[SNEAK PEEK] CINTA SI WEDDING PLANNER

9789670567747-medium

EBUKU Cinta Si Wedding Planner Oleh Dhiyana

FARIZ pulang ke hotel selepas bersolat maghrib di rumah pak lang. Pertama kali aku bersolat berimamkan suami aku sendiri. Terasa tenang sekali. Sesudah mengaminkan doa selepas solat, aku tunduk menyalami, menghormati Fariz sebagai suami aku. Sekali lagi ciuman Fariz mendarat di dahi aku. Rasa sebak kembali bertandang. Pada masa yang sama, hati aku dijentik perasaan halus. Sesuatu yang indah dan sukar ditafsirkan dengan kata-kata.

Pelawaan pak lang untuk makan malam di rumah ditolak oleh Fariz selepas menjelaskan kepada pak lang yang Fariz sudah berjanji kepada Puan Marina dan Tuan Firdaus untuk membawa mereka sekeluarga bersiar-siar pada malam itu. Pak lang tersenyum senang dengan sikap Fariz.

Aku menemani Fariz sehingga ke kereta. Fariz masih tidak berbual mesra dengan aku sejak petang tadi, selepas Bazli berangkat. Pasti Fariz terasa dengan kata-kata Bazli.

“Fariz…” sapa aku sebelum Fariz meloloskan diri ke dalam perut kereta.

“Kenapa?” soal Fariz lalu memandang aku.

Otak aku ligat memikirkan cara untuk memujuk hati suami aku yang sukar dijangka moodnya itu. Tanpa sedar, aku mencapai dan menyalami tangannya. Sebaik sahaja aku menegakkan tubuh, Fariz memandang aku dengan penuh tanda tanya.

“Saya minta maaf kalau awak terasa hati dengan kata-kata abang saya. Dia tak maksudkan macam tu,” jelas aku sebelum perkara itu menjadi semakin serius. Dan aku terpaksa menyebut gelaran Bazli sebagai abang daripada menyebut nama Bazli di hadapannya. Jika tidak, pasti aku akan menerima renungan tajam daripadanya lagi.

Fariz hanya diam membisu. Perlahan-lahan tangan aku ditarik menghampirinya. Aku mula kaget memikirkan tindakan seterusnya. Takkan nak peluk aku di luar rumah macam ni? Biar betul Si Fariz ni pun.

Tiba-tiba terasa hangat di dahi aku apabila tubuh aku mendekatinya. Aku mendongak memandang Fariz. Pandangan kami berdua bertaut. Seminit, dua minit, tiga minit hingga bertukar lima minit. Sekali lagi terasa hangat di dahi aku apabila bibir Fariz kembali mendarat di situ. Fariz hanya diam membisu tanpa sepatah kata.

“Take care of yourself. Aku balik dulu. Esok kita jumpa semula,” pesannya. Giliran aku pula diam membisu. Terkejut dengan kelakuannya. Aku hanya pandang Fariz yang sudah meloloskan diri ke dalam perut kereta.

“Thank you for the explanations. Aku hargainya. Dan aku bersyukur sebab majlis hari ni berjalan dengan lancar. We’re husband and wife now. So, buat cara macam isteri orang. Get a better sleep tonight. Tomorrow night I will be with you,” tambah Fariz lagi yang sudah berada di dalam kereta. Di penghujung kata-katanya sengaja ditekankan nadanya. Terlakar senyuman di wajahnya. Aku pula yang sudah tersedar sesuatu memandang wajah Fariz dengan pandangan tajam. Fariz mengenyit mata kanannya kepada aku.

“See you tomorrow, my sweet wife. Bersedia untuk malam esok, ya? Assalamulaikum.” Semakin ligat Fariz menyakat aku. Semakin tajam aku memandangnya. Fariz masih dengan senyumannya.

Aku menghantar Fariz dengan pandangan sehingga kelibat kereta yang dipandunya hilang dalam kegelapan malam. Aku tersenyum sendiri dengan telatah Fariz. Dia masih tidak boleh bersemuka dengan Bazli walaupun aku sudah menjadi haknya. Buktinya, Fariz terasa hati dengan kata-kata Bazli.

KANTUK aku menjengah apabila jam sudah melewati pukul 12.30 malam. Penat aku semakin terasa apabila Danish mula selesa dengan aku. Setiap keletahnya perlu aku layani. Jika tidak dilayan, pasti memakan masa untuk mengambil hatinya pula.

Katil yang dihiasi indah menjadi tempat aku beradu. Aku tanggalkan cermin mata dan letakkan di atas meja kecil di sisi katil. Sudah berapa kali aku menguap menahan kantuk. Aku memeluk erat bantal peluk panjang. Namun, sebaik sahaja aku mahu memejamkan kelopak mata, aku dikejutkan dengan bunyi pendek dari telefon bimbit. Lantas aku capai telefon bimbit di sebelah cermin mata.

