[SNEAK PEEK] LELAKI KIRIMAN TUHAN

LELAKI KIRIMAN TUHAN Oleh Umie Nadzimah

PUKUL satu pagi. Naira bercekak pinggang di hadapan kaunter resepsi. Mata melilau mencari pekerjanya yang hilang. Entah ke mana melesap. Macam inilah setiap malam. Sesuka hati saja dia orang ni mengular. Kena rajin buat spot check… Jika tidak, sampai ke siang kaunter ni tak bertunggu. Seorang pekerja memang sentiasa ditugaskan di sini untuk shif malam.

Ngerrr… Ngerrr… Ngerrr…

Dia terpegun. Bunyi pelik kedengaran. Mula-mula perlahan, semakin lama semakin kuat. Macam bunyi kucing jantan bergaduh rebutkan kucing betina pun ada.

Ngerrrer…

Uiks… Ini sudah melampau. Takkan stafnya sanggup jaga kucing penghuni resort ni kut. Kucing tak dibenarkan berada di sini. Itu peraturan. Tak kira di dalam atau di luar bangunan.

Naira menapak ke sisi kaunter. Di situ dia boleh nampak siapakah empunya bunyi-bunyian penuh irama itu.

Kucing? Ular? Harimau? Isk…

Satu tubuh berbungkuskan selimut putih sedang enak mengerekot di atas lantai bawah kaunter. Perlahan-lahan Naira menarik kain selimut tersebut.

“Azlan…” Perlahan tapi tegas suara Naira. Pantang dia jumpa benda mengarut macam ni.

Azlan menarik semula kain selimut kepunyaan resort yang melurut dari dadanya.

“Haih, kacau orang tidur aje…” rungutnya dengan mata masih terpejam.

“Azlan!” Kali ini Naira bertempik. Tak kuasa melayan kerenah Azlan lama-lama. Sakit mata tengok. Hati lagi sakit. Kalau tersengguk atas kerusi di kaunter dia boleh terima lagi… Ini siap dengan selimut dan bantal bagai. Memalukan!

Spontan Azlan bangun, terus duduk di atas kerusi dan menyelubung tubuh dengan selimut putih tersebut. Sekali muka… Macam pocong pula dah, tambahan pada waktu-waktu dinihari begini.

“Azlan!” Sekali lagi Naira bertempik. Tak puas hati dengan reaksi Azlan yang terbaik itu.

Azlan terperanjat. Baru dia sedar yang berdiri di hadapannya adalah bos besar Cik Nam! Cepat-cepat dicampakkan selimut ke bawah. Kelihatan rambutnya yang serabai. Air liur di tepi mulut dia lap dengan tangan.

Naik loya Naira melihat… Eeei, tak senonoh la budak ni.

“Errr… Errr… Maaf, bos… Saya tak sengaja…” Dengan muka terpisat-pisat dan tak malu dia mohon maaf.

“Tak sengaja la sangat! Yang berselubung macam mayat boleh pula?” marah Naira, garang. Mata yang bulat ditala pada Azlan.

“Errr… Tindakan luar sedar, bos… Tak dapat kawal dah!” Masih mahu mempertahankan diri dengan alasan yang tak kukuh langsung.

“Selimut dengan bantal tu berjalan sendiri cari awak?”

Azlan terkulat-kulat. Salah dia. Mana boleh tidur macam dah mati waktu bertugas malam. Kan sudah kantoi dengan Cik Nam! Bukan dengan sembarangan orang. Dengan Cik Nam pemilik resort yang tergarang!

“Maaf, bos… Maaf, saya janji tak buat lagi.” Mohon Azlan dengan muka minta simpati.

“Hah, apa lagi duk jadi patung di situ? Tak reti-reti kemaskan tempat, cuci muka yang macam apek tak tidur setahun tu? Ingat… Saya bayar gaji awak untuk duty… Bukan untuk senang-lenang tidur mengeruh, tau!”

Bebel Naira lagi, berpakej dengan tangan di pinggang dan mata yang membulat ke atas ke bawah, macam hendak telan Si Azlan.

Azlan akur. Perlahan dia melipat selimut, lalu diletak tersorok bawah kaunter bersama bantal. Kemudian dia bergerak ke bilik air yang tidak jauh dari situ.

