[SNEAK PEEK] DERITA CINTA

9789678606981-medium

DERITA CINTA Oleh Aisya Sofea

GHAZI enggan menyerah Iman pada pembantu rumah. Dia lebih senang memangku Iman ketika makan walaupun anak kecil itu meronta-ronta enggan melepaskan pautannya dari Ghazi. Betapa resahnya aku, resah lagi hati Ghazi melihat Iman menjerit-jerit dan menangis apabila pembantu rumah tetap mahu mengambil anak kecil itu daripadanya.
Tidakkah pembantu rumah itu lihat Ghazi enggan menyerah Iman kepadanya?
“Tak apa Ghaz. Biar I aje yang pangku Iman. Dia tengah menangis macam tu, I tak senang hati biarkan dia dengan you. Iman lasak semacam kalau tahu kita tengah makan,” ujarku cuba kelihatan tenang.
Aku mengisyaratkan pembantu rumah itu supaya tidak mengganggu Iman buat seketika. Tangisannya perlu dihentikan. Namun niatku dihalang. Ummi beria-ia memaksa kami menyerahkan Iman pada pembantu rumah. Meyakinkan aku bahawa pembantu rumah akan melayani Iman di bilik khas yang selalu digunakan oleh cucu-cucunya bermain di tingkat atas.
Iman masih meronta-ronta. Raungan Iman membuatkan jiwaku makin tertekan. Dia tidak akan menerima orang asing yang tidak dikenali dalam sekelip mata. Di saat ini Iman hanya mahukan aku ataupun Ghazi, bukan orang lain. Hanya wajah-wajah yang dikenali dan yang selalu dilihatnya sahaja.
Nasi yang sedikit tidak mampu aku habiskan. Aku perlu mendapatkan Iman. Tangisannya meresahkan aku, meresahkan semua orang. Aku sedar, tangisan Iman menyukarkan tuan rumah dan keluarganya.
“Ummi, Iman tak nak orang yang dia tak kenal. Ummi tak boleh buat Iman macam tu,” tegas Ghazi, lantas bangun mendapatkan Iman entah di mana dibawa pembantu rumah itu.
Aku serba salah melihat wajah ummi dan Dato Salleh berubah. Tapi wajah ummi begitu ketara sekali. Berubah kemerah-merahan.
Mesti ada sesuatu tak kena. Aku boleh rasakan. Aku boleh melihatnya. Ada sesuatu yang telah berlaku dan menahan mereka dari mendekati aku dan anakku. Dan aku ingin tahu apa sebenarnya.
Aku turut bangun dan mendapatkan Ghazi. Iman kini kembali dalam dukungan Ghazi. Tangisannya sedikit reda. Tidak seperti tadi beria-ia menangis. Memang Iman bukanlah anak kecil yang menyusahkan. Sejak dari bayi lagi, Iman mudah diuruskan. Tapi dengan syarat, Iman perlu berada di sisi orang yang dikenali. Mereka perlu tahu.
“Ghaz, I need to go home. Hari ni, bukan hari yang sesuai untuk kita beritahu ummi dengan walid fasal rancangan kita,” keluhku separuh berbisik.
Fikiranku sudah tiada di sini. Resahku membuatkan aku buntu. Aku sanggup menangguh segala apa yang kami rancang.
“Kenapa?” tanya Ghazi, terkejut.
Aku hanya mampu menggeleng. Iman mula menangis kembali. Entah apa yang tak kena membuatkan anak kecil itu kembali meronta dan menangis teresak-esak. Meronta dan menjerit-jerit. Sungguh meresahkan aku. Dalam keadaan Iman menangis dan meraung begini, tidak semudah itu aku mampu mendiamkannya. Fikiranku mula serabut, kusut. Jika perbincangan ini mahu diteruskan, pasti aku tidak mampu berfikir tenang.
“You tengoklah Iman macam mana.”
“Tapi kita kan dah plan nak beritahu ummi dengan walid malam ni jugak tentang hubungan kita. I tak nak tangguh lagi, Sofi tolonglah,” pinta Ghazi mengharap. “Bawa Iman keluar dulu. Bagi dia ambil angin. Mungkin dia diam nanti.”
Suara Ghazi bagaikan merayu. Suaranya membuatkan aku serba salah. Antara Iman dan Ghazi, kedua-duanya perlukan perhatianku. Hatiku yang sebak dan hiba saat ini hampir menitiskan air mata ketika mendengar suara Ghazi terhadapku.
