[SNEAK PEEK] DENDAM SEMALAM

DENDAM SEMALAM Oleh Zaifuzaman Ahmad

FAKAR menoleh ke arah daun pintu apabila terdengar bunyi ketukan yang bertalu-talu. Seketika dia mengelus nafas lembut.

“Masuk!” ujar Fakar.

Muncul seorang gadis muda yang cantik tersenyum manja melangkah ke arahnya. Melihat kelibat gadis itu, Fakar tersenyum manis. Tanpa dipinta, gadis itu melabuhkan punggungnya di kusyen empuk berhadapan dengan Fakar. Bibirnya tidak henti-henti tersenyum.

“Ni, fail yang you nak tadi,” ujar gadis itu sambil menyorong fail warna kuning ke atas meja Fakar. Fakar membuka fail itu dan menyemaknya.

“Ada apa-apa lagi yang you nak daripada I?” soal Dahlia dengan renungan yang penuh menggoda.

Untuk seketika Fakar tersentak. Kemudian dia cepat-cepat menggeleng.

“Kalau tak ada, I keluar dulu ya,” ujarnya sambil menjeling manja.

Fakar terkedu. Tidak sangka setiausaha barunya ini lebih daring daripada Mary Tan. Fakar perlu berhati-hati. Jangan nanti pekerja lain memandang serong kepadanya.

SIAPA yang tidak kenal dengan Dahlia. Seorang gadis muda yang cantik, seksi dan sosial. Setiap mata yang memandang pasti tergoda tapi bagi Dahlia itu perkara biasa. Memang lumrah alam. Orang cantik akan menjadi perhatian kumbang-kumbang liar. Bukan sedikit lelaki yang bermata keranjang ingin mendekatinya. Namun Dahlia sedikit pun tidak kisah. Berapa ramai pun dia sanggup melayannya.

Selalu juga Dahlia diusik dengan kata-kata nakal. Lebih-lebih lagi Nazri, teman rapat Fakar. Setiap kali datang berkunjung ke pejabat itu, Nazri tidak pernah lepaskan peluang mempelawa Dahlia makan tengah hari atau makan malam bersamanya. Walaupun begitu sering kali juga undangan yang nampak ikhlas itu ditolaknya mentah-mentah.

Nazri tidak rasa kecewa. Dia sendiri sudah tahu hubungan Fakar dengan Dahlia. Hubungan mereka bukan lagi sebagai setiausaha dan majikan. Malah lebih daripada itu. Walaupun begitu, belum pernah lagi Fakar mengheret Dahlia sampai ke bilik hotel. Dia masih lagi ingat dosa pahala.

Dahlia pula biarpun nampak galak dan mudah dipikat, sebenarnya dia seorang wanita yang sukar untuk diperangkap. Taktik dan teknik lelaki miang sudah ada dalam koceknya. Pujuk dan rayulah macam mana sekalipun, dia tidak mudah terpedaya. Pendek kata tidak makan saman. Taburlah hadiah atau apa sahaja kemewahan pada gadis itu, namun untuk meratah tubuh seksi itu tidak mudah seperti yang difikirkan. Dahlia seperti jinak-jinak merpati. Didekat boleh tetapi bila mahu ditangkap, dia cabut lari.

Lama-kelamaan hubungan Fakar dan Dahlia menjadi mesra. Bukan lagi rahsia. Berkepit umpama sepasang kekasih di pejabat tidak lagi sorok-sorok. Sering kali beberapa kakitangan wanita menegur perbuatan Dahlia, namun tidak dihiraukan.

Semakin kuat orang mengata, semakin kuat dan erat pula hubungannya dengan Fakar. Pernah juga beberapa teman rapat, lebih-lebih lagi teman serumah Dahlia, Suhaila menyuarakan kebimbangan mereka pada hubungan itu. Tidak takutkah Dahlia jika isteri Fakar tahu, namun dia sekadar ketawa.

Dahlia begitu berani menyebarkan berita yang hubungan Fakar dan isterinya sudah semakin dingin. Menurutnya Fakar kahwin dengan Hartina bukan kerana cinta tetapi perempuan itu mempunyai harta dan kemewahan. Hartina sebenarnya ditipu dengan kasih sayang yang Fakar berikan. Perkahwinan mereka sebenarnya berlandaskan harta dan bukannya ikatan kasih sayang.

Sejak itu Suhaila, kawan serumah tidak mahu ambil tahu lagi. Cuma dia sering berleter tentang tindakan Dahlia yang dilihatnya semakin berani. Macam belangkas! Ke sana ke sini berdua. Tidak berenggang langsung! Suhaila takut perang besar akan tercetus kalau isteri Fakar melihatnya nanti.

“Eh, bila you potong rambut?” tanya Fakar sambil menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk. Rakus matanya memandang fesyen rambut Dahlia yang dipotong paras bahu.

Dahlia yang sudah pun berdiri, melentokkan badannya. Sekilas dia menyebak rambutnya ke belakang.

