[SNEAK PEEK] CINTA TAK BERALIH

9789831245620-medium
CINTA TAK BERALIH Oleh Hezzy Azra

MATANYA tertumpu sekali lagi ke arah Lye Keng, jejaka berbangsa Cina yang sedang berbual di telefon, di sudut kedai komputer itu. Lye Keng yang berwajah cute dan berambut pendek bercacak itu dilihatnya tersenyum-senyum sepanjang perbualan dalam bahasa Inggeris bercampur aduk dengan bahasa Kantonis. Telinganya menangkap butir bicara tersebut sambil cuba memahaminya serba sedikit.

Bahasa Kantonis yang dipertuturkan oleh Lye Keng bukan sesuatu yang asing baginya. Walaupun lidahnya tidak fasih menuturkan bahasa tersebut seperti fasihnya dia berbahasa Melayu dan Mandarin, tetapi bila sesekali mamanya berleter menggunakan bahasa nenek moyangnya itu, perit juga telinga mendengar.

Sudah hampir lima minit perbualan Lye Keng berlangsung. Bermakna, sudah lima minit juga sesi temu duganya dengan lelaki itu tergendala. Sebelum panggilan itu mengganggu temu duga mereka, Lye Keng nampaknya memberi maklum balas yang positif. Dia hampir pasti jawatan pembantu jualan itu menjadi miliknya. Lebih-lebih lagi bila Lye Keng bertanya, seberapa cepat dia boleh memulakan kerja.

Dan dia pantas menjawab, “Esok!”

Senyuman Lye Keng mengiringi anggukan sebelum menjawab panggilan daripada telefon bimbitnya.

Kalau nak memujuk pa toh pun, pujuklah sekejap lagi! Selesaikanlah sesi temu duga aku ni dulu! Rungutnya sambil melirik jam di tangan kiri. Dia mula bosan menanti. Sememangnya dia sudah terlalu penat untuk hari itu. Kedai komputer Lye Keng merupakan tempat keempat yang dihadirinya untuk sesi temu duga.

Sebelum itu, dia sudah keluar masuk sebuah pasar raya dan sebuah kedai gambar yang memaparkan iklan ‘pembantu jualan’ di cermin hadapan premis mereka. Seawal pagi tadi, dia sudah menjejakkan kaki di sebuah syarikat pemaju perumahan yang berdekatan dengan pejabat mamanya, memohon kerja sebagai telefonis merangkap penyambut tetamu. Entah dapat entahkan tidak. Syarikat itu mahukan seseorang yang berpengalaman. Malangnya, satu pengalaman pun dia belum ada.

Dia tidak seperti sebilangan rakan lain yang tidak perlu tergesa-gesa mengisi borang permohonan kerja. Ada antara rakannya, masih ingin berehat dan bersantai sebelum menghantar resume ke agensi pekerjaan. Tapi keadaannya berbeza. Dia memang terdesak untuk mencari kerja. Bukan kerana dia telah lama menganggur. Hakikatnya, baru minggu lepas dia mendapat keputusan peperiksaannya.

Tetapi kerana kesedaran yang mendalam terhadap tanggungjawab yang harus dipikul. Sungguhpun segulung ijazah dalam bidang Urban Studies and Planning bakal digenggam pada majlis konvokesyen tidak lama lagi, tetapi peluang pekerjaan zaman ini terlalu kompetitif.

Dia tidak betah duduk di rumah sahaja. Kerana itu, dia tidak memilih kerja. Biarlah bidang pekerjaan yang diceburinya tiada kena-mengena langsung dengan lulusan yang diperolehi, namun dia cuba bersikap positif dan optimis. Pasti ada serba sedikit ilmu yang dipelajari sepanjang berada di universiti mampu diaplikasikan dalam jawatan yang bakal disandang. Biarpun sebagai pembantu jualan atau penyambut tetamu. Atas kesedaran itu, dia tidak kisah dengan apa sahaja pekerjaan yang ditawarkan di depan mata. Kata-kata mama yang bernada tegas pagi tadi terdengar-dengar di telinga.

