SNEAK PEEK DELIRIUM

9789670954479-medium

DELIRIUM Oleh Sahidzan Salleh

Harbour Mall,
Sandakan

Sebuah bot nelayan membunyikan hon. Menerbangkan sekumpulan camar yang bertenggek di tambak-tambak batu. Di luar mall, seorang sekuriti sedang menghisap rokok membelakangi McD. Termenung di tebing tambak melihat burung-burung camar yang berterbangan di hadapannya. Suasana sekitar mall pagi itu masih hening. Tiada hiruk-pikuk, tiada kesibukan orang 8ramai. Namun keheningan itu tiba-tiba saja dipecahkan oleh jeritan seseorang:

“Pengait!! Pengait!! Pengait!!”

Rokok belum sampai pun separuh, terlepas dari tangan. Sekuriti itu melihat seorang perempuan cleaner berseragam biru berlari menjauhi tugu dataran Harbour Mall tidak jauh dari tempatnya berdiri. Sepuluh meter berlari, perempuan itu tergolek. Lelaki sekuriti itu
segera mendapatkan perempuan cleaner itu. “Kenapa kau?! Kenapa?” tanya sekuriti itu sambil menggenggam cota. Dengan muka yang pucat lesi macam baru ternampak iblis, perempuan cleaner itu menoleh ke arah tugu itu semula.

“Itu… Ituu….” katanya sambil menunjuk ke arah sekarung guni di kaki tugu. Sekuriti kaget memandang ke arah sama.

“Apa itu, apa??” tanya sekuriti.
Beberapa pekerja kedai dalam mall yang baru tiba menyibukkan diri datang menghampiri mereka.

“Kenapa?! Kenapa?!” tanya mereka juga.

Sekuriti dengan berbekalkan cota menapak ke arah karung guni yang menyebabkan perempuan cleaner tadi menjerit macam orang gila. Menggunakan cotanya, dia menyelak karung guni di kaki tugu itu perlahan-lahan.

“Astaga!!” jeritnya terkejut bila melihat seketul kepala manusia di dalam guni itu.

Dia berundur beberapa langkah sebelum terjatuh. Terkucar-kacir dia menarik walkie-talkie yang terselit di pinggangnya mahu menghubungi ketua keselamatan mall itu.

“Bos, tolong panggil polis sekarang. Panggil
polis sekarang!”

“Ada apa tu?”

“Ada…. ada….” Dia terkebil-kebil melihat ke arah karung guni tidak
jauh darinya.

“Ada… ada… ada apa?!”

“Ada kepala orang.”

“Kepala apa?!”

“Kepala orang, bos! Ada kepala orang di dataran. Ada pengait!!”

Bila mendengar perkataan pengait, pekerja mall berpandangan antara satu sama lain. Kemudian mereka turut melangkah ke arah karung guni itu. Masing-masing keluarkan telefon
bimbit dengan terketar-ketar. WhatsApp dibuka, mesej ditulis, Pengait sudah sampai di Sandakan! Kamera telefon bimbit difokuskan ke karung guni yang sudah terselak itu. Kelihatan seketul kepala manusia dalam posisi mengiring ke tepi. Separuh wajah kelihatan.

Snap! Snap! Snap!

Setengah jam kemudian, dataran Harbour Mall sesak dengan orang ramai. Datang dari merata ceruk bandar. Pita halangan polis direntang mengelilingi tugu besi. Orang forensik garu kepala melihat seketul kepala di depan mereka.

“Pembunuh yang sama?” tanya seorang Inspektor kepada pegawai forensik di situ.

“Last week di KK. Sekarang di sini. Tuan rasa?”

Inspektor itu berpaling melihat ke arah orang ramai yang sedang berkumpul mengelilingi kawasan larangan itu sambil menjulang telefon pintar mereka. Pandangan Inspektor itu kemudian menangkap kelibat seorang perempuan tua berbaju kebaya di hujung bangunan menuju ke laut. Inspektor itu mengerutkan dahi bila dia melihat perempuan tua itu seolah-olah
tersenyum kepadanya sambil mengangkat sebuah kotak kecil berbentuk kiub hitam.

