[SNEAK PEEK] Calon Suami Jutawan

Calon Suami Jutawan oleh Nuriffa

SELEPAS Hans diambil oleh Farah, rumah kembali sunyi sepi. Tinggal berdua di banglo ini memang agak menyeramkan. Aku duduk di dalam bilik kerana Dylan berada di atas. Takut mahu duduk di ruang tamu sendirian.

Ting! Ting!

Natrah : Salam.

Aku yang tadi sedang berbaring terus terbangun sebaik melihat nama penghantar WhatsApp tersebut. Ini kali pertama Natrah menghubungi kami selepas berbulan hilang tanpa khabar berita.

KailaN : Nat! Kau pergi mana selama ni?

Hirma : Puas kita orang cari kau. Sampai hati betul kau buat diam. Lama pula tu.

KailaN : Kau okey ke Nat?

Hirma : Kau ada masalah ke?

Berpusu-pusu mesej yang dihantar aku dan Hirma masuk ke group chat. Punyalah teruja kerana sudah lama menunggu khabar daripada Natrah. Banyak persoalan yang bermain di kepala.

Senyap.

Hanya blue ticks yang kelihatan, tanpa dia membalas apa-apa. Ah, sudah. Ada berlaku sesuatu pula ke? Laju aku menaip mesej dan menekan butang hantar.

KailaN : Nat?

Senyap.

Aku mengetap bibir sambil menepuk telefon ke tangan. Seminit… dua minit… masih tiada jawapan daripada Natrah. Aku turun dari katil dan berjalan ke dapur untuk mengambil minuman.

Ting!

Akhirnya. Aku memandang skrin. Kali ini Natrah menghantar pesanan kepadaku secara peribadi. Melihat itu aku mengerut dahi. Rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Natrah : Kaila… aku nak minta tolong ni.

KailaN : Tolong apa Nat?

Natrah : Boleh aku pinjam duit kau?

Terdiam aku membaca apa yang ditulis itu. Pinjam duit? Tidak pernah-pernah Natrah meminta tolong soal duit. Seperti yang telah aku jangka, Natrah pasti sedang berada dalam masalah.

KailaN : Berapa Nat? Dan boleh aku tahu untuk apa?

Hendak menelefon, aku takut Natrah malu. Meminjam wang bukanlah perkara kecil. Tapi, kadang ada juga yang jenis tidak tahu malu. Aku sudah menghadapnya banyak kali. Kawan yang sudah lama tak jumpa pun boleh muncul apabila berbicara soal duit. Yang tak kenal pun boleh jadi kenal.

Natrah : Aku nak buat modal berniaga. Janji aku akan bayar balik dalam masa terdekat.

KailaN : Berapa kau nak pinjam?

Natrah : 20 ribu

Aku menggigit bibir. Berkira-kira juga kerana beberapa bulan lepas aku sudah membayar hutang ayah sebanyak 100 ribu. Duit majlis kahwin lagi. Semuanya aku menggunakan wang simpanan sendiri. Tiada kena mengena dengan wang syarikat.

KailaN : Aku tanya husband aku dulu ya.

Hanya itu yang aku mampu balas sekarang. Teringat pesanan mak sebelum buat apa-apa aku perlu meminta izin daripada Dylan. Walaupun ini berkaitan duit aku sendiri, aku mahu tanya pendapat lelaki itu.

Natrah : Aku harap bolehlah. Please, Kaila. Aku urgent nak guna duit.

KailaN : Baik. Aku cuba.

KailaN : Kau okey ke Nat? Lama kau menghilang.

Senyap. Kali ini hanya dibalas dengan tanda biru. Sah! Natrah memang sengaja mahu mengelak dari menjawab soalan itu. Aku melemparkan telefon ke atas tilam. Dengan helaan nafas aku keluar semula dari bilik dan berjalan ke tangga.

“Dylan?”

Aku memanggil dari bawah. Kurang enak mahu naik ke atas tanpa memaklumkan terlebih dahulu. Sunyi.

“Dylan?”

Sunyi lagi. Tiada satu bunyi pun yang terhasil. Tak dengarkah? Penuh hati-hati aku memanjat anak tangga. Mata dijamah dengan ruang tamu kosong di atas. Ada televisyen yang bersaiz agak besar tergantung di dinding.

Susun atur ruang di atas ini lebih moden, jika hendak dibandingkan dengan ruang bawah. Ini macam ruangan santai untuk keluarga berehat. Aku berjalan lagi. Nampak ada lima buah pintu di tingkat ini. Aku tidak pasti kamar Dylan yang mana satu.

Pintu paling dekat aku hampiri dan tombolnya dipulas. Berkunci. Aku bergerak pula ke pintu bertentangan. Sama juga.

“Dylan?”

Aku memanggil. Berharap ada balasan daripada lelaki itu. Hampa. Tak menyahut langsung. Aku kira semua bilik yang berkunci ini adalah milik ahli keluarganya. Aku berjalan pula ke pintu kedua paling hujung. Bukan juga.

Nak putus asa dibuatnya. Rumah besar-besar tak ada orang. Nak cari orang pun susah. Kali ini aku ke bilik paling hujung sebelah kanan. Pintu dipulas.

“Yes!”

Aku bersorak perlahan. Jumpa pun. Anak pintu aku kuak. Terbentang ruang bilik dengan dinding warna biru royal dan dihias dengan garisan putih. Cantik.

“Dylan?”

Sewaktu masuk ke dalam, aku lihat tubuh Dylan sedang tidur di atas katil. Patutlah tak menyahut. Membuta rupanya. Aku mengerling jam di dinding. Pukul 6.00 petang. Sedap betul dia tidur dengan memasang penghawa dingin lagi. Macam tidur malam. Mungkin dia kepenatan kerana memandu dari Johor tadi.

Aku tidak sampai hati mahu mengejutnya. Sementelaah aku berjalan dan meneliti ruang bilik lelaki ini. Kemas. Ada beberapa piala terletak di atas almari. Mataku ternampak ada bingkai gambar di celah-celah piala tersebut. Seperti gambar dua orang budak lelaki. Baru mahu mengambilnya, suara Dylan mengejutkan aku.

“What are you doing?”

Kepalaku berpaling menghadap katil di mana Dylan sedang duduk bersila di situ. Wajahnya nampak serius dan tegang. Aku menelan liur.

“Saya cari awak.”

“Siapa benarkan awak masuk bilik ni?”

Keras suara Dylan bertanya. Aku mengetap bibir. Sedikit terasa hati mendengar nada yang digunakan Dylan. Seolah-olah aku sudah buat satu kesalahan besar. Walhal, aku hanya masuk ke biliknya.

“Yang nak marah sangat kenapa? Ada simpan apa dalam bilik ni? Perempuan? Emas?” Aku menyindir.

Geram betul apabila ditempelak tanpa sebab. Tahulah dia baru bangun tidur, tapi tak perlulah nak angin satu badan. Ikutkan aku pun tidak mahu masuk ke bilik ini. Dengan perasaan berbuku geram aku terus berlalu keluar dari situ.

Panas!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/340827/CALON-SUAMI-JUTAWAN’