[SNEAK PEEK] GILA AKU SUKA DIA

Gila Aku Suka Dia oleh Fatrim Syah

 

AWAL aku bangun pagi ni. Macam biasa, sebelum pergi kerja aku akan kemas-kemas rumah dulu. Tempat kerja aku pun bukan jauh sangat, naik KTM dah sampai. Usai mandi, aku terus keluar. Pelik aku bila dengar bunyi orang tengah masak dekat dapur. Mana mungkin Bob nak masak pagi-pagi buta macam ni pula. Selalunya Bob akan terus saja keluar makan dengan rakan pejabat dia.

Aku terus melihat ke dapur.

“Selamat pagi.” Aku disapa oleh seorang perempuan yang sedang menghidangkan sarapan pagi.

Terkejut aku, dahlah aku hanya pakai tuala masa tu. Terus aku masuk ke bilik aku balik tapi sambil intai-intai. Siapa pula perempuan yang berada di rumah aku? Bila masa pula yang aku ni bergelar anak Tan Sri, jutawan, dermawan, Dato, Dato’ Paduka sampai aku mampu upah pembantu rumah. Aku buka tutup mata.

“Bob! Bob!” Terus aku panggil Bob.

Cepat saja Bob keluar lepas dengar suara aku memekik panggil dia. Dia pandang aku. Kemudiannya dia tarik aku masuk ke dalam bilik dia cepat-cepat.

Ini mesti dia punya kerjalah ni bawa perempuan balik rumah. Aku dah beritahu dekat Bob polisi pertama rumah aku, ‘NO WOMEN ALLOWED IN THIS HOUSE’kecualilah ahli keluarga.

“Apa pasal kau bawa perempuan balik rumah? Kalau kena tangkap khalwat macam mana? Kau jangan macam-macamlah Bob, gatal nak bawa perempuan balik rumah. Kau nak aku seligi kau, bagi kau sedar?!” Aku sudah marah. Rasa nak tembak Bob dengan bazuka.

Bob pandang aku.

“Lan, itu adik aku. Kau tahu kan, aku ni anak angkat mak ayah aku. Aku dah pernah cerita kan yang aku ada seorang adik lagi kat kau dan Joe? Semalam dia call menangis-nangis minta aku ambil dia sebab dia kena paksa kahwin dengan abang dia sendiri.” Bob membuka cerita.

Aku mula serba salah pula lepas dengar cerita Bob. Aku tahu yang ibu bapa Bob dekat kampung tu ibu dan ayah angkat dia. Aku pun manalah pernah nampak adik kandung Bob yang dia selalu cerita dengan kami tu.

“Tapi takkanlah nak bagi tinggal dekat sini? Bahayalah, Bob. Mahunya ada pejabat agama datang, habis pula kita kena soal siasat. Lagipun dekat IC kau, nama mak ayah dah tukar, dekat IC adik kau pun mak ayah kau dah tukar kan?” aku tanya Bob.

Aku pun tak tahu sangat proses pengambilan anak angkat zaman dulu. Senang-senang je tukar nama mak ayah sebenar kat dalam IC. Aku tahu Bob mahu melindungi adik perempuan dia.

“Lalan, kau kawan aku. Sekali ni saja tolong aku. Kalau tak, kau fikirkanlah jalan lain. Aku tahu nanti ayah dia akan cari aku juga. Nanti kalau adik aku kena tangkap dan kena paksa kahwin dengan abang dia tu macam mana? Kau tak kesian ke? Kau tak ada perikemanusiaan?” Bob bersuara sambil pandang aku.

Aku dah tersentuh. Aku memang tak boleh orang kena aniaya ni. Orang aniaya kucing pun aku dah separuh gila, inikan pula orang aniaya orang.

“Kenapalah pulak dalam zaman moden ni ada kahwin paksa bagai ni? Keji!” Aku dah panas baran. Ni pengaruh TV la ni, asyik-asyik kahwin paksa. Err ! Tapi realitinya lagi perit kalau kahwin paksa ni. Ending cerita kahwin paksa kat TV bahagia je , tapi dalam dunia realiti ikut nasib.

“Lalan, kalau ya pun, kau pakailah baju seluar dulu. Aurat tahu! Tergoda mak…” Bob tiba-tiba jadi ustaz tapi sempat lagi menggatal. Ada juga aku sekeh kau ni, Bob.

“Aku memang plan nak pakai bajulah ni.” Aku herot mulut dan cepat-cepat masuk ke bilik aku. Nasib baiklah adik perempuan Bob masa tu duk tengok tempat lain, harapnya dia tak syak bukan-bukan.

5 minit lepas tu, aku keluar.

