BUAT SEMENTARA waktu suasana di kelas menjadi sunyi. Saya lihat Cikgu Akob sekali lagi membelek-belek buku senarai nama dan kedatangan pelajar. Kemudian dia menarik keluar sehelai kertas berlipat dari celah buku itu.
Sebentar dia membuka lipatan kertas dan membaca, kemudian memandang budak perempuan mumia itu.
“Siti Arisya.”
“Saya cikgu,” balas budak itu.
“Oh, Siti Arisya nama budak mumia ini,” getus saya dalam hati.
“Nak panggil apa, Siti atau Arisya?” tanya Cikgu Akob lagi.
“Arisya.”
Cikgu Akob meneliti Arisya seketika.
“Ni kenapa dengan kepala awak berbalut macam mumia?” soal cikgu agak lantang campur lucu. Cikgu bangun mula merapati Arisya.
Rakan di belakang mula ketawa. “Arisya mumia cikgu!” tiba-tiba ada pelajar yang celupar. Satu kelas mula ketawa. Saya juga tidak lepas peluang!
Kah kah kah kah.
Kah kah kah kah.
“Rasakan,” bisik saya dalam hati.
Tapi saya lihat Arisya masih selamba. Tiada reaksi. Cuma matanya melihat mata saya. “Kenapa merenung saya?” Mahu sahaja saya membantah.
Kemudian segera saya ingat. Mata itu macam mata saya bila saya merenung kosong seseorang untuk meminta simpati. Iya! Itu pandangan mata kosong minta simpati. Aduh! Kesihan pulak saya. Sekarang hati saya mula berbelah-bahagi.
“Diam… Diam,” segera Cikgu Akob menenangkan keadaan sambil memandang Arisya seakan meminta penjelasan.
“Kepala saya terantuk cikgu. Sedikit luka,” terang Arisya.
“Sedikit luka? Tapi awak balut satu kepala macam mumia?” Lucu soalan cikgu menyebabkan rakan kelas ketawa lagi.
Kah Kah kah kah.
Namun kali ini saya tidak ketawa. Saya tahan kuat-kuat. Saya rasa soalan cikgu itu sangat bernas. Kenapa dia sanggup balut kepalanya macam mumia kalau lukanya sedikit?
“Boleh awak buka… cikgu nak tenguk lukanya,” kata Cikgu Akob setelah ketawa murid-murid mereda.
Saya lihat muka Arisya mula pucat. Beberapa saat berlalu, baru Arisya membuka mulut. “Boleh saya berbisik dengan cikgu?”
A-apa? Mahu dia berbisik-bisik pula dengan cikgu. Saya jadi amat curiga dengan perlakuan Arisya. Saya lihat Cikgu Akob memandang Arisya. Sebentar Arisya merapati cikgu dan berbisik sesuatu. Saya lihat Cikgu Akob terdiam seperti memikir sesuatu. Arisya kembali duduk.
Kemudian Cikgu Akob terpandang saya. Dia seakan teringatkan sesuatu. “Ha, awak Moklis.”
“Saya cikgu.”
“Awak tahu tak, menconteng harta benda awam satu vandalism?”
Spontan sahaja soalan cikgu. Tapi saya dapat rasakan macam ada tombak tajam yang menunggu di sebalik soalan itu.
Saya cuba berfikir-fikir, apakah kesalahan saya. Saya mula merasa ada sesuatu. Ha, terus saya ingat. Meja saya di belakang.
“Awak jangan buat-buat tak reti?”
Tapi siapa yang mahu mengaku selagi tidak ditangkap. Lalu saya teruskan muka bodoh dan mata terkebil-kebil.
“Baik! Sekarang juga awak pergi angkat meja belakang tu… bawa ke depan!”
Adoi, tertangkap juga saya. “Tidak apalah cikgu. Nanti saya padam. Itu kapur aje.” Cepat saya cuba memujuk dan membela diri.
“Sekarang juga awak bawak… cepat!”
Terpaksalah saya mengangkut meja itu ke depan. Sekali lagi rakan kelas mula berdecit ketawa.
Cit cit cit cit.
Saya tidak faham mengapa saya perlu mengangkat meja itu ke depan. Saya harap cikgu tidak menyuruh saya menjunjung meja pula sebagai denda. Eish, berat juga meja tu. Jangankan kata 10 minit, tiga minit pun mahu patah semua tulang saya satu badan!
“Tolonglah cikgu jangan denda saya!” harap saya dalam hati. Namun harapan tinggal harapan sahaja.
“Awak ada dua pilihan…,” kata Cikgu Akob serius.
“Pilihan satu junjung meja,” pintas saya segera setelah mengagak-agak apa yang Cikgu Akob akan katakan.
