[SNEAK PEEK] LELAKI KIRIMAN TUHAN

LELAKI KIRIMAN TUHAN Oleh Umie Nadzimah

PUKUL satu pagi. Naira bercekak pinggang di hadapan kaunter resepsi. Mata melilau mencari pekerjanya yang hilang. Entah ke mana melesap. Macam inilah setiap malam. Sesuka hati saja dia orang ni mengular. Kena rajin buat spot check… Jika tidak, sampai ke siang kaunter ni tak bertunggu. Seorang pekerja memang sentiasa ditugaskan di sini untuk shif malam.

Ngerrr… Ngerrr… Ngerrr…

Dia terpegun. Bunyi pelik kedengaran. Mula-mula perlahan, semakin lama semakin kuat. Macam bunyi kucing jantan bergaduh rebutkan kucing betina pun ada.

Ngerrrer…

Uiks… Ini sudah melampau. Takkan stafnya sanggup jaga kucing penghuni resort ni kut. Kucing tak dibenarkan berada di sini. Itu peraturan. Tak kira di dalam atau di luar bangunan.

Naira menapak ke sisi kaunter. Di situ dia boleh nampak siapakah empunya bunyi-bunyian penuh irama itu.

Kucing? Ular? Harimau? Isk…

Satu tubuh berbungkuskan selimut putih sedang enak mengerekot di atas lantai bawah kaunter. Perlahan-lahan Naira menarik kain selimut tersebut.

“Azlan…” Perlahan tapi tegas suara Naira. Pantang dia jumpa benda mengarut macam ni.

Azlan menarik semula kain selimut kepunyaan resort yang melurut dari dadanya.

“Haih, kacau orang tidur aje…” rungutnya dengan mata masih terpejam.

“Azlan!” Kali ini Naira bertempik. Tak kuasa melayan kerenah Azlan lama-lama. Sakit mata tengok. Hati lagi sakit. Kalau tersengguk atas kerusi di kaunter dia boleh terima lagi… Ini siap dengan selimut dan bantal bagai. Memalukan!

Spontan Azlan bangun, terus duduk di atas kerusi dan menyelubung tubuh dengan selimut putih tersebut. Sekali muka… Macam pocong pula dah, tambahan pada waktu-waktu dinihari begini.

“Azlan!” Sekali lagi Naira bertempik. Tak puas hati dengan reaksi Azlan yang terbaik itu.

Azlan terperanjat. Baru dia sedar yang berdiri di hadapannya adalah bos besar Cik Nam! Cepat-cepat dicampakkan selimut ke bawah. Kelihatan rambutnya yang serabai. Air liur di tepi mulut dia lap dengan tangan.

Naik loya Naira melihat… Eeei, tak senonoh la budak ni.

“Errr… Errr… Maaf, bos… Saya tak sengaja…” Dengan muka terpisat-pisat dan tak malu dia mohon maaf.

“Tak sengaja la sangat! Yang berselubung macam mayat boleh pula?” marah Naira, garang. Mata yang bulat ditala pada Azlan.

“Errr… Tindakan luar sedar, bos… Tak dapat kawal dah!” Masih mahu mempertahankan diri dengan alasan yang tak kukuh langsung.

“Selimut dengan bantal tu berjalan sendiri cari awak?”

Azlan terkulat-kulat. Salah dia. Mana boleh tidur macam dah mati waktu bertugas malam. Kan sudah kantoi dengan Cik Nam! Bukan dengan sembarangan orang. Dengan Cik Nam pemilik resort yang tergarang!

“Maaf, bos… Maaf, saya janji tak buat lagi.” Mohon Azlan dengan muka minta simpati.

“Hah, apa lagi duk jadi patung di situ? Tak reti-reti kemaskan tempat, cuci muka yang macam apek tak tidur setahun tu? Ingat… Saya bayar gaji awak untuk duty… Bukan untuk senang-lenang tidur mengeruh, tau!”

Bebel Naira lagi, berpakej dengan tangan di pinggang dan mata yang membulat ke atas ke bawah, macam hendak telan Si Azlan.

Azlan akur. Perlahan dia melipat selimut, lalu diletak tersorok bawah kaunter bersama bantal. Kemudian dia bergerak ke bilik air yang tidak jauh dari situ.

“Lepas ni simpan harta karun awak kat tempatnya! Saya tak mahu bahagian depan ni bersepah-sepah macam pondok buruk!”

Azlan mengangguk. Kata-kata bos ada betulnya, walaupun kekadang menyakitkan hati. Sudah dia yang bersalah. Waktu bertugas pergi kroh kroh… Bos mana yang tak hangat hati bila nampak? Tapi Cik Nam tu rajin sungguh haih… Kalau dialah di tempat Cik Nam, tak kuasa nak turun periksa tengah-tengah malam sejuk cenggini. Lebih baik lena, nyusahkan badan buat apa?

Sementara Azlan ke bilik air… Naira duduk di kaunter, hidupkan komputer di hadapan. Melihat daftar masuk penghuni resort. Aha… Masih ada yang belum check in, dan lingkungan waktu pendaftaran yang diminta antara pukul dua belas tengah malam hingga dua pagi.

Heh… Ada orang yang nak masuk resort pukul satu malam? Masa perompak datang ni. Akan tetapi apa nak dikesahkan, macam-macam ragam orang dia dah jumpa. Bukan sehari dua dia menjaga resort peninggalan arwah abahnya ini. Dari zaman kanak-kanak lagi dia dah membantu uruskan resort ini.

Naira memandang ke arah pintu utama. Hatinya tiba-tiba terdetik untuk melakukan demikian. Dan kali ini dia pula yang terkejut beruk. Ada seorang lelaki yang sedang merenung ke arahnya. Tajam sekali. Rupa dan penampilannya… Owh, tidak… Manusia di hadapan itu lebih tepat lagi sebut sebagai perompak atau samseng! Naira yang garang itu sudah ada rasa gementar.

“Hmmm… Hmmm…” Lelaki tersebut berdeham.

Tanpa dipelawa, perlahan lelaki itu menapak ke arah Naira. Wajahnya macam hutan belantara, penuh dengan rumput hitam yang tak ditarah. Berserabut betul jambangnya. Dengan jean lusuh dan jaket kulit, plus cermin mata gelap fesyen Awie yang menutup satu per tiga bahagian mukanya, di malam-malam buta ni… Fuh, luruh semangat!

Naira cuba berlagak berani di situ. Namun hati berdoa supaya cepat la Si Azlan bongok tu datang semula. Jangan la Azlan balas dendam membiarkan dia dibunuh lelaki tak dikenali di hadapan kaunter resort kepunyaan sendiri. Lagi sadis kalau kena rogol! Hukhuk…

“Yes, sir… Can I help you?” Naira menyerahkan nasib pada takdir. Namun, mata sempat mengerling pada gunting tajam yang disimpan dalam drawer kaunter yang terbuka. Kalau terdesak… Sehabis upaya dia akan pertahankan diri. Lagipun ada CCTV sebagai bahan bukti. Salah tak salah belakang kira. Taklah lama dia akan meringkuk dalam penjara nanti dengan alasan mempertahankan diri sendiri.

“Check in…”

Itu saja yang lelaki tu cakap. Lelaki tersebut keluarkan kad pengenalan dan catatan nombor tempahan dari dompetnya dan dihulur kepada Naira. Tadi Naira dah saspens, takut lelaki keluarkan pistol atau pisau… Rupa-rupanya keluarkan dompet.

Sedikit sebanyak Naira sudah boleh menarik nafas lega sebab dah pegang kad identiti orang tu. Iqbal Raid bin Fakirudin namanya. Hamboih… Nama tak padan dengan orang yang berserabut gila. Nama ibarat ulamak tersohor.

Akan tetapi kaedah renungan manusia ini di sebalik kaca mata gelapnya amat mencurigakan. Gerun, beb!

Jari Naira kelihatan menggeletar…

Lelaki tersebut pandang ke arah tangan Naira. Huhu… Dia perasan… Dia perasan… Dia tahu aku tengah cuak. Kalau dia nak ambil kesempatan pun mudah, omel Naira dalam hati.

“Aha… Gugup! Takut apa? Tadi kemain garang lagi… Takkan takut dengan saya kut?”

Suara lelaki itu serius menyinis. Sempat menyindir lagi. Naira angkat muka… Dia bagi jelingan maut. Kebiasaannya Naira tak layan pelanggan dengan jeling-jeling mata cenggini… Sumber duit kut, harus sabarkan diri dan melayan dengan sopan. Namun mamat di hadapan ini gayanya semacam, jadi Naira tak rasa bersalah untuk kurang respek. Ada aura penjenayah gitu. Huh!

“Stay tujuh hari?” Naira tanya, tak ada tambahan ayat dengan panggilan hormat encik seperti selalu.

“Yup.”

Masa itu Azlan sudah kembali ke kaunter. Naira rasa lega, sekurang-kurangnya ada backup kalau apa-apa berlaku. Azlan juga tak berkerdip memandang tetamu tak dijangka itu. Atas bawah atas bawah Azlan pandang. Hati Azlan pun menyangka yang bukan-bukan. Naira sempat kerling, memberi isyarat supaya Azlan berjaga-jaga. Standby. Macamlah Azlan tu sado sangat. Lengan Azlan tu kurus kering aje. Jika dibandingkan Azlan dengan lelaki gerun ni… Azlan tu nampak kemetot saja. Kalau bertarung sah-sah kalah.

“Payment macam mana? Kad atau cash?” soal Naira.

“Berapa?”

Naira menghulurkan borang yang tercatat jumlah harga untuk tujuh hari. Hairan juga, apa agenda mamat ni sampai nak tinggal sini selama tujuh hari. Kalau nak berbulan madu, bini tak nampak pula. Dengan rupa yang macam ni… Jauh panggang dari api. Entah-entah penjual dadah. Rupa dan gaya ada potensi tu.

Naira menunjukkan jumlah caj dengan mata pen.

“Plus deposit ini totalnya. Nanti masa check out kami pulangkan.”

Tanpa bicara, lelaki tersebut mengeluarkan sejumlah wang tersebut dari dompet ke atas meja. Lebih Ringgit Malaysia satu ratus lagi. Nairah pulangkan satu ratus tersebut.

“Keep the change… Tip,” kata lelaki bernama Iqbal Raid tu. Dia tak ambil pun duit baki itu.

“Banyak sangat ni…” protes Naira.

“Kami di sini tak terima tip.” Kononnya, padahal tip la yang semua staf dia rebut-rebut.

Lelaki itu buat derk. Tak dipandang pun note seratus yang dipulangkan.

Kad bilik diberikan.

“Terima kasih… Kalau senyum sikit, lagi nyaman hati saya kut…” kata Si Iqbal Raid selamba, sebelum berlalu pergi.

Azlan berpandangan dengan Naira.

“Cik Naira tak takut ke? Muka macam pecah rumah aje jantan tu… Mai pula time ni, karang dia buat pecah-pecah pintu resort ni, habis kita…” komen Azlan.

Naira angkat bahu.

“Hati-hatilah… Itulah gunanya staf seperti awak… Kalau nak hasilkan air liur basi aje kerja… Seribu pintu kena pecah pun tak tahu.”

Azlan terdiam. Terkena sekali. Padan muka. Lena lagi lain kali.

Naira melihat borang yang masih di atas meja kaunter. Tujuannya nak lihat nombor telefon lelaki tersebut serta butir-butir peribadinya lengkap diisi. Apa-apa hal berlaku nanti dia sudah ada detail. Naira cuak juga. Dunia akhir zaman ni macam-macam boleh jadi. Tiba-tiba jari Naira tersentuh sesuatu berhampiran borang tersebut.

Masa itu Naira pandang Azlan dan Azlan juga pandang Cik Nairanya.

“Dompet malaun tu?” tanya Azlan.

Naira seram sejuk…

“Eh… Cik Naira, sampul kuning ni cik punya ke?”

Naira geleng.

Azlan jenguk isi dalam sampul. Matanya membulat pandang bosnya.

“Banyaknya duit dalam ni, bos!”

“Hah… Duit?”

Naira turut menjenguk isi kandungan dalam sampul kuning tersebut.

“Ya Allah… Banyaknya duit. Lelaki tu baru lepas menyamun ke?” Naira gusar. Atau lelaki tu lanun di lautan sana dan singgah di sini sebagai tempat persembunyian.

Tiba-tiba Naira panik!

****

DUA jam berlalu. Naira relaks-relaks sahaja. Dia mula menumpukan perhatian pada rutin tugas hariannya. Memastikan perkhidmatan dan layanan pekerja-pekerja di Resort Abah ini berjalan dengan baik. Dia membuat pemerhatian di segenap sudut resort. Ini sahajalah harta peninggalan abahnya yang mendatangkan hasil. Dia harus pastikan resort ini terus maju.

“Cik Naira! Cik Naira!”

Naira dalam perjalanan menuju ke Kafe Nyaman apabila terdengar namanya dipanggil. Dia berhenti dan menoleh ke belakang.

“Ada apa, Sarah?” tanyanya pada pekerja yang bertugas di bahagian receptionist pagi ini. Sarah kelihatan tercungap-cungap berlari mengejar Naira.

“Guest bilik 308 tu…” ujar Sarah.

Allah… Nombor bilik orang serabut tu. Matilanak, gumam Naira dalam hati.

“Kenapa dengan guest tu?” Wajah Naira penuh tanda tanya.

“Dia mengamuk sakan!”

“Apa yang dia nak?” soal Naira, tegas. Saspens sangat dah.

“Nak Cik Naira. Dengan kita orang semua dia tak nak deal. Dia jerit-jerit nak dengan Cik Naira juga,” jawab Sarah teragak-agak. Sedikit takut. Pertama dia memang takut tetamu bilik 308 tu. Bahasanya tajam benar. Kedua, sebab Cik Naira ni boleh tahan garangnya. Tak kena gaya dan mood Cik Naira… Boleh terpelanting dia nanti kena jerit.

Naira tak kata apa-apa dah pada pekerjanya. Langkah diatur laju ke kaunter resepsi. Telefon di atas meja terus dicapai dan dia tekan nombor bilik lelaki tersebut. Cepat sahaja panggilannya disambut. Tak sampai beberapa saat. Bermakna lelaki itu memang sedang menunggu.

Apa lagi halnya ni? Barang sudah dipulangkan dengan jujurnya. Satu sen pun tak luak. Apa lagi yang dia tak puas hati? Atau dia nak buat helah, mana tahu boleh dapat lagi seribu dua ribu. Kalau dasar penyangak dan jahat tu, memang akan terus jahat, hatinya akan terus jadi hitam!

“Helo… Encik perlukan bantuan apa-apa?” sapa Naira serius, dalam satu nafas. Tak buang masa dah. Straight to the point.

