[SNEAK PEEK] AISEYMAN, DRIVER AJE!

9789670907031-medium

AISEYMAN, DRIVER AJE! Oleh Arashahrrina

ALAMAK! Lapan sepuluh minit dah ni. Hesy! Hari ni pulalah kau nak bangun lambat, Pelangi… Selalunya elok aje kau bangun pagi-pagi!” bebel Pelangi memarahi dirinya sendiri. Dengan langkah yang tergesa-gesa, dia keluar dari rumah sewanya.

“Habis aku hari ni. First day kerja dah lambat!” sambungnya lagi. Kelam-kabut dia menghidupkan enjin skuter pemberian Pak Malik. Pak Malik… Bicara saja tentang lelaki itu pasti membuatkan Pelangi tersenyum sendiri. Tukang kebun panti asuhan yang sangat rapat dengannya. Walaupun tiada hubungan darah, Pak Malik sudah dianggap seperti ayahnya sendiri. Dahulu sebelum dia mengambil keputusan untuk merantau di Kuala Lumpur, Pak Maliklah tempat dia menumpang kasih. Apa saja yang terbuku dalam hati pasti akan diluahkan kepadanya. Skuter ini pun dia yang belikan. Walaupun hanya skuter biasa, Pelangi tetap berbesar hati untuk menerimanya.

“Eh!” Pelangi tepuk dahinya sendiri. “Dah kenapa nak ada flashback pula ni? Teruklah kau ni, Pelangi… Dalam lambat-lambat sempat juga nak buat flashback segala!” Pelangi pandang sekilas jam di tangannya. Ada dua puluh minit lagi untuk dia sampai ke banglo majikannya. Sempatkah? Sempatkah? Dia berkira-kira sendiri.

DARI JAUH Pelangi sudah nampak kelibat Irham yang sedang berdiri tegak sambil berpeluk tubuh di hadapan pintu banglo. Muka tak usah cakaplah, ketat! Pelangi gementar. Jam di tangan dikerlingnya sekilas. Lambat sepuluh minit!

Pelangi memberhentikan skuternya betul-betul bertentangan dengan lelaki itu. Dengan lagak bersahaja, dia mematikan enjin dan berjalan tenang ke arah Irham.

“Morning, Encik Irham,” ucapnya tatkala briefcase Irham sudah berada di tangan. Tuan besarnya itu hanya mendiamkan diri. Mukanya masam mencuka!

“Eh, Encik Irham tak baik bermasam muka pagi-pagi ni. Rezeki tak masuk. Cuba senyum…” Akal Pelangi cuba untuk menghangatkan suasana yang dingin.

Irham masih mendiamkan diri.

Pelangi termalu sendiri apabila sapaannya tidak diendahkan. Malas nak dipanjangkan cerita, dia dengan cepat membuka pintu belakang kereta yang akan dipandunya. BMW Series. Fuh! Berdesup aku bawa kejap lagi. Alas tempat duduk ditepuk-tepuk agar tuan besarnya dapat duduk dengan selesa. Ah! Time-time macam ni jugalah kau nak menepuk, Pelangi…

Selang beberapa saat, dia dapat merasakan tubuh Irham terlalu dekat menghampirinya. Pelangi resah. Nak good morning kiss ke dia ni? desis hati nakalnya.

“Pelangi… Pelangi…” Terasa meremang satu badan Pelangi apabila panggilan itu menyentuh sistem pendengarannya. Kenapa lain macam sangat ni? Pelangi mula resah. Tubuhnya dan tubuh Irham terlalu rapat ketika ini.

“Errr… Ya, saya. Ada apa, Encik Irham?” soalnya terketar-ketar. Matanya dipejam kejap, tak berani langsung untuk menatap wajah Irham ketika itu.

“Erm, ada apa, ya?”

“Errr, ya…”

“Kau tahu tak yang kau dah lambat?” Soalan itu masih diajukan dalam intonasi suara yang masih sama. Lembut dan mengasyikkan.

“Errr… Tahu, Encik Irham. Maafkan saya. Saya…”

“Kau tahu tak yang kau dah lambat sepulut minit?! Kau ingat kau tu bos nak suruh aku tunggu lama-lama macam ni?!”