Terpamer ikon mesej di skrin. Lantas aku membuka Inbox untuk membaca mesej tersebut. Siapa la yang bertuah mesej aku lewat macam ni? Tak tahu tengok waktu ke?

Bertuah betul bantal peluk tu. Terbayangkan encik suami ke semasa peluk bantal panjang tu? Bertuah encik suami dia.

Berulang kali aku membaca mesej tersebut. Namun, masih tidak percaya. Aku pakai semula cermin mata dan membaca sekali lagi mesej tersebut. Betul la! Mesej daripada Fariz! Nampaknya laki aku ni dah mula menggatal.

Saya mengantuk! Nak tidur! Good night… Zzz…

Hantar. Tidak sampai lima minit menunggu balasan mesej daripada Fariz, aku sudah tertidur. Lebih baik aku layan tidur, lagi bagus.

ROMBONGAN keluarga Fariz tiba di pekarangan rumah pak lang apabila jam sudah menunjukkan pukul dua tiga puluh lima petang. Kedengaran kuat paluan kompang dari laman rumah. Aku yang berpakaian pengantin berwarna ungu, dibawa turun ke laman rumah oleh Syakirin selaku pengapit aku. Fariz kelihatan segak dengan tengkolok dan keris kecil tersemat di pinggangnya. Dah macam pahlawan Melayu pula aku tengok dia.

Tangan aku digenggam erat oleh Fariz ketika kami berjalan beriringan menaiki rumah semula untuk bersanding di atas pelamin. Aku bertambah malu apabila menjadi perhatian orang ramai ketika di atas pelamin. Rasa macam nak lari pun ada juga! Ahli keluarga Fariz datang bergilir-gilir menepung tawar pasangan pengantin, yakni aku dan Fariz. Ahli keluarga aku juga tidak turut ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam sesi ini. Fauzan dan Amsyar kembali sibuk dengan tugas mereka. Biarlah! Fariz yang membayar semua kosnya.

Selesai sesi bersanding, kami berdua diarahkan untuk beralih ke meja pengantin pula untuk menjamu selera. Pelbagai aksi terpaksa aku dan Fariz gayakan ketika di meja makan atas arahan Fauzan dan Amsyar. Fariz langsung tidak merungut malah memberi sepenuh kerjasama. Bagus la pula.

Sejam setengah kami berdua terpaksa mengikut atur cara majlis. Akhirnya, aku dapat menarik nafas lega. Kami hanya perlu melayani tetamu, rakan-rakan dan juga ahli keluarga yang datang bertandang. Ramai rakan sekolah dan universiti aku datang bertandang. Fariz tidak kekok berada di celahan rakan-rakan aku.

Sekali lagi aku dan Fariz terpaksa memenuhi permintaan Fauzan dan Amsyar untuk mengambil gambar kami berdua. Di celahan sawah yang menghijau, Fauzan dan Amsyar melakukan tugas mereka berdua merakam setiap aksi aku dan Fariz. Dan dengan senang hati Fariz menuruti setiap kehendak mereka berdua. Wah! Ni dah lebih! Dia pula yang over!

Setelah selesai semuanya, aku dapat menarik nafas lega. Aku yang sudah keletihan mula ternampak akan bayangan bantal dan tilam. Dengan pakaian pengantin yang masih tersarung, aku mengorak langkah menuju ke bilik tidur. Kelibat Fariz yang mengekori aku dari belakang tidak aku hiraukan lagi.

Suis kipas yang melekat di siling aku buka sehingga kelajuan yang maksimum. Aku mula kepanasan. Aku cabut satu per satu pin yang dicucuk di selendang dan tudung yang tersarung di kepala. Kelibat Fariz yang sudah berada di dalam bilik terlihat di cermin solek di hadapan aku. Fariz juga turut menanggalkan tengkolok dan baju yang dipakainya sehingga tinggal singlet sahaja.

Aku mula menggeletar apabila terlihat kelibat Fariz sedang menghampiri aku. Tangan aku mula menggigil apabila tangan Fariz mendarat di atas kepala aku. Dia membantu aku menanggalkan pin yang dicucuk. Selendang aku turut ditanggalkannya.

“Fariz…” sapa aku sambil memandangnya di cermin. Tiba-tiba, pandangan kami berdua bertaut apabila Fariz turut memandang aku di cermin solek.

“Aku bantu kau aje. Aku tak paksa kau dalam bab tu. Aku yang tak bertudung ni pun dah berpeluh satu badan. Tambah kau yang bertudung ni. Entah-entah dah mandi peluh,” ujar Fariz apabila aku teragak-agak mahu menanggalkan tudung yang masih tersarung di kepala. Fariz kembali menjauhi aku dan membaringkan tubuhnya di atas katil.

