[SNEAK PEEK] RAHSIA

RAHSIA Oleh Faizal Sulaiman

“Woi Sawi! Kau buat apa malam tadi?”

Sergahan Tajul mengejutkanku daripada lamunan panjang. Aku menjeling lelaki gendut itu dengan sebal. Dia mungkin sudah perasan yang bawah mataku sudah lebam akibat tidak cukup tidur. Walaupun kami tinggal sebumbung dan bekerja di tempat sama, aku dan dia sangat jarang bersua muka. Selalunya kami akan berkomunikasi menerusi WhatsApp walaupun berada dalam bilik masing-masing. Hanya bunyi-bunyian dari bilik air, TV terpasang ataupun kelentang-kelentung dari dapur yang menandakan aku atau Tajul berada di rumah.

“Aku tak boleh tidurlah!” balasku acuh tak acuh.

Dia tersenyum sinis. Keningnya terangkat-angkat. “Dapat lauk sedap ke malam tadi?”

Aku merengus. Aku tahu ‘lauk sedap’ yang dimaksudkannya itu. “Kau ingat aku macam kau ke?” ejekku sebelum menjeling Alex, seorang budak praktikal berdarah kacukan yang berjalan lenggang-lenggok menuju ke arah mesin fotostat. Aku perasan yang Tajul juga memandang gadis berpunggung lebar itu tanpa berkelip. Baru minggu lepas aku perasan yang dia berbual sakan dengan Alex dan mengajaknya keluar berjanji temu.

“Aku dah agak dah!” bidasku mencantas lamunan lelaki kacukan Melayu-Siam itu. Tajul tersengih-sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Matanya yang sepet seakan-akan terpejam kerana sengihan yang lebar.

“Rezeki, bro. Takkan aku nak tolak macam tu je. Nama pun lelaki, kan?”

Aku menjuih bibir. Huh! Aku pun lelaki. Tapi taklah gatal macam kau, lahanat! Kata-kata itu hanya tersangkut di celah kerongkong. Tidak berani hendak diluahkan secara terus terang. Tajul, walaupun badannya bersaiz beruang, wajahnya macho, mulutnya manis dan kaki perempuan, hatinya senipis kulit bawang. Sentapnya sahaja mungkin mengalahkan si Alex.

Aku meneruskan kerja dengan memasukkan data dari fail-fail yang semakin bertimbun ke dalam komputer. Tajul sudah lesap daripada pandangan. Mungkin dia sudah menabur kata-kata indah kepada Alex dengan mulut manisnya. Aku menggeleng. Tajul memang begitu, pantang bertembung dengan perempuan berdahi licin semua hendak diayatkannya. Aku pernah menegur sikapnya ketika di tahun akhir universiti dulu. Ubah cara, kataku. Nanti sudah kahwin susah. Tapi dia sekadar mengambil nasihatku umpama angin yang lalu. Peduli? Tidak sekali. Malah, ditempelaknya aku kerana tidak berani hendak mencabar diri.

“Orang jantan kena berani, bro,” marahnya. “Takkan kau nak jadi macam sawi ni, kot? Lembik je!” cemuhnya lagi lalu menunjukkan sawi tumis air yang dijamahnya bersama lauk-pauk ketika kami menikmati makan malam di Medan Selera Seksyen 2 Shah Alam waktu itu, lima tahun dahulu.

Sejak itu dia semakin ringan mulut memanggilku dengan gelaran ‘Sawi’. Mulanya aku marah. Yelah, Mak ngan Ayah bagi nama aku sedap, kot? Arif Mukminin Bin Abdul Jalil. Suka-suka embah dia je panggil aku Sawi. Tetapi selepas tahun berganti tahun, aku sudah tidak peduli dengan rasa marah itu. Telingaku sudah kebal agaknya.