“Saya dah kata, tak nak cakap dengan siapa-siapa melainkan dengan perempuan yang bernama Naira tu.”

Tegas, serius dan satu nafas juga Naira dengar jawapan dari manusia semak di sebelah sana. Kemain ya berlagak.

“Naira speaking!”

“Hah, ada pun… Berjam-jam saya tunggu. Ingatkan dah lesap!” Tempelak Iqbal Raid sinis.

“Maksud encik? Saya tak faham!” Naira dah mula panas hati.

“Awak curi barang saya!”

“Jangan tuduh sembarangan tanpa bukti, encik!” Naira menafikan. Seharusnya la, kan. Dia memang tak buat, memang tak ambil apa-apa pun.

“Siapa kata saya tak ada bukti? Ingat saya ni buta ke? Mengaku sajalah yang awak dah ambil barang saya!”

“Encik jangan nak tipu saya! Kalau saya tak buat, kenapa saya mesti mengaku? Saya ni bukan heroin sadis dalam drama Melayu yang nak menanggung kesalahan hero yang saya tak buat!” Nada suara Naira semakin meninggi. Selari dengan tahap kemarahannya yang semakin meningkat.

Jeda seketika. Reaksi Naira tidak disambut pantas oleh si semak di atas sana. Agaknya dia tengah menghadam kata-kata yang dilontar Naira. Habis heroin drama Melayu diheret masuk sekali dalam pertengkaran ini.

“Hurm… Heroin drama Melayu memang klise… Tambah-tambah yang waktu maghrib tu… Saya pun fed up. Tapi awak lain, selamba ambil barang orang yang tak kenal…”

“Heh… Saya tak ambillah. Tak ingin saya ambil duit tak halal!” tengking Naira kuat.

Pucat muka Sarah dan seorang lagi rakannya yang berada di hadapan bos mereka. Kecut, beb…

Naira lupa sudah polisi hotel yang selalu dia tekankan pada pekerjanya. Pelanggan hotel tu raja, jadi kena layan dengan baik, lemah lembut dan sopan-santun. Kali ini kesabaran Naira benar-benar tercabar, hingga dia sendiri break the rules. Pantang sungguh bila orang menuduh dia menjadi pencuri. Walaupun pada asalnya dia ada niat juga.

Lihatlah… Kalau kita ada niat jahat, walaupun sekadar niat yang tak jadi buat, tetap dikurniakan pengajarannya. Maka inilah pengajaran untuk dia kali ini. Lain kali jangan cuba-cuba untuk berniat serong atau jahat.

“Awak ambil barang saya!”

“Saya tak ambil!”

“Awak ambil!”

“Heh… Pergi meninggallah kalau tak percaya!”

Pap!

Naira hempas gagang telefon ke tempatnya.

“Tak faham bahasa punya manusia, sesuka hati nak menuduh orang macam-macam…” rungut Naira sendirian. Dia mengayun langkah pergi dari situ.

Sarah dan rakan sekerjanya, Tina saling berpandangan dan masing-masing mengangkat bahu.

“Baru kena buku dengan ruas…” bisik Sarah.

“Itulah… Cenge sangat dengan kita. Sekali Tuhan balas la dekat dia,” bisik Tina balik.

“Kannn…”

Kedua-duanya gelak. Hilang sudah kecut perut sebab bos dah pergi dari situ. Malangnya, sekejap cuma kegembiraan mereka, sebab selepas itu berdering-dering telefon daripada lelaki yang sama. Dia nak juga bercakap dengan Cik Naira. Tidak ada toleransi dah.

“Awak pergi cari bos awak sekarang! Saya tak nak cakap dengan awak, suara tak sedap! Kejap lagi saya call balik! Jika tak ada dia, saya turun mengamuk di bawah. Awak nak ke?” ugut lelaki itu pada Sarah. Gagang telefon diletak sebelum Sarah beri alasan apa-apa. Cemberut muka Sarah. Hilang sudah gelak ketawanya sebentar tadi.

“Wei… Dia nak cakap dengan Cik Nam tu juga… Macam mana ni, Tina?”

“Hang pergilah cari bos lagi!” suruh Tina.

“Apa pula aku… Kaulah pula. Tadi aku dah pi panggil bos dah!”

“Aku?” Mata Tina sudah terbelalak.

“Aku tak berapa berani sangat. Hang lagi lama kerja sini… Aku baru lagi… Ketaq aku!”

Telefon berbunyi lagi. Sarah angkat.

“Ada? Saya bagi beberapa minit lagi… Jika tak ada ada juga bos awak, saya turun pakai spender menari tiger kat depan kaunter. Saya tak malu… Tapi saya tahu awaklah yang akan malu!”

Pap! Gagang diletak.

Sarah garu-garu kepalanya.

“Gila la orang ni… Ada ke dia nak turun sini pakai spender aje… Takut aku weh!”

“Hesy… Jom la kita cari bos! Tak lalu aku tengok orang jantan pakai seluar kecil berlegar kat sini. Tersemboi semacam depan tu. Kalau mat salih… Orang putih takpa la, putih… Ni had yang macam belakang kuali nak tayang! Geli aku!” Tina buat badan gaya geli-geleman.

“Itulah… Aku pun tak lalu nak tengok wayang macam tu. Tapi nak mampus pergi berdua? Kaunter ni mana boleh tinggal! Bukan tak tahu Cik Nam yang cenge tu, kalau dia nampak sini tak berorang, mengamuk sakan la dia…” balas Sarah.

“Hmmm…”

Kedua-dua gadis menoleh. Cik Naira sudah tercegat di hadapan mereka.

“Riuh mesyuarat? Dah tak ada kerja nak buat?” tegur Naira, masam.

“Ad… Ada, Cik Naira. Guest tu asyik ugut kami kalau Cik Naira tak call dia balik, dia nak buat tiger show depan ni. Bogel… Eh bukan, pakai tutup kain macam tarzan tu aje…” adu Sarah takut-takut, tapi boleh lagi tokok tambah cerita.

Naira merengus dengar. Geram. Gagang telefon lalu dicapai semula.

“Helo… Awak nak apa sebenarnya?” Tanya dia lantang setelah gagang sebelah sana diangkat.

“Boleh awak naik bilik saya sekarang? Kita bincang!”

“Awak jamin tak apa-apakan saya?” tanya Naira tegas.

“Kalau awak tak datang… Saya akan apa-apakan awak. Kalau datang… Awak akan selamat!” Lelaki itu kasi kata dua.

“Huh… Saya naik!” Naira membuat keputusan.

“Good. Saya tunggu!”

“Cepatlah awak meninggal… Menyusahkan sungguh!”

“Tak boleh meninggal selagi tak jumpa awak, settlekan hutang. Lepas tu boleh la saya pejamkan mata dengan aman!”

“Huh!” Naira merengus.

“Now! Naik sekarang! Kalau tak, saya buat tiger show di bawah, dengan spender merah ang ang.”

“Like I care?”

“You have to… Sebab pasangan dance saya tentunya awak!”

“Awak jangan macam-macam! Saya buat police report!”

“Saya tak kesah masuk lokap… Yang penting saya dah tiger dance dengan awak… Now!”

“Gila!”

“Now!”

Lelaki semak memutuskan talian terlebih dahulu. Naira mengeluh. Dia pandang pada Sarah yang memerhati sejak tadi.

“Kasi saya gunting dalam laci tu, Sarah.”

Sarah akur.

“Errr… Cik Naira nak naik ke?” Teragak-agak Sarah tanya.

“Yalah. Selagi saya tak selesaikan dengan dia… Selagi itulah dia melarat-larat merapu,” balas Naira sambil masukkan gunting sederhana besar ke dalam kocek jaket luarnya.

“Cik Naira tak takut ke? Saya temankan?”

“Tak apalah, Sarah. Biar saya selesaikan sendiri. Awak buatlah kerja awak di bawah ni. Lagipun saya tak nak libatkan awak dengan orang yang merbahaya. Kasihan emak bapak awak kalau jadi apa-apa.”

“Tapi Cik Naira yang dalam bahaya, takkan saya nak biarkan…”

“Tak apa, Sarah… Saya dah biasa jumpa orang macam ni…”

Sebaik saja berhenti bercakap, Naira terus hentak-hentak kakinya menuju tangga. Terkebil-kebil Sarah dan Tina.

“Beraninya Cik Naira tu ya,” komen Tina.

Sarah sekadar mengangguk perlahan. Bimbang juga dia. Segarang-garang Cik Naira, dalam hatinya penuh kasih sayang pada setiap kakitangannya. Secara zahirnya, ramai pekerja suka mengumpat Cik Naira, namun Sarah tahu hampir kesemuanya mengharap rezeki hidup di resort Cik Naira. Dan tanpa Cik Naira yang tegas dan garang itu… Tak mungkin tempat ini akan maju. Garang Cik Naira, bukan sebarang garang, garang bersebab!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203426/lelaki-kiriman-tuhan

[SNEAK PEEK] HALALKAN HATI YANG KU CURI

HALALKAN HATI YANG KU CURI Oleh Mia Kiff

Constance Moofushi, Pulau Malpes

AKHIRNYA Faiq dan Delisha sampai juga ke syurga kepulauan terumbu karang terindah di dunia. Mereka ke sini menaiki seaplane yang diakses terus dari Male International Airport. Mengambil masa 25 minit juga perjalanan ke Resort Constance Moofushi sambil menikmati kebiruan laut yang luar biasa cantiknya. Memang Pulau Malpes mempunyai keunikan pantai dan lautnya yang tersendiri dan tak hairanlah menjadi destinasi pelancongan pilihan di dunia.

Faiq tersenyum puas, melihat Delisha menolak kaca mata hitamnya ke atas demi menikmati pemandangan resort mewah yang terapung di atas laguna yang luas. Pasiran putih yang sungguh mengagumkan terdampar di sepanjang pinggiran pantai menyemarakkan ketenangan. Semoga panorama di sini mampu mengembalikan mood Delisha yang merudum tadi.

Delisha memandang Faiq lama hingga Faiq tertanya-tanya.

“Dear, you love it, right?” Faiq yakin dengan katanya. Tak mahu dah mengadap perangai Delisha yang tak habis-habis dari KLIA sampai ke sini.

“Tempat apa you bawa I ni? I nak Resort JA Manafaru. Bukan kat sini. I dah bagi tahu awal-awal kan, suruh you booking resort tu. Habis tu apa ni? I tak naklah tempat ni, ni bukan pulau yang I nak.” Delisha merungut tak puas hati. Mahunya tidak, dia dah berangan nak berjemur di pantai peribadi milik resort tu, nak berendam sakan di private pool. Tapi kat sini, ada apa? Dia bukannya survey pun tempat ni.

Faiq mengeluh. Ingatkan Delisha akan puji habis-habisan tempat ni, ada juga komen dia.

“Sayang, sini pun cantik apa? Constance Moofushi pun salah satu resort termewah tau kat Pulau Malpes ni. Review pun bagus kat sini. Pantai cantik, pemandangan indah. Makanannya sedap-sedap, servis dia orang pun bagus.”

Delisha memeluk tubuhnya sendiri, dia masih tak puas hati. Tak cukup mood dirudumkan, sekarang Faiq tambah lagi?

Delisha akui memanglah cantik pemandangan kat sini. Dekorasi resort ni pun menarik tapi JA Manafaru lagi cantik dan mewah. Lagi banyak fasilitinya.

“Tapi sana better dari sini, kan? I sendiri tak tahu dan tak ambil port tempat ni. Patutnya tanya I dulu, bincang dengan I dulu. Suka hati ikut kepala you aje nak decide itu ini. Lain kali jangan tanya pendapat I. You pilih sendiri. Merosakkan mood I nak bercuti,” rengus Delisha dengan muka masam mencuka.

Sakit hati Delisha berganda melihat Faiq mengusung tiga orang kawan lelakinya yang turut membawa kekasih masing-masing. Mereka semua baru tiba menaiki seaplane. Mesti Faiq yang support, kan? Lagi bertambah kacau mood Delisha.

Delisha cukup tak suka kawan-kawan Faiq. Baginya mereka ni memang suka ambil kesempatan, memang tak tahu malu. Delisha inginkan privacy bersama Faiq tapi kehadiran mereka ini memang mengganggu sangat.

Delisha sambung lagi. Dia jenis tak suka pendam. Biar habis kat sini saja. Biar Faiq tahu, betapa dia tak puas hati dan sakit hati.

“Tu, sampai hati you tak bincang dengan I dulu. Buat apa bawa dia orang semua tu? Mesti you sponsor dia orang, kan? Sebab sponsor dia oranglah, you tak jadi menginap kat sana, kan? Kalau I tahu, dari awal-awal lagi I takkan susahkan you la. I boleh booking sendiri. Setahun pun nak menginap kat resort tu, I mampulah! I boleh holiday tanpa you!” Delisha nak kesah apa, janji duit ada kat tangan, mahu kemana-mana pun tiada masalah.

Berani ke tu melancong sendirian? Masa belajar di Itali pun, Faiq dan Zainal yang jaga dia. Kat KL pun harapkan Faiq dan driver ke mana-mana? Delisha kalau emosi, terkeluar habis.

“Sayang, kalau kita berdua aje, tak bestlah. Ramai-ramai barulah happening. Kita datang sini nak berseronok, nak enjoy . Nak tenang-tenangkan fikiran. You, jangan fikir yang bukan-bukan. Dahlah tu, janganlah tunjuk muka masam kat sini. Nanti kawan-kawan I dengar, kecil hati dia orang. You duduk sebilik dengan kekasih kawan I, ya? Dia orang tu nak sangat kawan dengan you tau. Tapi you ni, suka syak wasangka yang bukan-bukan. Cubalah you bermasyarakat sikit.”

Faiq memujuk Delisha lagi. Delisha pandang atas. Meluat betul. Tak kuasa dia nak bercampur dengan manusia perangai parasit macam tu.

“I kalau tak suka, tak boleh paksa I la. I nak duduk bilik asing-asing. I tak nak kongsi. I perlukan privacy. I walk in, you tak payah sibuk hal I, you layanlah kawan you tu puas-puas.” Sebaik saja kawan-kawan Faiq yang baru sampai mendekati mereka, Delisha terus angkat kaki. Ketara wajah bengangnya. Faiq memandang hampa.

“Faiq, cantik siot tempat ni! Thanks sponsor kita orang.” Zamri menegur sambil mata tak lepas pandang sekeliling. Rakan-rakan yang lain pun sama, sungguh teruja.

Faiq senyum tawar. Masakan tidak, kekasih hati merajuk. Tapi takkan nak tunjuk perasaan depan kawan-kawan. Hati mereka kena jaga.

Zaimah, kekasih Zamri menegur.

