[SNEAK PEEK] COKLAT CINTA

COKLAT CINTA Oleh Nurharyati Ishak

 

PROLOG

SALMA menarik nafas sesak. Peristiwa dua puluh lima tahun yang lalu bermain lagi dalam benaknya. Lelaki itu. Dialah penghancur dan dialah pemusnah masa depannya. Kerana lelaki itu, dia kalah dengan nafsu serakah hingga melontarnya ke lembah hina. Salma masih ingat lagi, waktu itu dia baru menjangkau usia dua puluh tiga tahun. Dia bekerja sebagai kerani di sebuah anak syarikat engineering di Pulau Pinang. Waktu itulah dia kenal dengan salah seorang jurutera di situ. Seorang lelaki Cina yang kacak dan membuatkan jantungnya lemah setiap kali mereka bertentang mata.
Daripada sekadar berbalas pandangan, mereka menjadi kenal dan mesra. Akhirnya mereka menjadi rapat dan selalu keluar bersama. Di situlah dia tergelincir dari landasannya. Dia tidak tahu entah kuasa ilmu apa yang Jason pakai hingga dia terlentok di telapak kasih lelaki itu.
Akhirnya dengan rela, dia telah menyerahkan ‘mahkota’ berharganya kepada lelaki itu. Kesalahan yang telah berlaku hanya dia sahaja yang tahu. Setelah disahkan berbadan dua, dia meminta supaya Jason bertanggungjawab namun lelaki itu memberitahu bahawa dia sudah pun berkeluarga.
Betapa hancurnya harapan Salma ketika itu. Dalam kekalutan yang sedang dihadapi, dengan tidak semena-mena dia mendapat berita bahawa Jason telah dipanggil pulang ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Allah… Pada waktu itu betapa seksanya dia rasa. Jason pergi dengan begitu saja. Langsung tidak memberitahu dan tiada khabar berita selepas itu. Sedangkan di dalam perutnya benih yang disemai semakin membesar.
Akhirnya Salma mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan memberitahu orang tuanya bahawa dia dihantar berkursus ke luar negara selama setahun. Orang tuanya yang tinggal di kampung dan tidak tahu-menahu kemudahan teknologi itu hanya percaya bulat-bulat dengan kata-katanya. Dengan berbekalkan wang yang telah ditinggalkan oleh Jason pada pertemuan mereka yang terakhir, Salma menyara kehidupan sendiri tanpa bekerja. Hinggalah selamat melahirkan seorang bayi. Lalu bayi itu ditinggalkan di depan pintu rumah penjagaan kanak-kanak As Solah.
Salma masih ingat lagi lokasi kediaman itu. Malah sejak itu kekesalan tidak pernah padam dari ruangan ingatannya. Setelah pulang semula ke rumah, Salma telah dilamar oleh anak kawan baik ayahnya. Mereka bernikah dan hidup seperti biasa serta dikurniakan seorang cahaya mata. Kalau dahulu ingatannya hanya sekadar sesekali melintas, tetapi hari ini makin kerap pula mengganggu hidup Salma.
Salma mengeluh lagi. Dia mengayun buaian sambil mengelap air mata. “Apa khabar kau di sana, nak? Bagaimana keadaan kau selepas ditinggalkan? Bahagia ke hidup kau hari ini?”
Keluhan itu terbit lagi dari hujung bibir Salma. Kali ini entah kali keberapa.
“Mengeluh apalah awak sorang-sorang di sini, Sal?” Entah dari mana Amza datang, tiba-tiba menegurnya dengan cara begitu. Hampir terloncat Salma dibuatnya dengan kemunculan Amza. Salma betulkan sedikit duduknya.
“Sejak akhir-akhir ni, abang tengok awak selalu mengeluh. Dah tu, termenung. Awak ada masalah ke?” Amza memegang tali buaian dan duduk bersama Salma.