Kus semangat! Macam nak pecah gegendang telinga Pelangi apabila mendengar pekikan daripada majikannya itu. Telinganya digosok berulang kali. Panas berdesing! Dia ni pun tak beragaklah. Aku bukannya jauh sampai dia nak menjerit-jerit macam ni. Suara macam petir! Bukannya aku lambat sepuluh jam. Sepuluh minit aje pun! rungutnya dalam hati.

“Maaf, encik. Jalan jammed tadi…”

“Jalan jammed ke, jalan terbakar ke, jalan itu ke, ini ke, aku tak peduli! Aku dah banyak kali remind kau, kan? Lapan se… te… ngah mesti dah sampai sini. Bukannya lapan setengah baru terhegeh-hegeh nak masuk pintu pagar rumah aku tu! Aku memang pantang kalau nak kena menunggu ni!”

“Tapi encik…”

“Ah! Aku tak kira! Ingat, ya. Ini last chance aku bagi kau! Cepat masuk! Kau ingat semua orang nak tunggu kau macam ni ke?” bidas Irham kasar. Tak bagi peluang langsung untuk gadis itu membela diri.

Cepat-cepat Pelangi masuk ke dalam kereta. Amboi, garang betul! Mentang-mentanglah kau ni bos! Enjin kereta dihidupkan. Lama dia terdiam.

“Encik Irham, seat-belt,” tegur Pelangi lembut. Dia memang berani dan tak makan saman.

“Kau siapa nak suruh aku buat macam-macam?!”

Wah! Lagak bos zaman terrorist tau dia ni! Pelangi jeling sekilas pada cermin pandang belakang. Dia tarik nafas perlahan sebelum mula mengatur kata.

“Encik Irham, jangan macam tu. Encik sekarang bawah tanggungjawab saya. Saya tak mahu jadi apa-apa dekat encik nanti.”

Irham pura-pura tidak mendengar. Tapi secara perlahan-lahan, tangannya menarik seat-belt dan akhirnya terpasang di badannya.

Pelangi senyum puas. Untuk hari ini dia belajar, tuan besarnya ini ialah seorang yang sangat ego!

Kereta mula menyusur perlahan. Kemudian Pelangi menghidupkan radio untuk mengisi kesunyian.

“Jangan pandai-pandai kau nak buka radio!”

Erk… Ya Allah… Pelangi urut dada. Sekali lagi dia tergamam. Kalau lama-lama aku kerja kat sini, memang sahih mati dalam keadaan terkejut! getusnya.

Perjalanan mereka diteruskan lagi. Pelangi diam tidak terkata apa. Dikerlingnya Irham yang sibuk membaca surat khabar. Tiada sebarang bunyi yang keluar selepas itu sehinggalah akhirnya mereka tiba ke destinasi yang hendak dituju.

“DATIN DISCHARGE wad hari ni. Pukul lima petang kau mesti dah ada di sini. Jangan nak terhegeh-hegeh macam tadi. Ingat!” Irham memberi amaran.

“Errr… Maksudnya, saya kena tunggu sini sampai pukul lima petang ke?” soal Pelangi teragak-agak.

Tuan besarnya itu hanya membulatkan mata. “Aduhhh! Sesak nafas aku dapat driver macam kau ni, Pelangi. Susah sangat ke nak faham arahan aku? Dah berapa lama jadi driver?!” marah Irham makin meluap-luap.

“Errr… Dua hari,” jawab Pelangi, jujur.

“Menjawab! Menjawab! Suka hati kaulah nak buat apa atau pergi mana lepas ni. Yang aku tahu, bila aku perlukan kau, kau dah kena siap-siap standby untuk aku. Kalau aku kata kau kena ambil aku pukul berapa pun, kau kena datang tepat-tepat! Maintenance kereta pun kau kena jaga. Kalau ada apa-apa, pergi hantar bengkel. Kalau tak ada duit ke apa, pergi minta daripada Safiya. Itu tugas kau, senang, kan?” Irham pandang tepat anak mata Pelangi yang masih lagi terpinga-pinga. Lama sebelum akhirnya dia melarikan pandangan matanya.

“Erm… Baik, encik,” jawabnya perlahan.

“Bagus! Kau muda lagi, kan?”

“Errr, Haah…”

“Then, kenapa kau sibuk nak kerja?” soal Irham sengaja nak tahu.

“Sebab… sa… ya… saya perlukan duit.”

“Perlukan duit untuk apa?”

“Untuk hidup.”