“Lepas ni simpan harta karun awak kat tempatnya! Saya tak mahu bahagian depan ni bersepah-sepah macam pondok buruk!”

Azlan mengangguk. Kata-kata bos ada betulnya, walaupun kekadang menyakitkan hati. Sudah dia yang bersalah. Waktu bertugas pergi kroh kroh… Bos mana yang tak hangat hati bila nampak? Tapi Cik Nam tu rajin sungguh haih… Kalau dialah di tempat Cik Nam, tak kuasa nak turun periksa tengah-tengah malam sejuk cenggini. Lebih baik lena, nyusahkan badan buat apa?

Sementara Azlan ke bilik air… Naira duduk di kaunter, hidupkan komputer di hadapan. Melihat daftar masuk penghuni resort. Aha… Masih ada yang belum check in, dan lingkungan waktu pendaftaran yang diminta antara pukul dua belas tengah malam hingga dua pagi.

Heh… Ada orang yang nak masuk resort pukul satu malam? Masa perompak datang ni. Akan tetapi apa nak dikesahkan, macam-macam ragam orang dia dah jumpa. Bukan sehari dua dia menjaga resort peninggalan arwah abahnya ini. Dari zaman kanak-kanak lagi dia dah membantu uruskan resort ini.

Naira memandang ke arah pintu utama. Hatinya tiba-tiba terdetik untuk melakukan demikian. Dan kali ini dia pula yang terkejut beruk. Ada seorang lelaki yang sedang merenung ke arahnya. Tajam sekali. Rupa dan penampilannya… Owh, tidak… Manusia di hadapan itu lebih tepat lagi sebut sebagai perompak atau samseng! Naira yang garang itu sudah ada rasa gementar.

“Hmmm… Hmmm…” Lelaki tersebut berdeham.

Tanpa dipelawa, perlahan lelaki itu menapak ke arah Naira. Wajahnya macam hutan belantara, penuh dengan rumput hitam yang tak ditarah. Berserabut betul jambangnya. Dengan jean lusuh dan jaket kulit, plus cermin mata gelap fesyen Awie yang menutup satu per tiga bahagian mukanya, di malam-malam buta ni… Fuh, luruh semangat!

Naira cuba berlagak berani di situ. Namun hati berdoa supaya cepat la Si Azlan bongok tu datang semula. Jangan la Azlan balas dendam membiarkan dia dibunuh lelaki tak dikenali di hadapan kaunter resort kepunyaan sendiri. Lagi sadis kalau kena rogol! Hukhuk…

“Yes, sir… Can I help you?” Naira menyerahkan nasib pada takdir. Namun, mata sempat mengerling pada gunting tajam yang disimpan dalam drawer kaunter yang terbuka. Kalau terdesak… Sehabis upaya dia akan pertahankan diri. Lagipun ada CCTV sebagai bahan bukti. Salah tak salah belakang kira. Taklah lama dia akan meringkuk dalam penjara nanti dengan alasan mempertahankan diri sendiri.

“Check in…”

Itu saja yang lelaki tu cakap. Lelaki tersebut keluarkan kad pengenalan dan catatan nombor tempahan dari dompetnya dan dihulur kepada Naira. Tadi Naira dah saspens, takut lelaki keluarkan pistol atau pisau… Rupa-rupanya keluarkan dompet.

Sedikit sebanyak Naira sudah boleh menarik nafas lega sebab dah pegang kad identiti orang tu. Iqbal Raid bin Fakirudin namanya. Hamboih… Nama tak padan dengan orang yang berserabut gila. Nama ibarat ulamak tersohor.

Akan tetapi kaedah renungan manusia ini di sebalik kaca mata gelapnya amat mencurigakan. Gerun, beb!

Jari Naira kelihatan menggeletar…

Lelaki tersebut pandang ke arah tangan Naira. Huhu… Dia perasan… Dia perasan… Dia tahu aku tengah cuak. Kalau dia nak ambil kesempatan pun mudah, omel Naira dalam hati.

“Aha… Gugup! Takut apa? Tadi kemain garang lagi… Takkan takut dengan saya kut?”

Suara lelaki itu serius menyinis. Sempat menyindir lagi. Naira angkat muka… Dia bagi jelingan maut. Kebiasaannya Naira tak layan pelanggan dengan jeling-jeling mata cenggini… Sumber duit kut, harus sabarkan diri dan melayan dengan sopan. Namun mamat di hadapan ini gayanya semacam, jadi Naira tak rasa bersalah untuk kurang respek. Ada aura penjenayah gitu. Huh!

