[SNEAK PEEK] BILA HATI MEMILIH DIA

BILA HATI MEMILIH DIA Oleh Wan Nur Najihah

ADRA gelabah. Satu per satu plastik di dalam bakul merah dikeluarkan. Sampai plastik terakhir, dia mengetap bibir. Apa yang dicari tiada. Serta-merta tangan dan bibir mula bergetar. Manusia mana yang tegar mencuri duit jualannya? Hanya itu wang yang dia ada. Air mata mula membasahi pipi.

Kenapa hari ini nasibnya malang? Ingatkan selamat berada di dalam surau. Tapi dia silap. Kepalanya mula buntu. Jam dinding sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Pukul 8 dia perlu sampai ke rumah. Kalau lambat pasti dia akan dipukul oleh ibu tirinya, Mak Cik Melur.

Tapi bagaimana mahu pulang kalau tidak bawa wang jualan sekali? Lengan baju diangkat. Masih kelihatan bengkak di lengan akibat dipukul tiga hari lepas. Ini gara-gara jualannya tidak habis. Tubuhnya terlalu lemah dan sakit untuk dipukul lagi.

Dia tahu Mak Cik Melur sedang menunggu di rumah. Pasti mengamuk ibu tirinya itu kalau tahu duit jualan telah hilang. Bukan setakat dia dengan adiknya akan dipukul. Teringatkan Adwa, Adra terus bangun. Dia perlu cari kembali duitnya. Dia tidak kisah dirinya dipukul atau tidak diberi makan tapi bukan adiknya. Telinganya sudah tidak mampu mendengar jeritan dan tangisan Adwa.

Bakul yang berisi kuih diangkat. Hari ini jualannya tidak berapa baik. Tapi masih sempat untuk dia habiskan jualan kuih. Adra bergerak ke arah tapak pasar malam. Mungkin ada antara pengunjung yang berminat untuk beli kuihnya.

Laju dia berjalan. Dia perlu kejar masa. “Abang nak beli tak kuih sa…” Belum sempat ayat habis, pelanggan sudah lari. Tidak putus asa dia cuba lagi. Air mata mula mengalir apabila tiada seorang pun mahu beli.

Melihat satu pasangan yang duduk di bangku kosong, cepat-cepat Adra menghampiri. “Kak, abang, nak beli tak kuih saya? Murah aje saya jual.”

“Tak nak.”

Adra menelan air liur mendengar jawapan si gadis. Dia tidak mampu sorok wajah sedih.

“Kak tolonglah beli kuih saya. Saya perlukan duit.” Hilang terus rasa malu. Dikesat air mata. Apa dirinya kelihatan seperti pengemis sehingga orang tidak mahu membeli? Dia lihat si gadis mencebik.

“Kuih apa ni?”

“Awak, jomlah. Buat apa nak beli? Saya dah kenyang. Membazir aje nanti.”

Tanpa dipinta, air mata kembali mengalir apabila pasangan itu pergi. Adra terduduk di bangku sambil mengusap perut yang berbunyi. Sungguh dia lapar. Balik dari sekolah, Mak Cik Melur memaksanya keluar menjual. Dia hanya diberi makan waktu malam. Itu pun berkongsi dengan Adwa.

Ikutkan hati dia tidak mahu pulang malam ini. Tapi itu hanya akan mendatangkan masalah saja. Kenapa dia perlu mengharungi hidup sesukar ini? Semua rakan sebayanya belajar untuk menduduki UPSR. Dia pula berada di bandar untuk jual kuih.

Kalaulah ibu masih ada pasti bukan di sini tempatnya sekarang. Kalau ayah tidak kahwin lain pasti dia tidak perlu hidup menderita. Tak guna menangisi apa yang berlaku. Itu tetap tidak akan merubah hidupnya.

Rantai emas yang terletak elok di leher dibuka. Inilah rantai yang jadi idaman Mak Cik Melur. Mujur sahaja sampai sekarang dia masih pertahankan. Tapi hari ini dia tidak tahu apa nasib rantai ini. Pasti akan dirampas. Sungguh dia sayang rantai milik arwah ibu.

Adra menyapu air mata. Dia perlu pulang sekarang. Dirinya sangat penat. Mahu berjalan pun tidak larat. Kali ini dia terpaksa reda tubuhnya dipukul lagi.