“Eh, kenapa Isha tu? Masam aje daripada tadi? Kita orang tegur, langsung tak balas.”

Zaimah sedar yang Delisha tu agak sombong sikit, maklumlah anak hartawan. Harap berduit aje mereka nak menempel, kalau harapkan perangai berlagak dia tu, tak ingin mereka nak kawan. Menyakitkan hati betul.

Yang peliknya kenapa Faiq ni cinta sangat Delisha tu? Memanglah cantik tapi harap muka aje. Perangai buruk. Kalaulah Zaimah dapat lelaki handsome dan kaya macam Faiq ni, akan dijaga sepenuh rasa, dibelai-belai manja setiap masa.

Amboi, sedapnya hati tu berburuk sangka kat orang, kan? Padahal diri sendiri yang tak ikhlas tak sedar-sedar. Nak harap duit sendiri nak sampai tempat macam ni, memang taklah. Orang nak belanja pun, dah besar rahmat.

Faiq menggeleng.

“Datang bulan kut. Tensionlah tu tak dapat mandi laut. Biasalah perempuan I yang satu tu, angin dia datang tak menentu.”

Mencipta alasan demi menjaga keadaan. Kesian tengok kawan-kawan bukan main gembira lagi.

Semua ketawa. Ketawa demi ceriakan keadaan agar mood percutian tak terganggu.

“Tak jadi honeymoon la nampaknya kau. Bendera Jepun tengah berkibar!” usik Mazlan. Lagi mereka ketawa.

“Banyaklah kau orang punya honeymoon. Tak ada maknanya. Hahaha… Eh dahlah, jom kita check in , tak sabar aku nak mandi laut…” Faiq buat-buat ketawa, padahal serabut fikirkan Delisha yang tak habis-habis kepala angin.

Mereka beransur ke kaunter pendaftaran.

LEGA Delisha, walaupun dia walk in tapi masih ada bilik kosong. Delisha meletakkan bagasi dalam wardrobe dan mengamati sekitar vila. Water Villa Crystal All Inclusive adalah salah satu vila yang terapung merentasi lagun dikelilingi air laut yang jernih. Untung dia dapat vila ni, sedangkan Faiq dan rakannya yang diusung tadi semua menginap di vila tepi laut.

Delisha memerhati sekeliling bilik. Cantik juga dekorasinya. Banyak juga kemudahan bilik ni, termasuk TV skrin rata, mini Mac (dengan DVD dan sambungan iPod) dan Wi-Fi percuma. Not bad, cuma tak ada private pool. Tak apalah, berendam kat bath tub pun okey juga.

Angin laut meniup langsir putih memanggil Delisha untuk ke balkoni. Hembusan angin dihirupnya puas. Rambut ikal mayangnya berterbangan ditiup angin. Ada dua buah kerusi rehat panjang di luar dan buaian untuk merehatkan diri. Delisha menuruni anak tangga dan menyentuh air laut yang kebiruan, ikan-ikan yang berwarna-warni berenang-renang sungguh mengasyikkan. Cantiknya. Delisha tersenyum gembira beroleh ketenangan.

Delisha mengambil beberapa gambar mengunakan iPhone5nya. Swafoto. Pemandangan yang cantik membuatkan Delisha yang sedia cantik bertambah menawan.

Tanpa menunggu lagi, dia upload dalam Instagram dan Facebook beberapa keping gambarnya dengan teruja.

Holiday at Pulau Malpes.

Tanpa perlu tunggu lama, Faiq orang pertama like dan komen dulu. Dan yang paling Delisha geram, Zainal pun sama juga.

Faiq: I love you, more than you…

Zainal: Jika bulan menerangi seluruh alam
ini, kecantikanmu menerangi hatiku.

Faiq: Sila cuci mata sambil gigit jari. Yalah,
nak dapat orangnya, cuma dalam mimpi.
Kesian… Kesian…

Zainal: Aku akan terus menanti.

Faiq: Kau tunggulah, tak ada siapa pun
suruh. Kau kan suka buat kerja siasia…

Delisha merengus. Bergaduh pula mamat dua ekor ni. Dua-dua menyakitkan hati. Tak ada masa aku nak balas komen dia orang berdua. Macam budak-budak. Menyemak aje kat IG aku. Mujurlah like banyak. Sejuk juga hati aku ni. Delisha menutup telefonnya.

Tubuhnya rasa melekit. Nak mandilah, segarkan badan dulu kemudian berehat. Penat.

PETANG itu Delisha bersiar-siar sendirian di tepi pantai yang dikhaskan untuk penginap resort . Esok pagi, dia tak sabar nak snorkeling dan scuba diving. Nak menikmati keindahan terumbu karang dan hidupan laut di sini.

Terjaga saja dari tidur tadi, ada berbelas missed call. Lantak. Tak adanya dia telefon balik. Hatinya masih membara lagi.

“Dear…” Terdengar suara Faiq. Dah datang pun. Berdiri di sisi. Muka bengang Delisha menyambut kedatangannya.

“Kat mana bilik you? I tanya reception, mereka tak nak cari, risau you ke mana-mana…” Delisha memeluk tubuh, air muka mencuka. Tersentuh hati juga dengan sikap ambil berat Faiq tu, tapi dah hati ni berangin.

Melihat Delisha diam, Faiq bertanya lagi.

“Merajuk lagi?” Delisha menjeling. Baru nak panggil mood bercuti, puncanya datang balik.

Delisha menjawab geram.

“Bila I tak jawab call you balik, tak faham-faham bahasa lagi ke? I tak nak diganggu. I need my privacy. You datang bercuti pun, bukan nak bersama I, kan? You tak payah pedulikan I, you pergi layan kawan-kawan you tu. Bergembira saja dengan dia orang tu!” Bertegas sajalah daripada jernihkan keadaan. Delisha belum lagi reda sakit hati.

“Sayang, janganlah macam ni. I risau tau you jalan sorang-sorang. Dahlah buah hati I ni cantik. Kalau ada yang mengurat nanti macam mana?” Delisha merengus. Wajah Faiq dipandang serius. Sakit hatinya Faiq panggil ‘sayang’, sayang apa maknanya tu.

“I bukan urusan you. You pergilah kat kawan-kawan you. Mereka lagi penting daripada I.” Masih dingin.

“Sayang, kawan dengan kekasih mana sama. Bersama you, macam-macam perkara yang I boleh buat dengan happy , tapi tanpa you, satu perkara pun tak jalan sebab I tak happy . Dahlah, jangan merajuk lagi.” Faiq memanggil mood Delisha lagi agar pulih. Dia tak pernah bosan mengadap perangai Delisha yang tak menentu ni. Yang penting dia sayang, dia cinta.

“Kalau macam tu, biar lautan yang indah ni jadi saksi, I nak clash dengan you! Lepas ni you cari patung buat teman hidup you, sebab I dan patung tak ada bezanya!” Delisha dah tak dapat tahan sabar dan minta putus sebab nak Faiq rasa sakit yang sama.

Faiq segera mendapatkan Delisha.

“Tahu tak kenapa I bawa kawan-kawan I join sekali?” Delisha tersenyum sinis. Apa pula tanya dia? Mana dia tahu. Yang dia tahu, mereka semua tu penyibuk dan ambil kesempatan.

“Sebab I tak cukup kuat nak bercuti berdua dengan you.” Delisha tertarik mendengar jawapan itu. Dia berhenti melangkah.

“Maksud you?” Faiq lega, Delisha dah merudum sedikit marahnya. Dah boleh bawa berbincang. Kata putus tadi Faiq tahu, bukannya serius pun.

“Sebab tu I bawa kawan-kawan I bersama-sama. Sekurangnya, boleh elak apa yang you tak suka tu. I tak nak kita terlanjur kat sini sebab I memang tak kuat. Daya tarikan you tinggi sangat kerana I cintakan you…” Terkedu Delisha mendengarnya. Sampai macam tu sekali Faiq cuba mengawal keinginannya. Tersentuh juga hati. Argh , ini semua alasan!

“Tapi I tak suka dia orang tu. Yang perempuan tu gedik. Yang lelaki tu, suka pergunakan you dan duit you. You tak sedar ke, Faiq?”

“Dah itu aje kawan I yang ada. Okey, jom kita ke sana? Main bola tampar pantai dengan kawan-kawan I,” ajak Faiq menghulur tangan. Delisha mengerling sekilas dalam kemarahan yang kian reda.

“Yalah. Tapi ingat ya, I tak suka bercampur dengan mereka. Jangan suruh mereka tumpang bilik I pula.” Faiq gembira Delisha akur. Clash tadi hanya mainan emosi saja. Delisha kalau marah, memang habis keluar semua tapi Faiq tahu, Delisha sayangkan dia.

“Yalah sayang, mereka kan dah ada bilik…”

DELISHA duduk bersantai di atas kerusi panjang sambil minum jus oren. Dia hanya jadi penonton Faiq bermain bola tampar pantai bersama rakan-rakannya dan juga beberapa orang pelancong di situ.

“Hai Isha,” tegur Zaimah. Delisha tak rapat sangat, kenal macam tu aje. Yang pastinya, ini salah seorang daripada perempuan yang Delisha tak suka. Gedik. Tengoklah pakaian dia, seksanya mata.

“Hai.” Dingin balasan Delisha.

“Cantikkan tempat ni? Rasa macam mimpi aje boleh sampai sini. Eh, kat mana you tidur? Tak join kita orang ke?” Delisha mencebik, buat-buat mesra konon. Dia mengangkat kening menampakkan angkuhnya di situ.

“Excuse me, I tak suka kongsi-kongsi. You ingat lawatan sambil belajar ke nak kongsi-kongsi?” Zaimah mengutuk dalam hati. Berlagak betul dia ni. Mujurlah Faiq tu kekasih dia. Kalau tak, memang kena sound direct aje.

“Oh, well I faham. Mesti you nak duduk sebilik dengan Faiq, kan? Yalah, datang jauh-jauh, rugilah tak manfaat masa bersama. Kalau duduk dengan kami, kacau line la!” Zaimah berseloroh, tapi dia seorang yang ketawa. Apa, ingat kelakar bagi Delisha? Never!

“Sorry, I bukan macam you dengan Zamri, okey? Kita orang belum langgar lagi. I just need my privacy. I datang sini nak bercuti, nak tenangkan diri, bukan nak semakkan kepala I!”

“You tak takut ke tidur sorang-sorang?” Dalam mengutuk itu, Zaimah harap juga Delisha pelawa dia tidur bilik Delisha. Mesti lagi mewah.

“I lagi takut kalau tinggal dengan manusia yang perangai lebih daripada hantu. You tahu kan, zaman moden ni manusia lagi menakutkan daripada hantu…”

Terkena sebiji Zaimah, memang tersindir dek kata-kata Delisha. Tapi ditahan sabar. Cuba lagi nak berbaik-baik.

“Betul cakap you tu. Eh, you tengok saja ke mereka main? Tak join sekali? Thanks …” Zaimah mengucapkan terima kasih pada pelayan yang baru saja meletakkan segelas jus oren buatnya.

“I sayang lemak I, tak naklah kurus sangat. Nanti tak seksi, cuba pakai seksi pun tak ada maknanya…” Sengih Delisha, paksa ramah. Jus oren dihirupnya. Zaimah mencebik. Tak dinafikan, Delisha memiliki susuk tubuh yang sempurna. Tak macam dia, kurus sangat macam tiang lampu. Sebab tu dia agak terasa ditegur begitu.

“Kurus sangat pun tak apa, asalkan baik hati. Tak buat perangai yang menyakitkan mata. Terutamanya dengan kekasih.” Delisha berpaling hairan memandang Zaimah. Zaimah perli dia ke?

“Nak uji kekasih kita tu baik atau tak, cubalah buat dia marah. Kalau dia masih bersabar dan pandai memujuk tanpa kenal erti putus asa, itu tanda dia benar-benar sayangkan kita, cintakan kita sepenuh hati dia.” Zaimah dibakar api cemburu. Untungnya Delisha. Sudahlah cantik, anak hartawan, dapat kekasih pun anak orang kaya habis-habis.

“Yalah sangat tu. Belum dapat pijak semut pun tak mati. Dah dapat entah dicampaknya tepi jalan. You, hati-hati tau. Kang nak datang bercuti, terhoneymoon pula. Punah semuanya.” Delisha pandang Faiq yang sedang bergembira bermain bola tampar pantai. Sempat Faiq menoleh ke arahnya dan melambai. Delisha membalas dengan senyuman.

“I kenal Faiq, lebih daripada I kenal you. Kalau you cemburukan I sebab dapat Faiq, tak payahlah cuba nak reka cerita nak hancurkan hubungan kami. Cukuplah you dengan boyfriend you dah hanyut, tak payahlah nak samakan Zamri dengan Faiq.”

Geram betul Zaimah, walaupun Delisha ni kepala angin tapi tak mudah melatah juga tu.

“Percaya betul you dengan Faiq tu ye? Actually, I hairanlah kenapa you still couple dengan Faiq padahal dia tu, perempuan sana sini. Tak mungkinlah kaki clubbing macam dia tu tak main dengan perempuan. Dengar kata, ada yang dah tidur dengan dia dah pun.”

Delisha menggelengkan kepala. Tak habis-habis lagi nak sebar fitnah. Lesing juga kang betina ni.

“Siapa perempuan tu? Ada bukti? Kau nampak?”

Berubah muka Zaimah. Bukti mana ada, dia main teka ni. Delisha dah faham apa sebenarnya niat perempuan ni, mengada-adakan cerita.

“I pun dengar cerita daripada orang. Tapi I pernah nampak, dia menari dengan perempuan lain kat kelab…”

Kalau itu Delisha pun tahu, sebab perangai gatal Faiq tu susah nak ubah. Tapi bab curang ni…

“Siapa yang cerita?”

“Ma… Manalah I kenal…”

“So, tak ada alasan untuk I dengar cakap you.” Zaimah tersenyum sinis. Susahnya nak hasut perempuan ni.

“Hei, Isha. I cuma nak tolong you aje tau, agar tak terjerat dengan buaya tu. Ini you balas I? You ni memang loser, patutlah you tak ramai kawan. Tak ada yang teringin nak kawan dengan you sebab you ni tak habis berlagak, sombong, mentang-mentang anak orang kaya!” Zaimah terkeluar taring sebenar, Delisha senyum mengejek.

“Biar loser pun tak apa, daripada dapat kawan yang berlidah macam you ni. Biar berlagak pun tak apa, asalkan harta benda sendiri, daripada tak tahu malu menginding duit orang. You tahu tak kenapa I dan Faiq bergaduh tadi? Sebab I tak suka dia bawa you all ke sini sebab I tahu you all ni bukan kawan yang jujur. You all ambil kesempatan sebab dia berduit.”

