SETIAP kali aku membuka mata, pasti yang pertama kali dapat aku lihat dengan jelas adalah perut aku yang tidak pernah berubah. Malah perut aku semakin membesar, atas satu sebab sahaja iaitu penyakit yang aku alami untuk seumur hidup. Ya! Siapa tidak sedih apabila mendapat berita bahawa dia diserang dengan penyakit kanser darah yang dikenali sebagai Congenital Erythropoetic Porphyria.
Kisah bermula apabila aku berumur dua tahun dan arwah abang aku berumur empat tahun. Kami mengalami penyakit yang sama. Wajah kami pun agak mirip jika orang tidak mengenali kami. Waktu itu aku hidup, bermanja dan berkasih dengan insan yang aku panggil “Abang”. Dialah segala-galanya bagiku sebagai seorang adik. Namun sekejap sahaja Allah SWT meminjamkan nikmat bermanja dengan abang kandung.
Pada suatu hari, aku dan arwah abang menjalani ujian darah untuk mengenal pasti apakah yang sedang berlaku. Aku tidak mahu menafikan akan apa yang terjadi pada diri kami waktu itu. Ketika itu, setiap malam aku dan arwah abang mengalami demam dan akan muntah darah. Kalau tak muntah darah pun, hidung pasti akan dibasahi dengan darah seperti air. Allahuakbar! Tak mampu untuk kubayangkan suasana waktu itu.
Minggu ke-13, sekali lagi kami sekeluarga pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melihat hasil keputusan ujian darah yang sudah keluar. Nombor giliran diberi kepada para pesakit yang menunggu giliran masing-masing. Ketika klinik masih lengang, nama aku dan arwah abang dipanggil masuk ke dalam bilik doktor pakar. Waktu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu kerisauan hati umi dan abah tentang kami berdua. Maklumat tentang aku dan arwah abang dijelaskan sebagaimana yang telah dicatat dalam rekod perubatan kami di hospital.
Melalui ujian darah yang diambil pada minggu sebelumnya, doktor mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan hati dan limpa (spleen) kami berdua. Paras ukuran limpa (spleen) kami tidak normal. Malah tahap kandungan darah dalam badan kami tidak mencukupi atas sebab kerosakan limpa (spleen) kami. Ini diketahui selepas kami menjalani pemeriksaan yang lebih teliti dan lebih lengkap tempoh hari ke atas penyakit yang aku dan arwah abang hidapi.
Sejak itu, perut aku semakin hari semakin membesar kerana limpa (spleen) aku sudah tidak dapat berfungsi dengan baik. Setiap seminggu, sebanyak dua kali kami kena melakukan pemindahan darah di Kedah Medical Center (KMC). Hospital sudah ibarat rumah kedua kami sekeluarga. Sakit tu memang sakit tetapi kami hanya mampu kuatkan hati dalam mengharapkan reda Allah SWT.
Ada satu malam, umi dan abah tidak boleh tidur atas sebab darah tidak berhenti mengalir seperti air terjun di hidung kami. Subhana-Allah! Allahuakbar! Aku tak mampu nak membayangkan bagaimanakah perasaan umi dan abah waktu itu.
“Abah! Hidung Acah dan Yun berdarah lagi tu. Cepat ambilkan air batu,” pinta umi dalam kerisauan.
Aku mengadu akan kepedihan di lubang hidung dengan menangis kuat-kuat. Arwah abang tidak berkata-kata, darah beku terus-menerus keluar daripada mulutnya.
“Abah! Yun muntah lagi. Cepatlah sikit!” panggil Umi dengan tegas.
“Ya Allah! Awat jadi macam ni Yun?”
Pada malam itu, semua keadaan menjadi huru-hara. Abah terus menghidupkan enjin kereta untuk membawa aku dan arwah abang ke Hospital KMC. Ketika kereta abah sampai di kaunter pendaftaran di bahagian kecemasan, tanpa menunggu pegawai yang bertugas di situ, doktor dan jururawat di sana terus membawa aku dan arwah abang ke bilik kecemasan. Mereka mengambil contoh darah kami untuk blood transfusion sekali lagi.
“Nurse, telefon pegawai Lab sekarang! Beritahu mereka kita perlukan dua beg darah AB+ setiap seorang dengan segera!” kata doktor itu.
“Baik doktor! Okey adik, nurse nak ambil tekanan darah sekejap. Lepas tu nurse buat pada abang pula.”
Aku yang tidak mengerti apa-apa hanya menyerah diri membiarkan tanganku digosok lembut oleh jururawat yang bertugas itu. Umi dan abah tidak penah leka menanti kami di bilik kecemasan itu. Setelah giliran aku sudah selesai, giliran arwah abang pula diperiksa oleh jururawat.
Selama dua jam kami menunggu di bilik kecemasan. Menunggu keputusan darah dipadankan dengan darah penderma. Kemudian kami dipindahkan ke wad kelas kedua yang ada dua katil dalam satu bilik untuk menunggu bekalan darah yang sesuai untuk badan kami terima. Malam itu, umi dan abah terpaksa menemani kami bermalam di KMC.