“Haaahhh…. you panggil I kerana nak tanya pasal rambut I ni ke?”

Fakar ketawa. Agak kasar dan garau bunyinya.

“Malam tadi. I ke salon. Sesekali nak tukar style.”

Fakar mengangguk.

“Kenapa? Tak cantik ke?” soal Dahlia dengan suara yang sengaja dimanjakan.

Sekali lagi Fakar ketawa dan kemudian kepalanya dianggukkan lagi.

“Cantik… memang padan dengan wajah you yang bujur sirih tu,” puji Fakar dengan penuh semangat.

Ternyata Dahlia gembira bila dipuji begitu. Tanpa disuruh, Dahlia melabuhkan punggungnya semula di kerusi. Memandang tepat pada air muka Fakar yang kelihatan agak cemas.

“What’s wrong honey?” Dahlia bertanya lembut.

Fakar tidak menjawab. Direnungnya Dahlia dengan satu pandangan yang luar biasa. Pandangan mereka bertaut.

“No… tak ada apa-apa.”

Dahlia mencebik.

“You nampak cemas.”

Fakar diam.

“Ya ke?”

Dahlia mengangguk.

Fakar mengeluh. Kemudian dia berdiri dan melangkah ke tingkap pejabat. Melemparkan pandangan ke arah kota kosmopolitan yang tidak pernah mati dengan ragam kehidupan. Kota Kuala Lumpur tetap hidup. Tetap bernadi dan akan terus bergerak. Perlahan-lahan dia berpusing ke arah Dahlia semula.

“I cuma fikirkan tentang esok.”

Seperti ada yang lucu, Dahlia terus ketawa. Fakar pula berasa terhina dengan tindakan itu.

“Kenapa you ketawa?” Rasa tidak pasti membuatkan Fakar bertanya.

Dahlia menggeleng dan berdiri menghampiri Fakar. Amat jelas kedengaran nafas Dahlia dari rongga hidungnya. Cukup rapat.

“You tak usah risaukan pasal esok. You pergilah jumpa klien you. Kat sini, I boleh uruskan seperti yang you mahu. Jangan risau I can handle it.”

“You yakin?”

Dahlia tidak perlu menjawab. Cukup sekadar senyuman di bibir.

“I kan setiausaha you. Kalau I tak boleh buat, nak buat apa I kat sini?” ujar Dahlia, lalu dagu Fakar yang licin dicuitnya dengan lembut.

Dengan gaya yang cukup menggoda Dahlia melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk. Memandang Fakar dengan penuh keyakinan.

“You jangan buat silap,” ujar Fakar yang turut sama duduk.

“Kenapa Fakar? You tak yakin dengan kemampuan I?” tanya Dahlia dengan wajah yang berkerut. Dia tidak sangka Fakar memperlekehkan kebolehannya.

Fakar mendengus. Sebenarnya bukan dia tidak yakin. Sebolehnya dia ingin memastikan setiap perancangannya berjalan dengan lancar. Dia tidak mahu ada bebanan lain yang menunggu setelah semuanya selesai. Dia tidak suka begitu. Lebih-lebih lagi ini melibatkan masa depannya.

“Apa yang you nak bimbangkan lagi, Fakar?” Suara lembut Dahlia mematikan lamunannya.

Dahlia bangun dan mendekati lelaki bertubuh sasa itu. Jari-jemarinya lembut menari dan menyisir lembut rambut Fakar yang dipotong pendek. Kemudian jari-jemarinya singgah di bahu Fakar, lalu dipicit-picitnya dengan lembut. Fakar rasa seronok diperlakukan begitu. Satu perbuatan yang tidak pernah dirasai setiap kali bersama Hartina.

“You uruskan klien you tu. I tahulah buat kerja I. Tak usahlah you bimbang. Bila you pulang dari Langkawi, semuanya beres,” ujar Dahlia dengan suara yang lunak dan lembut.

Akhirnya Fakar setuju dan tersenyum manis kepada Dahlia.

MALAM itu, selepas makan malam, Fakar mengemas pakaian dan memasukkannya ke dalam beg. Hartina sekadar memerhatikan sahaja dari birai katil. Asyik benar Fakar dengan kerjanya, langsung tidak mengendahkan kehadiran isterinya.

Semua urusan syarikat Hartina, Fakarlah yang menguruskannya selama ini. Hartina hanya memberikan tumpuan pada perjalanan syarikat agar kemas dan licin. Selebihnya dia tidak mahu menyoal lagi.

Dalam seminggu cuma tiga atau empat hari Hartina menjengukkan mukanya di pejabat. Lagipun dia sibuk dengan syarikat barunya. Terpaksa minta suaminya menguruskan syarikat itu.

