[SNEAK PEEK] BAHAGIA YANG SUDAH TERTULIS

Bahagia Yang Sudah Tertulis Oleh Nurshaza

Hari ini, sudah seminggu Zayyad berada di kampung. Esok dia akan pulang semula ke ibu kota untuk menguruskan kerjanya yang mungkin sudah menimbun di atas meja. Sungguh dia tidak mahu pulang ke bandar semula. Selama seminggu dia berada di sini, banyak pengalaman yang dia dapat. Dia sungguh berterima kasih kepada Mishal sekeluarga. Sudi menerima kedatangannya ke kampung itu.

“Nuda, saya dah penat. Berhentilah lari!” pinta Zayyad yang sudah terduduk di atas pasir pantai sambil memeluk kedua-dua belah kakinya. Mengawal pernafasan yang kembali mencungap-cungap.

Mishal tertawa kecil. Dia berhenti di hadapan Zayyad buat beberapa saat sebelum melipat sila di sebelah lelaki itu.

Mata mengerling ke arah Zayyad sebelum pandangannya dibuang ke tengah pantai.

Mentari pada waktu petang ini agak terik. Membuatkan dirinya dan Zayyad bermandi peluh.

“Dah macam budak-budak dah main kejar-kejar.” Zayyad ketawa.

Mishal hanya tersengih. Kepala dibawa angguk sekali. Walaupun macam budak-budak, dia seronok dapat meluangkan masa bersama Zayyad. Sepanjang lelaki itu ada di sini, hatinya dicucuk dengan satu perasaan aneh. Mungkin cinta pandang pertama? Tapi dia tidak mahu terlalu berharap. Takut sendiri yang kecewa.

“Tapi saya seronok sangat dapat spend time selama seminggu dengan awak dekat kampung ni. Banyak pengalaman yang saya dapat. Sampai saya boleh lupakan seketika masalah yang saya alami. Terima kasih, Nuda,” ucap Zayyad sambil tersenyum. Dia menoleh ke sisi.

Merenung wajah Mishal dari tepi.

“Tak ada masalah pun, awak. Benda kecil saja. Setakat bawa awak sekeliling kampung ni, apalah sangat.”

Suasana kembali menyepi apabila kedua-dua di antara mereka tidak lagi bersuara.

“Esok saya akan balik semula ke Kuala Lumpur.”

Mishal menundukkan pandangannya. Jarinya menguis-nguis pasir. Hatinya terasa berat mahu berpisah dengan Zayyad. Entah bila lagi mereka dapat meluangkan masa seperti ini lagi.

“Nuda…”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/349127