[SNEAK PEEK] BENCI! BENCI! BENCI!

9789831247592-medium

BENCI! BENCI! BENCI! Oleh Ayu Emelda

“KENAPA Mak Ton datang, mak?” soal Qisya sebaik sahaja turun dari motosikal yang dibonceng. Matanya terus memandang lenggang Mak Ton yang bertubuh rendang itu dengan anak daranya, Fazura. Jalan macam tidak cukup tanah menuju ke kereta Audi A7 yang terparkir di simpang masuk ke rumahnya.

Adiknya, Afif yang sedang menongkat motor juga ikut memandang. Helmet dibuka lalu membetulkan rambutnya yang sudah penyek.

Puan Jannah mengeluh. Kemudian sambung menyapu daun-daun kering di laman.

“Mak, Mak Ton datang rumah buat apa?” soal Qisya sekali lagi.

“Takkan kak long tak tahu. Mak Ton tu kan dah kemaruk sangat nak jadikan kak long menantu,” sampuk Taufik sebelum Puan Jannah membuka mulut. Adik bongsu Qisya itu tersengih sambil tangannya masih menabur dedak untuk ayam-ayam yang mereka ternak.

Qisya mengerut dahi. Pelik. Apa lagi kali ini? Takkan khabar yang sama? Kalau dah tahu orang tak mahu, takkan mahu desak juga?! Hatinya menggumam sendiri. Geram dengan orang yang tidak faham bahasa.

“Mak Ton datang bertanya kak long lagi?” soal Afif sedikit terkejut.

Puan Jannah mengangguk.

“Tak faham bahasa betul orang tua tu. Si Zarif pun sama. Masuk ni dah tiga kali,” gerutu Afif sambil duduk di pangkin bawah pokok jambu yang rendang berbuah.

Kalau lamaran dia yang ditolak, jangankan tiga kali, sekali pun dah rasa muka tebal berkepuk-kepuk. Tidak tahu macam mana nak berdepan dengan orang kampung. Agaknya, sudah lama dia menyorok di Gunung Ledang. Bertapa di sana sampai tujuh keturunan.

“Kempunanlah Mak Ton. Abang Zarif pulak gigit jari agaknya,” seloroh Taufik sambil ketawa mengekek.

“Habis… mak cakap apa?” soal Qisya dalam debar.

“Kalau kak long tak mahu, macam mana mak boleh setuju?” ujar Puan Jannah mendatar.

Zaura yang sejak tadi berdiri di ambang pintu menjeling tajam ke arah kakaknya. Mencebik.

Qisya mengucap syukur dalam hati. Nasib baik mak memang memahami. Tak ada lagi istilah kahwin paksa.

“Kak long memang… suka tolak rezeki. Kalau keluarga kita berbesan dengan Mak Ton, kita boleh tumpang senang.”

Siapa tak kenal Mak Ton? Tauke emas Kampung Tanjung Kuala. Dalam kampung ni dialah yang paling berharta. Ada beberapa cawangan kedai emas di pekan. Lima keturunan pun makan tak habis.

“Engkau sibuk sangat ni kenapa? Suka hati kak longlah nak terima atau tak. Kahwin bukannya sebab nak cari laki kaya,” bidas Afif pada Zaura. Amat tidak setuju dengan pendapat kurang matang adik perempuannya. Itulah kebanyakan perempuan zaman sekarang. Harta sahaja yang dicari. Ada duit adik sayang, tak ada duit abang melayang.

Zaura tayang muncung. Protes!

“Mana boleh kahwin kalau hati tak cinta,” celah Taufik sambil tersengih-sengih. Baru tingkatan lima sudah pandai cakap soal hati dan perasaan. Cuba tanya soalan sejarah, mesti tergagap-gagap nak jawab.

“Amboi! Bukan main lagi.”

Apabila ditenung oleh kakaknya, Taufik terkulat-kulat. “Tersasul,” katanya lantas segera menghabiskan kerja dan masuk ke dalam rumah.

