[SNEAK PEEK] Bukan Salah Pilihan

Bukan Salah Pilihan oleh Dilla Ahmad

KHUZAIRI sudah tidak senang duduk bila mendengar perkhabaran yang si adik akan mengikat tali pertunangan dengan gadis idamannya. Gadis idaman yang dia mahukan tapi tidak lebih hanya mahu berseronok saja. Lepas tu dia akan tinggalkan macam itu saja. Macam gadis-gadis yang pernah berpacaran dengannya. Selagi dia tak dapat ‘menikmati’ Zameera, jangan harap Khalif akan dapat gadis itu.
Sial! Khuzairi sudah menumbuk meja kerjanya. Lagi beberapa minggu, dia pula akan naik pelamin dengan Melina. Dengan si Melina itu pun dia sudah ‘buat hubungan suami isteri’ sebelum mereka menjadi suami isteri dalam kata sebenarnya. Melina itu pun tidak kesah. Macam sudah biasa dengan apa yang mereka lakukan. Khuzairi tidak mahu memikirkannya sangat. Sebab, kalau tengok perangai dia pun, mana mungkin dia akan mendapat perempuan yang baik.
Tapi Zameera itu… Argh!
Khuzairi bangun dan melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Laju kakinya melangkah ke bilik ‘adik kacukannya’ itu. Dia mahu tahu apa kisah sebenarnya. Macam mana budak itu tergerak hati nak bertunang dengan Zameera Aisyah.
Macam nak roboh pintu bilik Khalif dirempuhnya. Khalif yang sedang berbincang dengan Puan Ruziah dan Emalin terkejut dengan kedatangan Khuzairi itu.
“I want to talk to you,” ujar Khuzairi keras.
Tegak mata hazel Khalif merenung ke muka si abang yang nampak ketat dan tegang itu. Itu mesti berita pasal pertunangannya dengan Zameera sudah sampai ke telinga Khuzairi.
“You may go, Puan Ruziah. Nanti kita bincang balik pasal sebut harga jualan tu. Emalin, you bawa balik dokumen pelajar yang nak buat praktikal dekat sini. Nanti I panggil you semula.”
Puan Ruziah dan Emalin berlalu keluar. Wajah Khuzairi yang tegang dipandang sekilas. Sangat menakutkan. Hilang semua muka kacak dan kata-kata manis lelaki itu kalau berjumpa perempuan.
“Duduklah. Apasal tercegat dekat situ?”
“Aku tak mahu duduk. Aku tengah panas ni!”
“Suit yourself,” balas Khalif bersahaja. Tubuh disandarkan ke belakang kusyen dan mata tegak memandang wajah Khuzairi yang nampak macam tidak puas hati dengan dia.
“Papa cakap, kau dah nak bertunang dengan Zameera. Betul ke?” soal Khuzairi. Tangan sudah bercekak pinggang di hadapannya.
“Betul!”
“Kenapa dia? Dia tu aku yang punya. Sejak dulu lagi aku mahukan Zameera. Kau pun tahu. Tapi kenapa kau ambil dia dari aku?”
Khalif tiba-tiba ketawa. Mula-mula perlahan. Tapi bila diulang-ulang kata-kata Khuzairi itu di otaknya, ketawanya jadi kuat pula.
“Zameera itu kau punya? Kau ingat dia barang ke? Sesuka hati kau tanda yang dia tu milik kau? Sudahlah, Abang Ari. Kau pun dah nak kahwin dengan Kak Melina tu. Kau jaga ajelah dia nanti,” balas Khalif bersahaja.
Khuzairi meluru ke arah Khalif lalu tangannya mencekak kolar baju si adik. Tepat matanya menikam ke anak mata Khalif yang hanya merenungnya tanpa perasaan.
“Aku mahu kau tinggalkan dia. Kau dengar tak? Zameera tu milik aku!” Keras dan menekan atau lebih kepada mendesak nada suara Khuzairi pada pendengaran Khalif.
“What’s wrong with you guys?” Tangan Khuzairi direntap kasar dari mencengkam kolar bajunya.
“Kenapa korang tak bagi aku hidup sendiri dan biarkan aku uruskan hal aku? Hari tu papa dan sekarang kau. Aku tak pernah kacau hidup korang. Kenapa bila aku sudah temui rasa bahagia, korang nak musnahkannya?” soal Khalif, kebingungan.
“Kau tidak ada hak hidup bahagia. Tidak bersama Zameera!” cemuh Khuzairi.
“Kau bukan Tuhan nak tentukan hal hidup aku!” balas Khalif lantang. “Kau cuma manusia yang tidak pernah puas dengan satu perempuan dan tamak! Kau bukan nak sangat pun dengan Zameera tu. Kau cuma nak main-mainkan dia. You just want to taste her. Am I right? Macam kau buat pada perempuan-perempuan yang lain tu. Bodoh!”