“Tak ada apa-apalah, bang.” Suara itu kedengaran lemah. Amza pandang wajah Salma. Di tepi kelopak mata Salma ada air jernih yang bertakung.
“Ceritalah, Sal. Abang tahu Sal ada masalah. Abang tak nak tengok Sal menung sana, menung sini, sampai tak sedar abang di sini. Masalah apa yang Sal tanggung sampai macam ni sekali keadaan Sal?” pujuk Amza.
“Sal dah banyak buat salah pada abang.” Salma cuba menahan air mata agar tidak merembes di hadapan Amza. Tetapi dia tak kuat.
“Abang dah maafkan kalau Sal ada buat salah pada abang.” Jujur Amza berkata membuatkan hati Salma begitu carik apabila mendengarnya.
“Sal tahu abang mesti melenting bila dengar cerita Sal. Tapi Sal terpaksa cerita pada abang. Sal tak boleh nak tanggung lagi sorang-sorang.” Kata-kata itu berumpan air mata.
Amza memeluk bahu Salma. Kemudian dipujuk lagi.
“Ceritalah, Sal. Abang akan cuba faham tentang masalah Sal,” bisiknya.
“Abang… Sebelum kita kahwin dulu, Sal…” Di situ Salma tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia sangat takut kalau Amza melenting tiba-tiba. Selama dia kenal dengan Amza, dia tahu suaminya seorang yang penyabar. Sejak mereka diijab kabul sebagai suami isteri, tidak pernah sekalipun Amza meninggikan suara.
Walaupun mereka jarang dapat bersama kerana Amza bekerja di pelantar minyak, jalinan ikatan antara mereka begitu kuat. Tetapi hari ini… Salma betul-betul takut. Dia takut kehilangan Amza kalau dia terpaksa berterus terang tentang sejarah hidup lampaunya.
Amza dapat meneka apa yang bakal diceritakan oleh Salma. Dia sebagai seorang suami, mustahil dia tidak tahu tentang perkara yang satu itu. Namun dia reda. Dia akur dengan jodoh yang telah Allah tetapkan buatnya. Lalu Salma diterima tanpa ada sebarang cacat cela.
“Ceritalah Sal.” Luruh suara Amza memujuk Salma.
“Sal pernah melahirkan anak semasa kita belum kahwin dulu, bang.” Suara itu menekan dalam ketika berterus terang. Amza menelan kepedihan itu kembali. Walaupun dia sudah dapat mengagak, namun apabila perkara yang pernah berlaku telah diungkit semula, pedih itu tetap terasa.
“Lepas tu Sal tinggalkan dia di depan rumah orang. Tanpa makanan, tanpa persalinan.”
Kata-kata Salma telah menyentak perasaan Amza. Sangkanya Salma cuma melahirkan anak luar nikah. Kemudian anak itu diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Tetapi rupa-rupanya telahannya silap. Salma buat kesilapan yang lebih besar.
“Kenapa Sal buat macam tu?” soal Amza.
“Sal tak tahu, bang. Sal takut. Sal takut maruah mak ayah tercemar. Sal takut mak dan ayah benci Sal, buang Sal. Sal tak ada tempat lagi untuk pergi.” Salma menekup mukanya sambil menangis tersengguk-sengguk.
“Sal tak takut pada Allah?” Amza tidak perlukan jawapannya. Itu hanya sekadar pertanyaan agar Salma tahu hukum-hakam.
“Sal menyesal, bang. Sal nak bertaubat. Sal tak nak sembunyikan apa-apa lagi dari abang.”
Apabila Salma berkata begitu, hati Amza ikut tersentuh. Dia menarik kepala Salma lalu dibawa ke dada. Walau hatinya pedih dan terluka, dia terpaksa terima. Takkan dia biarkan Salma menanggung beban perasaan itu seorang diri.
“Sal nak cari dia, bang. Sal nak mintak maaf dengan dia.” Salma menghapus air matanya bersih-bersih. Kemudian dia melangut memandang wajah Amza.