Berasa hairan, Inspektor itu pergi mendapatkan perempuan tua itu. Berjalan cuba melepasi orang awam yang berkumpul, Inspektor itu ditanya-tanyakan soalan:

“Itu pengait sudah sampai Sandakan-kah, tuan?”

“Bila mahu tangkap?” “Boleh ambil gambarkah?”

“Apa polis boleh bikin, tuan?”

“Kenapa tuan hensem, tuan?”

“Tuan Tuhankah, tuan?”

Semua soalan tidak diendahkannya. Dia mendekati perempuan tua yang masih tersenyum kepadanya itu. Tanpa sebarang bicara, perempuan tua itu menghulurkan kotak kecil itu kepada Inspektor.

“Apa benda ni?” tanya Inspektor, menerima kotak
kecil itu.

Perempuan tua itu menarik sanggul yang tersemat di rambutnya. Rambutnya terurai panjang melepasi punggung. Kemudian, sanggul berupa sebatang besi itu dicucuk ke lubang kecil di kotak itu. Seperti sebatang kunci. Inspektor itu mengerutkan dahi. Bahagian atas kotak itu terbuka. Dan Inspektor itu merenung ke dalam kotak itu.

“Pembunuh! Pembunuhnya ada di dalam,” kata perempuan tua itu. “Kau
nampak?”

Kotak itu terlepas jatuh ke jalan.

****

Bilik ini dingin gila babi. Macam duduk dalam peti sejuk. Atau tempat ini memang asalnya sebuah bilik sejuk beku yang sudah diubahsuai menjadi sebuah bilik tahanan?

Polis ini ada saja cara mereka untuk mengorek maklumat. Ada saja kaedah rahsia mereka untuk menekan orang tahanan agar mengaku kesalahan. Walhal, dalam kes aku, semua kesalahan yang mereka tuduh langsung tiada kena-mengena dengan aku. Okey, mungkin ada kena-mengena sikit, tapi hell! Bukan aku yang menyebabkan kematian lelaki-lelaki itu. Aku cuma seorang penulis. Kerja aku menulis. Apa celaka pula aku mahu membunuh
orang?

Walau mulut dah berbuih, cakap ulang-ulang, diorang tetap nda faham bahasa. Diorang tetap bilang aku menipu. Diorang bilang aku putar alam. Cakap aku gila. Padahal diorang yang gila sebenarnya. Mereka yang putar alam. Cakap berbelit-belit. Tiap cerita yang aku berikan pada
mereka tetap saja dimanipulasi. Mereka tidak percaya yang Johnny sudah crack otaknya kemudian membunuh diri. Mereka tidak percaya yang Johnny dirasuk semangat jahat yang juga pernah merasuk pakciknya. (Untuk rekod, pakciknya mati menggantung diri di pokok durian di belakang rumahnya). Mereka tidak percaya yang Asmat dibunuh oleh klien insurannya kerana
kliennya itu merasakan yang dia sudah kena tipu oleh syarikat insuran Asmat. Mereka tidak percaya yang aku langsung tak kenal siapa Jailani. Ini lagi satu hal. Jailani? Who the hell is Jailani? Kalau mereka mahu menyalahkan aku dengan menggunakan alasan yang aku mengenali Johnny dan Asmat, jadi kematian lelaki bernama Jailani itu pula apa kena-mengena dengan aku, lahanat?!!

Kata Stella, itu balasan pada dosa-dosa silam mereka. Balasan pada kesalahan yang tidak akan sesekali dimaafkan tuhan – itu pun jika benar tuhan itu wujud.

Mereka langsung tak percaya. Mereka lebih suka menjawab setiap kata-kataku dengan cota mereka hinggap di tanganku. Dengan tapak tangan mereka berdesing di pipiku. Aku jelas
diperlakukan seperti aku ini anak mereka yang suka berbohong. Anjing-anjing celaka semuanya! Dan saat ini juga aku tertanya-tanya, di mana pejuang-pejuang human rights? Di mana Amnesty? Di mana hak aku untuk mendapatkan khidmat peguam? Di mana orang yang sering berteriak menolak kekejaman polis? Dalam Facebook? Dalam Twitter? Hakikatnya, aku
dibiarkan bersendiri di sini. Menanggung ketempangan undang-undang. Aku tak tahulah kalau kes aku ini dah mula trending di media sosial.