“Stay tujuh hari?” Naira tanya, tak ada tambahan ayat dengan panggilan hormat encik seperti selalu.

“Yup.”

Masa itu Azlan sudah kembali ke kaunter. Naira rasa lega, sekurang-kurangnya ada backup kalau apa-apa berlaku. Azlan juga tak berkerdip memandang tetamu tak dijangka itu. Atas bawah atas bawah Azlan pandang. Hati Azlan pun menyangka yang bukan-bukan. Naira sempat kerling, memberi isyarat supaya Azlan berjaga-jaga. Standby. Macamlah Azlan tu sado sangat. Lengan Azlan tu kurus kering aje. Jika dibandingkan Azlan dengan lelaki gerun ni… Azlan tu nampak kemetot saja. Kalau bertarung sah-sah kalah.

“Payment macam mana? Kad atau cash?” soal Naira.

“Berapa?”

Naira menghulurkan borang yang tercatat jumlah harga untuk tujuh hari. Hairan juga, apa agenda mamat ni sampai nak tinggal sini selama tujuh hari. Kalau nak berbulan madu, bini tak nampak pula. Dengan rupa yang macam ni… Jauh panggang dari api. Entah-entah penjual dadah. Rupa dan gaya ada potensi tu.

Naira menunjukkan jumlah caj dengan mata pen.

“Plus deposit ini totalnya. Nanti masa check out kami pulangkan.”

Tanpa bicara, lelaki tersebut mengeluarkan sejumlah wang tersebut dari dompet ke atas meja. Lebih Ringgit Malaysia satu ratus lagi. Nairah pulangkan satu ratus tersebut.

“Keep the change… Tip,” kata lelaki bernama Iqbal Raid tu. Dia tak ambil pun duit baki itu.

“Banyak sangat ni…” protes Naira.

“Kami di sini tak terima tip.” Kononnya, padahal tip la yang semua staf dia rebut-rebut.

Lelaki itu buat derk. Tak dipandang pun note seratus yang dipulangkan.

Kad bilik diberikan.

“Terima kasih… Kalau senyum sikit, lagi nyaman hati saya kut…” kata Si Iqbal Raid selamba, sebelum berlalu pergi.

Azlan berpandangan dengan Naira.

“Cik Naira tak takut ke? Muka macam pecah rumah aje jantan tu… Mai pula time ni, karang dia buat pecah-pecah pintu resort ni, habis kita…” komen Azlan.

Naira angkat bahu.

“Hati-hatilah… Itulah gunanya staf seperti awak… Kalau nak hasilkan air liur basi aje kerja… Seribu pintu kena pecah pun tak tahu.”

Azlan terdiam. Terkena sekali. Padan muka. Lena lagi lain kali.

Naira melihat borang yang masih di atas meja kaunter. Tujuannya nak lihat nombor telefon lelaki tersebut serta butir-butir peribadinya lengkap diisi. Apa-apa hal berlaku nanti dia sudah ada detail. Naira cuak juga. Dunia akhir zaman ni macam-macam boleh jadi. Tiba-tiba jari Naira tersentuh sesuatu berhampiran borang tersebut.

Masa itu Naira pandang Azlan dan Azlan juga pandang Cik Nairanya.

“Dompet malaun tu?” tanya Azlan.

Naira seram sejuk…

“Eh… Cik Naira, sampul kuning ni cik punya ke?”

Naira geleng.

Azlan jenguk isi dalam sampul. Matanya membulat pandang bosnya.

“Banyaknya duit dalam ni, bos!”

“Hah… Duit?”

Naira turut menjenguk isi kandungan dalam sampul kuning tersebut.

“Ya Allah… Banyaknya duit. Lelaki tu baru lepas menyamun ke?” Naira gusar. Atau lelaki tu lanun di lautan sana dan singgah di sini sebagai tempat persembunyian.

Tiba-tiba Naira panik!

****

DUA jam berlalu. Naira relaks-relaks sahaja. Dia mula menumpukan perhatian pada rutin tugas hariannya. Memastikan perkhidmatan dan layanan pekerja-pekerja di Resort Abah ini berjalan dengan baik. Dia membuat pemerhatian di segenap sudut resort. Ini sahajalah harta peninggalan abahnya yang mendatangkan hasil. Dia harus pastikan resort ini terus maju.