“Lan, ini adik perempuan aku, Shira. Shira, ini Lan kawan baik abang, selaku tuan rumah ni jugak .” Bob mengenalkan kami antara satu sama lain.

“Maaf Abang Lan, buat abang terkejut tadi.” Shira memandang aku.

“Panggil Lalan pun boleh, itu nama terlebih manja Abang Lan ni.” Bob menyampuk.

Amboi Bob, kemain kau ya, siap kau nak beritahu nama manja aku bagai lagi kat adik kau. Apa pun, aku akui yang adik perempuan Bob ni memang cantik. Yalah, Bob pun kacak mestilah adiknya pun cantik.

“Tak apa.”

“Lan, jomlah sarapan. Adik aku buat sarapan ni.” Bob mengajak.

Aku tiba-tiba segan silu pula nak makan. “Bob, aku makan dekat luar sajalah ya.” Aku minta diri.

“Kau jangan macam-macam, ada juga yang kena seligi sat lagi. Duduk!”

Amboi Bob! Dia pula yang tiba-tiba mengarah aku. Cis! Mahu tak mahu, aku kena juga duduk. Aku tahulah kau tengah tunjuk kau dah matang dekat adik perempuan kau tu, Bob. Nantilah aku seligi kau betul-betul.

Aku ambil nasi goreng dan telur dadar. Makan sikit saja, tapi rasanya memangpergh ! Sedap yang amat. Campuran garam dan beberapa bahan sebati. Ini ciri-ciri menantu solehah ni. Eh! Jauh pula fikiran aku. Paling penting, dia memasak di dapur milik aku yang tak pernah mana-mana manusia di muka bumi ni gunakan kecuali aku. Bob? Kirim salam dia nak masak, masak Maggi pun pakai heater .

Usai makan, aku dan Bob keluar sekali.

“Shira tutup pintu semua tau. Telefon jangan tutup. Shira buatlah macam rumah sendiri. Abang pergi kerja dulu, assalamualaikum…” Bob minta diri.

Shira salam tangan Bob. Terharu pula aku tengok mereka.

“Waalaikumussalam.” Shira pandang Bob dengan senyuman.

Kemudiannya aku dan Bob berjalan menuju ke lif. Aku pandang Bob.

“Lan, aku minta maaf tak minta kebenaran kau. Aku tahu kau tak selesa. Sikit hari lagi aku cari rumah untuk adik aku tu stay buat sementara.” Bob membuka bicara.

Aku tahu Bob ni faham perasaan aku. Aku pun bukanlah jenis yang berkira.

“Nanti aku carilah tempat untuk adik kau tu. Depan rumah kita hari tu ada iklan rumah sewa juga. Nanti aku try tanya.” Aku melegakan hati Bob. Aku tahu kawan aku yang seorang ni tengah susah hati.

aa

AKU BERITAHU Joe melalui WhatsApp yang adik perempuan Bob ada dekat rumah aku. Masa tu juga dia terus telefon aku.

“Kau biar betul, Lan? Kau okey ke adik Bob tinggal sama dengan kau?” tanya Joe yang seakan-akan tahu keadaan aku yang tengah tersepit.

“Kau tahulah macam mana Bob tu, kan? Lagipun aku kasihan juga dekat dia. Tadi aku dah suggest dekat dia supaya cari rumah lain untuk adik dia.” Aku beritahu Joe.

“Kau ni Lan. Apa kata kau stay rumah aku buat sementara waktu ni? Biar Bob dan adik dia tinggal dekat situ. Tak payahlah korang susah-susah fikir cari rumah. Apalah kau ni. Buat aku macam tak wujud pula. Masalah korang , masalah aku juga kan.” Joe mencadangkan.

Cadangan Joe selalunya aku tak dapat bangkang. Cadangan dia adalah cadangan terbaik. Maklumlah seorang peguam, masa orang tengah fikir, dia sudah dapat jawapan untuk semua persoalan. Bila aku fikir, betul juga cadangan Joe.

“Okeylah Joe, nanti aku beritahu dekat Bob. Aku rasa biar aku stay kejap dekat rumah kau sampai semua masalah mereka tu selesai.” Aku ikut cadangan Joe.

“Bagus. Eh, cantik ke adik Bob tu? Bolehlah kan kau beriparkan Bob…” Joe tiba-tiba buat lawak yang aku tak mahu ketawa.

“Joe! Kau nak kena sekeh ke apa?! Itu adik Bob tahu! Dahlah dia lari sebab kena kahwin paksa. Jangan macam-macamlah.” Aku bidas!

“Aku gurau ajelah. Kau janganlah ambil hati pula.” Joe menyampuk terus bila nada suara aku dah naik.

“Tahu takut…” Aku sengaja kata macam tu dekat Joe.