“Betullah alang cakap. Kalau kak long jadi isteri Abang Zarif kan boleh hidup senang…”

“Apa yang senangnya?” celah Afif sebelum Zaura sempat menghabiskan ayatnya lagi. Dia merenung macam nak telan orang.

“Mak Ton tu kan kaya. Lombong emas.”

“Harta dia orang tak ada kena-mengena dengan kita.”

“Kan senang bila jadi menantu Mak Ton. Tak payahlah susah-susah kak long nak kerja lagi. Duduk rumah goyang kaki pun tak mahu! Memang tolak rezeki namanya tu.”

“Lebih baik berdiri atas kaki sendiri daripada minta ihsan orang lain untuk hidup!” bangkang Afif.

“Setakat gaji kerani tu apalah sangat!” gumam Zaura perlahan sambil mencemuh. Geram kerana kakaknya tidak tahu mengambil peluang yang terbentang di depan mata.Malah, sikap kakaknya membuatkan dia sakit hati. Bodoh! Dia sebenarnya sudah terbayang mahu tumpang kesenangan Mak Ton kalau kakaknya jadi menantu keluarga itu.

Puan Jannah mengeluh, lalu duduk di sebelah Afif. “Sudahlah tu… kalau kak long tak mahu, Mak Ton datang sepuluh kali pun mak tetap jawab tidak. Biarlah kita tak berduit asal kita ada maruah,” ulasnya sekadar mahu menghentikan pertelingkahan anak-anaknya.

Qisya yang mahu masuk ke rumah berpatah balik. Dia duduk di sebelah ibunya sambil kepalanya disandar ke bahu Puan Jannah. Dia bersyukur kerana mak begitu memahami. Tiada paksaan dalam soal jodoh. Baginya, soal berumah tangga yang penting perlu ada persediaan. Bila sampai masanya nanti, dia tidak akan menolak jodoh yang datang.

Cuma sekarang dia masih belum bersedia. Tanggungjawabnya kini berat kerana menjadi tunggak utama keluarga. Sebagai anak sulung, dia perlu memikul amanah yang arwah abah tinggalkan kepadanya. Dengan tulang empat kerat yang dimiliki, dia sanggup bersusah payah mencari rezeki untuk mereka adik-beradik. Memang berat dan perit bila abah pergi secara tiba-tiba dijemput ILAHI. Namun, istilah berputus asa tidak pernah wujud dalam prinsip hidupnya.

Dengan gajinya sebagai kerani memanglah tak banyak. Tapi tetap cukup untuk mereka meneruskan hidup. Yang penting, kena pandai berjimat cermat. Rezeki ALLAH ada di mana-mana asalkan berusaha mencari. Biarlah pelajarannya sekerat jalan, asalkan adik-adik boleh habiskan pengajian. Kalau ada rezeki, esok lusa dia akan tetap genggam ijazah juga. Biarlah lambat asalkan cita-citanya tidak pernah padam.

“Kak long tunggu Abang Akim, ya?”

Soalan Taufik hanya dibalas keluhan panjang. Entah ada jodoh atau tidak antara mereka. Susah nak cakap. Dari dulu sampai sekarang masih juga tidak berubah. Balik-balik…

“Saya sayang awak. Awak sayang saya.”

Sejak sekolah menengah sehinggalah belajar di IPT, Akim masih mengikat janji atas angin. Atau lebih tepat setakat berjanji pakai air liur.

“Lawa sangat ke kak long? Ramai betul peminat!” Afif mengerut dahi. Wajah kakaknya direnung dengan mata terkelip-kelip.

“Hisy, apalah angah ni!”

“Betullah… tadi masa ambil kak long balik dari pejabat, si Malik tu masih tak serik-serik nak mengurat kak long.”

Puan Jannah kedengaran mendesah.

“Tak malu betul. Sanggup dia melangut tunggu kak long habis kerja. Gaya orang angau pun ada. Saling tak tumpah perangai lelaki gila talak. Angah tengok muka dia pun naik menyampah!”