“Dik…”

Kepala diangkat. Dia memandang lelaki yang bersama gadis tadi. Tapi kali ini gadis itu tidak kelihatan. “Abang nak beli kuih?” soalnya dengan penuh pengharapan.

“Haah. Jual kuih apa? Kenapa menangis?”

“Duit kena curi. Saya tak ada duit. Kalau abang beli kuih saya baru saya ada duit.” Ikatan plastik dibuka untuk tunjuk kuih yang dijual. “Ada koci, kuih ketayap, Qasidah, cekodok pisang pun ada. Abang nak kuih mana?”

“Setiap kuih ni bagi dua.”

Laju saja dia angguk. Alhamdulillah, ada juga duit yang akan diberi kepada Mak Cik Melur nanti. “Banyaknya…” Not warna ungu yang dihulurkan tidak diambil.

“Tadi cakap duit kena curi, kan? Ni abang ganti balik.”

Terharu, itu yang dia rasakan. Lelaki itu fahamfaham saja situasinya. Tak pernah dia pegang duit RM100 dalam hidup. “Terima kasih, abang…” ucapnya setelah dipaksa untuk mengambil duit tersebut. Dia akan kenang jasa baik lelaki muda ini.

“Dah makan belum? Ni ada nasi ayam. Tunang abang beli tapi tak makan. Nak buang sayang. Adik ambillah.”

Lambat-lambat Adra mengambil huluran tersebut. Entah berapa lama dia tidak makan nasi ayam. Air liur ditelan apabila sudah terbayang keenakan makanan kegemarannya itu.

Baru sahaja lelaki itu melangkah, dia memanggil lelaki tersebut. Bakul kuihnya diangkat bersama. Rantai emas dikeluarkan lalu dipandang sayu. Entah apa yang merasuk, dia hulurkan rantainya.

“Ini rantai saya. Ambillah. Anggap aje saya jual pada abang.”

Tidak menunggu lama, dia terus pergi. Sengaja dia buat tidak dengar suara yang memanggilnya. Biarlah rantai itu jatuh ke tangan lelaki yang tidak dikenali daripada jatuh ke tangan Mak Cik Melur.

“AZRIEL, awak pergi mana? Saya pergi tandas kejap aje awak dah hilang.” Sofea duduk lalu menghentak kaki tanda marah. Beg sandang dicampak ke tepi. Muncung sudah panjang sedepa.

“Sofea, apa macam ni? Malulah orang tengok,” tegur Nazriel lalu mengambil semula beg Sofea. “Saya beli ni. Jom makan.”

Bulat mata Sofea. “Awak jumpa budak tadi?”

“Saya teringin nak makan kuih dia jual.” Sebenarnya dia kembali mencari budak itu sebab kesian.

“Awak makanlah. Saya dah kenyang,” tolak Sofea sambil menjeling lelaki yang baru bergelar tunangnya. “Berapa ratus awak bagi dekat budak tu?” Mereka kenal bukan sehari dua. Nazriel seorang lelaki yang mudah kesian tambah-tambah lagi apabila melihat budak-budak berniaga.

“Sikit aje. Biarlah, rezeki dia.”

“Kita nak kahwin. Awak lupa ke? Duit yang ada baik awak simpan. Awak tu tak kerja… Masih belajar. Keluarga kita bagi kahwin pun dah untung. Awak kena tunjuk pada family saya yang awak mampu jaga saya.” Sengaja Sofea mengingatkan tentang itu kepada tunangnya.

Nazriel letak donat yang baru digigitnya ke dalam plastik. Dipandang Sofea. Dua hari lepas mereka berjaya mengikat tali pertunangan setelah bercinta sejak zaman sekolah. Sebagai tanda syukur, dia sengaja beri duit lebih kepada budak perempuan itu.

“Awak jangan risau pasal duit. Duit boleh dicari. Walaupun belajar tapi saya kerja.”

“Duit awak kerja tu berapalah sangat…” keluh Sofea. Dia tahu tunangnya melakukan beberapa kerja semata-mata untuk cari duit. “Awak nak belajar lagi… Kerja lagi… Awak tak rasa kita terburu-buru ke?”

“Awak menyesal ke? Saya betul-betul nak kahwin dengan awak. Awak hanya perlu percaya saya. Saya akan buat apa saja untuk awak. Walaupun kita kahwin masa belajar, awak takkan hidup susah dengan saya.”

Sejak kali pertama jumpa Sofea, dia sudah jatuh hati. Habis SPM terus dia bekerja sehingga sekarang. Janjinya harus ditepati.

