[SNEAK PEEK] Aku Kan Ada

Aku Kan Ada oleh Akyelrahim

YAH tengok ladang milik bapa kepada Lid yang terhampar luas di depan mata. Luas dia, Yah tak tahulah nak cakap macam mana.
Di ladang ini ada pelbagai jenis tanaman. Sebahagian kawasan ditanam sayur dan lada. Ada ladang pokok buah seperti mangga dan jambu. Ada juga tanaman semusim seperti jagung dan tembikai. Hujung ladang sana terdapat kandang kambing dan kolam ikan.
Sebut saja nak apa, semua ada dalam ni.
Pekerja ladang sahaja ada tiga puluh orang. Kebanyakan mereka orang-orang kampung. Sebahagian lagi orang Indonesia dan Bangladesh.
“Hari ni kerja kita sarungkan plastik dengan kertas pada buah jambu batu.” Lid mengarah.
Yah tengok dekat tangan Lid ada satu kotak berwarna coklat besar yang sedang dia pangku.
“Kau pandai ke buat benda ni, Lid? Kau jangan memandai-mandai, kena marah kita kejap lagi dengan abah kau.”
Lid kerutkan kening bila dengar Yah cakap macam tu. Helo, ini Lid okey. Pewaris tunggal ladang Haji Hasan. Dari kecil lagi dia memang ikut Haji Hasan pergi ladang. Setakat balut jambu batu, senang sangat! Berani Yah pandang serong pada Lid macam ni sekali?
“Yah.”
“Apa?”
“Kau jangan pandang aku sebelah mata macam tu, Yah. Ini Lid, Yah. Kau sedang bercakap dengan Lid-”
Tak habis lagi ayat nak membangga diri Lid, Yah berlalu pergi dekat seorang pekerja ladang yang kebetulan sedang menghampiri mereka.
“Assalammualaikum, wak.” Yah sapa Wak Alan terlebih dahulu. Yah kenal Wak Alan sebab dia dah lama kerja dengan ayah Lid. Dah jadi macam orang kepercayaan Haji Hasan dah.
“Waalaikumusalam Yah. Eh, kerja sekali ke sama dengan Alid?”
Yah angguk sambil senyum. “Haah, wak.”
“Lah, ya ke? Semalam jumpa Bang Aji, cakap Alid sorang aje yang kerja.”
Yah tayang sengih. “Saya pun baru tahu hari ni saya kena kerja,” kata Yah sambil jeling Lid tajam.
“Hah, tak apalah kalau macam tu. Balut jambu batu ke hari ni?” tanya Wak Alan bila ternampak kotak yang Lid pegang.
“Haah. Wak boleh tolong ajar kita orang balut jambu batu tak?”
Kelopak mata Lid dah tertutup separuh. Apa masalah Yah ni tak percaya Lid pandai balut jambu batu?
“Eh? Alidkan pandai, buat apa nak wak ajar pula.”
Yah terus pandang Lid, tapi lelaki itu dah mendongak memandang langit. Di bibir dah tertampal senyuman sinis. Macam nak cakap, kan aku dah kata aku pandai kau tak nak percaya!
“Oh, Lid memang betul-betul pandai eh?”
“Ya, Lid pandai balut jambu. Hah, buat kerja elok-elok. Kalau ada apa-apa, cari wak dekat tempat mangga. Wak nak tengok orang meracun kejap.”
Habis bercakap, Wak Alan terus pergi. Tinggallah Yah dan Lid sendirian. Lid masih lagi tak mahu tengok muka Yah. Sengaja.
“Hah, yalah, yalah. Kau pandai. Jomlah mula kerja, matahari dah tegak ni.” Yah akhirnya mengalah. Sedar yang dia salah dan kalah.
Lid bekukan muka. Dengan tangan yang memeluk kotak, dia berjalan menghampiri Yah dan melintas depan gadis itu. “Huh!”
Yah pandang badan belakang Lid yang sudah jauh di depan, mulut dia dah terjuih ke depan.