“Budak tu kacau kak long lagi? Tak penat ke dia?” soal Puan Jannah sedikit bimbang.

“Bukannya budak, mak… tapi dah tua bangka. Bini dah dua tapi masih tak cukup-cukup lagi. Anak pun dah setengah dozen.”

“Astaghfirullahalazim…” Puan Jannah menggeleng-geleng. Resah pula hatinya. Bukan senang nak jaga anak dara. Selagi Qisya tidak bersuami, selagi itulah hatinya tidak akan tenang. Tambahan pula, Qisya memang selalu mendapat perhatian anak-anak muda. Tidak dapat dinafikan anak daranya itu memang ada rupa paras yang menarik yang diwaris daripada arwah suaminya.

“Gatal! Miang tak habis-habis!” Qisya geram mengingatkan perangai lelaki bernama Malik itu. Semakin hari sikapnya kian menjadi-jadi. Setiap kali habis waktu pejabat, lelaki itu pasti akan menunggunya di luar pejabat. Bukan sekali dua dia menolak. Sudah berkali-kali diberitahu hatinya sudah berpunya, tetapi Malik tu muka tembok!

“Nasib baik angah sampai tepat pada masanya. Sementara cuti ni bolehlah angah jemput. Esok kalau angah dah balik kampus macam mana?”

Qisya menjongket bahu.

“Hati-hati, kak long. Orang macam Malik tu jangan diberi muka. Semakin menjadi-jadilah dia.”

“Nanti pandai-pandailah kak long uruskan sendiri. Angah jangan risau.” Qisya sekadar mahu menyedapkan hati Afif, bahkan hatinya sendiri.

“Kamu dah solat?” soal Puan Jannah.

Qisya menggeleng.

“Angah pun belum…” tambah Afif.

“Pergilah…”

Qisya dan Afif bangun serentak.

“Alang nak ke kedai kejap ya, mak?” Sejak tadi Zaura berdiri di ambang pintu. Bila kakak dan abangnya masuk ke dalam rumah, lekas-lekas dia menyarung selipar dan meminta kebenaran emaknya.

“Kan dah petang ni. Kamu nak cari apa? Takut penyakit asma kamu tu datang balik pulak nanti. Kan susah…”

“Bukannya lama. Kejap aje.”

“Nak buat apa?” ulang Puan Jannah.

“Nak beli kertas. Nak siapkan assignment,” beritahu Zaura beralasan. Sedangkan akalnya sedang merancang sesuatu. Sesuatu yang cukup besar. Dia sudah nekad kali ini.

Puan Jannah hantar langkah Zaura dengan pandangan kosong. Ada sesuatu yang mengusik perasaannya. Rasa rindu pada arwah suaminya hadir dalam diam.

****

SESUDAH membersihkan diri dan solat, Qisya ke dapur. Perutnya sudah berkeroncong. Dia menjengah ke dalam periuk. Masih banyak lagi nasi. Kemudian dia mengintai di bawah tudung saji. Kosong.

“Tadi mak masak gulai lemak pucuk ubi dengan sambal telur. Ikan pekasam pun ada,” beritahu Taufik.

Qisya hanya mampu menelan liur.

“Kak long dah makan?”

Qisya menggeleng. “Dah habis…” Perlahan suaranya. Terasa terkilan kerana tidak dapat menjamah sambal telur air tangan mak. Itulah makanan kesukaannya. Tapi sayang sudah habis pula. Tidak sempat hendak merasa. Kempunan. Namun, rasa ralat itu dibuang jauh-jauh. Tidak ada rezekinya barangkali. Tak apalah, esok-esok mak masak lagi.

Taufik mengangkat tudung saji. Cuma tinggal sisa dalam pinggan lauk. “Mesti alang habiskan. Petang tadi dah pesan, suruh simpan sikit untuk kak long. Degil betullah alang ni!” gerutunya geram.

“Tak apalah, Fik… kak long boleh buat nasi goreng. Nasi pun banyak dalam periuk. Boleh kita semua makan malam kejap lagi,” ujar Qisya bersahaja, sedangkan dalam hati rasa sebak mula menyelinap. Betapa kehidupan mereka mula berubah sejak pemergian arwah abah.