“Kalau saya tak percaya awak, kita takkan bertunang.”

Nazriel tersenyum. Keputusan untuk menikahi Sofea sewaktu belajar muktamad. Apa pun yang terjadi selepas ini, sekurang-kurangnya gadis itu ada di sisinya. Dia yakin Sofea jodoh yang dikurniakan Allah.

“Sofea…” panggilnya. “Senyumlah sikit. Awak kalau senyum nampak manis. Donat ni pun kalah.”

PINTU dapur dibuka perlahan-lahan sambil mata melilau mencari Mak Cik Melur. Jam dipandang. Sudah pukul 8.30 malam. Dia lambat, patutlah wanita itu tiada. Pasti ibu tirinya ada di ruang tamu menonton TV.

Tadi sewaktu pulang, rantai basikalnya beberapa kali terlucut. Terpaksalah dia berhenti. Habis kotor tangan dan baju kena minyak hitam. Itu belum lagi dia jatuh akibat langgar batu. Tak pasal-pasal lutut dan siku luka. Dia hanya mampu menahan sakit. Tapi tak apalah. Janji dia balik cepat.

Bakul kuih diletak di atas meja. Baru saja cuci tangan, kelibat Mak Cik Melur muncul. Terus plastik kuih dibuka. Dia hanya menunduk. Sudah tahu apa akan jadi nanti.

“Kau tak habis jual? Kenapa kau balik? Mesti kau pergi main, kan? Pandai kau tipu aku!” tengking Mak Cik Melur lalu mencubit lengan Adra. “Aku rugi lagi malam ni. Tak guna betul kau!”

Adra sudah menangis. Tangan kirinya menekup lengan kanan. Dia tidak mampu menahan sakit lagi. Cubitan Mak Cik Melur betul-betul di tempat luka. Sangat berbisa cubitan itu. Kadang-kadang sampai berdarah kulitnya. Duit yang ada di dalam poket dikeluarkan. Hanya ini yang boleh menghentikan amukan wanita itu.

“Eh, mana kau dapat duit ni?”

“Ada orang bagi…” Polos Adra menjawab.

Melihat duit sebesar itu, senyuman mula terukir. “Mesti orang kesian tengok kau. Dah rupa pengemis. Duit jual kuih mana?” Poket seluar Adra diraba. Ada beberapa keping duit kecil. “Pandai kau nak curi duit.”

Adra mengesat air mata. “Mak cik, Adra lapar…”

“Kau jangan berani makan. Lauk tu aku simpan untuk ayah kau. Kalau aku tengok luak, siap kau!” Ditolak Adra masuk ke bilik lalu dia naik ke tingkat atas. Sudah fikir mahu dibuat apa duit sebesar ini.

“Kakak…”

“Adwa…” Adra melangkah ke arah adiknya yang baru keluar dari bilik. “Mak cik bagi makan tak?”

“Tak. Tapi Adwa tak lapar. Tadi kat sekolah Adwa dah makan.”

Dia tahu adiknya tipu. Pasti Adwa sedang menahan lapar. Dia keluar lalu diambil plastik berisi makanan. Sengaja dia tinggalkan di luar.

“Ini ada makanan. Jom kita makan dulu.” Tangannya dibasuh bersih-bersih lalu ditarik Adwa masuk ke bilik. Pintu dikunci lalu dia duduk bersila di atas lantai. Polystyrene dibuka lalu dihulurkan kepada adiknya.

“Kakak makan dulu. Adwa tahu kakak lapar.”

Akur, Adra terus menyuap nasi ke dalam mulut. Mereka dua beradik sangat rapat. Lagipun dia tak ada siapa lagi melainkan Adwa dan ayah.

“ADRA, kau pekak ke?” marah Mak Cik Melur sebaik saja Adra muncul. Ditolak kasar bakul kuih. “Baik kau jual kuih ni sampai habis. Kalau tak, taulah nasib kau nanti.”

Adra menunduk. Penat balik sekolah belum hilang, dia sudah pergi menjual. Untung orang yang masih ada ibu. Balik sekolah terus dapat makan. Dia hanya mampu minum air. Dipandang Maria, saudara tirinya yang sedang makan. Mereka sebaya tapi tak pernah berbaik. Maria sebiji ikut perangai ibunya.

“Mak cik, Adra nak nasi…” Kalau hari baik dapat juga dia sepinggan nasi kosong. Itu lebih baik daripada tiada apa-apa.