“Cik Naira! Cik Naira!”

Naira dalam perjalanan menuju ke Kafe Nyaman apabila terdengar namanya dipanggil. Dia berhenti dan menoleh ke belakang.

“Ada apa, Sarah?” tanyanya pada pekerja yang bertugas di bahagian receptionist pagi ini. Sarah kelihatan tercungap-cungap berlari mengejar Naira.

“Guest bilik 308 tu…” ujar Sarah.

Allah… Nombor bilik orang serabut tu. Matilanak, gumam Naira dalam hati.

“Kenapa dengan guest tu?” Wajah Naira penuh tanda tanya.

“Dia mengamuk sakan!”

“Apa yang dia nak?” soal Naira, tegas. Saspens sangat dah.

“Nak Cik Naira. Dengan kita orang semua dia tak nak deal. Dia jerit-jerit nak dengan Cik Naira juga,” jawab Sarah teragak-agak. Sedikit takut. Pertama dia memang takut tetamu bilik 308 tu. Bahasanya tajam benar. Kedua, sebab Cik Naira ni boleh tahan garangnya. Tak kena gaya dan mood Cik Naira… Boleh terpelanting dia nanti kena jerit.

Naira tak kata apa-apa dah pada pekerjanya. Langkah diatur laju ke kaunter resepsi. Telefon di atas meja terus dicapai dan dia tekan nombor bilik lelaki tersebut. Cepat sahaja panggilannya disambut. Tak sampai beberapa saat. Bermakna lelaki itu memang sedang menunggu.

Apa lagi halnya ni? Barang sudah dipulangkan dengan jujurnya. Satu sen pun tak luak. Apa lagi yang dia tak puas hati? Atau dia nak buat helah, mana tahu boleh dapat lagi seribu dua ribu. Kalau dasar penyangak dan jahat tu, memang akan terus jahat, hatinya akan terus jadi hitam!

“Helo… Encik perlukan bantuan apa-apa?” sapa Naira serius, dalam satu nafas. Tak buang masa dah. Straight to the point.

“Saya dah kata, tak nak cakap dengan siapa-siapa melainkan dengan perempuan yang bernama Naira tu.”

Tegas, serius dan satu nafas juga Naira dengar jawapan dari manusia semak di sebelah sana. Kemain ya berlagak.

“Naira speaking!”

“Hah, ada pun… Berjam-jam saya tunggu. Ingatkan dah lesap!” Tempelak Iqbal Raid sinis.

“Maksud encik? Saya tak faham!” Naira dah mula panas hati.

“Awak curi barang saya!”

“Jangan tuduh sembarangan tanpa bukti, encik!” Naira menafikan. Seharusnya la, kan. Dia memang tak buat, memang tak ambil apa-apa pun.

“Siapa kata saya tak ada bukti? Ingat saya ni buta ke? Mengaku sajalah yang awak dah ambil barang saya!”

“Encik jangan nak tipu saya! Kalau saya tak buat, kenapa saya mesti mengaku? Saya ni bukan heroin sadis dalam drama Melayu yang nak menanggung kesalahan hero yang saya tak buat!” Nada suara Naira semakin meninggi. Selari dengan tahap kemarahannya yang semakin meningkat.

Jeda seketika. Reaksi Naira tidak disambut pantas oleh si semak di atas sana. Agaknya dia tengah menghadam kata-kata yang dilontar Naira. Habis heroin drama Melayu diheret masuk sekali dalam pertengkaran ini.

“Hurm… Heroin drama Melayu memang klise… Tambah-tambah yang waktu maghrib tu… Saya pun fed up. Tapi awak lain, selamba ambil barang orang yang tak kenal…”

“Heh… Saya tak ambillah. Tak ingin saya ambil duit tak halal!” tengking Naira kuat.

Pucat muka Sarah dan seorang lagi rakannya yang berada di hadapan bos mereka. Kecut, beb…

Naira lupa sudah polisi hotel yang selalu dia tekankan pada pekerjanya. Pelanggan hotel tu raja, jadi kena layan dengan baik, lemah lembut dan sopan-santun. Kali ini kesabaran Naira benar-benar tercabar, hingga dia sendiri break the rules. Pantang sungguh bila orang menuduh dia menjadi pencuri. Walaupun pada asalnya dia ada niat juga.