Walaupun begitu, dia masih bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan untuk mereka sekeluarga. Segalanya cukup meskipun tidak semewah dulu. Jualan kuih mak di gerai Mak Cik Saodah pun banyak membantu. Lepas juga untuk belanja dapur. Duit gajinya pula dibelanjakan untuk keperluan diri dan adik-adik yang masih belajar.

MALAM itu, rezeki mereka nasi goreng dengan ikan sepat goreng yang Pak Long Mahat sedekah petang semalam. Memang berselera makan bila perut tengah bergendang.

“Angah ingat nak kerja.”

Kata-kata Afif membuatkan Qisya berhenti menyuap. Dia memandang Afif. Kemudian beralih ke arah mak.

Zaura dan Taufik juga berhenti mengunyah, menyorot pandang ke wajah angah mereka.

“Kak long tak setuju.” Lambat-lambat Qisya berkata.

“Kenapa, angah?” soal Puan Jannah tenang.

“Angah kesian tengok kak long kerja sorang-sorang. Cari rezeki untuk kita sekeluarga…” Afif menguis nasi di pinggan. Seleranya agak terbantut. Kesusahan kakaknya membuatkan dia rasa bersalah. Kak long kerja penat-penat. Tapi duit tu mereka gunakan untuk wang saku dan beli buku. Sedangkan kak long hanya gunakan sedikit sahaja untuk diri sendiri. Kesian kak long…

“Kak long tak kisah pun. Itu tanggungjawab kak long pada keluarga.” Selagi ada daya dan kudrat, Qisya tidak akan sesekali merungut untuk mencari rezaki buat mereka.

“Tapi kalau angah kerja, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kak long,” terang Afif mendatar. Dia cuma tawakal dan berharap sangat kakak dan ibunya setuju. Itupun setelah sudah puas berfikir dan menimbang masak-masak.

“Kak long tetap tak setuju. Angah kena teruskan pelajaran.” Jawapan Qisya tegas.

“Tapi keperluan kita kian bertambah. Alang ni… kalau sakit asma dia menyerang, nak kena pakai belanja. Tu pun sibuk jugak nak beli komputer dengan telefon bimbit segala bagai. Macamlah kita ni berduit.”

Zaura membalas sindiran abangnya dengan jelingan tajam. Kenapa hal dia pula yang diungkit? Angah yang gatal nak kerja! Angah yang teringin sangat nak pegang duit sendiri. Janganlah dikaitkan namanya pulak! Hatinya menggerutu geram.

“Sayang, angah… tak sampai setahun saja lagi. Biarlah kita susah sikit sekarang. Kak long nak tengok angah genggam ijazah dulu.”

“Tapi kak long…”

“Nanti bila angah habis belajar, boleh dapat kerja lebih baik. Gaji pun besar. Bukannya kerja macam kak long. Kalau kerja setakat sijil SPM dengan gaji kerani, berapalah sangat gajinya.”

“Yalah, angah… tak lama saja lagi. Sabarlah sikit. Biar kita rasa susah dulu sebelum mengecap kesenangan. Apa yang ada sekarang pun sudah cukup rahmat.” Puan Jannah pula menambah.

Afif diam. Setuju. Tapi dalam masa yang sama tetap jatuh simpati pada kakaknya. Sanggup berkorban demi keluarga. Patutnya, kak long yang genggam ijazah dulu. Tapi kak long sanggup berhenti bila abah sudah tiada.

“Sebab tulah kak long patut terima saja pinangan Mak Ton. Senang sikit hidup kita nanti. Mak Ton sendiri cakap kak long boleh letak berapa saja wang hantaran yang kak long nak.”

“Apa yang senang?” tekan Afif dengan suara tinggi.

“Sebab nak menumpang? Bolehlah alang beli komputer dengan telefon bimbit yang alang nak sangat tu, kan?” sindir Taufik.

