[ SNEAK PEAK ] PINJAM SAYAP

 

EBUKU PINJAM SAYAP OLEH FAHMI, ROHALISA MAISARAH, MAHADI ZULKIFLI DAN WAN SYAMRIL

EBUKU PINJAM SAYAP OLEH FAHMI, ROHALISA MAISARAH, MAHADI ZULKIFLI DAN WAN SYAMRIL

 

“Kenapa pakai baju macam nak pergi kenduri kahwin ni?” tegur Abang Mahadi apabila melihat aku memakai baju kurung moden daripada kain sutera Terengganu yang dihadiahkannya dulu. Aku terkulat-kulat menahan perasaan malu. Lagi bertambah-tambah rasa sakit di kepalaku.

Selepas putus cinta dengan Wan Syamril dulu, inilah kali pertama aku akan keluar lagi dengan lelaki. Kalau dengan Wan Syamril, kami hanya berjumpa pada waktu siang dan terkadang masih di dalam pakaian seragam sekolah. Manalah aku tahu pakaian mana yang sesuai untuk kupakai malam ini.

Rasa-rasanya, pakaian ini sudah cukup cantik malahan sudah puas aku berpusing-pusing di hadapan cermin sebelum menapak keluar dari rumah tadi. Ditegur tiba-tiba dek Abang Mahadi membuatkan rasa harga diriku merudum ke paras yang paling bawah. Aku rasa betul-betul malu.

“Nak Roha balik tukar baju, kah?” tanyaku kebodoh-bodohan.

“Tak payahlah. Dah lewat ni. Nanti tak sempat nak masuk menonton tayangan awal.” Abang Mahadi menyerahkan topi keledar kepadaku. Dia menyarungkannya di kepalaku dan mengetatkan tali ikatannya. Kemudiannya, aku terkial-kial memanjat untuk naik ke tempat duduk motosikalnya.

Patutlah Abang Mahadi menegur pakaianku tadi. Rupa-rupanya, sukar untukku membonceng di belakang dengan kain ketat kurung modenku. Dalam hatiku berdoa, janganlah sampai kain suteraku yang istimewa ini terkoyak rabak.

“Lain kali pakai seluar panjang saja kalau keluar dengan abang,” katanya. Lain kali? Adakah Abang Mahadi berhajat untuk membawaku keluar lagi selepas ini? Kalau memang itulah maksudnya, memang hatiku sedang mengembang setaman. Lupa sejenak sakit di kepalaku.

Lupa? Mana boleh aku lupa. Sakit di kepalaku ini sakit sangat-sangat. Dihentak topi keledar ini membuat aku rasa lebih perit. Segera kutanggalkan kembali topi keledar itu.

Aku meraba-raba atas kepalaku, masih ada bonjolan besar. Serasakan ada cecair melekit di jemariku. Kuturunkan tanganku dan dalam gelap itu, tiada apa yang bisa kulihat. Pabila kudekatkan jari itu ke hidung, ada bau hanyir seperti darah.

“Roha kenapa?” Abang Mahadi berpaling ke arahku. Tidak jadi hendak menekan gear motornya. Terdengar teguran Abang Mahadi, aku cepat-cepat menyarungkan semula topi keledar itu di atas kepalaku dengan penuh hati-hati. Kutahankan perit yang terasa.

Abang Mahadi mulai menunggang motosikalnya dengan hati-hati. Menciluk ke kiri dan kanan untuk melepasi barisan kenderaan yang panjang berhampiran lampu isyarat berwarna merah.

Aku tidak tahu mahu berpegang di mana. Akhirnya aku hanya memegang bajunya di kiri dan kanan. Apabila tiba di lampu isyarat, Abang Mahadi memberhentikan motosikalnya dan sempat memberi ingatan padaku.

“Jangan tarik baju abang. Nanti terkoyak. Peluk saja pinggang abang,” katanya, mengajarku. Aku serba-salah. Namun sebaik sahaja motosikal Abang Mahadi memecut, aku tidak punya pilihan lain. Aku memeluk pinggangnya erat-erat, rapat-rapat. Dadaku bergetaran dan merenek. Aku merasai kehangatan tubuhnya di dalam dingin malam itu.

Apabila Abang Mahadi tidak memecut, aku akan melonggarkan pelukanku tetapi Abang Mahadi selalu sahaja menekan brek secara mengejut di belakang kereta atau lori sehinggakan aku tersengguk ke depan. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk tidak melepaskan pelukan lagi. Aku takut jatuh tergolek di tengah jalan yang sibuk ini dan digelek tayar lori.

Sudahlah kepala aku sakit dan berdarah, nanti aku pula yang hancur berkecai. Aku tidak mahu terpenyek di tengah-tengah jalan ini. Dan yang lebih penting lagi, aku tidak mahu rahsiaku membohongi ibu, pecah kerana kemalangan yang menimpaku. Oh Tuhan. Jahat sangatkah aku ini?

Motosikal Abang Mahadi terus gagah membelah kepekatan gelap malam. Di kiri kanan kami telah dipenuhi dengan iringan lampu jalan yang bergemerlapan menandakan bahawa kami telah hampir tiba dalam kawasan bandar. Aku rasa begitu teruja. Lupa sejenak akan kekesalan yang melanda sebentar tadi.

Suasana kemeriahan malam yang belum pernah kualami sebelum ini. Pastinya sangat meriah. Semeriah hatiku kerana dapat bersama Abang Mahadi yang aku gilai.

Abang Mahadi berhenti di tapak letak motosikal dan mematikan enjinnya. Aku melangkah turun. Abang Mahadi juga turun dan membuka topi keledarnya. Aku menyerahkan topi keledar yang kupakai untuk dia kuncikan di sisi motosikalnya bersama-sama topi keledarnya. Mula-mula, kami melangkah beriringan. Kemudiannya, aku membiarkan Abang Mahadi berjalan di hadapanku kerana aku tidak tahu ke mana tujuannya.

“Kenapa berjalan di belakang abang ni? Kita bukannya di atas motor lagi. Mari berjalan di sebelah abang.” Abang Mahadi menarik tanganku hingga rapat ke sisinya. Aku biarkan sahaja kerana aku bahagia dengan perlakuan Abang Mahadi. Aku rasa dimanjakan. Aku rasa disayangi.

“Kita makan dulu, ya?” saran Abang Mahadi.

“Tadi abang kata dah lewat.”

“Tayangan bermula pukul sepuluh. Abang takut kita lewat tiba tadi. Lagi pun jalan raya agak sesak.” Aku mengangguk-anggukkan kepalaku, mengiyakan kata-kata Abang Mahadi. Sewaktu melewati bangunan panggung wayang, aku nampak Masyi dan Wan Syamril sedang berdiri di depan pintu besar sambil berpegangan tangan.

Darah cemburuku menyerbu naik ke muka. Aku hampir terlupakan Abang Mahadi yang berdiri di sebelahku. Masyi melambaikan tangannya apabila ternampak kami berdua. Aku menyeret tangan Abang Mahadi. Abang Mahadi hanya mengikut gerakku.

“Bang, itu kawan Roha. Mari Roha perkenalkan.” Abang Mahadi tidak membantah. Dia mengekori langkahku. Aku bersalaman dengan Masyi manakala Abang Mahadi bersalaman dengan Wan Syamril dan tanpa kuduga, Masyitah turut bersalaman dengan Abang Mahadi sedangkan aku sendiri tidak bersalaman dengan Wan Syamril.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/55946/pinjam-sayap