kereta Myvi comel milik Mazuin. Sekali-sekala bibirku menguntumkan senyuman bak kanak-kanak kecil yang rasa seronok dan kagum dengan sesuatu yang jarang aku nikmati.

“Kau ni, Lis… Macam tak pernah cuci kereta saja aku tengok.” Muncul ayat itu dari mulut Mazuin. Aku menoleh memandang ke arah sahabat baikku itu yang sudah pun memandang ke hadapan menunggu masa untuk bergerak sebaik saja mesin habis menjalankan tugas.

“Aku tak pernah cuci kereta macam ni. Rasa seronoklah pula,” kataku tidak malu mengaku. Biasanya mama yang rajin menaburkan bakti mencuci kereta milikku. Kata mama, buat apa membazirkan wang mencuci kereta di kedai.

“Kau bawalah kereta kau ke sini. Hari-hari pun tak apa sebab kau suka, kan?” Mazuin senyum menyindir.

“Tak naklah. Takut.”

“Apa yang nak ditakutkan?” Bulat mata Mazuin memandang ke arahku. Pelik barangkali mendengar kata-kataku tadi.

“Tak biasa tentulah takut.”

“Ikut sajalah arahan yang diberi. Bukannya susah. Susah lagi masak nasi,” gelak Mazuin, kelakar dengan kata-katanya sendiri.

Aku hanya tersenyum kecil tanpa sebarang kata. Mataku lebih seronok memerhatikan buih-buih sabun yang bertebaran di atas cermin kereta umpama salji memutih yang menggamit tanganku untuk menyentuhnya.

“Bukan main khusyuk lagi kau ya, Ailis. Nanti kau carilah lelaki tauke kedai cuci kereta sebagai suami. Sehari sepuluh kali cuci kereta pun tak apa. Taklah kau rugi sebab free of charge,” usik Mazuin mahu menarik perhatianku yang seperti hanyut di alam fantasiku sendiri.

“Minta-minta masinlah mulut kau tu, Win. Mana tahu jodoh aku dengan tauke kedai cuci kereta, alamat hari-harilah aku menghadap benda alah ini,” sambutku dalam tawa.

“Tak berasap dapur kau, Lis. Cukup enam bulan laki kau kahwin lain,” sambung Mazuin turut sama ketawa. “Win, gerak. Dah hijau!” jeritku tiba-tiba membantutkan tawa besar Mazuin tadi. Lampu hijau yang menyala membuatkan aku gelabah.

“Kau ni, buat terkejut aku sahaja. Aku tahulah nak gerak.” Mazuin muncungkan mulut, tidak senang dengan jeritanku tadi. Perlahan-lahan dia menggerakkan keretanya.

“Orang tengah sedap-sedap gelak, dia menjerit pula,” tambah Mazuin lagi setelah kereta elok dihentikan berdekatan sekelompok lelaki yang memakai pakaian berwarna kelabu.

“Sorry,” kataku meminta maaf. “Aku ingat kau tak perasan lampu tu menyala.”

“Mana boleh tak perasan. Aku yang bawa kereta, jadi aku tahulah apa yang perlu aku buat,” kata Mazuin berlagak.

Tidak aku hiraukan lagak Mazuin itu. Aku ralit memandang ke arah lelaki-lelaki yang sedang mengelap kereta kami. Persefahaman yang mereka miliki buat aku kagum.

Dalam banyak-banyak wajah yang sedang khusyuk menjalankan tugas, mataku tertancap ke arah seseorang. Lelaki itu nampak lebih cerah daripada rakan-rakannya yang lain. Wajahnya juga kelihatan lebih kemelayuan.

“Tengok tu Win,” kataku memuncungkan bibir menunjuk ke arah lelaki yang menarik perhatianku. Mazuin pantas bertindak. Matanya terus menghala ke arah yang aku tunjuk.

“Siapa? Kau kenal ke?” soalnya penuh tanda tanya.

“Tak kenal,” jawabku jujur.