“Aku masak untuk anak-anak aku, bukan untuk kau. Eh…” Tajam mata Mak Cik Melur memandang leher Adra. Rasa macam ada yang tak kena. “Mana rantai kau?”

“Hi… hilang.” Fikirnya wanita itu akan perasan semalam. Ternyata duit RM100 berjaya menyelamatkannya.

“Hilang?” Bulat mata Mak Cik Melur. Terus dia bangun. Mahu tercabut jantung mendengarnya. “Kenapa kau hilangkan rantai kau? Aku nak simpan kau tak bagi. Kau mengadu kat ayah kau. Sekarang dah hilang. Apasal kau ni bodoh sangat?”

“Sakit, mak cik…” Dan entah untuk kali keberapa tubuhnya menjadi mangsa. Hari ini lebih sakit daripada semalam. Bukan setakat itu, rambutnya ditarik kuat sampai kepala rasa pening. Dia tahu betapa teringinnya Mak Cik Melur terhadap rantai lehernya itu.

“Kau takut aku jual rantai kau kan sebab tu kau tak bagi aku?” Macam orang gila dia ketika ini. Tak pasal-pasal rugi besar.

“Mak cik…” Adwa yang berada di dalam bilik terus keluar apabila terdengar bunyi bising. Ditarik kakaknya ke tepi. Dipandang tajam ibu dan kakak tirinya. Sampai longlai kakaknya dipukul. “Kenapa mak cik selalu pukul kakak?”

“Kakak kau hilangkan rantai. Kau tahu tak rantai yang dia pakai tu mahal?”

“Kalau hilang pun tu rantai kakak, bukan rantai mak cik.” Berani Adwa melawan. Mak Cik Melur yang ajar dia supaya biadab. “Saya nak telefon polis.”

Mak Cik Melur mengilai. “Kau sekolah baru darjah empat dah pandai nak ugut aku. Polis mana percaya. Sedar sikit, aku bela kau pun dah untung. Ikutkan hati aku halau kau adik-beradik. Aku tak kira malam ni aku nak tengok rantai tu ada. Kalau tak sakit kau dua beradik. Getah paip sampai kat kau.”

“Adwa, kenapa melawan?” tegur Adra sebaik Mak Cik Melur dan anaknya beredar.

Adwa tiga tahun muda daripadanya. Melihat Adwa senyap, dia terus masuk ke bilik. Adiknya masih kecil dan hanya mahu pertahankan seorang kakak yang lemah.

Pintu ditutup lalu dia duduk. Air jernih kembali jatuh. Inilah kehidupannya sebagai anak tiri. Bila semua ini akan berakhir? Sampai bila dia mahu bertahan? Usia mudanya dihabiskan dengan penderitaan. Pemergian ibu pada waktu yang salah. Dia masih perlukan ibu. Apakah hidupnya akan hancur seiring dengan waktu?

****

Sebelas tahun kemudian…

“YA, mak cik…” Adra berlari-lari anak menuju ke pintu bilik. Tak sempat dia nak lipat kain telekung. Suara nyaring Mak Cik Melur buat dia terkejut. Pasti ada sesuatu yang tak kena. Yang pasti dia akan dipersalahkan.

Mak Cik Melur mencekak pinggang. Anak tirinya dipandang sampai hendak terkeluar bebola mata. “Kau tak masak ke? Aku lapar ni. Aku dahlah kerja penat-penat, balik rumah kau tak masak. Pemalas betul.” Tidak menunggu lama, terus dihamburkan amarahnya. Lengan baju disingsing ke lengan. Tangan sudah sedia mahu menarik telinga Adra.

“Adra dah masak.”

Geram dengan jawapan Adra, Mak Cik Melur terus mengheret gadis itu ke dapur. Tudung saji dihempas.

“Kau dah masak? Mana? Mana?” Ditunjal kepala gadis itu. “Menipu aje kerja kau. Dari kecil sampai besar tak pernah berubah. Kerja tahu nak mengusahkan aku aje.”

Adra mengeluh perlahan. Pasti makanan yang dimasak telah dihabiskan oleh adik-beradik tirinya. Padahal awal-awal dia sudah pesan supaya tinggalkan sedikit lauk. Teringat lauk yang disimpan untuk ayah, dia segera menuju ke almari. Keluhan kali kedua terbit apabila melihat mangkuk kosong. Tahu-tahu saja dia ada simpan lauk.