“Ingat comellah tu? Jijik tahu.”

~~~
“NI, balut dekat buah bentuk lebih kurang besar ni.” Lid tunjuk ibu jari dia.
Yah angguk-anggukkan kepalanya.
“Lepas tu Yah, kalau dia ada lebih dari sebiji dekat tangkai dia tu kau buang. Tinggalkan dia sebiji aje dekat situ.” Lid ajar Yah lagi.
“Kenapa nak kena buang?” polos Yah bertanya, sebab dia betul-betul nak tahu. “Sayanglah kalau buang.”
“Kau nak laki kau kahwin dengan kau sorang ke kau nak dia kahwin ramai-ramai?” Lid tanya sambil tangan dia cekap bekerja menyarung plastik pada buah jambu batu yang masih melekat pada tangkai.
Yah pandang Lid semacam bila dia tanya soalan sensitif itu. “Mestilah aku sorang je, banyak-banyak buat apa.”
Lid sengih nakal. “Uyoo, cemburu juga ya Siti Sabariah ni.”
Yah julingkan matanya ke atas. “Kalau dia mampu tak apalah juga, ini kahwin banyak lepas tu anak bini kena campak sana sini buat apa?”
Suara Yah perlahan sahaja kedengaran di telinga Lid. Sebab dia mengomel. Lid dengar tapi tak berapa nak jelas. “Kau cakap apa, Yah?”
“Tak ada apalah. Ya, aku cemburu.” Yah malas nak buka cerita tentang hal keluarganya. Buat sakit hati je. Bengang dia tak habis lagi dengan bapak sebab buat Cah macam tu.
Lid macam dapat kesan Yah yang tiba-tiba nampak lain macam. Laju sahaja dia nak pergi pindah ke pokok lain.
Biar Yah tenang dulu. Lid tunduk nak ambil plastik banyak-banyak. Baru saja dia nak pergi, Yah tahan.
“Oi, nak pergi mana?”
“Pokok sebelah.”
“Apasal?”
Eh? Mata Lid dah menerawang ke langit cari jawapan logik, tapi tak jumpa. “Aaaa… aku nak pergi sanalah.”
“Kata nak buat sama-sama.” Yah macam nak mengamuk lagi.
Lid garu belakang tengkuk. Plastik banyak-banyak tadi dia letak semula ke dalam kotak. “Yalah, yalah. Buat sama-sama.”

~~~
“NGAH, tolong buat air sejuk, Ngah.” Haji Hasan duduk di atas kerusi di meja makan. Topi dia tanggalkan dari kepala lalu dia kipas-kipas muka supaya kurang sedikit haba di muka.
“Kejap abahnya.” Mak Lah membuka peti sejuk untuk keluarkan ais.
“Panas hari ni, terik bukan main.”
Mak Lah sambut perbualan suaminya. “Eloklah panas. Kering kain baju berlambak dekat ampaian tu. Kalau tidak, asyik hujan je. Hapak baju jadinya.”
“Elok tu memanglah elok, tapi pedih kulitnya. Tadi saya pergi tengok kejap je orang buat batas sayur. Ish, tak tahan. Rasa nak pitam.”
“Nah abahnya.” Mak Lah bawa satu jag air tebu sejuk dan dihidang di depan Haji Hasan.
“Dah tua-tua ni, tak payahlah turun lagi. Panas-panas tu, biarlah orang muda yang buat.” Mak Lah ambil tempat di kerusi sebelah suaminya di meja makan.
“Saya tak buat apa pun, tengok je.” Haji Hasan teguk air tebu yang Mak Lah hidang. Terus hilang dahaga bila air sejuk itu singgah di kerongkongnya.
“Macam mana kerja budak dua orang tu?” Mak Lah tiba-tiba teringatkan Lid dengan Yah yang dah nak masuk sebulan kerja dekat ladang.
Haji Hasan tergelak kecil. “Macam itulah. Nak macam mana lagi?”