Aku cuba fokus. Kemudian, aku hela nafas sambil menyelak fail tender dengan khusyuk. Aku baca isi kandungannya dengan teliti. Mataku tertancap pada terma-terma dan beberapa nombor penting. Tetapi selepas sepertiga bacaan, percubaanku untuk memberi sepenuh tumpuan nyata gagal. Fikiranku masih kuat mengenangkan mimpi ngeri malam tadi. Rasa tidak keruan menjelma. Kaca mata aku ditanggalkan lalu dicampakkan ke timbunan kertas di atas meja.

Butang minimize Microsoft Excel ditekan dengan sekali klik. Kursor digerakkan ke ikon Mozilla Firefox. Klik. Enjin Google terpapar. Jari-jemariku dilarikan ke papan kekunci, kemudiannya menaip TAFSIRAN MIMPI BERULANG di ruangan carian sebelum menekan kekunci enter. Mataku tertumpu pada senarai hasil carian yang terpapar sesaat pantasnya. Liar pandanganku melirik ke kiri dan ke kanan lalu membaca setiap hasil carian yang mungkin berpadanan.

iPhone 5S kuning keemasanku bergetar dengan senyap. Aku hentikan bacaan kemudian melirik pandang ke arah skrin telefon pintar yang memaparkan pesanan WhatsApp. Satu pesanan kiriman Mak di kampung. Kedua-dua keningku bercantum.

“Salam Arif. Hujung minggu ni boleh balik? Atuk rindu. Sian dia. Sekarang pun bukan sihat sangat. Balik ye, nak.”

Aku meraup wajah yang semakin lesu dan perasaan serba salah kemudian muncul. Jujurnya aku bukan keberatan hendak pulang ke kampung, mengambil kira jarak perjalanan dari rumah sewaku di Puncak Alam ke Sungai Besar bukanlah perjalanan yang jauh. Satu jam sekiranya tidak berlaku kesesakan. Dua jam mungkin ketika musim perayaan. Itu pun jarang-jarang. Tetapi apabila mengenangkan timbunan kerja yang masih belum selesai, perasaanku culas untuk menjejakkan kaki ke sana.

Usai pulang kerja, aku luahkan hal ini kepada Tajul. Dan seperti selalu, aku sudah boleh mengagak respon lelaki itu. Dia akan ketawa dahulu. Tawanya besar, terputus-putus dan kedengaran seperti dibuat-buat. Aku menggelarnya ‘ketawa orang kaya.’ Selepas dia ketawa dengan jengkel, penamparnya pula hinggap ke bahuku.

“Kau ni bernasib baik, tau. Ada keluarga lagi. Aku ni siapa-siapa pun takde,” tingkahnya sambil menghembus Gudang Garam dengan asyik. Aku diam sekejap kemudian bangun menuju ke dapur untuk meneguk segelas dua air sejuk dari dalam peti sejuk. “Balik jelah, Rep. Entah-entah ada benda yang Mak Ayah kau nak bagitau,” laungnya dari ruang tamu. Aku tidak menjawab sebaliknya masih menimbangkan cadangan itu. “Pasal kerja tu kau pejam mata je. Kerja tu esok lusa boleh settle. Mak Ayah kau tu takde gantinya, beb!” sambungnya.

****

Aku membawa Atuk pulang ke rumah selepas dua malam kami sekeluarga di Hospital Pantai. Jangkaan Mak dan Ayah tepat: Doktor Hakim dan beberapa pegawai perubatan lain gagal mengesan penyakit Atuk. Kata mereka, mental dan fizikal Atuk masih sihat, cuma dia sudah tua. Kerana itu pergerakannya terbatas dan butir cakapnya juga tidak berapa jelas. Sampai di situ aku dihambat bisu. Beberapa malam aku di kampung, Atuk dengan selesanya bercakap secara jelas kepadaku jadi aku menganggap dakwaan doktor itu tidak benar.

Aku mencempung Atuk dan merebahkannya ke tempat pembaringan. Dia tidur nyenyak, ketika kami membawanya keluar dari hospital itu pun dia masih tidur. Usai menguruskan Atuk, Mak menyuruhku berehat. Aku terus masuk ke bilik lalu menguncinya dari dalam dan ingatanku terus berputar kepada kotak misteri yang aku jumpa itu.