“Sal tahu dia di mana?”
“Kita cuba cari dia, bang. Mungkin dia ada di rumah asuhan As Solah tu lagi,” pujuk Salma.
“Hmmm… Nanti bila abang cuti panjang, kita pergi sama-sama,” cadang Amza.
Salma cuma mengangguk. Pelukan Amza tidak sekejap tadi. Salma tahu hati Amza terluka. Dia rasa sangat bersalah. Namun apakan daya, dia hanya manusia biasa yang tidak sempurna segalanya. Dia mudah dipengaruhi hasutan iblis.

****

BAB 1

“EH Delia, sinilah. Asyik duduk kat pondok tu aje kenapa?” Julia menggamit Adelia yang sedang duduk berjuntai kaki di pondok kayu di tengah sawah sambil memerhati Syamil dan Julia menangkap ikan puyu di alur parit.
Minggu ini mereka datang bercuti di kampung Julia lagi. Julia ialah kakak angkat Adelia, satu kelas dengan Syamil. Kalau cuti panjang, mereka akan datang bercuti di sini. Keluarga Julia sudah dianggap seperti keluarga Adelia sendiri. Mak Wan dan Pak Suki tidak pernah membezakan Adelia dan Syamil dengan anak-anak mereka. Sebab itu Adelia seronok apabila berada di sini.
Setiap kali hendak ke kampung Julia, Ayu akan suruh Syamil temankan Adelia. Rimas juga Adelia, tetapi itulah syaratnya. Kata Ayu, kalau Syamil tak pergi, Adelia juga tak boleh pergi. Terpaksalah Adelia ikut syarat itu. Pergerakan Adelia terus terbatas kalau Syamil ada. Sudahlah suaranya pun kasar mengalahkan tentera Jepun. Buat Adelia sakit hati aje.
“Menung apalah Delia kat sini sorang-sorang? Orang sampai berpeluh ketiak memancing puyu, sedap-sedap pula dia relaks kat sini, ya?” tegur Julia sebaik sahaja dia naik di pondok dan duduk berhampiran Adelia sambil menghela nafas penat. Syamil duduk jauh sedikit dari mereka, berjuntai kaki di anak tangga sambil berehat selepas memancing sepat di bawah terik mentari.
Adelia menayang sengih kepada Julia. Dia perhatikan wajah kedua-duanya. Sudah merah menyala dan merambu peluh mereka penuh muka. Baju pun sudah basah dengan hujan peluh. Tidak pernah dibuat orang memancing ikan tengah hari rembang macam ini. Selalu orang memancing waktu pagi dan petang selepas condong matahari. Kalau Adelia, tak kuasalah dia nak buat kerja-kerja yang meletihkan macam tu. Panas! Penat!
Ini Syamil punya fasallah ni, teringin nak makan puyu gorenglah, puyu masak lemak cili padilah. Tak pasalpasal pula Adelia kena keluar temankan dia datang ke sini. Yalah, tinggal di rumah sorang-sorang pun nak buat apa? Nak cangak sorang-sorang sembang dengan cicak? Nak bertekak dengan katak? Sudahlah Pak Suki dan Mak Wan pun turun ke bendang.
“Julia! Syamil! Adelia! Dah, jom balik. Dah tengah hari rembang ni!” Mak Wan melaung dari batas sawah untuk menghala pulang.
Julia pantas terjun dari pondok kemudian berlari mendapatkan Mak Wan. Adelia juga terjun untuk menuruti langkah Julia. Dalam waktu yang sama, Syamil turun dari pangkin dan pintas kaki Adelia hingga menyebabkan Adelia terhuyung-hayang dan terjatuh ke dalam petak sawah.
“Makkk!”
“Delia! La… Pening ke apa kau ni dik? Tiba-tiba tersungkur dalam petak sawah.” Julia berpatah balik apabila terdengar jeritan nyaring Adelia.