“Your papa is no longer around and we have to be strong. Life is not easy, girl! Rebut saja peluang yang ada…”

Dia akur dengan kebenaran itu. Sejak papa meninggal dunia, dia sudah diasuh untuk menongkah arus kehidupan walau sesukar mana. Papa menghembuskan nafas terakhir ketika dia masih berada di tahun pertama pengajian di Universiti Malaya. Bermula saat itu, kehidupan dia, mama dan dua adiknya diteruskan dengan disulami pelbagai cabaran. Dugaan yang sesekali mendatangi mereka di kota metropolitan diharungi dengan jiwa yang kental. Hasil didikan mamanya yang tegas.

“Excuse me…”

Teguran seorang lelaki lantas meleraikan lamunannya yang telah jauh menerawang. Entah bila lelaki itu muncul di situ, tidak disedarinya. Dia meliarkan pandangan di sekitar kedai yang sarat dengan kotak-kotak monitor dan CPU. Tiada sesiapa melainkan dia dan Lye Keng yang masih bercakap di telefon. Pandangannya kembali beralih ke arah lelaki yang sederhana tinggi, segak berkemeja warna kelabu dan berseluar hitam.

Perlukah dia melayani lelaki tersebut? Nak cakap apa? Takkan nak memandai-mandai pula berlagak sebagai pekerja di situ? Tetapi kalau tidak memberi layanan, tidak beradab pula rasanya. Lye Keng begitu leka ‘bercinta’ di telefon bimbitnya!

“Ya, encik?” Dalam nada teragak-agak, dia akhirnya bersuara.

“Saya ada pesan wireless router dengan Lye Keng dua hari lepas. Dah ada ke stok tu sekarang?” Lelaki itu bertanya.

Matanya pantas melilau ke arah kotak-kotak yang tersusun di sekeliling tempat di mana dia sedang melabuhkan punggung. Kalau ada di antaranya tertulis ‘wireless router’, pasti salah satunya milik lelaki itu. Dan seketika, matanya terfokus ke arah sebuah kotak bertulis ‘Linksys Wireless-b Access Point’ yang terletak di belakang kerusinya.

“Sebenarnya… saya bukan pekerja di sini, encik. Tapi mungkin router ni yang encik pesan. Apa-apa pun, sekejap ya, encik. Biar saya confirm dengan Lye Keng dulu,” ujarnya sambil mencapai kotak tersebut dan membeleknya. Masih berasa waswas untuk terus menyerahkan kepada lelaki itu. Takut tersalah beri.

“Maaf! Saya ingat you bekerja dengan Lye Keng…” Lelaki itu tertawa kecil, mentertawakan diri sendiri yang cepat sangat membuat andaian.

“Well, I’m about to work with Lye Keng. Itu pun kalau dia sudi ambil saya bekerja…” jawabnya jujur sambil tersenyum. Masih menaruh harapan yang tinggi agar diterima bekerja di situ berdasarkan respons Lye Keng yang agak memberangsangkan sebentar tadi.

“I see! Patutlah dua hari lepas masa saya pesan router ni, tak nampak awak pun. Tapi saya gerenti, mesti Lye Keng ambil awak kerja. Dah hampir dua bulan dia patah kaki… tak ada pembantu!” Lelaki itu ramah bercerita.

Dia hanya tersenyum mendengar celoteh lelaki itu. Itulah juga yang diharapkan. Diterima bekerja! Sepantas itu juga dia beranggapan, mungkin lelaki berkumis nipis itu pelanggan tetap Lye Keng. Siap tahu berapa lama Lye Keng tidak ada pembantu.

“Saya Razlan. Nama awak?”

“Larra…”

“Larra? Err… Larra as in Manjalara?” Berkerut dahi lelaki itu. Sekali gus mengaitkan dengan drama bersiri ‘Manjalara’ yang pernah popular di saluran televisyen suatu ketika dulu.