“Hesy, benci betul aku dengar jawapan kau tu! Perempuan dan duit memang tak boleh dipisahkan! Jawapan kau tu klise, tahu tak? Perempuan macam kau ni mesti sanggup buat apa saja untuk dapatkan duit, kan?!” Irham tiba-tiba naik angin. Dia memang benci kalau ada perempuan yang cakap dia perlukan duit untuk hidup. Nampak sangat murahnya nilai seorang perempuan itu di matanya. Bagi Irham, duit bukan segala-galanya. Untuk hidup manusia tu tak semestinya perlukan duit!

Pelangi buat muka pelik. Salah ke apa yang aku jawab tadi? Apa yang klise? Dia masih tak dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh tuan besarnya itu. Memanglah dia kerja ni untuk dapatkan duit. Tuan besarnya tak apalah. Dah kaya. Duit tak pernah habis! Janganlah nak disamakan dengan dia.

“Eh, tapi saya tak maksudkan…”

“Ah, sudahlah! End of the story… Conclusionnya, aku dah tahu kau ni perempuan jenis macam mana. Ingatkan muka nerd macam ni adalah sikit lainnya daripada perempuan-perempuan yang aku kenal. Tapi kau pun sama! Betullah orang cakap, zaman sekarang ni memang tak boleh nak pandang pada luaran saja…” bebel Irham entah marah kepada siapa.

Pelangi hanya diam tak terkata apa. Mungkin lelaki di hadapannya ini ingin meluahkan perasaan tak puas hatinya. So, dia hanya layankan sajalah.

“Kau nampak dashboard tu?” Irham tuding jari ke arah dashboard keretanya.

“Erm, nampak,” jawabnya.

“Buka,” arah Irham tegas.

Perlahan-lahan Pelangi membuka penutup dashboard itu. Ada kotak kecil berwarna hitam. Dia pandang Irham yang sedang memerhatikan gerak-gerinya.

“Ambil kotak hitam tu,” arah Irham lagi.

Kali ini Pelangi teragak-agak untuk menurut. Bimbang kalau-kalau tuan besarnya itu sengaja mahu mengenakannya. Manalah tahu dalam tu ada bom tangan ke, periuk api ke atau apa sajalah benda-benda yang boleh membahayakan nyawanya.

“Apa tunggu lagi? Ambillah!” Jerkahan Irham mengejutkan Pelangi. Sepantas kilat kotak hitam itu berada di tangannya.

“Tunggu apa lagi? Bukalah.”

“Errr…” Pelangi resah. Kotak itu dibelek-beleknya berulang kali. Perlahan-lahan dia membuka penutupnya. Eh, Handphone? Hatinya berdetik apabila ternampak logo iPhone di atas kotak itu. Dialihkan pandangannya ke arah Irham.

“Handphone?” soalnya penuh tanda tanya.

“Boleh pun… Yang kau takut sangat tu kenapa? Takut ada bom dalam tu?” soal Irham keras sambil menunggu reaksi daripada Pelangi. Gadis itu hanya mendiamkan diri. Apa motif dia tunjuk aku kotak handphone ni? Pelangi semakin musykil.

Irham merampas kotak itu dengan kasar. Pelangi terkedu. Hesy, dia ni… Dahlah ego! Kasar pula tu! gumam hatinya geram dengan tingkah Irham yang menyakitkan hati. Dia lihat Irham mengeluarkan handphone itu dari kotaknya…

“Handphone ni untuk kemudahan kau. Nah, ambil!” Tanpa signal terus saja dicampaknya handphone itu ke arah Pelangi.

“Errr… Maksudnya?” soal Pelangi.

“Maksudnya, kau pakailah handphone ni dulu. Senang aku nak call kau nanti. Tapi ingat, kau kena selalu on, jangan sesekali off. Ingat!”

“Ta… Tapi saya dah ada handphone sendiri, Encik Irham.”

“Handphone apa kau ada?” soal Irham. Pelangi dengan cepat mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg sandang yang dibawanya lantas diajukan kepada tuan besarnya itu.

Irham mengambil telefon bimbit itu dari tangan Pelangi. “Handphone ni saja yang kau mampu?” Telefon bimbit entah dari zaman bila dibeleknya. Lelaki itu tersenyum sinis. Sekilas dia menoleh ke arah Pelangi kemudian dengan sepantas kilat dia membuka cermin lantas mencampak telefon bimbit itu keluar.