“Huh, lembab!” Syamil sempat sedekahkan ayat kejamnya. Kemudian dia terus berlalu dari situ.
“Isy, apalah kau ni, Mil! Tak baik tau buat macam tu,” tegur Julia.
Menonong saja Syamil pergi meninggalkan mereka berdua. Cermin mata Adelia terpelanting masuk ke dalam tanah becak itu. Jenuh pula mereka berdua mencari cermin mata Adelia selepas itu. Kasihan Adelia. Gadis lemah lembut yang selalu dibuli oleh Syamil.
“Tak payah pakailah. Nanti balik cuci dulu. Bukan rabun sangat pun,” tegur Julia apabila melihat Adelia berusaha membersihkan cermin matanya untuk dipakai semula.
“Nanti ikut akak pergi pekan, pakai kanta lekap aje. Tak payah lagi pakai cermin mata. Rimaslah tengok! Macam nerd aje.”
Adelia tersenyum hambar. Tak apalah nerd pun. Adelia tak ganggu hidup orang. Hmmm… Sebab rupanya macam lurus bendul agaknya dia selalu dibuli Syamil. Entahlah, sejak kecil lagi Adelia sudah menjadi mangsa ketidakpuasan Syamil. Bukan sebab nerd atau tidak. Tetapi sebab sikap Syamil yang tidak boleh menerima kenyataan apabila kasih sayang ibu berbahagi kepada anak angkat seperti dia.

 

TENGAH HARI itu Julia dan Adelia sama-sama menyiang ikan puyu hasil daripada memancing tadi. Banyak juga ikan puyu ni. Jenuh siang. Duri insangnya tajam. Syamil hanya duduk memerhati. Rimas betul Adelia tengok Syamil duduk keras macam batu di situ tanpa menolong mereka buat kerja. Kalau lambat siap, lambatlah mereka boleh makan.
“Auch!” Tiba-tiba duri puyu tercucuk jari Adelia. Berdarah jarinya. Syamil cepat-cepat datang. Jari Adelia ditarik. Syamil curahkan air lalu dihisap bekas luka itu. Terkejut macam nak pitam Adelia dibuatnya dengan tindakan Syamil secara tiba-tiba itu. Kenapa hisap darah di jari pula? Bukan kena patuk ular.
“Teruk tak luka?” Julia meninggalkan kerja menyiang lalu datang melihat.
“Ttt… tak… tak teruk sangat pun…”
Adelia cepat-cepat tarik tangannya apabila Syamil sedang menunjukkan sikap prihatinnya tahap tak boleh blah. Di wajah Julia jelas nampak hairan. Adelia lagilah hairan. Tidak pernah dibuat-buat Syamil begitu baik dengannya. Tiba-tiba aje jadi macam tu. Macam buang tabiat pun ya.
Syamil meluru pergi apabila tersedar dan termalu sendiri. Entah macam mana dia jadi kalut begitu. Nampak jari Adelia berdarah, dia pun jadi tidak tentu arah. Berlagak herolah konon. Memalukan muka sendiri.
Sebenarnya Syamil bukan bencikan Adelia. Adelia sudah lama tinggal bersama keluarganya. Mustahil dia benci kepada adik angkatnya itu. Tetapi sikap kasar Syamil tidak dapat dibuang apabila berhadapan dengan Adelia. Melihat Adelia membesar di hadapan mata, melihat sikap mengalah Adelia, tiba-tiba hati Syamil berentak lain macam. Dia mahu lari dari perasaan pelik itu. Cuba mengetepikannya sedaya mungkin. Namun perasaan itu tidak mampu dikuis.
Syamil terus menuju ke belakang rumah, melihat Pak Suki sedang memasukkan seguni padi ke dalam bekas plastik besar.
“Buat apa tu, ayah?” tegur Syamil
“Ayah nak rendam padi benih.”
“Padi ni bila nak tabur?”