Apabila malam sudah lewat, jururawat yang bertugas di wad mengetuk pintu bilik kami dengan mengatakan darah penderma sudah sampai di wad. Umi yang sudah terlelap di birai katilku terus terjaga. Lalu umi cuba mengejutkan aku dan arwah abang daripada lena yang nyenyak setelah kepenatan menahan darah keluar dari hidung dan mulut.
“Acah! Yun! Nurse nak masukkan darah ni. Bangun nak,” panggil umi dengan lembut.
“Okey, tak apa. Nurse buat yang abang dulu. Nanti nurse buat untuk adik pula,” kata jururawat tersebut.
“Abang nampak pucat sangat ni. Abang muntah lagi ke kak?” soal jururawat itu kepada umi.
“Ya, abang muntah lagi tadi. Dua mangkuk juga tadi.”
“Dua mangkuk?”
“Ya! Darah beku banyak keluar dari mulut dia tadi.”
“Ya Allah… kesiannya pada abang. Patut nampak letih ja ni.”
“Abang, nurse nak cucuk jarum ni. Abang kuat, kan? Sikit ja sakit tau. Abang kan nak jadi hero,” kata jururawat itu dengan lembut.
Abah yang berada di sebelah arwah abang cuba menggenggam kuat tangan arwah abang untuk menenangkan arwah abang daripada kesakitan itu. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan umi dan abah waktu itu. Kedengaran jeritan keluar dari mulut kecil arwah abang. Abah yang berada di sebalik bucu katil hanya mampu mengumpul kekuatan daripada Allah SWT.
“Shh… sakit sikit ja ni.”
“Abah, sakit!”
“Sikit ja ni. Macam kena gigit semut ja ni. Abang kan kuat macam Power Rangers.”
“Bila nurse nak cucuk nanti, abang tarik nafas panjang-panjang. Pastu abah tutupkan mata abang nanti, biar tak rasa sakit,” kata jururawat itu.
Setelah berapa hari, aku dan arwah abang ditahan di wad kanak-kanak, abah terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menjaga aku dan arwah abang di hospital. Sejak kejadian itu, umi dan abah terpaksa bertukar giliran menjaga kami siang dan malam selama seminggu berada di hospital.
Boleh dikatakan, sebulan dua kali kami berada di hospital. Aku dan arwah abang perlu menjalani rawatan di hospital untuk menambah darah dalam badan yang sudah hilang. Sejak itu, limpa aku dan Arwah Abang Yun semakin membesar dan perut kami kelihatan seperti wanita sedang mengandung empat bulan. Tulang kami juga semakin lama semakin reput kerana dimakan oleh darah kotor yang berada di dalam badan kami. Allahuakbar!
Perut aku dan arwah abang semakin hari semakin membesar menunjukkan tanda limpa (spleen) kami sudah tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Darah kotor berkeliaran di seluruh badan kami sehingga air kencing kami berdua bertukar menjadi warna merah pekat. Gigi dan gusi kami menjadi hitam kerana dikelilingi dengan darah kotor yang sudah tidak dapat dikawal oleh mana-mana doktor pakar di Kedah Medical Center (KMC) itu.
Selepas berapa bulan, keputusan darah aku dan arwah abang keluar dengan keputusan merah dari Hospital Kuala Lumpur (HKL). Keesokan hari, kami sekeluarga bertolak ke HKL dengan hati yang berat untuk mengetahui keputusan yang disebut oleh doktor di atas talian semalam. Setelah kami sampai di HKL, kami terus dipanggil untuk masuk ke dalam bilik doktor yang merawat aku dan arwah abang.
Ketika kaki kami sekeluarga ingin melangkah masuk ke dalam bilik doktor itu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa beratnya hati umi dan abah untuk mendengar apa yang ingin disampaikan oleh doktor. Iaitu tentang penyakit yang aku dan arwah abang hidapi sehingga menyebabkan HB darah dalam badan kami berdua tinggal kiraan dua sahaja.
Apabila kami sekeluarga sudah berada di dalam bilik doktor, seperti biasa doktor akan menyoal bagaimana keadaan aku dan arwah abang. Abah dan umi memberitahu keadaan kami berdua semakin kritikal. Lalu doktor menghulurkan surat kepada abah dan umi untuk dibaca iaitu tentang keputusan yang telah diteliti oleh doktor pakar di HKL. Dengan hati yang penuh kerisauan, orang tuaku membaca satu per satu dengan teliti, laporan dalam surat itu.
Kemudian doktor memberitahu nama penyakit yang aku dan arwah abang sedang deritai iaitu penyakit Congenital Erythropoetic Porphyria yang merupakan sejenis penyakit kanser darah. Abah dan umi memberi perhatian sepenuhnya terhadap penerangan doktor dan juga berkenaan rawatan yang perlu kami jalani seumur hidup.
