We are what we eat.
Satu frasa yang cukup popular di Barat, bagi menggambarkan setiap tindakan, percakapan dan perbuatan kita adalah natijah kepada apa yang kita makan.
Sekiranya baik dan berkhasiat makanan yang kita masukkan ke dalam perut kita, maka sihatlah tubuh badan kita dan baik jugalah percakapan dan tindakan kita sehari-hari. Sebaliknya, jika makanan yang kita sumbat ke dalam mulut dan perut kita adalah makanan yang rosak, tidak bagus kualitinya dan tidak berzat pula, maka kesannya akan diperlihatkan pada jasad dan tindak-tanduk kita.
Namun yang lebih betul adalah kita apa yang hati kita makan.
Di dalam sebuah hadith yang boleh tahan femes kerana sudah dijadikan sebuah nasyid, ehem, Rasulullah SAW bersabda:
“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad manusia ada segumpal daging; apabila baik daging itu maka baiklah seluruh jasad, dan apabila rosak daging itu maka rosaklah seluruh jasadmu. Ketahuilah bahawa daging itu adalah hati.”
“Jika hatinya sejahtera dan tidak wujud di dalamnya melainkan kechentaan kepada Allah SWT, kechentaan kepada perkara yang disukai Allah, perasaan takutkan Allah SWT serta takut terjebak ke dalam perkara yang dibenci oleh Allah SWT,” tulis Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam menghuraikan hadith ini, “maka semua pergerakan anggota badan akan menjadi baik. Lantaran itu dia akan meninggalkan semua perkara yang haram dan menjaga diri daripada perkara syubhah untuk berwaspada daripada terjebak dengan perkara haram. ”
Sambungnya lagi, “Jika hatinya rosak dan dikuasai oleh mengikut hawa nafsu serta menuntut apa yang disukainya, sekalipun tidak disukai Allah, maka semua pergerakan anggota badan turut rosak. Lantaran itu dia akan terdorong kepada melakukan semua maksiat dan perkara syubhah kerana mengikut kehendak hawa nafsu.”
Gulp.
“Kerana itulah, disebutkan bahawa hati adalah raja anggota badan, manakala semua anggota badan adalah tenteranya,” Imam Ibnu Rajab menambah komentarnya. “Di samping itu mereka patuh kepada raja dan bangkit mentaatinya serta melaksanakan segala arahannya. Mereka tidak membantahnya dalam apa sahaja perintah.”
Imam Ibnu Rajab memberikan konklusinya, “Jika raja itu baik, seluruh tenteranya akan baik. Jika raja itu jahat, seluruh tenteranya juga jahat.”
Maka kita kembali kepada persoalan hati.
Betapa tanpa syak dan was-was lagi, hati merupakan anggota terpenting di dalam jasad kita semua. Kerana kedudukannya sebagai raja menjadikan ia begitu berkuasa dan berpengaruh dalam menentukan segala perilaku dan tindak-tanduk kita setiap masa dan ketika.
Kerana itu saya katakan, kita adalah apa yang hati kita makan.
Apa yang hati kita makan, akan mempengaruhi dan menentukan halatuju perbuatan, percakapan dan tindakan kita sehari-hari.
Apa yang hati makan, akan menyebabkan kita tenang-tenang sahaja atau marah terjegil biji mata apabila ada orang yang melakukan kesilapan besar yang melibatkan kita.
Apa yang hati kita makan, akan membuatkan kita tersenyum dan mengangguk kepala apabila bertembung dengan sesiapa sahaja atau buat muka dono ‘Ada aku kisah?’
Apa yang hati kita makan, akan menggerakkan kita untuk mengutip sampah yang kita nampak di jalanan dan membuangnya di tempat yang sepatutnya atau kita buat-buat tak nampak malah lebih teruk lagi, kita sepak sahaja macam bola.
Apa yang hati kita makan, akan menjadikan kita bertimbang-rasa di atas jalan, tidak kisah memberikan laluan pada orang lain, tidak membunyikan hon sesuka hati atau menjadikan kita orang yang tidak bertamadun yang nak gunakan isyarat ke kiri atau ke kanan pun dah tak reti dah.
Dan apa yang hati kita makan,akan menyebabkan kita banyak beristighfar dan bermuhasabah apa
bila ditimpa masalah atau mudah emo dan rasa macam nak terjun gaung yang paling dalam.
Maka kita perlu amat menjaga apa yang hati kita makan.
Nah, apa makanan hati?
Apa-apa sahaja yang kita lihat, dengar dan masuk ke dalam kepala, kemudian diproses menjadi fikrah, itulah makanan hati. Kerana fikrah terbentuk apabila maklumat diproses untuk disalurkan ke hati agar diterjemahkan menjadi suatu tindakan.
Fikrah juga, dalam definisi yang lainnya, ialah proses menyambungkan titik-titik maklumat yang ada di dalam otak kita menjadi sebuah pola pemikiran. Pola pemikiran inilah – yang letaknya di hati – akan mempengaruhi segala bentuk tindakan kita.
Andai kita punya fikrah komunis, maka segala tindakan dan perbuatan kita akan menjadi komunisme. Jika kita beriman dengan fikrah kapitalis, maka segala percakapan dan tindak-tanduk kita akan cenderung kepada kapitalisme. Dan sekiranya kita berpegang dengan fikrah Islamis, maka segala amal dan perilaku kita pastinya akan didasarkan kepada ajaran Islam yang sumbernya ialah al-Quran dan as-sunnah.
Lantas, apa yang kita baca, apa yang masuk ke telinga kita, dengan siapa kita bergaul, apa yang kita tonton, semuanya itu adalah makanan untuk hati kita. Dan apabila saban hari hati kita disuapkan dengan makanan yang sama – bahan-bahan fikrah yang sama – lama-kelamaan kita sendiri tidak sedar yang kita beriman dan cenderung pada satu ideologi dan cara pemikiran yang sama.