“Kena tunggu empat puluh lapan jam dulu, lepas tu tapis selama dua puluh empat jam pula, baru boleh tabur.”
Syamil mengangguk-angguk tanda faham. Dia langsung tidak tahu proses mengerjakan sawah padi. Kalau makan hasilnya, memang dia pandai.
“Sekarang ni kerja-kerja tabur padi benih taklah susah macam dulu lagi. Semua guna mesin penabur. Bila pokok padi dah bertunas nanti, baru kita buat kerja-kerja menyulam. Ha… Kerja-kerja menyulam ni barulah gunakan tenaga manusia. Bila pokok padi mula naik, proses membaja pula. Meracun kena selalu sebab siput gondang mudah sangat serang pokok padi. Kalau tak jaga betul-betul, alamat padi hanya tinggal hampas ajelah…” terang Pak Suki lagi. Satu pelajaran buat Syamil ketika dia berkunjung ke rumah keluarga angkatnya di Yan kali ini.
“Emak kamu dah siap masak?” tegur Pak Suki ketika Syamil ralit memerhati.
“Belum lagi, ayah. Ikan pun tak habis siang lagi, macam mana nak masak?” jawab Syamil.
“La… Sisik ikan puyu yang berlambak-lambak tu kamu siang guna pisau? Tercucuk duri insang tu karang…”
Pak Suki beralih dari situ kemudian menuju ke bangsal tempat penyimpanan barang-barangnya. Kemudian tin susu tepung sederhana besar dibawa keluar. Tin itu berlubang-lubang di sekelilingnya. Ditebuk sebesar lubang paku dari arah luar.
“Nah, ni nanti kamu masukkan ikan-ikan puyu tu ke dalam sini, tutup tudungnya dan goncang kuat-kuat. Semua sisik dia akan keluar habis nanti.” Pak Suki serahkan tin tersebut kepada Syamil.
Syamil ambil tin susu yang disua kepadanya kemudian terus menghala ke arah tempat mereka menyiang ikan puyu sebentar tadi. Seperti yang telah diajarkan oleh Pak Suki, dia pun mengerjakan ikan puyu dalam tiga pusingan saja. Tidak sampai lima belas minit, semuanya sudah selesai dibuang sisik. Mudah saja kerja-kerjanya.
Kreatif juga pemikiran orang kampung. Harapkan mereka bertiga, entah sampai petang nanti belum tentu boleh makan. Julia walaupun orang kampung, dia tinggal di asrama. Dia langsung tidak tahu kerja-kerja kampung. Tamat sahaja darjah enam, terus ke MRSM. Sebab itu dia tidak tahu apa-apa.

 

“DELIA!” Adelia yang sedang berada di dapur bergegas menuju ke ruang tamu apabila terdengar Syamil menjerit kuat memanggil namanya.
“Ada apa panggil Delia?” tanya Adelia dengan perasaan risau sebaik sahaja sampai di sisi Syamil.
“Mana tuala aku?” Syamil sergah tanya.
Berkerut kening Adelia. Tuala dia, kan? Tanya orang pula kenapa? omel Adelia dalam hati. Kemudian dia buat muka hairan.
“Kau ni telinga tak korek ke? Orang tanya buat tak dengar pula!” marah Syamil sampai terbeliak biji mata memanah kepada Adelia yang terpacak berdiri di hadapannya.
“Delia mana tahu. Tuala sendiri, kan? Dalam biliklah kut,” jawab Adelia cuba memberanikan diri.
“Apa hal kecoh-kecoh ni, Mil?” Julia datang menyusul sambil mencekak pinggang.
“Ni, tanya budak ni, tuala Mil dia letak mana? Nyanyuk pula dia sampai terketar-ketar nak jawab.” Syamil memuncungkan bibir ke arah Adelia.
“La… Tuala aje pun… Ada, Ju sidai kat ampaian sana. Mil sepuk kat tingkap tu kenapa? Tak disidai nanti tahi lalat habis,” beritahu Julia.