“You tergamak ya, burukkan Faiq depan I? Padahal dia taja percutian you dan kekasih you ke sini? Apa jenis manusia you ni? Tak tahu kenang budi ke? I ni, walaupun laser dan menyakitkan hati, tapi itulah I. I berkata yang betul, I bukan hipokrit macam you all!”

“I kenal Faiq lebih daripada you. Jadi jangan nak buruk-burukkan dia. Kesian Faiq dapat kawan macam you all ni! Bukan saja ambil kesempatan tapi tikam dia dari belakang.” Panjang lebar Delisha menghambur Zaimah.

Zaimah merengus, tapi dia kena kawal tingkah laku. Delisha ni nampaknya susah nak diracun.

“Sorrylah Isha, janganlah salah sangka dengan I. I tahu you cintakan Faiq, mesti you akan percaya dia. I tak ada niat nak burukkan Faiq. I cuma nak you hati-hati. I cuma nak warning you. I kan wanita, I pun nak selamatkan you.”

Delisha tersenyum sinis. Tak payahlah nak belit cerita, dia dah jelas semuanya.

“Diri sendiri pun dah barai, ada hati nak selamatkan orang. Huh!” Delisha bangun dari situ mengambil jus oren menghampiri Faiq yang sudah tamat bermain bola. Terpinga-pinga Zaimah dibalas begitu.

Bersorak keriangan Faiq dan rakan-rakan sepermainan. Tisu dari poket seluar dikeluarkan lalu dilap peluh buah hatinya itu. Faiq senang hati menerima layanan Delisha. Baik sudah mood dia, senyum pun tak henti.

“Minumlah, you dahaga, kan?” Delisha menghulurkan jus oren buat Faiq.

Faiq terus menghirupnya. Kongsi minumanlah pula. Romantisnya Delisha.

“Thanks, sayang.” Delisha tersenyum senang. Melihat wajah Faiq, dia jatuh kasihan. Kasihan kerana dikelilingi orang-orang yang tak jujur sedangkan Faiq baik sangat.

Mereka bersurai. Faiq dan rakan-rakannya sudah merancang nak ke Manta Bar malam ni.

“Jom, sayang. I hantar you balik bilik. Malam ni kita dinner sama-sama.”

“Tak apa, I boleh balik sendiri. Malam ni kita jumpa kat reception…” Delisha berkira-kira untuk pulang ke resort tapi Faiq menghalang.

“Merajuk lagi?” Faiq rasa sedikit perubahan pada Delisha.

“Merajuk? Taklah.”

“Habis tu, takkan I nak hantar pun tak sudi?” Delisha berdecit.

“I bukan budak kecil lagilah. Tak payahlah nak temankan I, you tu penat, kan? Balik rehat, mandi! Busuk.”

Delisha menggosok hidungnya, tak selesa.

Delisha kembali atur langkah, namun Faiq mengekori.

“I nak pastikan you selamat sampai ke bilik you. Malam ni I datang jemput you. Kita dinner sama-sama. Kita ke pub…” Faiq menyaingi Delisha.

“You ni degil la… I kata tak payah teman tu tak payahlah!” Faiq berdiri mengadap Delisha.

“You ni tak habis-habis nak marah. Apa yang tak kena lagi?”

“I datang sini nak tenangkan fikiran. Tapi biasalah, parasit yang you bawa tu tak habis-habis buat I hilang mood .”

Delisha memeluk tubuhnya. Faiq mengeluh, ada lagi yang tak kena nampaknya.

“Cubalah you ikhlaskan diri you bergaul dengan mereka. Mereka semua tu baik.” Delisha ketawa.

“Baik? You nak I ikhlas dengan orang yang tak ikhlas macam tu? Come on la, Faiq. Naif betul you ni, mujurlah I ni kenal hati budi you. Kalau tak, I kick you ke laut. Stupid!”

Faiq menyaingi langkah Delisha ke bilik.

“You tak payahlah nak sesakkan kepala dengan dia orang tu. Abaikan ajelah semua tu. Janji ada I, ada you, kita happy bercuti bersama. Right?”

“Whateverlah, Faiq. Kawan-kawan you tu bukan sesiapa pun pada I. Lantaklah. Esok-esok, you terkena you tanggunglah. Padan muka you!”

“Dear, dahlah tu…”

“Yalah, tak ada pentingnya pun I nak cakap pasal dia orang.” Faiq berasa lega, gaduh Delisha tak berpanjangan.

“Wow, cantiknya resort yang terapung ni. Siap ada tangga lagi nak turun laut, ya? Resort you pun macam ni ke?” Faiq memerhati sekeliling. Ditunjukkan salah satu daripada bilik yang terapung merentasi lagun.

“Haah, nasib I baik. Ada bilik kosong. Tak sanggup I kongsi dengan perempuan-perempuan gedik tu. Kalau tak ada bilik, I rela patah balik.”

Dah sampai bilik Delisha. Patutlah Delisha lupa terus Faiq sebaik saja check in tadi. Cantik dekorasinya.

“Okey, dah sampai bilik I. So, you tunggu apa lagi?” Delisha berdiri depan pintu memeluk tubuh.

Faiq tersenyum nakal.

“Tak bagi I masuk? Teringin juga nak tengok bilik you? Mesti cantik, kan? Untungnya you dapat bilik ni…”

“Nak harapkan you entah bilik jenis apa you pilih untuk I. Dah la kena kongsi. You tak payah mengada-ada la nak masuk tengok. Baik you pergi balik bilik yang you pilih tu. Hadap puas-puas!”

Faiq menghadang tangannya di kiri kanan Delisha. Selambanya Delisha tolak. Hai, kepala angin betul buah hati Faiq ni. Nak romantik pun susah.

“Yalah, sayang. I takkan buat sesuatu yang you tak suka. You siap cantik-cantik tau, malam ni I jemput.”

Mata Delisha naik ke atas.

“Yalah.” Faiq senyum. Direnung kasih dalam mata Delisha.

“Bye, sayang…” Tangan diletak di bibir sendiri, lalu diletak atas bibir Delisha. Cukuplah kasih sayangnya hanya setakat itu. Dia akan sabar menanti saat bahagia mereka.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203429/halalkan-hati-yang-ku-curi

[SNEAK PEEK] 100 HARI MENGENAL CINTA

100 HARI MENGENAL CINTA Oleh Syu Ariani

BIJIRIN oat di dalam mangkuknya dikuis menggunakan sudu. Sesekali Airina bermain mata dengan Salbiah, mengharapkan bantuan Salbiah untuk memecahkan keheningan ini. Kebiasaannya mulut mereka sibuk berceloteh itu dan ini sewaktu menikmati sarapan pagi tetapi hari ini, mulut Halim bagaikan terkunci pula. Airina pandang Hazizul yang duduk bersebelahannya dan bertentangan dengan Halim.

Mesti ayah marah lagi… Hati Airina berdesis.

“Apa pelan Rin lepas ni? Jadi pergi ke Jepun untuk honeymoon? Ataupun dah ada pelan lain?” Akhirnya Salbiah membuka topik perbualan. Harapnya perbualan ini akan berterusan sekaligus melembutkan sedikit hati Halim.

Airina pandang Hazizul pula. Rancangan berbulan madu ke Jepun itu adalah rancangan dia dan Harris.

“Jadi ke?” tanyanya kepada Hazizul memandangkan lelaki itulah yang menguruskan segala-galanya.

“Rasanya tak kut… Saya ingat nak bawa Rin pergi Johor lepas ni…”

“Johor?” tanya Salbiah hairan.

“Kenapa? Tak ada duit nak bawa Rin pergi Jepun tu?” Halim bertanya kasar.

“Abang…” Salbiah menegur suaminya itu. Ekspresi Airina sudah berubah manakala Hazizul masih lagi tenang seperti biasa.

“Ayah ni, ada pula tanya dia macam tu. Sebelum ni pun Rin bertunang dengan Harris bukannya sebab duit dia,” tukas Airina kurang senang dengan soalan Halim. Bimbang juga Airina kalau Hazizul menganggap dia mata duitan dan pisau cukur.

“Bukan… Saya ada kerja…” jawab Hazizul pendek tetapi masih berlembut.

“Kamu ada kerja apa kat Johor tu? Bukannya selama ni kamu berjimba aje ke?” tanya Halim. Cerita-cerita besannya tentang perangai buruk Hazizul seakan-akan melekat di dalam kepalanya. Entah apa lebihnya Hazizul berbanding Harris sehinggakan Airina memilih dia, Halim tidak tahu.

Hazizul mengulum senyum tipisnya, tidak langsung kata-kata itu berbekas dalam hatinya. Sedangkan ahli keluarganya sendiri pun melemparkan kata-kata nista itu kepadanya, inikan pula Halim yang tidak pernah mengenalinya secara personal.

Serba salah dengan ketelanjuran suaminya, Salbiah meminta maaf bagi pihak Halim.

“Sorrylah, Zul. Ibu pun tak tahu kenapa ayah kamu ni emotional pagi-pagi. Bila Zul nak gerak ke Johor? Hari ni juga ke? Bila balik KL semula?” tanya Salbiah. Dia memanggil menantunya dengan panggilan mesra ‘Zul’ seraya menggelar dirinya ‘ibu’ dan Halim ‘ayah’. Salbiah mahu Hazizul rasa diterima walaupun hakikatnya Halim masih lagi melancarkan perang dingin.

Hazizul terpempan sendiri mendengar gelaran yang digunakan Salbiah. Tak pernah lagi ada insan yang memanggilnya semesra itu.

“Saya ingat habis makan ni nak terus balik Johor. Insya-Allah lagi seminggu nanti kita orang balik KL semula. Tapi kalau ibu rindu Rin, bagi tahulah. Saya boleh tolong hantarkan dia ke rumah…” jawab Hazizul yang masih menggunakan kata nama diri ‘saya’.

Tangan Salbiah sudah tergawang-gawang sambil kepalanya tergeleng-geleng.

“Eh, tak apa. Sekarang ni dia dah jadi isteri Zul. Tempat seorang isteri kat sisi suami dia. Jangan risaukan ibu dan ayah. Kan boleh call kalau rindu,” balas Salbiah.

Halim yang hatinya masih berbuku pula memberi jawapan yang kontra dengan Salbiah.

“Baru kahwin dah nak pisahkan kami anakberanak. Kamu nak buat apa kat Rin sebenarnya?”

Kali ini kesabaran Airina semakin menipis. Katakata itu selayaknya diberi kepada Harris tetapi kenapa Hazizul pula yang menerimanya?

“Ayah, Rin mintak maaf. Tapi kalau ayah terus provok suami Rin macam ni…”

“Tengoklah tu. Ajar bini kamu jadi biadab pula?”

Melopong Airina apabila kata-katanya ditafsir sebegitu oleh Halim. Terasa jemarinya digenggam, Airina pantas menghalakan matanya ke Hazizul. Suaminya itu sudah menggeleng seraya mulutnya membisikkan ‘jangan’.

Airina menggigit bibirnya geram. Sungguh, dia masih tidak memahami sebab di sebalik tindak-tanduk Hazizul. Adakah lelaki itu memang jenis yang tidak mudah terasa? Bagaimana dia masih boleh mendiamkan diri walaupun selepas menerima tohmahan daripada orang lain? Airina perasan sejak malam mereka mengumumkan hubungan mereka pun, Hazizul menerima makian Norli dan Zainal bulat-bulat. Dan sekarang Hazizul tetap juga berdiam diri apabila Halim menyindirinya.

Kau memang macam ni ataupun kau tengah berlakon depan kita orang, Hazizul? Terdetik soalan itu dalam fikiran Airina.

“Sudahlah abang ni. Kenapa nak cari gaduh depan rezeki ni?” marah Salbiah pula.

“Zul dengan Rin makanlah cepat. Lepas ni nak drive ke Johor lagi, mesti penat. Dah habis makan ni, terus ambil beg kat bilik dan pergi Johor. Ibu ayah nak stay lagi semalam kat sini…”

Hazizul dan Airina sama-sama mengangguk. Mereka berdua tahu Salbiah sedang menyelamatkan dirinya daripada terus-terusan ‘diserang’ Halim.

“AIRINA. Bangun, kita dah sampai…”

“Hmmm?”

“Bangunlah, kita dah sampai ni,” kata Hazizul lagi. Airina menggeliat kecil manakala Hazizul sudah pun turun dari kereta dan menuju ke pintu rumah. Airina pandang kanan dan kirinya. Lambat-lambat dia keluar dari kereta.

“Rumah siapa ni?” tanyanya.

“Rumah akulah,” jawab Hazizul pendek. Selepas pintu rumah dibuka, Hazizul berpatah balik ke kereta untuk mengambil beg baju dia dan Airina. Kemudian beg itu dibawa masuk ke dalam rumah.

“Masuklah,” panggilnya.

Airina akur walaupun dia masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Hazizul ada rumah di Johor? Tapi kenapa? Semua ahli keluarga Hazizul tinggal di banglo besar mereka, termasuklah Haikal dan isterinya.

“Kenapa kau ada rumah kat Johor pula?” tanyanya polos. Airina ternganga melihat rekaan dalaman rumah semi-D dua tingkat yang bertemakan kontemporari itu.

“Cantiknya,” pujinya.

Hazizul yang berdiri di depan pintu sudah mengulum senyumnya.

“Seriuslah ni rumah kau?”

“Yalah. Takkanlah aku rompak rumah orang lain pula…” jawab Hazizul.

Airina masih lagi terpegun dengan kecantikan rumah itu.

“Kat atas ada swimming pool tau…”

“Serius?”

“Taklah aku tipu aje,” balas Hazizul yang sudah ketawa besar.

Airina pamer muka masamnya. Dalam tempoh masa yang singkat itu, dia sudah mula membayangkan dirinya berenang di dalam kolam renang tetapi Hazizul memusnahkan angan-angannya itu sekelip mata.

“Tapi ada bathtub. Bolehlah kau berendam dalam bilik mandi lama-lama,” ujar Hazizul.

Airina cerlungkan matanya, tidak tahu mahu mempercayai lelaki itu ataupun tidak.

“Kali ni aku seriuslah…”

Kaki diarahkan menuju ke sofa lalu Airina menghenyakkan tubuhnya di atas sofa itu.

“Sofa kau pun best juga…” komennya.

Hazizul geli hati mendengarkan komen Airina itu. Dia turut mendekati sofa tersebut lalu melutut di tepinya. Wajahnya didekatkan dengan wajah Airina yang sedang memejam matanya.

“Ini baru sofa. Kau belum tengok katil lagi. Mesti kau tak nak balik KL dah lepas ni…”

Nafas Hazizul yang menampar wajah Airina membuatkan Airina celik matanya sebelah. Kedua-dua mata Airina terbuka luas apabila wajahnya begitu dekat dengan Hazizul. Hidung mereka nyaris bersentuhan. Airina kelipkan matanya berkali-kali.