Kerana itu Islam amat menitikberatkan aspek pentarbiyahan individu. Dan tarbiyah itu bermula seawal kita boleh membezakan yang baik dan buruk (mumayyiz). Hatta ada yang berpendapat, ia bermula lebih awal lagi; sebaik sahaja kita mengenal huruf dan boleh berkata-kata.
Sekiranya kita menelusuri sirah Nubuwwah dan para sahabat, kita akan terpesona dan terkesima dengan kehebatan sekolah tarbiyah Rasulullah SAW. Bagaimana baginda – dengan wahyu dan panduan dari Allah SWT – berjaya mengubah pola pemikiran para sahabat yang ketika itu ramainya hanyut dan larut di dalam cara hidup jahiliyyah yang melampau. Bukan sesuatu yang menghairankan andai kita terbaca di mana-mana, ada sahabat yang semasa zaman jahiliyyah adalah jaguh minum arak, berzina, merompak dan sebagainya.
‘Umar al-Khattab r.a. sendiri dikenali sebagai kaki pukul sewaktu zaman mudanya.
Abu Dzar al-Ghifari r.a. adalah ketua samseng dalam kalangan kaum Ghifar.
‘Ali bin Abi Talib r.a. dikenali sebagai pemuda yang kaki minum sehingga ada ayat Quran yang turun untuk menegurnya.
Namun lihatlah bagaimana tarbiyah Rasulullah SAW mengubah mereka ini; dari seekor raksasa gorgon yang ganas dan tidak bertamadun, menjadi otromen yang bukan sahaja tampan dan luar biasa, malah berjuang habis-habisan pula melawan raksasa yang sama yang pernah menjadi diri mereka suatu ketika dahulu! Walaweh!
Bagaimana Rasulullah SAW melakukannya? Apa rahsia baginda sehingga berjaya melakukan sesuatu yang hampir mustahil dan tidak terpercaya?
Dengan memberikan makanan hati yang bukan sahaja pada kuantiti yang betul, tetapi yang lebih utama, pada kualiti yang tepat dan apa yang ketika itu diperlukan oleh para sahabat.
Saban hari Rasulullah SAW bercerita tentang sorga dan neraka kepada para sahabat. Setiap hari mulut baginda tidak lekang berbicara tentang kewujudan dan keEsaan Allah SWT. Setiap masa dan ketika, baginda tidak pernah lupa menekankan tentang
kepentingan akhlak dan keutamaan untuk menyebarkan Islam kepada semua.
Maka apabila tarbiyah sebegini yang disumbat ke dalam hati para sahabat setiap hari, apabila kisah dan penceritaan yang sama diulang dan diulang setiap kali, melihatkan pula kepada qudwah dan tauladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, lahirlah generasi Quran yang unik, yang tidak pernah terkalahkan oleh mana-mana generasi yang datang selepas mereka.
Kerana Rasulullah SAW telah berjaya bukan sahaja mempengaruhi, bukan sahaja membentuk, malah – dengan taufiq dan inayah dari-Nya – memegang hati-hati para sahabat baginda.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri.” [ar-Ra’ad, 13:11]
Apa yang ada dalam diri mereka sendiri, menurut pendapat sesetengah ulama’ tafsir, adalah hati.
“Allah tidak mengubah sesuatu nikmat atau sesuatu penderitaan, Allah tidak mengubah sesuatu kemuliaan atau sesuatu kehinaan,” demikian yang dinukilkan oleh Sayyid Qutb di dalam tafsir Fi Zilal-nya, “melainkan apabila manusia itu sendiri mengubahkan perasaan mereka, amalan-amalan mereka dan realiti hidup mereka dan ketika itulah Allah akan mengubahkan keadaan mereka mengikut perubahan yang berlaku kepada keadaan jiwa dan amalan-amalan mereka.”
Sungguh, kita adalah apa yang hati kita makan.
Apa yang kita lakukan, apa yang kita luahkan, apa yang kita tonjolkan, adalah cerminan kepada apa yang ada di dalam hati kita.
Hati yang suci dan sihat, pasti akan menatijahkan tindakan yang juga bersih dan berkat. Dan hati yang ikhlas, penuh dengan cahaya rabbani yang tidak mungkin boleh dipadamkan oleh apa-apa mahupun siapa-siapa, pasti akan meninggalkan legasi amal yang berterusan hingga ke hari kiamat.
Seperti Uwais, yang tidak pernah kita kenal siapa dirinya, bagaimana rupanya, bagaimana suara dan tingkah-lakunya, tinggi atau rendahnya, gempal atau kurusnya, tapi entah bagaimana, kita mengenalisosok bernama Uwais itu sepertinya dia adalah sahabat baik kita sendiri! Subhanallah!
Kerana sungguh, apa yang mengalir dari diri Uwais tidak lain adalah amal-amal yang lahir dari hati yang sihat, sejahtera lagi ikhlas. Uwais adalah cerminan kepada ada apa yang terkandung di dalam hatinya. Segala kebaikan dan kelebihan yang ada pada Uwais sepertimana yang kita tahu, akan tetap terabadi di dalam lembaran sejarah sehinggalah alam ini menemukan ajalnya.
Hanya kerana sebuah keikhlasan yang tiada tolok tandingnya.
Hanya kerana buah-buah amal yang ranum, lazat dan wangi, yang lahir dari akar kuat yang tertanam kuat di dalam jiwanya.
Hanya kerana Uwais menjaga apa yang dimakan hatinya.
Kerana sungguh, kita adalah apa yang hati kita makan.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search_sphinx/q/biar%20tak%20glamor