[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR

SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR Oleh Julia Basri

ARISH mendengus. Nasib baiklah kat hospital. Kalau tidak, ada juga yang dah kena luku petang-petang macam ni. Geramnya bertali-tali pada Mel. Macam tak ada apa-apa perasaan. Siap boleh mengunyah keropok Mister Potato dengan jayanya. Muka pula selamba habis.
“Terima kasihlah nak sebab tolong hantarkan anak mak cik ke sini,” ujar Mak Cik Sara dengan nada lemah. Namun, bibirnya masih terukir senyuman.
“Sama-sama, mak cik. Memang tanggungjawab saya. Mel ni kan staf saya. Demi dia, tekan minyak sampai 180 kilometer sejam pun takde hallah! Janji kita orang sampai kat sini secepat mungkin!” sindir Arish. Mata dah kerling tajam pada Mel.
Makin laju pula Mel mengunyah. Sekeping demi sekeping kerepok dimasukkan ke dalam mulut. Siap pamer muka tak bersalah lagi. Geram Arish kian menjadi-jadi.
Buntang biji mata Mak Cik Sara. “Hah? Lajunya kamu bawa kereta. Jangan begitu, nak. Bahaya bawa laju-laju macam tu.”
Selamba Mel mencelah. “Tuan Arish ni memang macam ni, mak. Dia memang selalu bawak kereta laju-laju macam tu. Bukan apa, kalaulah terserempak dengan perompak, senanglah dia nak buat adegan kejar-mengejar nanti. Tulah hari-hari dia berlatih bawak laju-laju macam tu. Maklumlah nak kekalkan title selaku inspektor terhebat kat Malaysia ni.”
“Oh, macam tu rupanya. Bagus betul anak ni. Memang boleh menang anugerah polis contoh. Cekap, tangkas, suka tolong orang pula tu. Untunglah sesiapa dapat menantu macam anak ni,” puji Mak Cik Sara.
Arish dah senyum kambing. “Mak ciklah bakal jadi orang yang beruntung tu.”
Dahi Mak Cik Sara dah terlakar kedut seribu. “Apa maksud anak ni? Mak cik tak fahamlah!”
“Sebenarnya saya dan anak mak cik akan mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Saya ke sini sebab nak minta restu daripada mak ciklah.”
Mel terlopong. Lebar. Bukan saja lalat, silap-silap langau dan unggas pun boleh terbabas masuk ke dalam mulutnya.
“Betul ke ni, nak? Anak bukan main-main, kan? Mel, kenapa sebelum ni Mel tak pernah cakap dengan mak pasal ni?”
Merah padam muka Mel. “Mak! Tuan Arish bergurau ajelah. Mak janganlah ambil serius kata-kata dia tu.”
“Bila masa pula saya cakap saya bergurau ni? Saya serius, Mel. Sekarang ni mak cik jadi saksi saya. Melina binti Kamil, sudikah awak jadi isteri saya?”
Mel terpana. Rasa macam nak pitam pun ada. “Saya nak cakap dengan tuan sekejap. Sekarang juga! Saya tunggu kat luar.”
Pantas Mel melangkah keluar dari bilik tersebut. Kakinya melangkah laju ke arah bilik menunggu. Arish mengekorinya dari belakang. Sesampainya di sana, Mel berhenti mendadak. Terus dia berpaling. Mengejut. Tanpa sebarang amaran. Hampir-hampir sahaja tubuhnya berlaga dengan tubuh sasa Arish.
“Apa masalah tuan sebenarnya, hah? Kalau setakat tuan nak bergurau-senda dengan saya, saya boleh terima lagi. Kenapa tuan nak babitkan mak saya pula dalam hal ni?”
Arish merapati Mel. Sangat rapat. Tidak pernah serapat ini sebelum ini.
Kening lebat tersisir rapi. Sorotan mata yang tajam dan terperosok ke dalam. Hidung mancung bak seludang. Ya ALLAH, kacaknya! Berderau darah Mel. Barulah kini dia mengerti mengapa Rika, Suzanne dan Qisya tergila-gilakan mamat cengcong ni!
Mel berpaling. Namun, tangkas kedua-dua belah tangan Arish menangkap kedua-dua bahu Mel. Kuat. Sehinggakan sepicing pun Mel tidak mampu berkalih.
“Saya ikhlas, Mel. Awaklah satu-satunya perempuan yang paling rapat dengan saya. Faham saya luar dalam. Sebab awak PA saya. Jadi saya nak upgrade status diri awak. Sanggup tak awak jadi kawan baik, teman gaduh, buah hati pengarang jantung, tunang, isteri dan ibu kepada bakal anak-anak kita?”
Jantung Mel bagaikan berhenti berdegup. “Ini bukan sebahagian dari rancangan Bang Bang Boom, kan?”
“Ada ke awak nampak gorila hitam berlegar-legar kat sini?”
Mel menggeleng.
“Tak ada, kan. Maknanya ini betul-betul kejadian, bukannya cubaan.”
Kali ini Mel betul-betul pitam! Arish kaget. Namun, dia sempat menyambar tubuh Mel sebelum ia jatuh menyembah ke bumi. Dibaringkannya tubuh kecil molek itu ke atas bangku sebelum dia bergegas keluar. Dia harus mencari doktor dengan kadar segera kerana dia tidak mahu apa-apa yang buruk menimpa bakal isterinya!