Doktor memaklumkan bahawa limpa (spleen) aku dan arwah abang sudah tidak berfungsi dengan sepenuhnya kerana organ berkenaan sudah tidak dapat membezakan antara darah kotor dengan darah bersih. Malah, darah bersih sudah dicemari dengan jangkitan kuman. Sebab itu, aku dan arwah abang harus menjalani rawatan di hospital sebanyak empat kali dalam sebulan. Maksudnya seminggu sekali aku dan arwah abang harus mendapat bekalan darah dari hospital.
Waktu itu hanya Allah Yang Maha Kuasa sahaja yang tahu perasaan umi dan abah. Umi dan abah terpaksa akur dan reda terhadap keputusan yang dinyatakan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur itu.
NUR ALIA MAISARAH –SEORANG ADIK YANG TABAH DAN BERANI
KELAHIRAN adik merupakan satu anugerah buat umi dan abah. Mereka mendapat anak yang diberi kesihatan, kepandaian serta keberanian sejak lahir lagi. Ketika umi melahirkan Adik Alia pada tarikh 19 Januari 2001, aku dan arwah abang dimasukkan ke wad kanak-kanak lagi untuk mendapatkan rawatan. Aku dan arwah abang disyaki demam panas dan darah tidak berhenti keluar dari hidung kami.
Ketika itu, setelah umi berjaya melahirkan Adik Alia, umi yang dalam berpantang terpaksa keluar dari wad bersalin dan pulang ke rumah untuk pergi ke wad kanak-kanak demi menjaga aku dan arwah abang. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu akan perasaan umi waktu itu. Umi terpaksa meninggalkan Adik Alia dengan mamatok dalam pantang demi mengambil alih menjaga aku dan arwah abang di hospital. Siapa sangka perkara ini akan berlaku pada hari pertama kelahiran Adik Alia. Kelahirannya disambut dengan keadaan huru-hara apabila darah yang mengalir di hidung aku dan arwah abang tidak berhenti. Subhana-Allah! Allah SWT sahaja yang tahu kepenatan umi waktu itu.
Setelah apa yang berlaku terhadap aku dan arwah abang, kehidupan kami berdua tetap dijalani seperti orang normal. Walaupun kami terpaksa membawa perut yang semakin hari semakin membesar. Pada usia aku meningkat ke tujuh tahun dan usia arwah abang sembilan tahun, aku dan arwah abang disekolahkan di Sekolah Bandar Baru Sintok. Kami tidak di tempatkan ke kelas khas oleh pihak sekolah. Malah aku dan arwah abang ditempatkan di kelas biasa seperti budak normal.
Namun demikian, tenaga aku dan arwah abang tidak cukup kuat untuk membawa perut yang besar untuk menaiki tangga ke kelas di tingkat atas. Pihak sekolah telah memberi kebenaran kepada umi dan abah untuk menghantar aku dan arwah abang ke dalam sekolah. Malahan, kereta abah dibenarkan diparkir di tempat parkir pengetua yang ada bumbung.
Aku rasa bersyukur atas kemudahan yang pihak sekolah berikan kepada keluarga aku. Dapatlah memudahkan segala urusan umi dan abah masuk dan keluar untuk menghantar dan kemudian mengambil kami selepas sesi persekolahan.
RUMAH MAK AYAH –PENGASUH YANG AMAT DIHORMATI
TAMAN perumahan UUM merupakan tempat aku dan arwah abang bermain selepas balik dari sekolah. Di situ, aku dapat mengenali sebuah keluarga yang memang penyayang iaitu arwah mak (Rakhizah binti Darus) dan ayah (Roslan bin Yahya). Mereka amat bertanggungjawab dan teliti dengan penyakit aku dan arwah abang.
Arwah mak selalu menjaga rapi penjagaan pakaian, makanan dan pergerakan aku di luar rumah. Di rumah itu, aku dapat mengenali ramai kawan-kawan yang diasuh oleh arwah mak.
Tidak ketinggalan, aku juga dapat mengenali satu keluarga yang mempunyai anak yang berhati mulia. Di rumah itu kami ibarat adik-beradik. Bergaduh sama-sama, makan sama-sama, duduk tengok televisyen sama-sama. Di rumah mak, aku dapat menumpang kasih sayang seorang kakak (Zakiyah Najihah) dan abang (Muhammad Zakwan) yang selalu mengambil berat tentang aku dan arwah abang.
Abang Zakwan dan Arwah Abang Amirul sudah seperti rakan baik sejak kecil. Main sama-sama dan sama-sama buli Adik Alia dengan cerita hantu. Selepas umi dan abah mengambil aku dan arwah abang pulang dari sekolah, kami terus dihantar ke rumah mak yang terletak di taman perumahan UUM yang tidak jauh dengan sekolah dan tempat kerja umi sebagai pensyarah UUM.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277111/Believe-in-Miracle