“Habis tu, buat apa kau suruh aku tengok? Kalau handsome tak apalah juga,” cebik Mazuin yang menyesal mengikut arahanku. Huh, dia ni nak yang kacak saja! Macamlah muka tu lawa sangat.

“Boleh tahanlah juga muka dia. Kau ni, tak baik tahu asyik nak mengata ciptaan Allah. Cuba kau pandang betul-betul.”

Mazuin turutkan kehendakku. Dia memandang semula wajah lelaki yang sedang mengelap bahagian hadapan kereta kami. “Bolehlah,” komennya tidak ikhlas.

“Macam muka Melayu, kan? Tak sangka ada Melayu yang sanggup buat kerja-kerja macam ni,” pujiku melambung tinggi. Kagum aku dengan semangat lelaki Melayu yang tidak kesah berpanas dan berpeluh mencari rezeki.

“Mana ada Melayu nak buat kerja macam ni. Semuanya pekerja Bangladesh mari,” juih Mazuin tidak bersetuju dengan pendapatku. Dia ni memang ratu bangkang. Nak juga menang.

“Melayu. Aku yakin sangat. Kau tengok lelaki kiri kanan kita ni.” Aku menunjuk ke arah lelaki yang berada di kiri dan kanan kami.

“Kenapa?”

“Muka ‘sefesyen’, kan? Sekali tengok dah tahu mereka warga asing tetapi yang itu tak,” kataku yakin.

“Mana ada lain. Sama saja aku tengok. Sah-sah satu kapal. Mesti semuanya datang dari Bangladesh.” Dengan senang, Mazuin menjatuhkan hukum.

“Tidak, Win. Aku yakin dia Melayu. Memang aku respeklah orang Melayu yang sanggup buat kerja kuli macam ni,” pujiku sekali lagi dengan ikhlas. Sebagai orang Melayu, aku kenal sangat pemikiran bangsaku sendiri kerana aku juga antara termasuk dalam golongan yang memilih pekerjaan. Tidak akan aku lakukan kerja-kerja buruh sebegini yang menuntut aku untuk kelihatan selekeh dan berpeluh sepanjang masa.

“Kau ingat tak ada orang luar yang muka macam Melayu?” Sekali lagi aku lihat bibir Mazuin menjuih tetapi kali ini kadar juihannya lebih panjang.

“Dia lain, Win. Mukanya tu manis. Kulitnya walaupun tak berapa nak cerah macam kita tetapi aku tahu dia ni made in Malaysia.”

Mazuin ketawa kecil. Dia menepuk-nepuk bahuku. “Made in Malaysia? Kelakarlah kau ni. Ingat barang ke?”

Belum sempat aku menjawab kata-kata Mazuin itu, aku terdengar cermin kereta diketuk. Mazuin pantas menurunkan cerminnya. Serentak dengan itu, bau yang kurang enak menerjah masuk ke rongga hidung.

“Sudah siap?” soal Mazuin lalu mencari-cari beg duitnya.

“Bolum. Kakak mahu kilat itu tayar ka?” Lelaki berhidung mancung seperti Shah Rukh Khan itu menyoal.

“Berapa caj?” soal Mazuin garang. Aku terkejut mendengar frekuensi suara Mazuin yang tiba-tiba berubah tinggi.

“Tambah satu ringgit juga kakak. Semua sekali enam.” Lima jari kanan ditunjukkan berserta sebuah senyuman yang panjang di bibir. Haish, dia ni. Enam dengan lima pun tak boleh nak beza tetapi tak apalah.

“Okeylah,” angguk Mazuin bersetuju. Tangan Mazuin laju menaikkan cermin kereta. Lelaki tadi pula terus beredar menyambung tugasannya.

“Apa pasal kau tak pastikan betul-betul bayarannya? Mulut kata enam tapi jari Bangla tadi tunjuk lima?” soal aku, saja mahu tahu isi hati Mazuin.

“Busuk tahu tak? Busuk.”