MASRI dan Daud melangkah ke kaunter pertanyaan dengan wajah bingung. Takkanlah baru beberapa jam, semuanya dah lesap. Hilang tanpa dapat dikesan. Memang pelik!
“Cik misi yang cantik manis. Den nak tumpang tanyo. Mano poienyo posakit kek dalam bilik ICU pagi tadi?” soal Masri.
“Ada ramai pesakit yang ditempatkan dalam bilik tu, pak cik. Siapa nama pesakit tu?”
Masri dah pamer muncung cemberut. “Den ni mudo laie. Ado ko patut dipanggilnyo den ni pak cik? Panggilah abang ko. Sodap sikit tolingo den ni dongar hah!”
Daud mencebik. Lengan Masri ditampar kuat. “Ekau jangan nak mengado-ngado haih! Jangan nak jual minyak pulak kek sini. Kito ado urusan ponting ni.”
“Yolah! Yolah! Den main-main ajo. Cik misi, kami pun sobonar aie tak tahu namo posakit. Cumo kalau tak silap namo anak dio…”
Ayat Masri mati tatkala kelibat Arish bersama-sama dengan dua orang jururawat sedang berlari-lari anak menerpa di hadapan matanya. “Apo kono pulak si Arish tu borlari-lari camtu? Ado acaro larian ko dalam hospital ni?”
“Ado apo-apo dah berlaku ko? Jomlah kito kojar dio!” gesa Daud seraya menghayun langkahnya. Masri juga tidak ketinggalan. Mereka membontoti Arish hingga ke bilik ruangan menunggu. Kelibat Mel yang sudah terjelepuk di atas bangku menyentak jiwa mereka. Terus sahaja mereka meluru ke arah Arish.
“Apo yang ekau dah buat kek anak daro orang ni, hah? Kalau dah suko sangat, masuklah mominang. Apo susahnyo?” tempik Masri. Kuat. Bergema ke segenap ruang.
Arish terpaku. Terperanjat, terkesima menjalar di kalbu. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba kena herdik. Apa kes? “Tenang, bang. Tenang. Saya tak buat apa-apa pun kat Mel. Saya cuma lamar dia aje tadi. Pastu boleh pula dia pengsan.”
Masri dan Daud saling berpandangan. Bibir masing-masing dah tersenyum lebar.
“Botul ko ni? Alhamdullilah… Suko hati den ALLAH ajo yang tahu. Tapi, ekau ni gelojoh sangat! Nak lamar anak daro orang, mano boleh main terjah ajo. Kena ikut adat rosam. Budayo orang kito.” Sempat lagi Masri membebel. Nanar seketika Arish mendengarnya.
“Encik, isteri encik ni tak ada apa-apa. Cuma mungkin dia terlalu penat agaknya. Tu yang sampai dia pengsan tu. Saya dah bagi suntikan. Kejap lagi sedarlah dia,” ujar jururawat itu sambil tersenyum.
Masri dan Daud dah menyeringai macam kerang busuk.
Merah padam muka Arish. “Err… dia bukan isteri sayalah.”
“Samo ajolah tu. Kan tadi ekau cakap ekau nak kahwin dengan dio,” sampuk Masri.
“Maaflah encik, saya tak tahu. Takpelah kalau macam tu, saya minta diri dulu.”
Arish sekadar mengangguk. Kedua-dua jururawat itu terus berlalu ke muka pintu dan menghilang.
“Eh, Mel torimo ko tidak lamaran ekau tadi?” tebak Daud pula.
Arish mengeluh. “Entah. Saya pun tak tahu. Belum sempat apa-apa lagi, dia dah pengsan dulu.”
Masri dah garu kepala. “Iyo tak iyo jugak. Apasallah ekau ni lombab sangat? Kalau den, sokojap ajo den dah koba kek dio.”
Suara Masri yang kuat terus sahaja menjunam tepat ke gegendang telinga Mel. Matanya mula terbuka sedikit demi sedikit.
“Eh, Mel dah sodarlah!” teriak Daud.
“Hah, den tahu macam mano kito nak tahu isi hati dio. Tahulah den nak buek apo. Ekau tengok ajo. Mel, Arish dah hilang! Ponyangak hari tu dah culik dio!”
Mel bingkas bangun. “Hah! Betul ke? Jomlah, kita cari dia sekarang!”
Masri dan Daud dah ketawa mengekek-ngekek. Mel hairan. Dah kenapa dengan mereka berdua ni? Kemudian, baru dia perasan kelibat Arish yang berdiri betul-betul bersebelahan dengan Daud. Saat wajah Arish yang sedang menyengih lebar menerpa ke matanya, barulah dia sedar yang Masri sekadar mempermain-mainkannya. Tebal pula muka dibuatnya. Lebih tebal dari dinding hospital rasanya!
Arish dah kerling nakal. Terjongket-jongket keningnya. “Sayang juga awak kat saya, kan?”
Mel diserbu malu tak terperi. Dalam keadaan terhuyung-hayang, dia menyeret tubuhnya. Dengan lemah, kakinya melangkah ke bilik emaknya semula. Hatinya sakit. Jiwanya perit. Arish betul-betul melampau! Sudahlah tadi dia ‘bermain’ soal kahwin di hadapan Mak Cik Sara, kini Masri dan Daud pun boleh terbabit sekali. Geramnya!
Sebaik sahaja pintu bilik Mak Cik Sara terkuak luas, kelibat sesusuk tubuh lampai segera mampir ke pandangan. Mel tersentak. Apa yang dia buat kat sini?
“There you are! Lama dah I tunggu. Hei, you sorang aje ke? Mana buah hati I?”
Mel dah kerut dahi. “Buah hati? Oh, hati ya? Mestilah hati Cik Qisya ada dalam badan Cik Qisya sendiri. Buat apa tanya kat saya pulak?”
Qisya tepuk dahi. “Hai, kenapalah you ni bendul sangat, kan? Macam manalah si Arish tu boleh tahan kerja dengan perempuan yang bendul tahap cipan macam you ni. Maksud I, mana pergi Tuan Arish Aqlan you tu? Itu pun susah nak faham ke?”
“Apahal cari saya sampai ke sini ni?” soal Arish yang muncul tiba-tiba.
“Mestilah ada hal penting. Kalau tidak, takkanlah I cari you sampai ke sini,” balas Qisya dengan nada suara terlebih manja.
Naik meluat pula Masri dan Daud melihatnya.
“Siapo pulak porompuan ni, Arish? Torgodik-godik ajo den tengok. Dah macam ulat beluncas ajo ruponyo,” selamba Masri menukas.
Berubah air muka Qisya. “You diamlah, orang tua! Sibuk aje nak menyampuk hal orang. Jagalah tepi kain sendiri!”
Tergeleng-geleng kepala Daud. “Rupo ajo cantik, tapi bahaso tak berapo nak cantik. Sayang botul!”
“Memang I cantik! So what? Tak puas hati?” balas Qisya bongkak.
Kebiadapan Qisya kian menghakis kesabaran di hati Arish. “Bukan ini caranya bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita, Qisya. Rasanya saya takde apa-apa urusan dengan awak. Jadi rasanya lebih baik awak pergi dari sini dengan cara baik. Ke awak nak saya guna cara kasar?”
Qisya merengus. Geram. Bencinya kian membukit pada Arish. Kalaulah bukan ayahnya yang menyuruhnya ke mari, tidak ingin dia bersemuka dengan lelaki ini. Buat menyakitkan hati aje.
“Err… maaflah, Arish. I bukannya sengaja nak berkasar dengan dia orang. Tapi, dia orang yang sakitkan hati I dulu. Oklah semua, I minta maaf. I takde maksud nak sakitkan hati you all.” Kali ini nada suaranya dilenturkan selembut mungkin. Bibir dah ukir senyum kelat.
Mel nak tergelak melihat lakonan sendu Qisya. Plastik sungguh!
“Awak dah minta maaf, kan? So sekarang dipersilakan…”
Pantas Qisya memangkas. “Nantilah dulu, Arish. You dengarlah apa yang I nak cakap dulu. Sebenarnya papa yang suruh I ke mari. Dia suruh I datang jemput you. Ada hal penting katanya. Benda ni berkaitan dengan kerjaya you.”
Umpan yang dihulur tampak mengena. Qisya senyum sumbing tatkala melihat bebola mata Arish yang bersinar-sinar.
“Betul ke ni, Qisya? Tuan Kommisioner nak jumpa saya?”
“Betullah! Takkanlah I nak tipu buah hati I sendiri. Jomlah ikut I sekarang. Mesti you dah tak sabar nak dengar berita baik ni,” tokok Qisya lagi.
“Jomlah.”
Arish dan Qisya melangkah ke muka pintu. Sempat lagi Qisya mengerling tajam ke arah Mel. Sinis.
Entah mengapa robek hati Mel tatkala Arish melangkah pergi. Seakan-akan jiwanya turut dibawa pergi. Terpisah jauh dari hati.
“Konapo ekau biar ajo si Arish porgi dongan porompuan godik tu?” soal Masri geram.
Resah di hati sedaya-upaya cuba disorok Mel. “Saya takde hak nak halang dia. Biarlah dia pergi.”
“Siapo kato? Dio tu kan bakal suami ekau!” jerkah Masri.
Mel terjeda.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97180/sayang-awak-tuan-inspektor

