Sneak Peek – Andai Itu Takdirnya 2

. . .

ALEYA yang sedang membasuh pinggan itu hanya tersenyum bila melihat bibik bagai cacing kepanasan.

“Aduh! Biar bibik saja yang basuh pinggan tu Cik Leya. Nanti Puan Sri nampak, mati bibik di marahin,” ujar bibik dalam dialeknya.

“Apa pulak mama nak marah? Saya yang nak basuh, bukan masalah besarlah bik. Bibik ni takut sangatlah pulak. Bibik pergi aje kemas atas meja tu. Sekali-sekala saya datang, tak salah saya tolong bibik.” Lembut dia menjawabnya.

Bibik yang masih nampak muka serba salah terpaksa mengalah juga. Sebelum berlalu ke depan, sempat lagi dia bercakap, “Terima kasih ya Cik Leya. Dari dulu sampai sekarang, Cik Leya memang baik orangnya. Bertuah sungguh Tuan Aizril dapat isteri macam Cik Leya.”

“Dah-dah bibik jangan nak bodek saya, tak dapat apa pun bik,” gurau Aleya.

“Bibik enggak mau apa-apa. Bibik kata yang benar, kata yang lahir dari hati. Lagian bibik mau bilang, sampai sekarang, Cik Leya masih cantik, walau anaknya sudah ramai.” Panjang pula bibik bercerita.

Aleya ketawa.

“Ramai sangat ke anak saya bik? Baru empat oranglah bik. Bibik ni kan, ada aje nak usik saya,” balasnya ramah.

Dalam masa yang sama wajah arwah Danish bagaikan terpandang-pandang di matanya. Kasihnya pada Danish hingga kini tak pernah padam.

Waktu itu Datin Sharifah Rosnah datang ke dapur.

“Bik, buatkan air kopi untuk Dato’, dia tak minum air sejuk malam-malam,” arahnya.

“Baik Datin.” Sopan bibik menjawabnya lalu bergerak dari situ.

“Rajin basuh pinggan,” sapa Datin Sharifah Rosnah.

“Saja, tolong bibik,” jawab Aleya.

“Iyalah, apa sangat sekadar basuh pinggan, dah memang itulah kerja rutin kau. Jadi housewife, nak buat apa lagi. Kenalah buat kerja rumah, takkan nak jadi mem pulak. Kalau dah sampai nak jadi mem, itu namanya tak sedar diri!” sindirnya.

Berdesing telinga Aleya mendengarnya. Merah mukanya. Tapi dia masih mampu mengawal diri. Dia tersenyum memandang mak su suaminya.

“Syukurlah mak su, setakat ni saya masih sedar siapa diri saya. Saya seorang isteri dan juga seorang ibu. Tapi, apa pun terima kasihlah sebab mak su tolong ingatkan saya.” Tenang suaranya.

“Huh! Bangga sangatlah gelaran isteri dengan ibu kau tu? Aku tak nampak pun apa yang kau nak banggakan? Jadi isteri? Apa sangat yang kau buat? Duduk rumah, beranak banyak-banyak, itu ajelah yang kau tau,” kutuknya.

Bibik yang sedang membancuh air melirik sekilas pada adik majikannya. Sombong! Kata hatinya.

“Kalau saya beranak banyak pun apa masalahnya mak su. Saya bukan tak ada suami. Anak itu kan pembawa rezeki. Anak tu yang jadi seri dalam rumah tangga.” Masih hormat cara Aleya menjawabnya.

Tapi cukup menjengkelkan hati Datin Sharifah Rosnah mendengarnya.

“Tak payahlah kau nak tunjuk dekat aku muka redha kau tu! Menyampah! Kau ingat, kau beranak banyak-banyak, Ril tu hargai sangat ke? Hei, aku kenallah anak saudara aku, hidup berkeluarga ni bukan jiwa dia.

Dia masih muda, banyak lagi yang dia perlu buat dalam hidup dia selain nak mengadap muka kau anak-beranak! Apa kau ingat, Ril tu sayang sangat dengan kau? Sanggup hidup dengan kau sampai mati? Tak ada maknanya! Kau sedar sikit diri kau tu, dia kahwin dengan kau pun dulu sebab terpaksa.