“Ayah kau tu miskin tapi kau gatal nak sambung belajar. Dah habis belajar kau menganggur. Kau ni memang anak tak guna!” Marah Mak Cik Melur masih bersisa. Adra hanya senyap. Dia sudah terbiasa. Kini dia sudah tidak rasa apa-apa lagi. Jalan terbaik dengar saja amarah Mak Cik Melur dan jangan sesekali melawan.

“Bila kau nak cari kerja? Nak duduk rumah suruh aku bela ke? Belajar masuk universiti pun tetap bodoh jugak. Aku ingat habis belajar terus boleh kerja.”

“Mak cik, Adra dah cari kerja cuma belum dapat lagi. Adra pun baru tiga hari duduk rumah.” Tak sampai seminggu dia balik, ini habuan untuknya. Dia tahu Mak Cik Melur marah disebabkan tidak puas hati dia berkeras mahu sambung belajar. Katanya membazir duit.

“Alasan kau aje. Kerja kampung banyak. Kau kerja aje cuci pinggan kat kedai makan. Buat air ke… Kau tu aje yang berlagak. Mentang-mentang ada ijazah, tak nak kerja kampung. Geli sangat. Kau nak tunjuk kat semua orang yang kau ni cerdik. Buat malu aku aje habis belajar duduk rumah.”

“Mak cik nak makan? Adra masakkan untuk mak cik.” Adra mematikan topik.

“Tak payah. Tengok muka kau tu menyakitkan hati aku aje.”

Adra masuk bilik sebaik sahaja Mak Cik Melur beredar. Dilabuhkan duduk di katil bujang. Inilah bilik yang dihuni sebaik sahaja kematian ibu. Apa yang terjadi, dia terima dengan reda. Ini hidupnya dah hanya dia yang boleh ubah masa depan. Sebab itu dia tekad untuk sambung belajar walaupun ditentang keras oleh Mak Cik Melur.

Dia tahu hanya dengan pelajaran hidupnya boleh berubah. Takkan selamanya dia mahu hidup begini? Dia mahu bahagiakan adik dan ayah yang bersusah payah menjaganya. Dia tidak mahu harap belas ihsan orang lain. Setelah empat tahun di alam universiti, akhirnya dia berjaya menamatkan pelajaran. Air mata menjadi saksi betapa sakitnya dia untuk habiskan tempoh itu. Kini hidup barunya akan bermula. Segulung ijazah diharapkan mampu memberi sinar dalam hidupnya.

Adra bersandar di kepala katil. Bilik ini dikongsi bersama Adwa. Tapi memandangkan adiknya juga sedang sambung belajar, maka tinggallah dia seorang diri. Adwa hanya balik pada cuti semester. Ada baiknya begitu. Kalau Adwa balik setiap bulan pasti akan jadi orang gaji Mak Cik Melur.

Baru tiga hari dia pulang. Alhamdulillah, air matanya tidak tumpah. Sengaja dia buat tak dengar dengan amarah, amukan, tengkingan dan ejekan Mak Cik Melur. Melihat ayah membuatkan dia jadi kuat. Ayah penyebab dia pulang. Masuk tahun ini sudah 15 tahun ayah kahwin dengan Mak Cik Melur.

Sebelum kahwin dengan ayah, Mak Cik Melur merupakan janda yang dicerai. Kerana kesian dengan hidup wanita itu, ayah ambil Mak Cik Melur jadi isteri. Tiga orang anak Mak Cik Melur dengan suami pertama ialah Abang Mazwan, Maria dan Marlisa. Dia hanya rapat dengan Marlisa. Yang dua lagi selalu cari masalah dengannya.

Fikirnya apabila umur makin meningkat mereka akan berbaik. Tapi masa tidak merubah keadaan. Tetap sama seperti dulu. Biarlah, dia tidak kisah.

Kuala Lumpur…

PINTU dibuka. Melihat ruang tamu yang sunyi, Nazriel mengerutkan dahi. Mana semua orang? Salamnya tidak dijawab. Dia melangkah masuk lalu merebahkan diri di atas sofa empuk. Laju tangannya menarik tali leher dan dibuka dua butang atas baju kemeja. Penat sungguh seharian bekerja.

“Papa…”

Baru sahaja memejamkan mata, namanya dipanggil. Sekelip mata seorang anak kecil menerjah duduk di atas pangkuannya.