[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, SAYANG

SAYANG AWAK, SAYANG Oleh Murni Aqila

BANGLO yang sepi itu semakin sunyi. Rasa kosong sahaja apabila tinggal di dalamnya. Junaira memaksa diri untuk pulang semula di situ atas desakan hati dan pujukan Liani, dan rasa rindu pada Nazif.

Sejak pulang ke situ, Nazif tiada di rumah. Entah bagaimanalah reaksi Nazif jika melihat dia kembali ke rumah itu. Atau sebenarnya Nazif tidak kisah? Jauh di sudut hati dia dapat rasakan yang Nazif tidak pedulikan ketiadaannya. Jadi, benarlah kata-kata Fahim?

Setelah mendengar cerita Fahim yang cuba dinafikan, lama-kelamaan ia meresap jua ke hati. Lantas dia bangun daripada pembaringan. Ditinggalkan semua buku nota yang hampir penuh di atas katil. Belajar waktu fikiran sedang runsing hanya membuatkan jiwanya kacau.

Di luar bilik, suasana juga sunyi. Nazif masih belum pulang walau sudah pukul 8.00 malam. Pandangan didongakkan ke atas, ke bilik Nazif. Desakan hati meronta-ronta mahu dia masuk ke dalam bilik tersebut.

Tidak berlengah, lalu dia mendaki anak tangga. Pintu bilik yang tidak dikunci itu dibuka. Hatinya amat yakin, pasti Nazif ada menyimpan keratan akhbar yang mengadungi artikel mengenai kemalangan keluarga mereka. Dia mahu sesuatu sebagai bukti kebenaran kata-kata Fahim. Selagi dia tidak mencari, selagi itu jiwanya kacau. Sudah dicari melalui internet, namun tidak berjumpa. Jika ada pun, sudah menjadi artikel dalam arkib akhbar tersebut. Tidak boleh dicapai lagi. Masakan tidak, peristiwa hampir empat tahun yang lalu.