“Bukan takut pun. Aku takut antara kita orang semua kau saja yang lambat kahwin…” Joe membalas.

“Apa maksud kau, Joe?” Aku pula jadi pelik bin ajaib dengan kata-kata Joe.

“Adalah… nanti kau tahu juga. Okeylah, aku ada banyak kerja ni. Nanti jumpa, petang ni aku singgah rumah kau, pick-up kau dengan barang-barang kau.” Joe minta diri.

“Okey. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Joe balas salam.

Entah apalah yang Joe sembunyikan daripada aku. Dia kata dia takut aku yang lambat kahwin, yang diaorang tu dah ada calon ke?

Entah-entah dah ada, yalah, Joe nak balik kampung hujung minggu, Bob tu aku tak tahulah, entah-entah dah ada juga. Erm! Malas aku nak fikir.

Kring! Kring!

Tengah aku syok-syok buat kerja, tetiba panggilan telefon masuk. Aku terus jawab.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam, Lan. Kau boleh tak pergi rumah sekarang? Aku tak dapat call adik aku dari tadi. Risau pula tiba-tiba…”

Suara Bob kedengaran gelisah, aku ingatkan siapa yang telefon.

“Kenapa kau tak boleh pergi?” tanyaku.

“Aku dekat Shah Alam ni. Lambat aku nak sampai. Kau tolong ya Lan, please …” Bob meminta.

“Yalah, yalah. Kau terus call adik kau tu. Nanti apa-apa roger dekat aku.” Aku ingatkan Bob.

Nasib baiklah masa tu dah dekat waktu makan tengah hari, terus saja aku keluar berlari dari bank menuju ke kereta dan memandu keluar. Nasib baik jugalah hari ni tak naik KTM.

Prak!!!

Tetiba pula aku terlanggar kereta orang. Adoi! Habislah aku!

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266162/Gila-Aku-Suka-Dia

[SNEAK PEEK] S.A.M.U.R.A.I

9789670907017-medium
S.A.M.U.R.A.I Oleh Dekna Lee

Prolog

KAK long! Mari datang sekolah, sekarang!” Pintu rumah digegar. Aminah membuka pintu dengan kelam-kabut seusai dia menyarungkan tudung. Baru dia nak lelapkan mata tadi.

“Apa yang kecoh sangat ni, teh?” Aminah mengurut dada. Terkejut dia apabila rumahnya tiba-tiba digegar.

Anak kau. Buat kecoh kat sekolah. Satu kampung dah kecoh.” Pak teh hampir terjerit-jerit bercakap. Mungkin kerana berita yang disampaikan agak sensasi.

Ijat?” Aminah terperanjat. Anaknya tak pernah buat masalah di sekolah. Tak pernah langsung! Meskipun Aizat agak nakal di rumah, tapi belum pernah lagilah dia dipanggil ke sekolah.

“Kau ada berapa orang anak?” sempat lagi Pak teh menyoal.

“Ijat cari gaduh dengan siapa?” Aminah mula rasa tak sedap hati. Janganlah anak Zaiton. Doanya dalam hati. Selalu juga dia dengar Aizat kata benci kepada anak Zaiton itu.

Dengan budak-budak kelas lain… anak Zaiton… kes polis dah ni.”

Mendengarkan berita itu, Aminah sudah menangis. Tentu besar masalah yang dicetuskan anaknya. Bila dah melibatkan kes polis, pasti anaknya dalam masalah besar.

Hati aku rasa tak sedaplah, teh. Jom cepat. Kita tengok sendiri.” Tergesa-gesa Aminah turun ke tanah. Pedulilah kalau dia hanya berkain batik dan berbaju t-shirt besar sekalipun.

****

“IJAT TAK buat!!! Bukan Ijat yang tolak! Dia yang jatuh.” Pertahan Aizat apabila dia disoal benda yang sama berulang kali. Daripada menangis, kini dia mula membentak.

“Tiga-tiga cakap awak yang tolak.” Pegawai polis yang menjalankan siasatan itu bersuara tidak puas hati.

“Aduh! Dah cakap, kan? Memang bukan aku yang tolak. Tak percaya lantak kaulah! Percaya sangat dekat budak tiga ekor tu.” Bentak Aizat semakin kasar.

Ijat, tak baik marah-marah. Lagi orang syak Ijat yang buat.” Tegur Aminah lembut. Aizat menjeling. Maknya pun dah nampak macam percaya saja kata-kata polis di hadapan mereka ini.

Mak… Ijat tak ada masalah, buat apa nak tolak orang.” Kali ini Aizat berpeluk tubuh.

“Aizat, lebih mudah awak mengaku.”

