Potensi Menulis eBook Yang Padat dan Ringkas

Kami baru sahaja selesai dengan Bengkel Penerbitan Digital dan Pembinaan EPUB di Perpustakaan Kuala Lumpur. Dan seronok kami dapat berjumpa dengan penulis dan juga penerbit. Daripada itu, timbul satu buah fikiran yang ingin saya kongsikan di sini.

Kami di E-Sentral.com mengharapkan lebih ramai penulis-penulis bebas di luar sana untuk menulis ebook-ebook ringkas dan padat. Sebagai contoh, ini mungkin travelog ringkas tentang pengalaman bercuti di luar bandar Johor seperti Batu Pahat, Mersing dan Pontian. Mungkin juga ianya pengalaman anda melancong menggunakan bas lompat dari satu pekan ke pekan lain di Perak.

Saya pernah bersembang dengan kenalan “backpackers” luar negara dan mereka berminat untuk menerokai kawasan luar bandar Malaysia namun tidak banyak maklumat yang boleh didapati mengenainya.

Selain daripada itu, panduan-panduan khusus berdasarkan pengalaman peribadi juga topik yang baik. Ianya boleh merangkumi topik-topik seperti “Panduan Memborong Pakaian Di Jalan Kenanga” atau juga “Panduan Pemasangan Android TV untuk Kerja dan Hiburan”. Ada banyak lagi bidang topik yang anda boleh terokai seperti hiburan, teknologi, bisnes, ilmiah, gaya hidup, seni, dan lain-lain lagi.

Pemilihan judul juga penting. Mungkin judul seperti “Borong, Jimat dan Untung di Jalan Kenanga” lebih menarik daripada “Panduan Memborong Pakaian Di Jalan Kenanga”

Buku-buku seperti ini tidak perlu begitu komprehensif. Penulis boleh berterus terang dan menyatakan yang ia adalah hasil daripada pengalaman peribadi, dan juga sebuah panduan yang sangat khusus. Yang penting ianya memberikan maklumat yang dimahukan oleh pembaca. Lebih baik lagi sekiranya ia membantu dalam satu permasalahan yang khusus.

Dari aspek pembaca pula, mereka online casino dgfev mahukan penulis terus terjun ke topik yang diceritakan dan memberikan panduan langkah demi langkah. Ruang “perbincangan” boleh dikurangkan atau mungkin diletakkan di bahagian belakang beserta rujukan-rujukan lain untuk maklumat lanjut pembaca.

Dari segi berapa panjang ebook tersebut, kalau sebuah kertas A4, saya anggarkan dalam 40 ke 50 mukasurat dengan font bersaiz 12pt. Kalau jumlah patah perkataan, mungkin di antara 20,000 hingga 25,000 sahaja.

Bagi seorang penulis professional, ini sangat mudah dilakukan dalam satu malam sahaja. Yang kurang pantas sedikit, mungkin dalam satu hujung minggu. Dan bagi kebanyakan kita, menulis sebuah ebook ringkas sebegini adalah tidak mustahil disiapkan dalam seminggu.

Sebuah buku sebegini sangat mudah ditulis dan disiapkan, maka saya perlu mencadangkan anda mula menulis sebuah siri pula.

Ini bagus untuk pembinaan jenama anda dan buku-buku baru yang bakal dilancarkan. Yang menariknya dengan penerbitan digital dan industri ebook, anda tidak perlu menyiapkan kesemua buku dalam siri anda sekali gus. Anda boleh mula menulis sebuah buku seminggu, dan mempunyai sebuah siri dengan 52 buah buku dalam setahun. Baiklah, sekiranya anda menulis sebuah buku setiap 2 minggu, anda masih mempunyai 26 buah judul di pasaran. Bahkan 10 judul juga satu pencapaian yang hebat bagi seorang penulis sambilan.

Maka saya seru dan menjemput penulis bebas, penulis baru untuk mula menulis dan menghantarnya ke E-Sentral.com. Sekiranya anda mempunyai apa-apa persoalan, boleh hubungi kami. Maklumat kami ada di E-Sentral.com. Anda juga boleh menggunakan borang di bawah untuk menyatakan apa-apa cadangan dan juga berbincang mengenai entri saya kali ini.

Sememangnya kami sentiasa bekerja keras bersama dengan penerbit-penerbit dan penulis bebas untuk meningkatkan lagi industri ebook di Malaysia.

Selamat mencuba dan selamat maju jaya.