Dia cuba mencari di setiap laci yang ada. Inilah pertama kali dia membuat kerja gila, menyelongkar bilik orang lain.

Bagaikan sudah terancang, dia menjumpai sebuah fail yang terletak di bahagian bawah laci meja kerja Nazif. Apabila diselak fail tersebut, terpapar beberapa keratan akhbar mengenai kemalangan tersebut. Juga susulan kejadian itu. Malah, ada gambar yang menunjukkan bagaimana remuk kereta Kancil yang dipandu arwah abahnya. Serta-merta rasa pilu menyengat dada.

Dia tidak pernah terfikir kemalangan tersebut mendapat liputan media. Apatah lagi ketika peristiwa itu berlaku, dia bertarung dengan jiwanya yang hampir rapuh. Tidak diambil peduli tentang kisahnya yang tertulis di dada akhbar.

Artikel itu dibaca dengan linangan air mata. Semerta datang kerinduan yang menendang-nendang naluri. Ya… memang benar kata Fahim. Keluarganya mengalami kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan arwah mummy dan daddy Nazif. Akibat kemalangan itu seluruh keluarganya meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala daddy Nazif meninggal tiga hari selepas dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan yang teruk. Manakala mummy Nazif dimasukkan ke dalam wad dan disahkan lumpuh!

“Ya ALLAH…” Junaira terduduk di lantai. Linangan air mata tidak mampu ditahan-tahan lagi. Laju berderai ke pipi.

“Mummy kata dia lumpuh sebab sakit. Penipu! Rupa-rupanya dia lumpuh sebab kemalangan. Tergamak dia rahsiakan semua ni daripada aku. Tapi, kenapa dia ambil aku jadi anak angkat dia? Konon-konon nak ambil aku jadi orang gaji dalam rumah ni. Entah-entah mereka nak dera aku dengan Haziq. Tapi tak sampai hati pulak lepas tu. Dan tergamak pula memaksa Nazif kahwin dengan aku.

Patutlah Nazif terima dia sebagai isteri. Mungkin ada muslihat. Supaya hidup aku makin sengsara. Patutlah Nazif tidak pernah menganggapnya sebagai isteri. Apatah lagi mencintainya. Memang betul kata Fahim. Mereka licik dan penuh muslihat!”

Betapa hancurnya hati tatkala mengetahui semua itu. Setelah hampir empat tahun, baru dia tahu cerita sebenar. Patutlah arwah mummy baik sangat padanya. Dan Nazif terpaksa menurut apa sahaja permintaan mummynya dalam keadaan tanpa rela. Juga tidak rela menikahinya. Hanya dia sahaja yang mencintai lelaki itu, sedangkan Nazif tidak pernah ada hati padanya. Disebabkan itulah Nazif tidak kisah pun dia tidak balik ke rumah semalam. Nazif menamparnya di hadapan khalayak. Nazif langsung tidak memujuknya. Semuanya kerana tiada cinta dalam hati Nazif untuknya. Langsung tiada!

Teresak-esak dia menangis sambil menatap keratan akhbar tersebut. Hatinya tertanya-tanya, mengapa semua ini yang harus terjadi dalam hidupnya? Mengapa? Mencintai seseorang yang tidak pernah mencintai adalah sesuatu yang sangat mendera perasaan.

Tiba-tiba pintu terbuka. Junaira mendongak. Nazif!

Lantas dia bangun dengan fail didakap erat ke dada. Spontan dia menyeka air mata yang membasahkan pipi. Pasti Nazif akan marah kerana dia menceroboh bilik itu.

Nazif tergamam melihat Junaira berada di dalam biliknya. Apatah lagi sedang memegang fail yang selama ini disimpan kemas. Wajahnya berubah riak. Pasti Junaira sudah tahu kisah sebenar antara keluarga mereka yang selama ini cuba disorok. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, Junaira bersuara terlebih dahulu.

“Maaf… Jun takkan masuk dalam bilik ni lagi.” Junaira meletakkan fail tersebut di atas katil dan terus berlalu melepasi Nazif yang tercegat di ambang pintu.

“Jun…” Nazif cuba menahan, namun Junaira sudah turun ke tingkat bawah. Pasti Junaira menyangka yang bukan-bukan sehingga mengalir air mata. Mahu sahaja dia memujuk gadis itu. Mengenangkan keadaan pasti akan lebih teruk jika menerangkan ketika hati Junaira tidak tenang, dibatalkan niatnya untuk memujuk gadis itu. Barangkali esok lusa hati Junaira kembali tenang. Ketika itu dia akan jelaskan semuanya kepada Junaira.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96067/sayang-awak-sayang

[REVIEW] CIK SERBA TAHU

CIK SERBA TAHU Oleh Syamnuriezmil
Bermacam-macam usaha yang Carl Adham buat untuk memikat hati Aerna, namun untuk menerima lelaki itu memang agak payah. Mana tidaknya, mereka baru saja bertemu. Tiba-tiba lelaki itu ajak dia bertunang kemudian bernikah? Gila ke apa???! Semua orang di ofis gelarkan Aerna sebagai Cik Serba Tahu sebab semuanya dia boleh tahu. Sebab benda yang diagak selalunya betul dan banyak rahsia yang dia tahu terutama rahsia Encik Ben dan Encik Bun. Dan disebabkan serba tahunya itu, bapaknya bimbang jika anaknya itu terlupa tentang diri sendiri. Bapak Aerna nekad untuk cepat-cepat mengahwinkan anaknya dengan sesiapa saja yang gentleman asalkan Aerna membuka hati untuk menerima cinta. Adakah Aerna akan bersedia membuka pintu hatinya seperti yang dipinta oleh bapaknya?