“Oh, tak! Saya bukan Larra yang manja. Larra as in Larra Kirana!” jawabnya bersahaja. Sudah lali bila orang mempersoalkan nama yang diilhamkan oleh mama dan papanya. Apa yang pelik sangat dengan sebaris nama itu? Unik, apa? Begitulah dia menyedapkan hati sendiri.

“Oh, okey! Err… kira macam Lara Croftlah ni?” Razlan tersenyum. Gaya Larra yang bersahaja dan ramah itu, membuatkan dia berasa selesa untuk berseloroh.

Lara Croft? Larra menahan tawa. Pandai pula lelaki itu berlawak sambil mengaitkan dirinya dengan Lara Croft.

“Hah… lebih kuranglah tu. Tapi Lara Croft watak fiksyen lakonan Angelina Jolie. Saya ni Larra Kirana… bukan fiksyen, tapi realiti!” Spontan Larra menjawab dan membayangkan dirinya yang ada kala serupa seperti Lara Croft. Kalau aksi lasak Lara Croft memanjat dan melompat, dia juga pernah melompat dari tembok rumahnya pukul 10.00 malam. Gara-gara lambat pulang, mamanya tidak benarkan sesiapa membuka pagar rumah sebagai hukuman kepadanya. Terpaksalah dia memanjat pagar rumah sendiri! Memang dia serik untuk pulang lewat selepas insiden tersebut.

“Tak dapat jumpa Angelina Jolie, okey juga dapat jumpa ala-ala Lara Croft kat sini!” Razlan berterusan mengusik.

Larra tertawa kecil sebelum kemunculan Lye Keng mencelah perbualan mereka seterusnya.

“Hai, Encik Razlan! Sorry… I tak sempat nak telefon beritahu router yang you pesan tu dah ada.” Lye Keng menghampiri mereka berdua. Lantas, tercari-cari kotak router tersebut di atas timbunan kotak-kotak yang tersusun di belakang Larra.

“You cari kotak ni ke?” Larra menghulurkan kotak router yang dipegangnya sejak tadi kepada Lye Keng yang masih tercari-cari.

Pantas Lye Keng menoleh menghadap Larra dan menyambut kotak tersebut. Dia meneliti isi kandungan kotak itu seketika. “Oh ya, yang ini. There you go, Encik Razlan…” Dihulurkan kotak tersebut kepada Razlan.

“Okey… terima kasih!” Kotak disambut oleh Razlan diiringi senyuman. Matanya turut melirik memandang Larra.

“So, you’ve met, Larra… my new assistant?” Lye Keng menyoal Razlan, bila terlihat senyuman di bibir lelaki itu tatkala memandang Larra.

Larra yang masih berdiam diri di bangku sebalik kaunter berkaca itu hampir terlompat kerana terkejut mendengar kata-kata Lye Keng. Tidak menyangka, sepantas itu Lye Keng menerimanya bekerja. Melonjak riang hatinya dengan senyuman melebar. Alhamdulillah… dia melafazkan syukur. Tak sia-sia dia melenguhkan kaki menapak ke Digital Mall petang Isnin itu. Sudah tertulis rezekinya di situ.

“Yes, I’ve met her… very nice and friendly girl!” balas Razlan dengan senyuman masih bergayut di bibir. Turut gembira bila matanya meneliti segenap wajah ceria gadis itu setelah diterima bekerja.

****

Dua tahun kemudian…

KEADAAN lalu lintas masih lagi sesak pagi Rabu itu walaupun jam sudah melangkau ke pukul 9.30. Selalunya, dia tidak terperangkap dalam kesesakan pada waktu sebegini.

Ini semua gara-gara hujan lebat sejak pukul 7.00 pagi tadi. Sungguhpun hujan telah reda, tetapi kesesakan di Lebuhraya Damansara-Puchong menghala ke Pelangi Square, masih tidak surut. Mentari pagi belum menampakkan sinar.

