. . .
“KENAPA HADIF termenung ni? Dah dapat keputusan doktor?” Puan Sri Alinah duduk di sebelah anak terunanya. Apabila melihat Hadif enggan makan malam dan duduk termenung di tepi kolam renang, dia tahu anaknya pasti punya masalah besar.
“Doktor cakap hati perempuan tu sepadan.”
“Itu berita gembira. Kenapa Hadif termenung macam ni?”
“Masalahnya, perempuan tu setuju untuk dermakan hati dia dengan syarat Hadif nikah dengan dia. Macam mana…”
“Siapa nama perempuan tu?” Fahamlah Puan Sri Alinah kenapa anak lelakinya itu begitu terganggu.
“Adra… Adra Najwa,” jawab Hadif. “Dia penyanyi kelab dangdut. Dia juga mungkin… kerja jual badan.”
Ternaik kening Puan Sri Alinah. Sesiapa pun tidak mahu perempuan begitu menjadi menantu. Jangan kata buat menantu, buat kawan pun dia tak mahu.
“Aunty Ainul tolak permintaan Adra,” tambah Hadif.
“Eloklah kalau macam tu. Mama tak dapat bayangkan kalau dia masuk ke dalam keluarga kita. Mana kita nak letak muka kalau semua orang tahu status dia.”
Hadif angguk. Tetapi dia tetap risau. Bagaimana jika mereka tidak menemui calon yang sesuai untuk buat pemindahan hati? Kata doktor, itu satu-satunya cara untuk menyembuhkan Jannah saat ini. Mujur kanser tunangnya masih di peringkat awal. Tapi berkemungkinan akan bertambah parah. Semua ini membuatkan dia kusut.
“Jangan fikir sangat. Mama nak naik dulu. Papa pun dah tidur agaknya.”
Hadif angguk. Dia bersalam dan mencium pipi mamanya.
“Hadif pun jangan tak tidur. Kalau mengantuk kat office, nanti papa marah.”
Sekali lagi Hadif angguk. Dia memerhatikan mamanya masuk ke dalam. Semua orang menyuruh dia agar melupakan cadangan mengarut Adra. Tetapi semua orang tidak tahu yang dia begitu risaukan Jannah. Dia sanggup korbankan hidupnya demi gadis yang dicintainya itu.
Ting! Hadif mengambil telefon bimbitnya. Pesanan WhatsApp daripada Nurain lagi. Sejak petang tadi dia berbalas pesanan dengan bakal adik iparnya itu. Membincangkan permintaan Adra.
“Tadi Kak Adra ada cakap dia nak sesuatu tapi yakin abang long atau mama takkan dapat tunaikan.“
Hadif meraup wajahnya. Memang Adra rancang semua ini dari awal atau…
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Mungkin ini tindak balas Adra terhadap hinaannya tempoh hari. Dia mengatakan yang gadis itu tak layak untuk menjadi isteri sesiapa pun. Tak sepatutnya dia menghina satu-satunya insan yang mungkin dapat membantu menyelamatkan tunangnya.
“Kalau terpaksa, abang long sanggup kahwin dengan dia.”
. . .
Penulis: Aein Dhiyauddin
Penerbit: Love Novel Publishing Sdn. Bhd. (Novel Mania)