Zaura mendengus geram dengan muncung tajam. Terasa gatal tapak tangannya. Kalau ikutkan hati, dah lama pipi Taufik berbirat kena penampar. Kecik-kecik dah celopar!

“Alang ni memang mengada-ngada. Tak malu betul!” cemuh Taufik lagi dengan pandangan meluat.

“Yang kau sibuk apa hal? Alang ada minta pendapat kau ke? Ada?!” marah Zaura lantang.

“Sudah, sudah… jangan nak bergaduh adik-beradik depan rezeki.” Suara Puan Jannah mendiamkan kekecohan anak-anaknya.

Masing-masing tunduk menghadap pinggan nasi semula. Topik hangat tadi berhenti di situ.

Sebaik semua pinggan mangkuk dan meja makan sudah berkemas, Qisya masuk ke bilik. Diambil novel Sayangku Merajuk yang dipinjam daripada Farida, teman sepejabatnya. Dia tersandar sambil menyelak helaian bertanda. Namun, fikirannya sedang berlegar ligat. Teringat pada lelaki bernama Zarif Arfan, satu-satunya anak bujang Mak Ton.

Bukannya sehari dua mereka kenal, tapi sejak zaman kanak-kanak lagi. Pernah jadi teman sepermainan. Cuma bila semakin besar dan belajar di sekolah menengah, hubungan mereka kian renggang. Bahkan, seakan musuh.

Lelaki bertubuh kurus kering itu sering menjadi perhatian kerana kenakalannya ketika di sekolah dulu. Berkali-kali nama Zarif Arfan tercatat dalam buku nota pengawasnya. Datang lambat, ponteng, rambut panjang… ada sahaja disiplin sekolah yang hendak dilanggar. Tetapi lelaki itu tidak pernah serik!

Jakun! Gelaran itu cukup sinonim dengan Zarif. Bencinya pada lelaki itu tidak pernah luak. Malah, kebencian itu kian membara kerana peristiwa yang berlaku kepada Najlah. Kisah yang mengaibkan teman baiknya itu cukup sedih untuk dikenang. Dia hanya mampu berdoa agar Najlah berjaya dan bahagia sekarang walau di mana sekalipun dia berada. Sementara Zarif pula terus begitu. Masih suka buat kerja gila. Kenapa lelaki itu sanggup datang meminang walaupun tahu dia tak suka?

Hatinya kini sudah terisi. Sejak dulu lagi perasaannya tak pernah berubah. Sukar untuk dia mengalihkan perasaan pada lelaki lain. Hanya nama Hakim bin Haji Hamzah yang berjaya mengisi takhta hatinya. Malah, mereka pernah memahat janji untuk bersatu bila sampai saatnya nanti.

“Tunggu sampai saya habis belajar dan dapat kerja. Saya janji akan sunting Qisya jadi isteri.”

Janji itulah yang dipegang sampai saat ini. Sejak di tingkatan lima lagi mereka saling suka sama suka. Walaupun mereka terpisah jauh, hingga kini mereka saling berhubung. Akim sedang menghabiskan pengajiannya di peringkat sarjana di University of Washington di USA.

Mereka pernah memasang impian untuk belajar bersama di luar negara, tetapi keadaan dan takdir telah memisahkan mereka. Angan mereka tidak kesampaian. Namun, dia terima dengan redha.

“Siapalah saya, Akim. Tak setanding untuk berganding dengan awak.” Pernah dia meluahkan perasaan itu kerana terasa rendah diri.

“Itu semua tak penting. Saya tak kisah.”

“Awak jauh di sana. Banyak cabaran dan dugaannya. Mampu ke kita teruskan hubungan jarak jauh begini?”

“Awak tak yakin?” soal Akim.

“Bukan tak yakin… cuma ragu-ragu,” jawabnya spontan.

Tapi bila difikirkan kembali, tidak ada beza makna tidak yakin dengan ragu-ragu itu. Sebutan dan ejaannya sahaja yang berbeza.