“Eh, Encik Irham! Handphone saya tuuu…” Belum sempat Pelangi nak halang, telefon bimbit itu sudah pun berderai di atas tar jalan. “Encik…” Pelangi tak mampu untuk berkata apa. Matanya berkaca-kaca.

“Dah! Kau tak payah nak buat muka macam tu. Handphone yang aku bagi tu lagi mahal daripada handphone yang kau ada. Kau sekarang driver kepada Irham Alfie bin Dato Affandy, CEO Khazanah Co…. Kau jangan nak malukan aku dengan pakai handphone murah macam tu. Nanti jumpa Safiya minta uniform dan sain offer letter. Faham?”

Pelangi hanya mendiamkan diri. Hatinya sakit. Matanya berair menahan marah.

“Kau faham tak?!” soal Irham lagi. Pelangi angguk perlahan. Air mata yang hampir jatuh dikesat dengan jemarinya.

“Faham…” jawabnya antara dengar tak dengar. Tak apalah, Pelangi… Sabar, pujuk hatinya sendiri.

“Hurmmm!” Kedengaran suara Irham mendengus. Rasa puas hatinya ketika itu. Penat menunggu tadi berbaloi apabila dia lihat telefon bimbit itu pecah berderai macam tu. Ditambah pula apabila melihat muka Pelangi yang kemerahan begitu. Lagi puas hatinya!

“Eh, kau ni boleh pantas bergerak tak? Aku ada meeting ni! Cepat buka pintu!”

“Errr, saya ke yang kena buka pintu tu, Encik Irham?” soal Pelangi. Raut wajahnya masih mendung namun sebaik mungkin dia cuba kawal nada suaranya.

“Oh my God! Macam manalah aku boleh hired kau ni, Pelangiii?!”

“Erk! Okey. Okey.” Tergesa-gesa Pelangi keluar dari kereta kemudian terus berlari membuka pintu untuk tuan besarnya itu. Bingit telinganya apabila terdengar jerit pekik Irham.

Lelaki ni memang menjengkelkan betullah! Dahlah sombong, berlagak! Bongkak! Lepas tu suka cakap jerit-jerit macam orang gila. Memang dah lama hidup agaknya dia ni! marahnya dalam hati.

Baru dua tiga tapak Irham melangkah, dia berpaling menghadap Pelangi yang masih lagi tercegat di belakangnya.

“Ingat, pukul lima!” ulangnya lagi dengan memek muka yang dah macam singa kelaparan!

“Ya…” Pelangi sekadar menjawab perlahan. Langkah kaki tuan besarnya itu hanya disoroti melalui ekor mata. Selepas hilang dari pandangan, dengan langkah berat dia berjalan lemah ke arah telefon bimbitnya yang sudah pun pecah. Memanglah murah, tapi telefon bimbitnya ni telefon pertama yang dibelinya. Penat lelah mengumpul duit untuk membeli pun masih belum hilang lagi.

Dia tunduk mengenang nasib yang malang. Mahu saja air matanya mengalir ketika itu. Tapi dia tahan, tak perlu membazir untuk benda buang masa macam tu. Sekarang kan dia kerja. Dan apabila dah bekerja dia kena kuat! Ya, kau kena kuat, Pelangi! Sedaya upaya dia cuba untuk motivasikan dirinya yang telah pun merudum dek insiden tadi. Lama dia berdiri di situ cuba untuk mengumpul kembali kekuatan yang telah hilang.

“ASSALAMUALAIKUM KAK Safiya…” ucap Pelangi lembut.

“Waalaikumussalam… Eh, Pelangi! Come. Tadi Encik Irham ada beritahu akak pasal Pelangi. Erm, tunggu sekejap, ya. Kak Fiya nak ambil surat awak. Duduklah dulu.” Ramah Safiya menyambut kedatangan Pelangi. Tidak seperti Encik Irham yang sombong! Pelangi mengangguk kemudian mengambil tempat di atas sofa berhampiran. Sempat juga matanya melilau memerhatikan kawasan sekeliling. Cantik tempat ni. Simple but elegant.

“Pelangi, ni offer letter dan uniform. Offer letter tu Pelangi baca dulu kemudian baru tandatangan,” arah Safiya. Pelangi mengambil surat itu dengan tenang. Perlahan-lahan dia membaca isi kandungannya.