“Sebab itu ke tadi kau garang sangat dengan dia? Tak baik tau,” kritik aku, tidak bersetuju dengan tingkah laku Mazuin. Anak dara mana boleh garang sangat.

“Dah busuk sangat. Tak tahan.”

Aku geleng sambil tertawa. Bahu Mazuin aku tepuk.

“Itulah aku kata tadi. Orang Melayu takkan sanggup buat kerja macam ni. Berpeluh, selekeh, busuk. Orang luar saja yang sanggup. Tengok, kau sendiri pun tak tahan, kan? Tapi busuk-busuk mereka pun mereka mencari rezeki yang halal. Dengan kudrat yang mereka ada. Sebab itulah aku kagum sangat dengan lelaki yang aku kata Melayu tadi.” Mataku laju memandang ke hadapan mahu melihat semula lelaki yang telah menarik perhatianku tadi tetapi malangnya tiada sesiapa pun yang berada di situ.

“Eh, dah tak adalah!”

“Dia seram dengan kau, sebab itu dia lari.”

Tidak semena-mena, cermin kereta diketuk sekali lagi tetapi kali ini bukan di bahagian pemandu tetapi di bahagian tempat duduk aku. Laju aku menoleh ke kiri mahu melihat siapa yang mengetuk dan tatkala mataku tertancap ke wajah itu, aku terpaku.

“Hoi, Lis. Apa pasal tak dibuka tingkap tu?” Nyaring kedengaran suara Mazuin menegurku.

“Haaa, apa?” soal aku blur.

“Turunkan cermin tu,” gesa Mazuin sambil menunjukkan butang kawalan cermin di kiriku. Aku hanya patuh mengikut.

“Siap.” Sebaik cermin tingkap terbuka, aku dengar lelaki itu laju mengeluarkan kata.

“Siap? Apa yang siap?” Aku kebingungan. Lelaki itu tersenyum panjang. Manis sungguh senyumannya itu, memukauku.

“Tepilah kau, Lis. Nah, enam ringgit.” Dengan kasar, Mazuin menolak tubuhku.

Dia menghulurkan wang kertas berwarna hijau dan biru kepada lelaki tidak bernama itu.

“Thanks.”

Dengan sopan, lelaki tadi menyambut pemberian Mazuin. Aku mengambil peluang yang ada untuk terus merenung wajahnya dan tiba-tiba hatiku terdetik sesuatu. Macam sama. Tak mungkinlah. Tapi yalah, sama.

“Sudahlah tu, Lis. Kita dah ada atas jalan raya ni,” sergah Mazuin mengejutkan aku.

“Haaa… Atas jalan raya? Bila masa kau gerak?” soal aku terkejut. Aku langsung tidak menyedari yang Mazuin sudah pun meninggalkan tempat cuci kereta tadi.

“Macam mana kau nak perasan kalau kau asyik nak berangan? Dengan lelaki yang macam gitu pun kau dah terpukau dan angau.”

Aku cubit lengan Mazuin, marah dengan mulut cabulnya itu. Sesuka hati saja buat kesimpulan sendiri sedangkan yang sebenarnya aku sedang memikirkan hal yang lain.

“Dah betul, kan. Nak mencubit kita pula,” marah Mazuin menampar pahaku.

“Kau perasan tak, Win?”

“Perasankan apa? Paha kau besar macam kayu balak?”

Pecah tawaku mendengarkan pertanyaan Mazuin itu. Dia ni memang loyar buruk sungguh. Suka sangat menyakatku. Hilang marahku tadi.

“Seriuslah, Win. Aku maksudkan kau perasan tak muka lelaki tu macam siapa?”

“Macam Melayu? Haish kau ni, tadi kan kau dah cakap. Selagi aku tak kata ya dan bersetuju dengan kau, selagi itulah kau tak berpuas hati, kan?” bebel Mazuin serkap jarang.

“Muka dia tu macam mamat tulang yang kita cari-cari selama ini.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79840/dia%E2%80%A6-bangladesh-mari