Aku mencangkung dan menyelak cadar katil dan kotak itu masih ada tersimpan di situ. Senyumanku lega lalu kotak itu aku tarik keluar dengan berhati-hati dan aku pangku. Aku bimbang juga kalau ada jembalang yang keluar secara tiba-tiba dari dalamnya hingga membuatkan aku teragak-agak untuk menyentuh. Tetapi aku harus kuat. Aku perlu melindungi keluarga yang tercinta.

Permukaan kotak itu aku usap perlahan-lahan, lembut seperti kain kapas biasa. Aku buka kain hitam yang membungkusnya dengan berhati-hati hingga aku terlihat sebuah peti kayu berbentuk segi empat, sama ukurannya dengan tepak sirih yang disimpan Mak di dalam almari cermin di ruang tamu. Peti kayu itu masih berkilat. Mungkin kerana kesan gris dengan minyak hitamnya menjadikan ia tidak lapuk dimakan zaman.

Penutupnya dibuka. Aku tersentak. Jantungku tiba-tiba berdebar. Kelihatan di dalam peti itu sebuah bekas air yang diperbuat daripada tanah liat berwarna coklat gelap bersaiz sebesar telapak tangan yang sumbing sedikit pada bibirnya. Bekas air itu ditutup dengan kain hitam yang diikat dengan dawai. Apabila ditekan permukaannya, aku terasa seperti ada sesuatu yang lembut dan bergumpal di dalamnya. Aku angkat bekas air itu separas telinga lalu digoncang-goncang sedikit tapi anehnya tidak ada sebarang bunyi yang terhasil. Lalu aku letakkannya semula di sebelah sehelai kain kuning diraja yang sudah lusuh, yang dilipat kemas-kemas dan diikat dengan dawai yang semakin berkarat.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97518/RAHSIA

[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, SAYANG

SAYANG AWAK, SAYANG Oleh Murni Aqila

BANGLO yang sepi itu semakin sunyi. Rasa kosong sahaja apabila tinggal di dalamnya. Junaira memaksa diri untuk pulang semula di situ atas desakan hati dan pujukan Liani, dan rasa rindu pada Nazif.

Sejak pulang ke situ, Nazif tiada di rumah. Entah bagaimanalah reaksi Nazif jika melihat dia kembali ke rumah itu. Atau sebenarnya Nazif tidak kisah? Jauh di sudut hati dia dapat rasakan yang Nazif tidak pedulikan ketiadaannya. Jadi, benarlah kata-kata Fahim?

Setelah mendengar cerita Fahim yang cuba dinafikan, lama-kelamaan ia meresap jua ke hati. Lantas dia bangun daripada pembaringan. Ditinggalkan semua buku nota yang hampir penuh di atas katil. Belajar waktu fikiran sedang runsing hanya membuatkan jiwanya kacau.

Di luar bilik, suasana juga sunyi. Nazif masih belum pulang walau sudah pukul 8.00 malam. Pandangan didongakkan ke atas, ke bilik Nazif. Desakan hati meronta-ronta mahu dia masuk ke dalam bilik tersebut.

Tidak berlengah, lalu dia mendaki anak tangga. Pintu bilik yang tidak dikunci itu dibuka. Hatinya amat yakin, pasti Nazif ada menyimpan keratan akhbar yang mengadungi artikel mengenai kemalangan keluarga mereka. Dia mahu sesuatu sebagai bukti kebenaran kata-kata Fahim. Selagi dia tidak mencari, selagi itu jiwanya kacau. Sudah dicari melalui internet, namun tidak berjumpa. Jika ada pun, sudah menjadi artikel dalam arkib akhbar tersebut. Tidak boleh dicapai lagi. Masakan tidak, peristiwa hampir empat tahun yang lalu.

Dia cuba mencari di setiap laci yang ada. Inilah pertama kali dia membuat kerja gila, menyelongkar bilik orang lain.

