Sneak Peek – Cerita Manusia Bahagia

. . .

Mungkin kita masih ingat dengan sebuah filem yang mendapat sambutan yang hangat pada tahun 2019, pelakon utamanya Joaquin Phoenix memenangkan anugerah Oscar sebagai pelakon terbaik. Filem berjudul ‘Joker’ mengisahkan tentang seorang lelaki yang baik tetapi berubah argesif dan membahayakan kerana tekanan hidup dan orang sekeliling. 

Filem ini menimbulkan pelbagai pandangan dan tidak kurang munculnya mutiara kata berdasarkan jalan cerita tersebut. 

Antara yang kita mungkin terbaca, 

“Orang jahat adalah orang baik yang disakiti”.

Kata-Kata ini menjadi perbincangan, sebagaimana filem ini juga dibincangkan. Sebuah karya yang ditayangkan atau dihasilkan akan bebas untuk diberi andaian tersendiri. Tiada yang boleh memutlakkan kenyataanya kecuali penulis atau penghasil karya tersebut kerana dia yang mengetahui objektifnya. 

Sekali kita terbaca, maka kita akan menerima kenyataan ini dengan baik sekali. 

Orang baik yang kebaikannya tidak dihargai, dirinya selalu diambil kesempatan, dikhianati dan dianiaya, pasti berubah dan memberontak. 

Namun, akal sihat dan pandangan agama apakah menerima penilaian seperti ini? Jawabnya, tidak. Menjadi baik adalah satu tuntutan dan sikap yang mulia. Meninggalkan sikap yang buruk pula adalah kemestian. Apa saja alasan atau keadaan tidak membolehkan kita memilih sikap yang buruk. 

Menjadi baik memang dipandang lemah dan satu kesempatan bagi orang yang hatinya sakit. 

Akan tetapi menjadi kemuliaan dan kehormatan bagi mereka yang mempunyai sikap yang sama. Orang baik akan suka melihat orang yang baik. 

Cabaran dan ujian seperti ini adalah ketentuan kehidupan. Bukan kerana kita yang salah atau bermasalah tetapi kerana tidak semua yang ingin menjadi orang baik. Orang yang jahat adalah cubaan bagi orang yang baik untuk membuktikan dirinya benar-benar baik. Keadaan yang tidak dijangka menjadi ujian untuk kita kekal menjadi orang baik. 

Apakah tidak ada orang baik yang kekal menjadi orang baik walaupun kehidupan seakan tidak adil atau manusia bersikap sebaliknya? 

Sejarah bahkan telah merakamnya. Orang baik sentiasa melalui kehidupan yang terlihat tidak adil dan menjadi mangsa kezaliman. 

Selain kisah para Nabi dan orang soleh, kita membaca juga kisah-kisah dari tokoh besar yang namanya terpahat sebagai pejuang perubahan  

Bacalah kisah Nelson Mandela yang berjuang untuk bangsanya tetapi dihumban dalam penjara sehingga memakan separuh umurnya. 

Kalau kisah ini tidak menyentuh hati, bacalah kisah mengenai Nabi kita sendiri iaitu Nabi Muhammad SAW. Manusia yang diakui kebersihan hatinya. Manusia yang diakui akhlaknya. Manusia yang terbukti bersikap baik kepada semua orang sekeliling tanpa mengira agama atau kedudukan. 

Apakah kehidupan selalu terlihat adil padaNya? Apakah masyarakat jahiliyah memberi penghargaan yang sebaiknya? Jawabnya tidak. 

Apakah Nabi berubah menjadi orang jahat kerana sering disakiti, tidak. 

Bahkan Nabi kekal menjadi orang baik kerana menjadi baik itu sebuah kemestian dan prinsip yang mesti dipertahankan tanpa ada perubahan. 

Kebahagiaan akan sentiasa mencari jalan untuk membahagiakan orang yang baik.Percayalah! 

Orang yang baik tidak perlu susah-susah mencari bahagia kerana bahagia yang akan mencari mereka. Oleh itu, jangan dirisaukan mengenai menjadi baik atau lembut akan disakiti dan diambil kesempatan. Hiduplah dan kekal dengan prinsip  kebaikan.

. . .

Dapatkan versi penuh di e-sentral.com

Penulis: Nasrullah Amran
Penerbit: Raushan Press