“Errr, maaflah kalau akak tanya. Pelangi faham bahasa English, kan?” tegur Safiya tiba-tiba. Mungkin resah melihat Pelangi yang terkebil-kebil meneliti surat itu.

Pelangi hanya tersenyum memandang Safiya, wanita dalam lingkungan usia tiga puluh tahun. Manis bertudung litup. Sangat murah dengan senyuman.

“Insya-Allah saya faham, Kak Fiya…” balasnya. Tidak sampai hati pula membalas dengan hanya senyuman.

“Bagus… Pelangi ni umur berapa, ya? Tinggal di mana?”

“Pelangi baru dua puluh tahun, kak. Tinggal di sekitar Cheras. Menyewa.”

“Ha… Dua puluh tahun?” Safiya seakan-akan terkejut apabila mengetahui pemandu peribadi majikannya itu sebenarnya masih muda dan masih terlalu awal untuk bekerja. Apatah lagi bekerja sebagai seorang pemandu.

“Haah, kak. Kenapa?” soal Pelangi ingin tahu.

“Errr, tak adalah. Ibu bapa Pelangi okey ke kalau Pelangi kerja macam ni?”

“Oh, ibu bapa Pelangi dah…”

“Safiya! Mana fail yang I suruh you simpankan hari tu?!” Jerkahan Irham mengejutkan mereka berdua. Masing-masing terdiam mengurut dada.

“Ada, ada Encik Irham.” Pantas Safiya membuka almari dan mencari fail yang diperlukan.

“Cepat!” arah Irham dengan anak mata yang tajam menjeling ke arah Pelangi yang sedang meneliti surat tawaran kerjanya.

“Tak payah nak baca sangat. Jadi driver aje pun. Bukannya kerja ofis.” Kata-kata pedas daripada Irham menusuk terus ke hati Pelangi.

Isy! Ada saja dia ni nak kenakan aku! Pelangi diamkan diri pura-pura tidak mendengar apa yang baru saja dikatakan oleh Irham sebentar tadi. Irham juga tidak meneruskan sindirannya. Ada sesuatu yang lebih mustahak berbanding pemandu barunya itu.

“Encik Irham, ni fail yang encik perlukan.” Irham hanya memandang sekilas kemudian terus mengambil fail itu dari tangan Safiya.

“Thanks.”

“Eh, Encik Irham. Jangan lupa petang ni pukul lima Datin Yuhanis discharge…” pesan Safiya.

“Ya, I know!” balas Irham tanpa sedikit pun memalingkan mukanya ke arah Safiya.

“Dan lagi, malam ni encik ada dinner dengan Encik Amer dan Puan Bella,” sambung Safiya lagi.

“Oh, shit!” Irham mula teringatkan sesuatu. Dia benar-benar lupa tentang janji temunya itu. “What time, Fiya?” soalnya.

“Pukul lapan malam, Encik Irham.”

“Okey. Please cancel all appointments this evening. I’ll dismiss early. Please compile everything and pass to me as soon as possible,” arahnya.

Safiya hanya mengangguk tanda faham. Kalau A kata dia, A lah dia kena buat. Jangan pandai-pandai nak buat B. Buruk padahnya!

“And kau, Pelangi. Get ready by three!” sambungnya sambil berlalu. Pelangi dan Safiya hanya mendiamkan diri sehingga Irham menghilangkan diri ke dalam biliknya.

“Hurmmm, Encik Irham memang macam tu, Pelangi. Adalah yang mengganggu fikiran dia. Sebab tu menyinga aje,” terang Safiya. “Erm, dah siap baca offer letter tu?”

“Dah, dah. Ini suratnya.” Pelangi menghulurkan kembali surat tawaran kerja yang baru ditandatanganinya. “Dia memang garang ya, kak?” soalnya.

“Garang bila anginnya tak baik. Kalau datang angin tak baik dia tu, awak pun dia boleh baling keluar dari pejabat ni,” jawab Safiya ingin bergurau.

“Hah!” Pelangi telan air liur. Dia teringat kembali insiden Irham membaling telefon bimbitnya ke luar tingkap pagi tadi. Dan masih terbayang-bayang lagi rupa bentuk telefon bimbitnya selepas dibaling.

Oh, tidakkk!!! Hatinya menjerit.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79958/Aiseyman-Driver-Aje