Kemudian Syamil terus turun ke tanah dan mengambil tualanya yang sudah kering. Langsung dia tidak rasa bersalah terhadap Adelia dengan tuduhannya sebentar tadi.
Julia menggeleng melihat kelakuan Syamil. Di dalam kelas tak ada pun Syamil bersikap macam ini. Tutur kata beradab dan sopan sentiasa. Tetapi apabila menghadap muka Adelia, bakat garangnya menyerlah sungguh.
“Jom kita ronda-ronda kampung, nak?” ajak Julia.
“Wah… Best ni. Naik basikal ke kak?” Adelia begitu teruja.
“Haah. Nanti jalan kaki, orang tu nak ikut pula. Jomlah lekas, sementara dia ada kat dalam bilik air tu.” Terkocoh-kocoh mereka menyusup keluar kemudian terus ke bawah rumah menolak basikal dan mengayuh menuju ke jalan mini tar kampung.
“Ronda-ronda ke tu?” Baru saja memulakan kayuhan, Muin yang sedang menetak daun pisang di perenggan rumah Julia menegur.
“Ya, pak cik. Ronda-ronda kampung. Mak Cik Sarah ada, pak cik?” Julia berbalas tanya pula.
“Entahlah, Ju. Tak perasan pula. Tadi sebelum pak cik keluar, dia tengah mandi.”
“Kirim salam pada mak cik ya, pak cik,” pesan Julia sebelum mereka berlalu pergi dari situ.
Kayuhan Julia melalui kawasan sawah padi. Sekarang ini petak-petak sawah baru disalurkan air. Tidak semeriah waktu padi menghijau. Waktu sekarang ini nyamuk pun banyak. Setakat menggunakan ubat nyamuk, tidak lut dek serangga itu.
“Bestnya tinggal di kampung, kak. Udara pun bersih. Otak pun tak sesak. Rasa tenang aje.” Sambil menghirup udara segar, Adelia meluahkan rasa dalam hatinya.
“Tinggal di rumah tak best ke?” Julia merisik tanya pula.
Adelia diam. Entahlah… Bila selalu kena jerkah dengan Syamil, mana nak datang bestnya? omel Adelia dalam hati.
“Bolehlah…” Lemah sahaja jawapan yang keluar dari celah bibir Adelia.
“Hm… Kenapa ni Delia? Akak tengok macam ada masalah berat aje.”
“Macam mana tak berat kalau dah selalu kena tengking?”
Muka Adelia jatuh suram tiba-tiba. Walau Julia tak nampak, dia tahu mood Adelia tidak seronok apabila bercerita tentang Syamil ataupun tentang rumahnya. Bukan Julia tidak tahu tentang asal usul Adelia. Semuanya dia tahu. Adelia yang ceritakan sendiri kepada Julia dari mula. Sebab itu dia jatuh kasihan kepada Adelia. Julia simpati dengan nasib Adelia yang tidak punya siapa-siapa dan tidak kenal ibu dan ayah kandungnya.
“Sabarlah, Delia… Mungkin angin bulan dia datang. Sebab tu Syamil jadi macam tu. Syamil tu sebenarnya okey. Cuma kadang-kadang dia tunjuk juga perangai lanun dia tu. Mungkin dulu dia dari generasi Pirates of the Caribbean ke… Nenek moyang dia buka kilang mercun raya Cina ke… Mana tahu?” Julia buat lawak. Tergelak Adelia walaupun tidak bersungguh.
“Haish… Letihlah Delia dengan semua ni, kak.” Adelia mengeluh berat. “Kadang-kadang rasa macam nak aje Delia libas belakang dia dengan getah paip masa dia duk tengking-tengking Delia tu.” Adelia sambung lagi sambil melepaskan geram.
“Isy, kejam sangat kau ni, dik… Gerun akak.” Tergelak Julia dengan kelucuan itu.