Pada pendapat admin, cerita ni best and simple. Tak terlalu hard feeling sampai meleleh air mata. Okay laa kan untuk hilangkan stress. Jalan cerita yang santai dan watak heroin, Aerna Isyqee yang easy going tu memang jadi penarik kepada novel ini. Watak hero, Carl Adham yang cepat sangat suka kt Aerna tu jadi musykil sikit, Style penulis ni memang nak pembaca imagine ending dia macam mana. So, readers kene beli dan baca eBook ini ye!
So far, itu adalah ulasan buku yang dapat admin kongsikan kepada readers pada hari ini. Kalau readers nak dapatkan ebook ini, boleh klik pada link di bawah.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

[SNEAK PEEK] ISTERIKU SLEEPING UGLY

9789674462116-medium
EBUKU Isteriku Sleeping Ugly Oleh Daisy Dania

KENAPA tadi you panggil dia ugly?”
Suara Erin yang didengari membuatkan langkah Hana terhenti daripada terus melangkah menuju ke arah kaunter penyambut tetamu itu.
Dia yang diarahkan Rina sebentar tadi untuk menyediakan air kopi terus memasang telinga di situ.
“You ni, agak-agaklah kan. Takkan macam tu nampak cantik pada pandangan mata you? Untuk I, memang taklah. Sebab tu I panggil dia ugly. Lagi satu, dia ni suka tidur rata-rata tempat tau, you jangan tak tahu,” beritahu Rina bersungguh-sungguh.
“Really?”
“Ya. Bukan ke ada satu cerita dongeng tu, Sleeping Beauty, kan? Yang ni? Cantik ke?” balas Rina.
Tawa Rina dan Erin meletus.
Hana mengetap bibir. Kenapa apa yang dia pakai akan selalu menjadi sebab utama untuk orang lain mengata dirinya? Apa yang dia orang pakai, aku tak pernah kisah pun!
Hana mula mengatur langkah. Erin dan Rina yang sibuk bergosip terhenti sejenak. Dua biji cawan diangkat lalu diletakkan di atas meja sebelum ingin berlalu.
“Tunggu, tunggu.” Erin bersuara.
Hana kembali menoleh ke Erin yang sedang mencari sesuatu di dalam beg tangannya.
“Nah, upah kau.” Erin tersenyum sinis sambil menghulurkan sekeping duit kertas RM1.
Hana terkebil-kebil memandang Erin yang mengangkat kening kepada Rina. Setidak-tidaknya, Erin ingin kelihatan hebat juga di pandangan mata model itu.
“Ambil. Aku tak naklah nanti kau cakap kita orang ni buli kau pulak. Ambil, jangan risau, aku ikhlas. Cukup ikhlas dari hati kecil ni. Nah!” Erin beria-ia menghulurkan wang kertas yang masih belum bersambut.
Hana menatap dalam-dalam raut wajah kerani itu. Kenapa harus sombong dan meninggi diri? Kalau tak ada RM1 tu, takkan cukup seratus tau. Jangan kata RM1, kalau tak ada satu sen sekalipun, takkan boleh kalau nak cukupkan nilai sejuta.
Hana menyambut duit yang diberi. Bukan kerana dia ingin merendahkan martabat dirinya, tapi dia yakin satu hari nanti, dia akan ada peluang untuk menggunakan kembali duit tersebut.
“Hah! Macam tulah. Good girl!”
“Terima kasih. Saya terima sebab saya yakin, nanti duit ni akan kembali kepada tuannya yang asal. Sebab? Sebabnya dalam ekonomi sendiri pun, duit ni…” Hana menunjuk duit yang sudah berada di tangannya.
“Duit ni berputar. Bila berputar, saya yakin suatu hari nanti RM1 ni akan kembali kepada Cik Erin,” tutur Hana.
Erin menelan air liur. Dia terpempan dengan kata-kata budak kampung itu. Apa yang nak dijawabnya sekarang? Tak guna! Dia melihat ke arah Rina bagaikan ingin meminta pertolongan.
“Apa-apalah! Ekonomilah, apalah. I don’t care!”
“Of course you don’t care. Or maybe you don’t even know, right? Sebab dulu pun, assignment Ekonomi Cik Rina, saya yang buatkan!” balas Hana geram.
Dulang yang tadinya ingin dibawa kembali ke bilik pantri dibiarkan di meja Erin sebelum berlalu.
Air mata yang ditahan sejak diberikan wang kertas oleh Erin tadi, kini gugur. Langkah dilajukan ke arah studio.
Erin mengetap bibir sambil mengerling Rina.
“Damn it!” Rina mula mencerca apabila terasa panas hati.
Sekarang ni, Ugly yang dungu itu sudah berani melawannya? Nampaknya, pengajaran yang lalu masih belum berkesan buat budak kampung itu!
“I have a plan. New plan!” gumam Rina.
Matanya masih tidak lepas menatap pintu yang ditutup Hana tadi.