Fakar pula tidak membantah. Kesungguhan dia bekerja tidak membuatkan Hartina berasa sangsi. Segala-galanya diserahkan bulat-bulat pada suaminya. Dia memberikan kepercayaan penuh. Cuma sejak akhir-akhir ini, dia merasakan ada jurang yang memisahkan dia dengan Fakar. Macam ada satu tembok kukuh yang menjarakkan hubungan mereka.

Hartina tidak menolak kemungkinan mereka terlalu sibuk dengan syarikat masing-masing membuatkan hubungan mereka agak terbatas. Dahulu tidak begitu. Biar bagaimana sibuk sekalipun, Fakar tetap ada masa untuk bersama. Mereka kerap makan di luar dan berkongsi apa sahaja.

Enam bulan yang lalu segalanya berubah. Ternyata Fakar cuba menjauhkan diri daripadanya. Kemesraan tidak lagi wujud. Senyuman suaminya juga sudah tidak seikhlas dahulu. Bagaikan dipaksa-paksa.

Fakar sudah mula keluar malam dengan alasan hendak berjumpa klien. Punggungnya sentiasa panas. Seperti ada bara. Secara diam-diam Hartina mula rasa sangsi dengan perubahan itu.

Dari desas-desus yang didengar, Fakar menjalinkan hubungan cinta dengan setiausahanya sendiri. Hati wanita mana yang tidak naik angin bila mendengar berita macam itu. Biarpun berita itu masih belum disahkan lagi, namun perasaan terasa dicabar.

Selalu juga Hartina memerhatikan sikap dan tabiat Dahlia. Jika diukur dari segi rupa, memang Dahlia mempunyai kehebatan. Wajahnya ayu. Alis matanya tebal. Bibirnya mongel. Apatah lagi ditambah dengan kemontokan tubuhnya yang mampu membuat hati lelaki cair. Hartina sendiri mengakui yang Dahlia mempunyai daya penarik. Tidak boleh disangkal lagi.

Berbeza dengan diri Hartina. Tubuhnya tetap kurus biarpun mempunyai wajah cantik yang diwarisi daripada arwah ibunya. Sejak sebelum kahwin pun lagi, dia memang kurus dan tinggi. Barangkali kerana tidak mampu memiliki tubuh yang cantik, membuatkan Fakar mencari gadis lain. Itukah alasannya?

Hartina mengeluh perlahan. Mungkin juga kerana dia tidak mampu untuk melahirkan zuriat, membuatkan Fakar beralih pada gadis lain? Lalu kesempatan seperti itu digunakan untuk memikat Dahlia? Lelaki memang pandai mencari alasan! Bentaknya di dalam hati.

Mungkin salah dia juga, fikir Hartina. Sudah hampir enam tahun mendirikan rumah tangga, namun masih juga dia tidak mampu untuk melahirkan anak buat pengikat keharmonian rumah tangga mereka. Terlalu sibuk dengan dunianya sendiri membuatkan dia lupa.

HARTINA tersentak apabila katil bergegar. Dia menoleh ke arah Fakar yang sudah duduk di sisinya sambil melipat dan memasukkan beberapa helai pakaiannya di dalam beg yang sudah ternganga di atas katil.

“Berapa lama abang pergi?” Suaranya yang lembut memecah kesunyian.

Fakar yang leka mengangkat mukanya.

“Tak tahu lagi. Kalau cepat selesai, cepatlah abang balik.”

“Bila abang nak bertolak?”

“Esok, pagi. Kalau abang terlena, Tina tolong kejutkan ya?” Dagu Hartina dicuitnya dengan penuh mesra.

Hartina terasa dikhianati. Entah mengapa timbul rasa itu biarpun tidak pernah dipaksa. Melihat roman Fakar untuk seketika.

“Abang tidurlah awal sikit,” beritahu Hartina. Suaranya kedengaran mendatar.

Secara tiba-tiba muncul wajah Dahlia sedang ketawa mengejeknya. Dia tidak pasti sejauh mana hubungan Fakar dengan gadis itu. Apa yang dia tahu, pasti ada sesuatu di antara mereka berdua. Sepasang kekasih? Mungkin juga Fakar mahu memasang satu lagi? Hartina tertanya sendiri. Rambutnya yang diterjah angin malam, disisirnya kembali dengan lembut.

“Esok Tina akan ke pejabat.”

Fakar tersentak mendengarnya. Cepat-cepat dia mengawal perasaan.

“Kalau Tina tak ada pun tak apa. Lia boleh handle.”

Sekali lagi Hartina terasa dikhianati oleh suaminya sendiri.

“Lagipun abang pergi bukannya lama. Sekejap aje. Mungkin dua atau tiga hari,” ujar Fakar dengan bersungguh-sungguh.

“Boleh percaya ke dengan Lia tu bang?” Hartina mencungkil. Debaran di dadanya bertambah rancak.

“Hei… dia kan dah lama kerja kat situ. Semua kerja dia buat. Kalau abang tak ada, dia jugaklah yang tolong handlekan. Tina pun tahu pasal tu kan?” Renungan Fakar seperti mahu menyejukkan hatinya.