“Aku dah jadi suami kau, Zara. Aku ada hak atas kau. Aurat kau rahsia aku. Aurat aku pula rahsia kau,” ujar Fariz lagi yang masih terbaring di atas katil. Pandangannya terarah ke kipas yang berputar ligat di siling.

Aku menghela nafas. Betul apa yang dikatakan oleh Fariz. Aurat aku adalah rahsia dia, suami aku. Dan aurat dia pula adalah rahsia aku, isterinya. Dengan perasaan yang gementar dan berdebar-debar, aku menanggalkan tudung. Sebaik sahaja aku memandang cermin solek, kelihatan Fariz sedang memandang aku. Pandangannya sedikit pelik.

“Awak jangan la pandang saya macam tu. Seram saya dibuatnya,” tegur aku akan pandangan Fariz. Fariz menghela nafas lalu kembali membaringkan tubuhnya.

Aku lepaskan ikatan rambut. Rambut aku yang melepasi bahu itu terurai. Aku sisir rambut aku yang panjang itu dengan sikat. Fariz masih mendiamkan diri di atas katil. Dah tidur ke dia? Diam aje.

“Awak…” panggil aku apabila Fariz hanya diam menyepi.

“ Hmmm …” gumamnya. Tak tidur lagi rupa-rupanya.

“Pergilah mandi. Nanti boleh rehat,” ujar aku.

“Aku nak bantu pak lang kemas di luar sana. Dah selesai semuanya baru aku mandi. Aku cuma nak berehat sekejap dengan kau,” jelas Fariz. Aku hanya menjongketkan bahu dan memandang Fariz dari cermin solek. Diam tidak berkutik di atas katil.

Sepuluh minit kemudian, Fariz bangun semula dari perbaringannya. Sehelai seluar pendek dan baju T dikeluarkan dari beg pakaiannya. Dengan membelakangi aku, Fariz menanggalkan singlet dan menyarung baju T. Tuala kering dililitkan di pinggang. Seluar pula ditanggalkan dan digantikan pula dengan seluar pendek.

“Saya gantungkan,” ujar aku yang sudah mengutip pakaiannya yang diletakkan di atas katil. Tidak lama kemudian, Fariz keluar dari bilik. Aku pula yang menahan debar berdua-duaan di dalam bilik dengan Fariz walaupun bukan dalam tempoh yang lama. Macam mana la aku nak hadapi malam ni pula? Gerun aku!

Selepas bersolat maghrib, ahli keluarga mula berkumpul di ruang tamu sambil berbual. Aku dan Fariz turut menyertai ahli keluarga untuk berbual sambil melepaskan penat lelah pada siang hari. Danish mula menghampiri aku dengan PSP di tangan.

“Mak su, jom la main dengan Danish,” ajak Danish yang sudah duduk di riba aku. Walaupun penat, aku cuba melayani Danish.

“Danish main dengan pak su aje la. Mak su penat tu,” celah Fariz yang sudah menarik lembut tangan Danish. Danish beralih ke riba Fariz. Tidak lama kemudian, kedengaran gelak tawa mereka berdua. Cepat pula Danish ngam dengan Fariz.

“Bila Zara dengan Fariz balik KL?” soal pak long yang turut berada di ruang tamu.

“Lusa pagi, pak long,” jawab Fariz belum sempat aku membuka mulut.

“Pak long dah nak balik Perlis esok pagi. Hari Jumaat petang pak long sampai di KL dengan saudara yang lain pula,” ujar pak long. Aku hanya mengiakan kata-kata pak long.

“Zara sekarang dah bersuami, bukan hidup seorang diri macam dulu lagi. Apa-apa pun suami diutamakan. Jaga makan, minum dan pakai suami kalau tak nak suami cari yang lain. Taat, setia dan menghormati suami Zara. Suami adalah ketua keluarga. Syurga Zara ada pada suami Zara. Jangan sesekali membantah cakap suami Zara. Ingat pesan pak long ni.” Pak long mula memberi syarahan kepada aku. Aku mengerling ke arah Fariz. Senyuman mula terukir di wajah Fariz. Sengaja la tu nak ketawakan aku. Huh!

“Dan Fariz pula sebagai suami, jangan sesekali menyakiti isteri. Isteri tu amanah daripada Allah untuk suami. Maruah isteri perlu dijaga seperti maruah diri sendiri. Saling memahami, bertolak ansur, saling mempercayai itu amat penting dalam hubungan suami isteri. Insya-Allah, bahagia diberikan sebagai ganjaran. Jangan lupa tanggungjawab suami kepada isteri dari segi nafkah zahir dan batin. Itu akan disoal kelak di sana nanti. Jangan dibuat main-main pesanan pak long ni.” Pak long mengalih perhatian kepada Fariz pula. Fariz mengangguk kecil.