Bagaikan sudah terancang, dia menjumpai sebuah fail yang terletak di bahagian bawah laci meja kerja Nazif. Apabila diselak fail tersebut, terpapar beberapa keratan akhbar mengenai kemalangan tersebut. Juga susulan kejadian itu. Malah, ada gambar yang menunjukkan bagaimana remuk kereta Kancil yang dipandu arwah abahnya. Serta-merta rasa pilu menyengat dada.

Dia tidak pernah terfikir kemalangan tersebut mendapat liputan media. Apatah lagi ketika peristiwa itu berlaku, dia bertarung dengan jiwanya yang hampir rapuh. Tidak diambil peduli tentang kisahnya yang tertulis di dada akhbar.

Artikel itu dibaca dengan linangan air mata. Semerta datang kerinduan yang menendang-nendang naluri. Ya… memang benar kata Fahim. Keluarganya mengalami kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan arwah mummy dan daddy Nazif. Akibat kemalangan itu seluruh keluarganya meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala daddy Nazif meninggal tiga hari selepas dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan yang teruk. Manakala mummy Nazif dimasukkan ke dalam wad dan disahkan lumpuh!

“Ya ALLAH…” Junaira terduduk di lantai. Linangan air mata tidak mampu ditahan-tahan lagi. Laju berderai ke pipi.

“Mummy kata dia lumpuh sebab sakit. Penipu! Rupa-rupanya dia lumpuh sebab kemalangan. Tergamak dia rahsiakan semua ni daripada aku. Tapi, kenapa dia ambil aku jadi anak angkat dia? Konon-konon nak ambil aku jadi orang gaji dalam rumah ni. Entah-entah mereka nak dera aku dengan Haziq. Tapi tak sampai hati pulak lepas tu. Dan tergamak pula memaksa Nazif kahwin dengan aku.

Patutlah Nazif terima dia sebagai isteri. Mungkin ada muslihat. Supaya hidup aku makin sengsara. Patutlah Nazif tidak pernah menganggapnya sebagai isteri. Apatah lagi mencintainya. Memang betul kata Fahim. Mereka licik dan penuh muslihat!”

Betapa hancurnya hati tatkala mengetahui semua itu. Setelah hampir empat tahun, baru dia tahu cerita sebenar. Patutlah arwah mummy baik sangat padanya. Dan Nazif terpaksa menurut apa sahaja permintaan mummynya dalam keadaan tanpa rela. Juga tidak rela menikahinya. Hanya dia sahaja yang mencintai lelaki itu, sedangkan Nazif tidak pernah ada hati padanya. Disebabkan itulah Nazif tidak kisah pun dia tidak balik ke rumah semalam. Nazif menamparnya di hadapan khalayak. Nazif langsung tidak memujuknya. Semuanya kerana tiada cinta dalam hati Nazif untuknya. Langsung tiada!

Teresak-esak dia menangis sambil menatap keratan akhbar tersebut. Hatinya tertanya-tanya, mengapa semua ini yang harus terjadi dalam hidupnya? Mengapa? Mencintai seseorang yang tidak pernah mencintai adalah sesuatu yang sangat mendera perasaan.

Tiba-tiba pintu terbuka. Junaira mendongak. Nazif!

Lantas dia bangun dengan fail didakap erat ke dada. Spontan dia menyeka air mata yang membasahkan pipi. Pasti Nazif akan marah kerana dia menceroboh bilik itu.

Nazif tergamam melihat Junaira berada di dalam biliknya. Apatah lagi sedang memegang fail yang selama ini disimpan kemas. Wajahnya berubah riak. Pasti Junaira sudah tahu kisah sebenar antara keluarga mereka yang selama ini cuba disorok. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, Junaira bersuara terlebih dahulu.

“Maaf… Jun takkan masuk dalam bilik ni lagi.” Junaira meletakkan fail tersebut di atas katil dan terus berlalu melepasi Nazif yang tercegat di ambang pintu.