LAGU I’ll Always Love You yang merdu hasil suara mantap mendiang Whitney Houston melatari studio Fabuloustar pagi itu. Lagu itu yang sengaja diperdengarkan dari sebuah komputer riba yang dihubung terus kepada kotak speaker Altic Lansing, dipilih sendiri oleh Bad dengan harapan dapat menyuntik mood kepada model-model yang menjalani sesi fotografi dengan tema romantik itu.
Hana memerhati Rina dan seorang lagi model perempuan yang sibuk memberikan pelbagai gaya seperti yang dikehendaki oleh jurugambar, Imran.
“Risya.” Sebaris nama itu meluncur keluar dari bibir Hana.
Semua orang di sini memanggilnya sebegitu, bukan dengan nama Rina seperti yang pernah dikenalinya di UiTM dahulu. Ah, Risya ke, Rina ke, orangnya tetap sama. Perangai juga masih lagi tidak berubah. Jadi, apa yang berbeza dengan nama tersebut?
Hana mengalihkan pandangannya daripada terus memerhati sesi fotografi yang sedang rancak berlangsung. Dia yang sedang berdiri di tingkap studio itu, memandang ke arah luar, memerhati kesibukan di jalan-jalan Kuala Lumpur yang tak pernah sunyi.

“Ugly!”
Suara itu menyentap rasa tenang yang baru hendak bertamu dalam diri Hana. Dia menoleh ke arah Rina yang sedang duduk di sebuah kerusi. Kelihatan semua mereka yang berada di situ turut memandang ke arahnya. Lagu yang tidak lagi kedengaran membuatkan Hana memahami yang sesi itu dihentikan seketika untuk berehat.
“Apa you ni? Nama dia Hanalah,” ujar Bad, sedikit marah.
“Yalah. Penolong Jojo, takkan you tak kenal lagi?” Imran pula menambah.
“Siapa cakap I tak kenal? Lebih daripada you all semua kenal dia tau. Oh, Ugly.” Rina menoleh ke arah Hana yang terkebil-kebil memandang kepadanya.
“No need to be rude. You boleh aje kan panggil dia Hana?” Jojo yang mula panas hati, terus membuka mulut.
“Hei, relakslah. I dah terbiasa.” Rina tertawa kecil.
Kau kena kuat, Hana. Bukankah kau dah biasa dengan perangai dia? Lagipun, untuk hari ini aje, kan? Hana memberikan semangat untuk dirinya sendiri.
“Tolong ambilkan aku air. Hauslah. Hmm… tolong dapatkan aku strawberry smoothie dari restoran kat bawah tu. Cepat sikit ya.” Rina memberikan arahan diiringi dengan senyuman di bibirnya.
“Hei! You jangan nak melampau. Dia ni pembantu I, bukannya…”
“Tak apa, Jojo. Lagipun, saya memang tak buat apa-apa pun sekarang ni. Apa salahnya saya tolong. Jojo nak apa-apa, saya boleh tolong belikan.” Hana cuba bernada ceria.
Jojo yang menoleh kepada Hana cuba menahan sabar. Kepalanya digeleng perlahan bagaikan kesal dengan apa saja yang baru didengari daripada Hana. Kenapa pula Hana sanggup mengikut saja apa kata Risya?
“Hah, dengar tu Jojo? Dia sendiri tak kisah. You pulak yang nak lebih-lebih,” tukas Rina sambil menjeling.
“Bad? Imran? Yang lain-lain nak pesan apa-apa jugak ke?” Hana menoleh ke arah krew-krew yang sedang berehat di dalam satu kumpulan.
“Tak apalah, Hana.” Imran bersuara bagaikan wakil kepada mereka yang lain.
“Betul ni? Cakap ajelah kalau nak apa-apa. Err… sandwic?” Hana masih lagi menawarkan pertolongannya kepada para pekerja itu yang hanya menggeleng.
“Vanessa?” Hana memanggil pula model kacukan China dan Inggeris yang turut berehat itu.
Kelihatan Vanessa menggeleng.
“Tak apalah, Hana. I bukannya jenis macam tu. Kalau I nak sesuatu, I tahu macam mana nak buat dan I takkan pernah nak susahkan orang lain. Tapi, you tahu tak yang you memang sangat-sangat baik dan untuk itu, apa kata semuanya, kalau kita berikan tepukan untuk Hana!”
Hana yang tidak menyangka apa yang dikatakan oleh model yang bekerjasama dengan Risya tadi, terpinga-pinga apabila mereka semua yang berada di situ melakukan seperti yang dipinta Vanessa. Bergema studio yang tadinya sepi dengan tepukan daripada semua pekerja.
Hana tersipu. Matanya menjeling kepada Jojo. Amboi! Beria-ia pula Jojo bertepuk tangan untuknya. Hisy! Macam-macam. Namun, Hana sendiri tidak berjaya menahan bibirnya daripada terus memberikan senyuman buat lelaki itu.
“Yeah! Hana! Hana!” Imran pula bersuara.
“Hana! Hana!” Mereka yang lain ikut bersuara, seakan-akan memberikan semangat buat gadis itu.
Hana tersenyum terus. Bahagia juga bila disokong begini. Belum sempat untuk terus senyum berpanjangan, raut wajah Rina yang sedang merenung tajam kepadanya mencuri tumpuan.
“Err… saya pergi dulu,” tutur Hana sebelum berlalu.
Rina memerhati kelibat gadis itu yang menghilang di sebalik pintu studio. Tak guna! Kenapa sekarang dia dapat rasakan semuanya seperti menyebelahi gadis dungu tak guna itu? Dan yang paling teruk, dia rasa macam dia sudah kalah kepada Hana!
Rina menjeling kepada Vanessa yang sedang duduk tidak jauh di sisinya. Kelihatan gadis itu sedang membelek-belek telefonnya.
“Tadi tu you perli I ke apa?” Rina mula bersuara.
Setidak-tidaknya rasa panas hatinya kini harus dilempiaskan kepada seseorang.
“Excuse me?” Vanessa menoleh ke arah Rina.
“Alah, tak payahlah nak berpura-pura. Tadi tu apa yang you cakap, memang you cakap pasal I, kan?” Rina mula berdiri.
Suara Rina yang tinggi itu menarik perhatian mereka yang lain.
“Biarkan. Kalau perempuan bergaduh, jangan masuk campur!” bisik Bad kepada Jojo sambil tersengih.
“Setuju!” balas Jojo yang ikut tertarik dengan drama yang bakal terjadi.
“Yang you nak terasa kenapa? I tak sebut pun nama you, kan? I’m just talking about myself. Tapi, kalau you masih nak terasa, sorry, I can’t help it okay?” Vanessa tersenyum sinis.
“Satu, dua…” Bad dan Jojo sama-sama mengira.
“Tak guna! Kau memang nak cari pasal, kan?!” Rina yang tidak lagi boleh bersabar terus menerpa ke arah Vanessa.
Rambut paras bahu Vanessa menjadi target tangannya. Kedua-dua orang model yang tidak ingin mengalah mula bercakaran antara satu sama lain. Drama percuma itu menjadi tatapan staf-staf lelaki lain yang tidak ingin masuk campur.