Hartina diam. Meramas jari-jemarinya dalam keresahan.

Hartina ketawa, namun jelas benar kedengaran seperti dipaksa.

“Syarikat tu pun Tina yang punya. Apa salahnya kalau Tina datang jenguk. Dah lama jugak Tina tak ke sana,” usulnya membuat cadangan.

Seterusnya Fakar tidak membantah. Dibiarkan sahaja isterinya dengan keputusan itu. Fakar memeriksa kembali pakaian di dalam beg. Dahinya berkerut-kerut seperti sedang mencongak sesuatu.

Hartina bangun dan berjalan menghampiri meja solek. Tangannya mencapai botol kecil ubat lalu dihulurkan pada Fakar. Lelaki itu menyambutnya dengan teragak-agak.

“Jangan lupa ubat ni. Kalau jadi satu-satu hal, susah pulak,” pesan Hartina.

Fakar mengangguk dan tersenyum kecil.

Sudah dua tahun Fakar menghidap asma. Biarpun serangan ke atasnya jarang-jarang berlaku, namun Hartina tetap bimbang. Jika sekali menyerang keadaan Fakar tidak tentu arah. Rasa kasihan menyelinap masuk memaut tangkai hatinya.

Hartina meninggalkan Fakar yang masih lagi sibuk di dalam kamar tidur. Dia mencapai novel Misteri Julia yang terletak di rak buku dan kemudian melangkah ke dapur. Dibukanya peti sejuk, lalu mengeluarkan pek susu segar. Dituangnya sedikit di dalam gelas. Kemudian melangkah ke balkoni di tingkat atas.

Tumpuannya bukan pada novel Misteri Julia yang dibacanya. Fikirannya melayang-layang mengingati Fakar dan Dahlia. Kedua-dua wajah itu mengganggu emosinya ketika itu.

Cerita-cerita yang didengarinya di belakang amat menyakitkan hati Hartina. Dalam diam-diam Fakar mengkhianati cinta dan membohongi dirinya.

Mujurlah teman baiknya, Dina membocorkan apa yang berlaku. Jika tidak, mati hidup balik pun dia akan terus ditipu.

Dina memberitahu Hartina yang dia ada terserempak dengan Fakar dan Dahlia di sebuah hotel sedang makan. Kelakuannya cukup mencurigakan. Mesra benar seperti pasangan kekasih.

Bukan sekali dua Dina terserempak dengan mereka. Sudah kerap benar. Makin lama berita itu, semakin membuatkan dia merana dan terasa seperti ditipu hidup-hidup. Hartina melurutkan rambutnya yang panjang. Angin malam agak keras menampar wajahnya.

Kenapa harus Fakar mengkhianati cinta dan kasihnya? Mengapa harus Fakar menemui gadis lain? Adakah dia tidak mampu memberikan kebahagiaan pada lelaki itu? Hatinya mencongak lagi.

Perlahan-lahan dia mengimbau kembali kenangannya bersama lelaki bernama Fakar itu.

****

NAZRI memandang lesu ke arah keranda yang diturunkan perlahan-lahan ke liang lahad. Hatinya menjadi sebak dengan tiba-tiba. Satu pemergian yang tidak akan kembali lagi. Pemergian Fakar adalah untuk selama-lamanya. Pasti dia akan merindui detik-detik yang pernah mereka lalui bersama.

Kenangan itu akan terus disematkan ke dalam hatinya hingga ke akhir hayat. Suasana di tanah perkuburan itu sunyi sepi. Yang kedengaran cuma tali umbut-umbut yang bergesel dengan papan keranda. Terasa ngeri juga dia mendengarnya.

Perlahan-lahan peristiwa pagi tadi terbayang di ruang matanya. Pagi tadi selepas berkunjung ke pejabat Fakar, dia terus ke rumah lelaki itu. Kecewa dengan sikap Fakar sejak kebelakangan ini sering tidak datang ke pejabat. Sangkanya bila tiba di rumah Fakar, dia akan menghamburkan segala kemarahannya.

Hatinya lega apabila mendapati kereta Fakar terparkir kemas di dalam garaj. Lalu dia ke pintu pagar dan menekan punat loceng beberapa kali. Perasaannya menjadi tidak sedap apabila bayangan sahabatnya itu tidak kelihatan. Entah bagaimana tangannya terus menolak pintu pagar yang tidak berkunci. Membuatkan debaran di dadanya semakin hebat.

Perlahan-lahan dia masuk dan menolak pintu kaca dan ternyata ianya juga tidak berkunci. Menambahkan kehairanan di dalam hatinya lagi. Nama Fakar diseru beberapa kali. Menyangka dengan pintu pagar dan pintu utama tidak berkunci, tentu sahaja Fakar sudah bangun. Namun panggilannya langsung tidak berjawab. Rasa sangsi semakin hebat bersarang dalam kolam perasaannya.