“Apa kau cakap?” Mata Khuzairi sudah mencerun ke arahnya. Khalif bangun. Mukanya juga sudah tegang macam Khuzairi juga. Jangan buat dia marah. Teruk nanti Khuzairi dikerjakannya.
“Aku cakap kau bodoh!”
“Kurang ajar punya budak.” Khuzairi sudah mahu mencekak kolar baju Khalif semula. Tapi tumbukan Khalif yang melayang dulu ke pipi Khuzairi.
Khuzairi yang tidak menyangka si adik akan menumbuknya terus hilang imbangan dan jatuh terlentang di atas permaidani.
“Itu amaran pertama aku untuk Zameera. Kalau kau cuba dekati dia atau cakap bukan-bukan pasal dia, aku akan beritahu Mommy Nor yang kau sibukkan Zameera lagi,” ugut Khalif.
Khuzairi mengerang kesakitan. Terasa sakit pipi kirinya bila disentuh.
“Kau pun tahu, kan? Emak kau tu sangat-sangat menjaga standard dia. Kalau dia tahu kau masih sibukkan Zameera, anak bekas orang gaji dia, kau mesti tahu apa yang dia akan buat, kan?”
“Kau…”
Khalif sudah tersenyum sinis. Amat tahu dengan kelemahan Khuzairi.
“Kenapa ni?” Suara Datuk Hisham tiba-tiba menyergah mereka. Khuzairi dan Khalif memandang ke pintu. Segera Khuzairi bangun. Di sisi papa mereka si Emalin sedang berdiri di belakangnya.
“Tak ada apa-apa, pa,” balas Khuzairi, cuba menahan rasa sakit dan sengal di pipinya.
“Kenapa dengan pipi kamu tu? Khalif, apa yang kamu dah buat pada abang kamu ni?”
“I tumbuk dia.”
“Sudah kenapa dengan kamu berdua ni?” soal Datuk Hisham mendekati kedua-dua anak lelakinya itu. Pipi Khuzairi di pegang. Merah dan sedikit membengkak.
“Emalin, bawa Khuzairi ke pantri dan tuamkan muka dia!”
“Saya, Datuk?” tanya Emalin semula. Jari dah tunjuk muka sendiri. Tidak senang dengan arahan itu. Dia bukan suka sangat dengan Khuzairi ni.
“Ya. Pergi tuamkan muka dia dengan ais,” arah Datuk Hisham lagi.
Emalin terus keluar tanpa menunggu Khuzairi. Dalam hati sudah mengutuk-ngutuk Khuzairi dan Datuk Hisham itu.
“Apa kamu dah buat ni, Khalif? Bergaduh dengan abang sendiri dekat tempat kerja. Memalukan!”
“Kenapa papa tanya Khalif? Papa tengok ini bilik siapa?”
Datuk Hisham termangu-mangu pula melihat ruang bilik Khalif itu.
“Dia datang ke sini dan cakap bukan-bukan dekat I dan Zameera. Zameera tu bakal isteri I. Jadi I tumbuk dia sebab dia mahukan Zameera. I tahu dia bukannya nak sangat dengan Zameera tu. Cuma nak ‘merasa’ Zameera aje. Lepas tu blah macam itu aje. Takkan papa nak diamkan aje dengan perangai rakus Khuzairi? Kenapa bila pasal Khuzairi, papa tutup mata? Kenapa bila melibatkan diri I, papa nak marah-marah?” Soalan demi soalan ditujukan pada Datuk Hisham.
Datuk Hisham terkelu. Tiada satu pun yang mampu dibalasnya.
Khalif menghela nafas. Dia cuba tidak mahu bertelagah dengan papanya. Tapi baginya tidak adil bila papa masih mahu menyebelahi Khuzairi dalam apa jua keadaan walaupun dia tahu apa yang Khuzairi lakukan itu memang salah.
“I ada banyak kerja nak buat ni sebelum I cuti minggu depan. Papa nasihatkanlah si Khuzairi tu jangan nak aniaya perempuan sana sini sampai si Zameera anak bekas orang gaji papa pun dia nak try. Nanti papa dengan Mommy Nor pulak dapat malu.” Bersahaja muka Khalif menyindir Datuk Hisham.
Datuk Hisham menggeleng kepala. Pening kepalanya memikirkan perihal anak-anak. Yang seorang kaki perempuan. Itu sebab dia bersetuju saja bila isterinya mahu kahwinkan Herman Khuzairi dengan Melina. Mudah-mudahan akan hilanglah sikap buaya si anak itu. Si Zafira pun satu. Asyik keluar malam dan berparti sana sini. Bila kesudahannya, dia tidak tahu. Ayah apakah dia langsung tidak ambil kesah pasal anak-anak, termasuk Khalif Andre ini? Bila si anak mula memberontak, dia pula yang panas hati.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338157/Bukan-Salah-Pilihan’