“Kita berhenti kat sinilah, kak. Tengok air sungai ni. Seronok juga tengok orang memancing petang-petang ni,” ajak Adelia.
“Ini bukan sungailah. Ini tali air,” pintas Julia lalu menghentikan basikalnya.
“Tak apalah apa pun. Jom kita turun. Delia nak tenangkan fikiran kejap.”
Julia akur. Dia menongkat basikal di seberang jalan mini tar di sebelah tali air. Kemudian mereka berdua melihat beberapa orang wanita kampung sedang memancing. Sakan juga mata kail menyentak ikan puyu. Sampai tidak putusputus.
Adelia teringat ikan puyu masak lemak cili padi dan ikan puyu goreng tengah hari tadi. Sedap betul Mak Wan masak. Sampai berpinggan-pinggan dia menambah nasi. Sempat juga dengar Syamil menyindir…
“Kau membela ke Delia?”
Sentap juga Adelia. Nasib baik selepas itu Pak Suki pertahankan dia.
“Alah… Sesekali apa salahnya? Makan aje, Delia. Jangan nak sekat-sekat. Rezeki Allah bagi.”
Maka sentap Adelia terus padam. Malah seleranya semakin laju pula.
“Isy, tiba-tiba jadi lapar pula.” Teringat hidangan tengah hari tadi, terpacul ayat itu dari mulut Adelia tanpa disengajakan.
“Uik, tak kenyang-kenyang lagi makan tengah hari tadi? Mak oi… Ini bela jin ke apa ni? Badan kurus cekeding aje, tapi makan… kus semangat.”
Adelia tergelak. Macam-macamlah Julia ni.
“Tapi mak masak sedap betullah, kak. Kalau tak sebabkan perut ni dah penuh, mahu aje Delia tambah lagi.” Dengan muka tak malunya Adelia beritahu sambil tersengihsengih.
“Masakan orang kampung, Delia… Semua bahan original. Kunyit ambil segar dari pokok lepas tu ditumbuk. Sebab itulah sedap. Lagi pun resipi orang tua ni lain sikit. Ada umph gitu.”
“Betul,” balas Adelia. Senyum mekar di ruang bibirnya. Senyum yang jarang-jarang sekali boleh dilihat kerana kali ini Adelia tidak ditemani Syamil. Selalunya ke mana saja Adelia pergi, Syamil mesti ada. Kalau Syamil ada, muka Adelia yang semacam cahaya matahari itu pun bertukar menjadi gerhana bulan.
Ah, Syamil pun satu. Asal nampak Adelia, pasti bakat Hitlernya itu datang. Dari mana dia dapat penyakit yang serupa itu tak tahulah. Ayu tak pula menyinga macam tu.
“Delia…”
“Hmmm…”
“Agaknya Syamil tu ada hati kut kat Delia. Tu sebab dia selalu cari pasal dengan Delia. Sebab dia nak ambil perhatian Delia.”
“Huh! Tak ada maknanyalah. Kak buat lawak ke apa ni? Lawak sarkas? Tak apa, Delia tumpang gelak ajelah.” Maka Adelia terus gelak mengekek-ngekek sambil menutup mulutnya. Sepantas itu jugalah cubitan singgah di pahanya. Tergaru-garu Adelia kerana sakit.
“Taklah… Selalunya orang lelaki ni kan, kalau nak ambil perhatian orang perempuan, dia mengurat, jelingjeling, lempar-lempar senyum. Sesetengah tu pula macam Syamil itulah. Macam Hitler. Buat-buat garang. Tapi dalam hati penuh bonsai.” Mereka ketawa sekali lagi dengan pepatah yang tidak serupa pepatah itu.
“Orang macam Syamil tu, kak… Mati hidup balik, mati balik, hidup tiga empat kali lagi pun Delia tak percaya dia sukakan Delia. Syamil tu sejak Delia kenal alam lagi dia dah suka tengking-tengking macam tu. Takkanlah belum sunat lagi pun dia dah ada hati kat Delia?”