Perodua Kembara yang dipandu Larra tersenggut-senggut. Alamatnya, lambatlah kedai dibuka hari itu. Kalau masih bekerja di kedai komputer Lye Keng dahulu, menjadi satu kepantangan jejaka Cina itu jika kedainya lambat memulakan operasi. Biarpun Lye Keng tidak banyak kerenah orangnya, tetapi dia begitu mementingkan masa. Kedai harus dibuka tepat pada masanya kerana pelanggan akan datang tidak kira waktu.

Itulah kata-kata yang sering diperdengarkan oleh Lye Keng. Kata-kata yang sudah semakin sebati di jiwa Larra hingga kini. Kata-kata yang cuba dipraktikkan sejak dia memulakan perniagaan kedai dobinya lapan bulan yang lalu.Kedai dobi? Sesuatu yang Larra sendiri tidak pernah terfikir, akhirnya dia nekad untuk memulakan perniagaan sendiri.

Selepas beberapa bulan bekerja dengan Lye Keng, dia dipanggil temu duga di sebuah syarikat insurans. Hanya tujuh bulan dia bertahan di situ. Jiwanya tidak betah berada di pejabat yang berhawa dingin dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Entah kenapa, dia berasa rimas. Lebih-lebih lagi bila berlakunya krisis politik pejabat. Si polan itu mengumpat si polan yang satu lagi. Yang di sini mengampu bos untuk menjatuhkan yang di sana. Sekalipun dia berada di pihak neutral, tetapi dia bosan dengan persaingan yang tidak sihat begitu.

Itu belum lagi disingkap cerita sensasi yang melanda. Orang itu ada hubungan sulit dengan orang ini. Antara bos dan setiausaha, antara suami orang dan anak dara. Dia tidak faham, kenapa perkara sebegitu berlaku. Tidak salah jika berkawan, tetapi kenapa sehingga melibatkan perasaan?

Akhirnya, dia menghantar notis perletakan jawatan. Malas hendak terheret sama mendengar gosip atau luahan hati bila berlakunya cinta terlarang. Kemudian, bermula sesi menadah telinga dengan leteran mama atas tindakan drastiknya itu.

“LARRA tahu tak, bukan senang nak dapatkan kerja sekarang ni. Dah dapat kerja bagus-bagus, berhenti pula!” Leteran Karina a.k.a Carina Liew terhadap anak sulungnya. Cukup tidak bersetuju dengan keputusan Larra. Mereka bukan datang daripada keluarga senang-lenang. Kini, senang-senang sahaja Larra meletakkan jawatan.

“Ma… Larra tak suka persekitaran kerja yang macam tu. Banyak sangat budaya yang tak sihat.” Larra menegakkan pendirian. Mungkin dia bersikap terburu-buru meletakkan jawatan, tetapi itu tidak bermakna dunia kariernya telah berakhir. Dia akan cuba di tempat lain pula. Kalau ditakdirkan dia tidak memperolehi sebarang pekerjaan, dia sudah memikirkan alternatifnya. Dia sedar, asal usul keluarga mereka tidak semewah mana. Kerana itu dia harus berani mencuba sesuatu untuk mengubah keadaan itu.

“Itu semua tak ada kena-mengena dengan Larra, kenapa nak ambil kisah? Buat saja kerja sendiri, tak payah pedulikan hal orang lain. Yang bayar gaji Larra bukan mereka, tetapi syarikat Larra.” Karina berterusan dengan hujahnya. Dia juga masih seorang pekerja yang makan gaji.

Menyandang jawatan setiausaha kepada pengerusi eksekutif sejak berusia di awal 20-an lagi. Di pejabatnya juga, dia berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Tetapi dia tidak pernah ambil pusing dengan keadaan itu. Kerana sikapnya yang demikian, dia mampu bertahan di situ selama 30 tahun!

Larra membatukan diri. Malas menangkis kenyataan mamanya. Biarlah Karina meletuskan kemarahan. Bila sudah tenang sedikit, dia akan cuba berbincang baik-baik. Mamanya memang begitu. Penyayang, tetapi garang dan cepat naik darah. Namun, hatinya boleh sejuk sendiri asalkan jangan diprovokasi. Memang sikap Karina bercanggah sekali dengan sikap arwah papa yang begitu tenang dalam semua perkara.