Dah dia yang buli aku… takkanlah aku nak tolak? Diaorang bertiga, kan? Siapa yang buli siapa, takkan tak boleh nak fikir?” Aizat tidak menghiraukan kata-kata emaknya. Dia memang tak puas hati dengan pegawai polis yang seakan-akan sengaja mencari kesalahannya.

Kes buli bukan terletak pada berapa orang lawan berapa orang, tetapi pada siapa yang menjadi mangsanya. Awak dah buat kaki Jali patah. Dia dan kawan-kawannya mengaku awak yang tolak. Mungkin itu motif awak sebab awak berdendam dengan diaorang yang dah lama buli awak.” Pegawai polis itu masih berkata dengan nada tenang.

Heee Ya Allah, sakitnya hati!” Aizat sudah memicit kepala.

Mak… Ijat tak buat.” Lirih sekali suara anak jantannya. Tubuh gempal Aizat diraih ke dalam pelukan emaknya. Air mata Aminah bergenangan. Kepala anaknya diusap-usap.

“Mak tahu, sayang.”

“Akak, saya ada benda nak cakap dengan akak…” kata-kata pegawai polis itu membuatkan hati Aminah semakin tak tenteram.

****

“ANAK KAU memang akan masuk neraka jahanam!” jerkah Zaiton. Automatik tangan Aminah mengusap dada. Terperanjat dimaki hamun di khalayak ramai.

“Hei tolong sikit. Mentang-mentanglah anak kau yang jatuh, tak semestinya anak aku yang buat!” Aminah membalas semula. Zaiton mencemik.

Kalau anak aku mati, memang mati anak kau aku kerjakan!” Zaiton mengamuk.

“Mulut kau cantik sikit ye. Aku doakan, semua ni bakal terjawab! Tak kira cepat atau lambat. Paling aku nak tengok sekali, kalau betul bukan salah anak aku… aku nak tengok sangat anak kau tak jadi apa-apa besar nanti melainkan menyusahkan hidup kau sampai ke tua! Aku sumpah anak kau akan menyusahkan kau kalau anak aku tak salah! Allah Maha Mendengar!” Aminah terjerit-jerit mengamuk.

Limah yang menjadi saksi itu sudah puas menenteramkan Aminah dengan memeluk bahunya.

“Limah, aku kenal anak aku…” Rintih Aminah.

Limah memujuk kakaknya. Sedih dia mendengar berita tentang apa yang berlaku kepada Aizat. Dia membuat keputusan untuk pulang ke kampung menemani kakaknya dan meninggalkan anak-anaknya bersama suaminya, Zamri.

“Aku kenal anak sedara aku. Sabarlah. Ujian dari Allah ni, long…” Limah mengesat air matanya.

*****

“AIZAT… JAGA diri ya.” Menitis air matanya apabila menitipkan pesanan itu. Aizat turut menangis. Berpisah dengan emaknya bukanlah kehendak dia.  “Mak. Ijat tak nak pergi. Tolonglah. Bukan salah Ijat. Sumpah mak! Sumpah! Mak percaya, kan?” soal Aizat yang teresak-esak itu.  “Mak tahu… sayang… mak…” dia kehilangan kata-kata. Aizatlah satu-satunya anak yang dia ada. Selepas kematian suami, dia tidak ada sesiapa lagi selain Aizat. Sekarang Aizatnya akan dibawa pergi ke juvana.  “Mak…” semakin lirih suara anaknya. Tubuh gempal Aizat berkali-kali dipeluk.  “Tak apalah sayang. Kita dianiaya. Allah ada. Ingat tu. Jangan tinggal solat. Belajar rajin-rajin. Buktikan Ijat boleh berjaya… dan… mak doakan satu hari nanti, Allah akan tunjuk semuanya.” Aminah berkata dengan sebak. Beberapa kali dia menyapu air mata dengan hujung

Beberapa bulan kemudian…

“AIZAT, SAYA ada sesuatu nak cakap dengan awak.” Aizat mendongak

“Saya harap awak bersabar dengan berita yang akan saya sampaikan ni.” Wajah wardennya dipandang. Dia ternanti-nanti berita apa yang hendak disampaikan. Tapi berdasarkan ayat itu, dia tahu ada sesuatu yang tak kena. Mak dia sakit ke?  “Mak saya?” soal Aizat dengan mata berkaca.  Warden itu menelan liur. Dia mengangguk perlahan. Padanya Aizatlah antara pelajar yang paling berdisiplin dan baik di situ. Dengan Aizat saja dia boleh berlembut. Jadi, berita itu pasti terlalu berat untuk dia sampaikan dan pasti lebih payah untuk Aizat terima.

“Aizat, mak awak… meninggal siang tadi.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79625/samurai