“Itu maknanya awak tak percayakan saya,” tekan Akim.

“Boleh ke awak setia dengan budak kampung seperti saya? Tak ada yang istimewa.”

Akim gelak. “Bagi saya awak cukup sempurna.”

“Yalah tu…” Apa pilihan yang dia ada selain mempercayai lelaki itu sepenuh hati untuk melepaskan Akim pergi mengejar impiannya?

Sementara dia pula terus memasang cita-cita yang entah bila akan tertunai. Hakikatnya, dia bukan dilahirkan dalam keluarga berada seperti Akim, anak Penghulu Hamzah. Abang dan kakaknya berjawatan besar dan mampu membantu Akim sekeluarga. Sedangkan dia hanya anak seorang guru.

Dia hanya mampu melihat Afif dan Zaura menamatkan pengajian mereka. Mungkin suatu hari nanti hasratnya itu akan disambung kembali. Insya-ALLAH…

****

MAK TON meletak telefon dengan nafas berat. Pening memikirkan satu-satunya kemahuan anak bujangnya. Belajar sampai ke luar negara, takkan tak ada langsung perempuan yang berkenan di hati? Si Qisya tu jugak yang dia angankan! Agaknya, Zarif terkena sampuk atau sudah diguna-gunakan.

“Tak habis-habis keluarga kau menyusahkan aku, Ari!” gerutunya dengan nafas keras. Wajah lelaki itu terus menjelma di ruangan mata. Membangkitkan amarahnya yang terpendam di dasar hati.

“Kenapa mak bohong dengan abang?” soal Fazura.

“Bohong apa?”

“Kenapa mak beritahu nak hantar rombongan meminang Kak Qisya?” soal Fazura lagi penuh tanda tanya. Pelik memikirkan apa yang diberitahu kepada abangnya walaupun perkara itu tidak berlaku.

“Itu saja caranya untuk buat abang kamu balik ke Malaysia,” beritahunya bersama keluhan panjang. Bila cara lain sudah tidak menampakkan penyelesaian, dia terpaksa guna cara lebih licik.

Rindu kepada anak bujangnya itu sudah tidak tertahan. Dialah madu, dialah racun. Terlalu besar harapan dan impiannya terhadap Zarif. Sudah empat tahun anaknya merantau ke negara orang. Belum pernah sekalipun dia pulang. Sampai hati Zarif tidak mahu menjejakkan semula kaki ke tanah kelahiran dan tempatnya membesar hanya kerana seorang perempuan.

“Zarif takkan balik selagi pinangan Zarif ditolak Qisya. Malu Zarif, mak… malu nak tunjuk muka!”

“Habis… kalau pihak di sana tak sudi, mak nak buat macam mana lagi? Takkan nak paksa?”

“Mak carilah jalan. Buatlah apa sekalipun asalkan Qisya jadi isteri Zarif. Kalau tak, biar Zarif bertapa di sini tak balik-balik. Biarlah emak tak jumpa Zarif lagi sampai bila-bila.”

Kata-kata itu membuatkan dia sesak nafas. Tidak dapat dibayangkan kalau dia tidak bertemu lagi dengan anak kesayangannya itu. Kerana itu juga dia sanggup turutkan apa sahaja permintaan Zarif. Tapi masalahnya, bukan semudah itu mahu mendapatkan apa yang dicita. Hati orang bukannya boleh dijual beli dengan wang ringgit.

“Minta maaflah, Ton… bukannya saya tak sudi kita berbesan, tapi Qisya tu masih belum bersedia nak kahwin.”

“Tapi anak teruna aku tu berhajat benar, Jannah. Qisya juga yang dia minta untuk dijadikan isteri. Kalau pasal hantaran kau letak berapa pun aku sanggup. Janji kita jadi besan.”

“Entahlah, Ton…”

“Kau pujuklah anak dara kau tu.”

“Bukan tak pernah cuba. Tapi kau tahulah budak-budak sekarang, bukannya boleh dipaksa.”

“Cubalah berbincang dengn dia baik-baik, Nah.”