Dia menjengulkan kepalanya ke ruang dapur. Tidak kelihatan juga bayangan Fakar. Nama sahabatnya itu diseru lagi. Lebih nyaring dari tadi. Seketika dia memandang ke arah tangga. Tergerak hatinya untuk ke tingkat atas. Lalu dengan langkah yang berhati-hati dia naik. Melihat daun pintu bilik Fakar yang terbuka sedikit hatinya terus terusik untuk ke situ.

Dadanya cemas apabila terpandangkan tangan Fakar di atas lantai. Segera dia menguak pintu bilik dan melangkah masuk. Dia begitu terkejut apabila mendapati Fakar tertiarap di atas lantai dengan pil bertaburan. Dia cuba mengejutkan Fakar namun tidak ada sebarang reaksi. Setelah memeriksa pergelangan tangan lelaki itu akhirnya dia tahu, Fakar sudah meninggal dunia. Mata Fakar yang tercelik, diraupnya dengan tangan. Tanpa dapat ditahan lagi, dia menitiskan air matanya. Kehilangan Fakar seperti kehilangan separuh dari hidupnya.

Nazri tersedar. Cepat-cepat dia menyeka air mata di hujung tubir matanya. Dua orang penggali kubur sudah mula menimbus liang lahad. Nazri menelan air liurnya. Kepulangan Fakar ke rahmatullah secepat ini tidak pernah diduganya. Dina yang berdiri di sebelah Nazri memegang tangan suaminya. Mengharapkan sentuhan itu memberikan sedikit semangat buatnya. Lantas dia meramas semula tangan Dina dengan penuh kemesraan.

Seketika dia melemparkan pandangannya ke arah ayah dan ibu Fakar yang berada di seberang. Jelas rasa duka dan hiba turut bermain di wajah masing-masing. Pilu untuk melepaskan orang yang tersayang, begitulah yang dirumuskan.

Selesai imam membaca talkin, mereka beredar. Nazri juga melangkah ke arah keretanya dengan langkah yang teragak-agak. Ketika itu Dina memainkan peranannya memujuk Nazri. Lelaki itu pula tidak mampu meluahkan kata-katanya melainkan dengan anggukan sahaja.

Tiba di kereta, dia terhenti. Memandang tajam ke arah seorang wanita yang berbaju kurung putih dan berselendang nipis. Cermin mata hitam yang melekat di batang hidung wanita itu membuatkan dia teragak-agak sebentar. Wanita muda itu sekadar mengukir senyuman nipis. Tidak ada sebarang riak yang terzahir. Selamba dan hambar.

“Apa khabar Nazri?”

Nazri agak terkejut. Suara itu seperti pernah didengarnya dahulu. Lantas dia menoleh ke arah Dina mengharapkan sebarang jawapan. Isterinya hanya tersenyum.

“Kau tak kenal aku lagi?”

Tidak mungkin! Bisik hati kecil Nazri.

“Akulah Nazri, takkan kau tak kenal aku?” soal wanita itu agak galak.

Akhirnya Nazri tersedar.

“Hartini? Adik kembar Hartina?” Nazri mengagak.

Pertanyaannya itu dijawab dengan ketawa. Nazri terpinggar-pinggar. Kemudian dia berkalih semula ke arah Dina.

“Tak apalah bang. Sampai rumah nanti Dina ceritakan.” Perlahan isterinya berkata.

Nazri tiada pilihan lain. Masuk ke dalam kereta dan terus menghidupkan enjin. Perlahan-lahan kereta bergerak meninggalkan tanah perkuburan yang semakin diterkam kesunyian.

“Siapa perempuan tu Dina?” soal Nazri sewaktu dalam perjalanan pulang. Rasa tidak pasti membuatkan dia bertanya soalan itu.

“Sampai rumah nanti abang akan tahu ceritanya,” beritahu Dina perlahan. Tudung yang menutup kepalanya tadi sudah ditanggalkan.

“Cerita?” Dahi Nazri berkerut. “Cerita apa ni? Abang tak fahamlah,” keluh Nazri.

Sewaktu Nazri berkalih merenung Dina, isterinya itu sekadar tersenyum kecil dan menggerakkan kelopak matanya meminta Nazri supaya bersabar.

Sampai di rumah, Nazri memarkirkan keretanya di garaj. Galak dia menoleh ke arah kereta biru yang me- ngekorinya sejak tadi. Tanpa menunggu lebih lama lagi, Nazri masuk ke dalam. Kepulangannya disambut oleh anak perempuannya. Namun senyuman anaknya itu hanya disambut dengan keluhan sahaja.

Zura duduk di sebelah Nazri sewaktu Dina dan wanita itu melangkah masuk.

“Zura, masuk ke dalam. Ada sesuatu yang mama nak cakapkan sikit dengan papa,” arah Dina dengan suara yang lembut namun tegas.