“Jomlah, aku tunjuk bilik,” kata Hazizul yang sudah pun berdiri.

Airina duduk tegak di atas sofa. Aku yang perasan ataupun mamat ni suka skinship? Tapi agaklah, dia kan playboy. Kalau aku tak tahu yang dia ni playboy, mesti hati aku dah cair… desis hati Airina. Sesekali kepalanya mengangguk kemudian dia menggeleng pula.

“Airina! Cepatlah naik!” laung Hazizul dari tingkat atas.

“Sabarlah!” sahut Airina. Di setiap langkahnya, Airina memuji setiap inci rumah tersebut. Sampai sahaja di tingkat atas, mata Airina tertumpu pada dua buah bilik. Kakinya berjalan ke arah bilik yang mana pintunya terbuka.

“Besarnya bilik kau,” katanya lagi. Dilihatnya Hazizul sudah duduk bersila di atas katil. Airina mula menjalankan misinya untuk ‘meneroka’ bilik tersebut. Jam dinding berbentuk matahari berwarna hitam berjaya menaikkan seri bilik itu yang bercat putih. Mata Airina jatuh pada karpet berwarna kelabu pula.

Kemudian Airina berlalu ke bilik mandi untuk melihat sendiri dengan mata kepalanya tab mandi yang dimaksudkan Hazizul. Untuk kesekian kalinya Airina merasa kagum. Tab mandi itu bukanlah tipikal tab mandi empat segi.

“Clawfoot tub ni bukannya mahal ke?” tanya Airina seakan-akan tidak mempercayai matanya.

“Tak adalah mahal sangat kut. Pada aku masih affordable lagi,” jawab Hazizul tanpa sebarang niat untuk bermegah.

Airina melompat ke atas katil bersaiz king itu pula. Empuk gila katil ni… komennya dalam hati.

“Bilik lagi satu tu bilik apa?”

“Working room cum reading room aku. Sepatutnya ada tiga bilik kat atas ni tapi sebab aku tinggal sorang, jadi aku besarkan bilik tu. Which indirectly means kita kena share biliklah. Kau okey tak? Kalau kau tak okey, aku boleh tidur kat bawah sementara cari alternatif lain…” Hazizul memberi penjelasan ringkas tentang reka bentuk rumahnya sebelum dia bertanya semula kepada Airina.

Airina angkat kening kanannya.

“Apa alternatif lain kau?”

“Apa-apalah, asalkan kau selesa. Paling teruk pun, aku boleh tidur kat hotel…” jawab Hazizul lagi.

Airina pantas menggeleng.

“Sayanglah habiskan duit kat hotel. Tak apalah, kita tidurlah sekali dalam bilik ni. Katil ni pun besar, cukup sangat untuk kita berdua. Kalau ada someone yang patut tidur atas sofa, it should be me,” ujar Airina.

“Kau betul-betul tak kesah ke?” tanya Hazizul meminta kepastian. Kenapa Airina jauh berbeza dengan watak-watak heroin yang dipaparkan dalam drama Melayu? Kebiasaannya heroin akan tersipu-sipu malu dan membiarkan suaminya tidur di atas sofa atau lantai tetapi Airina pula bersikap selamba mengajak Hazizul tidur sekatil dengannya.

“Laaa, nak kesahkan apa? Inikan rumah kau. Janganlah risaukan aku,” balas Airina.

“Kalau kau tak kesah, aku pun okey aje,” jawab Hazizul. Senyumannya lebar sehingga ke telinga memikirkan malam ini dia akan kembali ‘bersatu’ dengan katil empuknya.

“Tapi kenapa kau ada rumah kat Johor?” Barulah kini Airina berpeluang untuk melontarkan soalan itu kepada Hazizul.

“Aku ada company kat sini. Sebab itulah aku jarang-jarang ada kat KL…”

“Company apa? Sama dengan company abah kau ke?”

Hazizul menggeleng. Ternyata gadis di depannya itu langsung tidak mengetahui apa-apa tentangnya.

“Company aku sendirilah. Printing company. Pelita Printing. Kau ingat lagi tak Benjamin tu? Dialah business partner aku,” jelas Hazizul lagi.

Mulut Airina sudah membentuk huruf O. Patutlah susah nak jumpa mamat ni, dia sibuk kerja kat Johor rupa-rupanya… Akal Airina membuat kesimpulannya sendiri. Apabila terfikirkan sesuatu, Airina membuka mulutnya lagi.

“Tapi kau bukannya sibuk berjimba ke? Kalau betul kau bekerja, kenapa famili kau cakap kau asyik berjimba dan habiskan duit dia orang?”

Hazizul sekadar menjongketkan bahunya tanda tidak tahu. Dia sendiri pun malas mahu membuka mulut di depan gadis itu. Pandai-pandailah Airina nilaikan sendiri.

Airina mencemik apabila soalannya dibiarkan tidak berjawab. Muncul pula satu soalan baru dalam benaknya maka laju sahaja Airina utarakan secara verbal.

“Tapi kenapa seratus hari? Aku fahamlah kalau tiga bulan atau enam bulan macam yang Harris pelan tu tapi kenapa kau spesifik sangat pilih seratus hari? Ada apa-apa ke dengan seratus hari tu?”

Soalan itu berjaya membuatkan Hazizul kehilangan kata-kata. Sejujurnya dia sendiri pun tidak tahu mengapa angka itu muncul dalam fikirannya. Hazizul pandang wajah Airina sedalam-dalamnya, cuba mencari jawapan di wajah itu.

“Mungkin sebab aku harap aku dapat kenal cinta dengan kau dalam masa seratus hari tu…”

Terkebil-kebil Airina mendengarkan itu.

“Kenal cinta? Dengan aku? Dalam masa seratus hari?”

Anggukan Hazizul membuatkan Airina terus kehilangan kata-kata.

Dan bermulalah perjalanan Airina dan Hazizul mengenal cinta dalam masa seratus hari…

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203428/100-hari-mengenai-cinta

[SNEAK PEEK] SUAMIKU MR. BLIND

SUAMIKU MR. BLIND Oleh Danisyarahmat

MENGENAI masalah yang dihadapi cucu pak cik, kami dah cuba sedaya upaya. Pak cik perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.” Doktor pakar mata yang bernama Farah itu lembut berbicara.

Haji Darus hanya diam membisu. Tidak tahu bagaimana hendak diterangkan kepada anak dan menantunya kelak. Tak sampai setengah tahun Aidil Zafran bersekolah di sini sudah begini nasibnya. Gerangan yang menganiaya cucunya itu pun dia tidak tahu. Puas ditanya empunya badan siapa punya angkara, jawabnya tidak tahu. Kusut fikirannya.

Tambah lagi, doktor itu mengatakan yang cucunya sudah tiada harapan hendak sembuh. Matanya rosak teruk. Hendak tak hendak, dia kena terima kenyataan yang Aidil Zafran akan kekal buta untuk seumur hidupnya kecuali jika ada insan sudi mendermakan mata.

“Doktor, tak dak cara lain ka? Kesian cucu pak cik… Dia muda lagi. Sekolahnya macam mana?” Soalan itu pula yang diulang-ulang tanya kepada Doktor Farah walaupun puas sudah doktor itu menyatakan bahawa Aidil Zafran sudah tiada peluang lagi.

“Macam ni la, pak cik. Saya keluarkan surat mengenai laporan mata Aidil Zafran. Lepas tu pak cik bawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terdekat. Mereka tahu macam mana nak tolong. Pasal sekolah, pak cik tak perlu risau. Di Kedah ini pun ada sekolah yang sesuai untuk cucu pak cik. Nanti saya bagi nombor telefon St. Nicholas Home di Penang. Pak cik boleh dapat semua maklumat berkaitan OKU penglihatan ini daripada mereka,” terang Doktor Farah lembut. Mendengar penerangan doktor pakar itu, Haji Darus berasa lega. Tahulah dia macam mana untuk selesaikan masalah persekolahan Aidil Zafran.

AIDIL ZAFRAN masih lagi lemah. Matanya berbalut tebal. Dunianya kelam. Gelap gelita. Dia jadi takut. Bagaimana jika seumur hidupnya dia akan hidup dalam kegelapan? Katakata budak skema itu seakan-akan terdengar di pelupuk telinganya. Seperti sedang ketawa mengejek.

“Kalau kau buta lagi bagus. Tak adalah nak menyemak buat masalah di sekolah lagi.” Dia menekup telinga dengan kedua-dua belah tapak tangan. Tapi suara itu makin galak didengarinya.

“Aidil… Aidil… Ini tok wan, Aidil.” Suara garau datuknya lembut menyapa gegendang telinganya. Dia menggagau mencari tubuh tua datuknya. Orang tua itu pantas memegang tangannya.

“Aidil, lagu mana? Sakit lagi?” Aidil Zafran pantas menggeleng. Kesakitan petang tadi yang terasa seperti membakar biji matanya sudah tiada lagi. Sebaliknya matanya terasa sejuk. Dia berasa lega sekali.

“Tok wan, mama dan abah dah sampai?” soalnya pula.

“Tok wan dah tepon. Malam ni kut depa sampai. Kolumpuq nun bukan dekat. Kalau bertolak petang tadi, malam la kut nak sampainya.” Haji Darus bersuara lembut.

Tumpah rasa kasih kepada cucunya. Mula-mula dulu dia memang cukup bertegas dengan Aidil Zafran. Tujuan cucunya dihantar bersekolah di sini juga atas permintaan anak dan menantunya. Sikap nakal dan tidak berdisiplin cucunya itu sukar dikawal. Jadi, Aidil Zafran diletakkan di bawah jagaannya supaya kelakuannya dapat dibentuk. Namun sekarang, begini pula jadinya. Apa yang hendak dijawab jika anak dan menantunya bertanya?

“Aidil, tok wan nak tanya lagi sekali. Sapa yang buat naya kat Aidil ni? Kita tak boleh biaq dia lagu tu ja,” desak Haji Darus.

Aidil Zafran hanya diam membisu. Perlukah dia terangkan perkara sebenar? Sekarang dunianya sudah gelap. Berita yang disampaikan oleh doktor yang merawatnya tadi pun masih belum dapat diterimanya lagi. Dia masih mengharapkan agar kata-kata doktor itu hanya satu pembohongan. Tapi kalau betul macam mana? Dia buntu memikirkan cara untuk mengharungi dunia ini dalam kegelapan. Dia tidak mahu satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah itu ditarik balik.

“Aidil tak tau, tok wan. Jangan desak Aidil lagi.” Dia mengharapkan agar datuknya tidak mengulangi lagi persoalan itu.

Mungkin ini balasan daripada Allah kerana dosa-dosanya yang lalu. Dia lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. Dia lalai menggunakan nikmat yang diberikan oleh Allah ini untuk membuat kebaikan. Sebaliknya dengan mata ini dia melihat banyak perkara-perkara yang mungkar. Dunianya sudah pasti gelap. Tidak perlu dia menggelapkan masa depan budak skema itu pula. Biarlah dia merahsiakan siapa punya angkara sehingga akhir nafasnya nanti.

“Assalamualaikum, tok,” sapa satu suara mencecah gegendang telinga Aidil Zafran. Dia berkalih wajah mencari pemilik suara itu. Apa yang pasti, itu bukan milik abahnya.

“Waalaikumussalam. Eh… Mail, Ainon. Terima kasihlah mai tengok Aidil ni,” balas Haji Darus. Aidil Zafran hanya mendengar suara-suara yang bercakap dengan datuknya. Dia tidak pasti siapa gerangan Ismail dan Ainon itu, kerana selama dia tinggal bersama datuknya dia tidak pernah ambil tahu hal ehwal orang kampung yang berurusan dengan datuknya.

“Aidil sihat, ka?” Suara lembut Puan Ainon menyapa telinganya. Aidil Zafran hanya mengangguk. Moodnya benar-benar hilang. Dia sudah hilang rasa hendak berbual. Sebaliknya dia hanya melayan rasa sedih yang bertandang dalam hati.

“Aidil, ini Encik Ismail dan Puan Ainon. Depa ni mak ayah Ain Syuhada. Aidil kenai kut? Anak dia satu sekolah dengan Aidil,” terang Haji Darus mengenai tetamu yang melawatnya petang itu. Aidil Zafran sedikit terkejut apabila nama Ain Syuhada disebut oleh datuknya.

“Ain Syuhada budak tingkatan dua ke? Pengawas sekolah tu?” soal Aidil Zafran, inginkan kepastian.

“Hah, betullah tu. Hang kenai ka dengan anak pak cik tu?” Kali ini Encik Ismail pula menyoal Aidil Zafran.

“Kenal gitu-gitu aje, pak cik. Tau nama dia aje. Orangnya saya tak pernah jumpa.” Aidil Zafran berbohong.

Sebenarnya dia cuba menyembunyikan rasa sakit dalam hati. Nama itu bukan setakat melekat dalam hatinya, malah tuan empunya badan itu mempunyai hutang yang amat besar kepada dirinya. Kalau jadi hamba tebusan buat seumur hidup pun masih tak akan mampu melunaskan hutang yang dibuatnya itu.

“Aidil!” Suara lembut wanita yang selalu didengari semenjak kecil itu membuatkan dia menjadi rindu. Tangan lembut itu mengusap pipinya. Lalu badannya dirangkul dengan kemas. Tumpah air mata membasahi bahunya.

“Mama… Abah…” Aidil Zafran terkejut menerima kedatangan kedua-dua ibu bapanya yang tidak disangka-sangka. Dia menjangkakan malam nanti baru mereka sampai dari Kuala Lumpur.

“Aidil, siapa yang buat kamu macam ni, nak?” soal Tuan Mustafa tidak puas hati.

“Aidil tak tahu, abah.” Aidil Zafran masih lagi berbohong. Dia tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Biar masa dan keadaan yang menentukan balasan buat budak skema itu.

“Cepatnya hangpa sampai? Ayah ingat malam nanti kut baru sampai.” Haji Darus bersuara memecahkan suasana kepiluan yang melanda Wad Optalmologi kelas satu itu.

“Kami naik kapal terbang, ayah. Dari airport Alor Setar terus ke sini dengan teksi,” terang Tuan Mustafa. Haji Darus mengangguk tanda faham.

AIN SYUHADA masih berdiri di depan pintu rumahnya. Sudah puas dia melihat ke jalan mini tar yang menghadap pintu pagar rumahnya. Kereta Proton Saga merah milik ayahnya masih juga belum muncul. Hatinya sudah tidak sabar hendak mengetahui khabar Aidil Zafran. Dia gelisah, takut pun ada jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Aidil Zafran. Paling takut jika Aidil Zafran benar-benar buta. Kalau dia sanggup jadi hamba tebusan seumur hidup untuk membayar apa yang telah dilakukan kepada Aidil Zafran pun, masih tak akan mampu melunaskan hutangnya itu.