“Hesy, budak ni!”
“Ke… akak yang ada hati kat Syamil? Kak sukakan Syamil, ya?” Adelia menjeling-jeling dan menduga hati kecil Julia.
“Budak ni! Dia kilas ikut situ pula.” Cubitan Julia mahu mencari sasaran lagi tetapi Adelia pantas mengelak.
“Kak, nanti bila dah tua-tua kan, Delia nak tinggal di kampung ajelah. Nak tinggal di sini.”
Seketika gurauan mereka terhenti. Adelia memandang jauh ke dalam sungai dan bercerita.
“Orang lain sibuk nak duduk di bandar, tarah bukit, gunung-ganang segala bagai, nak bina rumah taman. Awak nak datang duduk kat kampung pula buat apa?” sindir Julia.
“Entahlah, kak. Delia rasa jiwa Delia ada di sini. Rasa dekat sangat dengan alam. Cinta sangat dengan kawasan-kawasan yang macam ni. Tenang dengan hijau daun padi, jauh dari asap-asap kenderan dan kilang. Yang penting, boleh makan ikan puyu selalu.”
“Hmmm… Itu yang betulnya. Nak makan ikan puyu selalu tapi bagi alasan macam-macam pula. Budak klon Cina ni kalau bab makan, serah pada dia.” Sindiran Julia langsung tidak bertapis. Memang wajah Adelia seperti amoi. Bibir nipisnya manis apabila dia tersenyum. Matanya tidak sepet. Tetapi kalau dia gelak, kelopak matanya akan tertutup. Kulitnya putih bersih macam orang Cina.
“Kak…” panggil Adelia.
Julia beralih ke sebelah melihat Adelia yang sedang ralit memerhati tali air sambil melihat anak-anak ikan berenang-renang.
“Kita jadi adik-beradik sampai bila-bila, ya?” Adelia mengangkat muka. Pandangannya bersatu dengan anak mata Julia. Ada genangan air di kelopak mata Adelia. Julia terus peluk bahu Adelia kejap.
“Delia cuma ada akak, keluarga akak dan ibu aje. Mak dan ayah akak, Delia dah rasa macam mak dan ayah kandung Delia sendiri. Terasa ikhlas kasih sayang yang mak dan ayah beri pada Delia. Sebab tu Delia rasa gembira tinggal di sini.” Kepala Delia melentok di bahu Julia.
“Delia tetap adik akak sampai bila-bila. Dunia akhirat. Akak tak ada adik-beradik perempuan. Yang ada semuanya lelaki. Ikhwan dan Ikmal si kembar tu, sibuk memanjang dengan bola dan aktiviti menangkap burung sampai tak sempat akak nak curah kasih sayang.”
Adelia tergelak kecil. Memang pun. Sejak Adelia bertandang ke sini dua hari lepas, payah sungguh nak nampak muka dua beradik kembar itu. Tengah hari waktu mereka makan, dua beradik itu masih menjerat burung. Balik pula waktu orang lain sedang terlentang rehat di dalam bilik. Waktu malam, cuma waktu makan sahaja mereka duduk sama-sama menghadap makan malam. Selepas itu masing-masing lesap di dalam bilik.
“Jomlah, kak. Tiba-tiba perut berkeriuk ni. Mintak makan lagilah ni.” Adelia panggung kepala kemudian terus bangun membuatkan Julia turut bangun. Sengaja Adelia hendak lari dari keadaan suram itu dan tidak mahu terus terbawa-bawa. Sebab itu dia bangun terus tanpa bagi salam.
Mentari pun sudah hampir tenggelam. Di dada langit sudah nampak warna kuning kemerah-merahan menandakan waktu sudah menghampiri senja. Mereka berkayuh pulang ke rumah sebelum masuknya waktu maghrib. Jejak sahaja di muka pintu, Syamil sudah memandang mereka sambil mencekak pinggang.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/124992/coklat-cinta