Lihatlah… Kalau kita ada niat jahat, walaupun sekadar niat yang tak jadi buat, tetap dikurniakan pengajarannya. Maka inilah pengajaran untuk dia kali ini. Lain kali jangan cuba-cuba untuk berniat serong atau jahat.

“Awak ambil barang saya!”

“Saya tak ambil!”

“Awak ambil!”

“Heh… Pergi meninggallah kalau tak percaya!”

Pap!

Naira hempas gagang telefon ke tempatnya.

“Tak faham bahasa punya manusia, sesuka hati nak menuduh orang macam-macam…” rungut Naira sendirian. Dia mengayun langkah pergi dari situ.

Sarah dan rakan sekerjanya, Tina saling berpandangan dan masing-masing mengangkat bahu.

“Baru kena buku dengan ruas…” bisik Sarah.

“Itulah… Cenge sangat dengan kita. Sekali Tuhan balas la dekat dia,” bisik Tina balik.

“Kannn…”

Kedua-duanya gelak. Hilang sudah kecut perut sebab bos dah pergi dari situ. Malangnya, sekejap cuma kegembiraan mereka, sebab selepas itu berdering-dering telefon daripada lelaki yang sama. Dia nak juga bercakap dengan Cik Naira. Tidak ada toleransi dah.

“Awak pergi cari bos awak sekarang! Saya tak nak cakap dengan awak, suara tak sedap! Kejap lagi saya call balik! Jika tak ada dia, saya turun mengamuk di bawah. Awak nak ke?” ugut lelaki itu pada Sarah. Gagang telefon diletak sebelum Sarah beri alasan apa-apa. Cemberut muka Sarah. Hilang sudah gelak ketawanya sebentar tadi.

“Wei… Dia nak cakap dengan Cik Nam tu juga… Macam mana ni, Tina?”

“Hang pergilah cari bos lagi!” suruh Tina.

“Apa pula aku… Kaulah pula. Tadi aku dah pi panggil bos dah!”

“Aku?” Mata Tina sudah terbelalak.

“Aku tak berapa berani sangat. Hang lagi lama kerja sini… Aku baru lagi… Ketaq aku!”

Telefon berbunyi lagi. Sarah angkat.

“Ada? Saya bagi beberapa minit lagi… Jika tak ada ada juga bos awak, saya turun pakai spender menari tiger kat depan kaunter. Saya tak malu… Tapi saya tahu awaklah yang akan malu!”

Pap! Gagang diletak.

Sarah garu-garu kepalanya.

“Gila la orang ni… Ada ke dia nak turun sini pakai spender aje… Takut aku weh!”

“Hesy… Jom la kita cari bos! Tak lalu aku tengok orang jantan pakai seluar kecil berlegar kat sini. Tersemboi semacam depan tu. Kalau mat salih… Orang putih takpa la, putih… Ni had yang macam belakang kuali nak tayang! Geli aku!” Tina buat badan gaya geli-geleman.

“Itulah… Aku pun tak lalu nak tengok wayang macam tu. Tapi nak mampus pergi berdua? Kaunter ni mana boleh tinggal! Bukan tak tahu Cik Nam yang cenge tu, kalau dia nampak sini tak berorang, mengamuk sakan la dia…” balas Sarah.

“Hmmm…”

Kedua-dua gadis menoleh. Cik Naira sudah tercegat di hadapan mereka.

“Riuh mesyuarat? Dah tak ada kerja nak buat?” tegur Naira, masam.

“Ad… Ada, Cik Naira. Guest tu asyik ugut kami kalau Cik Naira tak call dia balik, dia nak buat tiger show depan ni. Bogel… Eh bukan, pakai tutup kain macam tarzan tu aje…” adu Sarah takut-takut, tapi boleh lagi tokok tambah cerita.

Naira merengus dengar. Geram. Gagang telefon lalu dicapai semula.

“Helo… Awak nak apa sebenarnya?” Tanya dia lantang setelah gagang sebelah sana diangkat.

“Boleh awak naik bilik saya sekarang? Kita bincang!”

“Awak jamin tak apa-apakan saya?” tanya Naira tegas.