“Argh, berattt…”

“Yeah, papa dah balik.”

Dicium pipi dan rambut anaknya. Kembang kempis hidung mencium aroma wangian Carrie Junior, pasti baru lepas mandi. “Nufail pergi mana? Papa ingat Nufail pergi taman.”

“Nek Ros tak larat nak pergi. Nanti kita pergi taman ya, papa.”

“Ya…” Nazriel berjanji. Apabila melayan telatah Nufail, penatnya terus hilang. Tiada istilah penat untuk melayan kerenah anak tunggalnya.

“Kenapa papa balik lambat? Nufail tunggu papa dari tadi. Nek Ros cakap papa banyak kerja.” Petah Nufail berbicara. Tidak padan dengan umurnya yang baru enam tahun.

“Papa kerja cari duit untuk Nufail. Nanti papa ada duit, boleh beli mainan.” Anaknya jenis yang mudah faham. Sejak kecil lagi Nufail tidak banyak ragam. “Nek Ros mana?”

“Ada ni…” Muncul seorang wanita berusia 55 tahun sambil membawa sebuah beg kecil. “Che Ros balik dululah. Dah lewat ni. Nanti tak ada bas.”

“Suami Che Ros tak ambil?” Che Ros merupakan pengasuh Nufail. Sudah empat tahun wanita itu menjaga anaknya. Nufail agak takut dengan orang yang tak dikenali tapi dengan Che Ros, anaknya sangat rapat dan manja. Nufail tahu siapa yang menjaganya masa kecil.

“Dia ada kerja sikit. Kereta pula ada masalah.”

Teringatkan sesuatu terus Nazriel mengeluarkan sampul berwarna putih dari dalam beg.

“Awalnya bagi gaji bulan ni?” Terkejut Che Ros.

“Rezeki awal. Kiralah dulu.”

“Hesy, tak payahlah. Selama Che Ros kerja sini, Azriel tak pernah salah bagi. Kalau kurang pun Che Ros halalkan.” Jujur Che Ros berkata. Sangat untung kerja dengan Nazriel. Lelaki itu jenis tidak kedekut dan tidak berkira. Kadang-kadang dia naik segan. Kerjanya mudah tapi gaji lumayan.

“Walaupun Che Ros tak kira tapi Che Ros tahu mesti kamu bagi lebih. Nampak tebal semacam aje.”

Nazriel ketawa. “Anggap aje saya sedekah. Saya tahu bukan mudah nak jaga Nufail ni. Kalau orang yang dia suka, manja dia lain macam sikit. Asyik nak berkepit aje. Sampai tak boleh buat kerja.” Ketika Che Ros jaga Nufail, anaknya baru dua tahun. Cepatnya masa berlalu.

“Tak susah pun nak jaga. Yang penting kena baik dengan dia dulu baru dia baik dengan kita. Okeylah, Che Ros balik dulu. Che Ros dah masak. Nanti Azriel makanlah. Nufail dah makan tadi. Che Ros suruh tunggu Azriel tapi dia tak nak.”

“Nak saya hantar tak?” pelawa Nazriel. Kesian wanita itu tunggu bas.

“Tak apa. Azriel rehat aje. Nanti nak bawa Nufail pergi taman.”

Pintu rumah ditutup sebaik wanita itu keluar. Dipandang Nufail yang ralit menonton TV. Apa lagi kalau bukan cerita kartun. Kali ini rancangan Boboyboi.

“Nufail, tadi kat tadika makan apa?” Sengaja dia tanya. Inilah teman berbualnya ketika di rumah. Selalunya kalau dia balik, ada saja cerita Nufail tentang apa yang terjadi di tadika. Tapi hari ini senyap pula anaknya.

“Cikgu bagi makan mi kari. Sedap sangat.” Ibu jari diangkat. “Papa…”

“Apa dia?” Kepala Nufail digosok perlahan.

“Minggu depan ada persembahan. Cikgu cakap datang kena bawak papa mama. Tapi Nufail tak ada mama…”

Dipandang anaknya yang muram. Bukan kali pertama Nufail bangkitkan hal ini. Sejak dia menghantar ke tadika, Nufail sudah pandai bercakap soal mama. Mungkin disebabkan faktor pergaulan.

“Tapi Nufail ada papa, kan?”

“Kawan-kawan Nufail semua ada mama, ada ibu, umi, kenapa Nufail ada papa aje? Nufail cakap Nufail ada Nek Ros. Diorang cakap diorang pun ada nenek.”