“Habis tu, Larra nak buat apa sekarang ni?” soal Karina. Api kemarahannya berjaya diredakan bila Larra tidak berterusan membantah. Kadang-kadang, dia sendiri kagum dengan sikap Larra yang sabar dengan anginnya yang timbul bagai puting beliung. Ada kala, Larra bersikap lebih bertolerasi bila mereka bercanggah pendapat begitu. Larra Kirana… mewarisi banyak sifat arwah Lutfi.

“Larra akan cuba cari kerja di tempat lain. Kalau tak pun, Larra nak cuba buat bisnes…” jawab Larra, menghampiri mamanya. Mencari reaksi di wajah yang dihiasi cermin mata tebal itu.

“Bisnes?” Karina terkejut. Mukanya tertunduk sedikit. Cermin mata tebal melurut ke pangkal hidungnya. Berkerut seribu dahinya dengan jawapan anak gadis itu. Apa kepakaran yang Larra ada untuk memulakan perniagaan?

Mungkin juga, dalam diam Larra mewarisi bakat dan minat mendiang datuknya yang pernah mempunyai kedai runcit 40 tahun yang lampau. Mendiang Ah Kong pernah mengusahakan kedai runcit di pekan Rembau. Tetapi sayang, perniagaan yang maju itu tidak dapat diselamatkan setelah berlaku kebakaran yang turut meragut nyawanya dan isteri.

Setelah kematian kedua-dua orang tuanya, Karina dan adiknya; Cathy hidup menumpang bersama bapa saudara mereka sehinggalah dia bertemu jodoh dengan Lutfi. Mengenangkan kenangan silam itu, hati Karina kembali pilu.

“Banyak benda kita boleh cuba, ma. Apa-apa saja boleh diniagakan. Asalkan kita tahu cari peluang, kreatif dan inovatif!” Larra menjawab dengan penuh yakin, tidak mahu mamanya terbawa-bawa dengan kenangan sedih itu.

“Like what?” tanya Karina, tidak berpuas hati dengan jawapan Larra. Bimbang jika Larra hanya hangat-hangat tahi ayam. Tetapi kalau benar Larra ingin berniaga, dari mana datangnya modal? Duit simpanannya tidak sebanyak mana. Lagipun, dua orang adik Larra masih belajar. Perjalanan Amin dan Amril masih jauh lagi. Terutama dengan statusnya sebagai ibu tunggal. Memang dia harus bijak menyediakan belanjawan yang secukupnya untuk masa depan dua puteranya. Lebih-lebih lagi kerana Amin masih tidak memperolehi biasiswa atau pinjaman untuk membiayai pengajiannya di kolej.

“Larra terfikir nak buka kedai dobi…”

Jawapan itu membuatkan mulut Karina kembali berceloteh. Panjang berjela soalan yang diutarakan dengan cadangan Larra. Hampir dua jam Larra terpaksa berdepan dengan situasi yang tegang itu. Malah, untuk minggu-minggu seterusnya dia masih disoal siasat oleh Karina. Sehinggalah pada suatu hari, dia menunjukkan proposal yang telah dihantar kepada pihak bank dan surat bank yang mengesahkan pinjamannya diluluskan.

Saat itu, mama memeluknya dengan erat. Lantas, perbincangan tentang isu pembukaan kedai dobi itu tamat di situ bersama linangan air mata gembira Puan Karina Liew Abdullah.

LAMUNAN Larra yang sedang mengimbas detik-detik sebelum penubuhan LK Laundry berterbangan sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi enjin kereta yang mengaum di sebelah. Dia pantas menoleh ke kanan. Matanya tertancap pada sebuah kereta Subaru Impreza berwarna blue mica.

Patutlah macam biasa dengar bunyi enjin tu! Dia cukup kenal kereta tersebut. Lebih-lebih lagi Subaru Impreza merupakan antara kereta yang diminatinya. Malah, dia sudah semakin peka dengan bunyi enjin yang sering mengaum itu. Pemilik kereta itu juga bukan asing di pandangan matanya. Cuma dia tidak tahu gerangan namanya.