Zura terpaksa menuruti kehendak itu. Mesti ada sesuatu perkara penting. Jika tidak, dia tidak disuruh masuk, bisik hati kecilnya.

“Duduklah,” pelawa Dina pada wanita itu.

Nazri turut melarikan pandangannya ke arah wanita yang bertudung putih itu.

“Apa ceritanya ni?” Wajah Nazri yang berkerut seribu turut meminta kepastian.

Wanita itu tersenyum.

“Maaflah Nazri. Bukan niat kami nak mempermainkan kau,” jelas wanita itu memulakan bicaranya.

Nazri berkalih, memberi perhatian penuh.

“Awak ni adik kembar Tina ya? Siapa tu…” Jarinya dipetik beberapa kali cuba mengingati suatu nama yang cukup jarang disebut.

“Hartini?” Wanita itu kemudiannya membantu.

“Hmmm…” Barulah Nazri mengangguk.

Tiba-tiba ketawa berderai dari bibir wanita itu. Terasa dirinya seperti sengaja dipermainkan.

“Aku tak salahkan kau Naz. Sedangkan Fakar sendiri pun ada kalanya tak tahu membezakan aku dengan saudara kembar aku tu,” ujarnya. Tiba-tiba wajah wanita itu bertukar menjadi murung. Ada sebak yang datang bertamu.

“Sebenarnya aku adalah Hartina.” Perlahan-lahan kata-kata itu keluar dari mulut wanita itu.

Nazri membeliakkan matanya. Berkalih pada Dina meminta kepastian. Isterinya itu sekadar mengangguk sahaja.

“Hartina?” Nama itu sekadar bermain di hujung bibirnya. Berasa tidak percaya.

“Tapi… bukankah isteri arwah Fakar…” Nazri mula ditenggelami dengan kecelaruan yang merumitkan.

“Hartina dah mati?” sahut wanita itu dengan galak.

Nazri mengangguk.

“Itulah sebabnya kenapa aku datang berjumpa dengan kau, Nazri. Sebagai sahabat baik Fakar, aku rasa kau dah kena tipu dengan dia,” tambah Hartina lagi.

Nazri terpukul dengan kata-kata itu.

“Apa maksud…” Cuma jari telunjuknya sahaja yang ditudingkan ke arah Hartina.

“Panggillah Tina. Takkan kau dah lupa dengan aku?”

Nazri mengeluh. Permainan ini dirasakan terlalu berat. Apatah lagi dia baru sahaja kehilangan seorang teman. Kini wanita yang mirip wajah Hartina datang menambahkan masalah buatnya.

“Sebenarnya Fakar sengaja mahu membunuh aku. Dia mahu merampas segala kekayaan yang aku miliki. Dia mahu bolot semuanya. Sudah lama dia merancang mahu membunuh aku. Tapi untunglah Dina ada. Dia sendiri pernah terdengar mereka merancang begitu di sebuah hotel ketika mereka makan bersama. Untung mereka tak perasan kehadiran Dina.”

Nazri menelan rengkungnya. Meneliti setiap butir bicara yang terluah dari mulut Hartina.

“Mereka merancang membunuh aku apabila Fakar menghadiri mesyuarat di Pulau Langkawi. Fakar mahu melihat kematian aku seperti satu rompakan. Barang kemas aku habis satu laci. Kebetulan pula pada siang hari itu, saudara kembar aku yang duduk di Washington datang dan bermalam di rumah aku.

Malam itu juga Dina telefon aku dan mahu berjumpa dengan aku pasal butiknya. Katanya ada masalah sikit dan malam itu juga Dina menjemput aku. Mungkin kalau Hartini tidak pulang awal malam itu, aku yang menjadi mangsa. Pada mulanya memang Tini ingin bermalam sahaja di rumah temannya. Tapi ketika aku bertemu dengan Dina di hotel, Tini menghubungi aku dan mengatakan kawannya itu sudah keluar kerana ada hal kecemasan. Jadi dia pulang awal malam tu. Dan malam itulah Dahlia datang dan membunuh saudara kembar aku.”

“Jadi… malam tu yang mati bukan kaulah tapi…” Nazri mula mengerti namun tidak mampu menghabiskan kata-katanya.

Hartina mengangguk.

“Ya… saudara kembarku yang menjadi mangsanya.”

Nazri berkalih lagi pada isterinya dan Dina turut mengangguk. Sejurus kemudian Nazri mengeluh. Menongkat tangannya ke kepala. Meleraikan segala kekusutan.

“Aku tahu itu semua adalah rancangan Fakar untuk menyingkir aku. Selepas Tini dikebumikan, aku tak pulang. Aku mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu pada Fakar. Lalu aku berjumpa dengan Dina,” sambung Hartina lagi.

“Kalau abang perasan, Dina selalu keluar rumah untuk bertemu dengan Tina,” ujar isterinya pula.