Hilang bicara Nazriel. Nufail sebesar ini pun sudah faham apa yang terjadi. Rasa bersalah muncul dalam diri. Kalau tidak kerana dia, pasti kehidupan Nufail akan sempurna. Fikirnya apa yang dibagi selama ini sudah cukup. Rupanya dia silap. Nufail rindukan kasih sayang seorang ibu. Ini semua salahnya.

Tapi dia tidak minta semua ini terjadi. Sehabis daya dia pertahankan masjid yang dibina. Apa guna kalau hanya dia yang berusaha. Sakit dan kecewa yang dia dapat.

“Nufail, jom kita pergi taman.” Nazriel bangun lalu mendukung anaknya. Lama-lama Nufail akan faham apa yang dia buat selama ini.

ADRA menghentikan langkah sebaik sampai ke ruang tamu. Dia mengeluh melihat tempat yang seperti baru dilanda tsunami. Pasti kerja Radi. Anak kepada Abang Mazwan. Memang dia yang kena kemas. Malas fikir panjang, satu per satu mainan kembali disimpan.

Sesekali matanya mencari Abang Mazwan tapi tidak kelihatan. Entah ada di dalam bilik atau pun sudah keluar. Kalau keluar pun bukan pergi kerja tapi melepak di kedai kopi. Dia sebenarnya tidak menggemari sikap panas baran Abang Mazwan. Lelaki itu tiada kerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung. Itu dia tidak kisah. Tapi Abang Mazwan seorang yang pemalas. Hanya bekerja dua tiga hari kemudian berhenti.

Lelaki itu tiada rumah. Anak dan isteri semua tinggal di sini. Kak Lina, isteri Abang Mazwan pun tidak bekerja. Sampai bilakah penderitaan ayah akan berakhir? Sejak kecil ayah menjaga anak orang. Bila dah besar ingat akan membalas budi. Rupanya tidak.

Kalau ayah menegur Abang Mazwan suruh bekerja, pasti lelaki itu melenting. Sungguh tidak malu mereka suami isteri ditanggung oleh ayah. Dalam hati dia berdoa supaya segera dapat kerja. Dia mahu bawa ayah keluar dari sini.

“Adra, kau tak masak ke?”

Tersentak Adra apabila Abang Mazwan tiba-tiba keluar dari bilik. Nampak gaya baru lepas bangun. Anak dan mak perangai sama saja. Hidup untuk makan.

“Beras dah habis.”

“Kau pergilah beli.”

“Kejap lagi Adra beli. Tapi ikan tak ada.”

Disisir rambut yang kusut masai dengan tangan. “Belilah. Itu pun nak cakap kat aku.”

“Beras dah beli guna duit Adra. Ikan guna duit abanglah.” Berani pula dia balas walaupun tahu tengkingan yang akan dia dapat. Sebenarnya dia mahu Abang Mazwan sedar tentang tanggungjawab. Dia bukan jenis yang kedekut untuk beli barang dapur.

“Aku tak ada duit. Kau kan tahu aku tak kerja!” marah Abang Mazwan.

“Carilah kerja bantu ayah. Kesian ayah nak tanggung kita semua. Abang tak kerja, Kak Lina tak kerja… Sampai Radi pun ayah nak kena tanggung.”

“Makin berlagak kau sekarang. Kenapa kau tak kerja?”

Adra mengeluh. Dia malas nak tegur lebih-lebih apabila melihat wajah Abang Mazwan sudah berubah.

Abang Mazwan mendekat sambil menggaru leher. Sesekali mata hitamnya memandang ke luar rumah. “Ni kau ada duit ke? Aku nak pinjam sikit. Kak Lina kau suruh beli pisang cheese. Nanti aku tak beli dia merajuk.” Tapak tangan sudah ditadah.

“Adra tak ada duit. Duit yang ada pun untuk Adra belanja.”

“Aku pinjam RM20 aje. Nanti ada duit aku bayar balik.”

Bayar balik? Dia sudah tidak percaya. Duit ayah sudah berapa ribu Abang Mazwan pinjam. Sampai sekarang belum bayar. Kahwin pun boleh dikatakan separuh guna duit ayah.

“Adra masuk dulu…” ucap Adra. Panggilan lelaki itu dia sengaja buat tidak dengar. Malas nak layan.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203337/bila-hati-memilih-dia