Agaknya… siapa sampai dulu, eh? Aku ke engkau? Omong Larra bersendirian. Cuba menghiburkan hati dengan lawak dan ‘perebutan’ yang dicipta sendiri. Sama ada si pemandu Subaru Impreza itu sedar atau tidak, ‘perebutan’ mereka berdua itu semakin menerbitkan rasa teruja di hatinya.

Dia cuba menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduan. Jarak kedai dobinya sudah tidak jauh lagi. Dia mahu ‘menang’ hari itu, kerana sejak seminggu yang lalu, sudah berhari-hari dia ‘kalah’ dengan kereta tersebut.

Deringan telefon bimbit membuatkan tumpuan Larra sedikit terganggu. Dia berdecit. Tapi tidak berniat untuk membiarkan panggilan tersebut. Pantas dia mencapai hands-free kit, sudah tahu gerangan siapa yang menelefon pagi-pagi begini. Lebih-lebih lagi bila si pemanggil tidak menghubunginya sejak seminggu lepas kerana ada urusan perniagaan di Mesir.

“Assalamualaikum… di mana ni?”

Soalan yang menerpa telinga Larra sebaik dia menjawab panggilan. Suara yang tidak asing lagi pada pendengarannya. “Wa’alaikumussalam. Dalam perjalanan ke kedai… sesak pula jalan pagi ni. Sebab tu lambat. Bila balik dari Mesir?”

“Tengah hari semalam.”

“Nak datang kedai ke?”

“Ingat nak singgah pagi ni. Tapi Larra tak sampai lagi, jadi saya datang petang ajelah.”

“Okey, jumpa petang nanti.”

“Baik-baik bawa kereta tu!” Lelaki itu menamatkan perbualan.

Razlan! Siapa sangka, secara tidak sengaja dia berkenalan dengan Razlan ketika ditemu duga Lye Keng dulu. Dari perkenalan yang ringkas, mereka berdua saling berhubung kerana kekerapan Razlan mengunjungi kedai komputer itu. Mereka mula menyenangi antara satu sama lain, setelah hati budi masing-masing diselami.

Atas nasihat dan dorongan Razlan, dia berani terjun ke bidang perniagaan dobi. Bukan sedikit bantuan yang Razlan hulurkan. Baik tenaga, akal fikiran mahupun wang ringgit.

Siapa lagi, kalau bukan Razlan yang membantu menyiapkan kertas cadangan untuk mendapatkan pinjaman. Melalui kenalan Razlan jugalah, dia berjaya memperolehi kemudahan SME yang ditawarkan oleh pihak bank. Duit pendahuluan pembelian kereta Perodua Kembara itu pun dipinjam daripada Razlan. Dua bulan lepas, dia berjaya juga melunaskan hutang Razlan itu.

Sehinggakan lot kedai dobi itu juga, Razlan yang punya. Lot kedai tersebut baru saja dibeli oleh Razlan ketika Larra membulatkan tekad untuk memulakan perniagaan. Dan Razlan tidak sedikit pun kelihatan teragak-agak ketika berkata; “Lot kedai yang saya beli tu, masih kosong. I want to rent it out and LK Laundry will be my first tenant. Tapi jangan lupa bayar sewa!” Sempat Razlan bergurau di hujung kata-katanya.

Sehingga kini, masih menggebu rasa malu Larra atas kebaikan Razlan. Razlan sendiri tidak pernah berkira, jauh sekali untuk mengungkit. Pernah dia bertanya kepada Razlan, apa yang boleh dijadikan balasan atas setiap pertolongan Razlan selama ini. Jawapan Razlan mudah sekali.

“You being successful in life, that is enough for me!”