“Tak nak tangguh apa lagi, Ghaz?” celah ummi tiba-tiba. Lantang sungguh suaranya.
Saat mendengar suara ummi, aku dan Ghazi bertentangan mata. Penuh persoalan, penuh kehairanan. Suara lantang ummi mengesahkan firasatku bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Suara lantang ummi memberitahu yang aku perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
“Ghaz, masuk, ummi dengan walid nak bincang sesuatu. Ajak Sofi sekali, dalam bilik kerja walid,” arah ummi. Suaranya tegas.
Serta-merta wajahku berubah. Tanda ada sesuatu yang tak kena. Aku dapat rasakan. Tapi apa? Aku hanya dapat rasakan suasana tidak seperti apa yang kami harapkan. Seolah-olah menentang hasrat kami berdua.
Kini Ghazi dan aku sudah berada di bilik kerja walid. Hanya kami berempat.
“Sebenarnya, ummi dengan walid nak bincang sesuatu. Kami nak kamu berdua berterus-terang. Terutamanya Sofi,” ujar ummi lagi.
Mata wanita yang separuh umur itu meleret padaku dengan pandangan tajam. Eh, aku ada buat salah ke? Rasa-rasanya tak. Jadi, aku tidak perlu takut apa yang bakal berlaku. Aku hanya perlu berani menghadapinya.
Suasana sungguh hening. Tubuhku mula berasa hangat walaupun bilik kerja walid agak sejuk dengan alat penyaman udara. Mata Ghazi tidak lepas memandang kedua-dua orang tuanya. Jelas sekali, dia juga tertanya-tanya apa yang sedang berlaku terutama sekali sikap pelik ummi. Semua orang dalam keadaan berjaga-jaga termasuk aku dan Ghazi. Menunggu apa sahaja kata-kata yang akan dilontarkan.
“Sekarang masa untuk kita berterus-terang. Ummi tak nak sebarang muslihat, tipu-helah, bohong, kalau nak selamat dunia akhirat. Ingat, ni ummi. Ummi yang melahirkan Ghaz dan anak-anak ummi yang lain. Sekali Ghaz tipu ummi, Ghaz takkan bau syurga. Takkan selamat dunia akhirat. Begitu jugak dengan Sofi. Ummi tak suka sesiapa pun bohong dengan ummi.”

Aku tersentak. Jadi buntu. Bingung. Tipu helah? Bohong? Muslihat? Apa maksud ummi?
“Ummi nak tahu, siapa Iman sebenarnya. Siapa bapa dia dan siapa ibu dia sebenarnya? Jangan bohong. Sebab sekali Ghaz atau Sofi bohong dengan ummi dan walid, kamu berdua takkan dapat kepercayaan kami lagi.” Begitu keras suara ummi kepada kami berdua.
Ghazi pantas bersuara.
“Ummi, apa kena dengan ummi ni? Iman memang anak angkat Sofi. Sofi dengan mak dia memang tak tahu langsung siapa keluarga Iman sebenarnya. Ghaz tahu sebab mak Sofi ceritakan segala-galanya pada Ghaz,” tegas lelaki yang cuba melindungiku.
Saat itu, aku mula melihat arah mana keadaan ini membawa aku sebenarnya. Aku sudah lihat masalah. Diriku mula tersepit di antara hakikat dan kebenaran. Aku sudah nampak kebuntuan yang aku akan dipersalahkan.
Mata ummi begitu marah dan tajam memandangku.
“Bukan ke Iman tu anak Sofi dengan bekas kekasih Sofi? Betul tak Sofi? Jangan nak tipu lagi. Beritahu ummi. Tak perlu simpan apa-apa rahsia lagi. Ummi dengan walid dah tahu. Sofi hanya perlu jujur dengan kami. Ummi tak nak Sofi mempermainkan kami, terutama sekali Ghaz.”
Aku tergamam. Air mataku tidak semena-mena menitis. Ini adalah satu fitnah maha besar dan dugaan maha hebat buatku. Namun mulutku bagaikan terkunci, tidak mampu untuk menepis fitnah dan tuduhan paling tidak berasas yang pernah aku dengar.
“Ummi!” Suara Ghazi mula tinggi.
Tidak sangka yang umminya boleh tuduh macam itu terhadap Sofiyah.
