“DELISYA. Bangun, Delisya. Jangan buat aku takut. Delisya…” Memangku kepala Delisya di pehanya, pipi gadis itu diusap. Delisya tidak memberi tindak balas. Tadi dia sudah mandikan Delisya. Selepas itu dia bawa Delisya pulang ke sini semula. Tetapi keadaan Delisya masih tidak nampak perubahannya.
“Delisya, kenapa kau macam ni? Tolonglah Delisya. Tolong bangun demi aku.” Air mata lelakinya sudah bergenang. Dia yang berjiwa kuat akhirnya tertewas juga apabila mereka berada dalam keadaan begini.
Haider memeluk kepala Delisya dan terus-menerus memanggil nama gadis itu. Dia takut sangat! Dia takut kalau Delisya pergi tinggalkannya dalam keadaan dia masih belum bersedia.
“Haider… Haider…” Delisya yang sedang dalam keadaan separa sedar, memanggil dengan lemah. Dia keletihan dan sangat tidak berdaya untuk bangun. Tenaganya bagai diserap keluar.
“Delisya! Kau dah sedar? Terima kasih, Delisya. Terima kasih kerana tak tinggalkan aku!” Mujur air matanya tidak luruh lagi. Haider kejip-kejip kelopak matanya beberapa kali bagi menyerap kembali air matanya yang bertakung tadi.
“Haider… Aku letih, Haider.”
“Kau rehatlah Delisya. Aku akan jaga kau.”
“Kenapa kau baik sangat dengan aku, Haider?” Dalam keadaan separa sedar, soalan itu Delisya utarakan kepada Haider.
“Sebab aku cintakan kau.” Tidak malu Haider mengakui perasaannya itu kali ini. Ya, dia tidak mahu terlambat untuk mengakuinya.
“Terima kasih, Haider.”
“Jangan berterima kasih, Delisya. Perasaan aku ikhlas terhadap kau.”
“Aku pun.” Entah benar atau Delisya bermimpi, kata-kata itu dia ucapkan sekali lalu. Mata Delisya masih belum dibuka. Dia seperti sedang mamai.
“Betul ke, Delisya?” Dalam sebak, pertanyaan itu terbit di hujung bibir Haider.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com