“Kalau awak tak datang… Saya akan apa-apakan awak. Kalau datang… Awak akan selamat!” Lelaki itu kasi kata dua.

“Huh… Saya naik!” Naira membuat keputusan.

“Good. Saya tunggu!”

“Cepatlah awak meninggal… Menyusahkan sungguh!”

“Tak boleh meninggal selagi tak jumpa awak, settlekan hutang. Lepas tu boleh la saya pejamkan mata dengan aman!”

“Huh!” Naira merengus.

“Now! Naik sekarang! Kalau tak, saya buat tiger show di bawah, dengan spender merah ang ang.”

“Like I care?”

“You have to… Sebab pasangan dance saya tentunya awak!”

“Awak jangan macam-macam! Saya buat police report!”

“Saya tak kesah masuk lokap… Yang penting saya dah tiger dance dengan awak… Now!”

“Gila!”

“Now!”

Lelaki semak memutuskan talian terlebih dahulu. Naira mengeluh. Dia pandang pada Sarah yang memerhati sejak tadi.

“Kasi saya gunting dalam laci tu, Sarah.”

Sarah akur.

“Errr… Cik Naira nak naik ke?” Teragak-agak Sarah tanya.

“Yalah. Selagi saya tak selesaikan dengan dia… Selagi itulah dia melarat-larat merapu,” balas Naira sambil masukkan gunting sederhana besar ke dalam kocek jaket luarnya.

“Cik Naira tak takut ke? Saya temankan?”

“Tak apalah, Sarah. Biar saya selesaikan sendiri. Awak buatlah kerja awak di bawah ni. Lagipun saya tak nak libatkan awak dengan orang yang merbahaya. Kasihan emak bapak awak kalau jadi apa-apa.”

“Tapi Cik Naira yang dalam bahaya, takkan saya nak biarkan…”

“Tak apa, Sarah… Saya dah biasa jumpa orang macam ni…”

Sebaik saja berhenti bercakap, Naira terus hentak-hentak kakinya menuju tangga. Terkebil-kebil Sarah dan Tina.

“Beraninya Cik Naira tu ya,” komen Tina.

Sarah sekadar mengangguk perlahan. Bimbang juga dia. Segarang-garang Cik Naira, dalam hatinya penuh kasih sayang pada setiap kakitangannya. Secara zahirnya, ramai pekerja suka mengumpat Cik Naira, namun Sarah tahu hampir kesemuanya mengharap rezeki hidup di resort Cik Naira. Dan tanpa Cik Naira yang tegas dan garang itu… Tak mungkin tempat ini akan maju. Garang Cik Naira, bukan sebarang garang, garang bersebab!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203426/lelaki-kiriman-tuhan

REVIEW VIDEOTAPE

VIDEOTAPE Oleh Adib Zaini

Razak seorang remaja yang dibesarkan dalam keluarga yang toksik. Disebabkan itu, dia lebih banyak lari daripada masalah di rumah dengan mencari masalah di luar. Sepanjang hidupnya, dia mengenali beberapa kawan yang dianggap sebagai darah dagingnya sendiri. Mereka mencari kegembiraan bersama dan mencari masalah bersama. Suatu hari, ketika didenda untuk bersihkan sekolah, mereka terjumpa sebuah kaset video yang tersorok di bilik stor. Tanpa mereka sangka, isi kandungan videotape itu bakal mengubah nasib hidup mereka. Bersama-sama, mereka menyelongkar misteri ngeri di sebalik objek berteknologi kuno itu. Menerusi proses ini, Razak pelajari erti persahabatan, percintaan, kehidupan — dan kematian.


Pada pendapat admin, jalan cerita yang agak menarik. Bila admin baca eBook ni, ada rasa nak campak HP ke dinding sebab geram sangat. Hahaha. Untuk watak pula, for sure readers akan suka dengan watak geng Razak ni. Semua jenis yang kepala masuk air tapi admin curious jugak lah sebab tak boleh nak agak siapa yang jahat siapa yang baik dalam cerita ini. Admin ni sejenis manusia yang mudah terhibur, so bila ada scene yang tak logik dek akal pon admin dengan mudahnya terhibur. Hehehe
So, itu adalah ulasan buku yang dapat admin kongsikan kepada readers pada hari ini. Kalau readers nak dapatkan ebook ini, boleh klik pada link di bawah.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95888/VIDEOTAPE