Wanita itu mengeluh berat. “Maaflah, Ton… anggaplah dah tak ada jodoh. Kau cubalah cari anak dara lain dalam kampung ni. Kalau dengan Zarif, mesti ramai yang sudi.”

Penolakan Jannah petang tadi masih berlegar-legar dalam kepalanya. Sudah tiga kali dia luahkan hasrat hati anak bujangnya, tetapi hasilnya tetap sama. Masih juga mengecewakan. Naik pijar mukanya menahan malu. Semuanya kerana Zarif!

“Mak Nah kan dah tolak hasrat abang. Petang tadi Mak Nah sendiri cakap Kak Qisya belum terbuka hati untuk kahwin.”

Suara Fazura menyedarkan Mak Ton tentang kemelut yang dihadapinya. Pening kepala betullah!

“Kalau merisik pun kena reject, macam mana nak pergi meminang? Silap-silap haribulan dengan barang-barang hantaran kena baling tengah laman. Lagilah malu,” ujar Fazura sambil menjegilkan mata.

“Bukannya abang kamu tahu. Tahulah mak nak uruskan nanti,” ujar Mak Ton dengan desah panjang. Ada sesuatu yang sedang dirancangkan kali ini.

“Tapi esok lusa bila abang dah balik mestilah dia tahu jugak. Mak tak takut abang mengamuk?”

Mak Ton tersenyum meleret. Dia sudah memikirkan hal itu panjang lebar. Plan A tidak menjadi, dia sudah mula susun plan B. Cuma plan C sahaja belum sempat difikirkan lagi.

Ternyata pertemuannya dengan Zaura petang tadi tidak sia-sia. Dia yakin rancangannya pasti akan berhasil. Bijak juga gadis itu. Idea yang diusulkan cukup bernas. Bukannya dia mahu bersekongkol dengan Zaura, tapi kalau ini sahaja jalan yang ada untuk membuatkan Zarif kembali ke sisinya, dia sanggup terima apa sahaja.

Cuma, rasa terkilan yang mengusik perasaannya masih belum hilang. Kenapa anak dara Jannah dan Jauhari juga yang Zarif mahu jadikan isteri? Ternyata, dari dulu sampai sekarang keluarga mereka tidak habis-habis menyusahkan hidupnya!

Cukuplah dulu kalau Jannah sanggup menikamnya dari belakang. Jauhari pula pernah memalukan dirinya. Sampai bila-bilapun peristiwa hitam itu akan terus tersemat kukuh dalam kepalanya. Bukan setahun dua dia memendam rasa. Sejarah itu sudah terukir menjadi parut yang cukup dalam. Malah, dia sudah bersumpah, keluarga dan keturunan Jauhari takkan hidup senang sampai bila-bila.

“Zarif… Zarif…” keluhnya perlahan. Kerana Zarif satu-satunya buah hati pengarang jantung, dia sanggup tebalkan muka menghadap Jannah. Dendam lalu disimpan jauh di lubuk hati. Sampai masanya nanti akan terhambur jua.

Kasih dan sayang terhadap anak lelakinya lebih bernilai daripada segala yang ada. Dialah satu-satunya anak yang mampu membuatkan dia bangga. Walaupun kenakalannya cukup terkenal sejak kecil, tapi Zarif sudah tebus semula apabila berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Luar negara pulak tu.

Tiga hari tiga malam dia buat kenduri doa selamat. Biarlah orang kampung kata dia riak dan mahu menunjuk-nunjuk, dipekakkan saja telinga. Yang penting anaknya berjaya. Tapi lain pula dengan anak bongsunya Fazura, memang malas belajar. Setakat habis SPM. Itupun kandas!

Husna pula begitu mengecewakannya dan keturunan Haji Ismail! Anak sulungnya itu sanggup kahwin lari di Golok dengan duda anak tiga. Kerana cinta buta, Husna sanggup buang keluarga. Baginya, Husna bukan lagi anaknya. Husna sudah mati! Kerana perkahwinan yang ditentang, Husna sanggup menjatuhkan nama baik keluarga.