“Insya-Allah pak long, saya akan berusaha sebaik mungkin dalam perhubungan kami berdua,” sahut Fariz dengan penuh yakin. Confident level memang tinggi melangit!

“Nak tip untuk malam pertama tak?” bisik Kak Dina. Terkejut aku mendengarnya. Aku memandang Kak Dina dengan pandangan tajam. Tak senonoh betul la kakak aku ni. Ada pula nak kongsi tip.

“Mak lang panggil ke dapur,” bisik Kak Dina lagi lalu beredar menuju ke ruang dapur. Kalau tak pergi karang dikata apa pula. Tapi, aku tak bersedia lagi bab ni.

“Saya nak ke dapur sekejap,” ujar aku kepada Fariz sebelum berlalu mengekori langkah Kak Dina.

Kelihatan kelibat Kak Dina, mak lang dan mak long di dapur. Aku menyertai mereka bertiga. Maka, bermulalah sesi memberi tunjuk ajar kepada aku yang baru menjejak kaki ke dalam kelab mereka bertiga. Fuyooo! Boleh bernanah telinga aku dengar pelbagai tip daripada dia orang bertiga. Aku tutup telinga aje, Kak Dina dah tarik tangan aku semula. Terpaksa aku menadah telinga mendengar panduan daripada mereka bertiga. Berpeluh dan gerun aku dengan tip dia orang semua. Dahsyat!

Pukul sepuluh malam, suasana di ruang tamu sudah bertukar menjadi sepi. Hanya tinggal aku dan Fariz yang masih menonton TV. Seketika kemudian, Fariz mengajak aku solat isyak berjemaah dengannya. Tabiat Fariz yang satu ini amat menyenangkan hati aku. Suruhan wajib ini selalu ditunaikannya. Malah diajaknya aku sekali berjemaah dengannya.

“Zara… Buatkan aku kopi,” pintanya ketika kami berdua selesai bersolat jemaah. Aku melipat kain telekung dan menyidai sejadah yang digunakan kami berdua di tempat penyidai. Aku keluar dari bilik untuk membuatkan kopi untuk Fariz.

Aku terserempak dengan mak lang ketika di dapur. “Tak tidur lagi?” teka mak lang.

“Fariz nak kopi,” ujar aku. Mak lang tersenyum lebar.

“Fariz tu berkenan kepada Zara disebabkan kopi buatan Zara. Kan mak lang dah cakap. Mak lang pasti sangat!” Mak lang membuat andaian dengan penuh yakin. Aku ketawa geli hati dengan tekaan mak lang. Ada-ada aje mak lang ni.

Muk yang berisi kopi panas aku bawa masuk ke dalam bilik. Kelihatan Fariz sudah bersandar di kepala katil sambil membelek iPad yang diberikannya untuk aku sebagai hantaran perkahwinan. Apa la yang dibeleknya sehingga leka macam tu sekali?

“Awak… Kopi!” ujar aku lalu meletakkan muk tersebut di atas meja kecil di sisi katil. Fariz hanya mengangguk kecil. Tumpuannya masih di skrin nipis itu.

Aku tergaru-garu kepala yang tidak gatal memikirkan tempat untuk aku melelapkan mata pada malam ini. Takkan aku nak tidur sekatil dengan Fariz? Memang la kami berdua dah halal tapi aku memang tak bersedia lagi dalam hal tu. Aku tak nak dipaksa atau terpaksa. Aku nak lakukannya secara ikhlas dan dengan rela hati.

Tidur bawah aje la malam ni. Biar Fariz tidur di atas katil. Nanti Fariz tak selesa pula kalau tidur di atas lantai. Kesian la pula suami aku ni. Tak pernah-pernah tidur atas lantai tiba-tiba disuruh tidur atas lantai pula. Tanpa menghiraukan Fariz yang masih leka dengan iPad, aku mengeluarkan tilam nipis dan selimut dari dalam almari. Sebiji bantal aku ambil dari atas katil. Perbuatan aku langsung tidak disedari oleh Fariz. Aku membaringkan tubuh aku di atas tilam nipis.

“Kau apa hal tidur atas lantai?” sergah Fariz yang sudah menjengukkan kepalanya melihat aku berbaring di atas lantai

“Awak tidur aje la atas katil malam ni,” jawab aku.

“Kenapa kau tak tidur atas katil, Izara Batrisya binti Aziz?” soalnya sekali lagi berserta nama penuh aku sekali. Nada tegasnya mula kedengaran.

“Tak nak!” jawab aku.

“Kenapa?” soalnya, pendek.

“Tak nak!” jawab aku dengan jawapan yang sama.

“Aku tanya, kenapa? Kelibat seorang isteri di sisi suami. Kau jangan buat aku paksa kau tidur di sebelah aku. So, baik kau tidur sini!” Fariz mula menekan nadanya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73867/cinta-si-wedding-planner