Nazri mengangguk lagi. Memang sejak kebelakangan ini isterinya sering keluar rumah. Malamnya tidak lekat lagi seperti selalu. Hampir setiap minggu isterinya sering beralasan untuk keluar. Malah dia sendiri pun tidak pernah mengesyaki apa-apa.

“Selama ni di mana kau tinggal?” soal Nazri.

“Di hotel. Aku cuba mengelak untuk bertemu dengan Fakar secara terserempak. Untung Dina selalu bersedia untuk membantu aku. Dari dialah aku tahu ke mana dan apa yang sering dilakukan oleh Fakar,” sela Hartina dengan suara yang mendatar.

Belum sempat Nazri menyahut, pembantu rumah datang membawa minuman. Kemudian dia berlalu dan Dina menjemput Hartina minum.

“Tapi macam mana Dina tahu tentang Fakar? Setahu abang, Dina bukannya rapat sangat dengan Fakar.” Soalan itu ditujukan pada isterinya.

Dina tersenyum dan menyambut lembut renungan suaminya.

“Abang kan selalu bercerita pada Dina tentang Fakar. Apa yang selalu dia buat dan ke mana dia pergi. Rahsia Fakar ada dalam poket abang. Dina koreklah. Kalau tidak pun Dina akan buat-buat bertanya pada abang.” Jawapan itu membuatkan Nazri terasa terhukum tiba-tiba.

“Aku dan Dina merancang sesuatu untuk Fakar. Aku buat seolah-olah ‘aku’ masih hidup lagi dalam banglo itu. Setiap apa yang aku lakukan sebelum aku mati, aku terus lakukan. Aku ingin melihat reaksinya. Tak sangka pulak dia begitu takut. Lalu aku terus melakukannya. Aku mahu dia terus hidup dengan diburu oleh bayangan aku.”Seulas senyuman nipis bermain di hujung bibirnya.

Sekali lagi Nazri mengangguk.

“Memang dia ada bercerita tentang abang tentang gangguan yang sering dia alami. Abang ingatkan dia main-main.” Nazri mengeluh lagi.

“Apa katanya bang?” Dina pula bertanya.

“Dia kata dia merasakan seperti isterinya ada lagi di dalam rumah tu. Dia minta tolong dengan abang untuk carikan orang yang boleh menghalau roh isterinya,” jawab Nazri lalu disambut ketawa kecil oleh Hartina. Dina pula sekadar menggelang.

“Dina ingat tak masa abang pergi ke Muar?” Nazri bertanya pada isterinya. “Abang ke sana bertemu bomoh. Tapi tak tahu pula makhluk yang mengganggu Fakar adalah isterinya sendiri. Bukannya hantu.” Dia sendiri hampir tergelak. Namun ditahannya juga.

“Lepas balik dari Muar dia ada mengadu yang dia masih diganggu lagi,” sambung Nazri dengan suara yang perlahan. Riak kesal dan kecewa terzahir jelas di air mukanya.

“Sebab aku bukannya hantu yang boleh dihalau dengan tangkal dan pendinding. Tapi aku manusia yang masih hidup lagi,” jelas Hartina.

Nazri benar-benar tidak sangka dengan apa yang didengarnya. Selama ini hantu yang sering mengejar Fakar adalah isterinya sendiri. Kepalanya digeleng-geleng lagi tanda kesal.

“Kau tadi ada menyebut tentang Dahlia. Benarkah dia pun terbabit sama dalam konspirasi ini?” Baru dia teringatkan tentang gadis itu. Tersedar juga dia tadi, sewaktu pengkebumian Fakar, Dahlia tidak kelihatan. Tidak pula dia berusaha untuk bertanya pada Suhaila.

Hartina ketawa sambil disusuli dengan senyuman mengejek.

“Dia dah mati Nazri.” Pendek sahaja jawapan Hartina.

Nazri tersentak. Terkejut dengan perkhabaran itu. Berkerut-kerut dahinya.

“Apa?”

“Ya… dia dah mati. Fakar sendiri yang bunuh dia,” jelas Hartina lagi dengan suara yang mendatar.

“Fakar…” Bibir Nazri sekadar menyebut nama itu dengan perlahan. Lebih ditujukan pada dirinya sendiri. Apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga Fakar sanggup membunuh Dahlia? Lalu persoalan itu diluahkan juga pada Hartina. Seketika Hartina mengerling ke arah Dina. Kemudian berkalih semula pada Nazri.

“Malam semalam aku ke banglo seperti selalu. Macam biasa jugak, aku ikut pintu belakang. Sampai aje di banglo tu aku terlihat kereta Dahlia ada di porch. Jadi aku mengintip.

“Mereka bertengkar. Aku tak pasti apa puncanya. Apa yang aku lihat Fakar menolak Dahlia dan dia terjatuh di sudut meja. Lepas tu aku tengok Fakar mengelabah. Ketika itulah aku terlihat ada kesan darah pada tangan Fakar. Aku pasti benar melalui cara dan riak muka Fakar, Dahlia sudah mati. Kemudian aku terus menunggu. Tidak lama kemudian Fakar naik ke tingkat atas dan mengambil cadar dan membalut mayat Dahlia. Mayatnya diletakkan di boot kereta Dahlia. Aku syak tentu dia buang mayat tu di mana-mana.”