“Jun…” Nazif cuba menahan, namun Junaira sudah turun ke tingkat bawah. Pasti Junaira menyangka yang bukan-bukan sehingga mengalir air mata. Mahu sahaja dia memujuk gadis itu. Mengenangkan keadaan pasti akan lebih teruk jika menerangkan ketika hati Junaira tidak tenang, dibatalkan niatnya untuk memujuk gadis itu. Barangkali esok lusa hati Junaira kembali tenang. Ketika itu dia akan jelaskan semuanya kepada Junaira.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96067/sayang-awak-sayang

[SNEAK PEEK] ‘EX’ AKU GILA!

‘EX’ AKU GILA! Oleh Liza Nur

“NO,” ujar Hashir.
“Yes,” balas Sufiyyah.
“No!” jerit Hashir.
Sufiyyah menunjukkan air muka tidak peduli. Dia tidak kisah. Sama ada Hashir merestuinya atau tidak, tidak akan mengubah apa-apa. Tiga bulan dari sekarang, dia akan bergelar isteri kepada Izam.
Mereka akan mengadakan majlis pernikahan secara kecil-kecilan berbekalkan wang yang tidak seberapa. Bagi mereka, kemeriahan majlis itu nanti bukan terletak pada not ringgit. Cukuplah kalau mereka ada antara satu sama lain sebagai teman sehidup semati. Bukan kemeriahan majlis itu yang akan menentukan kebahagiaan mereka.
“Kau tak boleh kahwin, Sufi. Masalah aku belum selesai!” tegas Hashir, geram melihat sifat acuh tak acuh gadis itu.
“Masalah kau, Hash. Bukan masalah aku. Jangan cari aku lagi. Aku dah penat nak layan kau, nak tengok muka kau. Pergilah, Hash!” suruh Sufiyyah.
“Kau halau aku?” soal Hashir.
Ternyata kedatangannya hari itu mengundang kemarahan Sufiyyah. Selama 15 minit lamanya, Hashir memaksa Akma memanggil Sufiyyah turun. Gadis itu tidak mahu bertemu dengannya. Menurut Akma tadi, Sufiyyah menyuruh dia meninggalkan kediaman mereka atau dia akan menghubungi pihak berkuasa.
Mujurlah, sifat keras kepala Hashir berbaloi jua. Dia enggan beredar selagi Sufiyyah tidak mahu menemuinya. Mahu atau tidak, akhirnya Sufiyyah terpaksa turun ke bawah untuk menemui ex-boyfriend gilanya itu.
“Betul tu. Aku halau kau. Kalau kau sedar diri, baik kau baliklah. Jangan muncul depan aku lagi,” balas Sufiyyah.
Hashir merengus geram.
“Dulu, kau yang mintak maaf dari aku. Kau cakap kau yang bersalah sebab mintak putus. Kau janji kalau aku beri peluang pada kau sekali lagi, kau takkan mintak putus lagi. Kau lupa?” ungkit Hashir.
“Dan kau tak pernah bagi aku peluang, Hash. Tak pernah. Kau lepaskan aku. Kau cakap kau benci aku. Tiga tahun, Hash. Sekarang, kau balik semata-mata sebab nak aku tolong kau.”
“Mama dah suka kau. Apa salahnya kalau kau teruskan drama kau. Sekejap aje. Lepas kau yakinkan mama, kau boleh nyah dari hidup aku. Aku tak hairan pun. Aku takkan cari kau balik,” balas Hashir.
Hashir sudah benar-benar terdesak. Kalau tidak, manakan dia sanggup datang menundukkan egonya seperti itu, memohon bantuan Sufiyyah. Dia tidak boleh berkahwin dengan Natalia. Segala impiannya akan musnah bagaikan apple snail yang dipijak tapak kasut ketika jungle trekking. Natalia akan membuatkan kepalanya pusing. Gadis itu akan menjadi beban.
