[SNEAK PEEK] BELONGS TO MR PERFECT

Belongs To Mr Perfect Oleh Rinsya Chasiani

Aku memandangnya dengan rasa berterima kasih yang amat sangat. Dulu, aku tidak pernah rapat dengan Dato’ Zharif. Dato’ Zharif seorang yang sangat pendiam, bercakap hanya apabila perlu, lebih suka membuat kerja sendiri berbanding bercampur dengan hal rumah tangga. Aku sendiri jarang-jarang dapat berbual dengan Dato’ Zharif jika tiada perkara penting. Entah apa yang membuatkan Dato’ Zharif berubah sikap denganku. Dia seolah-olah memahami perasaanku yang terlalu ingin ketemu dengan Dylan.

“Masuklah. Dylan ada kat dalam.” Ujar Dato’ Zharif sebaik sahaja aku memberi salam.

Aku mengangguk kecil seraya melangkah menuju ke pintu wad. Pintu wad itu aku tolak sedikit demi sedikit. Aku sedikit gemuruh kerana bimbang dengan apa yang bakal aku lihat. Terukkah lukanya? Adakah tubuhnya berselirat dengan wayar-wayar, dengan keadaan tenat berbaring seperti yang aku selalu lihat dalam drama-drama?

Nafasku tertahan sebaik sahaja melihat Dylan yang sedang duduk di atas katil. Lega melihat Dylan tidak seperti yang aku bayangkan! Hanya kepalanya saja yang berbalut. Dia kelihatan normal walaupun nampak penat dan lesu.

Aku melangkah masuk ke kamar itu, tidak mahu lagi membuang masa.

“Dylan, assalamualaikum…” Sapaku sambil mendekatinya.

Sampai saja di depan katil Dylan, mataku terus berair. Apatah lagi melihat Dylan merenungku dengan pandangan mata yang terlalu kosong.

“I, Anna…” Aku memperkenalkan diri. Berdasarkan cerita Dato’ Zharif, Dylan sukar untuk mengingat sesiapa yang dia temui. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lupa semula. Mungkin kesan daripada pembedahan, atau kemalangan, atau kesan sampingan ubat-ubatan yang diambil oleh lelaki itu. Dan aku juga masih ingat Dato’ Zharif kata penglihatan Dylan agak merosot. Adakah dia nampak aku di sini? Aku bergerak ke sisi katilnya kerana mahu dia melihat wajahku dengan lebih jelas.

“You okey ke?” Soalku dengan rasa sebak.

Dylan mengerutkan dahi, kelihatan agak tidak selesa atau mungkin menahan sakit.

“Sorry, I ganggu. I datang sekejap aje. I minta maaf sebab lambat menjenguk you.” Aku menggigit bibir.

“Dylan, I dapat panggilan daripada kedai jewellery semalam. Dia orang call I sebab tak dapat contact you. Tadi I dah ambil hadiah anniversary kita yang you dah tempah lama.”

Aku membuka beg tangan dan mengeluarkan kotak baldu berwarna biru yang berisi rantai yang terukir dengan namaku. Kata kedai itu, Dylan telah menempah rantai ini lama sempena hadiah ulang tahun perkahwinan kami. Bercucuran juga air mataku di kedai emas tadi apabila mengetahui usaha Dylan untuk membahagiakan diriku. Jika aku tidak silap, ulang tahun perkahwinan kami adalah pada hari aku ketemu dengannya di gudang beberapa minggu yang lepas.

“I dah baca kad yang you tuliskan untuk I…” Aku keluarkan kad yang dicetak khas dengan cap cetakan lilin di atas kad itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/346192