Nazri menggeleng lagi. Sanggup Fakar melakukan semua itu? Sanggup dia membunuh isterinya sendiri dan kemudian membunuh Dahlia juga? Manusia jenis apakah Fakar ini, hatinya mula menyumpah. Selama ini dia merasakan dirinya telah ditipu hidup-hidup oleh Fakar. Kalaulah dia tahu begini perangai sahabatnya itu, sumpah dia akan memutuskan hubungan mereka. Dia tidak sanggup bersahabat seorang manusia berhati syaitan!

“You tahu kat mana Fakar buangkan mayat perempuan tu?” tanya Dina pula. Matanya galak diarahkan pada Hartina.

Hartina menggeleng.

“Tak tahu. Tapi kita tunggulah. Lambat-laun pasti orang akan jumpa juga dengan mayat tu,” sela Hartina dengan yakin.

“Fakar… Fakar…”

Sekali lagi nama itu disebut. Namun bunyinya jauh ke dalam halkumnya sendiri. Tidak pernah dia menyangka yang Fakar sanggup melakukan perkara sejauh ini. Kerana nafsu, Fakar sanggup melakukan apa sahaja. Kerana mengejar kemewahan, kadangkala manusia itu sendiri hilang pertimbangan akalnya. Nazri meraup wajahnya lagi. Jelas ada riak kesal dan kecewa tergaris pada air mukanya. Nafasnya dilepaskan dengan perlahan. Sebentar kemudian dia menoleh ke arah Hartina dan Dina dengan pandangan yang kosong.

DINA memerhatikan Hartina tanpa berkelip. Menunggu sesuatu daripada temannya. Namun riak yang terlukis pada wajah itu langsung tidak mampu dimengertikannya. Hartina pula perlahan-lahan meletakkan surat khabar di atas meja batu di taman kecil di rumahnya. Satu keluhan dilepaskan.

“Kan aku dah kata. Lambat-laun mayat perempuan tu akan dijumpai juga.” Kata-kata itu diucapkan dengan perlahan.

Dina mengangguk tanda setuju. Berita mayat Dahlia ditemui dimuatkan dalam akhbar tempatan pagi itu. Dan pagi tadi juga sewaktu Dina mendapat tahu tentang berita itu, terkocoh-kocoh dia datang menemui Hartina. Tidak sabar rasanya hendak memberitahu berita itu.

“Jadi… apa rancangan kau selepas ni, Tina?”

Wajah Hartina yang kelihatan tenang itu direnungnya dalam-dalam. Seketika dia mengeluh. Seperti ada sesuatu yang berat sedang bersarang dalam mindanya ketika itu.

“Aku nak jual banglo ni,” ujarnya membuatkan Dina terperanjat.

“Kau nak jual?” Terbeliak matanya mendengar.

Hartina mengangguk.

“Terlalu banyak sangat kenangan pahit dalam banglo ni, Dina. Aku tak boleh hidup dalam kenangan seperti itu. Aku tak sanggup menghadapinya.”

Dina diam. Mengharapkan agar Hartina meneruskan kata-katanya. Tidak pula dia meluahkannya melainkan dengan isyarat mata.

“Tini mati dalam banglo ni. Dahlia juga mati dalam banglo ni. Fakar sendiri menemui ajalnya dalam banglo ni. Terlalu banyak kematian yang berlaku dalam banglo ni,” ujar Hartina dengan wajah yang tenang. Di kelopak matanya kelihatan berkaca-kaca. Menahan perasaan.

“Kau takut banglo ni berhantu?” usik Dina. Namun tidak pula Hartina tergelak.

“Kau ingat aku macam Fakar?” sindir Hartina. Kemudian dia tersenyum nipis.

“Aku cuma nak bina hidup baru Dina. Rasanya tak terlewat lagi kan?” ujarnya kemudian meminta pendapat Dina.

Wanita bertubuh agak besar itu turut bersetuju. Hartina diam lagi. Membiarkan angin pagi menyentuh dan membelai wajahnya dengan lembut. Gemersik lalang di sebalik pagar mencuit cuping telinganya. Membiarkan hangat sinaran matahari pagi menikam kulit mukanya.

Seketika dia menoleh ke arah banglo di depan matanya. Terlalu banyak sejarah hitam yang terakam dalam banglo besar itu sejak kebelakangan ini. Dan kesemuanya akan cuba dikikis dari ingatannya. Seketika kemudian dia mendesah. Apakah dia mampu untuk menghapuskan ingatan pahit itu dari dalam diari hidupnya? Barangkali masa sahaja yang akan menentukannya, bisik hatinya sendiri.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/99733/dendam-semalam