“Tolonglah, Hash. Aku rayu pada kau. Aku dah nak kahwin, Hash. Aku dah jumpa dengan lelaki yang betul-betul cintakan aku dan aku cintakan dia. Tolonglah jangan seksa aku macam ni,” rayu Sufiyyah.
“Dengar, Sufi. Kau kenal aku. Aku boleh buat apa saja agar hajat aku tercapai. Aku boleh musnahkan semua impian kau sampaikan lelaki tu tak nak pandang muka kau sekali pun!” ugut Hashir.
Mata Sufiyyah berair. Dia tahu kegilaan Hashir. Otak lelaki itu tidak pernah masuk dek akal. Lelaki itu sanggup melakukan apa saja asalkan segala yang dihajatinya tercapai. Sufiyyah tidak mahu kehilangan cintanya lagi. Bukan mudah untuk berjumpa dengan lelaki yang sanggup menerimanya dalam apa jua keadaan, menyayangi dan menjaga dirinya sehingga ke akhir hayat.
Sufiyyah yakin Izam adalah lelaki itu. Kalau tidak, mustahil lelaki itu sanggup melamar dirinya di awal usia perkenalan mereka. Izam mencari cinta selepas kahwin daripada cinta yang tidak ada destinasi yang pasti. Memang itu seeloknya.
“Sampai hati kau, Hash,” ujar Sufiyyah, terkilan.
“Tak payah berlagak baik dengan aku. Nak muntah aku dengar, Sufi. Aku kenal siapa kau yang sebenarnya,” balas Hashir.
Sufiyyah terdiam. Tidak cukup lagikah Hashir menghinanya? Kenapa dalam benar dendam Hashir terhadap cinta yang kononnya sudah tidak bererti lagi? Kalau cinta mereka dulu tidak ada impaknya lagi pada Hashir, mengapa lelaki itu perlu terusan berdendam dan menyeksanya? Jelas yang lelaki itu belum melepaskan dia sepenuhnya.
Tiga tahun yang berlalu bagaikan hanya sekejap saja bagi Hashir. Seakan-akan tidak ada apa-apa yang berubah dalam tempoh itu. Selain daripada sudah memiliki masternya, dia masih Hashir yang dulu. Ego tebal yang dimilikinya dulu tidak pernah lekang.
“Kalau aku halang perkahwinan kau, Sufi, kau akan kehilangan dia untuk selama-lamanya. Kau tahu aku sanggup buat apa saja. Kau tak nak jadi musuh aku, Sufi. Bukan sekarang. Aku terdesak,” gesa Hashir.
Wajah gila Hashir diperhatikan Sufiyyah. Di mana kekurangan wajah itu? Wajah yang seiras Matthew Gray Gubler versi Melayu. Selalunya Hashir nampak garang dan misteri. Tetapi, apabila dia tersenyum, wajahnya akan dimaniskan dengan kehadiran sepasang lesung pipit di pipi kanan dan kirinya.
Hashir gemar berbaju t-shirt warna yang lembut seperti putih dan baby blue. Si gila itu benci pakaian formal, membuatkan dia tidak pernah menjadi pekerja kolar putih dalam tempoh yang lama. Dia selalunya hanya mengenakan jeans atau seluar pendek paras lutut. Itu yang diperhatikan Sufiyyah sejak awal perkenalan mereka dulu. Dia tidak pernah melihat Hashir mengenakan baju t-shirt warna terang seperti kuning dan jingga, jauh sekali warna gelap seperti hitam dan biru gelap.
Tidak ada yang kurang dengan lelaki itu melainkan sifatnya yang kadang-kadang menjengkelkan. Lelaki itu boleh mendapatkan mana-mana wanita lain sebagai teman wanitanya. Tidak perlu berlakon. Mereka pasti sanggup menjadi teman wanitanya yang sebenar. Jadi, untuk apa memohon bantuan Sufiyyah untuk menjadi kekasih palsunya?