Di mata kasar sesiapa pun yang melihat mereka berdua, pasti akan terlintas persoalan dan spekulasi tentang hubungan itu. Sungguh, Larra sendiri tidak pernah menduga, dia dan Razlan akan jadi rapat begini. Razlan bukan setakat rakan kongsi niaga, tetapi mereka juga berkongsi cerita dan impian yang sama!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81591/cinta-tak-beralih

REVIEW DIA ANAK JENERAL

9789678605892-medium
DIA ANAK JENERAL OLEH HEZZY AZRA

KALAU sudah nama berbintikan Hambali, semuanya akan diatur… termasuklah mencari calon suami. Bila Leftenan Jeneral kata hitam, maka hitamlah warnanya. Walaupun ketika itu, pelangi sudah jadi 14 warna, Syirin harus akur.

Kehadiran Zakhif, telah menggoyahkan hati Syirin. Kali pertama bertentang mata, dia dan Zakhif saling terpesona. Saat bertegur sapa, hati dibaluti bahagia. Bila tidak bertemu, ada rindu yang menderu.

Tetapi Zakhif sedar siapa dia. Bagaimana kuatnya cinta terhadap Syirin, hebat juga risiko yang menanti. Lalu Zakhif cuba menjauh. Namun, Syirin semakin mendekat dengan satu tekad.


Ok admin akan jujur kali ni.. TERBAIK! Ini cerita yang serius anda kena ada satu dalam koleksi dan baca! Ye jangan beli lepas tu simpan dan tak baca. Cerita yang ringan dengan watak yang betul- betul menjadi! Oh dasyatnya kalau ayah anda seorang jeneral dan ye lagi kesian kalau anda nak berkahwin dengan anak jeneral! Dasyat wei! Ada beza kot kalau Tuan Jeneral jawab ” Hmm.” dengan takde ” Hmm.” pun ada beza taw..

Tapi kasihan dengan Zakhif yang tidak dilayan dengan baik walaupun dah menjadi menantu tapi masih tak diterima. Susahnya kalau macam ni. Kalau admin, dah naikkan bendera putih dah.. Syirin yang anak bongsu pun kena halau keluar rumah okey apatah lagi suami yang bukan calon pilihan hati tuan jeneral.

Kalau dalam bahasa simple, kita akan katakan novel ini cukup rasa.. Macam rancangan memasak dah akak oi. Tapi memang betul anda tak akan menyesal.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/55855/dia-anak-jeneral

 

REVIEW SEMERAH RED VELVET

9789831248461-medium
EBUKU SEMERAH RED VELVET OLEH HEZZY AZRA

Di waktu Raina ingin lari daripada Emir Hadhri, kek cawan Red Velvetnya telah menemukan mereka kembali. Raina jadi kalut. Hati Emir semakin terpaut. Mereka bagai langit dan bumi. Namun rasa cinta itu lebih mengatasi sehingga Raina tidak teragak-agak untuk menjadi isteri kepada lelaki yang baharu sahaja dikenalinya.

Oh… rupanya tidak mudah menyesuaikan diri. Banyak perbezaan wujud di celah-celah kehidupan mereka. Setiap kali Emir berulit dengan buku, Raina mati kutu. Raina kepingin untuk berkumpul dengan adik-beradiknya, Emir pula mahukan ruang privasinya. Emir terlalu obses dengan pengajiannya, Raina dambakan kemesraan mereka. Tersilap kata, cemburu pula melanda.

Rasa tidak puas hati semakin membukit. Kisah lama kembali diungkit. Hati masing-masing mula rasa sakit. Hidup sebumbung, tetapi tetap rasa kosong. Benarkah perpisahan merupakan yang terbaik buat mereka?


Bagi ulasan buku kali ini, sejujurnya admin puji cara olahan cerita ini walaupun pada permulaannya admin tak suka pada seorang watak ni.  Dari segi ‘keberatan’ novel, ia tidak la begitu berat hingga membuatkan anda pending. Cukup untuk anda sengih sendirian sambil membaca bila sampai di bahagian yang kelakar dan rasa macam nak baling buku ini apabila tiba di bahagian yang membuatkan anda geram. Oleh itu, bacalah dari kulit depan sampailah kulit belakang untuk mengetahui kisah selanjutnya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66587/semerah-red-velvet