Mereka meminta satu nama dari aku. Nama seseorang yang dapat mereka kaitkan dengan kematian lelaki-lelaki itu. Nama seseorang yang mungkin dapat melepaskan aku dari semua pertuduhan. Jadi aku suapkan ke telinga mereka nama yang mereka mahukan itu, Stella.

Stella tahu apa yang berlaku pada Johnny dan Asmat. Dia sendiri nampak mayat Johnny tergantung di bilik tidurnya. Dia sendiri yang nampak Asmat terikat di dalam boot keretaku. Dia masih hidup. Masih bernafas waktu itu. Dia belum mati. Ada orang lain yang membunuhnya. Ada orang lain yang membawanya ke Sandakan dan meletakkan kepalanya di tugu Harbour
Mall.

Ada kemungkinan yang Stella tahu siapa yang membunuh lelaki-lelaki itu. Mungkin juga, kalau benar Johnny dan Asmat dibunuh orang dan bukannya mati disebabkan semangat jahat yang merasuk mereka, aku fikir Stella yang sepatutnya duduk dikurung di sini, bukannya aku.

Namun bila aku menyebut nama Stella, mereka hanya terbahak sambil bertepuk tangan dan memuji aku dengan mengatakan yang aku ini seorang fiksyenis terbaik yang pernah mereka jumpa.

Kata mereka, mana mungkin seorang perempuan berupaya membuka tempurung kepala seorang lelaki lalu menggantikan otak lelaki itu dengan zakarnya sendiri yang dikerat. Aku pelik. Bapak punya pelik. Siapa yang berotakkan sepotong zakar? Lahanat apa semua ini?

****

Bzzztt… Bzztt… Lampu siling berkelip-kelip sebelum ia menyala terang. Menyilaukan mataku. Dan telingaku juga mula berdengung. Pintu itu aku ketuk lagi beberapa kali. Melolong-lolong minta dilepaskan seperti anjing husky belaan perempuan Cina seksi depan rumah bernombor
666. Seorang pun tiada menyahut. Dan aku mengamati tiap penjuru bilik. Menatap
tiap kepingan mozek di lantai. Tiap keping mozek berukuran satu kaki persegi. Ada 40 melintang, 30 menegak. Kesemuanya 1200 kaki persegi. 1200 kaki persegi yang sia-sia.

Ingin menjerit lagi tapi tekak aku dah sakit. Aku kembali ke meja steel dan menarik bangku besi. Tapi bangku itu enggan berganjak walaupun seinci. Melekat ke lantai. Meja itu pun serupa. Aku duduk. Jarak antara bangku dan meja seperti sudah diukur untuk aku duduk di situ. Selesa.
Tidak sempit, tidak jauh antara bangku dan hujung meja. Jari-jemariku menari-nari di atas meja sambil merenung ke pintu.

Aku tidak tahu berapa lama aku sudah berada di sini. Sejam? Sehari? Seminggu? Aku tiada idea tentang itu. Aku tiada idea tentang masa. Masa seolah-olah tidak berguna untuk lelaki yang terkurung.

Selang seketika, pintu itu dibuka. Hatiku seperti dijentik. Siapakah yang akan masuk? Perempuan Cina bertubuh seksi? Lelaki tua memegang cota? Tekaanku langsung tak mengena bila melihat seorang lelaki tercatuk di muka pintu. Tinggi lampai. Berjaket kulit warna coklat. Jeans biru gelap. Potongan rambutnya pendek. Wajahnya halus tanpa sedikitpun parut jerawat. Dia berdiri tegak di depan pintu itu dan melemparkan senyumannya kepadaku. Senyuman mengejek dan ia amat menjengkelkan.

Pintu ditutup semula tanpa sempat untukku menjengah apa yang ada di luar sana. Kemudian lelaki itu melangkah mendekati meja. Langkahnya meyakinkan. Tapak kasut hitamnya yang berdetak di lantai mozek kedengaran begitu mengasyikkan. Sebuah fail plastik kelabu diletakkan di atas meja. Kandungan fail itu nampak tebal. Setebal sebuah manuskrip novel 100 ribu patah perkataan bersaizkan font 12 dengan spacing 1.5 yang tercetak di atas kertas A4. Apa yang terkandung di dalam fail itu aku tiada idea. Kemungkinan besar ia laporan siasatan kes yang cuba disabitkan ke atasku. Tapi takkanlah tebal sampai macam itu?