“Wowwww,” terdengar beberapa murid terkejut dan terpana bila saya memintas kata-kata cikgu.
“…pilihan kedua saya tak tahu cikgu,” tambah saya lagi bila melihat mata Cikgu Akob turut terbeliak melihat saya.
“Wowwww….”
“Wah, pandai awak Moklis,” puji cikgu antara serius dan nak ketawa.
“Saya tak mahu pilihan satu cikgu. Beri saya pilihan kedua.” Wah, bukan main berani saya. Tentulah sebab saya sudah reda didenda. Ibu saya kata, kita kena reda dengan sesuatu yang berlaku. Itu semua kada dan kadar ketentuan tuhan.
Cikgu Akob melihat saya sambil tersenggih. “Baiklah, sekarang awak letak meja awak yang penuh nama awak itu di sebelah meja Arisya.”
“Ha?” Terlopong mulut saya mendengar arahan cikgu. Macam tak masuk akal. Apa kena mengena situasi saya dengan Arisya. Sudah tentu selepas ini cikgu mahu saya duduk di sebelah dia pula!
“Awak tiada pilihan lain Moklis!”
Ha, pilihan pertama saya sudah tolak. Hendak tak hendak saya terpaksa telan juga pilihan kedua. Tapi kalau sekadar duduk, apalah salahnya. Seminggu dua, saya boleh bertahan. Kemudian nanti saya cabutlah ke belakang. Ambil balik tempat saya, di tepi tingkap paling belakang.
“Baiklah cikgu.” Saya senyum sambil mengalihkan meja sedia ada di sebelah Arisya dan menggantikannya dengan meja saya. Saya lihat Arisya menjeling tajam. Ternyata dia tidak suka saya. Saya pun membalas dengan muka kelat.
Grrrrr.
Saya lihat cikgu masih memandang saya. “Ah, apa lagi ni?” getus saya dalam hati.
“Baik sekarang awak berdua bangun.”
“Apa pulak lagi ni cikgu,” kata saya separuh memprotes.
“Itu belum lagi pilihan kedua. Cikgu hanya baru suruh awak duduk di situ.”
“A-a-apa? Belum lagi!” Sekali lagi mulut saya terlopong. Kali ini lebih besar. Saya lihat Arisya telah pun bangun. Bagai ada batu besar di punggung, lambat-lambat baru saya dapat bangun.
“Baiklah…awak berdua pernah tak dengar perpatah Inggeris, “It takes a thief to catch a thief.”
Ha! Apa tu? Apa kena mengena perpatah Inggeris itu dengan kami. Kepala saya mula pening.
“Saya pernah dengar cikgu,” terbeliak mata saya bila mendengar Arisha berkata begitu. Oh, dia tahu ya.
“Hanya pencuri yang pandai menangkap pencuri,” sambung Arisya.
“Betul! Jadi hanya pesalah yang pandai menangkap pesalah, tak begitu?” balas Cikgu Akob.
Arisya menganggukkan kepalanya. Saya hanya melihat, bisu dan terkedu.
“Mokhlis ada buat kesalahan. Arisya pun ada buat. Betul?”
Saya mula tidak sabar dan mencelah. “Iyalah cikgu. Saya ada buat salah. Tapi apa denda pilihan kedua saya?”
“Wooooow,” sekali lagi rakan-rakan kelas terpana bila saya berani memintas cakap cikgu. Cikgu Akob memandang muka saya. Muka cikgu antara lucu dan serius. Mungkin hatinya digeletek lucu melihat saya!
“Baiklah…” kata Cikgu Akob sambil memandang seluruh kelas seakan dia mahu membuat satu pengumuman. “Semua murid-murid… mulai hari ini cikgu lantik Moklis dan Arisya jadi ketua dan penolong ketua kelas.”
“A-A-Apaaa?”
“Moklis dan Arisya!”
“Ketua kelas dan penolong!”
Terdengar rakan-rakan kelas saya menyebut berselang-seli. Kelas saya sudah berbunyi bagai dihurungi ribuan lebah.
Bzzzzz…
Ini berita paling gempar. Kalau mereka tidak percaya, saya lagilah tidak percaya dan terkejut. Masakan saya dilantik ketua kelas! Sepanjang persekolahan, saya tidak pernah mahu mengambil tanggungjawab apa pun. Apa lagi menjadi ketua kelas.
Saya lebih suka buat hal sendiri. Saya suka menyendiri. Saya suka privasi. Lepaskan saya! Lepaskan saya! Terasa saya kini bagai ikan terperangkap di pukat nelayan.
“Tolonggggg!”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278418/Arisya-Moklis