“Jangan salahkan ummi, Ghaz. Ummi dapat berita ni pun dari orang yang ummi dengan walid percaya. Takkan dia nak tipu kami?” celah Dato Salleh mempertahankan hujah isterinya.
“Siapa orang tu, ummi? Ghaz nak tahu! Suka-suka hati aje beritahu fitnah yang tidak berasas ni pada ummi dengan walid hinggakan ummi dengan walid lebih percayakan orang tu dari anak sendiri?”
“Ghaz!!!” jerit Dato Salleh lantang. “Jaga sikit mulut kau tu! Jangan sesekali tinggikan suara depan ummi. Tak bau syurga kau nanti. Baik minta maaf cepat!”
“Walid, memfitnah pun satu dosa besar. Dosanya lebih besar dari membunuh. Ghaz bukan nak jadi anak derhaka tapi Ghaz nak selamatkan ummi dari buat dosa ni. Ummi dengan walid tak nampak ke, Iman bukan anak sesiapa, tapi anak dari orang yang tak dikenali.”
“Betul ke Sofi? Iman bukan anak bekas kekasih Sofi?” tanya ummi lagi, ingin penjelasan.
Aku terdiam. Saat itu, aku mula teringat nasihat Siti. Kata-katanya terngiang-ngiang di telinga. Ya ALLAH, semuanya sudah terlewat untuk aku berterus-terang. Benar kata Siti tempoh hari. Jika aku lewat memberitahu Ghazi hal sebenar, tanggapannya akan membuatkan keadaan jadi lebih sukar. Silap hari bulan, Ghazi mampu mengandaikan sesuatu yang di luar jangkaan.
“Sofi, beritahu hal sebenarnya. Tak payah nak selindung.” Suara Ghazi penuh mengharap.
Aku membatukan diri.
“Sofi?” Suara Ghazi berbeza kini.
Aku jadi trauma tiba-tiba. Nada suara Ghazi benar-benar buat aku takut. Kebenaran sudah berada di hujung lidah namun segala-galanya sudah terlambat. Terlalu lambat. Aku sudah tiada pilihan lagi. Terpaksa berterus-terang.
“I cuba ceritakan hal sebenarnya kat you. Tapi you tak pernah bagi I peluang. Setiap kali I sebut nama dia, you marah,” keluhku cuba membuatkan dia mengerti.
Aku menundukkan wajahku. Tidak berani bertentang mata.
“You cakap apa ni?” Bulat mata Ghazi merenungku.
Terasa diriku goyah biarpun aku cuba menyampaikan hal sebenarnya.
“Selama ni, I cuba nak cakap dengan you, yang Iman sebenarnya anak Amri. Tapi you tak pernah pun beri peluang untuk I cakap,” jelasku.
Kini tumpuan Ghazi sepenuhnya padaku. Pandangannya begitu tajam sekali. Matanya seolah-olah menghiris-hiris hatiku. Perlahan-lahan dia menggeleng. Cuba menidakkan sesuatu yang jelas kebenarannya.
Setitis air mataku menitis ke pipi. Aku mengangguk.
“I cuba terangkan hal sebenarnya tapi setiapkali I sebut nama Amri, you tak boleh nak kawal marah you, Ghaz,” rintihku perlahan.
Air mataku mula menitis perlahan-lahan. Ya ALLAH, tolonglah hamba-MU ini.
“Astaghfirullahalazim…”
Mengucap panjang Ghazi. Tulang rahang di pipi bergerak-gerak. Urgh! Dia sedang marah. Sangat marah.
“Kenapa Sofi? Kenapa you biarkan I percaya yang Iman anak orang yang you tak kenal? Padahal dia anak you sendiri? You sanggup bohong I, beritahu yang you hanya ibu angkat sedangkan you adalah ibu sebenarnya Iman. Tergamak you tipu I dan mengaku yang Iman bukan anak you. Apa jenis perempuan you ni? You sengaja nak perangkap I, kan?”
Aku terpinga-pinga, lantas menggeleng pantas. Bukan itu cerita sebenarnya! Tuduhan Ghazi lebih berat dari tuduhan umminya sendiri. Aku tak sanggup mendengar tuduhan dari lelaki yang aku sayangi. Dan aku tak sanggup ditewaskan sekali lagi kerana cinta. Aku tidak sanggup dilukai kerana fitnah itu. Ini terlalu berat untukku tanggung. Aku harus kembalikan keyakinan kekasihku, jika tidak, dia akan pergi dariku begitu sahaja.