Sekarang ni pun dia masih setia dengan kau sebabkan anak-anak. Dia tu baik orangnya, bertanggungjawab. Tapi, aku yakin tak lama mana pun. Esok, lusa bosanlah dia menengok muka kau! Kau ingat kau tu muda lagi! Sedarlah diri tu sikit!” bentaknya.

Aleya memandang mak su suaminya.

“Kenapa mak su ni? Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba nak mengata saya. Apa yang saya dah buat, sampai mak su sakit hati sangat dengan saya? Selama ni, sepanjang saya hidup dengan Aizril mak su tak ada masalah pun. Kenapa boleh hari ni mak su berubah?” Bergetar suaranya.

“Sebab selama ni aku masih boleh terus bersabar. Aku cuba terima apa yang dah jadi dengan redha. Tapi aku tak boleh! Setiap masa, setiap saat, aku hanya nampak air mata arwah anak aku. Aku nampak penderitaan anak aku bila Ril kahwin dengan kau.

Anak aku menderita, kau tahu tak? Jadi kau ingat, aku nak peluk cium kau, sayang kau dan ucap tahniah pada kau sebab dah hancurkan impian anak aku. Pergi matilah kau!”

Walaupun dalam nada yang perlahan tapi cukup berbisa setiap patah katanya. Nafasnya kelihatan turun naik dengan laju, nampak bahang di mukanya.

Terkejut Aleya. Dia mengusap dadanya.

“Astaghfirullahalazim! Ingat Allah mak su. Jangan cakap macam orang tak beriman. Dah-dahlah mak su, kalau mak su kata saya ni bukan muda lagi, mak su fikir diri mak su.

Mak su pun bukannya muda mana pun. Jangan ikut sangat kata hati, jangan biarkan syaitan lalaikan kita dengan api dendam yang takkan ada kesudahan!

Selagi Allah masih bagi kita nafas di muka bumi ni, cubalah buat sebanyak yang boleh kebaikan, mati tu pasti. Takkan kita nak kembali pada Allah dalam keadaan bergelumang dengan dosa,” nasihat Aleya perlahan.

Datin Sharifah Rosnah merengus.

“Kau jangan nak jadi ustazahlah. Dari hari anak aku meninggal, kebencian aku pada kau tak pernah padam! Kau ingat aku nak tengok aje kau bahagia lepas kau rampas kebahagiaan anak aku!

Kau tahu tak, setiap hari aku berdoa. Kau nak tahu apa aku doa? Aku doa kau anak-beranak akan hidup merempat lepas ni! Aku doa, Ril akan campak kau dekat tepi jalan! Dan aku doa, sebelum aku mati aku nak tengok penderitaan kau!” gerutunya.

Terbeliak-beliak matanya bercakap. Tanpa menunggu, dia terus berlalu dari situ. Aleya memejam mata. Nafasnya ditarik dalam-dalam.

“Ya Allah! Mengapa manusia begitu sukar untuk menerima qada dan qadar-Mu? Mengapa manusia jadi begitu angkuh?” bisiknya perlahan.

“Cik Leya…” Aleya membuka mata. Bibik sudah berada di sebelahnya.

“Bibik keliru, orangnya sudah digelar Hajah, sudah pakai tudung, bilangnya solat ngak pernah tinggal. Tapi bibik ngak ngerti bagaimana bisa tuturnya begitu. Kayaknya, bagai orang ngak beriman saja,” luah bibik.

Aleya menghela nafas.

“Susah nak cakap bik. Tapi itulah peranan syaitan menyesatkan manusia. Kita doa ajelah yang baik untuk dia. Mudah-mudahan satu waktu dia dapat terima takdir yang tersurat buat diri dia. Allah ada, bik. Kita tak perlu takut. Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. Okeylah bik saya nak pergi depan.” Agak sayu suaranya.

. . .

Baca selanjutnya di SINI

Penulis: Siti Rosmizah
Penerbit: SITI ROSMIZAH PUBLICATION SDN BHD