BIJIRIN oat di dalam mangkuknya dikuis menggunakan sudu. Sesekali Airina bermain mata dengan Salbiah, mengharapkan bantuan Salbiah untuk memecahkan keheningan ini. Kebiasaannya mulut mereka sibuk berceloteh itu dan ini sewaktu menikmati sarapan pagi tetapi hari ini, mulut Halim bagaikan terkunci pula. Airina pandang Hazizul yang duduk bersebelahannya dan bertentangan dengan Halim.
Mesti ayah marah lagi… Hati Airina berdesis.
“Apa pelan Rin lepas ni? Jadi pergi ke Jepun untuk honeymoon? Ataupun dah ada pelan lain?” Akhirnya Salbiah membuka topik perbualan. Harapnya perbualan ini akan berterusan sekaligus melembutkan sedikit hati Halim.
Airina pandang Hazizul pula. Rancangan berbulan madu ke Jepun itu adalah rancangan dia dan Harris.
“Jadi ke?” tanyanya kepada Hazizul memandangkan lelaki itulah yang menguruskan segala-galanya.
“Rasanya tak kut… Saya ingat nak bawa Rin pergi Johor lepas ni…”
“Johor?” tanya Salbiah hairan.
“Kenapa? Tak ada duit nak bawa Rin pergi Jepun tu?” Halim bertanya kasar.
“Abang…” Salbiah menegur suaminya itu. Ekspresi Airina sudah berubah manakala Hazizul masih lagi tenang seperti biasa.
“Ayah ni, ada pula tanya dia macam tu. Sebelum ni pun Rin bertunang dengan Harris bukannya sebab duit dia,” tukas Airina kurang senang dengan soalan Halim. Bimbang juga Airina kalau Hazizul menganggap dia mata duitan dan pisau cukur.
“Bukan… Saya ada kerja…” jawab Hazizul pendek tetapi masih berlembut.
“Kamu ada kerja apa kat Johor tu? Bukannya selama ni kamu berjimba aje ke?” tanya Halim. Cerita-cerita besannya tentang perangai buruk Hazizul seakan-akan melekat di dalam kepalanya. Entah apa lebihnya Hazizul berbanding Harris sehinggakan Airina memilih dia, Halim tidak tahu.
Hazizul mengulum senyum tipisnya, tidak langsung kata-kata itu berbekas dalam hatinya. Sedangkan ahli keluarganya sendiri pun melemparkan kata-kata nista itu kepadanya, inikan pula Halim yang tidak pernah mengenalinya secara personal.
Serba salah dengan ketelanjuran suaminya, Salbiah meminta maaf bagi pihak Halim.
“Sorrylah, Zul. Ibu pun tak tahu kenapa ayah kamu ni emotional pagi-pagi. Bila Zul nak gerak ke Johor? Hari ni juga ke? Bila balik KL semula?” tanya Salbiah. Dia memanggil menantunya dengan panggilan mesra ‘Zul’ seraya menggelar dirinya ‘ibu’ dan Halim ‘ayah’. Salbiah mahu Hazizul rasa diterima walaupun hakikatnya Halim masih lagi melancarkan perang dingin.
Hazizul terpempan sendiri mendengar gelaran yang digunakan Salbiah. Tak pernah lagi ada insan yang memanggilnya semesra itu.
“Saya ingat habis makan ni nak terus balik Johor. Insya-Allah lagi seminggu nanti kita orang balik KL semula. Tapi kalau ibu rindu Rin, bagi tahulah. Saya boleh tolong hantarkan dia ke rumah…” jawab Hazizul yang masih menggunakan kata nama diri ‘saya’.
Tangan Salbiah sudah tergawang-gawang sambil kepalanya tergeleng-geleng.
“Eh, tak apa. Sekarang ni dia dah jadi isteri Zul. Tempat seorang isteri kat sisi suami dia. Jangan risaukan ibu dan ayah. Kan boleh call kalau rindu,” balas Salbiah.
Halim yang hatinya masih berbuku pula memberi jawapan yang kontra dengan Salbiah.
“Baru kahwin dah nak pisahkan kami anakberanak. Kamu nak buat apa kat Rin sebenarnya?”
Kali ini kesabaran Airina semakin menipis. Katakata itu selayaknya diberi kepada Harris tetapi kenapa Hazizul pula yang menerimanya?
“Ayah, Rin mintak maaf. Tapi kalau ayah terus provok suami Rin macam ni…”
“Tengoklah tu. Ajar bini kamu jadi biadab pula?”
Melopong Airina apabila kata-katanya ditafsir sebegitu oleh Halim. Terasa jemarinya digenggam, Airina pantas menghalakan matanya ke Hazizul. Suaminya itu sudah menggeleng seraya mulutnya membisikkan ‘jangan’.