Muka siapa yang tidak malu apabila anak perempuannya sanggup bertindak sejauh itu. Apalagi dengan kedudukan yang mereka miliki. Dalam kampung ini keluarganya paling ternama dan berharta. Tapi sayang, Husna sanggup memalit lumpur pada nama baik dan keturunan mereka.

Kini, hanya Fazura sahaja yang sanggup ke hulu ke hilir dengannya. Husna entah di mana, Zarif pula membawa diri ke luar negara. Tetapi dia perlukan pewaris untuk menyambung warisan kedai emas Haji Ismail yang diturunkan daripada Tok Aki. Zarif sahaja jadi harapannya yang terakhir. Kerana anak-anak lain dan suaminya sendiri sudah tidak boleh diharap.

Lebih menyakitkan hati bila suaminya sendiri membuat onar. Bukannya dia tidak tahu Haji Ismail sudah beristeri baru secara diam-diam. Tetapi disabarkan sahaja hati asalkan segala harta suaminya itu masih dalam genggaman. Dia sanggup pekakkan telinga dan butakan mata.

“Mak suka ke jadi besan Mak Nah?“

Mak Ton tersentak mendengar soalan anak daranya. Segala lamunannya terbang melayang.

“Mak suka?”

“Apanya?” soal Mak Ton hilang punca.

“Mak suka ke nak berbesan dengan Mak Nah tu?”

“Huh… kau ingat mak ni kempunan sangat nak bermenantukan si Qisya tu? Kalau tak kerana abang kau paksa, tak ingin aku tersua-sua muka berulang-alik ke rumah buruk hujung kampung tu.

“Habis tu… sampai tiga kali mak pergi merisik?” Suara Fazura sudah berbaur menyindir.

“Ini semua abang kau tulah… macamlah tak ada anak dara lain dalam kampung ni. Kalau susah sangat, biar dia bawa balik minah orang putih dari sana. Lagi baik daripada dia kahwin dengan si Qisya tu!”

“Habis tu, jadi ke tak?”

“Hmm…” Mak Ton mengangkat kening tinggi.

“Pasal abang nak kahwin dengan Kak Qisya. Jadi ke?”

“Kalau abang kau sampai dah gila bayang sangat, biarlah mereka kahwin. Tak lama. Mak berani jamin. Esok lusa bila dah jadi isteri, dah dapat… dah puas… ditinggalkan jugak!”

“Betul ke, mak?”

“Lelaki, Zura… mak faham sangat perangai lelaki. Bila tengah bercinta, mabuk asmara… semua sayang. Nanti bila dah longgar sana sini, pandang sebelah mata pun tak sudi.”

“Tapi Kak Qisya tu cantik. Sebab tulah abang gila bayang. Memang dari sekolah lagi Zura tahu abang minat dengan dia.”

“Huh! Apalah sangat yang ada pada si Qisya tu. Bukannya lawa mana pun. Cantik lagi emak kamu ni masa muda-muda dulu.”

Fazura sudah menekup mulut. Tahan gelak.

“Masuk universiti pun sekerat jalan. Akhirnya, setakat jadi kerani kat pekan,” cemuh Mak Ton dengan bibir terjuih.

“Tapi mahu ke dia kahwin dengan abang? Mak cakap dengan abang, Mak Nah dah terima. Dua tiga hari lagi mak nak hantar rombongan masuk meminang. Dah tu kalau mereka tolak lagi macam mana?”

“Tahulah mak nak uruskan nanti. Kau jangan risau. Kita ni berduit. Nak buat apa pun boleh. Kau tengok sajalah esok-esok, Mak Nah dengan si Qisya tu datang menyembah kaki mak sebab tak sabar-sabar nak kahwin dengan Abang Zarif kau. Percayalah!”

Fazura menggaru kepala. Pelik dan pening dengan tingkah emaknya. Mungkinkah ada kena-mengena dengan kedatangan Zaura tadi?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81511/Benci-Benci-Benci