“Yalah, tahulah macam tu. Maksud saya, okey ke dia orang kerja? Senonoh?”
Haji Hasan angguk selepas meneguk air. “Elok. Alid pun tak ada dah mengelat macam selalu lepas Yah ikut kerja. Kalau dia duduk, kejap lagi dengarlah satu ladang suara Yah membebel. Budak-budak ladang pun bila saya tanya, jawapan dia orang elok je budak berdua tu kerja.”
Mak Lah turut tersenyum. Lega, senang hati.
“Berapa gaji dia orang yang awak bayar?”
“Lid seribu tujuh. Yah saya bagi lebih sikit, seribu lapan.”
Mak Lah diam tak cakap apa-apa. Sikit pun tak rasa nak marah bila gaji Lid lagi sikit dari Yah. Tak perlu dipersoal, dia tahu dah tujuan Haji Hasan buat macam tu.
“Baguslah tu, tolong dia sikit.”
Haji Hasan diam mengeyakan kata Mak Lah.
Nak diberi duit saja-saja, Yah tak mahu. Biar dia kerja di ladang, boleh juga ditolong dalam diam.

~~~
YAH dah tersenyum-senyum sambil berjalan pulang menuju ke rumahnya. Selalunya Lid hantar sampai depan laman. Tapi hari ini hari gaji, Lid merajuk bila dapat tahu gaji Yah lagi tinggi dari dia.
Dia hantar Yah jauh sikit dari rumah. Yah kena jalan kaki dalam lebih kurang dua ratus meter baru sampai.
Tak sangka Haji Hasan bagi dia gaji sebanyak ini.
Yah fikir paling-paling enam atau tujuh ratus sebulan. Rupanya…
Patutlah orang kampung berlumba-lumba nak kerja dengan Haji Hasan. Kalaulah Yah tahu, dari kecil dia dah minta kerja dekat ladang.
Bukan susah pun kerjanya. Cuma penat sikitlah. Sebab semua kerja melibatkan daya fizikal, ladang pun bukan seekar dua. Kalau hari ini Yah balut jambu, belum tentu esok dah siap. Punyalah banyak pokok.
“Bolehlah. Separuh simpan, separuh lagi buat belanja.” Yah dah rancang apa yang patut dia buat dengan duit gajinya.
Sampai di halaman rumah, senyuman Yah yang tadinya begitu lebar lama-lama jadi pudar. Ada sebuah motor terparkir elok di halaman rumah. Yah kenal motor itu, motor bapak.
Duit yang dalam poket seluar kerja Yah genggam kuat. Dia tak terus naik, malah pergi ke bawah rumah lalu segumpal not RM50 itu dia selit di celah-celah kayu. Cuma sekeping not lima puluh sahaja Yah tinggalkan di dalam poket. Baru dia naik.
“Assalammualaikum.” Salam diberi.
Ruang tamu tak ada orang, lalu Yah bergerak ke dapur. Dia terlihat satu figura lelaki setengah abad sedang tunduk mengisi sesuatu ke dalam plastik merah.
Murad sedang mengisi bawang merah ke dalam plastik. Yah nampak pula di satu sudut terdapat satu bekas yang dah penuh dengan beras, kentang, gula, sabun basuh, sardin tin yang Yah baru beli semalam pun ada juga dan telur sepapan yang Yah dengan Cah tak sempat goreng pun turut terkumpul di situ.
“Bapak nak bawa pergi mana semua barang-barang tu?”
Yah tanya dengan suara bekunya, walaupun dia dah tahu ke mana barang itu akan dibawa.
Murad toleh sekilas sahaja pada Yah, sebelum dia sambung semula kerjanya.
“Aku nak bawa balik, minta sikit barang dapur kau.”
Ya Allah, sakitnya hati Yah.
“Tak, saya tak izinkan bapak ambil barang-barang saya,” kata Yah dengan tegas membuatkan Murad sekali lagi berhenti memunggah. Dia letak bekas bawang di lantai lalu bangun.