****

SEPASANG kasut tumit tinggi Charles & Keith yang berwarna putih dan berjalur ungu itu kembali disimpan di rak yang menempatkan pelbagai lagi jenis kasut wanita dan lelaki daripada pelbagai jenama antarabangsa.
Sekali lagi, sama seperti hari-hari sebelum ini, Hana sudah selesai mengemas pakaian, kasut dan aksesori yang diguna pakai oleh para model. Dia tersenyum senang kerana ini sudah menandakan kerjanya sudah berakhir untuk hari itu.
Jam di pergelangan tangan dikerling sebelum telefon yang berada di tangan mula ditatap. Hana mula mencari mesej yang diterima daripada Ika beberapa minit yang lalu.
“Ada pun,” gumam Hana.
Dia membaca mesej yang dibalas Ika sebagai jawapan kepada pertanyaannya tadi. Hari ini, dia harus pulang ke rumah seorang diri kerana Jojo tiba-tiba saja memberitahunya untuk berjumpa dengan seorang kawan yang sudah lama tidak bersua muka.
Nombor telefon untuk menghubungi teksi itu dilihat lagi sebelum telefon kembali disimpan di dalam beg. Puas memerhati keadaan bilik wardrobe itu, Hana menekan satu suis untuk menutup lampu sebelum berlalu. Keadaan studio itu sudah lama sunyi, sejak selesainya sesi fotografi lewat tengah hari tadi.
Sebaik melangkah keluar dari studio, Hana menghala menuju ke arah lif. Beberapa minit melangkah, dia sudah tiba di depan pintu lif. Matanya yang menjeling ke arah pintu pejabat, mula menarik langkah kakinya ke arah situ.
“Ada lagi ke yang tak balik?” bisik Hana perlahan.
Jam di tangan mula dikerling apabila kedengaran batuk yang dilepaskan itu. Selalunya pada waktu yang menginjak ke 6.40 petang, sudah tidak ada mana-mana staf yang masih berada di pejabat.
“Eh, Hana, tak balik lagi ke?” soal Zara apabila menyedari kehadiran Hana.
“Belum lagi, tapi dah nak baliklah ni. Err… Cik Zara tak…”
“Alah, tak payahlah nak bercik-cik dengan saya. Kita sebaya, kan? Panggil aje Zara.” Gadis yang menjadi setiausaha kepada syarikat itu mengukirkan senyuman kepada Hana.
“Err… Zara tak balik lagi? Banyak kerja ke?”
“Boleh tahanlah. Saja aje malas nak balik awal-awal. Bukannya ada siapa-siapa pun tunggu kita kat rumah. Lebih baik habiskan kerja ni, ya tak? Kenapa, Hana pun balik lewat? Jojo mana? Selalu tu kau orang berdua, hari ni tinggal awak aje sorang-sorang.”
Hana tersengih. Nampaknya satu pejabat ni agaknya sudah tahu yang dia dengan Jojo selalu datang dan pulang bersama-sama. Gosip!
“Memang selalu tu saya datang dan balik sama-sama dengan Jojo, tapi hari ni dia ada hal, jadi saya balik sendiri. Err… tadi saya dengar Zara batuk, tak sihat ke?” Hana yang berdiri tidak jauh dari meja Zara mula melepaskan soalannya
Zara tersenyum sebelum membuka mulut. Pandangannya yang tadi tertancap kepada monitor komputer mula ditalakan kepada Hana yang masih tercegat di situ.
“Taklah. Saya okey. Tadi tu tersedak sebab minum air ni.” Sebotol air mineral yang berada di atas meja diangkat, lalu ditunjukkan kepada Hana.
Hana mengangguk faham.
“Saya ingatkan Zara tak sihat tadi. Kalau macam tu, saya balik dulu ya.”
“Okay, take care!” Zara mula melambai.
“You too. Assalamualaikum.” Hana tersenyum sebelum melangkah.
“Waalaikumussalam.” Mata Zara mengikut gerak langkah gadis itu sehingga menghilang.
Apa yang tidak kena dengan gadis itu sehingga ramai staf yang memperkatakan perihal dirinya? Bukan dia tidak tahu, boleh dikatakan setiap hari, ada saja cerita yang Erin sampaikan kepada staf-staf yang lain.
“Sekurang-kurangnya, dia ambil berat jugak pasal aku,” getus Zara.