“Ghaz, tolong dengar dulu apa yang I nak cakap. Memang betul, Iman anak Amri. Tapi I bukan ibunya. Sumpah! Demi ALLAH! I tak ada kena-mengena dengan Iman. I dengan Amri dah berpisah bertahun dulu. I dengan dia tak ada apa-apa hubungan istimewa. Percayalah.”
Aku sanggup melutut. Merayu apa sahaja. Aku tak kisah itu semua. Asalkan Ghazi kembali kepadaku. Aku tak sanggup hidup tanpa dia.
“I think, you can go home now, Sofi. Baliklah, dan jangan datang lagi.You dah tipu I, walid, ummi dan seluruh keluarga I. Pergilah, jangan tunjuk muka you lagi depan I. I benci you dan kalau boleh I tak nak tengok you lagi!”

“Ghaz! Jangan buat I macam ni,” rayuku. Air mata mula mengaburi pandangan. Namun itu tidak menghalang, aku untuk terus merayu padanya.
Berlinangan air mataku di hadapan mereka semua. Menangis di hadapan Ghazi, walid dan ummi. Aku sudah tidak kisah perasaan malu demi mengembalikan kepercayaan mereka padaku. Aku tak nak berpisah dengan keluarga ini, lebih-lebih lagi Ghazi.
“Demi ALLAH, I bukan ibu Iman sebenarnya. I tak pernah kahwin pun dengan sesiapa. Percayakan I, Ghaz. Selama ni, you percayakan I. Tapi kenapa sekarang tak?”
“Kejujuran itu penting dalam mana-mana hubungan, Sofi. Sama ada berkawan, kita dengan keluarga kita atau dengan sesiapa aje. Tapi Sofi dah anggap kejujuran tu tak penting dalam membina kepercayaan dalam satu-satu hubungan terutama sekali pada Ghaz, ummi, walid dan keluarga kami. Baliklah Sofi,” ujar ummi dengan nada tenang.
“Sofi tak ada niat nak sembunyikan hal ni dari Ghaz, ummi. Tapi demi ALLAH, Sofi bukan ibu Iman sebenarnya.”
“Tell me Sofi, mak you pun sama berkomplot dengan you ke untuk dapatkan I? Ataupun mak you sendiri pun tak tahu tipu muslihat you ni? Betul kan, Iman anak you tapi you dan mak you sengaja sembunyikan hal ni daripada kami semua?”
Aku terpaku bila mendengar nama emak disebut-sebut. Sampai hati dia menuduh emakku kononnya berkomplot dengan rancangan aku? Malah tidak pernah terlintas di fikiranku selama ini untuk berbuat demikian. Namun aku tiada rancangan pun nak menawan hati Ghazi. Semua ini dusta belaka.
Bukankah dia yang memujukku untuk menerima kehadirannya? Bukankah dia yang merayuku agar memberi peluang kepadanya untuk membuktikan bahawa dirinya bukan lelaki sekejam Amri yang pernah melukakan aku suatu ketika dahulu?
Ghazi memandangku sambil bercekak pinggang. Pandangan matanya sudah memberitahuku bahawa dia tidak percaya dengan apa sahaja yang aku cuba buktikan kepadanya. Saat itu aku sedar aku tiada peluang untuk membela diri, apatah lagi untuk meyakinkan kepadanya bahawa apa yang didengarinya dari ummi adalah fitnah semata-mata.
Kebenaran yang aku cuba hamparkan hanya perbuatan sia-sia. Saat ini dia lebih percayakan umminya dariku. Sebagai seorang anak, itulah yang sepatutnya. Air mataku menitis tanpa henti. Tuduhannya menyakitkan perasaanku.
“Percayalah cakap I, Ghaz. Tolonglah, dengar dulu apa I nak cakap,” pintaku mengharapkan pengertian darinya dan diberi peluang sekali lagi untuk aku terangkan segala-galanya. Aku tetap mahu menagih peluang.
Ghazi segera meninggalkan aku terkapai-kapai di situ. Tidak sekali pun menoleh ke belakang melihatku buat kali terakhir. Malah tidak mengendahkan tangisan Iman ketika ini.
Tanpa menoleh, aku terus membawa Iman keluar dari situ.
Semuanya sudah terlambat. Hubungan aku dengan Ghazi putus begitu sahaja.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79967/derita-cinta