“Kau cakap apa?”
“Saya tak izinkan bapak ambil barang-barang saya. Bapak nak bawa balik pergi rumah sana, kan? Bapak belilah sendiri,” kata Yah sambil matanya tajam memanah wajah lelaki yang sering membuatkan dia rasa hendak berdendam.
“Oh, kau nak berkira dengan aku?”
“Ya, saya berkira,” tegas dia menjawab.
“Dasar anak kurang ajar, tak mengenang budi!” Murad dah memetir.
“Memanglah saya kurang ajar, bapak bukan pernah ajar pun. Budi pun tak ada, nak kenang buat apa?” Spontan itu yang meluncur di bibir Yah.
Dia bukanlah jenis orang yang mulut lepas. Tapi bila berhadapan dengan lelaki ini, Yah jadi orang lain. Sebab dia dah habis sabar. Dari kecil dia tahan.
Lelaki seperti Murad tak pantas bergelar bapa. Satu-satunya jasa Murad yang Yah boleh kenang cuma sumbangkan benihnya dan bertanggungjawab buatkan dia dan Cah lahir ke dunia.
Lain?
Murad tak ubah seperti lelaki asing. Yang susah payah ke tepi ke tengah besarkan dia dua beradik itu ibu mereka.
Tengoklah sekarang, orang yang sepatutnya sara mereka berdua tu Murad. Tapi boleh pula dia datang sini semata nak ambil semua barang dapur yang mereka beli dan nak bawa pergi rumah bini muda.
Mana Yah tak naik angin?
Dah tahu malas kerja, pergi kahwin lain. Dahlah mak baru Yah tu janda anak tiga. Campur lagi dengan adik baru Yah yang dua orang tu. Nak makan apa kalau Murad kerja duduk dekat kedai kopi?
“Biadap!” Murad tampar pipi Yah kuat buatkan dia terteleng sedikit.
Yah meradang. “Memang aku biadap, sebab kau pun tak pernah hormat aku macam anak kau!”
Murad tidak pedulikan Yah. Dia kutip semua barang-barang yang dia dah bungkus isi dalam satu raga besar.
“Letak balik semua barang tu!” Yah jerit bila Murad tetap bawa barang-barang itu ke hadapan.
“Ah, aku tak peduli!”
“Aku haramkan kau ambil barang rumah ni!” Yah cuba mengekor dari belakang dan menghalang. Sayang, siapalah dia nak dibandingkan dengan kudrat lelaki Murad.
Bapanya sudah turun tangga.
Yah berhenti di muka pintu dengan dada yang berombak. Sakitnya hati dia kala ini, hanya Allah yang tahu.
Ingatkan Murad terus pergi. Rupanya tak, dia naik semula.
“Aku dengar cerita kau kerja dekat ladang Haji Hasan. Mesti kau banyak duit, kan? Minta sini sikit.”
Yah tak pandang muka Murad. Tak sudi.
“Tak ada, aku tak ada duit.”
“Penipu!”
“Nak menipu buat apa, kau nak duit kau pergi cari sendirilah!”
“Aku kata minta sikit duit!” Murad dah terlebih dulu meraba poket seluar Yah buatkan dia meronta-ronta. Tapi tak sempat buat apa-apa, sekeping duit lima puluh sudah pun berada dalam genggaman Murad.
“Hah, ni duit. Tadi kata tak ada.”
“Tu duit aku!”
“Ni aku ambil, upah aku jaga adik kau masa kau tak ada.” Sejurus berkata-kata, terus Murad turun. Tak lama, dia hilang bersama dengan makanan dan duit Yah.
Terus Yah terduduk di muka pintu.
Nafas yang berombak cuba dia tenangkan. Keluhan berat terlepas.
Ayah itu cinta pertama anak perempuan? Persetankan semua itu. Kalau beginilah cinta, Yah rela tua dan tak bertemu cinta.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/342231/AKU-KAN-ADA