Dia meraup kedua-dua belah tapak tangan ke wajahnya sambil beristighfar. Jauh sangat rasanya dia melalut memikirkan yang bukan-bukan.

“Hai, kak. Termenung apanya?” sergah Muaz dari belakang membuatkan Ain Syuhada melompat terkejut.

“Mak hang terkejut… Hesy… Nasib baik tak dak sakit jantung. Hang ni pun… tak reti bagi salam, ka?” bebel Ain Syuhada sambil mencubit pipi adik bongsunya.

“Kak ni yang kuat berangan. Penat dah adik bagi salam. Naik lenguh mulut. Kak dok ralit buat tak tau. Ingat mata ayaq, ka?” tebak Muaz sambil mengenyitkan mata.

“Banyak la hang punya mata ayaq. Orang, kalau masuk dalam rumah ikut pintu depan, yang hang masuk ikut pintu belakang pasai apa?”

“Adik memanglah nak masuk pintu depan, tapi kak dok kawat depan pintu serupa bodyguard. Dah bagi salam pun buat dak ja… Adik pi masuk ikut pintu belakang la,” jawab Muaz panjang lebar sambil menarik muka masam.

Ain Syuhada menggaru kepalanya yang tidak gatal. Betul ke asyiknya dia berangan sampai Muaz bagi salam pun dia tidak perasan? Akhirnya dia menjongketkan bahu tanda malas untuk berfikir lagi. Muaz sudah mula menapak untuk keluar.

“Weh… Hang nak pi mana pula? Baru balik dari mengaji, nak keluar pi melewaq (merayau) pula.” Ain Syuhada menyambung bebelannya lagi.

“Orang tak pi manalah. Ni nak pi bagi ayam itik mak makan. Kak bukan tak tau. Satni mak balik, maunya dia memetir siap guruh kilat lagi. Sayang ayam itik lebih daripada anak lagi.” Kali ini Muaz pula membebel tidak puas hati.

“Baguih hang, noh? Kak baru nak sampai pesan mak. Hang dah tau, tak payah suruh. Ada pula pi kata macam tu kat mak? Sapa yang suka dok makan ayam itik tu? Hang juga… Eloklah kerja bagi makan ayam itik ni kat hang.”

“Kak ni pun samalah macam mak. Memetir aje kerja. Macam Puan Ainon juga,” balas Muaz sambil menyarung selipar untuk menuju ke reban ayam dan itik yang terletak di belakang rumah.

“Hang perlilah. Nanti kak repot kat Puan Ainon baru hang tau,” ugut Ain Syuhada sambil tayang giginya yang tersusun cantik.

“Repotlah, adik tak takut!” laung Muaz sambil menjinjing besen yang berisi makanan ayam dan itik.

Dari kejauhan Ain Syuhada sudah nampak kelibat Proton Saga Merah bergerak perlahan memasuki pekarangan rumahnya. Senyum Ain Syuhada semakin melebar. Tak sabar rasanya hendak mengetahui khabar Aidil Zafran.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90603/suamiku-mr-blind

 

[SNEAK PEEK] MR. DELICIOUS

MR. DELICIOUS Oleh Marissa

FINA masih tidur dengan nyenyak. Zaraa dan Zita yang sudah bangun, berbaring di tepinya dengan niat mahu mengacau Fina. Zita menggunakan hujung rambut untuk menggosok-gosok Fina. Zaraa menggeletek Fina. Fina terus cuba tidur dan enggan melayan mereka.

“Bangunlah. Tak laku tau anak dara masih tidur ternganga sedangkan matahari dah tinggi.” Zaraa masih geletek Fina. Bimbang juga Fina melatah.

“Hari minggulah. Pleaselah… Bagilah aku tidur sekejap lagi.”

“Kau ada date dengan Ean la hari ni, Cik Salmah, oi.” Zaraa bercakap dengan kuat.

“Aku bukan Cik Salmah. Dan itu bukan date aku. Itu bakal suami oranglah.” Bersambung semula rasa sakit hati Fina. Pagi-pagi dah sebut nama lelaki yang boleh membuatkan darahnya naik.

“Eh, kau dah janjilah. Bangun. Bangun.

Bangun.” Giliran Zita pula kejutkan Fina.

Zaraa dan Zita terus menggerak-gerakkan Fina. Fina bangun dengan geram.

“Okey. Fine. Aku bangun. Tapi, aku takkan keluar dengan Ean. Aku tak nak jadi orang yang bakal putuskan perkahwinan dia.”

“Kalau macam tu, kau bagi tahu dia sendirilah.”

Zaraa dan Zita melangkah ke tepi, masa itulah Ean sedang berdiri di luar pintu bilik, memandang ke arah Fina. Fina terkejut besar, memekik sambil terus menyembunyikan seluruh badannya di dalam selimut.

“Tak guna korang!”

Zita dan Zaraa ketawa melihat telatah Fina.

“Padan muka. Degil sangat!” Dalam ketawa sempat lagi Zaraa kenakan Fina.

“Dah Ean, kau tunggu saja kat luar. Kami hanya mampu tolong setakat ni saja.” Zita arahkan Ean menunggu di luar.

Akur dengan arahan, Ean bergerak keluar.

Fina membuka pintu biliknya perlahan-lahan dan sedang mengintai ke arah luar dengan berhati-hati. Zaara muncul di tepi.

“Keluarlah cepat. Ean dah tak ada. Sumpah.” Zaraa ketawa-ketawa.

“Mana dia pergi?” bisik Fina. Takut Zaraa sekadar main-main saja.

“Dia tunggu dalam kereta. Dekat bawah.”

“Kalau kau tipu aku, jaga. Aku curi dan lepas tu jual beg LV kau!”

“Aku tak hairanlah!”

Fina keluar dan jalan bersama Zaraa menuju ruang makan.

Zita sedang makan sarapan dengan penuh berselera. Di atas meja, sudah terhidang dengan macammacam makanan. Ada McD, KFC, roti canai dan mihun.

“Kau tengoklah sendiri breakfast yang Ean belikan untuk kita. Dah macam bufet kat hotel.” Mulut Zita penuh tapi masih mahu bercakap.

So, cuba beritahu aku, ada sebab tak kenapa kita orang tak ajak dia masuk rumah tadi?” Zaraa menyokong.

“Banyak-banyak lelaki yang nak try kau, dia ni paling terer. First time gunakan breakfast untuk jinakkan kita orang.” Mulut Zita masih penuh.

Korang sendiri yang murahan. Disebabkan breakfast aje, sanggup jual aku, ya?” Fina masam muka. Memang dia tahu kelemahan sahabat-sahabatnya. Sogok saja dengan makanan, pasti semuanya kelabu mata. Tak ingat apa-apa lagi.

“Sudahlah. Tak usahlah pura-pura tak suka. Makan breakfast kau tu, lepas tu pergi date.” Zita memujuk.

“Lepas tu, balik nanti cerita kat kita orang dari A to Z. Lepas tu biar kita putuskan tarikh perkahwinan kau dengan Ean.” Mulut Zaraa pula penuh.

Korang tanggunglah dosa aku. Suruh aku keluar dengan bakal suami orang.”

The key word here is ‘bakal’. Bakal suami orang.” Zita menokok tanpa rasa bersalah.

“Kau tak rasa dia macho ke? Sampai sanggupgadaikan perkahwinan dia demi nak merebut cinta kau, Fina. Oh, so dangerously in love...” usik Zaraa pula.

Korang tunggulah. Akan aku cari dua orang awek yang lawa macam aku. Seorang aku suruh goda Si Nayan. Seorang lagi aku suruh try Si Ali. Masa tu, baru korang tahu apa itu ‘dangerously in love’ dan apa itu ‘karma is a bitch’!” marah Fina.

Zaraa dan Zita mencebik geram tapi terus saja mereka makan. Langsung tak peduli dengan Fina. Fina terus saja tinggalkan mereka berdua tanpa menjamah sebarang makanan.

Woit, sapa nak habiskan makanan yang banyak ni?” soal Zaraa.

Korang habiskanlah!” jerit Fina. “Tak apa Zaraa, aku ada. Kau jangan risau.” Zaraa geleng sambil pandang Zita. Kalau hidangkan kayu dengan batu pun sah dia makan dengan berselera juga.

SELESAI saja bersiap, Fina sudah bersedia hendak ke tempat kerja. Masa dia melangkah keluar dari bangunan kondominium, telefon bimbitnya berbunyi.

“Nak apa lagi?” Fina mula kurang sabar.

“Fina, dengar dulu penjelasan I.”

“Tak ada apa-apa lagi yang perlu you jelaskan. Semuanya sudah jelas dan terang sekarang ni. You akan kahwin tak lama lagi.”

“Ya, I tahu tu. Tapi you dengarlah dulu.”

“I tak nak dengar sebarang penjelasan lagi.”

“Sekurang-kurangnya I tak tipu you, kan?”

Fina terdiam. Memang betul. Sekurangkurangnya Ean bersikap jujur dengannya. Awal-awal lagi sudah dedahkan status diri yang sebenarnya. Tapi untuk apa? Untuk sakitkan hati Fina semata-mata?

“Sekarang ni I nak you dengar dulu penjelasan daripada I.”

Sambil mendengar panggilan dia mencari-cari Ean. Pasti Ean ada di sekitar kawasan berhampiran.

“You cari I, kan? I ada kat belakang you,” beritahu Ean.

Fina menoleh ke belakang. Ada sebuah kereta mewah di situ. Cermin kereta amat gelap. Ean membuka sedikit cermin tingkap.

“Jom,” pelawa Ean.

Fina terus berjalan dan melangkah ke dalam kereta.

Fina baru duduk di dalam kereta. Kemudian, dia tersedar ada seseorang duduk di belakang. Dia menoleh. Reen sedang duduk di situ. Fina terus cuak dan cuba nak keluar dari kereta.

I dont think this is a good idea.” Fina meluah rasa.

Dengan pantas, Ean tekan minyak dan kereta mewah terus meluru laju beredar dari situ.

Sorry. Apa you cakap tadi?” Fina cuba nak cakap sesuatu, tapi sekali lagi Eansenyum sambil menekan minyak dan kereta meluru dengan lebih laju lagi.

“I akan jelaskan nanti. Tapi sebelum tu kita cari tempat untuk kita bertiga berbincang.”

Fina bungkam. Dan dia tiada pilihan melainkan akur dengan arahan Ean.

Mereka bertiga duduk semeja selepas itu. Reen masih berwajah masam. Fina pula tetap cuak.

Look, Reen. Biar I berterus terang.” Fina mula bersuara.

“You bagi I makan dulu boleh tak? Sekurangkurangnya, I boleh simpan tenaga sikit nak serang you selepas ni.”

“I dengan Ean tak ada apa-apa. Dia yang datang cari I. You pun ada dalam kereta. Kenapa you benarkan dia buat macam tu?” Fina cuba jelaskan perkara yang sebenarnya.

“Sebab I sayangkan Ean dan I sanggup buat apa saja asalkan Ean kekal dengan I. Termasuk berdamai dengan you.”

Dahi Fina berkerut. Sebenarnya dia tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Fina, I dah berbincang dengan Reen. Dia tak kesah kalau kita terus keluar bersama. Asalkan dia tahu mana kita pergi. Dan kadang-kadang tu, kita bertiga keluar sekali.” Ean pula menyampuk.

Fina pegang dahinya. Darah betul-betul mendidih. Bukan dia marahkan Ean sahaja, dengan Reen pun sama. Demi cintakan lelaki sanggup buat apa saja?

“Kau ni dah gila ke apa, hah? Walaupun aku taksukakan kau, tapi kau seorang perempuan yang cantik dan berkaliber, kenapa kau sanggup rendahkan martabat diri kau dan wanita lain semata-mata untuk lelaki bodoh macam ni?” Fina sudah hilang sabar.

“Bodoh? You know what, bro? Sorry. I dah tak boleh lagi nak teruskan. I like her, like a lot, a lot. Seriously, a lot.” Reen ketawa terbahak-bahak. Lucu melihat tingkah laku Fina.

“Apa semua ni?” Fina cuak.

“Fina… Errr… Sorry. Sebenarnya, I bukan bakal isteri dia. I adik dia. Kita orang berlakon aje. Abang I yang suruh.” Akhirnya Reen mengaku juga. Tidak sanggup lagi hendak teruskan lakonan.

Fina terkejut. Benar-benar tidak sangka dia sedang dipermain.

Wait, Fina… I can explain.”

Fina terus memukul Ean dengan handbag dia dan beredar dari situ. Reen ketawakan Ean.

“Padan muka abang. Nak main sangat. Mendapatlah.” Reen masih terbahak ketawa.

Fina berjalan dengan laju beredar dari situ. Ean mengejar di belakang. Orang yang lalu-lalang terus memandang ke arah mereka.

“You yang cakap I ni bukan player. You kutuk I kata pick up line I semua cara lama. Sekarang you sepatutnya rasa bangga, sebab cara I dah terbukti berkesan.”

Fina geram, tiba-tiba menoleh dan memukul Ean dengan handbagnya berulang kali. Ean ketawa sambil menahan sakit.

“Fina… please, stop. Stop! Kalau tidak, I terpaksa gunakan ugutan berani mati selepas ini.”

“Ugutan berani mati apa? Ingat aku takut?” Fina tentang wajah Ean.

Ean mengeluarkan telefon bimbit dan menunjukkan foto yang diambilnya. Ada gambar Ean dan Fina yang masih sedang tidur di atas katil dengan mulut separa ternganga.

Fina terperanjat penuh tidak percaya melihat selfie itu. Dia geram sangat dan cuba nak menyerang Ean. Ean berundur dan melarikan diri.

Mereka kembali semula ke meja kafe.

“Apa-apa, korang selesaikanlah sendiri, ya?”

Reen minta diri dan tinggalkan mereka berdua.

“Kalau I dapat tahu you masih simpan lagi selfie lain, jaga!” Fina menyerahkan semula telefon bimbit Ean.

“You sedar tak, dalam masa tak sampai beberapa jam aje hari ni, hubungan kita dah terbawa ke next level.” Sambil mengambil semula telefon bimbitnya.

Hmmm! Perasan!”

“I dah pernah tengok muka you dalam keadaan yang paling digeruni seorang perempuan. Masa seorang perempuan tu baru bangun tidur. Dan you pula dah godek handset I inside out macam seorang isteri tua yang cemburu buta.”

So?”

So, congratulations. We are officially a couple.” Ean mencapai tangan Fina dan senyum lebar ke arahnya.

Di bawah meja, Fina menendang kaki Ean. Ean mengaduh dan spontan melepaskan tangannya. Fina tersenyum puas selepas itu.