HANA yang menanti di depan pintu lif, terpempan sejenak sebaik pintu lif berkenaan terbuka. Susuk tubuh seorang lelaki yang sedang berdiri di dalam lif itu membuatkan Hana mula berdebar.
Ah, masuk ajelah, Hana. Jangan-jangan dia sendiri pun sudah tak ingat pun hal itu, kan?
Hana mula melangkah masuk apabila mengenangkan waktu yang kian lewat. Jam di telefon yang dikeluarkan dari beg untuk menghubungi teksi sebentar lagi, dipandang. Sudah hampir ke pukul 6.45 petang.
Rayyan mula melonggarkan ikatan tali lehernya. Kepalanya diteleng ke kiri dan kanan untuk menghilangkan lenguh-lenguh di leher dengan mata yang dipejamkan. Apa yang dia tahu, dia ingin segera sampai ke rumah dan berehat di atas tilam empuknya itu.
Seorang gadis yang berdiri bersama-samanya di dalam lif itu tidak dihiraukan. Penampilan gadis itu dilihat sekali lalu. Entah mak cik cleaner mana atau tea lady syarikat mana yang berkongsi lif bersama-samanya petang itu. Rayyan mula menjeling.
Tak seksi langsung untuk dibuat cuci mata yang dirasakan berpinar setelah seharian menyemak fail itu dan ini. Sudahlah perutnya sendiri sudah mula berkeroncong.
Rayyan menjeling malas nombor yang dipamerkan di dalam lif itu. Lif itu baru saja bergerak menuruni aras 14.
“Lambatnya!” desis Hana.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79470/isteriku-sleeping-ugly

REVIEW DUDA TERLAJAK LARIS

9789670567761-medium
EBUKU DUDA TERLAJAK LARIS OLEH AIFA BATRISYA

Apakah perasaan anda saat disuruh bernikah ketika berusia 18 tahun dan kemudiannya menduda waktu usia perkahwinan baru menjangkau usia dua tahun?

Itulah yang terpaksa dihadapi oleh Zack biarpun dalam keadaan separuh relanya. Rela pun dia dengan pernikahan itu pun hanya kerana dia memikirkan air muka tok ayah, insan kesayangannya yang juga imam Masjid Batu Lima. Disebabkan sebiji mentol, hidupnya jadi huru-hara dek perangkap gadis genit bernama Pehah, adik angkat sahabatnya iaitu Bob.

“Dan saya harap walau jauh mana pun awak pergi, suatu hari nanti awak tetap akan cari dan kembali kepada saya. Itu doa saya!” – Pehah.

“Pehah, Pehah… Dunia ni bulat tau tak? Bulat. Tapi bulat macam mana pun, tak bermakna pusing-pusing aku akan jumpa kau juga. Ada ramai lagi perempuan dalam dunia ni yang aku boleh jumpa. Kau kasilah peluang dekat aku jumpa yang ala-ala Siti Nurhaliza ke, Izara Aishah ke. Ini tidak, kau nak juga aku jumpa kau lagi. Memang bad lucklah aku kalau begitu ceritanya. Aduhaiii…” – Zack.

Adakah dia bad luck? Lapan tahun pun berlalu, tapi jangankan Siti Nurhaliza atau Izara Aishah, yang ala-ala itu pun Zack tak pernah jumpa. Phewww! Takkan dia dah terkena sumpahan Pehah? Atau mungkin menjadi duda yang terlajak laris itu menjadi satu batu penghalang untuk Zack bertemu dengan pemilik tulang rusuknya yang sebelah lagi itu apabila hubungannya tak pernah kekal sehingga ke jenjang pelamin?

“Nope. I am okay with that. Saya tak kesah pun sama ada awak ni duda atau teruna sebab saya tak pernah letak syarat apa-apa pada calon suami saya. Dan kalau ada pun syaratnya cuma satu. Orangnya mesti awak. Tak ada orang lain. Hanya Zafran Aldrin!” – Idayu.

Apa kesudahannya kisah duda terlajak yang agak laris ini? Akan diturutkan jugakah untuk menikahi Idayu atau sebaliknya?

Kata orang-orang tua, cakap tu biar berpijak di bumi yang nyata. Jangan bongkak sangat nanti terpaksa telan kata-kata sendiri. Kata-kata sendiri, boleh diterima lagi kalau terpaksa dia telan, tapi kalau terpaksa jilat ludah sendiri? Memang taklah!


Contoh dialog Zack :

“Awk chat kew?”

“Sorry, wrong number. Chat kew tak ada sini.”

“Kitew crik Zack la. Ni no zack kew?”

“Huk aloh! Tadi cari Chat Kew, ni dok petik nama aku pula. Mamai ke apa?”

Nampak tak otak senget mamat ni. Ulasan bagi cerita ini, admin boleh katakan ialah.. Lawak santai. Memang sesuai dengan yang suka membaca cerita yang tak heavy. Boleh senyum la sambil baca sebab watak Zack tu kelakar tapi annoying. 

Admin rasa same je gila Zack dan Pehah. Satu gila, satu kurang waras! Hahah! Betul, Admin baca bab 1 pun dah rasa mereka ni ada chemistry tapi semua in denial. Kalau nak tahu apa kesudahan cerita mereka, kenalah baca cerita full mereka yang gila ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79478/duda-terlajak-laris