Airina menggigit bibirnya geram. Sungguh, dia masih tidak memahami sebab di sebalik tindak-tanduk Hazizul. Adakah lelaki itu memang jenis yang tidak mudah terasa? Bagaimana dia masih boleh mendiamkan diri walaupun selepas menerima tohmahan daripada orang lain? Airina perasan sejak malam mereka mengumumkan hubungan mereka pun, Hazizul menerima makian Norli dan Zainal bulat-bulat. Dan sekarang Hazizul tetap juga berdiam diri apabila Halim menyindirinya.
Kau memang macam ni ataupun kau tengah berlakon depan kita orang, Hazizul? Terdetik soalan itu dalam fikiran Airina.
“Sudahlah abang ni. Kenapa nak cari gaduh depan rezeki ni?” marah Salbiah pula.
“Zul dengan Rin makanlah cepat. Lepas ni nak drive ke Johor lagi, mesti penat. Dah habis makan ni, terus ambil beg kat bilik dan pergi Johor. Ibu ayah nak stay lagi semalam kat sini…”
Hazizul dan Airina sama-sama mengangguk. Mereka berdua tahu Salbiah sedang menyelamatkan dirinya daripada terus-terusan ‘diserang’ Halim.
“AIRINA. Bangun, kita dah sampai…”
“Hmmm?”
“Bangunlah, kita dah sampai ni,” kata Hazizul lagi. Airina menggeliat kecil manakala Hazizul sudah pun turun dari kereta dan menuju ke pintu rumah. Airina pandang kanan dan kirinya. Lambat-lambat dia keluar dari kereta.
“Rumah siapa ni?” tanyanya.
“Rumah akulah,” jawab Hazizul pendek. Selepas pintu rumah dibuka, Hazizul berpatah balik ke kereta untuk mengambil beg baju dia dan Airina. Kemudian beg itu dibawa masuk ke dalam rumah.
“Masuklah,” panggilnya.
Airina akur walaupun dia masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Hazizul ada rumah di Johor? Tapi kenapa? Semua ahli keluarga Hazizul tinggal di banglo besar mereka, termasuklah Haikal dan isterinya.
“Kenapa kau ada rumah kat Johor pula?” tanyanya polos. Airina ternganga melihat rekaan dalaman rumah semi-D dua tingkat yang bertemakan kontemporari itu.
“Cantiknya,” pujinya.
Hazizul yang berdiri di depan pintu sudah mengulum senyumnya.
“Seriuslah ni rumah kau?”
“Yalah. Takkanlah aku rompak rumah orang lain pula…” jawab Hazizul.
Airina masih lagi terpegun dengan kecantikan rumah itu.
“Kat atas ada swimming pool tau…”
“Serius?”
“Taklah aku tipu aje,” balas Hazizul yang sudah ketawa besar.
Airina pamer muka masamnya. Dalam tempoh masa yang singkat itu, dia sudah mula membayangkan dirinya berenang di dalam kolam renang tetapi Hazizul memusnahkan angan-angannya itu sekelip mata.
“Tapi ada bathtub. Bolehlah kau berendam dalam bilik mandi lama-lama,” ujar Hazizul.
Airina cerlungkan matanya, tidak tahu mahu mempercayai lelaki itu ataupun tidak.
“Kali ni aku seriuslah…”
Kaki diarahkan menuju ke sofa lalu Airina menghenyakkan tubuhnya di atas sofa itu.
“Sofa kau pun best juga…” komennya.
Hazizul geli hati mendengarkan komen Airina itu. Dia turut mendekati sofa tersebut lalu melutut di tepinya. Wajahnya didekatkan dengan wajah Airina yang sedang memejam matanya.
“Ini baru sofa. Kau belum tengok katil lagi. Mesti kau tak nak balik KL dah lepas ni…”
Nafas Hazizul yang menampar wajah Airina membuatkan Airina celik matanya sebelah. Kedua-dua mata Airina terbuka luas apabila wajahnya begitu dekat dengan Hazizul. Hidung mereka nyaris bersentuhan. Airina kelipkan matanya berkali-kali.
“Jomlah, aku tunjuk bilik,” kata Hazizul yang sudah pun berdiri.
Airina duduk tegak di atas sofa. Aku yang perasan ataupun mamat ni suka skinship? Tapi agaklah, dia kan playboy. Kalau aku tak tahu yang dia ni playboy, mesti hati aku dah cair… desis hati Airina. Sesekali kepalanya mengangguk kemudian dia menggeleng pula.
“Airina! Cepatlah naik!” laung Hazizul dari tingkat atas.
“Sabarlah!” sahut Airina. Di setiap langkahnya, Airina memuji setiap inci rumah tersebut. Sampai sahaja di tingkat atas, mata Airina tertumpu pada dua buah bilik. Kakinya berjalan ke arah bilik yang mana pintunya terbuka.
“Besarnya bilik kau,” katanya lagi. Dilihatnya Hazizul sudah duduk bersila di atas katil. Airina mula menjalankan misinya untuk ‘meneroka’ bilik tersebut. Jam dinding berbentuk matahari berwarna hitam berjaya menaikkan seri bilik itu yang bercat putih. Mata Airina jatuh pada karpet berwarna kelabu pula.
