eBook: Mencapai Segmen Pasaran Digital

Saya bersyukur dengan sokongan oleh Pelangi, PTS, Mustread, UM Press, Jemari Seni, Roket Kertas, KarnDya, Marshall Cavendish, E-Media, Pustaka Nasional, Nuun, K-Four, Oxford Fajar dan lain-lain yang tidak saya senaraikan di sini, terhadap E-Sentral. Penerbit seperti ini mula mengorak langkah dan membina versi digital (ePUB) untuk buku-buku terbitan mereka. Dan banyak judul-judul mereka kini boleh dibaca menggunakan peranti iPhone, iPad, telefon pintar Android dan komputer.

Sebenarnya lebih mudah untuk E-Sentral mendapatkan ebook format ePUB dari negara luar. Membina format ePUB seiring dengan versi cetakan sudah menjadi operasi standard mereka. Penerbit dan pengedar di luar negara siap dengan versi ePUB bagi setiap judul terbitan mereka.

Di Malaysia kita masih lagi belajar dan penerbit-penerbit baru giat memulakan usaha. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya ini satu permulaan.

Tetapi kenapa kita begitu mempromosikan ePUB dan buku digital?

Jumlah pengguna telefon pintar dan komputer tablet semakin meningkat. Dahulunya sebuah komputer berharga RM2000 bersaiz 2 kaki x 2 kaki x 2 kaki. Tetapi sekarang sebuah “komputer” boleh dipegang dengan sebelah tangan. Dahulunya sebuah komputer adalah peralatan untuk kerja bagi orang dewasa. Tetapi kita boleh lihat di mana-mana, walaupun seorang kanak-kanak sekolah bermain dengan sebuah komputer tablet sambil menunggu makanan tiba di restoran.

Dan yang pastinya, dahulunya pelanggan kita kesemuanya berada di rumah, menonton TV, membaca surat khabar atau yang mungkin sedikit kehadapan berada di belakang sebuah komputer, mereka kini berjalan ke sana sini dengan telefon pintar atau komputer tablet di tangan.

Saya percaya pasaran mula berubah dengan hadirnya pelbagai peranti canggih yang kecil dan ringan ini. Tambahan pula dengan pelbagai model, pilihan, saiz yang harganya rata-ratanya agak murah, pasaran berubah dengan lebih pantas daripada yang kita sangkakan.

Di Amerika Syarikat dan Eropah, pasaran berubah lebih pantas daripada casino online negara-negara di Asia. Tetapi memang trendnya dari dahulu, banyak perubahan bermula dari sana dan kemudian beralih ke sini sedikit demi sedikit.

Di negara maju, jualan buku berbanding ebook dilaporkan rata-rata pada tahap 50-50, atau mungkin lebih banyak jualan ebook. Setidak-tidaknya itu yang dilaporkan Amazon — jualan ebook melalui peranti Kindle melebihi jualan buku bercetak.

Dan tidak lama lagi trend itu akan ke sini juga. Setidak-tidaknya pasaran di sini mula mengikuti trend di sana, tetapi masih dahagakan bahan bacaan tempatan dalam bentuk digital.

Kerap kali kami bertemu dengan “pembaca” dan mereka bertanyakan judul-judul tertentu di E-Sentral.com. Banyak juga judul-judul yang kami ada, tetapi ada juga yang tidak. Sekiranya penerbit yang berkenaan ada bersama kami, kami boleh meminta penerbit tersebut untuk membina versi digital dan mula menjual melalui E-Sentral. Sekiranya tidak, hal itu agak sedikit sukar. Ada penerbit yang telah kami hubungi satu ketika dahulu. Ada yang bersetuju dan ada yang mengambil masa yang lebih lama sedikit untuk menukarkan buku-buku mereka ke versi digital. Itu tidak mengapa. Asalkan judul mereka kelak ada dalam bentuk digital untuk pembaca tempatan.

Tetapi, rata-rata saya rasakan yang pembaca tempatan mula beralih untuk membaca menggunakan peranti mobil. Ramai yang membuka iBook di iPad kecewa kerana tiada buku yang boleh dibeli. Ada yang mengharapkan buku-buku di kedai juga ada dalam versi digital.

Saya mengharapkan usaha pendigitalan dunia penerbitan di Malaysia mendapat sokongan semua pihak. Ini kerana, jelas pengguna semakin bersedia namun isi kandungan dan judul buku yang ditawarkan kepada pasaran perlu turut membangun seiring dengan itu.