****

FINA membawa Melina ke sebuah kondo kecil yang yang lengkap dengan perabot. Fina melayan Melina dengan profesional, tapi tiada unsur kemesraan di situ. Melina pula cuba berkawan mesra dengan Fina.

“I benar-benar sukakan tempat ni. Tak besar sangat. Fully furnished. Sewa pun tak mahal sangat. Thanks, Fina.” Wajah Melina benar-benar ceria. Akhirnya dia dapat juga rumah sewa.

It’s my job. Tapi, lain kali I harap you beritahu I dulu yang you perlukan bantuan I, sebelum you beritahu Aiman yang I tolong you carikan rumah.” Fina tidak mahu timbul sebarang masalah nanti. Tidak mahu ada salah faham lagi. Keadaan sekarang ni seperti panas saja. Tak boleh silap sikit. Masing-masing akan menyalahkan antara satu sama lain.

“Pasal tu I minta maaf. Sejak kebelakangan ni banyak sangat hal yang berlaku.”

It’s okay. Kalau you dah okey, Melina, kita dahboleh sain kontrak sekarang.”

“Okey.”

Melina sebenarnya agak terasa dengan layanan dingin Fina. Tiada kemesraan seperti pertemuan sebelum ini.

Fina dan Melina melangkah bersama sebaik saja sesi tandatangan selesai.

Thanks, Fina. Jom I belanja you minum dulu.” Melina cuba berbaik-baik.

“Tak apalah, Cik Melina. I pun sibuk lagi.”

“Kenapa bercik-cik dengan I pula ni?”

You are my client.”

I thought we are friends.”

“You kawan Aiman, Melina. Maaf, I ada kerja lagi yang hendak I uruskan. Harap you berpuas hati dengan rumah ni.

Fina beredar. Melina menghalangnya.

“Ini pasal apa yang I beritahu Aiman ke?”

Fina kekok seketika. Dia tak tahu pun apa yang Melina beritahu Aiman, tapi Fina cerdik dan cuba memasang perangkap.

“Ya. Memang pasal itu.”

“Fina, I cakap macam tu sebab nak sakitkan hati Aiman aje. I bukannya bermaksud macam tu pun pada Farouk.”

“Bermaksud macam mana sekalipun, Farouk tu tetap bakal suami I.” Fina tentang wajah Melina dan suaranya sedikit keras. Ada nada kemarahan di situ.

I am sorry.” Lemah saja suara Melina.

“Dahlah. I tak nak fikir apa-apa lagi.” Fina terus beredar. Tinggal Melina menanggung rasa serba salah.

AIMAN masih duduk di tempatnya. Dia benar-benar nampak tertekan selepas apa yang berlaku. Zita muncul selepas itu.

“Jom, Man.”

“Kau pergi ajelah. Aku tak lapar.”

“Lapar apa?”

“Kau nak ajak aku pergi lunch?”

Lunch kepala otak, kau. Kita ada meetinglah.”

Meeting apa pula? Kau pergi ajelah. Aku tak bolehlah.”

Fina sampai dan terus meluru masuk.

“Apa kau buat kat sini?” Zita menyoal dengan rasa terperanjat. Tiba-tiba saja Fina muncul.

“Aiman, apa yang Melina beritahu kau pasal Farouk semalam?”

“Aku tak tahu apa yang kau cakap, Fina.”

“Kau jangan nak berlakon lagi. Melina sendiri yang mengaku depan aku.”

Telefon Aiman berbunyi. Untuk berdalih daripada Fina, Aiman menjawab panggilan itu.

“Helo?”

“Kenapa kau bagi tahu Fina apa yang kita cakap semalam? Apa niat kau sebenarnya, Man?” Melinamenjerit di hujung talian.

“Kenapa sekali dengan kau pun nak menuduh aku, hah?” Aiman pula marah.

“Kau memang pengkhianat!”

Aiman tiba-tiba naik angin dan terus membaling telefonnya ke lantai. Telefon pecah. Zita dan Fina terkejut melihat keadaan itu. Aiman terus bergegas keluar dari biliknya selepas itu.

“Seumur hidup aku, ini kali pertama aku tengok Aiman macam tu.”

“Salah aku juga, Zita.”

“Apa sebenarnya yang dah terjadi?”

“Aku jumpa Fina tadi. Tapi aku tak layan dia sangat sebab macam Zaraa kata, dia tu nampak macam ada agenda tertentu.”

“Tapi, apa kena-mengena dengan Aiman?”

“Aiman jumpa Melina semalam. Mereka ada berbincang sesuatu pasal Farouk. Dan Melina tu ingat, pasal itulah aku tak layan dia. Aku pula tipu Melina yang Aiman dah bagi tahu aku tentang hal tu.”

“Padahal kau tak tahu-menahu pun pasal apa.”

Fina mengangguk.

“Kalau macam itulah, aku rasa tentu panggilan tu daripada Melina tadi. Tentu Melina dah tuduh Aiman khianati dia. Sebab tu dia tension dan marah sangat.”

“Kenapa kita semua boleh jadi sampai macam ni?” Fina meraup wajah.

“Aku tak nak menuduhlah, tapi semakin lama, aku rasa apa yang Zaraa cakap tu semakin betul. Aku rasaMelina mungkin sedang rancang sesuatu.”

Zita dan Fina berpandangan dengan kesal.

“Aku rasa aku kena letak jawatan jugalah. Dah tak tahan kerja dalam keadaan macam ni.” Zita mengeluh panjang selepas itu.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/126356/Mr-Delicious

[SNEAK PEEK] PERGI

PERGI Oleh Syima Syawal

DIA terjaga lagi untuk ke sekian kali mimpi ngeri itu mendatanginya. Sungguh dia benci apabila mimpi itu mengisi malam-malamnya. Mengapa tidurnya tidak pernah aman seperti orang lain? Dia mahukan ketenangan seperti orang lain. Sangat indah hidup mereka tanpa perlu menghadapi mimpi-mimpi ngeri.

Dia memejamkan mata, cuba mengusir gambaran mimpi itu. Benci! Ya, itulah yang dia rasa sekarang ini. Kebencian itu tidak pernah pudar. Kerana kebencian itu juga dia terhumban jauh daripada keluarga.

Air mata… Saat ini pasti ia menjadi peneman setia. Ia seakan-akan sudah sebati dalam jiwanya. Dia pasrah. Setelah lima tahun berlalu, dia tidak mampu lagi mengusir kenangan silam. Andai masa itu dapat diubah kembali, pasti ia takkan terjadi. Ya… Itulah khilafnya yang paling tidak mampu dimaafkan oleh diri sendiri.

“Maafkan Awiyah, abah… emak…” Sesungguhnya rindu ini tidak pernah padam.

Kenangan lima tahun lalu menggamit lagi…

“Anak kurang ajar! Ini balasan yang kau berikan dekat aku?!” jerkah abah.

Malam itu bagaikan malam petaka buat keluarganya. Dialah yang menjadi puncanya. Abah yang sangat menjaga nama baiknya terpaksa berputih mata apabila dia mencemar nama yang selalu meniti di bibir penduduk kampung. Abah seorang yang dihormati. Abah tidak pernah culas pergi ke masjid, malah abah juga banyak membantu penduduk kampung.

Abah merupakan bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Bekas leftenan kolonel itu sangat tegas dan pantang apabila anak-anak melakukan kesalahan apatah lagi kesalahan yang dia lakukan sangat besar.

Tubuh kecilnya terpelanting di sudut rumah. Ibu pula hanya mampu menangis. Nenek juga begitu. Dia merupakan cucu kesayangan nenek, namun nenek hanya mengunci mulutnya. Matanya juga tertutup rapat. Apa yang dia nampak, nenek sedaya upaya tidak mahu menoleh ke arahnya.

Ketegasan abah tiada siapa yang boleh tegah. Abah buat benda yang betul. Abah takkan marah tanpa sebab. Abah bukan orang yang tidak ada otak!

Ya! Dia yang bodoh. Dia yang terlalu ikutkan kata hatinya. Dia yang tidak pernah mahu ikut kata abah. Dia juga anak yang tidak berguna!

“Maafkan Awiyah, abah…” Rabiatul Adawiyah cuba merayu.

“Maaf kau kata? Apa lagi yang kurang abah bagi dekat kau?! Abah hantar kau belajar agama, mengaji, semuanya abah dah berikan!” Sekali lagi badannya dibalun dengan rotan.

Untuk sekian kalinya dia menjerit. Tetapi jeritannya hanya dia sendiri yang dengar. Dia menggigit kain sekuat hati. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu orang lain mendengar jeritannya walaupun rumahnya agak jauh dari rumah orang lain. Dia tidak mahu mencemarkan lagi nama baik abah. Cukuplah… Cukuplah apa yang dia sudah buat selama ini.

“Siapa jantan tu? Cakap dengan aku!” Suara halilintar abah membuatkan jantungnya bagaikan mahu luruh. Dia sudah tidak berdaya lagi. Hanya gelengan sahaja yang mampu diberikan.

“Kau nak simpan lagi jantan keparat macam tu, hah?!” Kali ini tangan kasar abah melekat di pipinya. Tubuhnya terjelepok ke dinding. Kepala pula terhantuk kuat.

Dia sudah tidak berdaya lagi hendak bangun. Dia juga tidak berdaya menyuarakan kekecewaannya. Dia tidak mampu lagi. Dia menangis tanpa henti. Lelaki durjana itu telah pergi meninggalkan dirinya setelah mengetahui dirinya mengandung. Berita yang cuba dia sampaikan itu tidak sedikitpun membatalkan niat lelaki itu yang mahu meninggalkan bumi Malaysia kerana hendak mengikut rancangan ayahnya. Itu kata lelaki itu. Hakikatnya dia tahu lelaki itu hanya memberi alasan sahaja. Perbualan melalui telefon itu cukup meragut semua impiannya. Lelaki itu sangat kejam!

“Tolonglah Dee… Awiyah mengandung anak kita. Jangan buat Awiyah macam ni. Tolonglah… Awiyah merayu kepada Dee… Awiyah betul-betul cintakan Dee.” Rayuannya tidak diendahkan. Lelaki itu dayus!

“Awiyah… dengar sini. Dee terpaksa pergi. Semuanya demi masa depan Dee. Keluarga Dee telah aturkan. Malam ini Dee akan bertolak. Maafkan Dee… Tolong gugurkan saja kandungan itu. Kita masih muda. Dee tak sanggup menanggung bebanan itu. Selamat tinggal, Awiyah.” Talian terus diputuskan.

Apa yang perlu dia katakan lagi? Dia tidak mampu hendak memaksa lelaki itu bertanggungjawab. Ya… Inilah bahananya kalau ikutkan nafsu. Akhirnya, hanya dia seorang yang menanggung semuanya.

“Kau tak ada mulut ke? Beritahu aku siapa orangnya?!” Abah memaksa lagi.

Rabiatul Adawiyah membalas dengan gelengan. Abahnya yang bagaikan telah dirasuk melibas belakang anak gadisnya lagi… dan lagi… dan lagi…

Rabiatul Adawiyah menyembamkan wajahnya di dinding. Suara tangisnya tidak mampu keluar lagi. Yang ada hanya kudrat melawan rasa sakit itu.

“Ampunkan Awiyah, abah…” Suaranya makin perlahan. Libasan terakhir menyebabkan dia terus rebah ke lantai. Dia tidak sedarkan diri.

 

“AWIYAH…” Suara nenek perlahan tapi cukup menghibakan hatinya.

Rabiatul Adawiyah cuba membuka mata, namun rasa payah. Mahu bangun, kudratnya kian lemah. Dia sudah tidak berdaya.

“Nek, maafkan Awiyah. Awiyah berdosa kepada nenek… Kepada abah… Kepada emak… Maafkanlah Awiyah, nek…” Rabiatul Adawiyah cuba merayu.

Nenek yang sememangnya menjadi tempat dia meluahkan perasaan memeluk tubuh cucunya seerat mungkin. Gadis itu pula sedaya upaya menahan rasa sakit. Belakangnya rasa sakit yang teramat. Dia menangis semahunya di dalam dakapan nenek.

“Kenapa Awiyah buat kami macam ini, sayang?” soal nenek.

Mungkin nenek terkilan. Ya… Siapa yang tidak terkilan apabila orang yang menjadi harapannya kini telah menconteng arang ke mukanya? Siapa yang tidak kecewa?

“Awiyah berdosa, nek. Ampunkan Awiyah, ya nek?”

Esak tangisnya memenuhi ruang kamar itu. Tubuh yang lemah itu membataskan pergerakkannya. Sebenarnya dia tidak mampu untuk bangun.

“Mari nenek siapkan Awiyah,” pujuk nenek.

Itulah perangai nenek. Walaupun nenek kecewa, nenek sedaya upaya cuba melayan cucunya itu seperti dahulu. Nenek tidak pernah berubah.

“Kita nak pergi mana, nek?” soal Rabiatul Adawiyah perlahan. Tiba-tiba dia terbayang mahu lari dari situ. Namun begitu, dia dapat rasakan bukan itu rancangan nenek.

“Awiyah… nenek harap Awiyah tak ada sebarang bantahan. Ikut saja apa yang abah rancangkan. Ini semua untuk kebaikan kamu juga,” pujuk nenek.

Gadis itu dapat rasakan abahnya punya rancangan sendiri. Ya… Dia tidak lagi berdaya mahu membantah. Dan dia juga bukan diajar untuk kurang ajar atau membantah apa sahaja kehendak orang tua. Dia tidak mahu lagi dilibas dengan rotan. Rasanya dia tidak mampu untuk menahannya.

“Sepatutnya kau perlu dihukum dengan hukuman hudud!” Rabiatul Adawiyah teringat akan kata-kata abah.

Ya! Mungkin abah lupa, hukuman hudud itu lebih baik daripada rotan yang abah balun ke tubuhnya. Hukuman hudud tidak sekejam ini. Cara angkat tangan sahaja tidak boleh diangkat sehingga ke paras kepala abah atau dengan lain perkataan, abah tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya. Bukan balun sampai pengsan! Bezanya, ia perlu dilaksanakan di hadapan orang ramai supaya mendatangkan keinsafan kepada pelaku dan orang yang melihatnya. Hukuman hudud sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara Islam. Hukuman itu telah termaktub dalam al-Quran. Sebat sehingga seratus kali untuk orang yang belum berkahwin.

Kini Rabiatul Adawiyah sudah bertaubat nasuha. Dia takkan ulangi perbuatan terkutuk itu lagi. Dia bersungguh-sungguh berjanji kepada dirinya. Lagipun dia melakukan perbuatan itu hanya sekali dan tidak sangka ia menjadi benih di dalam rahimnya.