Kemudian Airina berlalu ke bilik mandi untuk melihat sendiri dengan mata kepalanya tab mandi yang dimaksudkan Hazizul. Untuk kesekian kalinya Airina merasa kagum. Tab mandi itu bukanlah tipikal tab mandi empat segi.
“Clawfoot tub ni bukannya mahal ke?” tanya Airina seakan-akan tidak mempercayai matanya.
“Tak adalah mahal sangat kut. Pada aku masih affordable lagi,” jawab Hazizul tanpa sebarang niat untuk bermegah.
Airina melompat ke atas katil bersaiz king itu pula. Empuk gila katil ni… komennya dalam hati.
“Bilik lagi satu tu bilik apa?”
“Working room cum reading room aku. Sepatutnya ada tiga bilik kat atas ni tapi sebab aku tinggal sorang, jadi aku besarkan bilik tu. Which indirectly means kita kena share biliklah. Kau okey tak? Kalau kau tak okey, aku boleh tidur kat bawah sementara cari alternatif lain…” Hazizul memberi penjelasan ringkas tentang reka bentuk rumahnya sebelum dia bertanya semula kepada Airina.
Airina angkat kening kanannya.
“Apa alternatif lain kau?”
“Apa-apalah, asalkan kau selesa. Paling teruk pun, aku boleh tidur kat hotel…” jawab Hazizul lagi.
Airina pantas menggeleng.
“Sayanglah habiskan duit kat hotel. Tak apalah, kita tidurlah sekali dalam bilik ni. Katil ni pun besar, cukup sangat untuk kita berdua. Kalau ada someone yang patut tidur atas sofa, it should be me,” ujar Airina.
“Kau betul-betul tak kesah ke?” tanya Hazizul meminta kepastian. Kenapa Airina jauh berbeza dengan watak-watak heroin yang dipaparkan dalam drama Melayu? Kebiasaannya heroin akan tersipu-sipu malu dan membiarkan suaminya tidur di atas sofa atau lantai tetapi Airina pula bersikap selamba mengajak Hazizul tidur sekatil dengannya.
“Laaa, nak kesahkan apa? Inikan rumah kau. Janganlah risaukan aku,” balas Airina.
“Kalau kau tak kesah, aku pun okey aje,” jawab Hazizul. Senyumannya lebar sehingga ke telinga memikirkan malam ini dia akan kembali ‘bersatu’ dengan katil empuknya.
“Tapi kenapa kau ada rumah kat Johor?” Barulah kini Airina berpeluang untuk melontarkan soalan itu kepada Hazizul.
“Aku ada company kat sini. Sebab itulah aku jarang-jarang ada kat KL…”
“Company apa? Sama dengan company abah kau ke?”
Hazizul menggeleng. Ternyata gadis di depannya itu langsung tidak mengetahui apa-apa tentangnya.
“Company aku sendirilah. Printing company. Pelita Printing. Kau ingat lagi tak Benjamin tu? Dialah business partner aku,” jelas Hazizul lagi.
Mulut Airina sudah membentuk huruf O. Patutlah susah nak jumpa mamat ni, dia sibuk kerja kat Johor rupa-rupanya… Akal Airina membuat kesimpulannya sendiri. Apabila terfikirkan sesuatu, Airina membuka mulutnya lagi.
“Tapi kau bukannya sibuk berjimba ke? Kalau betul kau bekerja, kenapa famili kau cakap kau asyik berjimba dan habiskan duit dia orang?”
Hazizul sekadar menjongketkan bahunya tanda tidak tahu. Dia sendiri pun malas mahu membuka mulut di depan gadis itu. Pandai-pandailah Airina nilaikan sendiri.
Airina mencemik apabila soalannya dibiarkan tidak berjawab. Muncul pula satu soalan baru dalam benaknya maka laju sahaja Airina utarakan secara verbal.
“Tapi kenapa seratus hari? Aku fahamlah kalau tiga bulan atau enam bulan macam yang Harris pelan tu tapi kenapa kau spesifik sangat pilih seratus hari? Ada apa-apa ke dengan seratus hari tu?”
Soalan itu berjaya membuatkan Hazizul kehilangan kata-kata. Sejujurnya dia sendiri pun tidak tahu mengapa angka itu muncul dalam fikirannya. Hazizul pandang wajah Airina sedalam-dalamnya, cuba mencari jawapan di wajah itu.
“Mungkin sebab aku harap aku dapat kenal cinta dengan kau dalam masa seratus hari tu…”
Terkebil-kebil Airina mendengarkan itu.
“Kenal cinta? Dengan aku? Dalam masa seratus hari?”
Anggukan Hazizul membuatkan Airina terus kehilangan kata-kata.
Dan bermulalah perjalanan Airina dan Hazizul mengenal cinta dalam masa seratus hari…
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203428/100-hari-mengenai-cinta