Dia bergerak mengelilingi meja dan berdiri di belakangku. Aku mendongak memandangnya. Tangan kiriku dipegang dan klek! Gari melekat di pergelangan tanganku. Sebelah gari itu pula dimasukkan ke bangku tempat aku duduk.

“Kenapa? Kau takut aku lari kah?” perliku kepadanya. Dia sengih dan kembali ke depan semula lalu duduk di bangku bertentangan. Tersenyum sekali lagi memandangku. Gestur tubuhnya saat ini kelihatan begitu mesra sekali. Walaupun sebenarnya aku tahu ia palsu semata-mata.

“Apa khabar?” tanyanya sambil menongkat tangan kanannya di lengan bangku. Dia menggaru pipinya.

Aku menggeleng dan berkalih dari menatapnya, melihat ke tiap penjuru bilik. Tiada lubang ekon yang kelihatan. Tapi kenapa bilik ini sedingin Antartika, aku tidak faham.

“Saya ada berita baik dan buruk buat kau,” kata lelaki itu lagi. Aku syak dia ini polis penyiasat berpangkat sekurang-kurangnya pun inspektor.

Mungkin dia yang mengetuai siasatan kes ini, fikirku.

“Kau mau dengar yang mana satu dulu?” tanyanya lagi. “Yang buruk atau yang baik?”

Aku hanya mendiamkan diri. Sudah penat juga aku bercakap sebelum ini. Mereka masih juga tak faham-faham dan tak mempercayai ceritaku.

“Macam ni lah. Biar saya yang pilih. Kita mulakan berita yang baik dulu,” ujarnya.

Aku tatap fail atas meja. Tiada sebarang tulisan mahupun nombor kes ataupun sekurang-kurangnya nama yang tercatit di fail itu. Berbeza dengan fail yang pernah dibawa oleh polis penyiasat sebelum ini. Ia membuatkan aku jadi tidak senang duduk. Fail kelabunya itu aku rasakan terlalu misterius. Perasaanku membuak-buak mahu menarik fail itu dan membukanya. Membaca apa yang terkandung di dalam.

“Berita baiknya, kau akan dilepaskan dari sini,” katanya sambil tersenyum.

“Hmm?” Aku angkat kening memandangnya. Ah! Akhirnya aku akan keluar juga dari tempat bodoh ini. Aku dah cakap pada diri aku sebelum ini, Bersabar, kau akan keluar juga dari sini. Sebab kau tak bersalah. Bukan kau yang bunuh mereka.

“Tapi yang buruknya pula,” sambung lelaki itu sambil merapatkan badannya ke hujung meja. “…bukan sekarang. Hahahah!”

Aku gamam sebentar. Kaku melihatnya. Apa dia ini sudah gila?

“Eh, kau nda terhibur kah?” tanyanya.

“Screw you!”

Dia menggeleng. “Lelaki budiman macam kita ni nda elok memaki, kawan.”

Aku mendengus. “Aku mahukan peguam. Sudah berapa kali aku minta.”

“Peguam? Kau mau buat apa sama peguam?”

“Aku ditahan di sini, jadi aku ada hak untuk
dapat seorang peguam.”

“Kenapa? Kau ingat saya ni polis kah?”

“Kalau bukan polis, kamu ni siapa?” aku membentak.

Dia tak menjawab. Duduk menyandar semula ke bangku dan dia hanya merenungku tanpa berkata sepatah pun. Dan wajahnya kelihatan begitu serius menatapku. Wajah mesranya tadi pantas hilang.

“Aku sudah cerita semua benda yang kamu tanya. Mahu apa lagi?” kataku lagi.

“Tapi cerita kau langsung nda masuk akal.”

“Kamu mahu aku cerita yang sebenarnya. Aku sudah cerita. Masuk akalkah atau tidak, itu aku nda tahu. Sebab apa yang aku tahu, apa yang aku nampak, itulah yang sebenarnya terjadi.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79763/delirium