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Ya Tuhan, lindungilah aku, bimbingilah aku… Aku tidak mahu menghampiri zina lagi. Bantulah aku, Ya Allah.” Rabiatul Adawiyah mengungkapkan kata-kata itu untuk kesekian kalinya.

“Mari nenek bantu Awiyah tukar baju.” Lembut suara nenek.

Sebak dadanya melihat kepayahan nenek cuba mengangkat tubuh cucunya yang sudah keras. Dia bagaikan telah menjadi batu. Tangan, kaki dan seluruh tubuhnya menjadi kejang. Ya Allah, adakah aku sudah mendapat balasan daripada-Mu? bisik hati Rabiatul Adawiyah.

“Nenek…” Rabiatul Adawiyah menangis lagi.

Nenek mengesat air mata cucunya lalu menggeleng perlahan. Rabiatul Adawiyah akur. Dia tidak perlu berkata apa-apa lagi. Dia hanya perlu mengikut. Ya, mengikut apa sahaja kehendak mereka.

Setelah bersiap, dia dipimpin oleh nenek keluar dari bilik. Dia tidak ubah seperti mumia hidup, berjalan kejang tangan. Kaki juga agak terbatas pergerakkannya. Rasa sakit dan bisa cuba ditahan. Hanya air mata menggambarkan keadaannya kala itu.

Di ruang tamu, tiada sesiapa di situ. Tiada kelibat abah, emak mahupun adik-adik. Dia tidak tahu ke mana mereka pergi. Nenek menarik tangannya lagi. Sampai di pintu, dia melihat kereta abah ada di halaman rumah. Dia cuba menarik tangan nenek pula. Kepala digeleng.

“Awiyah nak jumpa dengan mak dan abah. Awiyah nak minta ampun.” Rabiatul Adawiyah cuba merayu. Nenek menggeleng.

“Sudahlah tu. Mari kita pergi,” pujuk nenek.

Rabiatul Adawiyah masih enggan. Dia berdiri sahaja tanpa mahu mengikut langkah nenek. Sekali lagi nenek memujuk.

“Mereka tak mahu jumpa kamu.”

Jawapan nenek itu membuatkan kepala Rabiatul Adawiyah berpinar-pinar. Tidak disangkanya begitu sekali kemarahan abah dan emak. Sedikitpun tidak mahu melihat pemergiannya. Dia tahu semua itu rancangan abah. Abah tidak mahu melihat dirinya berada di rumah itu lagi. Biarlah dia mati sahaja daripada terus hidup dibenci orang.

“Nek… bunuh saja Awiyah, nek. Awiyah tak mahu hidup lagi. Buat apa Awiyah hidup kalau abah dan emak dah tak nak tengok muka Awiyah lagi? Awiyah tak sanggup nak menempuh semua ini,” rintihnya.

Tidak semena-mena pipinya ditampar oleh nenek. Mata nenek mencerlung. Dia terdiam. Tangisnya juga turut terhenti sama. Wajah bengis nenek itu tidak mampu dipandang lama.

“Nak sangat mati tanpa bertaubat? Dahlah buat dosa besar, nak tambah lagi dosa besar yang lain? Ke mana perginya otak kamu?” leter nenek.

Rabiatul Adawiyah teresak mendengar kata-kata neneknya. Kejamnya aku kepada diri sendiri. Mengapa itu yang aku fikirkan? Aku terlalu mengikut bisikan syaitan, kutuk Rabiatul Adawiyah dalam hatinya.

Sabda Nabi SAW: Dan sesiapa membunuh dirinya dengan suatu cara, maka dia akan diazab dengan cara itu pada hari kiamat. (HR Bkhari dan Muslim).

Nenek menghantar Rabiatul Adawiyah sehingga ke jalan luar. Kemudian dia menaiki sebuah teksi yang sudah sedia menanti. Nenek telah memberi arahan kepada pemandu teksi itu yang juga seorang mualaf dan sangat amanah dalam kerjanya. Pemandu teksi itu juga sangat dipercayai oleh abah.

Dan itulah kali terakhir dia berada di kampung. Pemergiannya membawa segala duka lara yang tiada hentinya. Pernah sekali dia cuba jejakkan kakinya ke kampung halaman yang amat dirindui itu. Namun ketika itu, sudah ada suara-suara sumbang mengenai keluarganya.

Terdamparlah dia di sini keseorangan. Dia menjadi musafir yang dahagakan kasih sayang. Dibuang dalam keluarga mulia itu. Dia faham… Dia cuba menjadi orang yang tabah. Beginilah nasibnya. Setelah dia keluar dari rumah pelindungan, dia hilang arah. Pelbagai pekerjaan terpaksa dia lakukan. Namun dia masih ingat pesan ustaz dan ustazah yang mengajarnya ketika dalam pusat pemulihan itu… Jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang menghampiri maksiat.

Itulah peristiwa yang menyebabkannya menjadi anak terbuang. Suka duka dia tanggung sendiri. Namun dia punya misi. Dia perlu mencari anak kandungnya. Dia takkan mahu lari daripada tanggungjawabnya sebagai seorang ibu yang melahirkan anak itu. Kerana itulah dia sanggup berpindah-randah. Pencariannya masih belum berakhir. Dia akan menoktahkan pencariannya itu seandainya dia ditemukan dengan anaknya nanti.

 

****

“Abang…”

Syakri tersengih.

Saat itu hanya renungan mata sahaja yang berbicara. Mereka tersenyum, lantas jantung turut menari sama. Berdegup setiap kali mata bertamu.

Malam itu mereka memanfaatkan masa bersama-sama. Menonton wayang di rumah. Bosan menonton mereka bermain pula.

“Jom kita main dam,” kata Rabiatul Adawiyah. Kening Syakri bertaut.

“Dam apa?” Sudah agak lama dia tidak bermain dam.

“Dam ular.”

Syakri ketawa terbahak-bahak. Dalam banyak-banyak permainan, dam ular juga yang dipilih oleh isterinya.

“Abang ni… Gelak… Gelak… Orang seriuslah. Jomlah main dam ular. Saya tau main dam itu aja,” rayunya.

“Mana nak dapat dam ular tu?” Syakri berhenti tertawa. Dia memandang wajah isterinya.

“Sekejap eh, saya ambilkan.” Melongo Syakri dibuatnya. Dia ada beli dam ular ke?

Tidak lama kemudian, isterinya kembali semula dengan membawa dam ular. Rabiatul Adawiyah membentangkan dam itu di hadapan suaminya.

“Bila sayang beli?” soal Syakri pelik.

“Memang saya simpan dah lama. Kalau boring-boring dengan Karmah, kami main dam ularlah. Seronok apa. Jomlah kita mula.”

Syakri mengangguk.

“Sayang lontarkan dulu buah dadu tu,” pintanya. Rabiatul Adawiyah melontar buah dadu yang ada di tangannya. Sekali lontar dia sudah dapat nombor enam. Setelah itu dia lontar sekali lagi, dia anjakkan buah damnya. Fuh! Selamat, tidak perlu dia turun ke bawah semula.

Kini giliran Syakri. Pada peringkat awal dia berjalan dengan baik. Kemudian dia mula asyik turun dan kena tendang saja.

“Alah, mana boleh. Asyik kena turun aja. Sayang main mengelat. Tak ada… Abang tak kira. Kali ni abang tak nak turun-turun lagi,” kata Syakri setelah dia tidak berpuas hati dengan nasibnya.

Rabiatul Adawiyah tergelak. Tahupun. Ingat main dam ular ni tak mencabar ke?

“Alah, bosanlah main ni…” kata Syakri. Dia baring semula di atas sofa. Rabiatul Adawiyah mentertawakan dirinya. Cepat sangat bosan dengan permainan itu. Dia turut merebahkan tubuhnya di sebelah Syakri.

“Sayang yakin tak nak Amsyar tahu siapa diri sayang yang sebenarnya?” soal Syakri. Dia menopang dagu. Tubuhnya menghadap ke arah Rabiatul Adawiyah.

“Biarlah dia besar dulu, bang. Saya takut ganggu fikiran dia. Tapi saya bersyukur, saya tahu siapa yang jaga anak saya. Malah saya yakin Kak Su akan jadikan dia seorang tahfiz suatu hari nanti. Insya-Allah…” jawabnya sambil tersenyum.

“Insya-Allah… Tak sangka, Amsyarlah yang sayang cari selama ni. Dan yang lebih tak sangka ialah emak. Selama mana dia menolak, rupa-rupanya cucu yang dia dakap itulah orangnya,” kata Syakri.

“Amsyar budak yang baik macam Abi Aki dia… Abi Aki yang bertanggungjawab… Abi Aki yang sangat prihatin. Umi Amsyar sayang sangat dekat Abi Aki ni…” Tangannya menyentuh pipi suaminya. Syakri tersenyum.

“Kerana umi dia juga seorang yang baik…” Mata mereka terus merenung antara satu sama yang lain. Perlahan jari Rabiatul Adawiyah memegang kening Syakri. Kemudian hidung dan bibir. Dia tersenyum.

“Abang ada sesuatu untuk sayang.” Syakri bangkit. Dia menuju ke sudut di mana dia menggantung begnya. Rabiatul Adawiyah bangkit. Dia menegakkan tubuhnya. Syakri kembali menghampiri isterinya.

“Nah, hadiah bulan madu kita…” Syakri menghulurkan sepucuk sampul surat. Rabiatul Adawiyah membukanya. Matanya membesar.

“Abang?!” Rabiatul Adawiyah sangat terharu.

“Sayang suka?”

Laju sahaja dia mengangguk.

“Terima kasih, abang…” Dia memaut lengan suaminya. Tidak sangka mereka akan ke Mekah tidak lama lagi. Syakri akan membawa kedua-dua ibu bapanya serta kedua-dua ibu bapa mentuanya. Bulan madu mereka diiringi kasih sayang mereka berempat.

“Sama-sama… Untuk sayang, abang sanggup buat apa saja kerana sayang pelengkap hidup abang,” ucap Syakri.

Rabiatul Adawiyah semakin terharu. Abang juga… pelengkap hidup saya, ucapnya dalam hati. Bibir bergetar, namun suara tidak mampu dilontarkan. Terima kasih, Allah… kerana perancangan-Mu lebih hebat daripada segalanya.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79458/pergi

Sejenak Bersama Rehan Makhtar

Antara karya Rehan Makhtar

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Pada bulan ini kami berjaya menemu bual seorang penulis buku yang terkenal, Rehan Makhtar.

Kalau readers nak tahu serba sedikit tentang Rehan Makhtar, readers boleh ikuti perbualan kami di bawah.

Siapa yang memberi inspirasi untuk Rehan Makhtar menulis?

Biasanya saya mendapat inspirasi dan idea daripada sekeliling.  Ada tu daripada pengalaman betul.  Yang dah jadi pada diri sendiri, keluarga, kawan-kawan atau sesiapa saja yang saya yakin boleh dijadikan pengajaran pada orang lain.  Biasanya, asasnya saja.  Selebihnya hanya rekaan.  Paling penting sebab saya suka berangan… kot.

Apa makanan kegemaran Rehan Makhtar?

Saya suka makan apa aje.  Janji sedap.  By th way, ada ke orang suka makanan tak sedap?

Siapakah penulis kegemaran Rehan Makhtar? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Saya tak ada penulis kegemaran.  Cuma, terkini saya ada baca novel-novel tulisan James Dashner dan beberapa buah buku tulisan Aidh Abdullah Al-Qarni.

Apakah novel kegemaran Rehan Makhtar? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Tak ada kot

Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tak ada.  Saya tak reti bela binatang.  Masa sekolah pernah bela ikan emas.  Dua hari, dah mati ikan tu.  Ada jugak seekor kucing warna kuning yang comel.  Satu hari, bila kucing tu mati, saya rasa kehilang.  Jadi, sejak tu saya tak bela apa-apa lagi.

Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Rehan Makhtar mahu pergi dan mengapa?

Iceland.  Sebab hari tu ada tengok Al Hijrah.  Rancangan Dengan basikal aku menjelajah.  Jam 11 malam dekat sana, masih terang macam 11 pagi.  Jadi, teringin nak laluinya.

Apakah novel baru yang bakal diterbitkan oleh Rehan Makhtar? Boleh ceritakan sedikit mengenai novel tersebut?

Sebuah manuskrip (tak jadi novel lagi) yang dah lima tahun saya usahakan.  Harap, hasil lima tahun tu berbaloilah.

Apakah pesanan Rehan Makhtar kepada pembaca di luar?

Moga setiap susunan aksara saya membawa kebaikan pada anda semua.  Yang baik, sebarkan.  Yang buruk, kita kekang.

Pada pandangan Rehan Makhtar, apa istimewanya novel Rehan Makhtar berbanding novel lain di pasaran?

Tak ramai kot orang tulis cerita-cerita sedih sekarang.   Hahaha.  Entahlah.  Mungkin genre yang saya bawak  tu kot boleh jadikan novel-novel saya sedikit istimewa pada pembaca saya dan saya sendiri.  Tidaklah saya bandingkan dengan novel orang lain yang lebih hebat.  Haruslah saya masih pada tahap biasa.

Dari mana Rehan Makhtar dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Daripada apa yang saya lihat.  Tak kisahlah daripada sumber apa.  Media, mata sendiri.  Atau yang saya lalui sendiri.  Orang akta, pengamalan itu sesuatu yang berharga.  Guru yang paling bagus adalah pengalaman.  Betul tak?

Apa rutin harian Rehan Makhtar? Ada yang rare tak?

Tak ada apa.  Rutin biasa.  Pergi kerja, balik kerja.  Masak. Kemas rumah.  Masuk bilik kerja.  Menulis.  Atau buat kerja ofis.  Memang biasa.  Tiada yang luar biasa.

Apa nasihat Rehan Makhtar kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Tulislah sesuatu yang baik.  Kerana setiap susunan aksara kalian dihisap.  Esok-esok bila kita dah tak ada dalam dunia ni, moga hasil tulisan kita tu dapat bantu kita.  Tak banyak, sedikit pun jadilah.  Biarpun kita masih tak baik (nak kata jahat kejam sangat pulak), setidak-tidaknya kita tak ajak orang berbuat kejahatan melalui hasil tulisan kita.  Jahat ni bukan hanya merompak atau bunuh orang.  Jahat zaman baru ni, ada pelbagai.  Kalian faham apa yang saya cuba sampaikan.

Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Rehan Makhtar kuasai?

Tak ada.  Mungkin Bahasa Korea kot.  Bahana tengok drama korea dan dengar lagu2 korea kot… Tak elok sangat benornya.  hehehe.

Kami harap Rehan Makhtar akan sentiasa mewarnai industri penulisan dan, jika anda peminat Rehan Makhtar,

Lebih banyak eBook boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_44141_rehan-makhtar/~