Jauh di sudut hati, Sufiyyah tahu Hashir boleh mendapat wanita yang lebih indah dipandang mata. Apa motif lelaki itu menjejakinya? Kalau benar Hashir tidak berpuas hati kerana dia sudah temui pengganti, bukankah lebih molek lelaki itu mencari kekasih baru daripada menghabiskan masa cuba merosakkan hubungan orang.
“Kau carilah perempuan lain. Ada banyak perempuan dalam dunia ni, Hash,” ujar Sufiyyah, memberanikan diri menyuarakan saranan.
“Perempuan lain akan mengharapkan lebih. Kau lain, Sufi. Aku takkan tertipu dengan kau, aku tak hadap nak pandang muka kau lagi. Kau pun dah nak kahwin, kau takkan tuntut apa-apa daripada aku,” jelas Hashir.
Sufiyyah mengeluh. Entahlah untuk kali yang ke berapa. Dia sendiri sudah terlupa. Selagi kisah gila ini belum bernoktah, selagi itulah dia akan mengeluh, menyesali nasib diri. 62 hari yang dibazirkan bersama lelaki itu menghukumnya kini. Dia terasa seperti dijerut, sesak untuk bernafas. Kalau Hashir mengetatkan cerutan itu, barangkali dia akan mati kelemasan.
“Kau janji kau akan lepaskan aku lepas mama kau batalkan rancangan dia untuk kahwinkan kau dengan Natalia?” soal Sufiyyah.
Hashir mengangguk.
“Definitely. You are not in my future plan, Sufi. Aku tak berminat untuk simpan kau,” ujar Hashir.
Mata sepet. Hidung yang tidak mancung. Bibir yang kecil, tetapi merah merekah. Wajah itu adalah wajah yang pernah dirindukan dulu. Wajah yang membuatkan dia terfikir untuk berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Tetapi, itu dulu, sebelum dia mengerti isi hati gadis itu yang busuk.
Sifat Sufiyyah tidak sesuci namanya. Dia makhluk tercela, makhluk yang rela merosakkan hati orang yang ikhlas menyukainya. Hashir tidak akan menyemai rasa cinta dalam hatinya terhadap gadis itu lagi. Tidak! Dia akan menghumban nama itu keluar dari hatinya selepas semuanya selesai. Sufiyyah hanya picisan, bukan hadir untuk menghuni di hati buat satu tempoh yang panjang.
“Okey,” jawab Sufiyyah.
“Kalau macam tu, jom ikut aku jumpa mama sekarang. Mama nak ajak kau masak sama-sama,” ucap Hashir.
“Hash, hari ni tak boleh. Pukul 5.00 nanti, aku kena keluar dengan bakal suami aku. Aku dah janji,” tolak Sufiyyah.
“Cakaplah dengan dia, kau lambat sikit. Sekarang baru pukul 11.00 pagi. Sempat aje aku hantarkan kau balik sebelum pukul 5.00 petang,” ujar Hashir dalam nada acuh tak acuh.
Janji Sufiyyah pada Izam tidak penting di matanya. Dia hanya merisaukan masalah dirinya sekarang. Ia lebih penting.
“Nanti kalau balik lambat?” soal Sufiyyah.
“Aku cakap sempat tu sempatlah. Kau ingat Merz aku tak boleh lari laju? Tolong sikit. Jangan samakan Myvi kau dengan kereta aku,” sindir Hashir.
Sufiyyah menarik muka masam.
“Meluat pula aku tengok. Dah, jom gerak, gila!” gesa Hashir.
“Boleh tak jangan panggil aku gila?”
Hashir menunjukkan muka selamba.
“Dah kau memang gila, nak buat macam mana? Gila! Gila! Gila! Perempuan gila!” balas Hashir.
“Mengata dulang, paku serpih!” balas Sufiyyah.
Hashir tercengang.
“Hah?”
“Itulah akibatnya kalau subjek Bahasa Melayu SPM dapat tujuh. Nama aje orang Melayu, peribahasa pun tak tahu,” ejek Sufiyyah.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95894/ex-aku-gila